DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Showing posts with label Ameera Ameer. Show all posts
Showing posts with label Ameera Ameer. Show all posts

Thursday, 17 October 2019

Dean & Jean - Bab 10

DEAN buang pandang ke sekeliling. Kemudian
telefon bimbit di tangan dikerling pula. Kereta Jean masih
belum kelihatan dan mesej daripada gadis itu juga tiada.
Spontan itu jam di pergelangan tangan dikerling. Waktu sudah
hampir menginjak ke pukul 8 malam tetapi bayang-bayang
Jean masih juga belum kelihatan.
Tidak terus menunggu, nombor telefon Jean didail.
Senyap. Sekali lagi nombor Jean didail. Lama Dean menunggu
dan akhirnya panggilannya bersambut juga.
“Waalaikumussalam.” Salam Jean disambut dan
tubuh disandarkan ke tiang luar pintu balai ketibaan.
“Aku dah nak sampai. Sorry, jalan jammed teruk.”
Belum sempat Dean bertanya, Jean sudah memberikan
jawapannya.
“Kau tunggu dekat luar, kan? Dalam 5 minit lagi aku
sampai.”
Klik!
Jean menamatkan perbualan mereka tanpa sempat
Dean berkata apa-apa. Hurm... Jean, apabila berada dalam
keadaan kalut memang begitulah dia. Bibir terus mengukir
senyum. Telefon bimbitnya disimpan dan langkah diayun ke
hadapan sedikit supaya mudah Jean mencari kelibat dirinya.
Belum sampai 5 minit Dean menunggu, Honda
HR-V berwarna merah Jean sudah berhenti betul-betul di
hadapannya. Nasib baik ketika itu tidak sesak dengan ramai
orang. Jadi senanglah Jean berhentikan keretanya.
“Sorry Dean, ada accident tadi sebab tu lambat. Gila
betul dekat 2 jam sangkut dalam jammed. Naik lenguh kaki
aku asyik tekan brek aje,” bebel Jean bercerita tentang apa
yang berlaku.
“It’s okay, aku faham. Aku ingat kenapa tadi sebab
lewat sangat kau sampai. Kalau setakat jammed aku tak kisah
sangat tapi aku risau kereta kau rosak dekat mana-mana
masa on the way ambil aku.”
Jean buang sengih.
“Kau nak risau buat apa? Kereta aku kan kau
yang selalu hantar servis bila dah sampai masa.” Jean
mengingatkan dan kereta terus dipandu keluar dari kawasan
lapangan terbang.
“Memanglah tapi malang tak berbau. Selalu servis
pun kalau tiba-tiba nak rosak kita tak boleh kata apa juga,
kan?” Kening dijongket.
“Yalah... yalah Encik Dean. Message received loud
and clear. So, sekarang, kita nak pergi makan dekat mana?
Aku dah lapar,” rungut Jean. Apa tidaknya kali terakhir dia
makan adalah pagi tadi. Makan tengah hari pun dia tak sempat
keluar dek menyediakan dokumen untuk perbincangan
dengan wakil Nutra Beauty.
“Singgah kedai mamak yang biasa kita lepak tu
ajelah. Kau boleh makan nasi tumpang yang ma aku buat
dekat situ.”
Sengih Jean melebar.
“Ma kau baik eh. Minta buat, sungguh-sungguh dia
buatkan,” puji Jean.
“Buatkan untuk bakal menantu sebab itulah ma aku
beria-ia,” gumam Dean perlahan.
“Kau cakap apa?” Jean memandang Dean di sebelah
dengan kerutan di dahi.
“Tak ada apalah. Pandang depan masa tengah drive.
Kau tu bukannya pro sangat,” dalih Dean.
Jean mencemik. Pandangannya terus dibuangkan ke
hadapan. Sepanjang perjalanan dari Sepang sehinggalah ke
kedai mamak kegemaran mereka yang terletak di Taman Tun
Dr. Ismail, tak banyak perkara yang mereka bualkan.
Dean lebih suka berdiam dan mendengar sahaja Jean
menyanyi mengikut CD yang dipasangnya ketika itu. Suara
Jean tidaklah sedap mana tapi dia suka saja mendengarnya.
Jean, apa sajalah yang dibuatnya dia tak suka. Jean membebel
pun dia suka dengar inikan pula menyanyi.
Sampai sahaja di hadapan kedai yang dituju, Jean
terus memberhentikan keretanya. Mereka terus keluar dan
berjalan beriringan masuk ke dalam restoran tersebut.
Sebaik duduk, Dean terus angkat tangan memanggil
pelayan. Tidak lama menunggu seorang lelaki India Muslim
datang menghampiri mereka.
“Jean, kau nak air apa?” Jean yang sedang
membetulkan duduk dipandang.
Jean, walaupun dengan rambut yang diikat ala kadar
begitu, tetap nampak cantik. Bukan cantik tapi perkataan
yang sesuai menggambarkan Jean ketika itu adalah comel
dan cute. Biasalah apabila dah seharian bekerja memang
begitulah penampilan Jean.
Peliknya, Jean langsung tak kisah orang melihatnya
dalam keadaan itu. Sesetengah perempuan seusia Jean tentu
kisah kalau keluar tanpa mekap atau berpenampilan tidak
kemas tetapi bukan Jean. Mungkin sebab itulah dia jatuh hati
pada Jean. Gadis itu nampak jujur pada diri sendiri begitu
juga apabila berdepan dengan orang lain.
“Teh o panas.” Nafasnya dihela dan ikatan rambutnya
dikemaskan.
Melihat apa yang dilakukan Jean, Dean tersenyum.
Jean macam tahu-tahu sahaja apa yang ada dalam fikirannya.
“Saya nak teh tarik kurang manis dan Mi Goreng
Mamak. Jangan buat pedas sangat,” pesannya.
Selesai menulis pesanan, pelayan itu terus beredar.
“Nasi tumpang yang kau pesan tu. Makan habiskan.
Kalau simpan aku takut basi pulak.” Tupperware yang baru
dikeluarkan dari dalam beg diletakkan di hadapan Jean dan
dia bingkas bangun. Bekas sudu dan garpu dari meja sebelah
diambil dan diletakkan di atas meja.
“Sekejap aku minta pinggan dulu,” ujar Dean lagi.
Jean hanya senyum sahaja dan mengangguk.
Tupperware di atas meja dibuka dan serta-merta itu aroma
nasi tumpang mencucuk hidung. Ya Allah, sedapnya. Bisiknya
sambil memejamkan mata.
“Hai... sampai macam tu sekali syoknya dapat nasi
tumpang?” Dean ketawa. Pinggan yang dibawanya diletakkan
di hadapan Jean.
“Seriuslah Dean, nasi tumpang yang mak kau buat
ni sedap gila,” puji Jean dan satu bungkus nasi tumpang
dikeluarkan lalu diletakkan ke dalam pinggan. Daun pisang
yang membaluti nasi tumpang itu terus dibuka dan sekali lagi
matanya dipejamkan.
“Kalau hari-hari makan sedap macam ni, gemuklah
aku.” Gelaknya. Sudu dan garpu dicapai. Baru sahaja nasi
tersebut ingin disuapkan ke dalam mulut, Dean menegur.
Spontan itu kepalanya diangkat dan keningnya dijongketkan.
“Baca doa dulu.” Lembut Dean mengingatkan.
Jean tersengih lalu kepalanya digaru. Akur,
kedua-dua tangannya diangkat dan doa makan dibaca.
“Amin,” ucapnya dan tangan diraup ke muka. “Dah
boleh makan kan?” selorohnya.
Dean tergelak kecil dan kepalanya diangguk. Tubuh
terus disandarkan ke kerusi dan tangan dipeluk ke tubuh.
Mata pula sejak tadi tidak berganjak memerhati Jean yang
begitu asyik menikmati nasi tumpang di hadapannya.
“Eh, kau tak nak ke? Sedap ni,” ucap Jean beria-ia.
Kepala digeleng.
“Aku dah makan masa dekat rumah ma tadi. Itu
semua ma aku bungkuskan untuk kau.”
“Baiklah ma kau.”
Tidak membalas pujian Jean, Dean hanya senyum
sahaja. Jean pula terus menyambung suapannya. Teringatkan
sesuatu, kepalanya diangkat memandang Dean semula.
“Aku lupa nak beritahu kau tentang meeting hari
ni.” Jean bersuara dengan mulut yang masih penuh dengan
makanan.
“Makan dulu Jean. Yang tu nanti kita boleh bincang,”
tegur Dean.
“Oh, okey.” Jean buang sengih dan menyambung
makannya.
Dean masih terus memerhati sehinggalah makanan
yang dipesannya dihantar. Terus dia menikmati Mi Goreng
Mamak yang baru dihidangkan itu.
“Okey, kau nak cakap apa tadi?” Tisu dicapai dan
mulutnya yang terasa berminyak dikesat. Pinggan yang sudah
licin isinya ditolakkan ke tengah sedikit. Gelas teh tarik yang
sudah sejuk dicapai lalu dihirup.
Jean yang juga baru sudah makan tegakkan tubuh.
Daun pisang yang diletakkan ke atas meja dikumpulkan dan
diletakkan ke dalam pinggan.
Fuh! Jean, sekali hadap empat bungkus nasi tumpang
yang kau bedal. Dalam Tupperware ada baki dua bungkus
yang masih belum terusik. Cukuplah tu simpankan untuk
mama dan papa merasa. Setakat dua aje? Hurm... okeylah tu
dari tak simpankan langsung, kan? Hatinya tergelak sendiri.
“Blurk...” Sendawa Jean tiba-tiba berbunyi memecah
sunyi antara mereka.
“Buatlah macam tu depan mak mertua kalau nak
kena kutuk.” Dean tergelak sambil gelengkan kepala. Tak
senonoh betul tapi yang tak senonoh itulah yang menceriakan
hari-harinya. Lagipun Jean berkelakuan kurang sopan begitu
hanya di hadapannya sahaja. Kalau bersama orang lain, Jean
memang sangat serius orangnya.
“Terlepas. Bukannya aku sengaja,” balas Jean
selamba. Boleh pula dia selamba sendawa di tempat terbuka
begitu. ‘Haih! Buruk betul perangai kau kan Jean?’ marahnya
kepada diri sendiri.
“So, apa yang kau nak beritahu aku tadi?” Sekali lagi
Dean bertanya.
“Bila dah kenyang tiba-tiba aku lupa pulak apa nak
beritahu kau tadi,” balas Jean bersahaja. Gelas di atas meja
dicapai dan terus dihirup sehingga licin isinya.
“Hurm... kalau aku tahu tak payah bagi makan dulu
tadi.”
“Pasal meeting dengan wakil Nutra Beauty petang
tadi.” Jean tergelak. Gelas yang masih di tangannya diletakkan
ke atas meja semula.
Dean mengangguk.
“Okey.”
“Nutra Beauty beri kita tempoh 2 minggu untuk
siapkan iklan tu.”
“Dua minggu?” Dean terdiam dan dagunya
digosok-gosok. Dalam masa 2 minggu manalah sempat
walaupun setakat untuk iklan tak sampai 10 minit.
“Kenapa cepat sangat?” soalnya setelah lama
membisu.
“Iklan tu mereka nak keluarkan sebulan lebih awal
dari produk. Marketing strategi katanya.”
“Tapi Mirzan kata nak keluarkan iklan serentak
dengan produk?”
Jean angkat bahu.
“Tukar strategi kut,” balasnya acuh tak acuh.
“Nanti bagi aku nombor telefon wakil dari Nutra
Beauty. Aku nak discuss schedule untuk shooting.”
Mendengar permintaan Dean, senyum Jean melebar.
“Kenapa?” Dean kerutkan dahi. Pelik melihat
senyum yang Jean pamerkan.
“Kau mesti teruja bekerja dengan dia.” Jean jongket
kening.
“Kenapa?” ulang Dean sekali lagi dengan kerutan
yang makin dalam.
“Wakil dari Nutra Beauty untuk projek ni perempuan.
Cantik pulak tu. Nama dia Nurlida,” beritahu Jean sambil
tersenyum mengusik.
Dean mencemik. Dia ingatkan apalah tadi. Jean
ingat dia hairan bekerja dengan perempuan cantik? Apa yang
penting bagi dia, Jean ada di sisinya sudah cukup. Dia tak
perlukan perempuan lain dalam hidup dia. Takkan itu pun
Jean tak perasan lagi?
Melihat reaksi Dean, Jean terus mengeluarkan
telefon bimbitnya dari dalam beg. Nombor Nurlida dicari dan
terus dihantar kepada Dean.
“Aku dah share nombor telefon awek tu dekat kau.
Nanti free calllah dia.” Kening dijongket nakal. “By the way
Dean, yang aku tahu dia tu single lagi,” sambung Jean sambil
tersengih lebar.
Berdecup mulut Dean digiat begitu. Malas hendak
melayan perangai senget Jean, tangannya terus diangkat dan
pelayan dipanggil.
“Kira,” suruh Dean apabila pelayan sampai di meja
mereka.
“Aik, takkan marah kut? Aku cuma nak kenalkan
perempuan yang cantik pada kau, bukannya aku buat
apa pun.” Jean kerutkan dahi. Tadi elok aje mood Dean.
Tiba-tiba aje tarik muka. Rasanya dia tak adalah cakap yang
bukan-bukan.
“Jom. Lewat dah ni,” ajak Dean sebaik selesai
membuat bayaran. Dengan muka yang masih cemberut, dia
terus berdiri.
Terpinga-pinga melihat reaksi Dean, Jean ikut
berdiri. Tupperware di atas meja dicapai dan dia terus berlari
mendapatkan Dean yang sudah beberapa langkah jauh ke
hadapan.
“Kunci.” Dean hulurkan tangan.
“Nak buat apa?”
“Biar aku hantar kau.”
Jean mendengus.
“Lecehlah kalau kau hantar. Nanti esok pagi lepas
subuh kau dah sampai. Tak apalah biar aku hantar kau. Aku
boleh aje balik sorang-sorang. Lagipun belum pukul 10 lagi,”
tolaknya. Kalau Dean yang menjemput dia pergi kerja, pukul
7.30 pagi lelaki itu dah tercongok depan pintu pagar rumah
dia.
“Biar aku hantar kau. Esok aku ambil pukul 8 pagi.”
Dean mula berkompromi.
Jean terdiam memikir.
“Jean...” panggil Dean lembut sedikit dari tadi.
Bersama helaan nafas, akhirnya Jean akur. Kunci
keretanya terus dihulurkan kepada Dean.
“Jangan ambil awal sangat.” Jean mengingatkan.
Dean buang senyum.
“Ya...” ucapnya berjanji lalu penggera kereta ditekan.
“Esok ikut aku jumpa wakil Nutra Beauty tu,” tegas
Dean seolah-olah memberi arahan.
“Kenapa pulak?” Berkerut dahi Jean mendengar
arahan Dean. Tugas dia kan di bahagian design dan finishing?
“Kau kan pembantu aku, so untuk projek ni aku nak
kau ikut aku.” Dean tersengih dan keningnya diangkat. Sibuk
sangat nak kenalkan dia dengan perempuan lain, kan? Tak
pasal-pasal kena terlibat sekali. Dean tergelak dalam hati.
Jean mendengus dan menunjukkan riak tidak puas
hatinya. Dengan muka cemberut, tali pinggang dipasang dan
tangan terus dipeluk ke tubuh.
Dean hanya buat tidak tahu sahaja dan terus
memandu kereta Jean beredar dari situ.

*** *JUALAN ONLINE SAHAJA, BOLEH HUBUNGI/WHATSAPP NO DIBAWAH  ***
019-3729676 (cik shida)

013-4888095 (kak peah)

Dean & Jean - Bab 9

Oh my my my, oh my my my
I’ve waited all my life
ne jeonbureul hamkkehago sipeo
Oh my my my, oh my my my
Looking for something right
ije jogeumeun na algesseo
I want something stronger
Than a moment, than a moment, love
I have waited longer
For a boy with
For a boy with luv

SAMBIL bernyanyi dan menari, langkah terus
diayun menuruni mata tangga. Sampai sahaja di mata
tangga terakhir, kaki terus diayun menuju ke ruang tamu.
Beg tangan dan beg komputer riba diletakkan ke atas sofa.
Kemudian langkah dibuka menuju ke meja makan.
Baru sahaja dia ingin duduk, dia terdengar suara
mamanya menegur. Jean menoleh dan dahi dikerutkan.
“Happynya hari ni. Pagi-pagi dah menyanyi,” usik
Puan Kamalia bersama senyuman.
“Mama cuti ke hari ni?” Jean tersengih diusik tetapi
kerutan di dahi tetap ada. Dia terus melabuhkan duduk.
“Pagi ni mama ada urusan dekat bank sekejap.
Kebetulan pulak kelas mama petang hari ni.” Puan Kamalia
ikut duduk.
“Hari ni Jean balik lewat ya.” Teko dicapai dan
air Milo dituangkan ke dalam cawan. Sandwic telur terus
disuapkan ke mulut.
“Kerja lebih masa lagi?”
Kepala digeleng.
“Jean nak ambil Dean dekat airport.”
“Dean pergi mana?” Berkerut dahi Puan Kamalia
mendengar bicara anak gadisnya itu.
“Balik Kelantan. Adik bongsu dia bertunang.”
Selamba Jean dan terus menyumbat sandwic ke mulut.
“Habis tu Dean bila nak bertunang?” Sengaja Puan
Kamalia bertanya. Hendak juga dia dengar apa jawapan yang
akan Jean berikan.
Jean tergelak.
“Dean? Bertunang?”
Puan Kamalia mengangguk sambil menjongket
kening. Pelik sangatkah soalannya tadi? Kalau dia tanya bila
Jean nak bertunang itu memanglah pelik.
“Hurm... nak bertunang apanya ma kalau girlfriend
pun tak ada.”
‘Minat dekat perempuan tapi perempuan itu
pula yang jual mahal. Kesian betul kau, Dean. Rupa ada,
businessman lagi tapi tetap juga kena reject!’ ejeknya.
“Ya ke orang handsome macam Dean tu tak ada
girlfriend lagi?” duga Puan Kamalia lagi.
“Betul ma. Dia tu mana ada girlfriend lagi.”
“Entah-entah Jean aje yang tak tahu kut.”
“Ya Allah, ma. Jean hari-hari dengan Dean. Jean
tahulah.” Beria Jean membalas. Dia cakap yang benar pun
mamanya tak percaya. Getusnya dan Milo panasnya dicapai
lalu dihirup.
Bibir Puan Kamalia terus terukir senyum. Lega hati
dia mendengar jawapan anak gadisnya itu. Maknanya harapan
dia dan suaminya masih terbuka luas. Hanya menunggu masa
sahaja untuk direalisasikan.
“Kenapa Dean tak balik naik teksi aje? Kenapa Jean
nak kena ambil dia pulak?”
“Ermm... mengada-ada dia tu. Sibuk suruh Jean
ambil juga,” bebel Jean bersama cemikan.
“Dia rindukan Jeanlah tu.” Puan Kamalia mengusik.
“Memang taklah. Hurm... mama nak keluar pukul
berapa ni?” Tisu di atas meja dicapai dan bibirnya dikesat.
“Pukul 9 lebih nanti baru mama keluar.”
Jean angguk dan bingkas bangun. “Kalau macam tu
Jean pergi dulu ya. Pukul 10 nanti ada first meeting dengan
klien,” ucap Jean dan kerusi ditolak ke dalam meja. Blaus
lengan panjang berwarna ungu yang dipakainya dikemaskan.
“Oh ya, mama nak beritahu ni.”
Jean jongket kening. Apa pula yang mama hendak
beritahu agaknya. Nervous pula dia.
“Bulan depan papa ajak kita balik Jakarta.”
Hurm... ingatkan apa tadi.
“Balik Jakarta? Bukan ke kita baru balik 2 bulan
lepas?”
“Jean lupa ya, bulan depan kan birthday nek bonda.”
Puan Kamalia mengingatkan.
“Uncle Toby call papa semalam dan beritahu keluarga
dekat sana dah sepakat untuk sambut birthday yang ke-75
nek bonda secara besar-besaran. Jadi kita kenalah balik,”
sambungnya.
“Oh...” Panjang Jean membalas sambil
terangguk-angguk.
“Ambil cuti 5 hari ya. Kita pergi 12 hari bulan.”
“Lamanya.” Bukan Jean tidak suka balik ke sana tapi
kerjanya di sini bagaimana? Sudahlah shooting untuk projek
baru akan bermula hujung bulan ni. Haih!
“Kalau Jean tak boleh nak lama-lama, Jean baliklah
sekejap. Asal ada masa majlis nek bonda. Nanti merajuk pulak
nenek Jean tu.”
Jean tersenyum.
“Macam tu boleh,” balasnya.
“Okeylah ma, Jean gerak dululah. Nanti lambat pulak
sampai. Sudahlah jammed masa-masa macam ni,” ucap Jean
dan Puan Kamalia dihampiri.
“Yalah. Hati-hati drive,” pesan Puan Kamalia lembut.
Sekali lagi Jean mengangguk. Sebaik satu kucupan
dihadiahkan di pipi mamanya, dia terus beredar.
Puan Kamalia hanya memerhati sahaja sehingga
langkah anak gadisnya itu hilang dari pandangan. Teringatkan
perbualannya dengan Jean sebentar tadi, tiba-tiba dia
terfikirkan sesuatu.
‘Hurm... Dean...’ bisiknya sambil bibir mengukir
senyum.

“NOK KELIK hari ni jugok ko Dean?” Hajah Zaiton
menjengah bilik anak lelaki bujangnya itu dari muka pintu.
Dean yang sedang mengemas beg bajunya dihampiri.
“Ho ma. Esok ado meeting nok keno gi,” balas Dean
dan beg bajunya terus dizip. Dia bingkas bangun.
“Kapal tebe pukol berapo?”
“Pete, pukol 5 lebeh ma.”
Hajah Zaiton mengangguk.
“Ho molek lah, sempatlah ma buat nasi tupe ko
Jean.”
Mendengar ibunya menyebut nama Jean, Dean
tersengih. Argh! Kenapa sedap sangat bunyinya.
“Sengeh lebar molek dengar ma sebut namo gewe,”
usik Hajah Zaiton dan terus duduk di birai katil.
Sengih Dean melebar dan dia ikut duduk.
“Ma nok tanyo ni...”
Dean angguk.
“Gapo ma?”
“Gewe Dean tu Cino ko?” soalnya melepaskan apa
yang terbuku di hatinya sejak 2 hari yang lalu.
Terlepas tawa Dean mendengar soalan ibunya itu.
Perlahan-lahan kepalanya digeleng.
“Doklah ma. Namo dio Jeanelle Fitri.”
Hajah Zaiton kerutkan dahi. Pelik agaknya
mendengar nama itu.
“Mama dio ore Indonesia, tapi papa dio ore Johor.
Mama ngan papa Jean mengaja di universiti,” terang Dean.
Faham benar dia dengan riak yang dipamerkan oleh ibunya
itu.
“Oh... gitu.” Hajah Zaiton anggukkan kepala.
Patutlah lain benar namanya. Nampaknya bakal menantu dia
anak orang beradalah. Besannya juga bukan sembarangan
orang. Tapi bolehkah mereka terima anak terunanya yang
meniaga biasa-biasa sahaja ini? Malas hendak memeningkan
kepala memikir, dia terus berdiri.
“Hurm, takpolah. Ma nok gi masok dulu, takut tak
sempat Dean nok wak kelik nasik tupe ko Jean.” Senyum
Hajah Zaiton sambil menekan nama Jean di hujung bicaranya.
Dean tersengih malu-malu. Bukan main lagi ibunya
mengusik.
“Nanti ma buat kuih sekali, leh kirim ko ore tuo
Jean sekali,” tambah Hajah Zaiton.
“Amboi ma, sapa ore tuo Jean ma nok bui rasuah.”
Gelak Dean geli hati.
“Bakpo yo, bakal tok bese kei?” Hajah Zaiton buang
tawa dan terus keluar dari bilik anak lelakinya itu.
Dean ikut tergelak dan nafasnya dihela sebaik
tawanya reda. Walaupun dia rasa lega kerana ibunya tiada
tentangan tetapi jauh di sudut hatinya tetap risau memikirkan
penerimaan Jean. Sudikah Jean menerima dia seadanya?
Menerima dia lebih daripada seorang sahabat dan abang?
Memikirkan itu, keluhan berat dilepaskan dan wajahnya
diraup lalu ditundukkan merenung lantai. Mungkin orang
akan kata dia lambat bertindak tetapi meladeni Jean bukan
semudah yang orang lain fikirkan.

JEAN BINGKAS bangun dan Nurlida dihampiri.
“Thanks, Cik Nurlida. Hope kita boleh bekerjasama
dengan baik,” ucapnya lalu tangannya dihulurkan untuk
bersalaman.
“Insya-Allah. I harap pun kerjasama ini berjalan
dengan baik dan disiapkan seperti tarikh yang kita tetapkan,”
balas wanita yang bernama Nurlida lembut.
“Sure. Once Encik Dean masuk ofis, I akan minta dia
call you.” Jean berjanji.
Nurlida angguk sahaja dan terus minta diri untuk
beredar. Sebaik wanita itu pergi, Jean tergesa-gesa mengemas
semua dokumen di atas meja.
“Kelam-kabut sangat tu nak ke mana?” tegur Azie.
Jean dipandang bersama kerutan.
“Aku nak pergi airport.” Jam di pergelangan
tangannya dikerling.
Alamak! Dah pukul 5 lebih. Kalau wakil dari Nutra
Beauty datang mengikut janji temu yang telah ditetapkan
tentu Jean tidak kalut sekarang ini. Tadi tiba-tiba pihak Nutra
Beauty menganjakkan waktu mesyuarat ke pukul 2 petang.
Nasib jugalah perbincangan tersebut selesai tepat-tepat pukul
5 petang. Jadi sempatlah dia berkejar ke lapangan terbang
untuk ambil Dean pula.
“Nak ambil bos eh?”
Jean mengangguk.
“Argh... waktu-waktu macam ni mesti jalan nak ke
airport jammed teruk!” desirnya.
“Biasalah. Dah habis waktu office hour.” Azie
mengiakan.
“Okeylah, aku blah dulu. Nanti lambat bising pulak
mamat tu.” Jean terus bergegas keluar.
Azie pula hanya memerhati sahaja sambil jongket
bahu. Bos dia pun satu, macam tak boleh balik naik teksi.
Nak susahkan Jean juga kenapa? Bebelnya dalam hati.
Keluar sahaja dari bangunan pejabat lima tingkat
itu, Jean terus meluru ke keretanya. Sebaik penggera ditekan,
tubuh diloloskan ke dalam perut kereta lalu enjin kereta
dihidupkan.
Sekali lalu jam di dalam keretanya dikerling. Kalau
ikut jadual penerbangan Dean, pukul 6 lebih nanti sampailah
lelaki itu di KLIA 2. Tapi sekarang dia masih di Damansara
lagi. Terfikirkan sesuatu, telefon bimbit dicapai dan aplikasi
WhatsApp dibuka. Nama Dean dicari dan dia mula menaip
sesuatu.
Aku lambat sikit. Sampai aku
calling2.
Send! Bersama helaan nafas, keretanya terus
dipandu keluar dari kawasan tersebut. Seperti yang dijangka
perjalanan menuju ke KLIA memang memakan masa. Apa
tidaknya, mana-mana jalan yang dilalui pasti bertembung
dengan kesesakan. Belum lagi ditambah dengan sesak
disebabkan kemalangan. Memang sakit jiwa dia dibuatnya.
Jam pada dashboard kereta dikerling sekali lagi.
Sudah hampir ke pukul 7 malam.
‘Hurm... nasib kaulah Dean terpaksa tunggu lama,’
desisnya.

Dean & Jean - Bab 8

“BAKPO ma tengok dari takdi lagi Dean
gelisoh jah. Ado hok tok keno ko?” Hajah Zaiton menegur
lalu anak lelakinya itu dihampiri.
“Takdop gapolah ma, masaloh kijo sikit,” balas
Dean dengan senyum nipis di bibir. Pandangannya
dibuangkan ke arah ruang tamu yang riuh dengan suara
anak-anak saudaranya yang sedang galak bermain. Kak long
dengan kedua-dua orang adik perempuannya sedang sibuk
menyediakan gubahan hantaran untuk majlis pertunangan
esok.
“Balik kampung jare jare pun dok mikir hal kijo lagi
ko?”
Dean tersengih sahaja ditegur begitu.
“Haih... budok-budok ni male-male buto dok
berungga lagi.” Hajah Zaiton membebel tetapi hanya
didengari oleh Dean sahaja. Cucu-cucunya yang sedang
berlari ke sana ke mari di ruang tamu rumah dipandang
bersama gelengan.
“Budok-budok ma, biar jo lah, bukenyo jupo sokmo
pun walaupun sepupu.” Dean buang senyum. Memanglah
rimas dengar suara jerit pekik begitu tetapi suasana
seperti itu bukannya selalu mereka rasai. Kalau hari raya
kadang-kadang tak semua ada sekali. Lebih-lebih lagi kakak
sulung dan adiknya yang ketiga kerana mengikut giliran ke
rumah keluarga suami masing-masing.
Hajah Zaiton tersenyum dan mengangguk. Orang
tua seperti dia sudah tentulah rimas dengan suasana yang
riuh begitu. Bingit rasanya. Maklumlah kebiasaannya rumah
itu sunyi sahaja. Apabila sesekali anak cucu balik, riuh-rendah
jadinya.
“Oh ya ma, nanti kei maso Dean nok kelik, boleh tok
ma tolong buat nasik tupe mace hari tu. Saeng Dean suko do
oh makei,” beritahu Dean sambil tersenyum.
“Boleh, tapi saeng Dean tu tino ko jate? Ma tengok
senyum semace jo tu,” usik Hajah Zaiton dengan senyum
lebar.
Serba salah hendak menjawab pertanyaan ibunya
itu, Dean tersengih dan kepalanya digaru.
“Hurm, tengok gitu gak, mesti tino kei?” Hajah
Zaiton terus mengusik.
Dean langsung tidak menjawab tapi terus tersengih
di tempatnya.
“Pahtu, bilo nok bowok jumpo ma nyo?”
“Dean saeng jo lah nga dio ma,” jawab Dean
malu-malu.
“Hurm... sapa bilo Dean nok saeng jah, anok daro
ore tu. Kalau ma pun ma tok berehi ore bowok anok dara
ma gi maghi gini. Mace ore takdo agama, tok molek sangat
ore kelih. Kalau kene gak, kito sudoh selaluh. Royat jo nok
bilo-bilo maso ma ngan ba leh gi miney.”
Dean berdeham. Kena setepek dia tapi masalahnya
Jean tu yang liat sangat.
‘Hurm... Jean yang liat atau kau tu yang tak reti nak
berterus terang Dean? Kau tak cakap perasaan kau pada dia
manalah dia tahu.’ Marahnya kepada diri sendiri.
“Biar dululah ma. Dean nok kelih dio dulu,
saeng-saeng dulu. Nok cari hok molek loni ni susoh ma,”
dalih Dean.
“Sapa bilo Dean? Umur Deanlah ko tuo doh.
Adik-beradik semuo nikoh belako doh.” Hajah Zaiton
membebel pula.
“Tunggu dulu ma. Dean dok caghi duit lagi loni, biar
kukuh dulu kerjo. Bukei senei nok tanggung anok ore ma.”
“Ado jah alase dio tu,” cemik Hajah Zaiton dan terus
bangun dari duduknya.
“Oh ma lupo. Esok Dean gi umoh Aji Hamdi deh,
ambik khemoh hok nok guna pete esok. Ma royat doh ko
dio.”
“Baiklah ma.” Kepala diangguk.
“Abe ngoh gi rumoh Aji Hamdi boleh lah jumpo Kak
Najwa. Dengar kato, dio kelik pete takdi.” Tiba-tiba Haida,
adik bongsu Dean menyampuk.
“Bakpo pulok abe ngoh nok jupo dio? Toksei eh!”
“Olohhh, mano tau nanti ma boleh bese ngan Aji
Hamdi pulok,” usik Haida lagi.
“Mulut tu kecek molek sikit,” marah Dean.
Haida sengih sahaja dan terus buka langkah menuju
ke dapur. Hajah Zaiton hanya menggeleng sahaja melihat
keletah anak-anaknya dan terus beredar.
Dean hanya memerhati sahaja langkah Hajah Zaiton
sehingga hilang dari pandangan. Kemudian pandangannya
dibuangkan ke arah anak-anak saudaranya yang sedang galak
bermain. Leka memerhati, tubuh disandarkan ke dinding
kerusi. Teringatkan Jean, nafasnya dihela lalu telefon bimbit
dalam kocek baju Melayunya dicapai dan jemari dileretkan ke
skrin. Kosong. Tiada satu pun miscalled atau mesej daripada
Jean.
Argh! Kepada siapa dia hendak bertanya? Telefon
rumah Jean? Malulah dia, nanti nampak macam dia pula yang
beria-ia.
‘Call Jean semula?’ hati berbisik lagi. Manalah tahu
kali ini talian Jean boleh ditembusi. Kepala diangguk lalu
tubuh ditegakkan semula. Baru sahaja nombor Jean ingin
didail tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi dan nombor
Jean yang tertera di skrin. Serta-merta itu, helaan nafas lega
dilepaskan. Bersama senyum yang mula melebar panggilan
Jean terus disambut.
“Assalamualaikum...” sapa Dean.
“Waalaikumussalam.”
Terdengar suara manja Jean di talian hilang rasa
gundah di hati Dean sejak petang tadi. Mungkin sebab itulah
Jean dianggap pain killer ketika dia serabut dan bermasalah.
Tidak mahu adik-adiknya mengganggu perbualan tersebut,
Dean bingkas bangun dan terus keluar dari rumah menuju
ke kerusi kayu di hadapan rumah.
“Kenapa baru sekarang call? Tahu tak macam mana
aku risau fikirkan tentang kau sejak petang tadi?” bebelnya
dan terus duduk.
Jean tergelak kecil.
“Sorry, balik dari One Utama tadi aku terus tidur.
Bangun, solat maghrib lepas tu dinner. Dan sekarang baru
aku free nak call kau,” terang Jean panjang lebar.
“Kan tak elok tidur lepas asar, nanti cepat lupa. Aku
dah banyak kali pesan.”
“Aku penat sangat hari ni.”
“Hurm... yalah. So, apa yang jadi petang tadi? Kau
bergaduh dengan siapa?”
Jean mendengus.
“Ada sorang mamat tu boleh pulak terlanggar aku
sampai handphone aku jatuh ke bawah. Pecah berderai kau
tahu tak?” marahnya.
“Habis tu, sekarang call aku pakai handphone mana?
Beli handphone baru?”
“Memang taklah aku nak beli baru. Aku suruh
mamat tu ganti dan dia belikan aku iPhone XS,” cerita Jean
beria.
“Untunglah!” Dean mengusik.
“Tapikan... aku rasa tak syok juga sebab handphone
ni mahal kut compared yang aku punya tu.”
“Okeylah tu, rezeki. Siapa yang nak bagi kan?”
“Hurm... yalah. Kau tengah buat apa tadi masa aku
telefon kau?”
“Tengah borak dengan mak aku.” Dean sandarkan
tubuhnya ke kerusi dan pandangan dibuangkan ke langit
yang semakin gelap ketika itu.
“Eh, aku kacau kau dengan mak kau ke?”
“Masa tu mak aku tengah tanya tentang kau.”
“Tanya pasal aku? Kenapa? Mesti kau ada cerita yang
bukan-bukan pasal aku kan? Isy, kau ni!”
“Kau ni suka salah sangka. Manalah aku pernah
cerita buruk tentang kau?”
“Habis tu kenapa mak kau tanya tentang aku pulak?”
“Yalah, mak aku tanya bila nak bawak bakal menantu
dia ni balik.” Dean cuba bergurau walau sebenarnya dia
benar-benar memaksudkan apa yang dikatakannya itu.
“Hurm... jangan nak buat lawaklah.” Suara Jean
sudah mula berubah.
Dean buat-buat ketawa.
“Tapi mak aku betul-betul nak jumpa kau, Jean...
sebab aku selalu cerita pasal kau.” Jujur Dean beritahu.
“Hesy, seganlah! Nanti mak kau beria-ia ingat aku ni
girlfriend kau.”
“Kalau betul pun apa salahnya.”
“Dahlah. Malas aku cakap dengan kau lagi. Kata-kata
kau malam ni lain macam sangat.”
“Okeylah... okeylah. Aku gurau pun tak boleh. Sensitif
sangat malam ni kenapa?” Kecewa dengan penerimaan Jean,
Dean hela nafas.
“Kau tu entah apa-apa agaknya.”
“Yalah, lain kali aku tak cakap macam tu lagi.”
Jean terdiam dan suasana menjadi hening seketika.
Tiba-tiba dia mati kata-kata.
“Dah tidur ke?” Dean memeluk sebelah tangannya
ke tubuh dan langit yang mula ditaburi bintang direnung.
Kalaulah ketika itu mereka berdua memandang pada langit
yang sama, alangkah indahnya. Hati berbisik sendiri.
“Belum.”
“Dah tu senyap aje kenapa?”
“Aku tak tahu nak cakap apa.”
Dean tergelak kecil dan nafasnya dihela.
“Kalau kau nak tidur, pergilah tidur.”
“Ermm... taklah. Aku dah banyak tidur petang
tadi. Jadi malam ni mesti aku jadi burung hantu. Kalau kau
ada tentu aku ajak kau melepak kedai mamak malam ni.”
Dengusnya.
Sekali lagi tawa kecil Dean meletus. Rindunya dia
dengan Jean. Rindu dengan jelingan manja Jean. Rindu
dengan mulut Jean yang kuat membebel. Rindu dengan
tawa Jean yang mencuit hati malah dia rindu segala-galanya
tentang Jean.
‘Argh! Baru sehari kau tinggalkan dia, Dean!’
Bebelnya kepada diri sendiri.
Baru sahaja Dean ingin membalas kata-kata Jean,
terdengar kuat suara Hajah Zaiton melaung namanya. Dean
tegakkan tubuh dan berpaling.
“Kejap Jean,” ucapnya dan terus menyahut panggilan
Hajah Zaiton.
“Maghilah masuk minum. Ma buat air panas doh
tu.”
“Okey, ma. Kejap lagi Dean masuk,” balas Dean dan
duduknya dibetulkan kembali.
“Nanti aku call kau balik Jean. Mak aku panggil ajak
minum tu.”
“Okey. Jangan lupa nasi tumpang aku tau.” Jean
mengingatkan.
Dean ketawa lagi.
“Ya, aku dah suruh mak aku buatkan untuk bakal
menantu dia ni,” selorohnya.
Berdecup mulut Jean mendengar gurauan tersebut
tetapi dia langsung tidak membalas semula.
“Good night and miss you. Assalamualaikum.”
Tanpa menunggu balasan daripada Jean, talian terus
dimatikan. Sengaja Dean biarkan Jean terpinga-pinga di sana.
Kalau dibiarkan Jean membalas tentu kena bebel lagi dia.
Jean merenung telefon bimbitnya tidak berkelip.
Benarkah apa yang diucapkan oleh Dean tadi atau dia tersilap
dengar? Pelik betul dia dengan Dean sejak kebelakangan ini.
Suka sangat menyebut perkara yang entah apa-apa.
‘Rasanya Dean tak maksudkan apa yang dia cakap,
kan?’ Hati tertanya sendiri. Kepala digeleng. Tak, Dean tentu
sedang bergurau dengannya.
Mengenali Dean dia tahu benar lelaki itu memang
suka mengusiknya. Malas hendak memikir lagi, telefon
bimbitnya terus dicampak ke atas meja sisi dan tubuhnya
direbah ke tilam. Sambil merenung siling, kata-kata Dean
tadi terngiang-ngiang lagi dan dia tersengih.
‘Isy, Jean! Dean sengaja nak usik kaulah!’ bebelnya
kepada diri sendiri dan matanya terus dipejamkan.

“KECEK NGAN sapo ralit molek?” Hajah Zaiton buang
senyum. Kalau bercakap pun jauh-jauh begitu sudah tentulah
anak terunanya itu sedang bercakap dengan perempuan.
“Jean,” balas Dean tidak berselindung. Dia
tersenyum.
“Jean? Jean mano pulok?” soal Hajah Zaiton penuh
minat.
“Jean hok suko nasik tupe ma tulah.” Dean tersengih.
Senyum Hajah Zaiton melebar. Tadi bukan main
menafi, tapi sekarang jujur pula. Jadi fahamlah dia apa
maksudnya.
“Pahtu, bilo nok kenal ko manyo? Kalau kene gak,
leh bekwoh sekali ngan acu nanti,” cadangnya.
Dean tergelak. Amboi, cepat betul ma buat
perancangan. Kalau adiknya hendak bersanding sekali
dengan dia, mahu makan tahun lamanya. Faham sajalah Jean
itu macam mana.
“Nanti dululah ma. Sapa tiko Dean royat ko ma.”
“Yolah,” jawab Hajah Zaiton sepatah. Tersenyum dia
dan kepalanya diangguk.
Soal kahwin, biarlah Dean yang tentukan sendiri.
Bagi dia, walau siapa pun pilihan anak-anak, dia akan sedia
menerimanya. Yang hendak hidup bersama itu anak-anak
bukannya dia atau suaminya.
“Maghi minum.” Air kopi tarik yang sudah
dituangkan ke dalam cawan terus dihulurkan kepada Dean.
Dengan senyum yang masih terukir, Dean
mengangguk dan huluran Hajah Zaiton disambut.

Dean & Jean - Bab 7

“KAU nak cari apa sebenarnya ni Jean?” bebel
Moon dengan muka berkerut-kerut. Penat dia mengekor
langkah Jean sedari tadi. Habis satu bangunan pusat membeli
belah One Utama itu mereka jelajahi. Peliknya Jean tidak rasa
penat ke? Lututnya seperti hendak tercabut berjalan tanpa
henti sejak tadi.
Jean jongket bahu. Dia sendiri pun tidak tahu apa
yang dia hendak cari di situ. Sedari tadi ke sana ke mari
tetapi tiada satu apa pun yang menarik minatnya. Pandangan
dibuang ke sekeliling tetapi semuanya kelihatan hambar.
‘Bosan!’ dengusnya.
“Kau tak tahu kau nak cari apa tapi habis satu
bangunan One Utama ni kau bawak aku jalan. Kaki aku dah
lenguhlah wei!” marah Moon pula.
“Ala, kau ni. Jalan sikit pun dah lenguh. Cubalah
exercise sikit. Kata nak kurus,” balas Jean bersahaja dan mula
buka langkah kembali.
“Nak kurus? Wei, berat badan aku masih normal lagi
tau. 55 kilogram dengan ketinggian aku, 155 cm tu masih
okey sangat lagi. Kalau aku nak kurus pun bukannya dengan
menapak sekeliling shopping complex macam ni. Penat sia.
Aigoo!” bebelnya.
Jean mencemik dan semakin melajukan langkahnya.
“Hei! Hei! Kau nak ke mana pulak ni?” Moon
menggeleng tapi tetap mengekor. Lengan Jean diraih dan
ditarik supaya berhenti.
“Nak cari Starbucks. Kau nak minum tak?”
“Wei, Starkbucks kat tingkat bawahlah!” balas Moon
bersama dengusan keras.
“Yang kau kalut sangat ni kenapa? Lif kan ada.” Jean
masih beriak bersahaja. Langsung tidak terkesan dengan
amarah sahabatnya itu. Tidak terus menunggu di situ,
langkah dibuka kembali.
Baru beberapa langkah Jean berjalan tiba-tiba telefon
bimbitnya berbunyi. Cepat-cepat telefon bimbit di dalam
beg tangannya dicapai. Malas dia hendak melayan bebelan
Moon. Sebaik terpandangkan nama Dean di skrin, bibir terus
menguntum senyum. Sepantas kilat itu, panggilan tersebut
disambut.
“Waalaikumussalam,” jawab Jean membalas
salam yang dihulurkan dan langkahnya dianjakkan ke tepi
berdekatan penghadang besi kerana tidak mahu mengganggu
laluan orang lain.
“Dekat mana tu? Bisingnya.”
“One Utama.” Langkah terus diayun.
“Shopping?”
“Tak. Cuci mata,” balas Jean sambil tersengih.
“Cuci mata cari apa? Boyfriend?”
“Kalau jumpa apa salahnya,” gurau Jean sambil
ketawa kecil.
“Yang depan mata ada, yang jauh juga yang kau cari.”
Mendengar kata-kata Dean, ketawa Jean semakin
galak.
“Kau dekat mana?” tanya dia malas hendak
memanjangkan usikan Dean.
“Pasar Siti Khatijah.”
“Cari awek Kelantan?” usik Jean pula.
“Aku tunggu mak aku beli barang dekat dalam tu
ha!” dengus Dean.
“Oh...” Jean terus melangkah. Moon pula hanya
mengekor sahaja di sebelahnya dengan wajah cemberut.
“Kau nak kirim apa-apa tak? Nanti aku belikan.”
Dean menyambung bicaranya.
“Nasi tumpang. Nak yang sedap macam mak kau
buat dulu tu.”
“Itu aje?”
“Itu aje yang aku terfikir sekarang. Kau balik bila?”
“Dah rindukan aku ke?”
Baru sahaja Jean ingin membalas usikan Dean,
tiba-tiba dia terasa tubuhnya dilanggar seseorang dan telefon
bimbitnya terus terlepas dari tangan.
“My phone!” jeritnya apabila melihat telefon
bimbitnya melayang-layang jatuh dari tingkat dua ke tingkat
bawah.
“My phone!” jerit Jean lagi. Hampir menitis air
matanya melihat telefon bimbit yang baru dibeli tidak sampai
3 bulan itu terhempas ke lantai.
“I’m sorry miss. I tak sengaja.”
Mendengar teguran seseorang, Jean berpaling. Lelaki
yang sedang berdiri di hadapannya itu direnung geram.
“Lain kali tak boleh ke jalan elok sikit? I dah jalan
tepi pun you masih langgar lagi!” marah Jean dan terus
berlari meninggalkan lelaki itu untuk ke tingkat bawah.
Moon mengekor sambil menjeling lelaki yang melanggar
sahabatnya itu dengan satu jelingan tajam.
“Jean!”
“Jean!” panggil Dean di hujung talian.
Terus tegak tubuh Dean yang tersandar di kereta tadi.
Telefon bimbitnya direnung dan dada mula berdebar. Apakah
yang berlaku? Tiba-tiba sahaja perbualannya dengan Jean
terputus begitu sahaja. Nombor telefon Jean didail semula.
Senyap.
Didail lagi dan masih juga senyap.
“Jean...” bisik Dean dan rambutnya diraup.
Teringatkan Moon, cepat-cepat nombor sahabat baik Jean
didail. Dia sangat yakin Moon pasti ada bersama Jean ketika
itu. Tidak lama menunggu, panggilannya berjawab.
“Moon, kau dengan Jean ke?” soalnya sehingga
terlupa hendak beri salam.
“Haah, aku dengan Jean ni.”
“Dia kenapa? Aku call dia tak dapat-dapat ni.” Dean
semakin resah.
“Telefon dia jatuh dari tingkat dua ke ground floor.
Dah hancur.”
“Bagi aku cakap dengan dia sekejap.”
“Jean tengah bertekak dengan mamat yang langgar
dia. Nanti dah settle aku suruh dia call kau balik. Aku nak
back-up dia ni. Bye.”
Tut... tut...
Dean mendengus. Moon pun satu, cepat sangat letak
telefon. Masalahnya, Jean bertekak dengan mamat mana?
Dan apa yang berlaku sampai mereka bertekak di pusat
membeli belah? Haih!
“I’m sorry. I tahu I salah. I akan ganti balik
handphone tu,” ucap lelaki itu yang entah ke berapa puluh
kali.
“You nak ganti? Ini iPhone X, tahu tak? Bukan
seratus dua harganya!” marah Jean sambil menunjukkan
telefon bimbitnya yang sudah hancur skrinnya.
“I akan ganti,” ucap lelaki itu bersungguh-sungguh.
“Okay, fine! You nak ganti sangat, kan? I nak you
ganti sekarang juga!” tegas Jean. Jangan main-main dengan
dia dan jangan sesekali buat dia marah. Ha, itulah akibatnya.
Lelaki itu akur.
“Okey... okey. Kita cari kedai phone sekarang,”
ajaknya bersungguh-sungguh.
Jean mengangguk lalu tangan Moon ditarik supaya
mengikutnya. Apa yang buat dia geram sangat sebab dia
tengah berborak dengan Dean kut tadi. Mesti Dean tengah
risau sekarang. Eee... geram betul!
Sampai sahaja di sebuah kedai menjual telefon
bimbit, lelaki itu terus masuk. Jean dan Moon mengekor.
“I nak iPhone yang paling latest,” ucap lelaki itu
kepada salah seorang jurujual di situ.
“No, I nak iPhone yang sama macam I punya,” celah
Jean dan iPhone di tangannya ditunjukkan.
“Sorry miss, iPhone X kami dah tak ada stok.”
Jurujual tersebut mengalihkan pandangan ke arah tangan
Jean.
“Kalau tak ada dekat sini, kita cari tempat lain!”
tegas Jean.
Lelaki itu menggeleng.
“It’s okay, I’ll buy you the latest one.”
“But the price...”
“Anggap ia sebagai compensation sebab I dah
rosakkan handphone you.”
“But...”
“Please, I betul-betul rasa bersalah sekarang dan
dengan cara ini saja I boleh tebus rasa bersalah I.” Lelaki itu
tetap bertegas.
Jean terdiam dan Moon dipandang. Moon pula
dengan riak sedikit sombong, terus mengangguk.
“Ambik aje,” bisiknya mengapikan.
“Fine,” ucap Jean sepatah. Dengan helaan nafas dan
rasa serba salah, akhirnya dia akur.
Lelaki itu tersenyum dan terus membuat urusan
jual beli. Selesai semuanya, dia berpaling memandang Jean
semula.
“Ini, I ganti balik handphone you yang rosak tadi. I
harap masalah kita hari ni dah selesai dan I betul-betul minta
maaf,” ucap lelaki itu dan beg kertas berisi iPhone XS yang
baru dibelinya tadi dihulurkan kepada Jean.
“Thank you. Tapi lain kali tolonglah berhati-hati.
Tak pasal-pasal melayang dekat RM4,000 sebab nak bayar
ganti rugi,” pesan Jean mengingatkan. Huluran lelaki itu
disambut.
Hurm... kata orang rezeki jangan ditolak. Lagipun
apa yang berlaku salah lelaki itu juga. Desisnya cuba
menyedapkan hati sendiri. Maklumlah, Jean bukannya suka
menerima pemberian daripada orang sembarangan. Hanya
pemberian Dean sahaja yang dia terima. Itu pun disertakan
dengan banyak soalan.
“Yeah, I’ll be extra careful next time.”
“So, thanks again for the phone.” Jean berbahasa
dan mula buka langkah untuk pergi dari situ.
“Miss...” panggil lelaki itu dan ikut buka langkah.
Jean berpaling dan keningnya dijongketkan.
“May I know your name?”
Jean terdiam dan lelaki itu dipandang tidak berkelip.
“If you tak keberatan nak beritahu I.”
“Jean...” balas Jean sepatah. Moon di sebelahnya
sudah tarik muka menyampah dan tidak puas hati. Entah
kenapa dia tidak berapa suka dengan lelaki itu walaupun
kacak orangnya.
“I, Hazif.” Lelaki itu tersenyum dan tangannya
dihulurkan.
Jean hanya memandang sahaja lelaki yang bernama
Hazif itu tanpa perasaan dan huluran lelaki itu dibiarkan
tidak bersambut. Memang dia nampak moden tapi dia tidak
akan menyambut salam daripada lelaki yang bukan mahram.
Sorry! Desisnya.
Mengerti akan penolakan itu, Hazif terus
menjatuhkan tangannya.
“Nice meeting you,” ucapnya lagi dengan senyum
lebar di bibir.
Jean tersenyum segaris dan terus meminta diri
beredar dari situ.
“Aku tak sukalah dengan mamat tu.” Moon bersuara
setelah diam membisu sejak tadi. Sambil berjalan, lelaki yang
masih berdiri memerhati ke arah mereka dikerling.
“Kau tak payahlah nak susah payah sukakan dia.
Lagipun bukannya kau akan jumpa dia lagi.” Selamba Jean
membalas.
“Tapi mamat tu boleh tahan juga handsome kan?”
Moon tersenyum gatal. Lelaki bernama Hazif itu dikerling
lagi.
Jean lepaskan tawa dan menoleh sahabatnya itu
sekilas.
“Dah tahu handsome, kenapa tadi tak minta nombor
telefon?” soal Jean sambil kening sebelahnya diangkat.
Moon pantang betul nampak lelaki kacak. Bukan
main menggedik lagi. Begitulah juga reaksi kawannya itu
ketika kali pertama jumpa Dean. Tak henti-henti puji Dean
kacak. Sampai naik kebas telinga dia dengar ayat yang sama
setiap hari. Tapi Jean tak pernah beritahu Dean yang Moon
selalu memujinya. Tak nak dia tengok Dean tayang muka
bangga apabila kena puji. Menyampah!
“Hesy! Takkanlah aku nak minta nombor telefon.
Buat malu aje.”
“Reti malu? Aku ingat kau tak reti malu.” Jean sudah
tergelak.
Dikutuk begitu, Moon mencemik dan tarik muka.
Teringatkan sesuatu, dia bersuara semula.
“Alamak Jean, lupa nak beritahu kau. Tadi Dean
ada call aku tanya pasal kau. Nanti kau telefonlah dia balik.
Dengar suara dia macam risau aje,” beritahunya.
“Mamat tu memang gitu. Entah apa yang dia risau
sangat agaknya!” dengus Jean.
“Kau ni orang risau pun salah!” marah Moon.
Jean mencemik.
“Tapi kan Jean, dia dekat mana sekarang eh?”
“Balik Kelantan. Adik bongsu dia bertunang.”
Moon mengangguk. Hurm... patutlah beria-ia Jean
ajak dia keluar dan ukur One Utama hari itu. Bosanlah tu
sebab Dean tak ada. Kalau Dean ada tentu lelaki itu yang jadi
mangsa.
Moon sebenarnya pelik juga dengan Jean dan Dean.
Kata kawan baik tapi nampak macam pasangan yang bercinta.
Peliknya, rajin pula Dean melayan. Dia kalau Jean ajak pergi
makan memang tak ada hal. Tapi kalau diajak membeli-belah
memang dia akan menyerah awal-awal. Jean tu kalau berjalan
tak reti berhenti selagi kakinya tidak penat. Betullah seperti
emak dia pernah kata, orang kalau ada tahi lalat di kaki
memang kuat berjalan. Contohnya ada depan mata dia. Si
Jeanlah siapa lagi. Haih!
“Jangan lupa tu nanti call dia.” Moon mengingatkan.
“Haih... tahulah aku.” Acuh tak acuh Jean membalas
dan semakin melajukan langkahnya.
“Eh, tadi kata nak pergi minum dekat Starbucks?”
Melihat Jean yang sudah berjalan menuju ke arah lif, Moon
terpinga-pinga.
“Tak ada mood dah nak minum. Kita terus baliklah.”
“Jean aku hauslah!” jeritnya dan kepala digeleng
geram. Moon mendengus.
Tidak mengendahkan Moon, Jean hanya meneruskan
langkahnya.
Moon ketap gigi melepaskan geram dan takut kena
tinggal, cepat-cepat kakinya diayun.

Dean & Jean - Bab 6

“YES!!!” jerit Jean sambil melompat gembira
mendengar berita yang disampai Dean sebentar tadi. Kalau
memeluk Dean tidak salah, tentu tubuh tegap Dean sudah
dibawa ke dalam pelukan agaknya. Gembira dia bukannya
kerana dia ada bahagian untuk projek tersebut tetapi kerana
usaha dan penat lelahnya terbayar.
“So, sekarang kita dah tak perlu balik lambat lagi
kan?” tanyanya.
Dean menggeleng.
“Tak,” balasnya sepatah.
“Bestnya. Bolehlah aku tidur awal malam ni. Yes!”
Jean bersuara ceria.
Dean tergelak kecil. Geli hati melihat reaksi gadis
itu.
“Oh ya Dean, our holiday is on right?” soal Jean
apabila teringat apa yang pernah Dean janjikan sebelum itu.
Tidak sabar rasanya dia hendak menikmati keindahan pantai.
Dean buang senyum dan mengangguk.
“Jadi. Nanti kita bincang dengan yang lain-lain,”
jawab Dean juga dengan nada ceria. Sungguh, hilang
rasa lelahnya sebaik perjanjian dengan Dato’ Sri Hani
selesai ditandatangani satu jam tadi. Sebelum perjanjian
ditandatangani, memang tak tidur lena dia dibuatnya.
Maklumlah, dalam dunia perniagaan yang penuh
dengan permainan politik, macam-macam boleh berlaku.
Sedangkan nasi yang hampir tersuap ke dalam mulut pun
boleh jatuh, inikan pula kontrak yang belum pasti lagi.
“Great!” Jean angguk bersetuju dan duduk semula.
Melihat Jean yang sudah duduk di tempatnya,
Dean berdeham. Teringatkan hadiah yang dia belikan untuk
Jean dua minggu lepas, spontan itu beg sandangnya yang
diletakkan di atas meja Azie dicapai. Baru sahaja kotak
berwarna putih yang disimpan di dalam beg itu ingin diambil,
hati rasa ragu-ragu dan Jean dikerling sekilas.
Haih! Kalau Jean tanya hadiah itu untuk apa, jawapan
apakah yang perlu dia beri? Mengenali Jean, Dean tahu gadis
itu bukannya jenis senang berpuas hati dengan jawapan yang
ala kadar. Beri hadiah hari jadi pun bermacam-macam soalan
yang Jean tanya. Jadi, patutkah dia beri hadiah itu kepada
Jean sekarang? Tapi, sampai bilakah hadiah tersebut perlu
diusung ke hulu ke hilir begitu? Hati berbisik resah.
‘Beri saja Dean. Kalau Jean tolak pun
sekurang-kurangnya kau dah bagi.’ Hati berbisik lagi.
Dengan helaan nafas panjang, kotak putih itu segera
dicapai lalu dikeluarkan dari dalam beg.
“Untuk kau,” ucap Dean selamba dan kotak tersebut
diletakkan di atas meja Jean.
Jean tercengang. Bulat matanya memandang Dean
sebelum pandangannya beralih ke arah kotak putih yang
tertulis PANDORA di atas meja.
“Apa ni?” Dia buat-buat tanya padahal di luar kotak
sudah jelas ditulis PANDORA. Dengan riak bersahaja, kotak
tersebut dicapai dan diperhati.
“Entah. Aku jumpa dekat bawah tadi. Rasanya
ada orang buang. Dari dibiarkan macam tu, lebih baik aku
ambil dan bagi kau,” jawab Dean semakin selamba dan terus
buka langkah menuju ke biliknya. Berdiri di hadapan Jean
lama-lama nanti semakin banyak pula soalan dari mulut
bertih jagung Jean.
Jean mencemik. Dean dikerling. Kalau nak menipu
pun agak-agaklah. Tak ada orang yang akan buang barang
berharga macam ini. Tidak terus duduk di tempatnya, Jean
bingkas bangun dan terus berjalan menuju ke bilik Dean.
“Thank you,” ucapnya sambil menggoyang-goyang
kotak di tangan. Dengan sengih lebar di bibir, kotak itu terus
dibuka. Sebaik terpandangkan seutas gelang dengan tiga biji
charm berbentuk hati, Dean dipandang semula. Terkebil-kebil
matanya memandang lelaki itu.
Dean berdeham.
“Kenapa?” soalnya cuak.
“Kau yang pilih ke ni?”
“Tak. Ada sorang ah soh yang tolong pilihkan.” Tipu
Dean. Nafasnya dihela dan pandangan dikalihkan ke arah
lain. Tiba-tiba pula dadanya berdebar-debar dan dia jadi malu
untuk membalas renungan dari sepasang mata cantik Jean.
Senyum di bibir Jean melebar. Kalau itu yang dijawab
sudah pastilah maksudnya adalah sebaliknya.
“Cantik dan aku suka,” puji Jean. Gelang tersebut
diambil lalu kotak tersebut diletakkan di atas meja Dean. Jean
terus berjalan menghampiri tempat duduk Dean.
Melihat Jean yang semakin menghampiri, degupan
di dada Dean semakin kencang. Cuba menenangkan diri
sendiri, tubuhnya terus disandarkan ke kerusi dan nafasnya
dihela.
“Tolong aku pakaikan gelang ni,” pintu Jean dan
gelang itu diberikan kepada Dean. Sebelah tangan lagi
dihulurkan.
“Huh?” Dean tercengang. Kerusinya dipusingkan
sehingga dia duduk betul-betul menghadap Jean dan gadis
itu dipandang tidak percaya.
Jean mengangguk.
“Sebab kau yang belikan jadi aku nak kau yang
pakaikan untuk aku,” ucapnya lalu keningnya dijongketkan.
Dean telan liur sedang mata langsung tidak
berkalih memandang wajah yang sedang tersenyum manis
di hadapannya itu. Melihat wajah bersungguh-sungguh Jean,
dia terus berdiri. Sambil berdeham, gelang yang dihulurkan
Jean dicapai lalu dipakaikan ke pergelangan tangan kiri Jean.
“Dah,” ucapnya sepatah dan dia duduk semula.
Kerusinya dipusingkan dan dadanya yang terasa berdebar
diusap.
“Thank you!” Jean bersuara ceria. Pergelangan
tangannya yang sudah tersarung gelang pemberian Dean
itu diperhati dengan penuh minat kemudian dia menoleh
memandang Dean semula.
“Sebenarnya hadiah ni untuk apa ya Dean?” tanyanya.
Sekali lagi Dean berdeham. Lehernya digosok. Dia
sendiri pun tidak tahu hadiah itu untuk apa. Tapi apa yang
pasti ketika dia melihat gelang tersebut, dia benar-benar ingin
Jean memakainya. Sehinggakan dia dapat membayangkan
betapa cantiknya Jean apabila memakai gelang itu.
“Hari jadi aku dah lepas. Tapi hadiah hari jadi aku
yang dah lepas tu kau dah bagi.” Dean dikerling. Jean buka
langkah dan berdiri di hadapan meja Dean semula. Gelang di
pergelangan tangannya disentuh.
“Atau ini hadiah untuk Valentine’s Day? Tapi
Valentine’s Day pun dah lepas,” usik Jean.
“Kalau betul untuk Valentine, macam mana?” duga
Dean. Dia terbatuk kecil. Jean memanglah sengaja menguji
perasaannya.
Jean senyum.
“Tak baik sambut Valentine, but anyway, thank
you for the gift. I really love it,” ucapnya sedikit manja dan
matanya dikenyitkan. Kemudian dia terus berlalu keluar.
Dean hela nafas panjang. Jean yang sedang
berlenggok keluar dari biliknya dipandang sambil dadanya
diusap. Argh! Jean... kenapalah suka sangat menduga hati
lelakinya?
“Amboi, Jean! Ralit sangat kau tengok tangan kau tu,
kenapa?” giat Zul lalu meja kerja Jean dihampiri.
“Patutlah beria-ia tengok tangan rupanya pakai
gelang baru,” selorohnya pula.
Terdengar apa yang Zul katakan, Azie yang baru
melangkah masuk ke pejabat terkocoh-kocoh menghampiri
Jean. Komputer ribanya terus diletakkan di atas meja Jean
dan tangan rakan sekerjanya itu terus diraih.
“Oit! Apa hal ni?” Terkejut Jean diserang secara
tiba-tiba begitu.
“Gelang mahal wei!” Azie buang pandang ke arah Zul
di sebelahnya. Tangan Jean diangkat dan digerak-gerakkan.
“Haruslah boyfriend yang bagi,” giatnya pula.
“Amboi, kau Jean... ada boyfriend senyap-senyap aje eh.”
“Jean bukan macam kau, Azie. Baru ada boyfriend
dah riuh satu ofis,” ejek Zul. Dia tergelak kecil dan kepalanya
digeleng.
“Kalau aku tak beritahu nanti kau dengan Iwan
mengurat aku pulak,” balas Azie selamba. Mukanya
mencemik. Tangan Jean yang masih dalam pegangannya
dilepaskan.
“Uisyh, confidentnya menjawab! Kalau kau tu
macam Jean, yalah juga,” ejek Zul lagi.
“Mulut kau... Aku tahulah Jean cantik tapi tolong
sedar diri ya sebab Jean pun tak akan terpikat punya dengan
orang macam kau atau Iwan.” Azie membalas pula.
“Pedihnya ayat kau, Azie. Bisa berbisa hingga
menusuk dalam hati.” Zul sentuh dadanya sambil
menyeringai.
Dean yang sedari tadi hanya melihat dan mendengar
riuh mulut Zul dan Azie berbalas kata, bingkas bangun. Meja
Jean dihampiri dan dia berdeham.
“Bos,” sapa Zul dan Azie serentak.
“Apa yang riuh sangat tadi tu?” Sengaja dia
buat-buat tanya padahal dia dengar dengan jelas butir bicara
kedua-duanya. Jean yang sedang tersengih di tempatnya
dikerling. Sukalah tu agaknya orang asyik puji dia cantik.
“Saja gurau-gurau aje bos.” Azie tersengih macam
kerang busuk dan menoleh pandang ke arah Zul.
“Hurm... Iwan mana?”
“Iwan jumpa photographer, bos. Petang sikit dia
masuk,” beritahu Zul.
Dean mengangguk.
“Okey, since dia tak ada jadi aku tanya korang
ajelah.” Dia memulakan bicara.
Zul dan Azie berpandangan dengan dahi berkerut.
“Tanya apa bos?” Sekali lagi mereka bersuara
serentak.
Dean tersenyum melihat riak kedua-duanya.
“Aku nak beritahu yang kontrak kita dengan Nutra
Beauty dah selamat ditandatangani dan penggambaran untuk
iklan tu akan dimulakan awal bulan depan.”
“Yes!” jerit Zul dan Azie serentak.
“Tahniah bos. Tak sia-sia kita bersengkang mata
siapkan proposal tu.” Zul menyambung bicara.
Dean mengangguk sambil tersenyum.
“Ya, terima kasih pada korang juga yang sama-sama
bersusah payah dengan aku sepanjang dua minggu ni. Jadi
sebagai reward, aku cadang nak bawak korang pergi bercuti
sebelum kita start shooting. So, aku nak tanyalah mana
tempat yang korang nak pergi.” Jean dikerling.
Zul dan Azie saling berpandangan dan tersenyum
lebar.
“Sabah, bos!” Azie memberi cadangan.
“Camping bos,” cadang Zul pula.
Sekali lagi Jean dikerling dan tangan dipeluk ke
tubuh.
“Ermm... pilih antara dua tempat ni aje.” Keningnya
digaru. “Melaka atau Port Dickson,” ujar Dean serba salah.
Zul dan Azie mencemik. Tadi minta mereka beri
cadangan tapi rupa-rupanya Dean sudah ada pilihan sendiri.
“Okey, okey. Aku tahu korang biasa pergi
tempat-tempat tu tapi buat masa ni kita pergilah situ dulu.
Tapi aku janji lepas urusan dengan Nutra Beauty selesai, kita
akan buat trip ke tempat lain pulak,” ucapnya berjanji.
“Kita pergi jalan-jalan cari makan dekat Melakalah
bos.”
Walaupun Dean suka dengan cadangan Zul tapi
dia tetap kena tanya Jean dulu. Manalah tahu gadis itu ada
cadangan lain pula. Lagipun Jean kan mahu bercuti di tepi
pantai.
“What do you think, Jean?” soal Dean kepada Jean
yang masih leka merenung gelang di tangan dipandang.
Senyap.
“Jean...” panggil Dean lagi sedikit kuat daripada tadi.
Tersentak, Jean mendongak.
“Huh?” soalnya sambil terpinga-pinga. Dean, Zul
dan Azie dipandang silih berganti.
“Adoi, Jean! Tahulah gelang tu boyfriend kau yang
beri tapi janganlah over sangat sukanya tu.” Azie menggeleng.
“Isy, kau ni!” marah Jean lalu bingkas bangun.
Geram, bahu Azie ditepuk kuat. Berani betul Azie bergurau
begitu depan Dean. Kalaulah kawannya itu tahu Dean yang
beri gelang itu tentu tak berani Azie hendak mengusiknya.
Dean hanya ketawa sahaja melihat reaksi Jean
tetapi dalam hatinya suka mendengar gurauan Azie. Gelaran
boyfriend yang Azie berikan itu membuatkan hatinya
kembang setaman.
“Zul beri cadangan kita jalan-jalan cari makan di
Melaka. So, kau okey tak dengan cadangan tu?” tanya Dean
lagi.
Kepala digeleng.
“Aku nak bercuti dekat tepi pantai!” tegas Jean.
Dean pandang Zul dan Azie semula seolah-olah
meminta jawapan mereka.
“Kalau macam tu, apa kata kita singgah Melaka
untuk cari makan lepas tu kita gerak ke Port Dickson dan
camping dekat tepi pantai,” cadang Zul lagi.
“Kita makan asam pedas dekat Melaka bos,” celah
Azie pula.
Dean menoleh memandang Jean semula dan
keningnya dijongketkan.
“Aku setuju,” jawab Jean sambil tersengih.
“Okey, since semua dah sepakat, awal bulan depan
kita pergi.”
Jean terdiam dan kalendar di atas mejanya diperhati.
Awal bulan maknanya lagi dua minggu. Lewatnya.
“Kenapa kita tak pergi hujung minggu ni aje?” tanya
Jean selamba.
“Hujung minggu ni tak boleh sebab aku balik
kampung.”
“Balik kampung?” Jean kerutkan dahi. Dean tak
pernah beritahu dia pun Dean hendak bercuti balik ke
kampungnya.
Dean mengangguk.
“Adik bongsu aku bertunang,” beritahu Dean lagi.
“Oh!” balas Jean sepatah dan tubuh disandarkan ke
kerusi semula.
“Adik bos nak bertunang, bos bila lagi?” Azie
mengusik. Nasib baiklah Dean jenis bos yang sporting.
Setakat gurau begitu biasanya tak jadi hal langsung kepada
lelaki itu.
Dean tersenyum dan Jean dikerling.
“Kena tanya soalan tu pada Jean. Kalau dia setuju
bila-bila masa kami boleh bertunang,” balasnya selamba.
Jean tercengang.
“Aku? Kenapa libatkan aku?” soalnya terpinga-pinga.
Sengaja malas hendak menjawab soalan Jean, Dean
buang tawa dan terus beredar masuk ke biliknya semula.
“Aku ingat bos serius tapi main-main rupanya.” Azie
mencemik. Dia bukan main terkejut lagi mendengar jawapan
Dean tadi. Tapi apabila Dean ketawa, tahulah dia bosnya itu
bukannya serius. Hampeh betul!
“Tapi kan, aku rasa bos dengan Jean sesuai aje.
Lagipun kau dah kenal lama dengan bos, kan Jean?” Zul
kalihkan pandangan ke arah Jean.
“Korang jangan merepek eh. Aku dengan dia tu
cuma kawan baik aje.” Jean buat sibuk. Dokumen di atas
mejanya dibuka. Malas dia hendak melayan Zul dengan Azie
membawang. Nanti meleret-leret entah ke mana-mana.
Azie menggeleng.
“Orang macam bos tu kau cuma anggap kawan aje
Jean? Rugilah kau. Jangan nanti bila bos suka dekat orang
lain, kau ternganga ya.” Dia mengingatkan.
Tersentap mendengar kata-kata Azie, lekas-lekas
pandangan dibuangkan ke arah bilik Dean. Lelaki itu yang
sedang bercakap di telefon bimbitnya dipandang.
Ya juga kan. Apa agaknya perasaan dia apabila
suatu hari nanti Dean kenalkan kepada dia gadis pujaannya?
Tentu dia sedih sebab seorang lelaki yang dianggap abang
dan juga kawan paling baik sudah ada pilihan hati. Sudah
tentu-tentulah Dean akan lebihkan kekasih hatinya daripada
dia.
“Apa yang kau tengok tu? Baru perasan yang bos kita
tu handsome?” Azie buang tawa. Geli hati dia melihat cara
Jean memandang Dean.
Jean mencemik.
“Mana ada. Aku cuma fikir macam mana agaknya
nanti bakal isteri Dean. Lelaki macam dia tu aku rasa cerewet
sikit pasal perempuan. Tentu dia nak perempuan yang
bertudung, pandai masak, pandai buat kerja rumah dan yang
ayu-ayu gitu,” balasnya sedang mata masih tidak berkalih
memandang Dean.
“Kau lebih kenal bos dan aku rasa ciri-ciri tu memang
menjadi pilihan bos.” Azie mengiakan dan Dean dipandang
sekilas sebelum dia memandang Jean semula.
“Hurm... Kalau ikut ciri-ciri yang kau sebutkan
tadi, kau memang langsung terkeluar dari senarai. Yalah,
kau bukannya reti memasak. Buat kerja rumah pun aku rasa
memang kau failed. Bertudung tu memang jauh sekalilah,”
ejeknya.
Jean mencemik dan Zul ketawa kecil.
“Tapi hati orang kita tak tahu, Azie. Mana tahu calon
pilihan bos berlawanan daripada ciri-ciri yang Jean sebutkan
tadi. Siapa tahu?” celah Zul dan keningnya dijongketkan.
Sebagai lelaki dia seolah-olah dapat meneka perasaan Dean
terhadap Jean. Lihat sahajalah bagaimana layanan Dean
terhadap Jean. Layanannya bukan biasa-biasa.
Azie mengangguk mengiakan. “Betul juga cakap kau
tu kan? Tapi memang mustahillah bos akan syok kat Jean.”
“Dah, dah! Korang berdua tak payahlah nak
sibuk-sibuk pasal jodoh Dean. Yang pasti kalau dia nak
kahwin, akulah orang pertama yang akan tahu,” ucap Jean
membangga diri sambil kening dijongketkan.
Menyampah mendengar bicara Jean, Zul dan Azie
mencemik dan terus berjalan menuju ke meja masing-masing.
Jean hanya memerhati sahaja sambil tergelak kecil.
Dokumen yang dibukanya tadi diselak dan sesekali gelang
yang diberikan Dean dikerling bersama senyuman.

Dean & Jean - Bab 5

“DAH tahu siapa owner syarikat yang berjaya
dapatkan kontrak dari Nutra Beauty?” tanya Hazif yang
memandang ke arah kedua pekerjanya itu. Daris dan Eliza
dipandang silih berganti dengan riak yang sedikit tegang.
Eliza mengangguk.
“His name is Wan Mohd Nasrudean Wan Jaffar,
better known as Dean. Aged 29. From Kelantan. Studied at
University of Leicester in UK. Previously worked with Five
by Five, one of the famous advertising companies in UK for
almost 3 years before starting his own business, DJ Media Art
& Advertising Sdn. Bhd. two years ago,” beritahunya panjang
lebar. Sehelai kertas A4 yang tertulis maklumat Dean dan
gambarnya diserahkan kepada Hazif.
“Famili dia?” Sebaik huluran Eliza disambut, kertas
tersebut diamati. Kemudian dia mencemik menyampah.
“Mak ayah dia masih tinggal di Kelantan dan
mengusahakan perniagaan restoran dekat sana. Family
business,” balas Daris.
“What about his partner? Apa yang aku dengar
partner dia perempuan, kan?” tanya Hazif lagi lalu tubuhnya
disandarkan ke kerusi. Kertas di tangannya terus dicampakkan
ke atas meja.
“Yup, perempuan. Katanya perempuan tu girlfriend
dia. Nama dia Jeanelle Fitri Jamilul Fikri. Aged 26. Belajar
satu universiti dengan dia masa dekat UK.” Daris bersuara
pula.
“Ermm... nice name. Siapa parents dia?” Dahi Hazif
berkerut lagi. Entah kenapa maklumat yang baru diterimanya
itu sangat menarik perhatiannya. Mendengar dari namanya
dia yakin gadis itu tentu berdarah campuran dan sudah
pastilah cantik orangnya.
Sekali lagi Eliza menghulurkan sekeping kertas A4.
Kali ini memuatkan semua maklumat tentang Jean pula.
Hazif menyambutnya dan kertas tersebut diamati. Maklumat
Jean dibaca satu per satu sebelum pandangannya beralih
ke arah gambar Jean pula. Hurm... seperti yang dia sangka,
orangnya memang cantik, secantik namanya.
“She’s from an academic family. Both her parents
are professors. Mak dia asal dari Indonesia dan ayah dia dari
Johor. Mungkin sebab tu nama dia unik sikit,” terang Daris
lagi walau segala maklumat tersebut sudah tercatat di kertas
tersebut.
Hazif terangguk-angguk sahaja seolah-olah sedang
mencerna maklumat-maklumat yang baru diterimanya
sedang mata masih tidak berkalih dari merenung gambar
gadis yang bernama Jeanelle Fitri itu.
“It seems that our competitor is not just anyone and
quite strong despite being still new in the industry,” ucap
Hazif setelah lama terdiam sambil dagunya digosok-gosok.
Kertas di tangannya turut diletakkan ke atas meja.
Eliza dan Daris mengangguk bersetuju.
“Syarikat tu dah sign agreement belum dengan
Nutra Beauty?” Daris dipandang.
“Belum tapi...”
“Belum tu maknanya kita masih ada peluang untuk
dapatkan kontrak tu lagi, kan?” pintas Hazif mematikan
bicara Daris. Kening dijongketkan dengan riak yang sedikit
ceria daripada tadi.
“Mereka akan sign agreement hari Isnin minggu
depan Zif sebab Dato’ Sri Hani akan ke London hari
Rabu. Dengarnya Dato’ Sri ke sana selama sebulan.” Eliza
menyampuk.
“Any chances for you to get through Dato’ Sri, Liz?
Aku nak jumpa dia. Maybe I can change her mind.”
Eliza menggeleng.
“Aku dah try banyak kali nak bercakap dengan Dato’
Sri sendiri tapi lately ni memang dia sibuk or maybe she’s
avoiding my call on purpose.”
“Out of this world why syarikat kecil dan baru
bertapak yang dapat kontrak tu? Shit!” bentaknya semakin
keras. Dasar meja diketuk geram. Dia mendengus kasar.
“Actually pengurus pemasaran Nutra Beauty, Encik
Mirzan tu kawan Dean. Mereka sekampung dan pernah
belajar satu sekolah dulu. So, kau faham-faham ajelah.” Daris
senyum segaris.
“Habis tu kaki kita dekat dalam tu buat apa?
Buta-buta bayar dia tapi benda macam ni pun tak boleh
handle!” marah Hazif.
“Dia pun tak boleh buat apa Zif bila Dato’ Sri dah
buat keputusan. Lagipun, sebelum produk siap lagi Encik
Mirzan dah bawak Dean jumpa Dato’ Sri,” sambung Daris
lagi.
“Kau tahulah Encik Mirzan tu orang kepercayaan
Dato’ Sri. Jadi sudah tentulah Dato’ Sri akan dengar
pandangan dia,” tambah Daris.
Hazif meraup rambutnya dengan wajah yang
semakin tegang. Tali lehernya dilonggarkan ikatannya.
Sangkanya peluang untuk menyingkirkan syarikat lawannya
itu masih ada, rupanya sudah tertutup rapat. Entah apa yang
perlu dia jawab kepada Datuk Abdullah agaknya. Terlepasnya
kontrak Nutra Beauty bermakna dia telah berturut-turut
gagal mendapatkan dua kontrak besar daripada dua syarikat
ternama di Malaysia. Argh! Keluhan berat dilepaskan.

“UARGGHHH...” JEAN menguap sedikit kuat kemudian
kepalanya dijatuhkan ke atas meja.
Ya Allah, letih dan mengantuknya dia. Bisiknya
sambil membetulkan kedudukan kepalanya. Berasa sedikit
selesa apabila matanya dipejamkan. Masuk hari itu sudah 5
malam dia, Dean dan dua orang staf syarikat terpaksa bekerja
lebih masa untuk menyiapkan draf terakhir proposal untuk
syarikat Nutra Beauty sebelum perjanjian ditandatangani.
Sungguh, sudah habis daya rasanya. Dalam dia melayan rasa
penat akhirnya dia terlelap juga.
Dokumen di atas meja dicapai dan Dean terus
melangkah keluar menuju ke meja Jean.
“Jean...” panggilnya dan pandangan dibuangkan
ke arah meja kerja Jean. Melihat keadaan Jean ketika itu,
langkahnya terus terhenti.
Jean yang mungkin sedang lena itu dipandang
simpati. Bersama helaan nafas, perlahan-lahan langkah
diayun dan meja kerja Jean dihampiri. Wajah lesu itu
direnung dengan rasa simpati. Tidak mahu mengganggu lena
Jean, Dean kembali buka langkah menuju ke biliknya.
Masuk sahaja ke dalam biliknya, dokumen yang
masih dipegangnya sejak tadi dicampakkan ke atas meja lalu
kot yang disangkut di belakang kerusinya dicapai. Kaki diayun
kembali menghampiri Jean yang sedang lena lalu tubuh yang
hanya tersarung blaus lengan panjang nipis itu diselimutkan
dengan kot yang dibawanya tadi.
“Bos...”
Mendengar namanya dipanggil, Dean segera angkat
kepala dan jarinya diletakkan ke mulut memberi arahan
supaya pembantunya yang bernama Zul itu tidak meneruskan
bicaranya.
Mengerti, Zul mengangguk dan terus tidak bersuara.
Dengan memberi isyarat supaya Zul mengikutnya ke bilik,
Dean buka langkah kembali dengan berhati-hati bimbang ia
akan mengejutkan Jean yang sedang lena.
“Macam mana? Dah siap?” soalnya dengan nada suara
yang perlahan kerana bimbang suaranya akan mengganggu
Jean. Kerusi ditarik dan Dean terus duduk.
Zul mengangguk. Komputer riba yang dibawanya
terus ditunjukkan kepada Dean lalu rekaan grafik yang baru
disiapkannya itu ditunjukkan kepada majikannya. Dean
memerhati setiap satu slot yang ditunjukkan dengan tekun.
Jika terdapat apa-apa yang perlu diperbaiki cepat-cepat dia
maklumkan kepada Zul untuk dibetulkan. Zul pula akur
sahaja dengan arahan yang diberikan.
“Okeylah, aku rasa cukuplah dulu untuk malam ni.
Dah pukul 10.30 dah pun. Kita sambung esok. Beritahu Iwan
design tu esok kita finalise,” putus Dean sambil mengerling
pandang ke meja Jean yang terletak tidak jauh dari biliknya.
Dia tahu bukan hanya Jean tetapi Zul dan Iwan juga tentu
penat. Cuma masing-masing tidak bersuara sahaja.
Zul akur lalu bingkas bangun. Komputer riba
di atas meja diambil dan terus keluar. Dean ikut bangun.
Beg sandang, telefon bimbit dan kunci keretanya dicapai
kemudian langkah terus dibuka. Sewaktu melewati pintu
bilik, suis lampu ditutup dan dia kembali melangkah menuju
ke meja Jean. Komputer riba Jean dimatikan.
“Jean...” panggilnya perlahan kerana tidak mahu
gadis itu terkejut.
Senyap. Hanya bunyi nafas halus Jean sahaja yang
kedengaran. Dean tersenyum. Dalam keadaan tidak selesa
begitu pun Jean boleh tidur dengan nyenyak. Kalau dalam
keadaan biasa entah bagaimanalah agaknya.
Tiba-tiba fikiran nakal datang menerjah kepalanya
dan senyum Dean melebar. Tidak terus melayan apa yang
terbayang di benaknya, wajah polos yang sedang lena itu
diamati. Jean, walau sedang tidur pun tetap nampak cantik.
Hati berbisik memuji. Puas memerhati dan bimbang Zul
dan Iwan perasaan apa yang sedang dilakukan, nama Jean
dipanggil lagi.
“Jean...” Lembut Dean bersuara dan bahu Jean yang
masih ditutupi dengan kotnya digerakkan sedikit. Melihat
Jean yang langsung tidak bergerak, nama gadis itu dipanggil
lagi sedikit kuat daripada tadi.
“Jean...”
Jean tersentak dan terus angkat kepala. Dalam
keadaan mamai, pandangannya dibuangkan ke sekeliling.
“Aku dekat mana ni?” soalnya blur dan matanya
digosok.
Geli hati melihat perlakuan gadis itu, Dean tergelak
kecil. Mengigau atau apa budak Jean ni? Tapi comelnya
masya-Allah! Bisiknya sambil menyambung gelak dalam hati.
“Kau masih dekat ofis, Jean. Jom kita balik,” jawab
Dean dengan tawa yang masih bersisa.
“Aku rasa dah tak boleh buka mata dah,” gumam
Jean. Dia hela nafas. Tubuhnya disandarkan ke kerusi dan
matanya dipejamkan semula.
“Sebab itulah aku ajak kau balik. Dah, bangun. Atau
kau nak aku dukung kau sampai kereta?” usiknya. Dean
sanggup aje tapi tunggulah Jean sah jadi isteri dia dulu. Ngeh!
Mata yang sedang tertutup itu terus terbuka lebar.
Dengan wajah yang masih mamai Dean dijeling.
“Dah! Tak payah nak buat muka macam tu dengan
aku. Bangun. Kalau tak memang aku dukung aje,” ugut Dean
pula. Beg tangan Jean dan telefon bimbit Jean di atas meja
terus dicapai.
“Tu, air liur basi dekat mulut tu lap dulu. Muka lawa
tapi tidur air liur basi meleleh,” giatnya pula.
Jean tegakkan tubuh dan cepat-cepat mulutnya
dikesat. Isy! Buat malu aje sampai meleleh air liur basi. Eh!
Tak ada apa-apa kesan pun. Desisnya dan Dean yang sedang
ketawa kecil dipandang. Cis! Fahamlah dia, Dean sengaja
mengusiknya. Geram, Jean mendengus dan dalam keadaan
yang masih tidak bermaya dia bingkas bangun.
“Jom.” Dean mula buka langkah.
“Beg aku.” Jean hulurkan tangan.
“Nak bawak badan pun tak larat ada hati nak bawak
benda lain. Beg tangan kau ni biar aku bawak. Laptop tu
tinggal ajelah dekat ofis,” tegas Dean.
“Zul, Iwan... aku dengan Jean balik dulu. Lampu,
air-cond semua tu jangan lupa tutup!” jerit Dean kerana Zul
dan Iwan berada di dalam bilik mesyuarat ketika itu.
“Okey bos!” Zul membalas sedikit kuat.
“Dah, jom.” Dean terus buka langkah.
Dengan muka cemberut, Jean akur sahaja dan terus
mengekor di sebelah Dean sehinggalah mereka sampai di
kawasan tempat letak kereta Dean. Sebaik Dean menekan
penggera keretanya, Jean terus bergegas masuk.
“Lepas settle projek ni aku nak cuti panjang. Aku tak
kira. Aku nak cover balik tidur aku yang tak cukup,” bebel
Jean dan tali pinggang ditarik. Kemudian tubuh disandarkan
ke kerusi. Masih mengantuk lagi, mata terus dipejamkan.
Dean tergelak kecil. Sebaik tali pinggang dipasang,
enjin keretanya dihidupkan.
“Aku ada plan nak bawak semua staf pergi bercuti
lepas urusan signing agreement dengan Dato’ Sri selesai,”
beritahunya.
Spontan itu mata Jean terbuka kembali. Dean
dipandang tidak berkelip.
“Serius?” tanya Jean bersungguh-sungguh.
Dean mengangguk dan terus memandu Mazda CX-5
merahnya keluar dari kawasan tersebut.
“Aku tahu kau dengan yang lain-lain dah kerja keras
beberapa minggu ni. So it’s time for me to pay back all the
efforts.”
“A good boss is hard to find but luckily I got one,”
puji Jean sambil tersengih. Memang dia akui Dean seorang
bos yang baik. Kakitangan syarikat yang lain juga mengatakan
perkara yang sama walau Dean seorang yang sangat tegas dan
perfectionist.
Mendengar pujian Jean bukan main lebar lagi
senyuman Dean.
“Kita nak bercuti dekat mana?” Jean mengiringkan
tubuhnya menghadap Dean yang sedang memandu ketika itu.
Kepala direbahkan ke kerusi lalu tangan dipeluk ke tubuh.
Wajah tenang yang masih kekal bertenaga itu diamati. Lelaki
seorang ini tidak pernah rasa letih agaknya. Desis hatinya.
“Ermm... Melaka or maybe Port Dickson. Nanti kita
decide sama-sama.”
“Aku tak kisah dekat mana-mana pun tapi yang
penting aku nak bercuti dekat-dekat pantai. Argh... bestnya!
Rasanya macam dah lama tak tengok laut,” luah Jean ceria.
Senyum Dean terukir lagi dan kepalanya diangguk.
‘Aku tahu apa yang kau suka Jean dan untuk kau, apa
aje yang aku tak sanggup buat,’ bisiknya dalam hati.
Teringatkan sesuatu, Jean memandang Dean semula.
“Oh ya Dean, esok kau tak payahlah ambil aku. Aku
boleh pergi kerja sendiri.” Kasihankan Dean yang terpaksa
bersusah payah untuknya, rasa serba salah pula Jean. Apa
tidaknya, rumah Dean dengan rumah orang tuanya agak jauh
juga. Kalau waktu-waktu begini Dean menghantarnya balik
sudah tentulah Dean sampai ke rumahnya semakin lewat.
Dean menoleh ke sebelah dan pandangan Jean
dibalas sekilas.
“Kenapa?” soalnya sepatah.
“Aku kesiankan kau. Pagi-pagi nak ambil aku, malam
pulak kena hantar aku. Kau pun penat juga.”
“Aku tak kisah pun Jean, yang penting aku tak perlu
rasa risau bila kau balik sorang malam-malam. Lagipun
bukan sampai berbulan-bulan kita macam ni. Dalam tempoh
seminggu dua ni aje.”
“Tapi Dean...”
“Jangan degil boleh? Aku dah janji dengan uncle dan
auntie untuk jaga kau,” pintas Dean mematikan bicara gadis
itu.
“Ikut suka hati kaulah. Yang susah kau. Yang penat
pun kau juga,” bebel Jean dan dihela nafas panjang. Duduknya
ditegakkan semula lalu matanya dipejamkan.
Dean menoleh ke sebelah. Jean yang sedang membatu
dipandang sekilas kemudian keluhan kecil dilepaskan. Entah
kenapa melihat reaksi Jean begitu hati kecilnya diusik rasa
kecewa. Tak pernahkah Jean rasa seperti apa yang dia rasa?
Demi Tuhan, dia terlalu ingin tahu apa yang ada
dalam hati Jean sebenarnya. Bukan... bukan itu. Tetapi dia
ingin tahu siapa dia di hati Jean sebenarnya.

Dean & Jean - Bab 4

RUMAH banglo dua tingkat itu dipandang
dengan senyum yang terukir di bibir. Seingatnya sudah
hampir 2 bulan dia tidak ke situ kerana sibuk dengan kerja.
Kalau bukan kerana jemputan Encik Jamilul tentu dia tidak
ke situ pada hari itu.
“Apa khabar uncle?” sapa Dean sebaik batang
tubuh Encik Jamilul menyapa pandangannya. Tangan terus
dihulurkan untuk bersalaman.
“Alhamdulillah, sihat,” balasnya. Senyum Encik
Jamilul melebar. Huluran salam Dean disambut mesra.
“Mari Dean, mari masuk dulu,” ajaknya pula sambil
menepuk lembut bahu anak muda itu.
Dean akur dan kepalanya diangguk. Langkah Encik
Jamilul diekori.
“Sekarang ni busy ke? Uncle tengok Jean selalu
sangat balik lewat sejak kebelakangan ni.” Encik Jamilul
menyambung bicara.
Sekali lagi Dean mengangguk.
“Kami tengah sibuk dengan proposal untuk satu
syarikat kecantikan sekarang ni uncle, sebab itulah banyak
kerja sikit. Dean minta maaf kalau buat uncle dan auntie risau
sebab tiap-tiap malam Jean balik lambat,” kesalnya. Sudah
tentulah Encik Jamilul risau apabila anak gadisnya terpaksa
balik lewat hampir setiap malam. Keseorangan pula tu.
Encik Jamilul tersenyum.
“Don’t mention it. Uncle faham. Lagipun itu dah
kerja dia. Yang penting, Dean ada sekali. Jadi tak ada apa yang
perlu uncle risaukan,” jawabnya penuh makna.
Mendengar jawapan Encik Jamilul, Dean senyum
sahaja. Betullah seperti apa yang Mirzan cakapkan semalam,
kalau tiba-tiba dia melamar Jean, orang tua Jean pasti tiada
halangan.
“Ha... duduk dulu. Auntie ada dekat dapur tu tengah
siapkan breakfast. Nanti kita breakfast sama-sama.”
“Menyusahkan auntie aje.” Dean berbahasa dan
terus duduk.
“Bukannya selalu.” Encik Jamilul ikut duduk.
“Orang tua kamu apa khabar?” soalnya lagi.
“Alhamdulillah, ma dengan ba sihat uncle,”
jawab Dean lalu membuang pandang ke arah ruang dapur
seolah-olah mencari seseorang. Sejak dia sampai tadi, dia
tidak nampak langsung kelibat Jean di mana-mana. Tak
mungkin Jean di dapur membantu mamanya. Maklumlah,
Jean bukannya suka buat kerja dapur.
Melihat reaksi Dean, Encik Jamilul tersenyum. Tahu
benar dia apa yang lelaki muda itu cari.
“Jean belum bangun lagi,” beritahunya dengan
senyum yang masih bersisa.
Dean berdeham dan tersipu malu. Macam manalah
Encik Jamilul boleh membaca reaksinya? Nampak sangatkah
apa yang dia sedang cari? Argh! Malu dia.
“Ermm... penat agaknya tu,” jawabnya cuba
meredakan rasa malu yang masih bersisa.
Baru sahaja Encik Jamilul ingin membalas kata-kata
Dean, terdengar lembut suara isterinya menegur. Encik
Jamilul menoleh. Dean turut mengalihkan pandangan ke
arah yang sama.
“Apa khabar auntie?” sapa Dean lalu bingkas bangun.
Tangannya dihulurkan dan tangan wanita separuh umur itu
disalami kemudian dikucup.
“Alhamdulillah, auntie baik-baik aje. Dean dah lama
ke sampai?” Puan Kamalia membalas ramah.
Kalau dengan Dean bukan hanya suaminya sahaja
yang berkenan, dia juga sama. Bukan setakat penampilan
anak muda itu sahaja yang menarik pandangannya tetapi
sikapnya juga sangat menyenangkan. Paling penting bagi dia
sikap hormatkan orang tua yang Dean tunjukkan.
“Baru lagi auntie.” Dean berbasa-basi. Wajah lembut
wanita separuh umur itu diamati.
Wajah Jean memang saling tidak tumpah seperti
ibunya. Nampak lembut, manis dan keibuan. Tinggi Jean pula
diwarisi dari Encik Jamilul. Ya, Encik Jamilul memang tinggi
orangnya. Mungkin mencapai sehingga 185cm. Tinggi Jean
sahaja pun sudah persis model antarabangsa. Bukan setakat
cantik rupa tetapi bentuk badan Jean juga cantik seperti
model.
Nasib baiklah Jean tidak memilih untuk jadi model.
Kalau tidak makan hati Dean. Apa tidaknya, dia tidak suka
kecantikan Jean dipuja-puja oleh lelaki lain. Kalau boleh
kecantikan Jean biar dia sahaja yang menikmatinya.
“Hurm... Dean duduk dulu ya. Biar auntie naik atas
kejut Jean. Lepas tu nanti kita boleh breakfast sama-sama.”
Dean mengangguk sahaja. Puan Kamalia pula
terus buka langkah naik ke atas. Tidak lama kemudian Puan
Kamalia turun semula.
“Kita breakfast dululah ya bang, Dean. Rasanya tuan
puteri kita tu lama lagi nak bangun. Puas panggil tapi tak
menyahut pun.”
“Marilah Dean. Kalau tunggu Jean, kebulur kita
nanti,” ucapnya berseloroh. Encik Jamilul angguk sahaja dan
terus berdiri.
Dean ketawa kecil dan ikut berdiri.
“Mari Dean,” ajak Puan Kamalia pula.
Dean, walaupun dia sudah kerap ke situ tetapi
perasaan malunya masih menebal lagi. Mungkin kerana
rasa hormat yang tinggi kepada kedua-dua orang tua Jean.
Maklumlah, orang tua Jean bukan orang sembarangan.
Kedua-duanya merupakan pensyarah yang bergelar profesor
di salah sebuah universiti awam di Malaysia.
“Sila Dean,” pelawa Encik Jamilul lembut. Kerusinya
ditarik dan dia terus duduk.
Dean angguk sahaja dan terus duduk.
“Makan Dean, jangan malu-malu. Auntie masak
simple aje pagi ni.” Puan Kamalia mempelawa pula.
“Ya, auntie. Ini pun dah lebih dari cukup ni,”
jawab Dean sopan. Hidangan di atas meja diperhati.
Bermacam-macam hidangan ada. Ada nasi lemak, sambal
sotong, spageti, sandwic telur, karipap pusing dan kek.
Berselera dia melihatnya. Haih! Makanan sebanyak itu
dikatanya simple?
Simple bagi Dean biasanya setakat nasi lemak telur
rebus sahaja atau roti coklat Gardenia yang berharga 90 sen
yang biasa dia makan jika malas hendak masak atau makan di
luar. Tapi inilah yang dinamakan rezeki. Dimasak pula oleh
bakal ibu mentua. Eh!
“Morning pa, ma,” sapa Jean malas-malas. Kerusi
terus ditarik.
“Morning Dean.” Dean dipandang pula dengan wajah
selamba.
Encik Jamilul, Puan Kamalia dan Dean menoleh
ke arah yang sama. Melihat keadaan Jean yang sedikit tidak
terurus dan masih memakai baju tidur tidak berlengan
di tubuh, Encik Jamilul dan Puan Kamalia berpandangan
sambil geleng kepala.
“Bangun pun,” tegur Encik Jamilul.
“Tak mandi ke?” Puan Kamalia menegur pula dan
mula mengeluarkan bunga hendak membebel.
Jean tersengih dan geleng kepala. Dengan wajah
selamba, teko air Milo panas dicapai dan dituangkan ke dalam
cawan kemudian terus dihirup.
“Ya Allah, anak dara sorang ni. Cubalah ada rasa
malu sikit dengan Dean ni ha!” Meletus juga bebelan Puan
Kamalia walaupun dalam nada yang terkawal. Malu dia
melihat perangai anaknya begitu. Apa Jean ingat Dean itu
abang dia? Haih!
“Alaa ma... dengan Dean buat apa nak malu. Dia pun
tak hairan tengok Jean macam ni. Kan Dean?” Selamba Jean
lagi. Sandwic telur di atas meja terus dicapai dan digigit.
Dean berdeham dan hanya tersenyum sahaja sambil
tersipu-sipu. Jean fikir dia tak kisah? Kalau dia bukan lelaki
tulen mungkin dia tak kisah melihat Jean berkeadaan
begitu tetapi Jean sedar tak Jean sedang buat hati lelakinya
panasaran sekarang?
Ironinya, hati lelaki mana yang tidak akan berkocak
hebat melihat seorang perempuan memakai baju tidur
berwarna putih paras lutut dan tidak berlengan begitu?
Walaupun bukan baju tidur yang jarang tetapi Jean tetap
nampak seksi di matanya. Ditambah pula dengan keadaan
rambut panjangnya yang sedikit tidak terurus seperti tidak
bersikat itu. Argh! Janganlah cuba menduga hati lelaki dia,
Jean!
Sekali lagi Puan Kamalia menggeleng. Jean yang
sedang selamba menikmati sarapan paginya dijeling. Dia
sebagai ibu malu melihat tingkah laku anak sendiri. Encik
Jamilul pula hanya mampu hela nafas. Dean dikerling.
Melihat reaksi Dean yang seperti tidak senang duduk itu,
hatinya tercuit dan perlahan-lahan bibirnya menguntum
senyum.
“Makan Dean. Usah kamu kisahkan anak dara uncle
yang selekeh tu.” Encik Jamilul terus bersuara.
“Papa!” jerit Jean tak puas hati. Selekeh papa kutuk
dia?
Geli hati melihat reaksi Jean, Dean tergelak dan
terus menyumbat nasi lemak ke dalam mulut.
“Tak betul ke papa cakap tu? Ermm... nanti kalau
kamu nak cari isteri, kamu cari yang elok sikit, Dean. Jangan
pilih yang macam anak uncle ni. Selagi belum pukul 10 pagi
mesti tak bangun. Kalau kamu kahwin dengan Jean, kebulur
kamu nanti.” Encik Jamilul menyambung bicara. Sengaja
sebenarnya hendak memancing reaksi anak muda itu.
Mendengar usikan Encik Jamilul, Dean tersedak dan
terbatuk kecil. Nasib baik tidak tersembur nasi lemak yang
baru masuk ke dalam mulut.
‘Dean... Dean... Encik Jamilul baru cakap kalau
kahwin dengan Jean pun kau dah tersedak macam itu. Kalau
Encik Jamilul suruh kau kahwin betul-betul dengan Jean
entah macam manalah kau agaknya,’ bebelnya mengutuk diri
sendiri.
“Pedas sangat ke sambal nasi lemak tu Dean?”
Dengan riak cemas Puan Kamalia terus berdiri. Air masak
yang sudah dituang ke dalam gelas disuakan ke arah Dean.
Masih terbatuk kecil, Dean menggeleng dan huluran
Puan Kamalia disambut.
“Err... sambalnya sedap auntie. Tak pedas pun,”
jawabnya sedikit kalut. Air masak di tangan terus dihirup.
Jean yang sedang galak ketawa memandangnya dijeling.
Argh! Nasib baik depan orang tua Jean, kalau tidak memang
sudah ditarik telinga Jean seperti selalu untuk melepaskan
geram.
Encik Jamilul senyum sahaja melihat keadaan itu.
Kemudian pandangannya turut dikalihkan ke arah anak
gadisnya yang begitu asyik mentertawakan Dean.
TURUN SAHAJA dari mata tangga terakhir, Jean terus
melangkah menuju ke sayap kiri rumah. Sebaik berdiri di
pintu gelongsor kaca, matanya liar memandang ke sekeliling.
Terpandangkan Dean dan papanya yang sedang sibuk dengan
kerja mereka, dia terus keluar dan kedua-duanya dihampiri.
“Kenapa papa tak upah orang lain aje yang buat
kolam ni?” Jean terus duduk di kerusi kayu yang terletak
berhampiran dengan kolam ikan yang sedang Dean dan
papanya usahakan itu. Dia sendiri tidak tahu apa lagi yang
tidak kena dengan kolam ikan tersebut padahal kolam ikan
itu baru dua bulan dibina.
Encik Jamilul angkat kepala dan dahinya yang
berpeluh dikesat. Anak gadisnya yang sudah cantik bersiap
itu dipandang.
“Papa nak tambah sikit aje dekat sini. Kalau buat
sendiri baru puas hati. Kebetulan pulak Dean free dan boleh
tolong papa. Upah orang nanti takut rosak pulak kolam yang
sedia ada ni,” balasnya kemudian menala pandang ke arah
Dean yang sedang leka memandang anak gadisnya.
“Cantik ke Dean?” soalnya sengaja mengusik.
Tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Encik
Jamilul, Dean kerutkan dahi.
“Uncle tanya, anak uncle tu cantik sangat ke sampai
tak berkelip kamu pandang?” Encik Jamilul tersengih dan
mengerling pandang ke arah Jean pula.
Dengan riak malu-malu, Dean angguk perlahan
dan kepalanya yang tidak gatal digaru. Boleh pula soalan
itu yang Encik Jamilul tanyakan. Kalau tak cantik masakan
dia sanggup melekat macam gam dalam hidup Jean
bertahun-tahun lamanya.
Cuma untuk melembutkan hati batu gadis itu
sahaja yang dia belum tahu caranya. Hendak bertindak
melulu bimbang tersalah langkah dan lain pula jadinya
nanti. Maklumlah Jean spesies yang berbeza sedikit daripada
perempuan lain. Ayat-ayat manis memang tak lut dengan dia.
“Anak papa, mestilah cantik, kan?” ucap Jean
membangga diri. Dia tersengih lebar, bangga melihat
anggukan Dean.
Encik Jamilul mencemik.
“Kalau cantik setara mana pun tapi tak pandai masak,
tak pandai buat kerja rumah, tak guna juga. Betul tak Dean?”
perli Encik Jamilul dan terus menyambung kerjanya semula.
“Papa!” Jean terus tarik muka. Papa
selalu merendah-rendahkan dia di hadapan Dean.
Mentang-mentanglah Dean tak pernah pandang dia lebih
daripada seorang kawan jadi suka-suka hati papa saja
mengutuk dia. Melihat Dean yang sedang tersengih-sengih,
lagilah panas hati dia. Suka sangatlah tu agaknya dengar dia
dikutuk begitu. Grrr aje!
“Betullah apa yang papa cakap tu. Orang perempuan
ni Jean, kena tahu buat semua tu barulah suami sayang. Ha,
tengok macam mama, berpelajaran tinggi, berketerampilan,
salah seorang profesor yang sangat dihormati oleh semua
pelajar tetapi tetap seorang suri rumah tangga yang terbaik.
Hormatkan papa, cekap menguruskan rumah tangga dan
yang paling penting, pandai masak.” Beria-ia Encik Jamilul
memuji isterinya.
“Begitulah ciri-ciri seorang isteri yang lelaki hendak
cari. Tak gitu Dean?”
Tersepit dalam keadaan itu, Dean terus tersengih.
Hendak mengangguk nanti bimbang Jean semakin kecil hati.
Hendak menggeleng tetapi setiap kata-kata Encik Jamilul itu
memang ada betulnya.
Jean terdiam dan kepalanya ditundukkan merenung
kaki sendiri sambil buat muka. Kena setepek dia dengan papa.
Di hadapan Dean pula tu. Argh! Buat malu dia aje.
Geli hati melihat Jean yang sudah menekur di
tempatnya, Dean terlepas tawa tanpa sengaja. Spontan itu
Jean angkat kepala dan memandang Dean dengan satu
jelingan tajam.
Tidak terkesan langsung dengan jelingan manja
Jean malah sengaja hendak mengusik gadis itu, keningnya
dijongketkan mengejek. Dia, kalau di hadapan orang tua Jean
memang tak berani hendak mengusik Jean lebih-lebih. Takut
Encik Jamilul fikir lain pula.
Geram dengan usikan bisu Dean, Jean bingkas
bangun dan mencemik sambil membulatkan matanya untuk
membalas usikan tersebut. Baru sahaja langkah ingin dibuka,
terdengar suara Encik Jamilul memanggilnya. Dengan muka
yang cemberut, dia berpaling semula.
“Haih! Anak papa merajuk ke?” giat Encik Jamilul
sambil buang sengih. Dia memang suka mengusik anak
manjanya itu. Jean, walaupun sudah 26 tahun tetapi baginya
Jean masih seperti anak kecil lagi. Sementelah pula, Jean
memang sangat rapat dan manja dengan dia berbanding
isterinya.
“Mana ada.” Jean peluk tangan ke tubuh dengan riak
yang masih seperti tadi.
“Kalau tak merajuk, tolong buatkan papa dengan
Dean air.”
“Ermm... Papa nak air apa?” tanya Jean walau masih
buat muka lagi.
“Buatkan papa kopi o panas.”
Jean angguk sahaja dan mula buka langkah. Baru
selangkah dia berjalan, sekali lagi namanya dipanggil.
Langkahnya terhenti dan dia berpaling memandang Encik
Jamilul semula.
“Papa aje? Dean, Jean tak tanya ke nak minum apa?”
Encik Jamilul mengangkat kening lalu kalihkan pandangan
ke arah Dean di sebelahnya.
Masih bengang dengan Dean, Jean mendengus kecil
dan lelaki itu dijeling.
“Kau nak minum apa?” soalnya sedikit keras.
“Jean... tak boleh ke tanya elok-elok?” tegur Encik
Jamilul bersama gelengan.
Muncung Jean semakin panjang.
Geli hati melihat reaksi Jean, gelak Dean berbunyi
lagi. Hurm... marah benar gayanya.
“Hurm... Encik Dean nak minum air apa?” soal
Jean selembut yang mungkin dan dengan senyum yang
dibuat-buat.
Sengaja hendak menambahkan lagi amarah gadis
itu, tiba-tiba Dean terfikirkan sesuatu.
“Aku nak air yang paling sedap,” jawabnya bersahaja.
“Demand!” Jean mengejek.
“Jean...” Meleret panjang suara Encik Jamilul
memanggil sambil menggeleng.
“Ermm... kalau menyusahkan kau tak apalah.” Dean
buat-buat merajuk dan meneruskan kerjanya.
Jean mendengus.
“Yalah, air yang paling sedap tu air apa? Fresh
orange? Apple juice? Milo? Latte? Ke kau nak frappucino
Starbucks?” soalnya sambil buat muka menyampah. ‘Nasib
baiklah depan papa. Kalau tidak... Haih!’ hatinya membebel
geram.
Kepala digeleng.
“Semua tu aku tak nak.”
“Habis tu kau nak air apa?” Jean mula hilang sabar.
“Air kosong,” jawab Dean selamba sambil tersengih.
Berdecup mulut Jean sebaik mendengar jawapan
Dean. Air kosong aje? Ceh! Buang masa dia saja bermanis
mulut dengan Dean. Tidak menunggu di situ, Jean terus
beredar.
Encik Jamilul pula sudah mengekek-ngekek ketawa
kerana geli hati melihat reaksi anak gadisnya.
‘Haih! Jean... Jean...’ bisiknya sambil sambung
ketawa.

Dean & Jean - Bab 3

“SO, macam mana dengan konsep yang aku
proposed ni? Kau nak aku ubah apa-apa tak?” Beberapa
keping kertas A4 yang sudah tidak teratur disusun semula.
Komputer ribanya yang masih terbuka terus dimatikan.
Sambil membetulkan duduk, Mirzan yang sedang
menilik satu lagi naskhah proposal yang sudah dibukukan
diperhati.
Mirzan menggeleng.
“Nope, I think this one is much better than the
previous one. I love this one more,” jawabnya lalu proposal di
tangan ditutup dan diletakkan ke atas meja.
“Dan aku rasa rekaan dan konsep ni sesuai dengan
produk yang akan syarikat aku pasarkan.”
Mendengar jawapan Mirzan, Dean hela nafas lega.
Nampaknya tidak sia-sia dia bersengkang mata semalaman
untuk menyiapkan proposal tersebut.
“Kalau kau rasa konsep ni dah okey, nanti aku akan
come out dengan final draft sebelum kita proceed dengan
tindakan seterusnya,” balasnya.
“Okey, tapi kau kena siapkan sebelum akhir bulan ni.
Maknanya kau cuma ada masa kurang dari dua minggu untuk
submit complete proposal sebelum final meeting dengan bos
aku.” Mirzan mengingatkan.
“Sure, no problem Mir. Aku akan speed up benda
ni. Once dah ready I’ll give you a call for final discussion,”
ucap Dean berjanji. Bukan senang untuk syarikat kecilnya
menerima projek besar begitu. Jadi dia kenalah berusaha
lebih sikit.
Nasib baiklah Mirzan, Pengurus Pemasaran Nutra
Beauty & Femme itu adalah kawan baiknya ketika di sekolah
menengah dahulu. Jadi mudahlah urusan mereka. Kalau
tidak entah ada peluang atau tidak untuk dia dapat projek
tersebut.
Maklumlah syarikat kecil dia manalah dikenali lagi.
Kata orang masih bertatih lagi dalam bidang pengiklanan
yang dipelopori oleh syarikat-syarikat ternama. Apabila
sesekali mendapat peluang begitu, dia kenalah berusaha
dua kali ganda untuk meraih kepercayaan klien terhadap
keupayaan syarikatnya.
“Please make sure proposal kau tu nanti follow
standard yang syarikat aku tetapkan Dean sebab Dato’ Sri tu
cerewet sangat orangnya. Silap sikit pun nanti habis semua
kau kena ubah. Nanti yang susahnya aku juga. Maklumlah
bos perempuan, kau faham-faham ajelah,” pesan Mirzan
sambil ketawa kecil.
Faham maksud sahabatnya itu, Dean ikut ketawa.
“Aku akan buat yang terbaik. Don’t worry,” ucapnya
berjanji.
Mirzan mengangguk. Dia tahu Dean seorang yang
sangat komited dengan kerjanya jadi tidak sedikit pun dia
risau akan hal tersebut. Lagipun setakat hari ini semua
iklan-iklan yang dikeluarkan oleh syarikat Dean disukai
ramai. Lihat sahajalah iklan hari raya tahun lepas yang dibuat
syarikat Dean untuk syarikat telekomunikasi bukan main
mendapat pujian ramai lagi. Mungkin sebab itulah bos besar
syarikatnya berminat menggunakan khidmat syarikat Dean
sebaik dia mencadangkannya.
“Okeylah, stop cerita pasal kerja. Naik muak aku.
Hari ni saja tiga appointment aku kena hadap. Penat nak
mampus wei. Nasib baiklah dengan kau boleh jumpa dekat
kedai kopi aje. So tak adalah jammed kepala otak aku ni,”
ucap Mirzan cuba menukar topik perbualan mereka. Tali
lehernya terus dibuka lalu sebatang rokok dikeluarkan dari
kotak dan diletakkan di balik bibirnya. Mancis di dalam poket
seluar diambil pula dan hujung rokok tersebut terus dibakar.
Dean ketawa dan mengangguk sahaja. Faham benar
dia dengan kesibukan Mirzan. Maklumlah jawatan sahabatnya
di syarikat Nutra Beauty & Femme itu bukan calang-calang.
Malas hendak menambah tekanan kepada sahabatnya itu, dia
hanya membiarkan sahaja Mirzan berehat dan menikmati
rokok di tangan.
“Dean, apa kata kita pergi memancing dekat Kuala
Rompin weekend ni. Boleh juga release tension. Lagipun dah
lama kita tak memancing. Kita ajak Zali dengan Ghani sekali.
Aku dengar sekarang musim udang dekat sana.” Tiba-tiba
Mirzan bersuara setelah lama berdiam. Rokok yang sudah
habis dihisap dicucuk-cucuk ke dalam bekas abu.
“Macam okey juga tu.” Teruja mendengar cadangan
Mirzan, Dean mengangguk.
“Kalau okey, nanti aku call Zali dengan Ghani.”
Baru sahaja Dean ingin bersetuju, tiba-tiba dia
teringatkan janjinya dengan papa Jean. Cepat-cepat Dean
menolak.
“Allah, sorry Mir. Lupa pulak aku. Weekend ni aku
ada projek sikit dengan papa Jean. Lain kalilah kita pergi.”
“Hurm... sebab Jean lagi.” Mirzan tergelak dan
kepalanya digeleng.
“Dah lebih 6 tahun Dean, kau dengan Jean. Takkan
tak ada plan nak kahwin? Nak tunggu sampai bila?” Dean
dipandang dengan senyuman.
Dean turut tersenyum dan tubuh disandarkan ke
kerusi.
“Kau ni, ke situ pulak. Aku dengan dia kawan ajelah.”
“Kawan? Mati hidup semula pun aku tak percaya
kau cuma anggap dia sebagai kawan. Tak ada orang sanggup
buat macam mana kau buat pada Jean, tahu tak? Sanggup
tangguh balik Malaysia dan kerja dekat UK sana semata-mata
nak tunggu Jean habiskan study. Balik Malaysia terus buka
syarikat sendiri dan ajak dia kerja sekali. Padahal kau ada
peluang lain yang lebih baik.”
Jeda.
“Aku tahu sebabnya kau nak Jean ada dekat dengan
kau kan? Lagi satu, cara kau layan dan ambil berat tentang dia
pun tak macam kawan, Dean. Ingat aku buta ke tak nampak
semua tu?” tempelak Mirzan dengan senyuman nipis di bibir.
Tak mungkin Dean tidak tahu tentang perasaannya sendiri
atau Jean sudah ada pilihan lain sehingga Dean terpaksa
beralah?
“Ermm... Atau Jean sebenarnya dah ada kekasih
lain?” tanya Mirzan apabila dia tiba-tiba terfikirkan tentang
itu.
Dean tergelak dan kepalanya digeleng.
“Habis tu, apa masalahnya? Aku rasa kalau kau
nak kahwin dengan dia, anytime aje orang tua dia setuju.
Peliknya, walaupun kau baik dengan orang tua Jean tapi
kau langsung tak buka langkah dan ambil peluang yang ada.
Atau kau memang nak tunggu Jean disambar orang?” Mirzan
memandang wajah Jean. Menanti jawapan daripada kawannya
itu.
“Ada perkara kita tak perlu terburu-buru Mir. Kata
orang, takkan lari gunung dikejar. Lagipun, jodoh pertemuan
itukan Allah dah tentukan. Kalau Dia memang dah tentukan
Jean jodoh aku, cepat atau lambat, bersatu juga kami nanti,”
balas Dean tenang.
Mirzan geleng kepala. Tak faham betul dia apa yang
ada dalam kepala Dean. Dia tahu Dean bijak orangnya tapi
takkan dalam hal yang berkaitan hati dan perasaan Dean jadi
bodoh?
“Ermm... dah lebih 6 tahun Dean, bukan baru
setahun dua. Gunung memang tak lari Dean tapi kita cakap
tentang orang dan orang itu perempuan. Perempuan itu pulak
cantik orangnya. Orang yang cantik ni ramai yang suka. Bila
ramai yang suka tentulah dia ada lagi banyak pilihan. Bila dah
banyak pilihan, kau tentu dia dah tak pandang. Faham?” bedil
Mirzan geram. Haih! Dia pula yang hilang sabar melihat riak
bersahaja Dean.
“Jangan risau. Buat masa sekarang, keadaan masih
terkawal lagi.” Dean membalas dengan senyuman. Selagi
Jean ada depan mata, selagi itulah dia masih ada peluang dan
ruang. Sebab itulah dia tak beri Jean kerja dengan orang lain.
Biar Jean ada aje dekat dengan dia.
“Confident level kau memang tinggi. Aku salute tapi
kalau dalam diam dia ada lelaki lain, salam takziahlah untuk
kau,” seloroh Mirzan sambil ketawa kecil.
“Kalau betul dia dah ada boyfriend tentu aku dulu
yang akan tahu. Aku kenal sangat Jean tu macam mana.”
“Hurm... ikut kaulah. Jangan nanti bila dah melepas,
duk menangis dekat bucu katil. Aku gelakkan aje!” ejek
Mirzan.
Tawa Dean terhambur lepas.
“Itu kejam namanya kawan,” selorohnya dengan
tawa yang masih bersisa. Dokumen di atas meja dikemaskan
lalu dimasukkan ke dalam beg kerjanya. Komputer riba turut
dicapai dan turut dimasukkan ke dalam beg yang sama.
“Selagi peluang tu ada, for sure aku tak akan
sia-siakan tapi tindakan tu biarlah sesuai dengan keadaan,”
ucap Dean tiba-tiba.
Akhirnya Mirzan mengangguk mengalah.
“Kau lebih tahu apa yang terbaik untuk diri kau.
Sebagai kawan, aku cuma mengingatkan aje.”
“Aku tahu dan terima kasih, Mir. Cuma aku minta,
jangan berhenti mendoakan yang terbaik untuk kawan kau
ni.” Sengihnya.
“Insya-Allah Dean. Bak kata si bijak pandai, you
deserve all good things life has to offer.”
Mendengar jawapan sahabat baiknya itu, Dean hanya
senyum sahaja dan kepalanya dianggukkan sedikit.
‘Amin... amin... amin untuk doa kau, Mir...’ bisiknya
dalam hati.