Monday, 29 February 2016

MY SOULMATE - BAB 9



“Terima kasih Encik Taufik kerana tolong saya jelaskan keadaan tadi….” Ayuni memulakan bicara setelah sekian lama mereka menyepi di dalam lif untuk menuju ke bahagian pemasaran yang berada di tingkat lima.
 It’s my pleasure.  I’ll do anything for you  jawab Taufik sambil melemparkan senyuman kepada Ayuni. 
Kata-kata Taufik agak memeranjatkan Ayuni tetapi dia berlagak selamba seolah-olah tidak mendengar kata-kata Taufik. 
            Sesampainya mereka di bahagian pemasaran, Taufik terus memperkenalkan Ayuni kepada semua staf seorang demi seorang.  Pelbagai reaksi yang dapat Ayuni lihat apabila dirinya diperkenalkan sebagai pembantu akauntan di situ.  Ada yang nampak gembira tidak kurang juga yang seolah-olah iri hati terhadapnya.  Mungkin merasakan Ayuni terlalu muda untuk jawatan itu. 
Ah! Mungkin itu hanya perasaan aku. 
Dia sedar, dia tidak boleh berprasangka buruk dan perlu sentiasa berfikiran positif kerana dengan sentiasa bersangka buruk, akan membunuh cita-citanya kerana ia adalah penyakit hati yang paling dasyat dan jika tidak dibendung boleh mematikan hati.  Itulah nasihat orang tuanya yang sentiasa dipegangnya sehingga kini. 
“Ayuni, saya kenalkan, ni dia Encik Shah Iskandar, akauntan Menara Holding.  Very experience person and you’re so lucky to be his assistant.  We hope you can be a good an account assistant and  please  work harder dear….” sekali lagi Ayuni tersentak apabila Taufik memanggilnya ‘dear’ di hadapan ketua barunya itu. 
Kali ini bukan sahaja Ayuni yang terkejut, ketua barunya, Encik Shah Iskandar juga kelihatan terkejut tetapi segera buat tidak tahu apabila Taufik mengangkat kening kepadanya.
            “Ok..Mr. Shah.  I leave her with you. Please explain to Ayuni her works scope”, pesan Taufik sebelum meninggalkan Ayuni. 
Sebelum pergi, Taufik sempat berbisik pada Shah,
“Kau jaga dia baik-baik.  Jangan bagi dia stress.  Jangan cuba nak tackle dia.  She’s mine” . 
Taufik berlalu pergi setelah mengenyitkan mata kepada Ayuni.  Tindakan Taufik yang selamba itu, benar-benar buat Ayuni bingung.  Kenapa Taufik harus buat sesuatu yang membuat staf lain menyangka mereka seolah-olah ada hubungan?  Dari tindakan-tindakan Taufik tadi, Ayuni merasakan seolah-olah Taufik ingin memberitahu semua staf bahawa dirinya milik Taufik, sedangkan Ayuni sendiri tidak tahu apa-apa. 
Ah! Bencinya berada di dalam situasi begini. 
Ayuni merasakan Taufik sewenang-wenangnya melayannya begitu, tetapi bila mengenangkan Taufiklah yang menyelamatkannya dari hampir kehilangan jawatan barunya itu, dia menyabarkan diri.
 “Ok..Ayuni, mari ikut saya.  Saya tunjukkan bilik awak” Shah Iskandar memberikan arahan pertama selaku ketua Ayuni. 
Ayuni yang seolah-olah baru tersedar dari lamunan yang panjang, segera mengangguk dan mengikut ketuanya itu pergi. 
“Ini dia bilik kita”, Shah menunjukkan bilik pejabat Ayuni.
 “Kenapa?  Awak terperanjat kita sebilik?”, tanya Shah Iskandar apabila menyedari perubahan riak wajah Ayuni.
 “Ayuni, memang akauntan dan asisstantnya kena duduk sebilik.  Awak jangan risau, memang sesiapa yang mendapat jawatan ini, tak kira lelaki atau pun perempuan, memang kena duduk sebilik dengan saya.  Lagipun, awak tak perlu risau sebab kita dipisahkan oleh partition.   So, ini meja awak dan di sebalik partition ni bilik saya.” Jelas Shah sambil tersenyum bila melihat wajah Ayuni yang tidak habis-habis berkerut sejak mula ditunjukkan tempat duduknya. 
Very typical malay woman.  Patutlah Taufik gilakannya!  Getus hati Shah Iskandar.
            Ayuni mengambil tempat di ruang kerja barunya.  Dia membelek-belek seketika apa yang ada di ruang kerjanya itu.  Sedang dia leka membelek-belek dokumen yang ada di atas mejanya, telefon di meja Ayuni berdering.  Ayuni membiarkan seketika telefon itu terus berdering.  Aku nak kena angkat ke?  Apa aku nak cakap?
“Ayuni..please pick up the phone” Shah menjengah keluar dari biliknya apabila dilihatnya Ayuni tidak menjawab panggilan telefon di hadapan matanya itu. 
“B…baik Encik Shah”, Ayuni terperanjat apabila ditegur ketuanya. 
“Assalamualaikum…Ayuni Zara dari bahagian pemasaran.  Ada apa-apa boleh saya bantu?” akhirnya Ayuni menjawab.
 “Waalaikumsalam w.b.t…hmm…cik ni staf baru di sini ke? Sebab sebelum ni saya tak pernah dengar pun nama Ayuni Zara.  Sedap nama tu.” tanya suara di hujung talian itu. 
“Ya encik…saya staf baru di sini.  Hari ni hari pertama saya bekerja di sini.  Boleh saya tahu siapa di sana?  Apa yang boleh saya bantu?” tanya Ayuni jujur tanpa mengesyaki apa-apa. 
“Memang saya perlukan bantuan.  Saya dengar ada pembantu akauntan yang baru masuk.  Saya nak berkenalan dengan dia.  Saya nak minta tolong cik Ayuni beritahu pembantu akauntan yang baru tu yang saya nak ajak dia keluar lunch.  Kalau tak silap saya, dia pun baru mula bertugas di situ hari ini….” kedengaran suara itu ketawa kecil. 
Pembantu akauntan?  Siapa lagi pembantu akauntan?  Ada pembantu akauntan yang lain ke selain dari aku?  Ayuni mula merasakan dirinya dipermainkan.
 “Maaf encik…saya rasa tiada pembantu akauntan yang lain selain dari saya di department ni”  jelas Ayuni. 
“Ooo…ye ke?  Kalau macam tu, Cik Ayuni nilah orang yang dimaksudkan.  Nampaknya saya tak salah call lah ye?” tanya lelaki itu masih terus ketawa.  Taufikkah itu?  Dari cara ketawanya, Ayuni pasti dia tidak silap dengar.
 “Encik Taufik ke tu?” tanya Ayuni inginkan kepastian.  Ayuni terperanjat kerana mendengar gelak ketawa yang lebih besar.
 “Awak ni memang pandailah Ayuni.  Tak sempat saya nak berlakon lama, awak dah cam saya” balas Taufik. 
Hishh…apahal dia ni tak habis-habis nak mengusik aku?  Apa dah tak ada kerja lain lagi ke atau memang begini cara bekerja di Menara Holding?  Ayuni benar-benar rimas
 “Oklah..straight to the point.  Saya nak ajak awak lunch dengan saya” jelas Taufik selepas ketawanya reda. 
“Maafkan saya Encik Taufik, tapi saya banyak kerja.  Baru aje dapat tugas dari Encik Shah.  Lagipun, saya masih tak lapar lagi” bohong Ayuni. 
Banyak tugas?  Setakat ni dia belum dapat apa-apa tugas dari ketuanya selain diminta menyemak beberapa dokumen.  Dia malas hendak  melayan Taufik yang dilihatnya semakin menjadi-jadi. 
“Ye ke awak banyak kerja?  Banyak sangat kerja sampai sempat belek-belek handphone ye?” soal Taufik kembali.   
Ayuni pelik bagaimana Taufik tahu yang dia sedang membelek-belek handphonenya tadi?
Dia pasang spy ke?  Atau dia sedang observe aku guna CCTV? 
Ayuni meninjau-ninjau di sekitar pejabatnya.  Manalah tau, kalau-kalau Taufik ada di situ.  Tiba-tiba Ayuni merasakan degupan jantungnya seolah-olah terhenti.  Dia terpaku apabila melihat Taufik terjongol keluar dari bilik ketuanya, Shah Iskandar.   
Bila masa dia masuk bilik Encik Shah?  Macam mana dia boleh tidak nampak Taufik masuk ke bilik ketuanya sedangkan dia 24 jam duduk di mejanya kecuali dia pergi ke tandas sebentar hampir setengah jam yang lalu.  Taufik ada ilmu halimunankah?
            Ayuni baru tersedar.  Dia telah pergi ke tandas tadi.  Hampir sepuluh minit dia berada di tandas kerana perutnya tiba-tiba dirasakan memulas. 
Agaknya masa aku ke tandas tadi, dia datang ke sini.  Maknanya Taufik sudah berada hampir setengah jam di bilik Encik Shah Iskandar. 
Apa yang dibuatnya lama-lama di bilik Encik Shah?  Gumam Ayuni.  Dia mengintip aku kah? 
“Hishh…serabutlah mamat ni.  Kenapa dia pulak sibuk nak check aku.  Encik Hisyam yang CEO tu pun tak sibuk nak pantau aku” omel Ayuni di dalam hati. 
“Ok Ayuni…shall we go?” tanya Taufik selamba tanpa mempedulikan keengganan Ayuni. 
Don’t worry.  Now is lunch hour.  Encik Shah pinjamkan saya Ayuni sebentar ye?” Taufik seolah-olah memahami keresahan Ayuni lalu meminta kebenaran kepada Shah. 
Ketuanya itu hanya tersenyum dan mengangguk tanda dia mengizinkan.  Dalam keadaan penuh keterpaksaan, Ayuni melangkah menuruti Taufik.  Shah Iskandar sempat melemparkan senyuman.  Ayuni sukar mentafsirkan maksud senyuman ketuanya itu. 
Nasib kaulah Ayuni! Bisik hati Shah Iskandar

MY SOULMATE - BAB 8



“Ayuni…tunggu!” Taufik menarik tangan Ayuni apabila gadis itu bergegas ingin keluar dari bilik Hisyam. 
Ayuni merentap tangannya dari genggaman Taufik.  Bulat matanya memandang Taufik.  Rasa ingin ditampar saja lelaki itu kerana berani menyentuhnya. 
Hisyam hanya terpaku memandang insiden yang tidak disangka-sangkanya itu.  Jauh di sudut hatinya, dia rasa agak menyesal kerana meluahkan kata-kata sekeras itu kepada Ayuni.  Memang sejak awal lagi dia sama sekali tidak berminat untuk memilih Ayuni untuk menjawat jawatan itu, tetapi setelah Taufik mengugut untuk meletak jawatan sekiranya Ayuni tidak diterima, akhirnya dia akur. 
Pada awalnya, dia memang tidak berniat untuk mengeluarkan kata-kata keras itu kepada Ayuni kerana dia telah berjanji kepada Taufik untuk merahsiakannya tetapi apabila melihat Ayuni pertama kali pagi tadi, hatinya tiba-tiba jadi geram.  Dia geram kerana gadis itu, rakan baik dan juga pembantunya itu sanggup untuk berhenti kerja.  Apa istiewanya gadis itu sehingga kariernya dijadikan taruhan?
 “Ayuni…dengar sini!  Tiada siapa yang menyuruh atau mengarahkan Encik Hisyam untuk mengambil awak bekerja.  Awak memang telah dipilih.  Awak telah dipilih sendiri oleh pengerusi Menara Holding, Datuk Bakri.  Kalau awak tak percaya, ini buktinya” jelas Taufik sambil menunjukkan surat yang dimaksudkannya itu. 
Langkah Ayuni terhenti.  Segera diambilnya surat di tangan Taufik lalu membacanya.  Riak wajah Ayuni segera berubah usai membaca surat yang bertandatangan pengerusi Menara Holding. 
Jadi  kenapa bos barunya itu berkata begitu? 
Ayuni segera memandang wajah Hisyam inginkan kepastian setelah yakin akan isi kandungan surat yang telah dibacanya itu.  Hisyam segera memalingkan wajahnya membelakangkan Ayuni.  Suasana sepi seketika.  Hisyam seolah-olah sedang berfikir.  Beberapa detik kemudian, Hisyam memusingkan badannya semula menghadap Ayuni dan Taufik.
 “Maafkan saya…memang betul awak telah dipilih oleh pengerusi sendiri.  Baiklah, awak boleh memulakan tugas awak sekarang.  Zura, awak tolong bawa Ayuni ke bahagian pemasaran dan kenalkan kepada staf-staf di situ.  Awak boleh pergi sekarang”, arah Hisyam kepada setiausahnya sambil menekan butang interkom.
  “Err..takpe Encik Hisyam.  Saya boleh tolong bawa Ayuni ke bahagian marketing’ Taufik menawarkan diri untuk membantu. 
“Mari Ayuni” Taufik terus menggamit Ayuni pergi tanpa mendengar jawapan Hisyam. 
Dia ingin segera melarikan Ayuni dari hadapan mata Hisyam sebelum fikiran Hisyam kembali berubah.  Taufik tahu, Hisyam memang tidak bersetuju dengan tindakannya dan kerana itu, dia sanggup menghadap Datuk Bakri untuk meminta sokongan pengerusi dan menandatangani surat tawaran kerja kepada Ayuni.  Datuk Bakri tidak membantah permintaan Taufik kerana dia juga berpendapat Ayunilah yang paling layak menjawat jawatan itu.
 It’s ok Zura.  Let me introduce Ayuni to marketing staff”jelas Taufik apabila dilihatnya Zura terpinga-pinga kebingungan antara arahan bosnya dan Taufik.  
Mereka berjalan beriringan menuju ke arah lif meninggalkan Zura yang masih bingung dengan apa yang berlaku di hadapan matanya.  Staf-staf yang lain memandang mereka dengan suatu pandangan yang pelik tetapi Taufik buat tidak tahu.
Hati Ayuni agak terluka dengan kata-kata Hisyam yang agak sinis kepadanya tadi.  Ternyatalah, bosnya itu memang membencinya.  Dari kata-katanya tadi, memang dia bukanlah calon yang sesuai untuk menjawat jawatan sebagai pembantu akauntan itu atau dengan perkataan mudahnya dia bukanlah ‘calon pilihan’ bosnya kerana sejak awal lagi dia sudah dicop sebagai seorang penipu.
Ayuni terfikir, bolehkah dia berkhidmat dengan baik di sini kelak jika beginilah keadaannya?  Apa yang harus dilakukan untuk memulihkan imejnya di mata bos barunya itu?  Sebagai manusia biasa, adalah mustahil jika dia dapat menghindari perasaan sedih dan marah apabila dibenci oleh bos sendiri.
Namun, untuk menolak jawatan yang telah menjadi minat dan cita-citanya selama ini, adalah mustahil.  Apatah lagi ditawarkan berkhidmat di sebuah syarikat yang cukup gah itu.  Tambahan lagi, dia sudah cukup muak menjadi penganggur.  Sampai bila dia harus berkeadaan begini sedangkan dia sudah berazam untuk membantu keluarganya di kampung sebaik sahaja dia menamatkan pengajiannya dahulu, tetapi ternyata hampir setahun setelah dia menamatkan pengajiannya, hidupnya masih terumbang ambing tanpa arah.  Dan kini, peluang sudah terbentang di depan mata.  Adakah perlu dipersia-siakan begitu sahaja hanya kerana terpaksa melayan perasannya sendiri?  Mana yang lebih penting?  Perasaan atau masa depannya?
  Ayuni sedar, ketika ini dia harus bijak memilih!











MY SOULMATE - BAB 7



Ayuni melangkah masuk kali ke dua ke Menara Holding.  Kali pertama dahulu untuk ditemuduga tetapi berbeza untuk kali kedua, dia melangkah sebagai salah seorang kakitangan syarikat itu.  Bagaikan tidak percaya, bahawa selepas ini kehidupannya ada kaitan dengan salah sebuah syarikat mega yang tersenarai di bursa saham seperti yang diberitahu Hanis. 
Menurut Hanis, dia perlu tahu serba sedikit latar belakang syarikat, supaya jika ditanya pelanggan, dia boleh menerangkan dengan baik.  Seperti biasa, Ayuni akan singgah ke bilik air dahulu.  Bukan untuk melepaskan ‘hajat’ tetapi untuk merapikan diri dan memastikan penampilannya sesuai dengan jawatan barunya itu. 
Dengan bantuan Hanis mendulukan duitnya, dapatlah dia beberapa  pasang baju untuk ke pejabat.  Walaupun Ayuni menolak keras, tetapi Hanis tetap berdegil hendak memberi Ayuni pinjam wangnya untuk membeli pakaian yang sesuai. 
“Kau mesti buktikan yang kau memang layak dengan jawatan tu, bukan sebab hasil pertolongan orang lain, tapi memang atas kebolehan kau sendiri.  So, salah satu cara nak tonjolkan diri kau ialah dari penampilan kau” panjang lebar Hanis menerangkan bila Ayuni mempersoalkan wajarkah tindakan Hanis itu. 
“Pertolongan orang?” soal Ayuni pelik. 
“Errr…maksud aku, aku tak nak staf yang lain sangka kau dapat kerja ni sebab aku yang recommendkan” cepat-cepat Hanis menjawab setelah dia baru perasan yang dia sudah terlepas cakap. 
Huh! Nasib baik Ayuni tidak bertanya lagi.  Kalau tidak habislah rahsia antara dia dan Taufik akan terpecah.
            Ayuni terus menuju ke lif.  Sebaik sahaja pintu lif terbuka, Ayuni terus masuk dan menekan butang bernombor sepuluh.  Menurut Hanis, dia perlu pergi ke tingkat sepuluh untuk bertemu dengan setiausaha CEO syarikat terlebih dahulu untuk dibawa bertemu dengan CEO syarikat bagi melapor diri sebelum dihantar ke bahagian pemasaran.  Kedatangan Ayuni disambut oleh seorang wanita muda yang bergaya. 
 “Cik Ayuni Zara?” soal wanita itu sebaik sahaja Ayuni sampai di meja utama betul-betul berhadapan dengan pintu masuk.  Ayuni mengangguk sambil tersenyum.  Mereka bersalaman. 
“Saya Puan Zura, setiausaha kepada CEO syarikat” wanita itu mengenalkan dirinya. 
Oh! Dah bergelar puan rupa-rupanya tapi penampilannya seperti anak dara dan tiada siapa menyangka wanita itu sudah berkahwin.  Dia sendiri akan menyangka wanita itu masih bujang jika wanita itu tidak mengenalkan diri.   Dia sempat memerhatikan  penampilan wanita itu.  Sungguh bergaya.  Barulah dia mengaku akan kebenaran kata-kata Hanis. 
Mujurlah dia mengikut cadangan Hanis mengenakan seluar panjang biru gelap yang dipadankan dengan kemeja longgar berwarna biru lembut dari kain satin.  Tudung pula dia memilih yang bercorak juga berwarna biru tetapi agak gelap dari jenama Ariani.  Akhir sekali dia mengenakan blazer dan berkasut tumit tinggi warna hitam yang bertutup penuh, sesuai dengan statusnya sebagai staf sebuah syarikat mega.  Walaupun pada mulanya agak rimas, tetapi bila melihat cara berpakaian staf-staf yang lain, dia berasa lega.  Sekurang-kurangnya dia tidak dipandang rendah.  Dalam diam, dia berterima kasih pada Hanis yang telah banyak membantunya.
 “Cik Ayuni, sila ikut saya” arah Puan Zura dan terus berjalan mendahului Ayuni.  Sudah pasti ingin mengenalkannya dengan ‘Mr. CEO’.  Ayuni menarik nafas panjang.  Kini dia sudah bersedia untuk memulakan hidup barunya bersama Menara Holding.
            Yes, come in” kedengaran suara lelaki yang menyuruh masuk setelah mendengar ketukan pintu Puan Zura. 
Sebaik sahaja Ayuni dan Puan Zura melangkah masuk, langkah Ayuni terhenti.  Matanya terpaku memandang lelaki yang kini betul-betul berada di hadapannya.
 “Encik Hisyam, ini dia Cik Ayuni Zara.  Pembantu akauntan di bahagian pemasaran.  Dia datang untuk melaporkan diri” Puan Zura mengenalkan dirinya kepada lelaki itu.
 “Cik Ayuni, ini Encik Hisyam Datuk Bakri, CEO Menara Holding” sambung Puan Zura. 
Tiba-tiba sahaja, Ayuni merasakan peluh dingin mulai keluar.  Hampir sahaja dia pengsan.  Tidak disangka-sangka, rupa-rupanya lelaki muda yang menemuduganya tempoh hari adalah CEO syarikat. 
Aduh! Malunya bila mengingatkan kembali kata-kata lelaki itu apabila mengetahui dia sebenarnya tidak tahu langsung berbahasa Jepun sehingga dia digelar penipu.  Hanis pun tidak pernah beritahunya perihal CEO syarikat itu. 
“Cik Ayuni…cik Ayuni…are you ok?” pertanyaan Puan Zura serta-merta mematikan lamunannya.
  “Err…yes I’m ok.  Maafkan saya” jawab Ayuni pantas setelah menyedari kedua-dua insan yang berada di hadapannya sedang memandangnya pelik, lebih-lebih lagi Puan Zura. 
Ayuni pula pelik kerana dilihatnya CEO muda itu sungguh bersahaja apabila melihat dirinya seolah-olah dia tidak terperanjat langsung dengan kehadiran Ayuni.  Namun, Ayuni segera menenangkan dirinya.  Dia tidak mahu kelihatan bodoh di hadapan dua orang penting itu.  Segera dia menyapa ‘bos’nya itu untuk menutup keresahannya ketika itu.
 “Assalamualaikum Encik Hisyam.  Saya Ayuni Zara.  Hari ini adalah hari pertama saya bekerja di sini.  Saya nak ucapkan terima kasih kepada Encik Hisyam kerana telah memilih saya untuk bekerja di sini.  Saya berjanji akan bekerja bersungguh-sungguh dan tidak menghampakan pihak syarikat.  Saya nak buktikan bahawa pemilihan saya untuk jawatan ini bukan satu kesilapan” Ayuni memulakan bicara dengan panjang lebar.
 “Hmm…Zura.  Can you please excuse us?” tiba-tiba bosnya itu bersuara kepada setiausahanya. 
Walaupun Puan Zura agak terkejut, tapi dia hanya mengangguk lalu beredar keluar dari bilik CEO itu.  Ayuni bertambah gerun apabila dia ditinggalkan berdua dengan bos barunya itu.
            “Awak tak perlu nak ucapkan terima kasih kepada saya kerana bukan saya yang memilih awak untuk jawatan ini.  Kalau saya, memang saya rasa awak tidak layak sama sekali untuk berkhidmat di sini dengan sikap yang awak tunjukkan dulu” Hisyam menyambung bicara tanpa memandang wajah Ayuni, setelah setiausahanya keluar. 
Dia seolah-olah tidak sudi dan jijik untuk memandang wajah Ayuni.  Itulah yang Ayuni rasakan berdasarkan reaksi bos muda itu.  Ayuni agak tersentak dengan kata-kata bosnya itu.
 “Habis tu, kenapa saya ditawarkan jawatan ni?  Jadi, siapa  yang memilih saya?  Kalau Encik Hisyam selaku ‘big bos’ tidak memilih saya, siapa lagi lebih layak dari Encik Hisyam untuk membuat keputusan?” tanya Ayuni yang agak berang dengan kata-kata lelaki itu. 
Dia benar-benar sedih.  Terasa sekali lagi maruahnya dijatuhkan oleh lelaki itu.  Rasanya, dia belum mampu hendak melupakan kata-kata pedas lelaki itu yang mengatakan dirinya penipu, kini dia terpaksa lagi mendengar cacian lelaki itu.  Air matanya sudah mula bergenang di kelopak mata.  Semangatnya untuk bekerja serta-merta lenyap setelah mendengar kata-kata Hisyam.
 “Encik Hisyam….saya tanya ni, siapa yang suruh Encik Hisyam terima saya bekerja atau ini semua rancangan Encik Hisyam hendak memalukan saya?” tanyanya keras. 
Suaranya bergetar menahan marah.  Dia sudah tidak kisah jika dia akan kehilangan jawatan barunya itu kerana padanya, apa yang penting ketika ini adalah untuk membersihkan nama dan imejnya yang dianggap penipu oleh lelaki di hadapannya itu.
 Hisyam tersentak dengan suara tinggi Ayuni.  Dia bertambah terperanjat apabila melihat wanita di hadapannya itu menitiskan air mata.  Tidak disangka, kata-katanya itu mengundang air mata Ayuni kerana sebelum ini dia melihat Ayuni sebagai seorang gadis yang tegas dan berani.  Tiba-tiba kedengaran pintu diketuk.  Sebaik saja pintu dikuak, satu lagi kejutan buat Ayuni. 
Taufik! 
Segera dia menyeka air matanya.  Dia tidak mahu Taufik melihatnya menangis.  Dia tidak mahu simpati sesiapa terutama dua orang lelaki yang berada bersamanya ketika ini.  Tidak sama sekali!