Wednesday, 13 January 2016

MAAF, SAYA TAK SENGAJA - BAB 25

JAM sudah menunjukkan angka 11 malam. Suzy dengan skirt pendek paras lututnya sabar menunggu di lobi hotel. Sebelum ke hotel tadi, dia hanya mengenakan blaus labuh bersama jean biasa. Biarlah! Buat kabur mata Aina Cempaka itu sudah cukup.
Kalau Aina Cempaka nampak dia berpakaian macam ini, pasti kena leter. Macam ibu meleter anaknya. Semuanya tidak boleh pakai. Jaranglah! Ketatlah! Lagipun, kekasih hati Suzy lebih suka teman wanitanya berpakaian seksi. Makin seksi, makin mantap katanya. Itulah ayat yang selalu buat Suzy tidak boleh tidur. Sering berlagu di telinganya sepanjang hari.
“Sayang…” sapa satu suara lelaki.
Bercahaya anak mata Suzy apabila terdengar suara itu. Lepas rindunya selama seminggu.
“You… kenapa lambat sangat? I dah tunggu dua jam, tahu tak? Naik kematu jari ni asyik call you…” Suzy memuncungkan bibirnya. Buat-buat merajuk.
“Ala… tadi I pergi beli ni. Itu pasallah lambat…” Lelaki itu mengeluarkan sekotak wine merah yang berbalut plastik hitam.
“Eh, mahal ni. Mana you beli?” Terbuka luas kedua-dua biji mata Suzy.
“Adalah. Jom...” Lelaki itu mengeluarkan lengannya. Minta dikepit. Suzy pun apa lagi, makin tergedik-gedik mengikuti lelaki itu sampai ke dalam bilik hotel.
Sebaik sahaja masuk ke dalam bilik, Suzy dilayan bak tuan puteri. Disuapkan makan dan menikmati wine merah bersama kekasih hatinya itu. Mereka ketawa terbahak-bahak sampai kejang perut. Biarpun dunia mahu runtuh, bagi mereka itu tidak penting lagi. Asalkan mereka tetap mati bersama. Itu sudah cukup.
“Sayang... I rindu sangat kat you…” bisik Suzy perlahan. Leher kekasihnya dirangkul erat dan ditariknya sampai ke katil. Melepaskan rindu dan keinginan hawa nafsu yang sudah lama tersimpan. Sememangnya dia juga tidak pernah lupa, terutama sekali dengan segala pembohongan dan lakonan mereka terhadap Aina Cempaka.
Bagi Suzy, dia tidak pernah salah. Cuma dia tersilap. Silap? Silapnya dia tidak bertemu dengan Mohsin terlebih dahulu. Kalaulah dia jumpa dengan lelaki ini dulu, pasti akan dipegangnya ketat-ketat. Jangan harap siapa dapat kebas. Halal atau haram, Mohsin tetap miliknya. Itu sudah pasti!
Dia masih ingat lagi kali pertama bertemu dengan Mohsin. Waktu itu dia dan Aina Cempaka baru saja pindah ke rumah baru. Rumah yang disewa oleh mereka sekarang ini adalah saksi segala-galanya. Di situlah hubungannya dengan Mohsin bermula. Walaupun pada mulanya Mohsin macam tidak layan, tapi akhirnya lelaki itu sangkut juga.
Ketika di Penang dulu, Suzy memang sudah rancang percutiannya dengan Mohsin. Tapi, semuanya hancur apabila Mohsin tersebut nama Aina Cempaka. Yalah! Sampai dalam mimpi pun Mohsin masih terjerit-jerit nama perempuan itu. Manalah dia tidak mengamuk. Sampai bergaduh besar dibuatnya.
Malam itu juga Mohsin tekad hendak balik ke Kuala Lumpur. Suzy pula tetap dengan egonya. Masing-masing tidak mahu mengalah. Sebab itulah Suzy lepaskan kemarahannya kepada Aina Cempaka. Tak pasal-pasal Aina Cempaka kena herdik. Risau juga dia sebenarnya apabila Aina Cempaka langsung tidak tegur dia. Tapi, nasib baiklah perempuan itu tidak syak apa-apa. Masih percaya dan anggap dia kawan dunia akhiratnya. Itu sudah cukup buatkan dia ketawa jahat dalam hati.
Mohsin? Bukanlah Suzy namanya kalau cepat berputus asa. Suzy tahu segalanya boleh diubah. Pokoknya semua terletak pada usahanya sendiri. Mudah sebenarnya jika mahu pujuk dan jinakkan lelaki yang bernama Mohsin itu. Hanya perlu gunakan kecantikannya, sedikit kata-kata manis dan yang paling penting ialah kesabaran.
Hasilnya? Sekarang Mohsin kembali ke dalam dakapan. Biarpun Suzy hanya mampu memiliki separuh hatinya, itu sudah memadai. Separuh lagi akan dirampas secara perlahan-lahan daripada Aina Cempaka. Biar terus kosong dan hanya dimiliki oleh Suzy sebagai tuannya. Itu impian baru Suzy!
“You…” ucap Suzy manja sambil berbaring di atas katil tanpa seurat benang. Hanya selimut yang menutupi tubuh mereka.
“Ya sayang…”
“You sayangkan I tak?” Suzy merengek manja. Bahu Mohsin dikucup dan dada tidak berbaju Mohsin diusap lembut.
“Of courselah I sayang...”
“You… I ada benda nak beritahu you ni.”
“Mmmm… I dengar ni. Cakaplah.” Mohsin memanjakan suaranya.
Suzy menarik nafas dalam. Tersenyum. Berharap Mohsin akan gembira dengan berita yang hendak disampaikannya ini.
“I’m pregnant.”
“What???” Automatik tubuh Suzy ditolak Mohsin.
“Kau dah gila ke? Apa yang kau merepek ni, hah???” tengking Mohsin.
“I mengandungkan anak you. Salah ke? Why not kita kahwin? You lupakanlah si Aina Cempaka tu. Mulakan hidup baru dengan I… bolehkan sayang?” rayu Suzy.
“Suzy… kau dah gila ke? Gila tahu tak??? Aku sayangkan Aina. Faham tak?” Mohsin merentap rambut Suzy.
“Hei! Kalau you sayangkan Aina, I ni siapa? Siapa I ni pada you, hah???” Suzy mula dirasuk hantu. Lengan lelaki itu ditepisnya.
“Aku tak kira. Kalau kau nak hubungan kita kekal macam sekarang ni, gugurkan baby dalam perut tu!” herdik Mohsin.
“Talking nonsense! Bullshit!” Suzy bingkas bangun dari katil dan mencapai satu per satu pakaiannya yang bertaburan di atas lantai. Disarungkannya pantas ke tubuh. Setelah lengkap berpakaian, Suzy bercekak pinggang. Bibirnya bergerak-gerak menahan geram. Masih mengharapkan jawapan daripada Mohsin.
“I tanya you sekali lagi. You pilih I dan baby ni atau Aina Cempaka?” Tajam renungan mata Suzy.
Mohsin masih terbaring di atas katil. Mukanya merah padam menahan marah.
“Aina Cempaka! Puas hati kau sekarang???” Mohsin tergelak besar. Puas hati dengan jawapannya sendiri.
“Okey. Kau nak tengok sangat aku jadi gila, kan? Kau tunggu dan lihat aje!” gertak Suzy. Tas tangannya dicapai. Pintu bilik hotel dihempas sekuat hati. Biar lelaki itu menyesal dengan jawapannya sendiri.
‘Ini Suzylah. Bukan Aina Cempaka yang naif macam lembu yang dicucuk hidung itu!’



“APA??? You dah bertunang? Biar betul ni?” Burn menekup mulutnya. Terkejut mendengar alasan Aina Cempaka yang menundakan cutinya.
Awal pagi lagi sudah bikin cerita panas. Nak buat macam mana? Bukan sengaja Aina Cempaka tidak mahu menjemput. Kenduri doa selamat yang diadakan di kampung pun biasa-biasa sahaja. Bersederhana dan dihadiri oleh saudara-mara terdekat mereka sahaja.
“You tahu tak? Sepanjang you tak ada kat ofis ni, Encik Iqbal tak banyak bercakap. Duduk termenung macam orang... entahlah, tak tahu I nak cakap macam mana. Tak boleh nak digambarkan. Selalu jugak dia masuk ofis lewat.” Burn membuat mimik muka. Ngeri!
“Dia banyak kerjalah tu. Kan sekarang syarikat kita kurang tender dan projek. Lagipun, kita kena usaha lebih, baru berhasil. Mmmm... ada apa-apa benda yang saya terlepas?”
Aina Cempaka membuka buku laporan di atas meja. Memeriksa semula tugasan yang tidak sempat diselesaikan. Burn membantu. Menjelaskan setiap inci perkembangan Ibunda Corporation sepanjang ketiadaannya. Syukurlah! Baru-baru ini, adalah satu dua projek dan tender yang diperolehi. Jadi, mereka boleh menyibukkan diri dengan membuat tugasan masing-masing.
Beberapa minit kemudian, Faiz Iqbal melangkah masuk. Nampak kemas dengan kemeja putihnya. Matanya melirik ke arah seorang wanita bertudung litup. Duduk tertunduk menulis sesuatu di meja kerja Aina Cempaka.
“Siapa pulak ni?” bisik Faiz Iqbal sendiri. Setahu dia, Ibunda Corporation tidak melantik mana-mana staf baru.
‘Mungkinkah Tasnim? Eh, tapi yang ni badannya macam lain sikit! Tak mungkinlah Tasnim!’ bentak hati Faiz Iqbal.
Faiz Iqbal mencebik bibir. Ingin tahu siapa empunya diri. Kepalanya direndahkan sedikit. Penuh gaya. Cuba mengintai. Baru perasaan, itulah Aina Cempaka. Masih cantik walaupun kini sudah bertudung. Terlepas sikit rasa rindunya. Lama memerhati, Aina Cempaka mula perasan kewujudan lelaki itu. Pantas Aina Cempaka mengerling tajam. Mengerutkan wajah.
“Oh, Aina. Ingatkan mak cik mana tadi. Hurmm masuk kejap,” arah Faiz Iqbal. Mencari akal. Malu kerana tertangkap. Dia terus berlalu masuk ke dalam biliknya tanpa memandang sekilas pun wajah Aina Cempaka.
Aina Cempaka tidak banyak menyoal. Segera diekori Faiz Iqbal. Mungkin ada perkara penting yang ingin disampaikan oleh Faiz Iqbal.
Bertentangan mata dengan Faiz Iqbal membuatkan jantung Aina Cempaka semakin berdebar-debar. Entah-entah, Faiz Iqbal mahu bercakap tentang hal tempoh hari. Malunya! Apa yang perlu dilakukannya ketika ini? Harap-harap Faiz Iqbal sudah melupakannya. Aina Cempaka perlu pahat dalam hati. Dia kini bergelar tunangan orang. Jangan terbawa-bawa dengan perasaan bodoh itu lagi.
Sekeping sampul surat dilemparkan ke atas meja. Wajah Faiz Iqbal nampak tenang. Kerusinya bergerak ke kiri dan ke kanan sambil memandang wajah naif Aina Cempaka.
“Apa ni, Encik Iqbal?” Aina Cempaka tertanya-tanya. Entah apa pula salahnya kali ini. Takkanlah meluah perasaan terhadap bos sendiri boleh dikenakan tindakan tatatertib. Mustahillah!
“Surat pemecatan,” ringkas sahaja Faiz Iqbal membalas.
“Tapi, Encik Iqbal kan dah appoved cuti saya hari tu. Kenapa nak pecat saya pulak? Saya ambil cuti seminggu aje. Bukannya tak datang kerja terus,” Aina Cempaka mempertahankan diri.
“Ini company bapak aku. Suka hati akulah! Kenapa kau banyak sangat bunyi?” Faiz Iqbal menghentak meja.
“Saya tahu, ini company bapak Encik Iqbal yang punya. Tapi saya pekerja kat sini. Saya ada hak untuk tahu, apa alasan saya dipecat?” Tinggi nada suara Aina Cempaka. Bagaikan minyak disimbah dengan api. Sama-sama panas baran.
“Aku tak perlukan setiausaha lagi. Kau boleh blah.” Ringkas dan lancar bicara Faiz Iqbal.
“Okey. Saya akan keluar dari sini. Saya ingat, Encik Iqbal lelaki yang berbeza. Berbeza berbanding dengan orang yang saya mula-mula kenal dulu. Rupa-rupanya, saya tersilap. Saya silap menilai orang. Untuk pengetahuan Encik Iqbal, saya pun tak inginlah nak kerja kat sini!”
Pintu bilik Faiz Iqbal dihentak kuat oleh Aina Cempaka. Terus keluar meninggalkan lelaki itu. Bengang betul hatinya. Rasa macam mahu ditelannya Faiz Iqbal itu hidup-hidup.
“Aina, kenapa ni?” soal Burn.”
“Saya dipecat,” jawab Aina Cempaka selamba. Tangannya ligat memasukkan barang-barang ke dalam kotak. Tidak mahu membuang waktu. Panas betul hatinya.
“Kenapa pulak? Dah naik gila ke apa jantan tu?” marah Burn. Lengan bajunya disentengkan. Bercekak pinggang. Buat lagak macam orang hendak bergaduh.
“Encik Iqbal dah tak perlukan saya lagi. Insya-Allah, ada jodoh nanti kita jumpa lagi.” Aina Cempaka tersenyum. Cuba meredakan marah-marah ayam Burn.
Setelah selesai berkemas, Aina Cempaka mengucapkan selamat tinggal kepada Kak Salmah, Kak Tasnim dan staf-staf yang lain sebelum meninggalkan Ibunda Corporation. Mereka juga macam tidak percaya. Masing-masing banyak bertanya. Apa boleh dibuat, jika ini permintaan Faiz Iqbal. Aina Cempaka terpaksa terima. Mungkin juga ini takdir Allah yang mahu dirinya terus setia bersama Mohsin. Jadi, lebih mudah dia untuk melupakan lelaki yang bernama Faiz Iqbal tu secara perlahan-lahan.



TANGAN Suzy bermain-main dengan sebotol racun tikus yang baru dibelinya dari kedai menjual racun serangga. Sekejap wajahnya senyum. Sekejap dia menangis. Kemudian tersenyum pula. Inilah harinya yang sesuai. Dia perlu memasak buat Aina Cempaka. Masakan terakhir buat perempuan itu harus sedap. Harus memikat hati Aina Cempaka untuk menjamahnya. Jika tidak, misinya itu hanyalah sia-sia.
Aina Cempaka perlu tahu. Mohsin itu milik Suzy. Hanya untuk Suzy. Kalau Aina Cempaka lenyap, mesti Mohsin akan mencarinya. Ya, Mohsin pasti akan tergila-gilakan dia. Hanya dia!
“Sayang... hari ni mama nak masak. Tapi, bukan untuk kita... untuk Aunty Aina Cempaka.” Suzy ketawa sambil mengusap perutnya. Janin berusia empat minggu itu hanya menunggu masa untuk membesar. Dia juga perlukan kasih sayang seorang bapa. Tidak mungkin akan digugurkan. Walaupun bapa bayinya itu mahu dia berbuat demikian, tidak mungkin! Dia takkan sanggup. Ini bukti cinta dan kasih mereka berdua.
Selesai memasak, Suzy menghidangkan lauk di atas meja. Tersenyum puas hati dengan wajah yang sinis. Sementara menanti Aina Cempaka pulang dari pejabat petang nanti, dia menuju ke ruang tamu. Membuka TV sambil memakan buah mempelam masam yang sudah siap dipotong di dalam bekas kaca. Mempelam muda yang dibawa Aina Cempaka dari kampung semalam itu habis dimakannya. Licin satu pinggan.
Pintu rumah tiba-tiba dikuak. Wajah Aina Cempaka terpacul.
“Aina! Awalnya kau balik?” soal Suzy. Pura-pura gembira. Lakonan hari ini perlu nampak mantap. Jangan ada sebarang kesilapan. Takut rosak semuanya.
“Aku kena pecat.” Aina Cempaka melepaskan satu keluhan. Tubuhnya dihempaskan ke atas sofa, kemudian membuka pin pada tudung. “Kau tak kerja ke hari ni?” soal Aina Cempaka. Aneh. Suzy jarang mengambil cuti sakit. Lagipun, dia nampak sihat saja hari ini.
“Aku tak laratlah. Banyak sangat kerja kat ofis tu. Sampai tak ada masa nak cuti. Alang-alang, aku cutilah hari ni. Kali ni... apa alasan kau kena pecat pulak? Bukan ke kau dah elok kerja kat situ?” soal Suzy.
“Memanglah seronok kerja kat situ... tapi nak buat macam mana, had itu aje rezeki aku. Aku pun tak fahamlah. Kenapalah Encik Iqbal tiba-tiba pecat aku? Lepas tu, bila ditanya kenapa, aku pulak yang kena marah.”
“Mesti ada benda yang dia tak suka kat kau kut…” teka Suzy.
“Entahlah. Lepas ni, aku kena standby cari kerja lainlah jawabnya. Agak-agak, kerja apa yang sesuai untuk aku ya?”
“Suka hati kaulah Aina. Asalkan kau kerja. Boleh bayar duit sewa rumah ni tiap-tiap bulan pun dah cukup. Jangan sampai kita kena duduk kat tepi jalan, sudahlah…” Suzy ketawa.
Aina Cempaka hanya tersenyum. Terhibur sikit hatinya.
“Aku dah masak. Jomlah makan.” Suzy mengheret lengan Aina Cempaka. Manja.
“Aku dah kenyanglah. Baru aje lepas makan kat kedai tadi. Malam nanti kut... tak ada space dah...” Aina Cempaka menunjukkan perutnya yang sudah penuh dan kekenyangan.
“Ala... aku masak spesial kut. Jamahlah sikit.” Suzy masih memaksa. Berjaya juga dia membawa Aina Cempaka ke dapur. Siap tarik kerusi untuk Aina Cempaka lagi.
Nasi disenduk ke dalam pinggan kaca. Baru sahaja Aina Cempaka hendak menyudu lauk ke dalam pinggan, telefon bimbitnya di ruang tamu mula berdering.
“Nanti kejap ya.” Pinta Aina Cempaka.
Suzy melepaskan satu keluhan. Pantas Aina Cempaka beredar. Segera dia menyambut panggilan telefon itu.
“Assalamualaikum. Abang...” Aina Cempaka tersenyum.
“Aina kat mana ni? Penat abang cari kat ofis. Tak ada pun.”
“Aina kat rumah ni,” jawab Aina Cempaka lemah. Tidak mahu buat Mohsin risau.
“Sakit betullah hati abang dengan bos Aina tu. Ada ke patut dia halau abang tadi.”
“Halau? Biadab betullah. Macam mana boleh jadi macam tu?”
“Abang cakap... abang nak jumpa dengan tunang abang. Lepas tu, tak pasal-pasal dia panggil security. Halau abang keluar dari pejabat. Geram betullah dengan mamat tu!” luah Mohsin.
“Lain kali... abang jangan datang lagi tau.”
“Apasal pulak tak boleh datang?”
“Aina dah resign. Malas nak kerja kat situ lagi.
“Resign? Kan dari dulu abang dah suruh. Sekarang baru Aina tahu perangai dia tu macam mana, kan?”
“Yalah. Nasib baik abang beritahu dulu. Kalau tak, sampai sekarang Aina tak sedar.” Lega hati Aina Cempaka. Bukan sebab dapat menipu, tetapi sebab mampu melarikan diri daripada hidup Faiz Iqbal. Biar fokusnya sekarang buat Mohsin sahaja. Lama-kelamaan pasti pintu hatinya terbuka juga buat lelaki itu.
Sekejap saja dia bercakap dengan Mohsin. Panggilan diputuskan.
“Kau cakap dengan Mohsin ke?” soal Suzy tiba-tiba. Hampir terkejut Aina Cempaka dibuatnya. Suzy muncul entah dari mana. Macam dalam filem hantu pun ada.
“Haah. Suzy... aku penatlah. Aku nak mandi dulu. Nak rehat kejap. Malam nanti baru aku makan ya?” Aina Cempaka menepuk lembut bahu Suzy. Segera dia naik ke tingkat atas.
Suzy mengetap bibir. Geram. Habis dipunggahnya semua lauk-pauk itu ke dalam tong sampah. Hari ini mungkin Aina Cempaka selamat. Esok lusa, tidak! Jangan harap!

TERBIAS BENCI TERSIRAT RINDU - BAB 22

BAB 22


AJAD kerut dahi. Matanya masih tersorot tepat pada bayang Iman yang nampak sedang terkial-kial mengeluarkan motosikal Honda Ex5 berwarna hitam dari garaj tepi rumah. Perlahan kaki diayun menuju ke arah Iman. Berdiri betul-betul di belakang Iman.
“Sayang nak buat apa ni?” tanya Ajad pelik.
Tingkah Iman mati. Kepala terus ditalakan kepada Ajad yang sedang merenungnya dengan dahi yang berkerut. Atas bawah dia menyorot tubuh Ajad. Nampak kacak sungguh dengan seluar jeans pendek berwarna hitam, yang dipadankan pula dengan t-shirt berleher bulat, berwarna kuning hitam. ‘Alahai, pakai simple pun tetap nampak kacak laki aku ni!’ Dalam tak sedar hati memuji suami sendiri.
“Ak... emm, sayang nak keluarkan motor ni, dari garaj.” Iman tersengih kecil. Fuh! Nasib baiklah tak tersasul lagi. Kalau tidak, kena denda lagilah dia!
“Ni, motor siapa? Nak buat apa?”
“Ni, motor wan. Sayang nak pinjam! Nak bawa pergi memancing dekat sungai hujung kampung tu. abang nak ikut tak?” Iman tersenyum manis. Seronok juga rasanya bersayang, abang ni. Rasa berbunga-bunga pula hati.
Ajad tersenyum lebar. Suka sangat bila Iman bahasakan dirinya sayang. Rasa terbuai-buai saja perasaannya. Memang comel sangat bila Iman bahasakan diri dia macam tu.
“Sayang nak pergi memancing? Mana batang pancing? Umpan ada ke?”
“Itu, kail! Umpan ada dalam tempurung tu.” Mulut Iman memuncung pada kail batang salak yang tersandar elok di pondok kayu tengah laman rumah.
“Kail?” Ajad kerut dahi. Pelik! Tak pernah pula dia tengok batang pancing macam tu.
“Haa... inilah  untungnya duduk dekat kampung. Batang pancing pun dapat free aje. Kalau abang nak tahu, itu namanya batang salak. Orang kampung biasa guna batang salak ni untuk buat pancing. Umpan pun boleh dapat free juga. Abang nak ikut sayang tak? Kalau tak nak, sayang nak pergi dengan Akma.” Iman sorong motosikal keluar dari garaj.
“Eh, nak!”
Laju Ajad mengangguk. Mana boleh lepaskan peluang. Tepi sungai pun, tepi sungailah! Janji dapat berdua dengan Iman. Orang lain lepas kahwin pergi bulan madu tempat romantik. Dia... Tepi sungai! Nasiblah...
“Jomlah!” Iman sudah menghidupkan enjin motosikal.
“Naik ni?” Tanya Ajad lagi. Gila! Seumur hidupnya tak pernah dia naik motor.
“Cepatlah, abang! Ambilkan kail dengan umpan tu sekali.” Arah Iman.
Lambat-lambat Ajad menapak. Muka nampak cuak gila.
“Pegang kuat-kuat, tau!” Pesan Iman sambil ketawa mengekek. Laju saja Ajad peluk pinggang Iman dengan tangan kanannya. Tangan kiri pula menggenggam erat kail batang salak.
“Sayang jangan bawak laju-laju, tau!” Ajad mula rasa ketar lutut. Dalam hati tak henti-henti berdoa. Janganlah motorsikal ni terbalik.

ANGIN petang bertiup nyaman. Iman mula menapak ke tepi sungai. Bukan jauh sangat pun jarak di antara sungai dengan rumahnya. Saja Iman hendak naik motor. Dah lama sangat rasanya dia tidak merempit. Naik gian pula!
 Terjerit juga Ajad tadi bila Iman bawa motor laju macam pelesit. Mengekek Iman ketawa. Lucu rasanya mendengar Ajad terjerit-jerit begitu. Dah, ala-ala pondan pun ada! Tubuh bukan main lagi sasanya. Tapi, penakut... yang amat.
“Sayang, tunggulah abang.” Laung Ajad dari belakang. Terkedek-kedek dia berjalan mengejar langkah Iman. “Ish, bini aku ni! Jalan macam keretapi KTM. Laju bukan main lagi!’ Ajad garu pipi yang mula terasa gatal diselar nyamuk liar.
“Cepatlah, abang. Terhegeh-hegehlah abang ni. Macam perempuan cukup bulan.” Bentak Iman geram. Dia berdiri tegap di situ menanti Ajad sambil bercekak pinggang. Dari jauh dia nampak Ajad berjalan terkedek-kedek dengan batang kail salak dan tempurung bekas umpan di tangan.
Iman tersengih kecil. Dalam hati terselit juga perasaan kesian kepada Ajad, tetapi perasaan seronok lebih mengatasi perasaan kesian tu. Seronok melihat Ajad bersungguh begitu. Bukan selalu dapat tengok Tengku Amjad Kamil versi sekarang ni. Kalau Iman ada telefon, rasa mahu dirakamnya detik-detik indah sekarang ini. Sayang rasanya.
“Ish, sayang ni! Nak buat apalah dekat sini? Ada ikan ke?” Ajad kerut dahi. Kali ini lengannya pula digaru-garu. Gatal yang amat rasanya. Mata meliar ke sekitar kawasan sungai.
“Belum cuba belum tahu. Meh sini batang kail tu!” Joran kail batang salak diambil dari tangan Ajad.
Ajad perhatikan segala tingkah Iman dengan penuh minat.
“Guna umpan apa ni sayang?” tanya Ajad lagi.
‘Ish, banyak tanya pula mamat mata sepet ni. Hmm... Kalau usik pun seronok juga ni!’ Akal nakal Iman sudah mula mahu mengenakan Ajad.
“Abang, pernah memancing tak?” tanya Iman dengan senyuman menawan. Otak nakalnya mula ligat mahu mengenakan Ajad. Seronok... Seronok!
“Memancing ikan tak pernah. Kalau orang, selalu!” Ajad tersengih gatal. Keningnya dijongket-jongket ke atas. Saja mahu mengusik Iman.
Iman cebir bibir.
“Abang, kalau nak tahu... orang kampung memancing, mereka biasa guna umpan asli. Pernah tengok tak?”
“Oo... ya, ke? Umpan apa tu?” Ajad nampak teruja. Seronok sangat bila Iman mesra macam sekarang ni. Selalunya asyik marah-marah saja.
“Tadah tangan.” Suruh Iman. Senyuman senget sudah bermain di bibirnya. Seronok betul dapat kenakan Ajad. Laju tangan Iman menarik sesuatu dari tempurung kelapa yang diisi dengan tanah di dalamnya.
Tanpa mengesyaki apa-apa, laju juga Ajad menadah tangannya. Saat itu juga Iman meletakkan sesuatu di tapak tangan Ajad.
Tatkala melihat objek panjang berwarna pink yang bergerak-gerak di atas telapak tangannya itu, muka Ajad terus bertukar menjadi pucat.
“Arrghhh!!”
Spontan dia mencampakkan objek yang berada di tapak tangannya itu ke tanah. Pucat lesi muka Ajad. Masih jelas terasa benda berwarna pink itu bergerak-gerak di atas tangannya. Geli!
Iman sudah ketawa mengekek-ngekek . Sampai terduduk-duduk dia di atas tanah. Lucu benar melihat wajah pucat Ajad yang langsung tidak berdarah itu. Nama saja jantan. Otot ketul-ketul. Tapi dengan cacing pun takut!
Ajad merenung Iman dengan tajam. Tiba-tiba saja hati menggelegak marah. Geramnya kepada Iman datang bertimpa-timpa.
“Apa yang kelakar, hah? Kau ingat lucu sangat ke?” Tengking Ajad kuat. Matanya mencerlung tajam kepada Iman. Turun naik nafasnya menahan marah.
Terus tawa Iman mati. Mata menyorot tepat pada muka Ajad yang sudah menyinga itu. Lebih garang dari singa lapar.
Gulp!
 Liur yang ditelan terasa payau. Wajah menyinga Ajad betul-betul membelit usus kecilnya kini. Laju juga mukanya tunduk menekur tanah. Takut nak pandang muka Ajad lama-lama.
“Kau rasa kelakar sangat ke, kenakan orang macam tu? Apa yang kau dapat? Seronok? Kepuasan? Aku betul-betul kecewa dengan kau!” Marah Ajad lagi. Kaki terus diayun laju meninggalkan Iman yang terkedu di situ.
Okey! Nampaknya Ajad betul-betul marah.
Iman pandang Ajad yang berlalu laju dari situ dengan pandangan keliru. ‘Melampau sangat ke aku tadi?’ Hati mula berbisik sendiri. Tiba-tiba saja perasaan sesal datang bertamu di hatinya. Rasa bersalah pula merosakkan petang mereka yang indah itu. Sudahnya, Iman termenung di tepi sungai seorang diri.

IMAN ralit mencuci pinggan di sinki. Dari tadi dia memang rajin terlebih di dapur. Naik berkerut juga kening Mak Su Normah melihatnya. Pelik! Tidak pernah-pernah pula Iman rajin macam malam ni. Macam ada yang tidak kena saja! Tambahan pula, dari tadi lagi Mak Su Normah tidak nampak kelibat Ajad di mana-mana. Keluar makan malam pun tidak. Tentu ada sesuatu yang sudah berlaku.
“Iman?” panggil Mak Su Normah perlahan. Mata ditalakan tepat kepada Iman.
Tingkah Iman mati, tapi tidak pula dia menyahut panggilan mak sunya. Berpaling pun tidak. Dia diam seribu bahasa. Tak cakap pun dia tahu. Mak Su Normah mesti nak bertanyakan tentang Ajad.
Lima saat, Mak Su Normah masih diam. Iman sambung kerjanya menyental pinggan. Buat-buat tidak tahu saja kewujudan Mak Su Normah di situ. Bukan dia tidak tahu mulut mak sunya. Kalaulah Mak Su Normah tahu kenapa Ajad marah dan merajuk, tentu berasap telinga Iman kena bakar dengan Mak Su Normah. Kalau dengan Wan Bedah pula, mahunya rentung!
“Kamu dengan tak mak su panggil ni?”
Tu, dia! Suara Mak Su Normah sudah naik satu level.
Iman tarik nafas panjang-panjang. Perlahan-lahan nafas dilepaskan. Tangan masih ralit menyental pinggan dengan sabun. Allah! Baru satu level suara Mak Su Normah naik. Boleh lepak-lepak lagi.
“Imannnnn!!!”
 Kali ini, macam petir meyambar telinga. Terus Iman pusingkan tubuhnya mengadap Mak Su Normah. Dia nampak muka cemberut mak sunya. Tengah anginlah tu!
“Hee... ada apa mak su?” Tersengih-sengih Iman, cuba mengawal debaran di dada. Mahunya, tak berdebar. Tu, dia! Mata Mak Su Normah dah macam bola api. Tepat-tepat saja pandang mata dia.
“Kamu tak dengar ke mak su panggil dari tadi?” panjang muncung Mak Su Normah.
“Dengar. Orang dah tunggu mak su bersuara, tapi senyap aje. Itu yang orang sambung balik cuci pinggan.” Iman menjawap. Saja buat muka macam orang tak bersalah. Tapi dalam hati, Allah saja tahu apa yang dia rasa. Takut!
“Hah! Itulah alasannya. Kalau tak menjawap tak, sah!” Makin bulat mata Mak Su Normah.
Gulp!
Iman telan liur. ‘Hish, menjawap salah! Tak jawap pun salah! Habis tu nak buat apa?’ Hati mengomel sendiri. Mata tunduk pandang tangan yang penuh dengan buih sabun. Nak pandang biji mata Mak Su Normah, memang tak berani dah.
“Ni, kenapa rajin sangat malam ni? Mana laki kamu? Mak su tak nampak pun dia dekat meja makan tadi.” Suara Mak Su Normah kedengaran keras.
Dada Iman sudah gedebuk-gedebak. Macam kena palu dengan batang kayu. Kenapalah semua orang ambil berat pasal Ajad ni? Istimewa sangat ke dia tu?
“Err... Ada mak su. Emm, abang Ajad tidur tadi. Iman tak sampai hati pulak nak kejutkan dia. Hee...” Iman tayang gigi. Berpeluh juga dahinya nak menjawap.
Iman nampak Mak Su Normah kerut kening. Mata tajam saja menyorot pada mukanya. ‘Sudah! Matilah aku. Itu macam muka tak puas hati tu.’ Hati berbisik resah.
“Cuba kalau bercakap tu jangan nak menipu! Tidur apa waktu-waktu macam ni? Mak su nampak Ajad dekat pondok depan rumah tu tadi! Tidur apa macam tu? Kamu dah buat apa ni? Tak pernah-pernah budak Ajad tu merajuk sebelum ni.”
Iman tunduk. Tidak tahu mahu menjawap apa. Kalau dia cakap perkara yang sebenar, memang matilah dia kena gulai dengan Mak Su Normah.
“Orang tak buat apa-apalah mak su. Agaknya dia teringatkan rumah dia, tak? Yalah, rumah kita ni mana nak selesa sangat.” Iman cipta alasan. Logik tak logik itu belakang kira.
“Kamu jangan nak bagi alasan. Mak su tahu kamu dah buli dia kan? kamu buat apa Iman?”
“Mak su ni, main tuduh-tuduh pulak! Manalah orang berani nak buli Abang Ajad tu. Cuba mak su tengok badan dia dengan badan orang. Mana lagi besar?” Iman masih mahu membela diri.
Mak Su Normah terdiam. Tapi mata masih tidak lepas dari merenung Iman. Lama. Kemudian dia tarik nafas dalam-dalam. Bahu Iman disentuh lembut. Mata yang buntang tadi berubah menjadi redup.
“Iman... Jadilah isteri yang taat! Suka ataupun tidak, Iman kena terima Ajad. Kena sayang dia. Kena hormat dia. Kena patuh pada dia... Sebab sekarang ni, dia sudah sah menjadi suami Iman. Kalau ada buat salah, cepat-cepat minta ampun. Kena ingat tu! Syurga Iman sekarang di bawah tapak kaki suami. Lepas ni, Iman pandai-pandailah jaga diri dekat rumah Nenda Faridah. Mak su dah tak kerja dekat situ lagi.” Mak Su Normah tersenyum kelat. Sekali lagi nafas disedut dalam.
“Kenapa mak su?” Iman kerut dahi.
“Sebab mak su nak jaga wan. Sekarang Iman dah kahwin. Tanggungjawab mak su dah lepas. Sekarang mak su cuma nak temankan wan di kampung. Tolong wan dekat kebun pisang tu.” Terang Mak su Normah sambil tersenyum nipis.
Iman tunduk. Mata merenung tangan yang sudah kering buih sabunnya. Entah kenapa hati terasa berat pula.
“Mak su, kalau Iman nak duduk sini juga, boleh?” Bersungguh Iman renung mata Mak Su Normah. Harap sangat Mak Su Normah bersetuju.
“Ish, kamu dah ada suami. Tempat seorang isteri di sisi suami. Jangan nak buat hal!” Kali ini suara Mak Su Normah tegas semula.
Iman kemam bibir. Lambat-lambat dia tersenyum kelat.
‘Iman! Mak su yakin, lepas ni semua akan menjadi baik semula. Tunggulah saat yang sesuai.’ Hati Mak Su Normah berbisik yakin. Sekali lagi bahu Iman diusap mesra.

TERBIAS BENCI TERSIRAT RINDU - BAB 21

BAB 21


KOKOK ayam jantan mula kedengaran, sayup-sayup di hujung telinga. Iman menggeliat seketika. Mata masih lagi terpejam rapat. Masih bersisa kantuknya. Dingin subuh yang begitu mencengkam kulit itu juga membuatkan Iman berasa liat untuk bangun.
Sekali lagi dia mengeliat. Tapi kali ini tingkahnya terus mati. Tangan kekar yang tiba-tiba saja mendarat di pinggangnya itu terus menyentak jantungnya. Rasa macam gugur terus. Spontan matanya terbuka. Luas.
Wajah lelaki yang sedang lena di sebelahnya itu Iman renung tak berkelip. Berdebar-debar rasa dadanya. ‘Macam mana dia boleh tidur dekat sebelah aku ni?’ Naik berkerut dahi Iman. Otaknya dipaksa bekerja keras untuk mencari jawapan.
“Adeh!”
Iman tepuk dahi sendiri apabila peristiwa malam tadi mula menjengah kotak memori. Tidak semena-menanya muka dia terasa berbahang. Ajad yang masih lena itu direnung lama. Macam tak percaya dia sudah pun berkahwin. Dada bidang Ajad yang tidak berbaju itu nampak berombak lembut. Tanpa sedar Iman tersenyum sendiri.
Ajad nampak saja pada luarannya gila-gila, kasar dan menjengkelkan. Siapa sangka, disebalik perangai gila-gilanya itu, terselit segunung kelembutan dan selaut kemesraan. Entah kenapa dia berasa seolah-olah pintu hatinya mula diketuk perlahan-lahan. Perasaan halus mula berputik buat lelaki yang berada di sampingnya kini.
Iman menarik nafas, dalam. Dengan penuh berhati-hati Iman angkat tangan Ajad dari pinggangnya. Bimbang kalau-kalau Ajad terjaga dari lena. Kaki mula mencecah lantai, diayun perlahan ke arah kain tuala yang tersidai di penyidai kayu. Dia mahu segera ke bilik air untuk bersihkan badan dan bersolat subuh.

AJAD masih bermalas-malas di atas katil. Mata ralit memandang ke arah Iman yang sedang membelakanginya. Leka mengirai rambut. Masih ada lagi juntaian air dihujung rambutnya. Ajad tersenyum, bahagia.
“Iman...” Panggil Ajad perlahan.
 Tingkah Iman mati. Tubuh dipalingkan kepada Ajad. Menyorot sejenak wajah kacak bermata sepet itu.
Thanks untuk malam tadi.” Ajad tersenyum lebar. Bahagia yang amat! Terus pipi Iman menjadi merah. Darah rasa berlumba-lumba menyerbu ke mukanya. Ish, Ajad ni! Kenapa nak berterima kasih pula?
“Kau jangan sebut boleh tak?”
 Bentak Iman geram. Tubuh dipusingkan semula membelakangi Ajad. Berdebar-debar rasa dadanya. Malu! Tak sangka, akhirnya dia menyerah juga kepada Ajad.
“Kenapa, kau malu?”
Ajad ketawa kecil. Tahu sangat Iman sedang malu sekarang ini. Tengok pipi Iman yang sudah bertukar rona itupun, Ajad sudah tahu.
“Err...” Iman mati kata. Diam sejenak.
“Sayang... Jangan lupa nanti taruk bedak banyak-banyak dekat leher tu.” Suara Ajad sudah betul-betul di belakang Iman. Terus jantung Iman berlari laju.
“Kenapa?”
Iman masih belum pandang Ajad di belakangnya. Masih segan dengan apa yang mereka kongsikan malam tadi.
Sebab ada tanda cinta dekat situ.” Jawap Ajad selamba. Sekali lagi dia ketawa.
“Hah?”
 Kelam-kabut Iman barlari ke arah cermin. Saat matanya menyorot bayang sindiri di cermin, bulat terus mata Iman.
 “Ajadddd!”
Jerit Iman kuat.
 Iman dengar Ajad sudah ketawa dari muka pintu bilik. Tuala berwarna biru lembut sudah tersangkut di bahunya. Mungkin dia mahu ke bilik air. Maklumlah, rumah kampung bilik airnya di luar bilik.
 “Itu tanda cinta dari aku, sayang.” Ucap Ajad bersama tawa yang masih galak.
“Ish, benci!” Iman hentak kaki berkali-kali.

SUASANA di meja makan kayu diruangan dapur rumah Wan Bedah, sepi. Baik Iman, Ajad, Mak Su Normah mahupun Wan Bedah, masing-masing sedang tekun menjamah sarapan pagi. Sepatah kata pun tidak terbit dari mulut meraka.
Iman terus menyuap makanan ke mulut. Dari ekor mata dia tahu Mak Su Normah sedang merenungnya. Lama. Iman buat tidak nampak saja. Dalam hati dia sudah dapat mengagak kenapa Mak Su Normah merenung dia macam tu.
Lima minit berlalu, Mak Su Normah masih pandang Iman dengan pandangn yang pelik. Siap dengan pakej kening berkerut.
“Mimpi apa pulak bertudung dalam rumah ni? Selalunya tak pernah pun?” tebak Mak Su Normah.
Muka Iman terus terasa panas. Malu yang amat.
Saja!” jawap Iman dengan muka yang semakin berbahang. Malu weh, bila Mak Su Normah dah senyum semacam dua macam pada dia.
 Iman dengar Ajad ketawa kecil di sebelahnya. ‘Ish, kurang asam! Ni, semua kau punya pasal tau tak! Boleh pulak kau gelak erk?’ Iman menjeling Ajad. Geram!
“Kau kenapa ketawa? Sakit jiwa?” Bentak Iman geram. Sakit pula rasa hatinya melihat Ajad gelak beria. Kalau bukan sebab Ajad, tak adanya dia kena berbungkus begitu di dalam rumah.
“Iman!”
Suara Wan Bedah tegas. Mata sudah merenung tajam kepada Iman. Terus Iman tertunduk. Ajad juga sudah diam tidak berkutik. Siapa yang berani mencelah bila Wan Bedah tengah serius? Memang tak adalah!
“Kenapa dengan kamu ni? Siapa ajar panggil suami macam tu? Bercakap dengan suami tu biar beradab sikit!” marah Wan Bedah. Terus Iman rasa mukanya tebal empat belas inci. Mulut Wan Bedah memang bisa. Kalau hendak menegur memang tak ada bertampis dah. Main menonong saja, tidak kira tempat.
Ajad mengerling sekilas kepada Iman yang sedang tunduk menekur meja itu. Dia tahu pasti Iman terpukul dengan teguran kasar dari Wan Bedah tadi. Kesian pula Ajad rasa bila tengok Iman macam tu. Ajad pandang muka Mak Su Normah. Dia nampak Mak Su Normah memberikan isyarat mata kepadanya. Ajad tersenyum nipis.
“Wan, janganlah marah Iman macam tu. Ajad tak kisah Iman nak panggil Ajad apa pun. Lagipun kami memang baru kenal. Mungkin Iman kekok lagi nak menyesuaikan diri.” Bela Ajad. Dia tidak tahu kenapa, perasaan ingin melindungi Iman dari dulu memang kuat. Dari pertama kali mereka bertemu lagi.
“Kamu jangan nak bela dia! Budak Iman ni, memang perangai macam ni!” Bentak Wan Bedah lagi. Geram pada Iman masih lagi bersisa. Mana tidaknya, dah jadi isteri orang pun, perangai tak nak berubah lagi. Tetap kasar dan keras kepala.
“Wan, ni! Suka sangat marah-marah macam tu. Nanti cepat tua, tau tak?” Iman cebir bibir. Macam biasalah, kalau tidak menjawap memang tidak sah! Tadi bukan main lagi takut. Bila sudah dibela oleh suami sendiri, mulalah naik toncang.
“Aku memang dah tua pun!” Wan Bedah geram. Matanya dicerlung tajam kepada Iman. Tak habis-habis nak menjawap.
“Oo... errk?” Iman ketawa kecil. Mak Su Normah dengan Ajad pun ketawa sama. Geli hati pula mereka tengok muka cemberut Wan Bedah.
“Eee... geramnya aku dengan budak sorang ni!” Wan Bedah sudah bangun.
“Tak nakkkkk...” Iman sudah berlari macam lipas kudung meninggalkan ruang dapur. Bukan dia tidak tahu. Wan Bedah mesti hendak pulas telinga dia  macam selalu.
Makin kuat pula ketawa Mak Su Normah dan Ajad bergema.
Wan Bedah juga tergelak sama.
“Tahu takut!”

IMAN duduk bergayut kaki di atas pondok kayu di halaman rumah. Matahari mula bersinar garang.  Sejak tadi lagi dia duduk sendirian di situ. Macam-macam perkara yang bermain di fikirannya. Macam-macam persoalan yang berlegar di benak fikirannya. Tak terjangkau langsung dek akal.
“Hai, jauh termenung?”
“Makkkk...”
Iman terjerit kecil. Tangannya laju menyentuh dada. Rasa macam nak tertanggal jantungnya. Tengah syok-syok berangan, tiba-tiba disergah begitu. Memang terkejut beruklah dia!
Sorry... sorry...” Ajad tayang sengih. Jelas menampakkan gigi putihnya yang tersusun rapi. Matanya yang sedia ada sepet, nampak makin sepet. Tapi, kacak tu memang tak boleh lari dah!
“Hmm... Suka sangat muncul macam tu. Cuba bagi salam baik-baik. Dapat juga pahala!” Tebak Iman geram. Matanya merenung tajam kepada Ajad. ‘Ingat senyuman dia tu boleh cairkan hati aku ke?’ Bentak hati Iman, geram. Tapi... Memang dah cair pun... errk...!
Ajad senyum lagi. Punggung dilabuhkan disebelah Iman. Betul-betul rapat dengan Iman, sampaikan Iman boleh rasa hangatnya haba dari tubuh Ajad. Tak semena-mena jantungnya yang baru mahu bertenang itu menggelupur semula.
Perasaan juga rasa terbuai-buai apabila rongga hidungnya mula menyedut aroma wangian yang terbit dari tubuh Ajad itu. ‘Aduhai, dia pakai minyak wangi apa ni erk? Rasa macam di awan-awangan dah aku ni!’ hati Iman berbisik tanpa sedar.
“Sayang, buat apa dekat sini?” Pinggang Iman dirangkul erat olah Ajad dari tepi.
Bushh!
Iman rasa darah merah serta merta menyimbah penuh ke mukanya. Panas sejuk, panas sejuk saja rasa mukanya. Tangan kekar Ajad yang mendarat di pinggangnya tanpa sebarang notis itu memang boleh buat dia diserang strok secara mengejut.
“Apa pegang-pegang ni?” Iman cuba tepis tangan Ajad. Malu!
“Dah, halal!”
Ajad ketawa kecil. Tangan masih utuh di pinggang Iman. Rasa bahagia yang amat. Walaupun pernikahan di antara dia dengan Iman terjadi begitu pantas, namun perasaan cinta dan sayangnya kepada Iman benar-benar dalam. Macam sudah bertahun-tahun kenal.
 Susah hendak diterangkan dengan kata-kata. Memanglah kalau ikutkan akal logik, macam tak munasabah langsung! Tapi, perasaan cinta itu kan milik Allah. Kalau DIA nak bagi, bila-bila masa pun boleh. Macam itulah halnya dengan kisah Ajad ini. Perasaan sayang kepada Iman itu tumbuh dengan tiba-tiba saja.
“Kau ni, suka ambil kesempatan, kan?” Selar Iman, geram.
Ajad tergelak-gelak. Malas mahu melayan amarah Iman. Dia tahu, Iman marah-marah manja saja tu. Kalau betul-betul marah, mesti Iman dah lari dah. Bukan dia tidak tahu perangai Iman. Biarpun baru kenal, perangai Iman itu sedikit sebanyak sudah terakam kemas dalam otaknya.
“Kau, lagi? Tak serik kena marah dengan wan tadi?” Tanya Ajad lembut.
Okey! Ini satu lagi yang Iman pelik. Semenjak Iman sah bergelar isteri kepada Tengku Amjad Kamil semalam, cara bercakap lelaki ini pun sudah lain benar. Lembut dan mesra. Memang jauh berbeza dengan mula-mula mereka kenal dulu.
“Habis tu, nak kena panggil lain ke? Kalau panggil ‘kau’ dengan ‘aku’ aje tak boleh ke?” Iman kerut dahi. Mata tunak merenung Ajad. ‘Nak kena panggil abang ke? Takkan lah!’
Good question!” Ajad mencuit hidung Iman. Matanya bersinar galak merenung anak mata Iman.
“Aku akan panggil kau baby... kau...”
“Tak nak! Aku tak suka kau panggil aku baby!” Potong Iman, laju. Muncungnya sudah panjang sedepa. Dia memang tak suka Ajad panggil dia baby. Tak semena-mena muka pacat betina itu muncul di ruang matanya, setiap kali Ajad panggil dia dengan panggilan itu.
Ajad diam sejenak. Dahi berkerut macam orang tengah berfikir.
“Alah! Panggil kau dengan aku ajelah!” Iman masih membantah.
Nope! Tak romantik langsung. Okey, sebab kau tak suka akau panggil kau baby, aku akan panggil kau sayang. Aku pernah dengar ustaz cakap, sunat panggil yang baik-baik untuk pasangan kita. Dari situlah boleh wujudnya kemesraan. So, aku panggil kau sayang dan kau akan panggil aku... abang,” putus Ajad.
“Hah? Abang?” Iman tayang muka pelik. Muka tak setujulah tu.
“Yup! Abang. .A.B.A.N.G... Muktamad!” Ajad kemaskan lagi pelukannya di pinggang Iman. Muka Iman merah lagi. Malu... malu... dan malu!
“Tapi, aku...”
“Muktamad! Kalau abang dengar lagi sayang sebut aku ataupun kau lepas ni, sayang kena denda.” Ajad tersenyum nakal.
Iman kerut dahi. ‘Adehhh... macam payah aje nak sebut ni. Macam berbelit aje lidah ni nak menyebut.’ Hati Iman merunggut sendiri.
“Aku...”
Cup!
Belumpun sempat Iman habiskan kata-katanya, bibir Ajad sudah mendarat tepat pada pipinya. Terus Iman terjeda. Mata terkebil-kebil pandang Ajad.
“Denda sebab sayang degil!” Ajad kenyit mata sambil tersenyum manis.
Iman terus kejang. Hanya jantungnya saja yang terasa melantun-lantun tanpa irama.