Tuesday, 18 October 2016

Demi Rindumu - Bab 10

MARIAM menoleh ke arah suaminya yang sedang
membaca al-Quran. Enggan mengganggu, dia menyambung
melipat pakaian. Habis melipat sehelai baju, dia mengerling
lagi ke arah Hussin. Ada sesuatu yang ingin dia sampaikan.
Tetapi mata suaminya masih melekat pada al-Quran.
“Awak ni kenapa, Puan Mariam? Dari tadi
tertoleh-toleh ke arah saya. Handsome sangat ke saya hari
ni?” tanya Hussin yang baru selesai mengaji. Dari ekor mata,
dia menyedari kelakuan Mariam sejak dari tadi.
“Abang ada kenal mana-mana ustaz?” Akhirnya
Mariam bertanya soalan yang terbuku dalam hati.
“Ada.”
“Siapa?” Mariam menyoal, tidak sabar. Diberi
sepenuh tumpuan kepada suaminya.
“Ustaz Don Daniyal,” Hussin menyebut nama ustaz
yang popular di salah sebuah rancangan TV.
“Abang, saya tengah serius ni! Ada tak ustaz yang
abang betul-betul kenal? Maksud saya, personally.”
Hussin menutup naskhah al-Qurannya dan
diletakkan ke rak buku sebelum kembali kepada isterinya.
“Kenapa awak nak cari ustaz? Awak nak belajar
ilmu agama ke? Baguslah. Kita dah tua-tua macam ni, mesti
tingkatkan amal ibadat. Siapa tahu, bila-bila masa sahaja kita
akan dipanggil menghadap-Nya.” Tiba-tiba sahaja Hussin
berceramah.
“Abang, saya nak cari ustaz bukan untuk saya... tapi
untuk Nasrul.”
Berkerut wajah Hussin mendengar kata-kata
Mariam.
“Macam tak kena saja bila Rul nekad nak kahwin
dengan Rania. Saya ingat Rul kena guna-gunalah bang,” luah
Mariam, bimbang.
“Tak baik tuduh Rania macam tu,” ujar Hussin. Dia
enggan percaya anak lelakinya dibomohkan kerana sekali
gus, mereka menuduh Rania melakukan perkara syirik.
“Saya bukan nak menuduh. Tapi takkan abang tak
rasa pelik? Bila Na membantah perkahwinan mereka, Rul
buat tak tahu aje. Seolah-olah Na langsung tak penting dalam
hidup Rul.” Selama ini memang kedua-dua orang anaknya
itu sering bertengkar. Tetapi Nasrul jelas amat sayang dan
mengutamakan adiknya. Mariam perasan, Nasrul sering
mengalah dengan Nurhana, tetapi lain pula jadinya apabila
melibatkan Rania.
“Entahlah. Abang pun tak tahu nak kata apa.”
Hussin juga buntu. Sedikit sebanyak, dia mula merasakan
ada sesuatu yang tidak kena. Perlukah dia membawa Nasrul
bertemu dengan pengamal perubatan Islam?
“Abang panggil ustaz datang ke rumah kita, ya?”
pujuk Mariam lagi.
“Tengoklah macam mana,” balas Hussin. Dibiarkan
Mariam menyudahkan tugas melipat pakaian.
Memikirkan tentang Nasrul, Hussin teringatkan
anaknya yang seorang lagi. Fikirannya berserabut apabila
memikirkan Nurhana akan berkahwin dengan Haznik.
Pemuda itu baru sahaja dikenali oleh Nurhana. Mana-mana
bapa pun akan membantah dan berfikir dua kali. Namun
dia tidak mampu menolak. Lebih-lebih lagi apabila pemuda
itu datang ke pejabatnya semalam. Tingkah laku Haznik
yang sopan menarik perhatiannya. Masih terngiang-ngiang
kata-kata pemuda itu kepadanya.
“Saya takkan lamar Nurhana tanpa kebenaran orang
tuanya.”
“Macam mana kalau anak saya tolak lamaran kamu?”
Haznik hanya tersenyum sebaik mendengar
soalannya itu.
“Kalau dia menolak, saya harap dan berdoa Nurhana
akan dapat lelaki yang lebih baik.”
Hussin begitu berpuas hati dengan jawapan yang
diberikan. Jadi mana mungkin dia dapat menolak pemuda
sebaik itu?

TERAGAK-AGAK NURHANA melangkah masuk ke dalam
butik pengantin itu. Matanya tidak berkelip tika melihat
ruang dalam butik yang dihias indah persis istana Inggeris
lama. Busana pengantin yang dipamerkan juga cantik belaka.
“Selamat datang. Cik datang seorang sahaja?” tanya
seorang pembantu di butik tersebut. Senyumannya tampak
begitu ramah.
“Saya...” Nurhana tidak tahu bagaimana hendak
menjawab soalan itu. Memang dia datang sendirian. Tetapi
Haznik sepatutnya akan menyusul kemudian.
“Dia bakal isteri saya,” sampuk satu suara yang amat
dikenali Nurhana. Lantas matanya teralih kepada Haznik yang
menuju ke arahnya. Jejaka itu tersenyum tatkala pandangan
mata mereka bersabung.
Pembantu butik tadi terus mengundur diri kerana
enggan mengganggu.
“Dah berapa lama awak tunggu?” tanya Nurhana.
Jelas, Haznik lebih awal tiba di situ.
“Adalah dalam...” Haznik menggapai tangan kanan
Nurhana, untuk melihat jam di pergelangan tangan gadis itu.
“Satu jam,” sambung Haznik, menurunkan semula tangan
Nurhana.
“Satu jam?” Nurhana tersentak. “Saya minta maaf.
Traffic jam tadi.” Beritahu Nurhana. Dirinya dihurung
rasa bersalah. Sepatutnya dia sampai lebih awal tetapi dia
terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
“KL, mana pernah tak sesak?” balas Haznik tidak
kisah.
Nurhana mengangguk, bersetuju seratus peratus.
Pantang hujan atau kemalangan, pasti jalan akan jadi sesak
dengan teruk. Jika tidak sesak pun, mungkin ketika Hari
Raya. Ketika itu ramai meninggalkan ibu kota untuk pulang
ke kampung halaman.
“Sekurang-kurangnya awak datang. Saya ingat awak
takkan muncul langsung,” kata-kata Haznik menjengah
telinga.
Nurhana tidak menyahut. Berkali-kali dia terpaksa
meyakinkan diri untuk datang ke butik itu. Apatah lagi selepas
dia menerima lamaran Haznik tempoh hari. Dia sendiri tidak
tahu bagaimana perkataan ‘ya’ boleh meluncur keluar dari
mulutnya.
“Dari mana awak tahu tentang butik ni?” Nurhana
segera mengalih cerita.
“Internet,” jawab Haznik, sepatah.
Nurhana merenung Haznik dengan rasa tidak
percaya. Jejaka itu hanya menjongket bahu, tidak peduli.
“Dah sedia untuk pilih baju pengantin awak?” tanya
Haznik, mengalih tumpuan Nurhana.
NURHANA MELIHAT semula gambar-gambar yang diambil
ketika berada di butik pengantin tadi. Beberapa busana
pengantin sudah dicuba. Saat dia mencuba baju pertama dan
menunjukkannya kepada Haznik, jejaka itu hanya terpaku
memandangnya.
“Macam mana?” Teragak-agak Nurhana bertanya.
Mengapa lelaki itu terdiam? Warna baju itu tidak sesuai
dengan dirinya ke? Atau apa?
“Awak nampak cantik.” Puji Haznik selepas terpaku
lama.
“Ya ke?” tanya Nurhana, tidak yakin. Dia
memerhatikan imej diri di hadapan cermin. Ada kerutan di
wajahnya.
“Awak perempuan paling cantik yang saya pernah
lihat di dunia ni,” kata-kata Haznik membuatkan pipi
Nurhana merona kemerahan.
“Awak tak rasa pujian awak terlalu melampau?”
tanya Nurhana.
“Saya cuma cakap benda yang betul.” Bibir jejaka
itu masih menguntum senyum. Matanya pula tidak lepas
daripada memandang Nurhana.
“Na buat lawak, ya?” Nasrul tiba-tiba menerpa masuk
ke dalam biliknya, membuat Nurhana tersentak. Dia bukan
lagi berada di butik pengantin tetapi di dalam biliknya sendiri.
“Abang masuk tak reti ketuk pintu dulu ke?” marah
Nurhana.
“Apa Na buat kat butik pengantin tadi?” Nasrul tidak
menjawab soalan Nurhana. Hatinya panas apabila mendapat
tahu Nurhana pergi ke butik pengantin untuk mencuba
pakaian. Bersama-sama Haznik pula tu!
“Pilih baju kahwin,” jawab Nurhana.
“Na tetap nak kahwin dengan Nik?”
“Ya.”
“Na jangan cari pasal, boleh tak? Bukan ke abang dah
kata, jangan kahwin dengan dia! Kenapa Na degil sangat ni?”
Nasrul sudah mula bercekak pinggang.
“Abang tanya kenapa Na degil? Abang yang degil!
Abang tetap nak kahwin dengan perempuan tu, kan? Jadi Na
tak nampak apa masalahnya kalau Na kahwin dengan Haznik.
Lagipun apa masalah abang sampai abang tak suka dengan
Nik? Apa salah dia dengan abang? Takkan Na langsung tak
boleh kahwin?” Sakit hati pula Nurhana berdepan dengan
kerenah abangnya.
“Boleh tak Na jangan banyak tanya dan ikut aje
cakap abang?”
“Kenapa pulak? Na minta abang jangan kahwin
dengan Rania, tapi abang tak nak dengar pun!”
“Itu lain! Na jangan nak ubah topik. Sekarang kita
tengah bercakap pasal Na dengan Haznik! Lagipun abang
bukannya tak bagi Na kahwin sampai bila-bila. Abang cuma
minta Na jangan kahwin sekarang. Jangan kahwin pada hari
yang sama dengan abang.”
“Apa bezanya? Kenapa abang boleh kahwin dengan
Rania tapi Na tak boleh kahwin dengan Nik? Beritahu Na apa
alasannya sekarang jugak!” Nurhana menuding jarinya ke
arah bawah.
Nasrul menggenggam kedua tangannya kuat. Dapat
dia rasakan darahnya mula menggelegak. Sudah beberapa
kali mereka bertengkar kerana perkara yang sama. Dia sudah
serik!
“Jangan kata abang tak bagi amaran.” Nasrul
memberi peringatan sebelum meninggalkan bilik adiknya.
DEGIL! SATU perkataan itu sudah cukup untuk
menggambarkan sikap adiknya. Nasrul tidak mengerti
mengapa susah sangat untuk Nurhana mendengar
nasihatnya? Langkahnya laju menuruni anak tangga ke
tingkat bawah. Dapat Nasrul mendengar suara ibu bapanya
berbual dengan seorang tetamu yang tidak dia kenal.
“Rul.” Dia terdengar suara bapanya memanggil.
Langkah Nasrul terhenti.
“Duduk dulu.” Permintaan Hussin tidak berani
ditolak oleh Nasrul. Diatur gerak ke arah ruang tamu.
“Kenalkan... ini kawan lama papa, Rahman.”
“Assalamualaikum,” ucap Nasrul. Dia menghulurkan
tangan untuk berjabat dengan tetamu bapanya itu.
“Waalaikumussalam warahmatullah,” jawab
Rahman.
“Anak saya ni akan berkahwin bulan depan,” Hussin
memberitahu.
Rahman terangguk-angguk. Diperhatikan sahaja
Nasrul yang nampak tidak memberikan perhatian kepadanya.
“Jadi, macam mana ustaz? Anak kami memang
terkena guna-guna ke?” tanya Mariam, tidak sabar. Menyedari
terlepas kata, segera dia menutup mulut.
Nasrul tersentak mendengar kata-kata ibunya itu.
“Apa mama kata? Guna-guna?” tanya Nasrul.
Matanya tertumpu pada wajah ibunya itu. Kemudian beralih
pada wajah bapanya dan tetamu pada petang itu.
“Err... bukan macam tu, Rul. Sebenarnya...” Mariam
tidak tahu bagaimana mahu menerangkan perkara itu. Dia
mengalihkan pandangan ke arah suaminya, memohon
bantuan.
“Apa semua ni? Kenapa semua orang pandang Rul
macam tu? Rul tak apa-apa! Rania tak guna-gunakan Rul!”
Nasrul naik berang. Sedikit pun dia tidak menyangka tetamu
mereka itu datang untuk ‘melihat’ keadaan dirinya.
Mariam terdiam. Nalurinya makin kuat mengatakan
anaknya sudah diguna-gunakan. Apatah lagi apabila melihat
Nasrul cuba mempertahankan Rania.
“Rul jangan salah faham. Mama dan papa cuma
bimbangkan Rul saja,” terang Mariam.
Nasrul menghela nafas perlahan.
“Rul tahu Na tak sukakan Rania dan tak nak Rul
kahwin dengan Rania. Tapi Rul tak sangka mama dan papa
pun tergamak buat macam ni.”
“Rul...” Hussin menegur. Kata-kata anaknya itu
dirasakan sedikit keterlaluan.
“Papa, Rul minta maaf... tapi Rul tak boleh terima
semua ni.” Nasrul angkat kedua-dua tangannya. Habis
berkata-kata, dia bangkit dan melangkah ke arah pintu.
Sedikit pun dia tidak menoleh ke belakang lagi.
Hussin menarik nafas dalam-dalam. Sabar sahajalah
dia dengan kerenah satu-satunya anak lelakinya itu.
“Maafkan anak saya ustaz,” ucap Hussin kepada
tetamunya itu. Dia terasa segan kerana tetamunya dilayan
sebegitu rupa oleh anaknya.
“Tak mengapa,” ucap Rahman, tenang.

NASRUL TENUNG telefon bimbitnya. Dua panggilan daripada
Rania sengaja dibiarkan tidak berjawab. Dia mengangkat
pandangan pada pintu pejabatnya. Dia begitu yakin Rania
akan muncul pada bila-bila masa saja. Kiraan dimulakan.
Satu... dua... tiga... Pintu pejabatnya ditolak dari
luar. Terpacul wajah gelisah Rania.
“Sayang, awak okey tak? Saya risau sangat bila
saya tak dapat call awak tadi. Awak tak apa-apa, kan?” Rania
terus menarik kerusi dan duduk di sisi Nasrul. Wajah lelaki
itu ditatap. Dia cuba mencari jawapan di sebalik raut wajah
Nasrul.
Nasrul merenung wajah Rania yang bersolek
rapi. Haruman gadis itu semerbak memenuhi ruang bilik.
Penampilannya sentiasa seksi bagaikan madu yang mahu
menarik perhatian lebah.
“Awak okey tak ni?” tanya Rania lagi apabila Nasrul
membisu.
“Saya tak apa-apa. It’s just my family.” Nasrul
menghela nafas sebelum tergeleng perlahan.
“Kenapa dengan famili awak?” Rania menggapai
tangan Nasrul lalu digenggam perlahan.
“Mereka tak suka saya kahwin dengan awak. Sampai
tergamak mereka kata awak guna-gunakan saya. Awak rasa
logik ke? Sekarang dah abad ke berapa? Mana ada orang yang
masih percaya pada benda-benda karut lagi, kan?”
Raut wajah Rania berubah sebaik mendengar bicara
Nasrul.
“Be... betullah apa yang awak kata tu.” Nada suara
Rania rendah sahaja.
“Mungkin mama dan papa saya terlalu risau sehingga
fikir yang bukan-bukan. Tapi saya cukup kenal dengan awak.
Saya tahu awak orang terpelajar. Orang bandar. Saya percaya
awak takkan terlibat dengan semua tu.”
Rania tersenyum segaris. Dia rasa tidak senang
mendengar kata-kata Nasrul. Ingin sungguh dia menukar
topik bicara mereka.
“But how about our wedding? Kalau parents awak
tak suka, takkan kita nak batalkan majlis tu? Awak tahu kan
saya dah jemput semua orang kat tempat kerja saya. Famili
dan saudara-mara saya pun akan datang dari jauh untuk hadir
ke majlis kita,” Rania terus mengungkit akan perkahwinan
mereka. Dia tidak mahu perkahwinannya dibatalkan kerana
tentangan keluarga Nasrul.
“Saya tahu. Tapi awak tak perlu risau, okey? Tiada
siapa pun yang akan dapat halang majlis kita daripada
berlangsung.” Nasrul memberi jaminan.
Wajah Rania kembali ceria.
“Awak free tak? Kalau awak tak sibuk, apa kata awak
temankan saya pergi ke butik. Boleh kita pergi cuba baju
pengantin kita. Lagipun designer tu dah call saya semalam.
Dia kata dia dah adjust baju ikut saiz kita.”
“Bila? Sekarang ke?”
“Yalah... nak tunggu bila lagi? Majlis kita dah tak
lama lagi tau.” Rania mengingatkan.
Nasrul garu kepala sebelum melepaskan keluhan
perlahan.
“Okey, jom.” Nasrul akhirnya bangun dari kerusinya.

Demi Rindumu - Bab 9

WALAUPUN hatinya cukup terluka dek
perbuatan abangnya, Nurhana memutuskan untuk tidak
kembali ke Sydney. Cukuplah dia membawa diri dan
meninggalkan keluarganya selama dua tahun dahulu. Dia
tidak sampai hati untuk meninggalkan mereka lagi.
Oleh kerana mahu bekerja, dia meminta agar
bapanya mencarikan pekerjaan untuknya. Dengan mudah,
dia diberikan jawatan sebagai Penolong Pengarah Kreatif di
salah sebuah syarikat hiasan dalaman milik rakan bapanya,
bersesuaian dengan ijazah rekaan hiasan dalaman yang
dimiliki.
Sudah masuk seminggu dia bekerja. Nurhana
masih cuba untuk menyesuaikan diri dengan suasana kerja
di situ. Rakan sekerjanya pula begitu ramah dan tidak lokek
berkongsi ilmu.
Dia merenung kalendar di atas meja. Hari-hari yang
berlalu dihadapi Nurhana dengan rasa sebal. Makin dekat
dengan tarikh perkahwinan abangnya, makin dia makan hati
berulam jantung.
Persiapan yang dilakukan abangnya makin meriah.
Barang hantaran sudah siap dan diletakkan di ruang
tamu. Tiap kali dia turun ke ruangan itu, matanya bagai
dicucuk-cucuk apabila melihat hantaran tersebut.
‘Macam takde tempat lain nak letak!’ gumamnya
geram. Mujur perkahwinan itu akan diadakan di dewan,
bukan di rumah mereka. Jika tidak, mahu sakit jiwanya
melihat pelamin, khemah dan lain-lain.
Tumpuannya teralih ke arah telefonnya yang
berdering. Tertera nama Haznik di skrin. Nurhana hanya
memandang telefonnya kosong. Dia tiada hati untuk
menjawab panggilan Haznik pada waktu itu. Apatah lagi
ketika dia berada di pejabat. Satu panggilan daripada Haznik
sebelum ini juga dibiarkan sepi tanpa sebarang jawapan. Dia
tidak mahu melibatkan Haznik dalam hal itu lagi. Lebih baik
dibiarkan sahaja panggilan itu.
Ketukan di pintu membuatkan Nurhana terdongak.
“Hai!”
Berkerut dahi Nurhana melihat wajah jejaka yang
terpacak di muka pintu.
“Awak buat apa kat sini?” soal Nurhana.
“Saya datang sebab nak minta awak design hiasan
dalaman pejabat saya.”
Nurhana melepaskan keluhan berat. Cukup-cukuplah
dengan apa yang terpaksa dia lalui. Dia terlalu penat untuk
berdepan dengan drama ini pula.
“Izlan, kalau awak nak hias pejabat awak, tolong
jumpa Fadzel di bilik sebelah. Dia lebih mahir dalam hal tu.”
“Dan awak pula mahir tentang apa?” tanya Izlan.
“Kediaman,” jawab Nurhana, acuh tak acuh.
Disibukkan diri dengan pelan yang berada di atas meja.
“Kalau macam tu, awak boleh tolong re-decorate
rumah sayalah.”
“Saya sibuk.”
“Saya boleh tunggu,” balas Izlan lalu tersenyum
panjang. Matanya masih tidak lepas daripada memandang
Nurhana. Gadis itu nampak begitu elegan apabila mengenakan
busana korporat. Kerongsang berbentuk orkid yang tersemat
di dada Nurhana membuat gadis itu tampak berseri-seri.
“Apa yang awak nak sebenarnya?” Kedegilan Izlan
sudah mula membuatkan Nurhana rasa meluat. Tiba-tiba
Izlan datang mengganggunya. Untuk apa? Bukankah mereka
sudah tidak ada sebarang hubungan lagi?
“Awak dah tahu pasal Rania?”
Nurhana memekakkan telinga apabila mendengar
nama itu. Kerana inikah lelaki itu datang? Untuk
mengingatkan dia pada memori pahit yang ingin dia lupakan?
“Awak tahu dia akan kahwin dengan abang awak,
kan?”
‘Semua orang dah tahulah!’ Nurhana membalas
dalam senyap.
“Jadi, tak salah kalau kita mulakan hubungan kita
semula, kan?” pinta Izlan, tidak berputus asa.
“Awak dah lupa ke saya dah bertunang?” tanya
Nurhana.
“Dengan siapa? Haznik?” tanya Izlan. Dengan tidak
semena-mena jejaka itu ketawa.
Nurhana tidak mengerti. Apa yang kelakar sangat?
“Saya dah tanya beberapa kawan rapat awak dan
mereka begitu yakin awak belum bertunang terutamanya
dengan lelaki tu,” ujar Izlan.
Nurhana mengunci mulut. Dia tertunduk, malu
kerana pembohongannya terbongkar begitu cepat. Dari mana
lelaki itu tahu agaknya?
“Hana, Rania dah mulakan hidup baru. Takkan kita
tak boleh buat perkara yang sama?” Izlan memberi cadangan.
Fikiran Nurhana berkecamuk. Perlukah dia
menerima Izlan semula? Jika difikirkan, dia tidak mungkin
akan dapat berkahwin dengan Haznik pada hari yang sama
dengan abangnya berkahwin. Kata-kata Haznik selama ini
pula dianggap tidak lebih daripada usikan semata-mata. Tak
mungkin Haznik hendak mengahwini dirinya.
Mungkin Izlan boleh menggantikan Haznik. Ya,
memang abangnya tidak sukakan Haznik tetapi Izlan berada
di kedudukan paling utama dalam senarai orang paling
dibenci oleh abangnya itu. Jika dia berkahwin dengan Izlan,
dia yakin dapat membuatkan abangnya lebih sakit hati.
Mungkin abangnya tidak akan jadi berkahwin dengan Rania.
“Sorry, but she’s taken,” sampuk Haznik.
“Nik!” Mata Nurhana terarah ke pintu. Bagaimana
pula lelaki itu boleh ada di sini? Bagaimana lelaki itu tahu
tempat kerjanya? Berpuluh-puluh soalan lain berlegar dalam
kepala. Takdir apakah ini sehingga kedua-dua lelaki itu
muncul di tempat kerjanya dalam masa yang sama?
“Apa yang dia buat kat sini, Hana?” Tajam mata
Haznik mengerling ke wajah Izlan. Lelaki itu membalas
dengan renungan yang lebih tajam.
“Awak pulak buat apa kat sini?” Izlan membalas.
“Saya datang nak jumpa bakal isteri saya la.”
“Tak payah nak menipu lagi. Saya dah tahu perkara
sebenar. Awak bukannya betul-betul tunang Hana pun!”
“Memang dia bukan tunang saya... tapi kami tetap
akan berkahwin bulan depan. Hana tak beritahu awak ke?”
soal Haznik.
Mata Izlan terhala ke arah Nurhana yang terkedu
tanpa kata. Lidahnya kelu apabila dua orang lelaki sedang
bertelagah kerana dirinya. Jika ini adegan dalam drama,
mungkin dia akan bertepuk tangan. Tetapi semua ini
terjadi di hadapannya. Ketegangan yang sedang dia rasakan
membuatkan Nurhana gelisah.
“Beritahulah pada dia, Hana. Kita akan kahwin pada
tarikh yang sama dengan abang awak kahwin, kan?”
“Err... ya.” Entah mengapa Nurhana mengiakan
sahaja.
‘See?’ Ada senyum kemenangan terlukis di wajah
Haznik.
Izlan menggenggam kedua penumbuknya erat. Ada
berang terlukis di mukanya. Tanpa berlengah, dia bergegas
meninggalkan pejabat Nurhana.

“NIK, APA yang awak buat kat sini?” tanya Nurhana, separuh
berbisik. Dia segera menutup pintu pejabatnya rapat-rapat.
Enggan membiarkan perbualan mereka didengari oleh orang
lain. “Dan macam mana awak tahu tempat kerja saya?” soal
Nurhana. Seingatnya dia tidak pernah memberitahu alamat
pejabatnya kepada Haznik.
“Saya call awak, tapi awak tak jawab panggilan
saya. Saya bimbang ada apa-apa terjadi pada awak.” Haznik
langsung tidak menjawab soalan Nurhana tadi.
Nurhana tergeleng. Hanya kerana dia tidak menjawab
panggilan lelaki itu, Haznik datang mencari sehingga ke
pejabatnya?
“Macam yang awak sedang tengok sekarang, saya
baik-baik aje.”
“Jadi, kenapa tak jawab panggilan saya?” tanya
Haznik.
Nurhana diam, mengunci mulut.
“Awak cuba mengelak daripada saya?”
Nurhana membisu lagi.
“Kenapa?” tanya Haznik, tidak faham. Kebisuan
Nurhana mengiakan andaiannya.
“Abang saya akan tetap berkahwin dengan Rania,”
maklum Nurhana.
“Ya, semua orang dah tahu pasal hal tu,” ujar Haznik,
bersahaja.
“Dan saya tak dapat buat apa-apa untuk hentikan
perkahwinan tu,” luah Nurhana. Apa yang dia boleh buat
sekarang hanyalah menunggu sehingga tarikh perkahwinan.
Dia yakin dia tidak mungkin akan dapat hadir sama pada hari
itu. Semua itu terlalu menyakitkan untuknya.
Haznik melepaskan keluhan perlahan.
“Awak memang tak nak abang awak kahwin dengan
Rania ke?” tanya Haznik.
Nurhana hanya mengangguk lemah. Dia begitu
bencikan perempuan itu. Tidak mungkin dia akan
membiarkan Rania menghancurkan hidup abangnya. Apatah
lagi apabila ternyata Rania hanya mahukan duit abangnya itu.
“Awak tahu tak abang awak ada jumpa saya?”
tanya Haznik. Hatinya terasa panas kembali mengenangkan
semua itu. Dia tidak sangka jirannya ada sikap yang amat
menyakitkan hati.
“Bila? Kenapa saya tak tahu pun?” Nurhana terkejut.
Untuk apa abangnya berjumpa dengan Haznik?
“Awak akan tahu kalau awak jawab panggilan telefon
saya tadi,” balas Haznik.
“Maaf. Saya tak dapat jawab sebab fikiran saya
betul-betul berserabut. Saya tak dapat buat kerja. Saya
tak dapat fikir apa-apa. Baru dua tahun saya tiada, tapi
macam-macam dah berlaku. Kalau saya tak pergi, Rania
takkan ada peluang untuk dekati abang saya. Abang saya
pun takkan buat keputusan untuk berkahwin dengan Rania.”
Nurhana rasa sungguh tidak berdaya. Dia berang dengan
dirinya sendiri. Kepala didongakkan, memandang Haznik
yang setia mendengar luahan hatinya.
“Maaf, tak pasal-pasal awak kena dengar masalah ni.
Saya dah banyak menyusahkan awak. Saya tak tahu macam
mana nak balas segala budi baik awak,” Nurhana dihimpit
rasa bersalah.
“Jangan risau. Sedikit pun saya tak rasa awak
menyusahkan saya.”
Lega Nurhana mendengar bicara Haznik.
“Tapi kalau betul awak nak balas budi, ada sesuatu
yang boleh awak lakukan.”
Terkebil-kebil mata Nurhana memandang wajah
jejaka itu.
“Awak nak kahwin dengan saya tak?” tanya Haznik.
Nurhana tergamam apabila Haznik tidak
semena-mena menyuakan sebentuk cincin di hadapannya.
“Nurhana binti Hussin, sudi tak awak jadi isteri
saya?

Demi Rindumu - Bab 8

HAZNIK mengeluarkan kunci dari beg
bimbitnya. Baru sahaja dia hendak membuka mangga di pintu
gril, bahunya tiba-tiba ditarik agar dia berpusing sebelum
dirinya ditolak ke dinding.
“Apa yang kau dah buat sampai adik aku nak kahwin
dengan kau?” soal Nasrul, keras. Dicengkam kolar baju
Haznik tanpa belas.
Haznik tidak segera menjawab. Mukanya berkerut.
Tubuhnya rasa sakit akibat ditolak kuat ke dinding.
“Boleh tak kita bincang elok-elok?” Haznik bertanya.
Jika hendak dibandingkan, tubuhnya memang tidak setegap
Nasrul. Tidak mungkin dia dapat menandingi kekuatan
jirannya itu. Lebih baik dia berlembut.
Nasrul merengus kasar sebelum melepaskan Haznik.
Dibiarkan jirannya itu menarik nafas sebelum merapikan
kolar bajunya.
“Jawab soalan aku tadi!” Nasrul sudah tidak sabar.
Kali ini dia tidak menggunakan sebarang kekerasan ke atas
diri Haznik.
“Kita bincang kat dalam, boleh? Tak elok kalau
orang tengok,” Haznik tetap tenang. Melihatkan Nasrul tidak
membantah, dia memasukkan kunci ke dalam mangganya.
Daun pintu dikuak luas. Dia membenarkan Nasrul masuk
terlebih dahulu.
“Nak minum?” pelawa Haznik, menuju terus ke
dapur.
“Tak payah.” Nasrul menolak.
“Okey, saya akan buat jus oren.” Haznik tidak
mengendahkan kata-kata Nasrul dan terus mengeluarkan jus
oren. Diletakkan di atas meja, di depan Nasrul.
“Coke takde?” soal Nasrul.
Haznik tersenyum. Dimasukkan semula jus oren
lalu dicapai setin minuman berkarbonat itu. Minuman itu
segera diteguk Nasrul yang kepanasan.
“Aku datang sini sebab aku tak nak kau berkahwin
dengan Na,” tutur Nasrul, tanpa membuang masa.
Haznik tidak segera menjawab. Na? Itukah panggilan
Nasrul terhadap Nurhana?
“Apa salah saya? Kenapa tak suka saya?” Haznik ingin
tahu. Daripada apa yang dia dengar dari mulut Nurhana,
Nasrul seakan membenci dirinya. Mengapa?
“Kau tak salah. Cuma aku suka pada perempuan
aje.” Nasrul loyar buruk.
Hendak meletus tawa Haznik saat mendengar
jawapan Nasrul. Baru dia tahu dari mana datangnya perangai
Nurhana yang begitu pandai menjawab.
“Tak, maksud saya... kenapa awak tak suka kalau saya
berkahwin dengan Hana?”
“Mesti ada sebab ke untuk suka dan tak suka pada
seseorang?”
Haznik diam seketika sebelum mengangguk setuju.
Pertama kali melihat Nurhana, dia sudah sukakan gadis itu.
Dia sendiri tidak tahu mengapa.
“Terus terang dengan aku... sebenarnya kau
bukannya serius dengan Na, kan?”
“Apa yang buat awak cakap macam tu?” Entah
kenapa, darah Haznik mula menggelegak.
Nasrul hanya tersenyum sinis.
“Kenapa kau tanya? Baru berapa hari kau kenal Na?
Kau tahu tak sebenarnya adik aku gunakan kau sebagai alasan
untuk hentikan perkahwinan aku? Dia bukannya betul-betul
nak berkahwin pun.” Nasrul menyampaikan. Biar Haznik
tahu perkara sebenar. Dia tidak mahu jirannya itu terus
terbabit dalam urusan keluarganya.
“Saya tahu,” jawab Haznik. Nurhana sudah
menceritakan segala-galanya tempoh hari. Gadis itu memang
sengaja mahu mencabar Nasrul.
“Dia kata dia nak kahwin dengan kau pada hari yang
sama aku berkahwin.”
“Itu pun saya tahu.”
“Aku kenal sangat dengan adik aku. Sikit pun aku tak
percaya bila dia kata dia nak kahwin dengan kau. Ugutan dia
takkan berkesan,” ujar Nasrul. Diamati wajah Haznik. Tidak
mungkin Nurhana hendak mengahwini lelaki di depannya
ini.
“Maksudnya, awak tetap tak nak hentikan
perkahwinan awak tu?” tanya Haznik. Nampak gayanya,
Nasrul langsung tidak terkesan dengan ugutan adiknya.
“Ya, sebab kau dan Na takkan berkahwin. Bukan
pada tarikh yang sama atau bila-bila pun. Jadi, jauhkan diri
daripada adik aku!” Usai memberi kata dua, Nasrul terus
bangkit. “Thanks for the drink anyway,” ucap Nasrul sebelum
menutup pintu.
Haznik ditinggalkan terkedu tanpa kata. Setiap
kata-kata Nasrul berulang kali bermain semula di kepala
seperti kaset yang rosak. Panas hati pula dia dibuatnya.
Lantas dikuatkan penghawa dingin, untuk menyejukkan rasa
yang membahang. ‘Nasib baik kau abang Nurhana!’

“ABANG CAKAP apa ni?” tanya Nurhana. Bulat matanya
merenung wajah Nasrul. Sangkanya ugutan yang dibuat
tempoh hari berkesan. Tetapi berita apa pula yang dikhabarkan
oleh abangnya ini?
“Abang tetap nak kahwin dengan perempuan tu?”
Nasrul tersenyum sebelum mengangguk. Tidak
pula dia memberitahu Nurhana bahawa dia sudah bertemu
dengan Haznik. Dia yakin, perkahwinan Nurhana dan Haznik
tidak akan berlangsung pada tarikh yang sama dia berkahwin.
Melihat senyuman Nasrul, Nurhana jadi tidak senang
duduk. Dia cuba berlagak tenang. Siapa yang dapat bertenang
sekiranya berdepan dengan situasi sebegini?
“Lagipun bukan ke Na nak kahwin dengan Nik
pada hari yang sama. Siapalah abang untuk halang hasrat
adik kesayangan abang sendiri, kan?” ujar Nasrul, sengaja
memulangkan kembali kata-kata adiknya tempoh hari.
Nurhana mengetap bibir. Saat itu kata-kata Haznik
terngiang-ngiang di telinganya.
‘Tapi macam mana kalau dia nak teruskan
jugak? Awak nak kahwin dengan saya?’
Tidak mungkin lelaki itu hendak mengahwininya.
Dia tahu Haznik sengaja mahu mengusik. Kini, dia tidak
punya sebarang alasan untuk menghalang perkahwinan
abangnya itu.
“Na akan kahwin dengan Nik!” Nurhana tetap
mempertahankan ugutannya walaupun dia tahu semua itu
mustahil.
“Okey.” Nasrul tersenyum. Ugutan adiknya sudah
tidak membawa sebarang makna lagi.
“Kita akan nikah pada hari yang sama!” Tambah
Nurhana lagi.
‘Yalah tu...’ getus hati Nasrul.
“Abang tak sabar sangat nak tunggu hari tu,” balas
Nasrul, penuh keterujaan yang dibuat-buat.
Nurhana ketap bibir. Kata-kata abangnya umpama
satu sindiran pedas. Perit sungguh untuk ditelan. Saat itu
dia rasa dirinya telah tewas. Dia tidak mungkin akan dapat
menghalang abangnya daripada berkahwin dengan Rania.
Perempuan itu akan tetap menjadi kakak iparnya.

MARIAM TERCENGANG-CENGANG tika melihat anak
gadisnya meluru ke bilik selepas berbicara dengan Nasrul.
Dia tidak sempat mendengar apa yang dibualkan oleh dua
beradik itu. Menyedari riak wajah Nurhana yang berserabut,
segera diekori langkah anaknya itu. Hatinya diburu bimbang.
Dia hilang kata-kata apabila Nurhana menarik keluar beg
pakaian dan mula memasukkan pakaian ke dalamnya.
“Na nak ke mana?” tanya Mariam. Satu per satu
baju dicampakkan Nurhana ke dalam beg. Fikiran Mariam
melayang mengenangkan perkara sama yang dilakukan
Nurhana dua tahun lalu.
“Abang tetap akan berkahwin dengan Rania. Na tak
nak berada kat sini bila mereka berkahwin. Na tak sanggup
tunggu dan tengok perempuan tu masuk ke rumah kita
sebagai kakak ipar Na!” luah Nurhana. Ditahan air matanya
daripada merembes laju. Tidak! Dia tidak ingin membiarkan
walau setitis pun air matanya tumpah kerana perempuan itu.
“Tapi bukan ke Na nak kahwin dengan Nik pada hari
yang sama?” Mariam tidak mengerti.
Nurhana segera menggeleng.
“Na cuma ugut abang sebab abang tak sukakan Nik.
Tapi nampaknya abang dah tahu perkara sebenar.”
“Na nak tinggalkan mama dan papa lagi?” tanya
Mariam.
Suara ibunya yang bertukar serak membuat
pergerakan Nurhana terhenti. Lantas dia menoleh
memandang wajah sayu ibunya. Ada mendung di wajah
wanita yang telah melahirkan dirinya itu.
“Na tahu tak betapa mama rindukan Na sepanjang
dua tahun Na duduk berjauhan daripada kami semua?” soal
Mariam lagi. Air matanya tumpah tanpa sempat ditahan.
Sendu dalam hatinya tidak dapat dibendung. Dia tidak
sanggup membiarkan Nurhana jauh dari matanya sekali lagi.
“Mama...” Nurhana dirundung rasa bersalah.
“Tolonglah jangan pergi, Na. Jangan tinggalkan
mama dan papa lagi,” Mariam cuba memujuk. Digenggam
kedua-dua tangan anaknya. Ditatap wajah Nurhana,
mengharapkan anaknya akan berubah fikiran.
“Perempuan tu dah rampas anak lelaki mama. Mama
tak nak kehilangan anak perempuan mama pulak,” tambah
Mariam. Saat itu dia menyalahkan Rania atas apa yang sedang
terjadi. Mengapa gadis itu mesti memporak-perandakan
keluarganya?
Nurhana menarik nafas dalam-dalam. Ikutkan hati,
dia hendak menetap terus di luar negara. Dia tidak mahu
kembali lagi. Tetapi kata-kata ibunya membuatkan dia serba
salah. Pandangan diangkat, mengamati wajah ibunya. Mata
ibunya berkaca-kaca. Rasa kesal terus menghempap dada.
Adakah dia yang sedang membuatkan ibunya menangis?
“Na takkan lari lagi, mama.” Nurhana mengalah.

Demi Rindumu - Bab 7

HUSSIN memandang wajah di hadapannya
satu per satu. Nurhana yang berada di hujung meja hanya
merenung tajam wajah abangnya. Isterinya pula melayan
Rania acuh tak acuh sahaja. Nampak sangat Mariam tidak
suka akan bakal menantu mereka itu.
Dia tidak dapat menyalahkan Mariam kerana
memberi layanan dingin kepada Rania. Gadis itu pernah
menghancurkan perkahwinan anak perempuan mereka. Kini,
Rania hendak menjadi salah seorang daripada ahli keluarga
mereka pula. Sudah tentu Mariam tidak setuju.
Hussin memandang sekejap ke arah Rania yang
duduk di sebelah Nasrul. Entah mengapa gadis itu berpakaian
sebegitu rupa, dia tidak mungkin tahu. Adakah Nasrul tidak
pernah menasihatkan gadis itu supaya berpakaian lebih
sopan?
“Bila Rul nak kahwin?” tanya Hussin, cuba
membunuh kesunyian.
“Kalau boleh bulan depan, 27 hari bulan. Kami dah
buat segala persiapan,” ujar Nasrul.
Nurhana diam. Nasi terasa tawar di tekak. Dah siap
buat segala persiapan? Nampaknya Nasrul begitu nekad ingin
mengahwini Rania.
“Rul dah uruskan semuanya sendiri?” soal Mariam.
Terasa kecil hati apabila Nasrul membelakangi dirinya dan
membuat keputusan sendiri. Matanya tajam merenung wajah
Rania. Namun gadis itu nampak selamba sahaja. Sesekali
Rania terlentok manja apabila berbicara dengan Nasrul.
Meluat sungguh dia melihat keletah Rania. Seolah-olah tiada
orang lain di situ. Padahal dia dan suaminya ada di meja yang
sama.
“Ya, Rul akan pastikan perkahwinan kami ini jadi
wedding of the year,” luah Nasrul lalu meraih tangan Rania.
Kedua-duanya bertukar pandangan. Nampak tidak sabar
menghitung hari bahagia.
Bunyi hentakan gelas membuatkan semua orang
tersentak. Mata terus tertumpu ke arah Nurhana yang nyata
memberontak.
“Na nak pergi bilik air. Tekak rasa loya pulak,”
katanya sinis sambil menghalakan pandangan tepat ke muka
Rania.
Hussin hanya menghela nafas perlahan. Mariam
pula sedikit tersenyum. Dalam hal ini, dia menyebelahi anak
perempuannya seratus peratus!

NURHANA KEMBALI dari laman belakang selepas
menenangkan diri sendiri. Langkahnya terhenti apabila
menyedari Rania berdiri di muka pintu. Satu-satunya laluan
untuk masuk ke dalam telah disekat.
“Jangan berdiri dekat pintu, boleh? Tak nampak ke
orang nak lalu-lalang kat sini?” tanya Nurhana, sehabis sopan
yang mungkin. Ikutkan hati, hendak sahaja dia menengking.
Tetapi ibu bapanya tidak pernah mendidik agar melayan
tetamu dengan buruk. Hanya di meja makan tadi dia terlepas
laku.
“Hana, boleh tak kita berbincang?” tanya Rania.
‘Perempuan ni betul-betul nak berbincang, atau
berlakon saja?’ Nurhana mencemik.
“Kalau awak nak kata yang awak tak jadi kahwin
dengan abang saya... ya! Memang kita ada perkara yang boleh
dibincangkan.”
Rania menggeleng, tidak setuju.
“Hana, awak kena terima yang kami cinta antara
satu sama lain dan saya akan jadi kakak ipar awak nanti. Tak
boleh ke kita berbaik saja?”
‘Banyak cantik! Lepas kau tidur dengan tunang aku
dulu, kau nak aku berbaik-baik dengan kau pulak?’
“Awak nak kahwin dengan abang saya, itu awak
punya pasal. Tapi semua tu tak menjadikan awak kakak ipar
saya!” Hampir meninggi suara Nurhana.
“Saya betul-betul sayangkan abang awak, Hana.”
Rania menarik wajah sayu namun tidak berbekas dalam hati
Nurhana.
Jika dulu, mungkin gadis itu boleh menipunya
dengan mudah. Nurhana percaya sahaja apabila gadis itu
bercerita akan kesusahan hidupnya selama ini. Dia juga begitu
kagum dengan semangat gadis itu yang sanggup bekerja
secara sambilan untuk membiayai yuran pengajiannya.
Tetapi semua itu tipu semata-mata. Gadis itu melaram sakan
dengan wang yang dikikis daripada teman-teman lelakinya.
“Awak sayang abang saya, atau awak cuma sayangkan
poket dia? Macam mana kalau papa saya tak tinggalkan satu
sen pun harta kepada abang saya dan berikan semuanya tu
pada saya? Masa tu, awak masih nak bersama dengan dia ke?”
Rania terdiam.
“Kenapa awak diam? Memang betul apa yang saya
sangka... awak cuma mahukan duit abang saya. Malang betul
abang saya sebab dapat perempuan macam awak.”
“Saya tahu awak marahkan saya sebab apa yang dah
terjadi dulu. Tapi tolong jangan halang perkahwinan saya.
Ahli keluarga saya, kawan saya, mereka semua akan datang
ke majlis tu,” rayu Rania.
Nurhana hendak tertawa. Benarkah apa yang dia
dengar ini? Rania sedang merayu kepadanya? Perempuan itu
mahu perkahwinannya tidak dirosakkan?
“Sekarang ni... awak sedang merayu pada saya ke?”
soal Nurhana. Saat itu dia terasa kemenangan sudah berada
di bawah telapak kakinya.
Rania tidak segera menjawab. Rahangnya dikancing
rapat. Dia sudah begitu hampir dengan impiannya. Dia mahu
berkahwin dengan lelaki yang boleh menjamin kehidupannya.
Dia tidak perlu bersusah payah lagi jika dapat berkahwin
dengan Nasrul.
“Jangan risau. Saya bukannya boleh tidur dengan
pengantin lelaki. Dia kan abang kandung saya sendiri. Pandai
awak pilih bakal suami. Tahniah!” ucap Nurhana, sinis. Dibuka
langkah, ingin meninggalkan ruang yang menyesakkan dada.
Terasa rimas apabila terpaksa berdepan dengan Rania.
“Awak boleh cakap apa sahaja tapi takde apa yang
awak boleh lakukan untuk hentikan perkahwinan saya dan
abang awak. Awak sanggup tengok abang awak menderita?”
Amboi! Berdesing telinga Nurhana mendengar
bicara Rania. Pantas dia berpusing dan merenung wajah
bongkak Rania. Begitu pantas gadis itu berubah laku. Belum
kahwin lagi dah berani nak berlagak dengannya.
“Awak fikir abang saya akan bahagia ke berkahwin
dengan perempuan kotor macam awak?” tempelak Nurhana,
naik angin.
“Jaga sikit mulut you tu, Nurhana!” Rania menuding
jari ke arah Nurhana. Wajahnya jadi merah bak udang dibakar.
Tidak lagi ber‘saya-awak’ dengan Nurhana lagi.
“Awak yang kena jaga perangai awak. Saya takkan
sesekali biarkan perempuan macam awak jadi sebahagian
daripada keluarga saya. I’ll make sure of it!” Nurhana berkata
nekad. Habis berkata-kata, dia meninggalkan Rania. Dia
kembali ke meja makan dengan senyuman melebar.
“Kenapa dengan Na?” tanya Mariam, hairan dengan
perubahan sikap anaknya yang begitu mendadak. Tadi
marah-marah. Sekarang boleh tersenyum pula.
“Takde apa-apa,” balas Nurhana, berlagu-lagu.
Matanya terhala ke arah Rania yang baru kembali ke meja
makan. ‘Siaplah kau!’
“Papa dengan abang dah bincang sampai mana tadi?”
tanya Nurhana, tidak mahu terlepas apa-apa. Tingkah lakunya
yang ceria membuatkan ahli keluarganya tertanya-tanya.
“Rul kata dia nak buat majlis persandingan mereka
kat Dewan Perdana,” Hussin memaklumkan.
“Oh, ya ke? Abang dah tempah ke dewan tu?”
tanya Nurhana. Walaupun teragak-agak, Nasrul tetap
menganggukkan kepalanya. Tiba-tiba sahaja Nurhana berubah
sikap dan menunjukkan minat dengan perkahwinannya.
“Baguslah,” luah Nurhana.
“Na tak kisah ke dengan semua ni?” Hussin bertanya.
Pelik juga melihat reaksi anak gadisnya itu. Berubah
mendadak 360 darjah.
“Mestilah Na tak kisah. Takkanlah Na nak halang
perkahwinan abang kandung Na sendiri?”
Dahi Mariam bergaris-garis. Hussin dan Nasrul
tercengang-cengang. Rania pula nampak keliru mendengar
kata-kata Nurhana.
“Tapi...” Nurhana sengaja mematikan kata-katanya.
Dia tersenyum sendiri.

“AWAK SENGAJA cabar abang awak?” Haznik menyoal.
Ditatap wajah gadis yang sedang berjalan di sisinya itu. Dia
berharap Nurhana hanya bergurau. Namun dia dapat lihat
betapa serius dan nekadnya gadis itu.
“Mestilah! Dia ingat dia boleh buat apa aje yang
dia suka?” balas Nurhana. Tidak mungkin dia dapat lupa
betapa terkejutnya Nasrul apabila mendengar syaratnya itu.
Mindanya menerawang mengingat kembali apa yang berlaku
semalam.
“Tapi... Na pun akan berkahwin. Dengan Nik,”
beritahu Nurhana ketika waktu makan malam itu.
“Na nak kahwin dengan siapa?” Mariam terkejut
dengan berita mengejut itu. Hussin hanya geleng kepala dan
mengurut dada.
Seperti yang dijangka, Nasrul paling kuat menentang
syaratnya. Jelas, abangnya tidak suka langsung kepada
Haznik.
“Na jangan mengarut! Na baru kenal dia beberapa
hari aje! Kenapa terburu-buru nak kahwin dengan dia pulak?”
soal Nasrul. Suaranya sedikit meninggi daripada biasa.
“Na nak bercinta selepas kahwin. Bukan ke itu lebih
baik?” sengaja Nurhana memberi alasan. Dia mahu tengok
bagaimana Nasrul hendak membangkang syaratnya itu.
Apabila melihat abangnya terdiam tanpa bicara,
Nurhana terus menyambung lagi.
“Lagipun sejak dulu lagi Na memang nak kahwin
serentak dengan abang. Alang-alang abang nak kahwin bulan
depan, apa salahnya Na ikut langsungkan sekali. Betul tak,
mama?” Nurhana berpaling ke arah ibunya, mengharapkan
sokongan.
“Na, jangan ikutkan hati dan perasaan. Fikir
masak-masak. Kahwin ni bukan benda yang boleh buat
main-main,” Mariam mengingatkan.
Rania mula tidak senang duduk. Ada keresahan di
wajahnya melihat reaksi yang ditunjukkan oleh Nasrul.
“Kalau Na tak nak abang kahwin dengan Rania,
banyak lagi cara yang Na boleh pilih. Bukan ini,” luah Nasrul.
Ada kekecewaan dalam nada suaranya.
“Abang, Na tak kisah kalau abang nak kahwin
dengan Rania atau sesiapa pun. Na faham dan hormat
dengan keputusan abang. Jadi, tak salah kalau abang hormat
keputusan Na, kan?”
Nasrul tergeleng beberapa kali. Enggan bertengkar
lagi, dia bangkit dan meninggalkan meja makan. Rania terus
mengekorinya.
Haznik tergelak mendengar cerita Nurhana. Makin
dia kenal, makin dia tertarik pula dengan gadis itu. Nakal,
fikirnya. Dia tidak percaya Nurhana sanggup mempergunakan
dirinya sekali lagi. Sebelum ini untuk mengelak daripada
Izlan. Kali ini untuk menghentikan perkahwinan antara
abangnya dengan perempuan yang tidak dia kenali itu.
‘Hana... Hana...’
“Awak rasa abang awak akan batalkan perkahwinan
dia?” soal Haznik, ingin tahu. Dia tidak tahu apa yang
menyebabkan Nasrul begitu tidak suka akan dirinya.
Setahunya, dia tidak pernah pula mengganggu hidup jirannya
itu. Apa salahnya?
“Ya, dia mesti! Dia tak boleh teruskan majlis
perkahwinan dengan Rania.” Nurhana cuba meyakinkan diri
sendiri. Jika benar abangnya bencikan Haznik, pasti abangnya
tidak akan meneruskan perkahwinan dengan Rania.
“Tapi macam mana kalau abang awak berkeras nak
teruskan jugak? Awak nak buat apa? Nak kahwin dengan
saya?”
Spontan langkah Nurhana terhenti. Haznik juga
turut berhenti menapak. Nurhana menghalakan pandangan
ke wajah tenang Haznik.
“Apa jawapan awak? Kahwin atau tak?” Jejaka itu
mengulang soalannya, lebih ringkas.
Nurhana terkedu tanpa bicara.

Demi Rindumu - Bab 6

SPAGETI yang dikunyah terasa liat seperti
mengunyah getah. Bebola daging terasa tawar. Nurhana
cuba buat tidak tahu tetapi gagal mengabaikan Haznik yang
asyik merenungnya. Tertutup selera untuk menikmati pasta
kegemarannya itu.
“Ada apa-apa ke kat muka saya ni?”
“Takde apa-apa.”
“Habis tu, kenapa tenung muka saya?”
Haznik tuding jari ke arah matanya sendiri.
Mata? Nurhana keluarkan bedak kompak. Dia periksa
bahagian matanya dengan cermin kecil yang dia ada. Solekan
matanya comot ke? Maskaranya bergumpal ke? Atau apa?
“Kat dalam mata awak, ada saya.” Haznik tersenyum
meleret.
Tawa Nurhana meletus kuat. Kolot sungguh ayat
yang dituturkan oleh jejaka itu. Beginikah cara Haznik
hendak menguratnya? Macam orang zaman dulu-dulu!
Namun jejaka itu hanya tersengih sahaja. Langsung
tidak terasa atau berkecil hati. Hatinya lapang mendengar
tawa Nurhana.
“Tolonglah jangan buat macam tu, Nik. Saya rasa tak
selesa kalau awak asyik tenung saya. Nak makan pun susah.”
“Apa boleh buat? Mata saya tak boleh berhenti tengok
orang yang cantik.” Mata Haznik tidak jemu memandang
Nurhana. Apatah lagi pada hari itu Nurhana memakai blaus
warna hijau zamrud, warna kegemarannya. Matanya bagai
sedang menatap air terjun. Sejuk dan damai.
Nurhana tarik muka. Sekali lagi Haznik cuba
menggula-gulakan perasaannya. Tetapi dia sentiasa
mengingatkan diri bahawa lelaki di hadapannya ini mungkin
seorang buaya darat. Atau lebih teruk, kaki perempuan! Tukar
perempuan macam tukar baju.
“Awak memang selalu guna ayat ni untuk mengayat
perempuan, ya?” Nurhana membuat andaian sendiri. Curiga
dengan Haznik.
“Taklah. Awak orang yang pertama. Tiada perempuan
lain.”
Jawapan itu membuatkan Nurhana terkedu.
Pandangannya bagai terpaku saat bertatapan dengan mata
Haznik. Namun dia cepat tersedar dan pantas tunduk.
Makanan disuap laju ke dalam mulut.
“Sayang, awak makanlah perlahan-lahan. Awak nak
kejar apa?”
Sayang? Nurhana tersedak. Haznik segera
menghulurkan segelas air kepadanya. Jari-jemari mereka
bersentuhan. Secepat kilat Nurhana mengalihkan jarinya.
Diteguk air itu untuk membersihkan tekaknya.
“Tengok, kan dah tersedak,” ujar Haznik lagi.
Nurhana menepuk-nepuk dada. Melampau sungguh
lelaki ini. Belum apa-apa lagi dah panggil dia sayang!
“Nik, awak tahu kan perasaan tak boleh
dipaksa-paksa?”
“Bila masa pulak saya paksa awak? Saya tak tahu
kenapa, tapi saya tahu saya sukakan awak. Pernah saya minta
awak sukakan saya jugak?”
Nurhana ketap bibir.
“Apa yang ada dalam bungkusan hadiah tadi?”
tanya Nurhana, segera ubah topik. Matanya mendarat pada
bungkusan di atas meja. Di hadapan Izlan tadi, Haznik
memandai-mandai mengatakan hadiah itu untuknya.
“Oh, hadiah ni? Saya belikan jam tangan untuk
kawan saya. Minggu depan hari lahir dia.”
Timbul rasa tidak senang dalam hati Nurhana.
‘Hadiah hari lahir?’
“Untuk siapa? Teman wanita?”
Haznik cuba menahan senyum daripada terlukis di
bibirnya. Adakah dia tersilap dengar atau gadis di hadapannya
ini sedang cemburu?
“Awak betul-betul nak tahu?” Haznik sengaja
menduga. Matanya tidak lepas daripada memandang segenap
inci wajah Nurhana. Setiap riak emosi yang dipamerkan
menarik perhatiannya.
Rahang Nurhana diketap rapat. “Tak payah. Lupakan
aje soalan saya tadi.”
“Betul ni?”
“Betul!” suara Nurhana sedikit meninggi.
Haznik jongket bahu. Dia mengangkat cawan untuk
meneguk kopinya. Disembunyikan senyuman di balik cawan.
Reaksi Nurhana membuat dia ingin ketawa.

NURHANA MEMELUK bantal merah berbentuk hati rapat
ke dada. Sekejap dia berguling ke kanan. Sekejap ke kiri.
Nurhana bangkit dari perbaringan. Dia tidak dapat melupakan
pertemuannya dengan Haznik tadi. Jejaka itu mempamerkan
perasaan secara terang-terangan. Tetapi benarkah lelaki itu
ikhlas hendak memikat hatinya?
‘Ah, jangan nak perasan sangatlah!’ Nurhana segera
menghalau andaian itu jauh-jauh. Inilah akibatnya jika
hidup solo tanpa teman istimewa selama dua tahun. Lelaki
yang punya rupa seperti Haznik sepatutnya boleh dapat
mana-mana perempuan yang dia mahukan. Tidak mungkin
jejaka itu mahukan dirinya.
Lamunannya terhenti apabila terdengar bunyi
loceng rumah. Dahinya timbul garis kerutan. Siapa pula yang
terlupa membawa kunci? Pada mulanya dia malas hendak
mengendahkannya. Biar Tanti yang membuka pintu itu.
Tetapi bunyi loceng yang ditekan tanpa henti membuatkan
telinganya cukup sakit.
Nurhana bingkas bangun dari katil dan melangkah
ke arah pintu utama. Daun pintu dikuak luas. Riak mukanya
berubah keruh saat melihat gerangan di luar.
“Hai,” sapa Rania, seakan-akan terpaksa.
Nurhana tidak menyahut, sebaliknya hanya
membalas dengan jelingan. ‘Tak reti bagi salam ke?’ Dia
mengutuk dalam diam. Gadis itu ditenung dari atas ke
bawah. Hendak terjojol biji matanya memandang Rania.
Bagai hendak ke kelab malam!
“Buat apa datang sini?” Nurhana bertanya dingin.
Tajam matanya menikam-nikam wajah di depannya itu.
“Abang yang bawa Rania datang,” celah Nasrul,
berdiri di sisi Rania. Kedua-duanya saling bertukar senyuman
seperti hangat dilamun cinta lagaknya. Naik menyampah
Nurhana melihat.
“Buat apa abang bawa dia ke rumah kita?” tingkah
Nurhana, tidak puas hati.
“Buat apa lagi? Abang nak bawa Rania jumpa mama
dengan papalah.”
‘Dengan baju tak cukup kain macam ni???’ Hendak
sahaja Nurhana menempik soalan itu sekuat hati.
“Mama dengan papa takde. Diaorang keluar.”
Nurhana memberitahu dengan harapan kedua-duanya tidak
jadi singgah dan terus pulang dari mana sahaja mereka
datang.
“Abang tahu. Tapi abang dah call mama dengan papa
tadi. Mereka akan balik sekejap lagi.” Nasrul terus membawa
Rania masuk.
Nurhana dibiarkan terpacak di pintu. Dirinya
dianggap seperti halimunan! Tidakkah abangnya faham
akan perasaannya saat ini? Sanggup abangnya membawa
perempuan itu ke rumah mereka!
Berang, Nurhana terus meluru mendapatkan
abangnya. Ditarik tangan Nasrul ke arah dapur. Biar Rania
duduk sendirian di ruang tamu.
“Apa yang abang buat sekarang ni?” Nurhana menyoal
sebaik mereka berdua-duaan. Bulat matanya merenung wajah
Nasrul. Abangnya itu memang sengaja mahu menguji tahap
kesabarannya. Dengan kehadiran perempuan itu, bila-bila
masa sahaja dia boleh meletup.
“Abang kan tengah bercakap dengan Na,” balas
Nasrul, menjongketkan kedua-dua bahunya. Buat-buat tidak
faham.
“Bukan itulah maksud Na! Na nak tahu kenapa
abang bawa perempuan itu ke rumah kita?” Keras sekali
suara Nurhana.
“Lambat-laun abang tetap kena bawa Rania jumpa
bakal mentua dia.”
“Tapi tak boleh ke tunggu bila Na takde kat rumah?”
Geram sungguh Nurhana mendengar jawapan demi jawapan
yang menyakitkan hati.
“Dan bila pulak Na takde kat rumah?” perli Nasrul.
Nurhana mengetap bibir. Dia sedar dirinya
tidak bekerja dan hanya berehat di rumah. Hatinya bagai
ditoreh-toreh pula apabila mendengar kata-kata itu dari
mulut abangnya sendiri.
“Oh, abang terlupa. Mungkin abang patut bawa
Rania datang semalam. Semasa Na keluar dengan Nik, kan?”
Nurhana terdiam dan kehilangan kata-kata.
Bagaimana Nasrul tahu?
“Abang ternampak Na dengan Nik makan dekat
restoran semalam. Bukan main seronok lagi. Macam dah
lama kenal,” tambah Nasrul. Seandainya dia tidak pergi ke
pusat membeli-belah untuk membelikan macaroon vanila
kegemaran Nurhana, dia tidak akan ternampak semua itu.
“Salah ke Na keluar dengan Nik?”
“Memang salah! Abang tak suka tengok Na keluar
dengan dia!”
“Oh, abang tak suka Na keluar dengan Nik. Tapi
abang tahu tak, Na seribu kali lebih tak suka tengok abang
dengan Rania. Abang tahu tak, Na bencikan Rania! Na tak
boleh tengok pun muka dia! Abang faham tak???”
Nasrul menghela nafas panjang.
“Bukan ke tempoh hari kita dah bincang pasal hal
ni? Apa lagi yang Na tak puas hati?” Nasrul cuba berlembut.
Biasanya dia tidak akan gunakan nada ini. Tetapi Nurhana
terlalu degil.
“Kalau abang boleh kahwin dengan perempuan tu...”
Nurhana sengaja menguatkan suara. Biar perempuan itu
dengar!
“Na pun boleh keluar dengan Nik atau dengan
sesiapa pun yang Na suka!” Nurhana menyambung, sebelum
berlalu meninggalkan abangnya. Rasakan! Baru puas hatinya.
“Na...” Nasrul memanggil adiknya namun tidak
diendahkan.
Nurhana terus keluar tanpa menoleh ke belakang.

Demi Rindumu - Bab 5

NURHANA melangkah keluar dari keretanya
dengan penuh kebingungan. Dia masih keliru dengan
apa yang baru terjadi. Fikirannya yang kusut jadi tambah
berserabut. Mula-mula kerana masalah abangnya. Kini,
kerana Haznik pula.
‘Jangan risau. Awak tak salah. Memang
saya nak mengurat awak pun.’
Kata-kata Haznik kembali terngiang-ngiang dalam
ingatan. Apa yang tidak kena dengan lelaki itu? Suka-suka
hati sahaja nak luahkan perasaan. Tidak bolehkah dia diberi
sebarang petanda dahulu sebelum menerima serangan
mengejut begitu?
Nurhana tergeleng-geleng. Dia tidak ingin percaya
dengan kata-kata Haznik. Lelaki itu mungkin mahu
mempermainkan dirinya. Baru jumpa beberapa kali, terus
nak mengurat? Hebat! Dia cuba melupakan Haznik daripada
terus memenuhi ruang kepala. Lebih baik dia memikirkan
hal lain yang lebih penting.
Diatur langkah ke rumah. Matanya singgah pada
ruang parkir. Terdampar kereta bapanya sahaja. Kereta ibunya
tiada di situ. ‘Mama pergi ke rumah siapa pulak agaknya?’
“Na.” Suara Hussin singgah di telinga. Pandangan
Nurhana menyorot ke arah bapanya yang sedang berdiri di
muka pintu.
“Ya papa,” sahut Nurhana.
“Makan dengan papa. Jom,” ajak Hussin.
Nurhana tersenyum lebar sebelum terus
mengangguk, setuju. Dia paling suka jika dapat makan
bersama-sama bapanya. Di sebalik seraut wajah serius itu,
ada sahaja gurau sendanya yang mencuit hati. Nurhana tidak
akan kering gusi melayan jenaka bapanya.
“Mahu tambah lagi ke, embak?” tanya Tanti,
pembantu rumah mereka.
Nurhana menggeleng.
“Papa nak nasi lagi tak?”
Hussin segera menggelengkan kepalanya. “Diet.”
Nurhana tertawa besar mendengar jawapan bapanya
yang tidak disangka-sangka itu. Tanti juga tersenyum nipis.
Dia segera meminta diri, tidak mahu mengganggu kedua
beranak itu makan.
“Diet apa pulak kalau papa dah makan dua pinggan
tadi?” tanya Nurhana.
Hussin tersenyum. Hatinya ceria melihat anaknya
gembira semula. Setelah Izlan mengecewakan anaknya, dia
tidak sanggup melihat Nurhana bersedih lagi. Tetapi Nasrul
pula membuat onar. Tidak pasal-pasal menyuarakan hasrat
ingin berkahwin dengan gadis yang pernah menjadi orang
ketiga antara Nurhana dan Izlan dahulu.
“Na balik sini sekejap saja atau nak tinggal kat sini
semula?” Hussin menyoal. Soalan itu sentiasa berlegar-legar
dalam kepala semenjak anaknya pulang ke tanah air.
Kebiasaannya Nurhana hanya pulang beberapa hari. Itu pun
jika ada perkara penting sahaja.
Masalah perkahwinan mengejut antara Nasrul
dengan Rania membuatkan anaknya itu terheret untuk
pulang. Jauh di sudut hati, dia berharap anak gadisnya itu
tidak akan kembali semula ke rumah adik bongsunya yang
berada nun di perantauan.
Nurhana diam sebaik mendengar soalan bapanya.
Dia tunduk, memandang sisa nasi di dalam pinggan.
“Papa tak suka Na duduk sini ke?” Ada sayu dalam
nada suaranya.
“Bukan itu maksud papa. Kalau boleh, papa harap Na
terus tinggal kat sini. Tak kesian ke dengan mama dan papa?
Rumah ni betul-betul sunyi bila Na takde. Kami dapat jumpa
Na pun hanya kalau ada perkara penting saja.”
“Na memang nak duduk kat sini. Tapi Na belum buat
apa-apa keputusan lagi,” tutur Nurhana. Sebenarnya dia tiada
sebarang alasan untuk terus tinggal.
Tidak semena-mena wajah Haznik terpapar di depan
mata. Terkejut, kepala Nurhana terus menggeleng laju. Lekas
dibuang wajah itu daripada terus terbayang dalam ingatan.
“Apa-apa pun keputusan yang Na buat, papa nak Na
beritahu pada papa. Boleh?” ujar Hussin, tidak memaksa.
Nurhana mengukir senyum. Seperti biasa, bapanya
menjadi orang paling memahami dalam keluarga.
“Baik pa,” balas Nurhana.
“Oh ya! Hampir papa terlupa. Bila Na nak ajak Nik
ke mari?”
Soalan Hussin membuatkan Nurhana hampir
tercekik. Lekas-lekas dia meneguk air. Terasa lega tekaknya.
“Macam-macam cerita papa dengar tentang dia
daripada mama kamu. Sampai papa pun rasa teringin benar
nak jumpa dia,” tambah Hussin.
“Papa, sebenarnya Nik tak lebih daripada kawan
biasa aje. Takkanlah Na nak ajak dia datang sini lagi? Nanti
apa pulak yang dia fikir.”
“Na pasti dia cuma kawan biasa? Bukan kawan
luar biasa?” duga Hussin lagi. Diamati lama wajah anak
perempuannya itu.
“Nik cuma kawan biasa aje. Mama memang sengaja
tokok tambah cerita. Padahal Na dengan Nik tak ada apa-apa
pun.”
“Bukannya takde apa-apa. Tapi belum ada apa-apa.”
Hussin membetulkan.
“Hesy papa ni...” Nurhana tarik muka. Sejak bila
pula papa jadi sekepala dengan mamanya?

NURHANA MELANGKAH keluar dari butik dengan
beberapa beg kertas di tangan. Puas hati dapat membeli
pakaian baru. Daripada duduk terperuk di rumah, dia lebih
suka menghabiskan masanya di pusat membeli-belah.
Sekurang-kurangnya masa berlalu lebih pantas. Sedar-sedar
saja sudah petang.
Langkahnya terhenti apabila terdengar bunyi dari
dalam tas tangan. Dikeluarkan telefon bimbit untuk membaca
WhatsApp yang baru diterima daripada ibunya.
Keluar dengan siapa?
Sorang-sorang aje, ma.
Nurhana menekan butang hantar. Dia lebih selesa
keluar sendirian tanpa ditemani kawan-kawan. Setelah dua
tahun di luar negara, dia terputus hubungan dengan ramai
orang. Hendak menghubungi semula, dia rasa segan. Manalah
tahu kalau-kalau mereka sibuk dengan keluarga sendiri.
Kenapa tak ajak mama?
Hendak tergelak dia apabila melihat ikon sedih
yang disertakan di hujung mesej ibunya. Pandai pula ibunya
menggunakan ikon sebegitu.
Mama kan takde kat rumah tadi.
Nurhana menekan butang hantar. Jika ibunya ada
tadi, pasti dia akan mengajak wanita itu menemaninya.
“Hana! Tak sangka boleh terserempak dengan awak
kat sini. Bila awak balik?”
Nurhana tersentak lantas terdongak. Dia seolah-olah
mengenali jejaka yang sedang berdiri di depannya itu.
Suaranya juga seakan sering didengar sebelum ini. Diteliti
wajah jejaka yang berjambang rapi itu.
“Takkan awak dah tak kenal saya lagi? Ini sayalah,
Izlan.”
Nurhana terperanjat sekali lagi. Anehnya, dia tidak
terasa seperti mahu marah kepada Izlan. Sejak dia pulang, dia
begitu risau apa yang akan terjadi apabila dia bertemu dengan
lelaki itu. Tetapi kini, dia tidak rasa apa-apa. Kosong. Kenapa?
“Bila awak balik?”
“Baru aje,” Nurhana menjawab pendek. Dia terasa
kekok apabila mata jejaka itu asyik melekat di wajahnya. Ada
apa-apa yang tak kena ke?
“Awak nampak makin cantik, Hana.” Izlan memuji.
“Thanks. Awak pulak nampak... lain.”
Izlan tertawa sebaik mendengar kata-kata Nurhana.
Namun Nurhana hanya tersenyum kelat.
“Mungkin sebab ini,” Izlan mengusap jambang halus
di wajahnya.
Nurhana mengangguk, mengiakan. Orang lain
mungkin nampak selekeh apabila berjambang. Tetapi berbeza
pula dengan Izlan. Penampilannya terjaga rapi.
“Awak buat apa kat sini? Shopping?”
“Ya, shopping,” jawab Nurhana, pendek.
“Banyak baju dan kasut yang awak beli? Dulu
setiap kali kita keluar, awak mesti akan beli banyak baju dan
kasut. Sampai tak cukup tanganlah,” Izlan tergelak ketika
mengenang kisah lama.
Nurhana tidak memberi respons. Dia tidak berminat
untuk meneruskan perbualan. Apatah lagi mengingatkan
kembali apa yang terjadi antara dia dengan Izlan dahulu.
“Awak dah lunch? Kalau awak belum makan, apa kata
saya belanja awak? Kita boleh makan kat restoran kegemaran
awak. Awak suka makan ketam bercili, kan?”
Nurhana teragak-agak. Seboleh-bolehnya dia mahu
mengelak daripada bertemu dengan Izlan. Kini jejaka itu
mahu mengajaknya makan pula. Untuk apa?
“Jomlah Hana. For old time sake,” tambah Izlan,
cuba memujuk apabila Nurhana kelihatan ragu-ragu.
‘For old time's sake?’ Telinga Nurhana panas. Selepas
apa yang berlaku, Izlan fikir mereka boleh duduk semeja dan
berborak seperti kawan lama? Boleh jalan! Tetapi atas alasan
apa yang perlu dia berikan untuk menolak pelawaan Izlan?
Matanya meliar ke kanan. Malas hendak melihat wajah Izlan.
Saat itulah pandangannya mendarat pada wajah seseorang.
Bagai tidak percaya dengan apa yang sedang dia lihat.
“Atau awak masih marah atas apa yang...”
“Nik!” Nurhana melaung nama lelaki yang berada
tidak jauh di depan mereka. Mujur jejaka itu terdengar dan
terus menoleh ke arahnya.
Kening Haznik berkerut, namun terus tersenyum
sebaik melihat lambaian tangan Nurhana. Dia bergerak,
mendekati gadis itu.
“Hana, awak...”
“Nik, awak pergi mana tadi? Awak tahu tak, dah
berapa lama saya tunggu awak?” Potong Nurhana, memaut
lengan Haznik. Dihantar isyarat dengan mata agar jejaka itu
membantunya. Dia harap kehadiran Haznik dapat menghalau
Izlan daripada terus mengganggu ketenteramannya.
Haznik tersenyum. Tertanya-tanya Nurhana
dibuatnya. Adakah jejaka itu faham dengan isyaratnya atau
langsung tidak mengerti apa-apa?
“Kenapa? Awak dah rindukan saya, ya? Saya pergi
ke kedai tu sekejap, beli hadiah ni untuk awak,” Haznik
menghulurkan kotak yang telah berbungkus cantik kepada
Nurhana.
Giliran Nurhana pula terkejut. Namun dia cuba
mengawal ekspresi wajah sebaik mungkin.
“Terima kasih,” ucap Nurhana. Teragak-agak dia
menyambutnya.
“Saya belikan awak jam tangan baru, sebab jam awak
dah lama. Memang patut digantikan dengan jam yang baru,”
ujar Haznik.
Wajah Izlan berubah kelat. Sejak tadi dia diam
memerhati. ‘Siapa lelaki ni? Kenapa Hana nampak terlebih
mesra pulak dengan lelaki ni?’
“Siapa dia ni, Hana?” Haznik terlebih dahulu
bertanya.
“Oh, terlupa pulak. Sayang, ni Izlan. Izlan, this is
Nik.” Nurhana memperkenalkan, ringkas.
Kedua-dua lelaki itu saling berjabat tangan. Namun
Nurhana dapat lihat senyuman Izlan seperti dipaksa-paksa.
“Kawan awak?” Izlan bertanya, didesak rasa ingin
tahu. Perkataan ‘sayang’ tadi sudah cukup buat dia makan
hati. Dia harap sangat Nurhana dengan lelaki itu hanya
berkawan.
“Taklah. Saya tunang Hana,” jawab Haznik,
mengundang dua pasang mata memanah tepat ke wajahnya.
Mata Nurhana dan Izlan.
“Tahniah,” ucap Izlan, kelat. Perasaannya begitu
payau. Gadis ini sudah bertunang? Begitu cepat dirinya
dilupakan. Patutlah Nurhana melayannya endah tidak endah
sahaja tadi.
“Bila majlisnya?” Izlan sekadar bertanya. Walhal dia
tidak ingin mendengar jawapan bagi soalannya itu.
“Tak lama lagi. Betul tak, sayang?” Haznik menjawab
penuh yakin.
Nurhana hanya tertawa mendengar soalan Haznik.
Ditampar lembut lengan jejaka itu. Dalam diam dia
menghantar ugutan. ‘Janganlah cakap yang bukan-bukan!’
“Nanti jemputlah datang,” tambah Haznik lagi,
membuat kepala Nurhana hampir meletup di situ.
“Mungkin saya sibuk waktu itu. Anyway, nice to meet
you.” Pandangan Izlan mendarat lama ke wajah Nurhana.
Namun dia akhirnya meminta diri sebelum berlalu pergi.

“SEJAK BILA saya jadi tunang awak?” tanya Nurhana apabila
dia pasti Izlan sudah pergi. Lelaki di depannya ini benar-benar
di luar jangkaan. Beri betis, hendak paha! “Dan ambil balik
barang awak ni!” Nurhana menyerahkan semula kotak yang
berbungkus cantik yang diberikan oleh Haznik tadi.
“Lepas awak dah pegang-pegang tangan saya dan
mempergunakan saya untuk lepaskan diri, awak nak marah
saya pulak? Begini cara awak balas budi saya? Langsung tak
nak ucapkan terima kasih. Macam mana kalau saya takde
tadi?” balas Haznik.
“Okey, saya minta maaf. Puas hati?”
“Ada ke patut awak minta maaf macam tu. Bunyinya
macam tak ikhlas aje,” cebik Haznik.
“Ikhlas atau tak, itu belakang punya cerita. Tapi
awak tak patut kata yang awak tu tunang saya. Macam mana
kalau Izlan tahu semua tu hanya rekaan semata-mata? Apa
awak nak buat kalau dia betul-betul percaya dan nak datang
ke majlis yang takkan wujud tu?”
“Apa susah? Kita kahwinlah betul-betul.”
‘Amboi... bukan main sedap mulut dia bercakap!’
Nurhana rasa hendak cubit-cubit sahaja mulut lelaki itu.
Tetapi jika bukan kerana Haznik, dia tidak tahu bagaimana
hendak mengelakkan diri daripada Izlan tadi. Nurhana tarik
nafas dalam-dalam. ‘Sabar, Hana. Sabar!’
“Macam inilah. Lebih baik kita lupakan saja apa yang
dah jadi tadi. Kata orang, barang yang lepas jangan dikenang.
Awak belum makan, kan? Apa kata saya belanja awak makan?”
ajak Haznik.
“Kenapa semua orang nak belanja saya makan hari
ni? Tadi Izlan. Sekarang awak pulak. Hari ni hari belanja
makan sedunia ke?”
Berdekah-dekah tawa Haznik sebaik mendengar
kata-kata Nurhana.
Besar kecil besar kecil mata Nurhana merenung
jejaka itu. Seronok betul mentertawakan dirinya.
“Kelakar betullah awak ni. Kalau awak tak nak saya
belanja, takpe. Saya tak kisah. Tapi memandangkan saya
dah tolong awak tadi, awak kena belanja saya makan. Saya
teringin nak makan sirloin steak hari ni.” Haznik meminta
tanpa segan.
“Saya? Belanja awak makan?” Nurhana menuding
jari ke atas dirinya sendiri. Biar betul?
“Yalah! Kenapa? Awak tak nak? Fine! Biar saya pergi
cari Izlan dan beritahu dia perkara yang sebenar sekarang
jugak.” Haznik terus buka langkah.
“Okey, saya belanja! Saya belanja!” Nurhana pantas
mencapai lengan Haznik, menghalang lelaki itu pergi.
“Tengok tu, awak pegang tangan saya lagi.”
Sepantas kilat Nurhana melepaskan tangan Haznik.
“Awak nak makan kat mana?” Nurhana segera
mengalih bicara. Rambutnya yang menghalang pandangan
diselak ke belakang telinga.
“Makan kat mulutlah.”
“Awak ni kan...”
“Tunggu sekejap!” pintas Haznik.
“Kenapa?” Nurhana tertanya-tanya apabila wajah
Haznik tiba-tiba berubah gelisah dan teraba-raba poket
seluarnya sendiri.
“Telefon saya. Tadi telefon tu ada dalam poket seluar
saya.”
“Kenapa? Telefon awak hilang ke?” soal Nurhana,
seakan dapat meneka apa yang telah terjadi.
“Boleh awak tolong call nombor saya?” pinta Haznik,
nampak hilang punca.
Dek kasihan, Nurhana terus mengeluarkan
telefonnya dan mendail nombor jejaka itu. Terdengar bunyi
deringan dari arah Haznik. Apabila dia mendongak, Nurhana
melihat senyuman sudah terukir di bibir jejaka itu.
“Punyalah susah nak dapatkan nombor awak.
Macam minta intan berlian,” rungut Haznik. Senyumannya
meleret-leret. Dia segera menyimpan nombor telefon yang
berjaya dia peroleh.
Nurhana sudah kehilangan kata-kata. Tidak terlintas
dalam kepalanya bahawa dia akan terperangkap dengan taktik
jejaka itu. Namun kali ini dia tidak terasa hendak marah
seperti biasa. Biarlah jejaka itu menyimpan nombornya.
Alamat rumahnya pun sudah diketahui oleh Haznik. Apalah
sangat yang ada dengan nombor telefon?
“Nama awak Hana sahaja ke?” Haznik bertanya.
Diangkat pandangan, bertembung dengan sepasang mata
bundar milik gadis itu. Terpukau seketika melihat keindahan
ciptaan Tuhan.
“Nurhana.”
“Nurhana,” Haznik mengulang, seolah-olah ingin
memahat nama itu dengan kukuh dalam ingatan.
Nurhana cuba untuk berlagak tenang walaupun
debar hatinya berentak laju saat jejaka itu menyeru nama
penuhnya. Apa yang tidak kena dengan hatinya agaknya?
“Jom kita pergi makan,” ajak Haznik.
“Okey.” Nurhana bersetuju tanpa berfikir panjang.

Demi Rindumu - Bab 4

MASUK hari ketiga, kereta Nurhana akhirnya
siap dibaiki. Seorang mekanik menghantar keretanya terus ke
rumah bersama seorang rakan yang menunggang motosikal.
Walaupun pertama kali bertemu, pemuda yang menggelar
dirinya sebagai Alex itu amat peramah dan suka bergurau.
Mungkin taktik perniagaan.
“You girlfriend Nik, kan? Nik punya pasal, I bagi you
harga diskaun. Nanti jangan lupa beritahu Nik, tau.” Sempat
Alex mengingatkan.
Nurhana hanya tersenyum tanpa sebarang kata.
Tidak dia mengiakan atau menafikan. Lebih-lebih lagi apabila
harga yang ditawarkan Alex kepadanya memang murah.
“Terima kasih, Alex,” ucap Nurhana selepas selesai
membayar. Wang berganti tangan. Alex menyerahkan resit
kepadanya.
“Sama-sama kasih,” balas Alex, berseloroh sebelum
tergelak sendiri.
Nurhana tertawa sama. Terus dia teringat akan
Haznik. Nampak sangat dua orang lelaki itu berkawan baik.
Perangai pun dua kali lima sahaja.
“Lain kali kalau kereta jadi apa-apa hal, you mesti
call I tau. I akan datang dalam sekelip mata,” Alex membuat
isyarat telefon dengan tangan lalu dirapatkan ke telinganya.
“No problem.” Nurhana membalas, senang.
Selesai segala urusan pembayaran, Alex
meninggalkan rumahnya dengan menaiki motor rakan yang
mengikutinya tadi. Nurhana terus menutup pintu pagar dan
masuk ke dalam rumah.
Pagi itu, rumahnya sunyi sepi sahaja. Kedua ibu
bapanya tiada di rumah. Bapanya bekerja dan hanya akan
pulang petang nanti. Ibunya pula keluar untuk berjumpa
kawan lama. Eratkan silaturahim katanya.
Langkah Nurhana diatur terus ke dalam bilik.
Dihempaskan tubuh ke atas katil. Baru beberapa hari berada
di tanah air, dia sudah dihimpit rasa bosan. Perlukah dia
mencari kerja? Atau kembali semula ke Sydney setelah
menyudahkan urusan dengan abangnya?
Nurhana berpaling ke sisi, memandang meja kecil
di tepi katil. Pandangannya jatuh ke arah kad nama yang
diletak elok di tepi bekas kristal berisi barang kemasnya.
Terbayang-bayang wajah Haznik. Perlukah dia beritahu lelaki
itu bahawa keretanya sudah siap dibaiki?
Segera dia mencapai telefon bimbit. Jari-jemari
bermain-main di atas skrin telefon bimbitnya. Kemudian
matanya terarah pada cincin yang tersarung di jari manis.
Mindanya melayang mengenangkan kata-kata Haznik
tempoh hari.
‘Awak mungkin tak nak dengar cakap-cakap
daripada orang yang baru awak kenal
macam saya. Tapi awak tak rasa ke dua
tahun tu tempoh yang terlalu lama?”
‘Ya, memang lama.’ Perlahan-lahan Nurhana
menanggalkan cincin tersebut. Terasa janggal apabila tiada
apa membelenggu jarinya. Lama dia merenung cincin
tersebut sebelum diletakkan ke dalam laci.

NURHANA BERGEGAS keluar dari bilik apabila terlihat
sebuah BMW hitam masuk ke pekarangan rumah dari jendela.
Anak tangga dituruni satu per satu sepantas mungkin. Sebaik
tiba di tingkat bawah, pandangannya jatuh pada seorang lelaki
yang sedang duduk di atas sofa. Lelaki itu selamba mencapai
alat kawalan jauh dan menghidupkan televisyen. Ruang yang
sunyi mulai dipenuhi riuh gelak tawa rancangan hiburan dari
Korea.
Nurhana berjalan tenang ke ruang tamu. Dia
duduk di sofa bertentangan. Direnung tajam wajah lelaki di
hadapannya itu. Selepas dua tahun, wajah lelaki itu masih
tidak berubah. Cuma ada sedikit garis kematangan di hujung
pelipat mata. Rambut pula nampak lebih pendek berbanding
kali terakhir dia lihat dua tahun lalu.
“Sampai bila Na nak tenung abang?” soal Nasrul,
selamba. Sedikit pun tidak rasa gentar dengan tenungan
adiknya itu.
Suasana antara mereka berdua penuh tegang. Sejak
tiba, Nurhana tidak bercakap walau sepatah pun. Dirinya
ditenung seakan-akan ingin ditelan hidup-hidup.
“Abang serius?”
“Ya, abang sihat. Terima kasih kerana bertanya.”
Perli Nasrul. Selepas dua tahun, sepatutnya Nurhana bertanya
khabar dahulu.
“Abang jawab soalan Na dulu. Betul abang serius nak
kahwin?”
Nasrul hembus nafas berat. “Ya.”
“Bukan main-main?”
“Bukan.”
“Kenapa abang nak kahwin dengan dia? Kenapa
mesti dia?”
Nurhana masih ingat lagi betapa terkejutnya dia
apabila menerima kad undangan perkahwinan daripada
sepupunya yang pulang ke Sydney setelah melawat rakan di
Malaysia. Hatinya remuk saat melihat nama yang tertera.
“Abang nak kahwin dengan Rania sebab abang
cintakan dia.”
Cintakan Rania??? Rasa hendak termuntah Nurhana
mendengarnya.
“Dua tahun berlalu dan akhirnya abang dah
betul-betul hilang akal,” ujar Nurhana, penuh sinis.
Nasrul hanya tersenyum, langsung tidak rasa
tersinggung. Awal-awal lagi dia sudah menjangkakan reaksi
sebegini daripada Nurhana.
“Dah takde perempuan lain ke kat dunia ni, bang?
Kenapa mesti dia yang jadi bakal isteri abang?”
“Memang ada ramai perempuan lain tapi takde
perempuan yang seksi dan hot macam Rania.” Selamba
sahaja Nasrul mengucapkannya.
“Abang, takkan abang tak tahu yang Rania nak
kahwin dengan abang sebab duit aje! Dia bukannya betul-betul
cintakan abang pun,” luah Nurhana.
Sebelum ini Rania itu kawan karibnya. Ke mana
sahaja, mereka akan bersama-sama bak belangkas. Dia
senang bersama Rania kerana mereka mempunyai minat dan
kegemaran yang sama.
Langsung dia tidak sangka, Rania hanya
berpura-pura. Tetapi setelah terkena, baru pecah segala
tembelang Rania. Dirinya didekati kerana Rania berminat
dengan apa yang dia miliki. Nurhana tidak mahu perkara
yang sama terjadi ke atas abangnya.
“Kalau betul Rania suka abang sebab apa yang
abang ada, abang pulak suka dia sebab apa yang dia ada.
Masing-masing dapat apa yang kami mahukan. Jadi, tak salah
kan?”
“Abang kena jampi apa ni?” Nurhana tertekan dengan
sikap acuh tak acuh abangnya. Walaupun Nasrul sudah tahu
perangai Rania, tetapi lagaknya seperti tidak kisah sahaja.
“Kalau abang nak berkahwin dengan perempuan
lain, Na tak kisah. Tapi dulu... dia rampas Izlan daripada Na!
Dia dah buat benda tak senonoh dengan Izlan. Abang dah
lupa?” sambungnya lagi.
“Tu semua cerita lamalah, Na. Dah dua tahun pun!
Takkanlah sampai sekarang Na masih syok dekat si Izlan tu?”
Nurhana mengetap bibir geram. Sejak bila abangnya
jadi begitu menyakitkan hati? Nasrul yang berdiri di depannya
ini berkali-kali ganda lebih teruk daripada dulu!
“Fine! Abang nak sangat kahwin dengan Rania?
Kahwinlah! Tapi jangan harap Na akan datang majlis abang
tu!”
“Na...” Nasrul memanggil adiknya tetapi tidak
dilayan.
Hati Nurhana remuk. Dia kecewa kerana rasa dirinya
dikhianati sekali lagi. Kali ini dia dikhianati oleh abang
kandungnya sendiri yang memilih Rania berbanding dirinya.

NURHANA MENGHENTAKKAN tangannya pada stereng
beberapa kali. Dia menangis semahu-mahunya. Tergamak
abangnya berkahwin dengan perempuan talam dua muka itu!
Mengapa? Stereng dipukul lagi.
Rania... Memikirkan perempuan itu sahaja sudah
membuat hatinya jadi sakit. Setelah merampas Izlan,
abangnya pula yang jadi sasaran? Mengapa perempuan itu
tergamak melakukan semua ini ke atas dirinya? Apa salahnya?
Ketukan perlahan pada cermin kereta membuat
tangisan Nurhana terhenti. Dikesat air mata dengan belakang
tangan sebelum mendongak. Pandangannya mendarat pada
wajah yang amat dia kenali.
Haznik? Apa lelaki itu buat di sini? Selepas bertengkar
dengan abangnya, Nurhana memandu keretanya tanpa arah.
Dia perlu tenangkan diri. Dia hanya berhenti memandu dan
memarkirkan kereta di bahu jalan apabila keletihan.
“Are you okay?” Raut wajah Haznik jelas risau.
Nurhana menekan butang, menurunkan cermin
tingkap kereta.
“Saya okey.” Suara Nurhana serak.
“Boleh saya masuk?” Haznik meminta izin.
Biarkan lelaki itu masuk ke dalam keretanya?
Nurhana sudah berkira-kira untuk mengatakan tidak.
Dia mahu bersendiri. Namun kepalanya terlebih dahulu
mengangguk, tanda memberi keizinan.
Haznik mara ke arah tempat duduk sebelah. Pintu
kereta dibuka dan dia terus melangkah masuk ke dalam.
“Nah,” Haznik menghulurkan sapu tangannya
kepada gadis itu. Hulurannya bersambut. Dibiarkan
Nurhana menyapu sisa air matanya. Buat seketika dia diam,
membiarkan gadis itu mengambil masa untuk bertenang.
“Terima kasih,” ucap Nurhana. “Tapi awak tak patut
ada kat sini,” tambah Nurhana. Dia tidak mahu Haznik
terus terlibat dalam hidupnya. Cukuplah jejaka itu telah
membantunya tempoh hari.
“Saya tak boleh tahan kalau nampak perempuan
menangis. Saya rasa macam saya kena buat sesuatu supaya
mereka tak mengalirkan air mata lagi,” Haznik berwajah
serius namun hanya mengundang tawa Nurhana.
“Awak dan ayat awak...” Nurhana tergeleng-geleng
sebelum berdesis perlahan. Bicara Haznik membuat dia
terlupa seketika akan pertengkarannya dengan Nasrul tadi.
Haznik tersenyum melihat Nurhana sudah kembali
ketawa. Sejujurnya, dia ingin tahu mengapa gadis itu
bertengkar dengan abangnya sendiri. Apakah yang telah
membuatkan gadis itu mengalirkan air mata? Dia hanya
sempat mendengar beberapa ayat sahaja. Tentang kahwin,
Rania dan... Izlan. Entah mengapa, timbul rasa tidak suka
apabila mendengar nama lelaki itu. Apa hubungannya dengan
Hana? Diakah yang hampir mengahwini Hana dahulu?
“Walaupun kita baru kenal, awak boleh ceritakan
masalah awak pada saya. Saya boleh dengar.” Haznik begitu
tulus menawarkan khidmat.
“Takpe. Saya okey.”
“Saya tak tahu apa yang dah jadi, tapi jangan terlalu
fikirkan masalah tu. Awak kena jaga diri awak. Jangan biarkan
masalah tu buat awak tertekan.”
Nurhana tersenyum nipis. Kebimbangan yang
dipamerkan Haznik membuatkan dia rasa terharu.
“Macam mana awak boleh ada kat sini?” Nurhana
melihat melalui cermin pandang belakang. Ada sebuah kereta
di belakang keretanya. Apa yang pasti, itu bukan kereta sama
yang dipandu Haznik tempoh hari.
“Mungkin jodoh kita kuat?” balas Haznik,
mengundang gelengan kepala Nurhana. “Nampaknya awak
dah dapat balik kereta awak,” sambung Haznik, cuba mengalih
perhatian Nurhana. Diperhatikan seisi ruang kereta. Kereta
inilah yang tersadai di tepi jalan tempoh hari.
“Ya, Alex yang hantar kereta saya minggu lepas.”
“Kenapa awak tak beritahu saya?” rungut Haznik.
Ditarik wajah masam mencuka. Kekecewaan jelas kedengaran
dari nada suaranya.
“Saya kena beritahu awak ke?”
Haznik tidak menjawab. Selepas menghantar
Nurhana pulang, hampir setiap masa dia tidak berenggang
dengan telefon. Bimbang jika tidak sempat menjawab
panggilan, WhatsApp atau SMS daripada Nurhana. Tetapi
tiada satu pun yang dia terima.
“Macam mana awak boleh ada kat sini?”
“Sampai hati awak, ya? Takpe... saya faham kalau
awak nak jual mahal. Jangan risau... mahal macam mana
pun, saya sanggup beli.”
“Awak ni ada-ada saja,” Nurhana ketawa perlahan
sebelum menyelak rambutnya ke belakang telinga. Tiada lagi
cincin di jari manisnya.
“Awak dah ketawa. Jadi, tugas saya di sini dah selesai.
Saya nak balik, berehat. Awak jangan menangis lagi, ya...”
pesan Haznik seraya membuka pintu.
“Nik,” panggil Nurhana, sebelum Haznik sempat
memijakkan kakinya ke luar.
Haznik berpaling.
“Kenapa awak buat semua ni? Awak dan saya
langsung takde sebarang kaitan antara satu sama lain. Awak
cuma jiran rumah sebelah abang saya. Kalau awak terus
bersikap macam ni, saya takut tersalah faham.” Berhati-hati
Nurhana menuturkan kata-kata. Semenjak bertemu Haznik,
Nurhana menguatkan benteng agar hatinya tidak mudah
terusik dengan keletah jejaka itu. Tetapi bahasa tubuh dan
perhatian Haznik membuatkan jiwanya diusik perasaan
halus.
Berkerut dahi Haznik.
“Salah faham yang macam mana? Awak fikir saya
nak mengurat awak ke?”
Nurhana teragak-agak, namun dia akhirnya
mengangguk. Jejaka itu terus tertawa melihat reaksinya.
Nurhana jadi malu sendiri. Dia sudah tersilap ke?
“Jangan risau. Awak tak salah. Memang saya nak
mengurat awak pun,” luah Haznik, jujur.
Nurhana terpempan. Lidahnya terus kelu mendengar
pengakuan Haznik. Dia mahu bertanya lagi, namun jejaka itu
sudah turun dari keretanya.
“Kalau rindu... awak ada nombor telefon saya, kan?”
soal Haznik.
Nurhana tidak sempat menjawab. Haznik sudah
menutup pintu dan bergerak ke arah keretanya. Hanya
pandangan mengekori lelaki itu sehingga kereta yang dipandu
jejaka itu menderum laju.

Demi Rindumu - Bab 3

NURHANA garu kepala. Dia baru sahaja
membiarkan seorang jejaka yang baru dikenali masuk ke
dalam kediaman mereka. Ibunya pula terlalu ramah melayan
tetamu baru itu.
Bagaimana jika Haznik berniat jahat? Andaian itu
terlintas dalam kepala. Tetapi kalau benar Haznik bukan lelaki
yang baik, tidak mungkin dia akan dihantar ke rumah dalam
keadaan selamat. Nurhana tergeleng-geleng, kesal dengan
diri sendiri. Tidak habis-habis mahu bersangka buruk.
“Dah lama Nik kenal dengan anak aunty?” Mariam
memulakan sesi temu duga. Diperhatikan wajah anak muda
di hadapannya itu. Sejuk matanya memandang.
“Mama...” tegur Nurhana. Darah menyerbu laju
ke muka sebaik mendengar soalan ibunya. Entah apa yang
Haznik fikir nanti.
“Kenapa? Mama dah tak boleh tanya ke?” Mariam
buat muka tak tahu. Pandangannya kembali ke wajah pemuda
di hadapannya.
“Sebenarnya kami kenal tak lama mana. Baru saja,
aunty,” jawab Haznik. ‘Baru beberapa jam yang lepas,’ Haznik
menambah jawapan itu dalam hati. Dia tersengih sendiri.
“Kenapa Na tak pernah cerita apa-apa pun pada mama
tentang Haznik?” Mata Mariam jatuh ke wajah Nurhana.
Nurhana tertunduk, serba salah. Kalaulah ibunya
tahu lelaki itu baru dia kenal tak sampai sehari...
“Nik ni kawan Na dari Sydney ke?”
‘Sydney? Hana buat apa di Sydney? Sambung belajar
di sana ke?’ Soalan itu melintas dalam kepala Haznik.
“Bukanlah mama,” jawab Nurhana. Serba salah dia
hendak menjawab. Perlukah dia beritahu perkara benar saja?
Bahawa lelaki itu baru dia kenal beberapa jam tadi.
“Habis tu? Kawan lama Na? Kenal masa belajar di
universiti dulu ke?” Mariam membuat tekaan sendiri.
“Aunty, sedap betul makanan ni. Aunty yang masak
ke?” Haznik cuba mengalih perhatian Mariam. Dia dapat
mengesan kesulitan di wajah gadis itu.
“Bukan aunty, tapi pembantu rumah aunty yang
masak semua ni.”
“Tapi kalau aunty masak, mesti lagi sedap kan?”
Haznik cuba mengambil hati.
Mariam terus tertawa suka. Dia terlupa terus
soalannya tadi.
Nurhana mulai curiga. ‘Isy, dia ni nak mengurat
mama ke? Selera lelaki zaman sekarang bukannya betul
sangat. Ada yang sukakan wanita matang. Paling teruk, suka
sesama lelaki. Minta simpang!’
“Nik ni ada-ada sajalah. Tambahlah lauk tu,”
Mariam suka benar mendengar kata-kata Haznik. Laju sahaja
tangannya menyenduk gulai ikan ke atas pinggan pemuda itu.
Tidak sempat Haznik hendak menolak walaupun
perutnya sudah kenyang. Disuap jua makanan ke dalam mulut
untuk menyedapkan hati Mariam. Segala soalan Mariam cuba
dijawab sebaik mungkin.
Selesai makan, Haznik bangun dan mengangkat
pinggannya.
“Nik nak pergi ke mana dengan pinggan tu? Nik nak
tambah nasi lagi ke?” Mariam menyoal.
“Bukan aunty. Saya nak bawa ke dapur. Nak cuci
pinggan.”
“Tak payah nak susahkan diri. Nik tinggalkan aje
pinggan tu kat sini. Pandailah Na cuci nanti.”
‘Aku pula yang kena cuci pinggan? Sabar ajelah...’
Nurhana menggumam dalam diam.
“Tapi sebenarnya saya nak guna bilik air ni, aunty.
Bilik air kat mana?”
“Oh, kenapa tak cakap awal-awal? Na, tolong
tunjukkan Nik bilik air mana yang dia boleh guna,” pinta
Mariam.
Nurhana bangun, segera menurut. Lelaki itu hanya
mengekorinya dari belakang.
“Mama awak peramah betul orangnya,” ujar Haznik.
Tak macam anaknya ini.
“Bukan main awak ambil hati mama saya. Ada
apa-apa ke?” Nurhana menyuarakan kebimbangannya.
Tawa Haznik meletus perlahan. Negatif sungguh
minda gadis ini.
“Awak rasa?” Haznik cuba menduga.
“Saya rasa awak boleh guna bilik air ni.” Nurhana
menunjukkan bilik air kepada Haznik. Malas hendak melayan
kerenah jejaka itu. Sampai tahun depan pun takkan habis.
Usai berbicara, dia terus kembali ke ruang tamu.
“MACAM MANA tadi, Na? Dapat jumpa Rul tak? Apa dia kata?”
soal Mariam sebaik sahaja melihat kelibat anaknya.
“Tak jumpa pun, ma. Buat penat aje Na pergi sana.
Abang bukannya ada kat rumah pun. Rupa-rupanya dah dua
hari dia tak balik. Entah kat mana dia tidur, Na pun tak tahu.
Dahlah telefon tak nak angkat,” adu Nurhana.
Mariam menghela nafas perlahan.
“Mama sendiri tak tahu apa nak jadi dengan abang
Na tu. Takde angin takde ribut, tiba-tiba buat keputusan
mengejut. Mama dan papa ingat, abang kamu main-main aje.
Tapi kami silap. Sampai sekarang mama tak boleh terima,
Na.”
“Na pun tak faham. Baru dua tahun Na pergi,
macam-macam perkara pula yang jadi. Tapi kita tak boleh
biarkan abang macam tu saja, mama. Macam mana dengan
papa? Takkan papa tak cakap apa-apa?” Runsing Nurhana
memikirkannya.
“Na macamlah tak kenal dengan abang Na tu.
Perangai Na dengan Nasrul dua kali lima saja. Kalau dah
nekad, takde siapa pun yang boleh halang.”
“Tapi...” Kata-kata Nurhana mati apabila terdengar
derap langkah mendekatinya. Dia menoleh. Wajah Haznik
memenuhi ruang pandangan.
“Aunty, terima kasih sebab jemput saya makan
tengah hari. Rasanya boleh kenyang sampai esok ni,” ucap
Haznik, menepuk-nepuk perutnya.
‘Elok sungguh perangai!’ Nurhana menggeleng
melihat Haznik tersengih-sengih.
“Bukannya susah mana pun. Tanti yang sediakan
semuanya. Aunty tukang tunjuk aje. Lain kali, Nik tak payah
segan-segan, datang aje ke rumah aunty ni.”
‘Mama ingat rumah kita ni kedai makan, buka 24
jam ke?’ Nurhana geleng kepala.
Haznik tertawa. Dilemparkan pandangan ke arah
Nurhana yang nampak tidak setuju dengan kata-kata ibunya.
“Kalau Hana jemput, mungkin saya akan datang.”
Haznik buat-buat tidak nampak Nurhana yang menjegilkan
mata kepadanya.
“Jangan risau. Aunty akan pastikan Na jemput Nik
lagi. Bolehlah Nik kenal dengan papa Na pulak.”
Nurhana terasa hendak tepuk dahi untuk kesekian
kalinya.
“SAYA TAK tahu kenapa mama saya begitu mudah percayakan
awak,” ujar Nurhana, ketika menghantar Haznik keluar dari
rumah. Cahaya matahari yang menyuluh tepat memaksa
Nurhana meletakkan tangannya ke dahi, untuk memayungi
wajahnya. Berkerut wajahnya menahan silau.
Haznik tidak segera menjawab. Sebaliknya dia
bergerak ke tepi. Bayang-bayangnya menjadi tempat teduh
untuk Nurhana.
Nurhana menurunkan tangannya dari dahi. Dia sedar
apa yang baru dilakukan oleh jejaka itu. Perhatian Haznik ke
atas perkara kecil seperti itu menerbitkan rasa aneh. Namun
sepantas itu jua Nurhana membuang rasa itu jauh-jauh.
“Awak pun mudah percaya pada saya. Kenapa?”
“Mana saya tahu? Entah-entah awak ada pakai jampi
tak?”
“Mana ada. Awak yang dah pukau saya. Sebab tu
mata saya asyik melekat pada awak aje.”
Nurhana tergeleng-geleng. Jejaka itu seakan-akan
tidak boleh berhenti daripada cuba mengusik hatinya.
Mujurlah luka di dalam masih terasa pedih. Jika tidak,
mungkin dia juga akan tertawan.
Haznik bermain-main dengan kunci keretanya. Dia
sedang berkira-kira untuk membuka pintu kereta. Namun
akhirnya dia berpusing dan menyandarkan tubuh pada kereta.
“Sebenarnya mama awak dah ceritakan pada saya,”
tutur Haznik.
Timbul garis di dahi Nurhana. Cerita tentang apa?
Haznik teragak-agak untuk menyambung bicara.
Ketika Nurhana membasuh dan mengemas pinggan tadi,
dia sempat berbual dengan ibu Nurhana. Masih dia teringat
perbualannya dengan wanita peramah itu.
“Nik tak kisah ke dengan apa yang jadi pada Na
dulu?” Mariam bertanya separuh berbisik, seakan tidak mahu
perbualan mereka didengari oleh Nurhana yang berada di
dapur.
‘Apa pula yang dah jadi?’ Haznik kebingungan.
“Saya tak kisah,” balas Haznik walaupun langsung
tidak tahu apa-apa.
“Legalah aunty kalau macam tu. Sejak dia tak jadi
kahwin dengan Izlan dua tahun dulu, aunty risau sangat
kalau-kalau Na patah hati dan tak nak buka hati untuk sesiapa
lagi.”
‘Tak jadi kahwin? Patah hati?’ Kata-kata Mariam
berulang-ulang beberapa kali dalam mindanya. Haznik segera
teringatkan cincin di jari Nurhana. Apabila disusun setiap
kepingan teka-teki, dia seakan-akan dapat menduga apa yang
telah terjadi.
“Tapi bila aunty tengok Na dengan Nik hari ni, aunty
rasa senang hati sangat-sangat.”
Haznik diam tanpa berkata apa-apa. Kasihan pula
kepada wanita di hadapannya ini, harapannya setinggi
gunung. Sedangkan dia sendiri tidak tahu nama penuh Hana.
“Awak mungkin tak nak dengar cakap-cakap
daripada orang yang baru awak kenal macam saya. Tapi awak
tak rasa ke dua tahun tu tempoh yang terlalu lama?” Haznik
merenung wajah gadis di hadapannya itu.
“Oh...” Fahamlah Nurhana dengan apa yang cuba
disampaikan jejaka itu. Dia menarik wajah tidak senang.
Senyumannya terus hilang. Mamanya pun satu! Kenapalah
diceritakan perkara itu kepada Haznik?
Haznik meneliti wajah Nurhana. Gadis itu nampak
tidak senang apabila perkara itu dibangkitkan. Adakah dia
sudah melampaui batas?
“Saya cuma cakap saja. Awak nak dengar atau tak,
terpulang. Lagipun siapalah saya untuk masuk campur
dalam hal awak, kan?” Cepat-cepat Haznik berkata, untuk
memulihkan keadaan.
Bibir Nurhana kembali melorek senyum. Haznik
begitu bijak menjaga hati. Mungkin sebab inilah ibunya suka
sangat dengan jejaka itu.
“Saya akan fikirkannya. Dan terima kasih sekali
lagi kerana hantar saya.” Nurhana masih tahu untuk
berbudi bahasa. Lelaki itu telah menghantarnya pulang ke
rumah dengan selamat. Sekurang-kurangnya, dia harus
menzahirkan rasa terima kasihnya.
“Kasih diterima,” balas Haznik, penuh canda
sebelum membuka pintu keretanya.
Nurhana tergeleng-geleng sahaja mendengar
jawapan balas Haznik.
“Bye,” ucap Nurhana seraya melambaikan tangan.
Namun Haznik pantas menggeleng.
“Jumpa lagi.” Dia membetulkan. Enjin kereta
dihidupkan. Haznik memijak pedal minyak sebelum
menghilang dari pandangan Nurhana.
Nurhana tunduk memandang kad nama di tangan.
Jejaka itu sempat memberi kad nama mekanik kereta yang
dihubunginya tadi. Dipusingkan kad nama tersebut. Tertera
satu nombor bertulis tangan. Kemas dan teratur sahaja
tulisan itu.
Tanpa sedar bibir Nurhana meleret dengan
senyuman.
“NIK DAH balik ke?” Mariam terus menyoal sebaik sahaja
Nurhana masuk ke dalam rumah.
Serba salah Nurhana dibuatnya. Pandangannya
ditebarkan ke arah lain, tidak sanggup bertentang mata
dengan ibunya itu.
“Dah, mama.” Nurhana segera menyusun langkah
laju ke biliknya. Dia enggan terus disoal oleh ibunya mengenai
Haznik.
“Nik tu nampak baik budaknya. Mama suka,”
beritahu Mariam, penuh makna.
Langkah Nurhana terhenti. Semenjak dia pulang ke
Malaysia, ibunya sering mengasak dirinya dengan isu kahwin.
Padahal mereka ada isu yang lebih besar iaitu tentang Nasrul.
“Mama...”
“Mama tak cakap apa-apa. Mama cuma kata mama
sukakan dia,” ujar Mariam. Padahal memang dia suka jika
anak gadisnya itu dapat berkawan rapat dengan Haznik.
“Kalau mama suka dia, papa nak letak kat mana?”
“Hesy, ke situ pulak Na ni! Mama kata mama suka
kalau Na berkawan dengan Nik. Lagipun dia masih bujang
lagi, kan? Hah, sesuai sangatlah kalau berkawan dengan Na
yang masih single ni.”
Nurhana terdiam. Terbayang-bayang wajah Haznik
yang sentiasa mesra dengan senyuman. Lelaki itu pandai
bergurau dan mempunyai pesona tersendiri. Mustahil belum
berpunya.
“Apa kerja dia, Na?” tanya Mariam lagi.
“Entahlah, mama. Na tak sempat pulak nak tanya
semua tu pada dia,” jawab Nurhana, jujur. Baru hari ini dia
mengenali Haznik. Itu pun secara kebetulan. Mana mungkin
dia hendak bertanya semua itu.
“Lain kali Na bawalah dia datang ke sini lagi. Boleh
kenal-kenal dengan papa Na pulak,” saran Mariam. Dia
hendak tahu lebih banyak tentang pemuda itu. Pelbagai
soalan bermain dalam kepalanya tadi tetapi dipendam sendiri.
Mariam tidak mahu Haznik fikir yang tidak-tidak apabila
terlalu banyak ditanya.
“Mama, Na dengan dia baru kenal. Tak sampai satu...”
Nurhana segera mengetap bibir. Tidak terkeluar perkataan
‘hari’ pada ayatnya tadi.
“Tak sampai satu apa? Satu tahun? Na ambillah
masa untuk kenal dia perlahan-lahan. Mama bukannya nak
Na kahwin hari ini jugak.”
Nurhana buat-buat tidak dengar. Susah juga
bercakap dengan ibunya ini.

Demi Rindumu - Bab 2

TERKEBIL-KEBIL mata Nurhana. Tiba-tiba
sahaja jejaka itu memperkenalkan diri. Permainan apakah
semuanya ini?
“Awak boleh panggil saya Nik. N-I-K. Nama awak?”
Haznik bertanya. Ditatap wajah gadis di hadapannya itu.
Garang tetapi manis.
“Hana.” Tanpa sedar meluncur jawapan dari mulut
Nurhana. ‘Eh, nanti dulu! Kenapa aku beritahu nama aku
pada lelaki ni?’ Nurhana cuba mencari alasan di sebalik
kealpaan diri. Lelaki ini pakai jampi apa?
“Bagus! Sekarang awak dah kenal saya dan saya pun
dah kenal awak. Jadi bolehlah saya hantar awak balik, kan?”
Haznik mengangkat-angkat keningnya. Nyata tidak kenal erti
putus asa.
Nurhana teragak-agak. Dia memandang pada kereta
yang tersadai di tepi jalan. Kemudian kembali melihat jejaka
di hadapannya.
“Kalau awak tak nak, saya pun tak memaksa.” Haznik
berpusing. Rasanya sudah berbuih mulutnya menawarkan
bantuan. Dia mahu tengok, sampai bila gadis itu mahu
berdegil.
Nurhana jadi panik. Dia memandang sekeliling.
Jalan itu begitu sunyi. Sejak tadi tidak ada walau sebuah teksi
pun yang lalu di situ. Haznik pula hendak meninggalkannya.
Hatinya berbelah bahagi. Terus tunggu di situ atau apa?
“Nik!” Nurhana terpaksa melaung nama lelaki itu.
Langkah Haznik terhenti tetapi dia tidak terus
berpaling. Sebaliknya hanya berdiri tegak di situ dan menanti.
“Ya?” laung Haznik. Bibirnya tersenyum-senyum.
“Saya tumpang kereta awak, boleh?” pinta Nurhana.
Dia tidak ingin ditinggalkan sendiri.
Haznik segera menoleh ke belakang.
“It’ll be my pleasure, my lady,” ujarnya lalu
menunduk sedikit dengan sebelah tangannya di belakang.
Nurhana menarik nafas sedalam-dalamnya.
Lambat-lambat dia mengheret langkah ke kereta Haznik.
Lelaki jenis apalah yang dia temui ini? Keluhan Nurhana
makin panjang.

KERETA CONVERTIBLE yang dipandu oleh Haznik meluncur
laju di atas jalan raya. Angin yang bertiup membuat rambut
Nurhana beralun-alun. Dah macam di tepi pantai. Segera dia
mencekak hujung rambut dengan genggaman tangan.
Sungguh dia tidak selesa. Mujur cuaca pada hari itu
redup sahaja. Kalau panas terik, mahu terbakar wajahnya.
Lelaki ini pun satu. Dia ingat Malaysia ni macam luar negara
ke? Kalau ya pun nak pakai kereta convertible, tengoklah
tempatnya dahulu.
Tidak semena-mena kelajuan kereta menjadi
perlahan. Bumbung kereta dinaikkan dan terus menutupi
bahagian atas kereta yang terdedah. Nurhana menoleh,
merenung Haznik. Lelaki di sebelahnya ini macam tahu-tahu
pula apa yang berada dalam fikirannya. Ajaib sungguh!
“Kalau awak tak kisah, boleh saya tanya awak satu
soalan?” Haznik bersuara. Matanya masih memandang ke
depan.
“Awak nak tanya apa?” Nurhana memandang
ke luar tingkap. Ikutkan hati dia tidak mahu bercakap
langsung dengan Haznik. Tapi lelaki itu telah bersedia untuk
menolongnya. Takkanlah dia hendak buat perangai pula?
“Awak dah kahwin?”
“Kenapa awak tanya macam tu?” Nurhana terkejut.
Cara dia berpakaian, mengikut peredaran semasa. Moden dan
elegan. Dari sisi mana pula dia nampak seperti isteri orang?
“Tu...” Haznik menghalakan pandangan ke arah
jari manis gadis itu. Pada mulanya Haznik ragu-ragu untuk
bertanya. Namun dia tidak dapat menahan diri daripada
melemparkan soalan itu.
Cincin di jari gadis itu membuatkan fikirannya
cukup terganggu. Perasaan yang mula berputik di hujung
hatinya membuatkan dia rasa bersalah. Dia begitu berharap
gadis itu masih belum berkahwin. Sekurang-kurangnya
perasaannya itu tidak diletakkan pada isteri orang.
Nurhana segera menyentuh cincin di jarinya. Dua
tahun telah berlalu, tetapi dia masih tidak menanggalkan
cincin itu.
“Oh, tak... ini cincin...” Nurhana tidak menyambung
bicaranya. Dipusing-pusingkan cincin pertunangan yang
masih berlingkar di jari. Perlukah dia membuang cincin itu
dan memulakan hidup baru? Begitu sukar baginya untuk
melupakan apa yang telah terjadi kerana kecurangan Izlan
amat menyakitkan hati.
“Let me guess. It’s complicated?”
“Ya... complicated.” Akui Nurhana. Semuanya begitu
rumit.
Haznik tidak terus bertanya. Namun hatinya sudah
menjerit keriangan. Entah mengapa, dia begitu gembira
apabila mengetahui gadis itu masih belum berkahwin. Yes!!!
Kereta yang dipandunya membelok ke arah
Damansara. Keadaan jalan lenggang dan perjalanan lancar.
“By the way, kenapa awak cari abang awak? Apa yang
dia dah buat?”
“Saya cari dia sebab...”
Dahi Haznik berkerut apabila Nurhana tiba-tiba
mendiamkan diri. Dia ingin menoleh tetapi dia perlu pandang
ke hadapan.
“Awak kerja apa? Wartawan? Banyak betul soalan
awak?” Nurhana hampir memberitahu segala-galanya kepada
jejaka yang baru dikenalinya itu. Nasib baik dia cepat tersedar.
Haznik gigit bibir, menahan tawa. Sangkanya gadis
itu akan terleka dan terus menjawab sahaja.
“Saya bertanya sebab saya rasa bosan memandu
tanpa bercakap. Kalau awak tak nak disoal, apa kata awak
pulak yang tanya saya? Saya akan jawab semua soalan dengan
jujur. Tanyalah,” tawar Haznik.
“Hesy, buat apa saya nak tanya awak? Saya tak nak
tahu apa-apalah tentang awak.” Nurhana segera menolak.
Pelik sungguh permintaan lelaki ini.
“Then let me do the asking. Awak...”
“Dah berapa lama awak berjiran dengan abang
saya?” Potong Nurhana. Dia tidak mahu terus disoal siasat
oleh jejaka itu lagi. Daripada terus disoal, lebih baik dia yang
bertanya.
Meletus tawa Haznik. Reaksi gadis itu begitu mudah
untuk dijangka.
“Adalah dalam... setahun lebih.” Haznik menjawab,
jujur.
Patutlah dia tidak pernah nampak jejaka itu. Dua
tahun dulu, rumah di sebelah rumah abangnya kosong tanpa
penghuni. Mungkin lelaki itu berpindah semasa Nurhana
berada di luar negara.
“Abang saya pernah bawa perempuan masuk ke
rumahnya tak?” Nurhana ingin tahu.
Berkerut dahi Haznik mendengar soalan itu.
“Kenapa awak tanya macam tu? Awak tak percayakan
abang awak sendiri?”
“Bukan tak percaya, tapi... Boleh tak awak jangan
tanya saya balik dan jawab aje soalan saya?” Nurhana naik
berang.
“Bawa bertenang. Tak elok marah-marah. Nanti
muka berkedut, cepat tua. Awak suka ke kalau muka awak
nampak lebih tua daripada usia sebenar?” Haznik tidak
jemu-jemu mengusik.
Nurhana melepaskan rengusan kasar. Boleh darah
tinggi jadinya jika terus berlama-lama dengan lelaki ini.
“Semua perempuan cantik macam awak ni memang
senang marah, ya?” Usikan Haznik dibalas Nurhana dengan
jelingan maut.
“Berapa ramai perempuan cantik yang awak kenal?”
balas Nurhana. Saat itu dia sudah cop mohor Haznik sebagai
kasanova, romeo, buaya darat dan kaki perempuan. Mulutnya
manis mengalahkan kilang gula!
“Betul awak nak tahu?”
“Tak payah! Saya tak nak tahu.” Geramnya dia!
Nurhana genggam tangan sekuat-kuatnya.
Haznik hanya tersenyum.
“Tentang abang awak tu, setahu saya dia tak pernah
pun bawa perempuan ke rumah.” Haznik menjawab juga
soalan yang dibiarkan tadi.
“Ya ke?” Nurhana mencebik.
Naik hairan Haznik dibuatnya. Gadis ini seakan-akan
tidak percaya pula dengan jawapannya. Apa masalah dua
beradik ini agaknya?
“Hana, apa yang saya dapat kalau saya tipu awak?”
Nurhana diam sesaat, mengakui kebenaran kata-kata
Haznik.
“Kalau betul, baguslah.” Nurhana melemparkan
pandangannya ke luar. Kereta yang dinaiki mula memasuki
kawasan perumahan. Pandangannya terarah semula ke
wajah Haznik. Walaupun baru dikenali, namun jejaka itu
menghantarnya ke tempat yang betul. ‘Masih ada lagi lelaki
jujur di dunia ini rupanya,’ fikir Nurhana.
“Nik?”
Secara automatik, bibir Haznik tersenyum. Mengapa
hatinya berbunga-bunga saat mendengar namanya meniti di
bibir gadis itu?
“Ya, saya.”
“Nanti awak tolong berhenti kat depan sana, ya.
Depan rumah yang berpagar putih tu.” Nurhana menuding
jari ke arah sebuah rumah yang berada beberapa meter di
hadapan mereka.
“No problem.” Haznik memperlahankan kereta
apabila mereka semakin dekat dengan destinasi.
“Ini rumah awak?”
Nurhana menggeleng. Tali pinggang keledar
ditanggalkan.
“Rumah famili. Saya mana mampu beli rumah
macam ni.”
“Rumah famili samalah macam rumah sendiri
jugak, Cik Hana. Pernah awak dengar, di mana ada keluarga,
di situlah rumahnya?”
“Itu peribahasa baru ke?” Seingat Nurhana itu
pertama kali dia mendengar ayat tersebut.
“Tapi tak salah, kan?”
Nurhana mengiakan saja dalam diam. Dia sudah
keletihan sebenarnya. Fikirannya runsing mengenangkan
kereta yang tersadai. Entah mekanik yang dihubungi Haznik
jumpa atau tidak dengan keretanya itu.
“Kawan saya dah jumpa kereta awak. Ini gambarnya.”
Haznik menunjukkan skrin telefon kepada Nurhana.
Terpapar gambar dua orang lelaki bersama kereta Jazz merah
kesayangannya.
Nurhana tercengang-cengang. Lelaki ini ada kuasa
psikik ke apa? Macam tahu-tahu sahaja apa yang berada
dalam mindanya.
“Terima kasih sebab tolong hantar saya,” ucap
Nurhana lalu keluar dari kereta.
“Na?” Suara Mariam singgah di telinga Nurhana dan
Haznik. Kedua-duanya menoleh serentak, melihat ke arah
Mariam.
“Siapa tu, Na?” tanya Mariam, ingin tahu. Ketika dia
duduk minum petang di laman, dia terlihat sebuah kereta
diparkirkan di depan pagar. Tahu-tahu sahaja, Nurhana
keluar dari kereta tersebut. Diamati wajah pemuda yang
lekas-lekas keluar dari kereta. Rasanya, dia tidak pernah lihat
wajahnya sebelum ini.
“Err... ini Nik.” Walaupun keberatan, Nurhana
terpaksa memperkenalkan.
“Apa khabar, aunty?” sapa Haznik, sopan.
“Baik, alhamdulillah.”
“Kereta Na mana? Bukan ke tadi Na keluar bawa
Jazzy?” tanya Mariam. Dia pandang ke luar pagar. Hanya ada
satu kereta saja di situ. Kereta yang Nurhana panggil sebagai
Jazzy itu tidak kelihatan di mana-mana.
“Dia buat hal pulak. Meragam tepi jalan. Nasib baik
ada Nik. Nik yang hantarkan Na balik tadi.”
“Oh, ya ke? Terima kasih banyak-banyaklah, Nik.
Aunty dah pesan dengan Na, jangan bawa keluar Jazzy tu
sebab dah lama tak bergerak. Tapi dia tak nak dengar apa yang
aunty cakap.”
Nurhana tertunduk. Depan-depan Haznik juga
dirinya ditegur. Memang dia salah kerana tidak mendengar
kata.
“Nik, marilah masuk dulu. Boleh makan tengah hari
sekali dengan kami,” Mariam mengajak.
Makan sekali??? Terkejut Nurhana dengan pelawaan
ibunya itu.
“Takpe, mama. Lagipun Nik sibuk. Awak sibuk, kan
Nik?”
Nurhana terus halakan pandangan penuh isyarat
ke arah Haznik. Dia berharap jejaka itu faham maksud yang
tersembunyi dan akan menolak.
“Eh, taklah! Mana ada sibuk. Saya ada banyak
masa hari ini, aunty. Kebetulan pulak perut saya memang
kosong hari ni,” jawab Haznik, membuatkan mata Nurhana
mencerlung ke arahnya.
“Elok sangatlah tu. Marilah masuk. Hari ni ada ikan
tenggiri masak lemak tau,” pelawa Mariam. Dibawa Haznik
melewati pagar rumahnya.
“Ya ke? Ikan favourite saya tu.” Haznik tidak
mengendahkan Nurhana yang tercegat di situ.