DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Showing posts with label Mawar Kamila. Show all posts
Showing posts with label Mawar Kamila. Show all posts

Thursday, 3 March 2016

ISTERI AKU KALIS CINTA - BAB 16



Telefon bimbit Diya tidak henti-henti berdering. Mujur saja Diya sendirian di rumah. Teman yang sepatutnya menyewa bersamanya sudah pulang kembali ke kampung sebulan yang lalu. Tidak semua orang bernasib baik mencari rezeki di kota. Diya belum berpeluang mencari penyewa bersama yang lain. Setakat ini dia masih mampu menanggung kos sewa rumahnya. Rumah sewa tersebut tidak la sebesar mana tapi sudah cukup selesa bagi anak dara sepertinya.
Deringan telefon yang tidak henti-henti sudah dimaklumi gerangan yang menghubungi. Siapa lagi kalau bukan Zakuan. Lelaki itu ternyata tidak kenal erti putus asa. Diya naik pening kepala. Tidak cukup di rumah hingga ke pejabat Zakuan mengganggu. Diya rimas dan naik bengang. Lelaki seperti Zakuan rupa-rupanya spesis manusia tak faham bahasa.
Diya tekan butang menerima panggilan masuk. “Zakuan, awak faham tak? Saya tak suka awak!” pekik Diya sebaik saja telefon ditekap ke telinga. Mamat ni betul-betul menguji kesabaran. Gila ke apa, paksa-paksa bila orang dah tak suka.
“Tapi saya cintakan awak Lia. Saya ikhlas!” tekan Zakuan. Kau sudah buat hidup aku serabut. Kenapa kau sanggup tolak cinta aku? Aku betul-betul mencintai kau! Kau yang tak faham Adelia Dayana.
“Maafkan saya Zakuan. Jangan telefon saya lagi!” tegas Diya. Panggilan terus diputuskan Diya. Telefon bimbit kemudian dicampak atas katil. Rimas! Diya melangkah ke ruang tamu. Lebih baik menonton televisyen buat tenangkan jiwa.
Zakuan ketap bibir. Geram apabila Diya langsung tidak memberi peluang kepadanya. Ego lelakinya rasa tercabar. Jiwa semakin memberontak untuk memiliki gadis itu. Dia bukan lelaki yang mudah tewas dalam meraih cinta seorang wanita.


Pada hujung minggu, Diya pulang ke kampung. Malah dia mengambil cuti lebih. Damai sedikit dapat menikmati suasana kampung yang tenang berbanding bandar. Diya terpaksa menukar telefon bimbit kepada mode senyap bagi mengelak gangguan Zakuan. Ikutkan hati hendak saja Diya menukar nombor telefon. Semoga kelak Zakuan kenal erti jemu.
“Kerja macam mana? Bos adik ok?” soal Puan Zahra ketika memasak hidangan tengah hari di dapur.
“Alhamdulillah ibu. Dalam setahun ni bagus sangat. Bos adik baik orangnya,” jawab Diya sambil tangan lincah memotong rebung untuk dibuat masak lemak.
“Bagus la macam tu. Ibu pun risau takut Diya dapat bos yang tak berjenis. Bimbang ibu,” luah Puan Zahra.
Nasi yang ditanak Puan Zahra sudah masak lalu api dapur dimatikan. Si ibu kemudian mencapai sebilah pisau dan duduk bersebelahan anaknya untuk mengupas bawang. Sambil bekerja dua beranak itu berbual-bual. Tidak terasa masa pantas berlalu dan hidangan untuk makan tengah hari sudah siap terhidang atas meja.
Kamu ni adik, bila lagi nak hidup berumah tangga? Along dan Kak Ngah dah lepas, kamu bila lagi?” Puan Zahra masuk pula ke topik perkahwinan. Memang dah rancang hendak menyebut isu itu dari awal. Saja je nak pusing-pusing topik lain dulu.
“Ish! Ibu ni, adik muda lagi la. Buat apa kahwin awal-awal. Nanti dah puas hidup solo, adik cari la pasangan hidup,” jawapan Diya membuatkan wajah Puan Zahra berkerut-kerut.
“Orang perempuan ni tak elok solo lama-lama. Baik kahwin cepat-cepat. Kurang fitnah dan memelihara maruah diri. Ada juga orang boleh jaga dan bimbing,” ujar Puan Zahra.
Diya tersenyum kelat. Entah kenapa Diya terbayangkan Zakuan. Sesungguhnya hati Diya belum terdetik untuk bercinta. Bukan kalis cinta tapi belum bersedia dan belum terfikir untuk menempuhi alam rumah tangga. Aku nak kahwin? Macam nak tergelak je kalau fikir. Aku ni muda remaja lagi la. Heheee…
“Anak Pak Bilal yang muda dari kamu tu dah nak kenduri dah lusa. Tu, kamu tengok anak Mak Dah kamu tu, anaknya lima-lima dah kahwin. Cucu berderet datang raya rumah kita tahun lepas. Anak Pak Usop tepi simpang tu, muda dari kamu dah kahwin bukan sekali tapi dah tiga kali. Kamu sekali pun belum,” bebel Puan Zahra lagi. Habis nama anak pinak orang-orang dalam kampung dikaitkan.
Ini la yang Diya tak suka dengar. Ibu membebel membandingkan Diya dengan anak Pak Usop tu macam nak anaknya kahwin banyak kali. Ibu ni, agak-agak la nak bandingkan aku dengan si Kairil anak Pak Usop tu. Dia lelaki, aku ni perempuan.
“Awak ni Zahra, ada jodoh nanti anak kita tu kahwin la. Kamu bimbangkan apa? Ke… kamu ada calon. Terus terang saja la, tak payah membebel lama-lama. Sejuk nasi tu nanti. Saya ni dah lapar,” sampuk Encik Azhar yang sudah mengambil tempat duduk di meja makan.
Diya ketawa mendengar kata-kata ayahnya. Puan Zahra turut tersenyum simpul. Suaminya itu sememangnya selalu lebih cepat menangkap makna tersirat dalam bicaranya berbanding anak gadis bongsunya ini. Mereka tiga beranak sudah duduk untuk menikmati makan tengah hari.
“Errr, Along dengan Kak Ngah tak balik ayah?”
“Tak payah nak ubah topik. Along dengan Angah dah ada keluarga, bukan senang nak balik selalu. Tunggu musim cuti sekolah panjang sikit, boleh balik lama. Kamu tu, kena la berkeluarga cepat. Senang hati ibu dan ayah ni,” celah Puan Zahra.
“Itu la kelebihan adik, ibu. Adik single lagi, boleh balik jumpa ibu dan ayah selalu berbanding Along dan Kak Ngah. Kalau adik ada family nanti dah susah nak balik,” Diya masih membela diri.
“Pandai la adik menjawab. Sebenarnya ibu berkenan juga dekat anak Pak Cik Karim yang kerja doktor tu. Ada dia balik minggu lepas. Baik…”
“Sedap betul masak lemak ni. Ibu makan banyak sikit,” potong Diya. Malas nak dengar ibu pasang angan-angan tinggi melangit. Anak Pak Cik Karim ke, anak Pak Kasim ke… semua tu Diya tak berminat.
Puan Zahra dan Encik Azhar tersenyum nipis. Faham benar dengan kerenah anak bongsu mereka. Puan Zahra juga tidak mahu lagi mendesak. Mungkin betul kata suaminya, ada jodoh nanti kahwin la Diya. Sabar saja menanti masa itu.


Diya ambil cuti dan balik ke kampung ingin tenangkan diri. Apabila Puan Zahra sudah sentuh isu jodoh, hilang pula ketenangan bercuti. Bayangan Zakuan seakan mengganggu ketenteraman jiwa Diya. Perlukah dia memberi ruang kepada Zakuan untuk mengambil tempat dalam hidupnya sebagai insan yang istimewa bagi memenuhi impian ibu yang mahu melihat dirinya segera berkahwin?
Ah! Karut je tu. Diya belum bersedia untuk menempuhi alam perkahwinan. Fokusnya kini hanya pada kerja. Mungkin perkahwinan adalah isu yang bakal difikirkan dua atau tiga tahun lagi.
Diya pulang kembali ke rumah sewanya sehari sebelum hari masuk kerja. Itu pun hari sudah lewat malam ketika dia tiba dengan memandu kereta Myvi hadiah daripada ayahnya kerana berjaya menggenggam segulung ijazah.
Kepenatan menyelubungi diri membuatkan tubuh terasa lenguh-lenguh. Sampai saja di rumah, Diya segera menyegarkan tubuh dengan mandi. Kemudian dia menyediakan secawan coklat panas. Tubuh terasa letih tetapi mata Diya belum rasa mengantuk. Oleh itu, dia berbaring atas katil sambil membelek majalah hiburan yang baru dibelinya dalam perjalanan pulang tadi.
Tiba-tiba telefon bimbit Diya bergetar. Lambat-lambat telefon bimbit di dalam tas tangan diambil kerana gerangan yang menghubungi sudah boleh dijangka. Diya sudah memaklumkan pada ayah dan ibunya akan ketibaannya di rumah. Jadi sudah pasti ibu dan ayah tidak akan menghubunginya kerana tidak mahu mengganggu anak mereka berehat. Manusia yang tidak tahu erti mengganggu hidup orang lain hanya Zakuan!
Tepat seperti jangkaan Diya, nama Zakuan tertera pada skrin telefon. Dengan perasaan malas, Diya menjawab panggilan tersebut.
“Awak pergi mana? Lewat malam baru balik rumah. Dah beberapa hari awak tak balik rumah, awak pergi mana?” terjah Zakuan dengan nada seakan menengking.
Diya tersentap. Telefon dijarakkan dari telinga. Mahu pecah gegendang telinga dek tengkingan Zakuan itu. Terus hati yang sedikit tenang diserbu perasaan marah. Macam mana mamat ni boleh tahu aku tak balik rumah banyak hari? Dia spy aku ke?
“Awak kenapa Zakuan? Suka hati saya la nak pergi mana-mana pun. Awak siapa nak soal siasat saya?” Diya turut menengking sama nada dengan Zakuan. Kesabaran Diya sudah tercantas. Susah cakap dengan manusia tak faham bahasa lembut-lembut. Cakap bahasa kasar-kasar mungkin boleh faham kot.
“Awak saja nak lari dari sayakan? Awak tahu tak yang saya ni dah nak gila cari awak. Semua orang saya tanya, semua cakap tak tahu,” suara Zakuan berubah nada kedengaran mendatar dan sayu. Lelaki itu benar-benar tidak keruan apabila beberapa hari tidak nampak batang hidung Diya. Kau tak tahu Adelia Dayana, aku selalu melihat kau dari jauh. Ah! Lia tidak pernah tahu itu semua. Dia buta melihat cinta aku.
“Awak memang gila! Orang gila saja yang kacau orang lain dengan panggilan telefon beratus-ratus kali sehari!” tengking Diya kemudian mematikan panggilan telefon. Rimas melayan perangai Zakuan membuatkan Diya tidak lagi dapat berlembut dengan lelaki itu. Cukup la dia bersabar hampir tiga bulan ini melayan Zakuan. Dia tidak sanggup lagi. Mungkin silap Diya juga kerana tidak menjelaskan sejak awal lagi tentang status lelaki itu dalam hidupnya. Keadaan kini semakin parah apabila Zakuan seperti gila bayang.
Diya lempar telefon atas katil. Majalah di tangan ditutup lalu dia menapak menuju ruang tamu. Diya tiada perasaan untuk tidur dengan hati yang masih panas. Alat kawalan televisyen dicapai lalu tubuhnya direbah atas sofa. Pada lewat malam begini tidak banyak rancangan menarik disiarkan lalu Diya memilih siaran astro ceria. Menonton rancangan kartun buat menenangkan emosi yang berkecamuk.


Zakuan genggam telefon bimbit seolah-olah telefon itu mahu dihancurkan. Perasaan geramnya pada Diya yang jual mahal tidak tertahan lagi. Suasana kelab malam yang hingar-bingar tidak dihiraukan. Kehadiran beberapa pengunjung kelab malam berpakaian seksi yang menegur cuba menarik perhatiannya juga tidak dia peduli. Zakuan hanya mahukan Adelia Dayana.
Tadi Zakuan menanti kepulangan Diya dari dalam kereta berhampiran rumah Diya. Itu bukan kali pertama Zakuan berbuat begitu. Sudah beberapa kali dia berbuat begitu sejak mengenali Diya. Orang kata, kalau sudah jatuh cinta tak nampak tuan badan, dapat tengok bumbung rumah pun jadi la. Kedengaran lucu tetapi itu yang berlaku pada Zakuan. Dia betul-betul sudah tergila-gilakan Diya.
Hati Zakuan panas apabila Diya pulang lewat malam setelah beberapa hari tidak pulang ke rumah. Hati yang berbara seperti terbakar apabila Diya bersikap kasar seterusnya mencabar ego Zakuan. Lalu dia membawa diri ke kelab malam yang sudah lama tidak dikunjunginya sejak mengenal Diya. Kerana Diya, Zakuan belajar menjadi lelaki yang baik dan meninggalkan tabiat minum arak dan berhibur di kelab malam. Tetapi sejak Diya menolak cintanya, Zakuan kembali kepada tabiat lamanya untuk mencari ketenangan. Namun ketenangan yang dicari tetap tidak dimiliki.
Segelas wiski dihabiskan Zakuan hanya sekali teguk. Gelas yang kosong diisi lagi dengan minuman air syaitan itu. Kemudian Zakuan meneguk separuh daripada air tersebut. Sebotol wiski habis diteguknya dan kini sudah masuk botol ke dua. Zakuan berada dalam kegelapan hati. Akalnya tidak lagi berfungsi dengan waras apabila kewarasan akal dicantas oleh minuman yang memabukkan.
 Zakuan tahu hukum meminum arak adalah haram dalam Islam kerana ia boleh menjejaskan kewarasan akal manusia. Arak adalah raja segala kejahatan. Kejahatan yang boleh tercetus tatkala akal yang berfungsi untuk membezakan baik dan buruk tidak lagi dapat menjalankan fungsinya. Arak menyebabkan manusia bertuankan nafsu seterusnya pelbagai dosa-dosa lain boleh tercipta. Oleh sebab itu, Islam amat mementingkan umatnya memelihara kewarasan akal.
“Adelia…Lia…Lia…” Berkali-kali nama Diya meniti di bibir Zakuan. Raut wajah Diya bermain-main di depan matanya. Ketawa Diya seakan-akan terngiang-ngiang di cuping telinga. Zakuan nampak Diya berada di depannya dengan senyuman sinis dan ketawa mengejek dirinya. Diya seperti mentertawakan Zakuan yang tewas oleh penangan cintanya.
“Kau tak layak untuk aku Zakuan! Kau lelaki lemah yang telah tewas,” Zakuan mendengar bisikan daripada Diya ke cuping telinganya dengan nada menyindir. Zakuan teguk baki wiski dalam gelasnya dengan rakus. Wajahnya merah dan tegang. Hakikatnya Diya tiada di situ dan suara itu hanya satu ilusi yang dicipta Zakuan sendiri.
“Kau lelaki yang tewas! Kau tewas Zakuan! Aku akan jadi milik lelaki lain. Lelaki yang jauh lebih hebat berbanding kau!” Sekali lagi Zakuan berilusi Diya mentertawakan dirinya. Imej Diya yang dibayangkan Zakuan jauh berbeza daripada Diya dalam dunia realiti. Diya dalam ilusi Zakuan seorang wanita seksi dengan riak wajah kejahatan. Senyuman sinis yang menyakitkan hati tetapi pandangan mata seakan menggoda. Jauh berbeza daripada Diya dalam dunia nyata.
Zakuan merengus kasar. Dadanya berombak dengan wajah semakin membengis. Zakuan marahkan Diya dalam ilusinya. Zakuan bencikan Diya yang mengejek dirinya. Zakuan tidak mahu tewas. Lia tidak akan jadi milik lelaki lain! Lia milik aku! Lia milik Zakuan Helmi! Zakuan terhuyung-hayang melangkah meninggalkan kelab malam yang sesak dengan manusia-manusia yang tenggelam dalam nafsu serakah mereka.


Dalam keadaan mabuk, Zakuan memandu menuju rumah sewa Diya. Malam ini Zakuan ingin bersemuka dengan Diya. Zakuan mahu Diya tahu betapa Diya telah berdosa kerana menghancurkan hati dan perasaannya. Diya berdosa kerana menolak cintanya. Zakuan mahu Diya merasakan sengsara dan deritanya.
Setibanya di hadapan rumah sewa Diya, Zakuan melangkah keluar dari kereta dan terpacak di depan pintu pagar yang berkunci. Zakuan tenung lama rumah teres satu tingkat itu dengan nafas berombak. Suasana persekitaran ketika ini cukup sunyi seperti seisi alam sudah tenggelam dalam lena.
Zakuan pegang mangga besar yang menghalang dia membuka pintu pagar sebelum bertindak memanjat pintu pagar tersebut yang tidak begitu tinggi. Walau dalam keadaan mabuk, Zakuan berjaya juga memanjat pagar dan masuk ke perkarangan rumah sewa Diya. Tindakan Zakuan ternyata tidak disedari sesiapa.


Diya baru saja hendak menapak menuju kamar tidur ketika ketukan di pintu kedengaran bertalu-talu seolah-olah pintu itu hendak diroboh menyembah lantai. Diya mendekati jendela berhampiran pintu lalu menyelak langsir untuk mengintai dari situ. Tiada kelibat sesiapa dapat dilihat dan ketukan pintu juga sudah terhenti. Diya telan air liur. Mungkinkah itu hanya satu imaginasi dirinya?
Diya tarik nafas panjang dan dilepas perlahan-lahan. Kemudian dia berpatah untuk masuk tidur dan ingin mengabaikan ketukan pintu tadi.
“Lia! Lia! Saya nak jumpa awak Lia! Lia!” jeritan Zakuan mematikan langkah Diya. Teragak-agak Diya berpaling kembali mendekati pintu.
“Awak... awak… nak apa Zakuan? Dah lewat malam ni. Awak buat apa di sini?” jerit Diya daripada balik pintu. Perasaan seram sejuk Diya hilang serta merta apabila mengetahui gerangan yang mengetuk pintu bertalu-talu adalah Zakuan. Kini rasa marah pula yang bertandang. Apa lagi yang dimahukan lelaki itu?
“Lia…dengar apa saya nak cakap ni. Kali ini saja, lepas ni saya tak ganggu awak lagi. Please…” Zakuan seakan merayu. Percakapannya dikawal agar keadaan diri yang mabuk tidak diketahui Diya. Diya pasti enggan bertemunya jika gadis itu tahu dia mabuk saat ini.
Diya diam sejenak. Amarah di hati cuba dikawal agar tidak memburukkan lagi situasi. Diya cuba memahami keadaan Zakuan yang kini masih terluka. Diya tidak mahu memberi harapan dalam masa yang sama mahu Zakuan faham akan hakikat dirinya yang tidak mencintai lelaki itu.
“Zakuan, dengar apa saya hendak cakap. Saya tak ada apa-apa perasaan terhadap awak. Saya minta maaf kalau selama ini saya seolah-olah memberi awak harapan. Saya layan awak seperti kawan biasa dan saya tak dapat halang awak sukakan saya. Tapi please, tolong faham perasaan saya. Saya tak dapat terima awak. Tolong hormat keputusan saya, Zakuan,” Diya berbicara satu-persatu dengan tenang. Diya berharap Zakuan faham.
Diya tidak menangkap keadaan Zakuan yang mabuk. Lelaki itu berbicara seolah-olah akalnya masih waras.
“Zakuan, awak balik la,” pinta Diya seakan merayu.
Zakuan membisu. Diya terus menanti sebarang tindak balas daripada Zakuan tetapi tiada sebarang pergerakan kedengaran seperti lelaki itu sudah ghaib. Diya sabar menanti beberapa detik lagi.
“Zakuan…” panggil Diya daripada celah jendela yang dibuka sedikit. Tiada sahutan daripada Zakuan dan Diya menyangka Zakuan sudah berlalu.
“Arrrghhh!” Sangkaan Diya meleset apabila tiba-tiba kedengaran bunyi pasu bunga pecah disusuli jeritan kecil Zakuan mengerang kesakitan.
Apa dah jadi? Diya tidak berfikir apa-apa lagi lantas menerpa membuka pintu. Dan kini Diya berdepan dengan Zakuan yang berdiri tegak di depannya. Mata Diya melihat Zakuan dari atas hingga bawah dan lelaki itu tidak seperti mengalami sebarang kecederaan. Pandangan Diya berkalih pula pada sebuah pasu bunga yang pecah berderai berhampiran kaki kanan Zakuan.
“Awak… tipu!” marah Diya lantas ingin menutup kembali daun pintu. Zakuan menipu agar Diya membuka pintu rumah! Kebimbangan Diya terhadap Zakuan telah memperdaya dirinya. Bodohnya aku tertipu oleh taktik bodoh!
Pintu yang ditolak Diya tertahan oleh tangan Zakuan yang diletakkan di tengah-tengah muka pintu. Diya tidak mahu mengalah lalu menolak pintu sekuat tenaga. Ternyata kudrat Zakuan tidak tertanding oleh Diya. Hanya dengan satu tolakan kuat menggunakan tenaga lelaki, Zakuan berjaya membuatkan Diya terpelanting ke belakang dan jatuh terduduk di lantai.
Zakuan sudah memboloskan diri masuk ke dalam rumah Diya. Jantung Diya berdegup kencang dengan dada berombak. Diya benar-benar ketakutan seolah-olah berdepan seorang pembunuh kejam. Wajah Zakuan cukup bengis dengan bunyi nafas yang kuat. Lelaki itu kelihatan berbeza berbanding sebelumnya. Zakuan di depan Diya bukan Zakuan yang mesra dengan senyuman dan tawa ceria. Zakuan sekarang bertandang ke sini bukan untuk berbual dan beramah mesra. Zakuan kini seperti singa yang kelaparan. Tak ubah seperti seekor raksaksa yang bakal mengganas.
“Awak nak apa Zakuan? Keluar sekarang!” tengking Diya dalam nada suara bergetar. Zakuan tidak menjawab sebaliknya menikam Diya dengan renungan tajam.
“Awak dah gila ke Zakuan! Baik awak keluar sekarang!” Diya semakin ketakutan berdepan Zakuan yang sudah hilang kewarasan akal. Zakuan terus mendekati Diya yang terduduk di lantai. Semakin Zakuan menghampiri, Diya semakin mengesot ke belakang. Seronok sekali Zakuan melihat ketakutan menghantui Diya. Nafas gadis itu bercelaru dengan degupan jantung yang kencang. 
“Aku memang gila Lia. Aku gilakan kau!” pekik Zakuan kemudian menerkam ke arah Diya. Diya pantas mengelak tetapi Zakuan berjaya menyambar kaki kirinya. Kini Diya meronta-ronta agar kaki kirinya dilepaskan.
“Kau sombong Lia. Kau ketawakan penderitaan aku… Ini semua salah kau. Kau tak hargai cinta aku! Aku jatuh hati pada kau sejak kali pertama kita bertemu. Aku berubah untuk jadi lelaki yang terbaik untuk kau. Tapi kau kejam Lia... kau mainkan perasaan aku. Kau buat hidup aku derita… kecewa…” Zakuan seakan merintih pilu. Menceritakan kesengsaraan jiwanya setelah cinta buat Diya ditolak wanita itu mentah-mentah.
Pipi Diya sudah hangat dengan air mata. Tubuh juga mulai menggigil dihambat ketakutan.
“Sekarang beritahu aku, siapa lelaki yang bersama kau? Kau tolak aku kerana lelaki tu kan? Beritahu aku Diya! Biar aku hapuskan lelaki tu!” Zakuan kembali membengis.
“Apa kau merepek Zakuan?” Diya keliru dalam masa yang sama semakin takut dengan sikap Zakuan yang menggila.
“Kau tak balik rumah sebab bersama lelaki tu kan? Aku tunggu kau setiap hari… tapi kau bersama lelaki lain! Kau kejam! Kejam!” Zakuan kembali menerkam Diya.
Diya bergolek ke kanan bagi mengelak terkaman Zakuan mengakibatkan lelaki itu tersungkur ke lantai. Diya pantas bangun dan berlari menuju ke dapur. Zakuan tidak mahu tewas segera bangkit dan menjejaki Diya. Diya meluru mendapatkan sebilah pisau di kabinet dapur lalu mengacukan senjata tajam itu ke arah Zakuan. Langkah Zakuan terhenti sebaik saja mata pisau terhunus ke arahnya.
Diya telan air liur berkali-kali. Setapak demi setapak Zakuan mendekati Diya dan kaki Diya bergerak menjauhi lelaki itu. Mata Zakuan tajam memerhati mata pisau yang mengekori pergerakannya.
“Jangan bermain pisau Lia. Bahaya…” Zakuan tidak gentar malah tersenyum penuh aura kejahatan melihat tangan Diya terketar-ketar mengacukan pisau padanya.
Tubuh Diya semakin menggeletar ketakutan. Diya sangat takut! Sungguh takut! Dia dapat membayangkan darah merah bakal membasahi pisau di tangannya. Sama ada darah Zakuan atau darahnya sendiri!
Zakuan menerkam lagi. Diya pantas menghayun pisau di tangan seperti menghayun pedang dengan mata terpejam. Ternyata Zakuan bijak bertindak mengelak mata pisau malah pergelangan tangan Diya ditangkapnya dan dikilas menyebabkan pisau terlepas lalu jatuh ke lantai.
Kini Diya terkunci dalam rangkulan Zakuan. Diya meronta-ronta bersama linangan air mata. Dia mahu menjerit tetapi suaranya tersekat di kerongkong akibat ketakutan yang mencengkam diri. Tangan sasa Zakuan yang merangkul leher juga menyebabkan gadis itu terasa sukar untuk bernafas. Malah Diya terasa sesak nafas oleh hembusan nafas Zakuan yang berbau busuk arak.
Kedengaran kini hanya esak tangis Diya yang kesakitan dan ketakutan serta rengusan Zakuan umpama haiwan buas. Diya tidak mahu tewas. Dia akan lawan sepenuh tenaga. Lalu kakinya diangkat tinggi kemudian memijak kaki Zakuan. Zakuan mengaduh kesakitan serentak itu rangkulan pada tubuh Diya terlepas. Diya pantas berlari tetapi Zakuan yang semakin bengang lebih pantas memburu mangsanya kembali.
Tangan Zakuan berjaya menyambar rambut Diya yang panjang ketika gadis itu melewati ruang tamu menuju muka pintu rumah. Diya terjerit kesakitan apabila rambutnya direntap kasar. Tubuh kecil Diya kembali berada dalam pelukan Zakuan. Diya kembali meronta-ronta bersama raungan pilu. Zakuan tidak tahan dengan rontaan Diya yang semakin hebat lalu menolak kuat tubuh wanita itu ke dinding. Diya hilang imbangan badan menyebabkan dahinya terhantuk kuat pada dinding. Gadis itu mengerang kesakitan yang tidak tertanggung.
Zakuan menghampiri Diya tanpa rasa simpati atas kecederaan yang dialami wanita itu. Belum sempat Zakuan bertindak lebih jauh, Diya terlebih dahulu menumbuk perut Zakuan dengan sisa tenaga yang dimilikinya. Tumbukan itu membuatkan Zakuan terbongkok menahan kesakitan. Malangnya tumbukan Diya belum berjaya melumpuhkan Zakuan yang sudah menggila. Diya hanya sempat melangkah setapak sebelum tangan kasar Zakuan kembali merentap kasar rambut Diya lalu menolaknya kembali tersandar ke dinding.
Kemudian Zakuan membalas serangan tadi dengan satu tumbukan ke perut Diya yang melumpuhkan pergerakan wanita itu. Tidak cukup dengan itu, pipi Diya dihadiahkan penampar bertubi-tubi sehingga bibir wanita itu pecah. Darah merah menitis di bibir Diya. Pergerakan tangan Zakuan terhenti setelah Diya terkulai lemah dengan keadaan tersandar duduk pada dinding malah tubuh itu tiada bertenaga lagi. Pandangan Diya menjadi kabur. Zakuan di depannya kelihatan seperti bayang-bayang hitam. Suasana sekeliling juga kelihatan berbalam-balam.
Zakuan duduk mencangkung di depan Diya. Rambut Diya dicium dan diusap lembut. “Lia… Lia… Zakuan cintakan Lia…” bisik Zakuan ke telinga Diya. Diya yang tidak berdaya hanya mampu terus mengalirkan air mata. Inikah yang diistilahkan sebagai cinta?
Kemudian Zakuan mengusap lembut pipi Diya seolah-olah karakter kasarnya sudah berubah menjadi lembut dan penyayang. Pipi gadis itu dibelai agak lama. Tangan lelaki itu kemudian merayap ke bibir Diya yang masih menitiskan darah. Jemarinya bermain-main di situ.
“Mesti sakit…. Zakuan minta maaf Lia, tak sengaja…” Bisikan Zakuan menambah perit di hati Diya. Lelaki di depannya sudah gila! Mahu saja Diya menghemburkan Zakuan dengan sumpah seranah tetapi untuk mengangkat lidah sendiri pun seakan tidak lagi bertenaga.
Jemari Zakuan terus bermain di sekitar bibir Diya yang cukup menggoda keinginan nafsu serakahnya. Kemudian perlahan-lahan lelaki itu mendekatkan bibirnya pada bibir Diya. Zakuan semakin rakus memperlakukan Diya mengikut hawa nafsu bisikan iblis. Rontaan kecil Diya hanya membuatkan perlakuan binatang Zakuan semakin buas. Saat nafsu mencapai kemuncaknya, Zakuan merangkul tubuh lemah Diya lalu diangkat menuju kamar tidur. Setelah itu tubuh Diya dihempas atas katil.
“Jangan Zakuan… tolong la… jangan…” rintih Diya pilu dengan nada terketar-ketar tatkala Zakuan menindih tubuhnya. Suara gadis itu terputus-putus merayu meminta belas kasihan. Mengharapkan sisa sifat perikemanusiaan dalam hati manusia yang sudah hilang kewarasan akal.
Air mata deras mengalir, tidak merelakan diri dizalimi.  Sayu dan pilu, namun rintihan itu langsung tidak terkesan di hati Zakuan yang sudah bertuankan nafsu.
Saat baju tidur Diya direntap kasar oleh tangan Zakuan, Diya tidak mampu lagi untuk membuka mata. Kelopak mata Diya tertutup rapat dengan linangan air mata terus mencuri keluar dan jatuh membasah pipi. Diya merintih dalam hati. Diya tidak rela. Benar-benar tidak rela setiap inci tubuhnya diratah Zakuan yang bertopengkan syaitan

ISTERI AKU KALIS CINTA - BAB 15



Zakuan bergegas masuk ke dalam banglo mewah Datuk Laila. Wajahnya terlukis riak kebimbangan. Lelaki itu terjerit-jerit memanggil nama Zarina. Langkah kaki Zakuan mengarah untuk mendaki anak tangga. Namun langkah kakinya terhenti apabila telinganya menangkap suara nyanyian yang datang dari arah ruang tamu.
Happy birthday to you… Happy birthday to you… Happy birthday to Zakuan… Happy birthday to you…” nyanyian hasil gabungan empat suara kedengaran ceria.
Zakuan terkedu memandang ahli keluarganya berhimpun di ruang tamu sambil menyanyikan lagu happy birthday yang dituju padanya. Wajah Datuk Laila, Mak Jah, Kamelia dan Zarina dipandang Zakuan silih berganti. Pandangan Zakuan kembali terpaku pada mamanya yang jelas sekali tidak pengsan malah cukup ceria dan sihat!
Raut kebimbangan hilang pada wajah Zakuan. Apa yang sudah berlaku? Zarina baharu saja telefon memberitahu mamanya jatuh pengsan. Tetapi kenapa di depan matanya kini, mamanya nampak sihat walafiat. Tak ada tanda-tanda sakit pun.
Happy birthday!” Zarina menghampiri Zakuan dengan memakai topi kon yang berwarna-warni dan memegang party popper sambil meniup party blower yang membingitkan telinga. Cebisan kertas kecil warna-warni tersembur bersama bunyi letupan kecil tatkala tali party popper direntap. Ruang tamu semakin bingit dengan bunyi party blower ditiup Zarina berulang-ulang kali.
Zakuan memandang Zarina dengan wajah berkerut-kerut. “Apa ni?” soal Zakuan.
Zarina tersenyum ceria. Kemudian Kamelia pula menghampiri bersama-sama sebiji kek vanila yang dihias cantik. Ada empat batang lilin di atasnya selain daripada empat biji ceri merah yang menceriakan kek berkrim putih itu.
Happy birthday to my lovely brother!” jerit Zarina bernada ceria. Datuk Laila, Kamelia dan Mak Jah turut tersenyum bahagia.
Zakuan pandang wajah Zarina tidak berkelip. “Telefon tadi tu?”
Zarina ketawa mengekek. “Tipu!” seloroh Zarina bernada ceria. Kemudian gadis kecil molek itu ketawa semula. “Kalau tak cakap macam tu, abang sure tak nak balik. Terpaksa la bohong sikit. Surprise tak?” ujar Zarina manja.
Menyirap darah Zakuan mendengar pengakuan adiknya. Zakuan naik bengang. Wajahnya tegang menikam Zarina yang masih ketawa. Marah kerana dirinya ditipu.
“Kau, lain kali jangan nak menyusahkan aku!” tengking Zakuan seterusnya mengejutkan setiap isi rumah.
Zarina terkedu. “Kenapa dengan abang ni?” soal Zarina tidak puas hati ditengking abangnya.
“Kau menyusahkan aku!” bengis sekali raut wajah Zakuan.
“Zarina cuma nak sambut birthday abang. Salah ke?” bidas Zarina sama meninggi suaranya. 
“Lain kali, tak payah nak memandai-mandai. Aku bukan budak-budak!” balas Zakuan seraya berpaling untuk mendaki tangga. Mahu menuju ke kamar tidurnya yang berada di tingkat atas banglo mewah itu.
“Zakuan, kenapa cakap dengan Zarina macam tu? Apa yang tak kena dengan kamu?” kata-kata Datuk Laila mematikan langkah Zakuan.
“Zakuan tak ada masa nak layan benda bodoh macam ni!” jawab Zakuan tanpa berpaling. Setelah itu, dia terus meneruskan langkah kakinya mendaki anak-anak tangga.
Zarina merengus kasar. Kedinginan Zakuan mencantas keseronokannya untuk berparti hari jadi. Hatinya terluka. Terasa hati dengan reaksi dingin Zakuan itu, Zarina merampas kek yang sedang ditatang Kamelia kemudian laju menapak menuju dapur.
“Zarina!” Kamelia melaung nama adiknya itu tetapi suaranya ditelan kedinginan suasana.
Kamelia hanya mampu memandang langkah kecewa Zarina dengan perasaan simpati. Adik bongsunya itu beria-ia benar mahu menyambut hari jadi Zakuan. Pasti Zarina merajuk dek reaksi Zakuan yang dingin.
Zarina humban kek vanila itu ke dalam tong sampah di dapur. Topi hari jadi di kepala juga ditanggalkan dan dicampak masuk ke dalam tong sampah itu. Party blower turut dibuang bersama. Lepas ni, tak ada lagi parti hari jadi!
“Bodoh!” bentak Zarina sambil kakinya menyepak tong sampah. Ikutkan hati, Zakuan juga mahu dia sumbat dalam tong sampah itu.


“Apa dah jadi pada Zakuan tu?” rungut Kamelia. Terasa hati juga dengan sikap Zakuan yang tidak menghargai kesungguhan mereka untuk menyambut ulang tahun kelahirannya.
Datuk Laila mengeluh lemah. Mak Jah hanya menjeling Datuk Laila dengan gelengan kepala. Ke mana kuah kalau tak tumpah ke nasi. Perangai siapa lagi yang Zakuan ikut kalau bukan perangai baran Datuk Laila. Berbeza sekali dengan Zahil yang tenang seperti sikap arwah ayahnya.
“Beli cermin baru la nampaknya,” ujar Mak Jah memandang Kamelia yang turut tergeleng lemah. Mana tidak, Zakuan pasti akan menyuruh Mak Jah menggantikan cermin yang pecah itu setiap kali selepas dipecahkan.
“Kau buat apa yang patut Jah. Aku penat. Aku nak naik atas dulu. Kamelia, tolong Mak Jah kemaskan bilik Zakuan nanti,” suara Datuk Laila setelah bangkit dari sofa.
Kamelia angguk akur. Jika tidak disuruh juga dia akan menolong Mak Jah. Kesian pada orang tua itu yang pastinya letih dengan pelbagai kerenah orang di dalam banglo mewah ini.
“Makan malam macam mana?” soal Mak Jah. Sudah la Zarina merajuk. Takkan Datuk Laila juga mahu meninggalkan Kamelia dan dirinya saja menghabiskan semua lauk-pauk itu. Bukan sedikit.
“Aku tak ada selera. Kau makan la dengan Kamelia,” ujar Datuk Laila.
Datuk Laila melangkah mendaki anak tangga dan lenyap dari pandangan Kamelia dan Mak Jah yang tinggal berdua saja di ruang tamu.
“Errr… budak yang kerja dengan kamu tak datang?” soal Mak Jah sebaik saja teringat akan pelawaannya mengajak Diya menyertai makan malam pada hari ini.
Kamelia geleng lemah. “Oh! Diya ye. Dia tak datang. Segan kot. Diya kirim salam pada Mak Jah,” balas Kamelia acuh tak acuh. Risau juga untuk bercakap perihal Diya di dalam rumah ini.
Mak Jah angguk faham. Kemudia wanita itu mengambil peluang untuk bertanyakan perihal Zahil. Jika di depan Datuk Laila tadi, pastinya perihal Zahil sukar dibualkan. Tidak sanggup telinganya mendengar makian Datuk Laila pada Zahil.
“Zahil tak balik sini? Risau Mak Jah dengan kamu adik beradik. Sejak kecil sampai besar, tak boleh nak berdamai.” Mak Jah menyuarakan kebimbangan hati untuk sekian kali.
“Tah la Mak Jah. Kamelia dah tak tahu nak cakap macam mana lagi. Mama tu berdendam sangat pada arwah ayah sampai bencinya pada Zahil tak pernah surut. Zakuan dengan Zarina tu pun satu hal. Tak pernah nak berubah. Apa yang dibenci sangat pada Zahil tu, Kamelia pun tak tahu. Padahal Zahil baik sangat pada mereka,” luah Kamelia memahami kebimbangan hati wanita tua itu.
“Mak Jah selalu doakan supaya suatu hari nanti, keluarga kita akan bersatu kembali. Mak Jah sayang kamu semua macam anak kandung Mak Jah sendiri. Mak Jah dah tak ada sesiapa lagi dah. Ni la keluarga Mak Jah.”
 “Insyallah. Kita sama-sama terus berdoa.” Kamelia paut jari-jemari Mak Jah. Menenangkan hati wanita yang sudah dianggap seperti ibu sendiri.


Zakuan masuk ke dalam kamar tidurnya dan menghempap pintu dengan kasar. Hatinya membara dengan rasa amarah. Baju t-shirt putih belang hitam yang dipakainya ditanggalkan dan dilempar kasar ke lantai. Tubuh sasa itu kemudian direbahkan atas katil.
Dia benar-benar tidak puas hati. Marahkan Zarina yang menyebabkan dia membuat keputusan melepaskan Diya pergi. Bodohnya dia terpedaya oleh pembohongan adiknya itu. Hati rasa membengkak, jiwanya memberontak. Jika bukan kerana panggilan bodoh Zarina, pasti dia sudah dapat bersemuka dengan Diya.
Zakuan menjerit melepaskan rasa tidak puas hatinya. Jeritannya bergema dalam bilik malah mengejutkan ahli keluarganya yang berada di ruang tamu. Kecut perut mereka mendengar amukan Zakuan itu. Zakuan tidak peduli itu semua.
Zakuan bangun dari katil dan mundar-mandir dalam kamar tidurnya. Dadanya berombak kencang. Fikirannya berserabut. Argh! Semua ni salah kau Zakuan. Kalau kau sabar dalam mengejar cinta Adelia Dayana, semua ni tak akan berlaku. Kenapa kau bodoh sangat? Kau hancurkan hidup Lia dan kini hidup kau juga hancur sama. Kau tak pernah dapat lupakan Lia dan kau tak mampu untuk buang dia dari hidup kau. Kau terus dikejar bayang-bayang dosa sendiri. Bodohnya kau Zakuan!
Zakuan merengus kasar. Dia meluru ke arah meja kerjanya. Semua barang-barang di atas meja itu disepahkan. Puas hati dirasakan apabila barang-barang yang tersusun di atas meja itu diselerakkan dan dibiar bertaburan di lantai. Tidak cukup dengan itu, kerusi kayu di meja itu dicapai lalu dicampak ke arah cermin bulat besar dalam kamar itu.
“Prang!” kaca cermin retak seribu. Entah untuk yang keberapa kali. Malang sungguh cermin di bilik itu kerana sering menjadi tempat untuk Zakuan melampiaskan amarahnya. Berderainya cermin umpama berkecainya amarah yang berbuku di hati Zakuan.
Zakuan tercegat melihat serpihan kaca yang sudah pecah berderai. Perlahan-lahan tubuh sasa itu jatuh terduduk di lantai. Akhirnya lelaki itu meraup muka dengan kedua tapak tangan. Amarah yang melingkari diri beransur-ansur pergi dan kini sebak menjalar mencengkam diri.
Lelaki itu sedaya upaya menahan diri daripada menumpahkan air mata. Sungguh dia sangat menyesali perbuatannya pada Diya. Rasa bersalah membuatkan dada terasa sesak. Zakuan marahkan diri sendiri. Zakuan marahkan kebodohan dirinya menghancurkan hidup Diya. Pasti Diya sangat membenci dirinya. Pasti Diya akan terus lari darinya. Pasti Diya tidak akan memaafkannya.
Lama lelaki itu termenung di situ. Membayangkan segala dosa-dosanya. Kemudian, lambat-lambat Zakuan bangun dan menapak ke bilik mandi. Dia harus membasahkan tubuh dengan air bagi menyejukkan hati dan menenangkan perasaan. Jauh di sudut hati, dia berharap agar akan ada pertemuan kedua dengan Diya. Tapi, mungkinkah?


“Lia, saya sukakan awak. Awak tahukan?” Tanpa berkias bahasa Zakuan menyatakan perasaannya. Saya betul-betul sukakan awak. Saya dah macam gila bayang tapi awak buat tak faham juga. Jangan siksa hati saya begini Lia. Zakuan jamah wajah cantik di depannya dengan mata bersinar. Sinaran cahaya cinta ni!
Dan Diya rasa kata-kata itu tidak kena tempat. Mereka berada dalam pejabat tempat Diya bekerja dan Zakuan ketika ini seharusnya segera masuk bertemu Tuan Rahmat. Zakuan semakin terbuka tentang perasaannya sejak dua bulan yang lalu. Diya pula jadi rimas. Serba salah pun ada. Mamat ni, boleh pula buat jiwang dekat sini.
“Errr… Zakuan, Tuan Rahmat telah lama menunggu awak. Sebaiknya awak segera masuk ke dalam.” Diya benar-benar berharap Zakuan segera berlalu. Tidak senang sekali berbicara soal perasaan pada waktu bekerja.
“Saya akan masuk kalau awak kata yang awak sukakan saya.” Kata-kata Zakuan begitu bersahaja sedangkan Diya sudah berubah tona muka kemerah-merahan. Tidak diduga Zakuan akan mendesaknya begitu.
Perempuan ni kena desak sikit, baru boleh jalan. Zakuan mengukir senyuman menggoda. “Emmm... tak apa la. Saya bagi masa untuk awak fikirkan jawapan sepanjang saya berada dalam tu. Bila saya keluar nanti, awak beri saya jawapan. Ok!” putus Zakuan seraya berlalu meninggalkan Diya terkebil-kebil mendengar bicara itu.
Zakuan hilang di balik daun pintu. Diya memandang dengan geram. Sesuka hati sahaja  buat kata putus. Malas nak fikir jawapan. Eh! Tak payah susah-susah fikir, aku dah ada jawapannya. Tidak suka! Muktamad. Diya sememangnya tidak menyukai Zakuan lebih daripada teman biasa.
Kenapa? Kenapa ye? Apa kekurangan lelaki kacak dan bergaya seperti Zakuan itu? Khabarnya Zakuan dari keluarga berada dan syarikat yang diwakilnya itu adalah syarikat keluarganya.
Sepanjang mereka berkawan, Zakuan bersikap baik dan mesra. Lelaki bernama Zakuan Helmi ini seakan seorang lelaki sempurna yang memenuhi pakej lelaki idaman wanita. Entah mengapa kesempurnaan itu tidak menjentik hati Diya untuk mengenali lelaki itu lebih dekat. Dengan kata lain, Diya tidak mempunyai perasaan terhadap Zakuan sebagaimana lelaki itu menyimpan perasaan pada Diya.


Tempoh masa dua jam berlalu dan Zakuan menguak daun pintu. Diya pandang ke arah muka pintu yang sudah terbuka luas. Tuan Rahmat mesra menghantar Zakuan meninggalkan bilik pejabatnya. Tuan Rahmat kembali menutup pintu bilik pejabatnya dan Zakuan sudah tercegat di depan meja Diya.
“Lepas ni, saya mungkin tak datang sini lagi. Awak mesti akan rindukan saya,” seloroh Zakuan membuatkan kening Diya terangkat. Betul ke apa dia cakap? Tapi kenapa?
“Kerja saya dah habis. Takkan nak datang menempek muka semata-mata nak jumpa awak. Tapi kalau awak yang minta, saya sanggup,” kata-kata yang berunsur jenaka ini diluahkan Zakuan dengan nada serius. Aku akan rindukan kau Lia. Dapatkah aku tanggung beban rindu ini?
“Errr…ye ke,” Diya tidak tahu reaksi bagaimana yang harus ditunjukkan ketika ini. Nak bersedih ke nak bergembira ni? Tapi kalau tanya ikhlas dari dalam hati, Diya memang syukur sangat sebab tidak perlu lagi melayan kerenah Zakuan yang kadangkala seakan mendesaknya.
“Saya cintakan awak Lia. Kedengaran macam lucu tapi itu adalah perasaan ikhlas dan luhur dari dalam hati saya.” Dari riak wajah Zakuan, kata-kata itu memang ikhlas dari hati.
Erkkk… Diya telan air liur. Gluppp! Bagaimana sekarang? Macam mana aku nak hadapi detik-detik kecemasan begini? Nak kata apa ni? Errr… lidah pun macam kebas je nak cakap.
“Zakuan, sekarang tak sesuai bercakap tentang hal ni. Orang lain tengok, malu la saya,” ujar Diya sambil menjeling mata-mata pekerja lain yang mencuri-curi pandang ke arah mereka berdua. Pasti staf-staf lain dapat menghidu drama yang sedang berlaku antara Diya dan Zakuan. Drama dengan dialog spontan. Malu kot!
Zakuan berkalih memandang ke arah belakang. Staf-staf yang mencuri-curi pandang pantas menunduk kepala konon-konon fokus terhadap kerja.
“Kalau macam tu, malam ni saya nak bincang dengan awak. Awak kena keluar dinner dengan saya,” kata-kata itu bukan permintaan tetapi seperti satu arahan. Belum Diya bagi kata putus, Zakuan sudah terlebih dahulu angkat kaki.
Ini yang buat aku meluat. Sesuka hati buat keputusan untuk orang! Gerrr…


 “Kenapa beria-ia sangat awak bawa saya makan dekat sini? Tempat ni mahal la.” Mata Diya melilau memerhati persekitaran restoran. Emmm… mamat ni kaya, apa kisah setakat restoran mewah macam ni.
Zakuan ketawa kecil mendengar kata-kata Diya itu. Malam ini adalah malam istimewa. Zakuan mahu melamar Diya pada malam ini. Zakuan mahu Diya menjadi miliknya. Milik mutlaknya!
“Sini romantik sikit,” suara Zakuan penuh menggoda bersama senyuman manis dan kenyitan mata kiri. Mereka sudah terpacak di sebuah meja yang terletak di tengah-tengah ruang restoran. Zakuan mendekati Diya dan menarik kerusi untuk Diya duduk terlebih dahulu sebelum lelaki itu turut mengambil tempatnya.
Diya senyum kelat. Gelisah pula hati Diya berdepan detik berdua-duaan dengan Zakuan di meja makan yang jelas ditempah khas untuk mereka berdua. Malah satu ruang restoran mewah ini telah disewa khas oleh Zakuan hanya untuk mereka berdua. Berdua saja makan dalam restoran begitu besar! Mewah dan mahal! Mungkin sekali seumur hidup dapat rasa macam ni.
Seperti yang tergambar dalam cerita-cerita romantik dalam kaca televisyen, pasti ada lilin dan bunga ros merah sekuntum atas meja. Kemudian ada seorang pemain muzik menggesekkan biola dengan alunan yang mendayu-dayu. Konon-konon nak hidupkan suasana romantik. Itu belum termasuk perangai Zakuan yang berubah 360 darjah daripada biasa. Entah watak Romeo mana yang dimainkan Zakuan sampai berubah begitu romantik pada malam ini.
“Hidangan dah sampai pun,” suara Zakuan begitu lirih. Senyum kian melebar tatkala seorang pelayan wanita menghampiri meja mereka. Detik yang ditunggu-tunggu Zakuan sudah tiba. Sekejap saja lagi, Lia. Aku akan buktikan betapa tulusnya cinta aku pada kau Lia.
“Aik! Tak pesan menu lagi pun.” Diya buat muka tercengang. Bukan ke sepatutnya pilih menu dalam buku menu dulu?
“Ni la surprise.” Zakuan kenyit mata kanannya bersama senyuman menggoda.
Diya senyum kelat sekali lagi. Hanya semangkuk aiskrim vanila yang terhidang di depan matanya kini. Huh! Dah boleh agak dah apa punya surprise mamat ni nak buat. Idea tak kreatif langsung. Taktik kuno dah ni. Aku dah boleh agak ada benda apa dalam aiskrim ni. Ni dah tak kira surprise la…Tapi kalau tak terkejut, nak buat reaksi macam mana ni?
“Rasa la…” suara Zakuan tidak sabar lagi. Diya telan air liur. Dahi juga sudah berpeluh jantan!
“Apa benda ni?” Diya berlakon la juga buat jaga imej Zakuan. Kononya tertanya-tanya dengan benda yang disembunyi dalam aiskrim yang dihidangkan padanya. Padahal dia bukan la bodoh sangat untuk meneka sendiri. Saja nak berdrama sikit.
Mujur tak tertelan sekali dengan aiskrim yang disudukan masuk ke dalam mulut. Kalau tak, satu hal pula nak kena masuk bilik bedah. Untung-untung esok masuk akhbar muka depan, ‘mati tertelan cincin semasa dilamar!’ Tak ke kes berat.
Kini sebentuk cincin berlian sudah berada di dalam tangan Diya. Fuyooo! Bersilau mata dek kilauan batu berlian yang menggoda keimanan. Aku rasa memang berlian asli ni!
Zakuan tersenyum megah seolah-olah jawapan gembira sudah terpancar pada raut wajah Diya yang melebar senyumnya.
“Saya hendak melamar awak menjadi isteri saya. Lia, saya cintakan awak seikhlas hati saya,” ucap Zakuan menyatakan kejujuran hatinya. Sinar mata Zakuan yang memancar, memanah ke dalam anak mata Diya. Please, terima la Adelia. Hati lelaki itu berbisik dalam gelora hebat menantikan ucapan ‘ya’ sebagai kalimah jawapan.
“Errr….” Diya dah mula menggelabah. Susah ni!
“Sebenarnya saya akan ke Australia hujung minggu depan. Outstation untuk beberapa bulan. Sepanjang saya di sana, saya tak akan tenang tanpa ada ikatan antara kita. Jadi saya nak kita bertunang sebelum saya ke sana. Kalau awak terima cincin tu, saya akan minta keluarga saya masuk meminang awak,” Zakuan bersuara setelah Diya terus membisu.
Diya masih membisu mendengar kata-kata Zakuan. Hati wanitanya dipalit rasa bersalah. Tingkah Zakuan menyentuh rasa terharu di penjuru hati tetapi dia bukan seorang wanita yang menyandarkan cinta pada mainan hati begitu. Rasa bersalah dan terharu akan datang dan pergi. Saat ia hadir, diri bagai tersepit. Tatkala rasa itu pergi, jiwa pula bakal dihimpit penyesalan. Diya tidak mahu menyesal!
 Soal hati dan perasaan bukan paksaan. Diya tidak mahu menerima Zakuan hanya kerana simpati dan terharu terhadap cinta lelaki itu. Cinta tidak akan subur hanya kerana terharu dan simpati! Walau sudah hampir tiga bulan Diya mengenali Zakuan, Diya belum yakin dan bersedia untuk membawa hubungan mereka melangkau ke fasa lebih serius. Pertunangan dan pernikahan adalah sesuatu yang belum pernah difikirkan Diya kerana fokusnya kini adalah terhadap kerjaya yang baru dibina.
“Zakuan, saya tak dapat terima lamaran awak,” terluah juga apa yang selama ini dipendam Diya. Boleh terima ke mamat ni? Jangan menangis dekat sini sudah. Lemah semangat pula aku tengok lelaki menangis.
Sunyi. Sepi. Zakuan terkedu dan Diya berdebar-debar menantikan reaksi Zakuan setelah ditolak. Senyuman yang mekar dibibir Zakuan mati dan bunga-bunga bahagia menjadi layu. Reaksi yang sudah diduga. Pelik la kalau Zakuan tiba-tiba ketawa dan bertepuk tangan dengan bahagia. Kalau Zakuan buat reaksi macam tu, Diya laju saja angkat kaki tolong hantarkan ke hospital bahagia.
“Saya minta maaf. Ini terlalu mendadak untuk saya,” Diya bersuara lagi apabila suasana terus sepi. Gelisah betul berdepan detik-detik begini. Pengalaman pertama kali dalam hidup reject cinta orang. First time!
“Tapi Lia, saya cintakan awak. Awak maksudkan saya terlalu awal jatuh cinta pada awak?” riak wajah Zakuan tergambar perasaan hampa apabila harapannya musnah dalam sekelip mata. Hanya sekali lafaz, cintanya ditolak Diya mentah-mentah. Kenapa kau tolak cinta aku Lia? Butakah kau untuk melihat ketulusan cinta sejati yang aku hamparkan buatmu?
“Mungkin. Kita baru tiga bulan kenal,” Diya gigit bibir. Kesian pula tengok muka mamat ni. Dosa ke aku tolak cinta dia? Tapi cinta bukan paksaan.
“Masa bukan ukuran untuk jatuh cinta. Sesaat pun ibarat setahun kenal. Yang penting saya ikhlas terhadap awak. Saya cintakan awak Adelia Dayana! Saya ikhlas.” Zakuan belum berputus asa. Inilah masanya untuk dia membuktikan pada Diya betapa ikhlasnya dia menyintai wanita itu. Seolah-olah cinta Zakuan pada Diya adalah cinta agung yang suci dan sejati.
“Saya tak cinta!” meluncur ayat itu dari mulut Diya. Awak saja yang cintakan saya. Saya tak cintakan awak. Susahnya bertepuk sebelah tangan. Boleh faham ke mamat ni yang cinta bukan paksaan?
Zakuan bagai ditampar dek kata-kata itu. Diya menjawab tanpa sebarang pertimbangan seterusnya mencalar keegoan Zakuan.
“Maaf Zakuan. Saya tak cintakan awak. Dan saya dapat merasakan yang saya tak sesuai dengan awak. Maaf, saya minta diri dulu.” Lebih baik segera angkat kaki. Tak sanggup lagi aku tengok muka mamat handsome kena reject. Rasa bersalah pula hancurkan perasaan orang. Tapi nak buat macam mana lagi kalau hati memang tak suka. Daripada memberi harapan palsu, lebih baik terus terang saja.
“Lia!” jerit Zakuan apabila Diya sudah bangun dan berpaling pergi.
 Jangan berpaling Diya! Lagi lama kau di sini, semakin dalam luka di hati Zakuan. Dan Diya meneruskan langkah kakinya tanpa sesalan.
Zakuan kaku di saat Diya berlalu pergi meninggalkan dirinya hampa dan kecewa. Perit sekali rasanya cinta ditolak. Hanya yang pernah melalui saja dapat merasakan pedih sembilu menusuk tangkai hati.
Saat ini, irama gesekan biola yang romantik seakan sebuah lagu cinta luka. Zakuan terpaksa menelan kepahitan yang benar-benar merobek hati. Cinta pertamanya musnah! Sampai hati kau Lia. Kau remukkan hati aku. Hancur berkecai bak kaca dihempas ke lantai.