DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Showing posts with label Zubaidah Ibrahim. Show all posts
Showing posts with label Zubaidah Ibrahim. Show all posts

Wednesday, 2 March 2016

SURI DI HATIKU - BAB 16




       “Kau takut ke, Suri? Tengok muka macam pucat aje,” ucap Emir penuh sinis. Kami mencari tempat duduk di balai menunggu sementara menunggu penerbangan berlepas. Emir langsung tak beritahu ke mana destinasi berbulan madu kami. Bagi aku, sudah tiada istilah bulan madu antara kami berdua. Emir sekarang sedang melaksanakan satu persatu rancangan jahatnya. Bulan madu ini sudah pasti tidak akan semanis madu. Ia pasti akan sepahit hempedu. Dipenuhi dengan kebencian dan kesengsaraan.
       “Kenapa Emir buat semua ni? Suri perlukan penjelasan,” ujarku dengan hati yang cukup terluka. Air mata makin galak bergenang di pelupuk mata. Tunggu masa saja untuk gugur ke bumi. Sungguh aku mengharapkan penjelasan dari Emir. Kenapa dia harus melayan aku seperti ini. Kenapa…
Emir sengaja mendekatkan wajahnya ke mukaku. Aku berpaling ke arah lain tanpa mahu membalas pandangannya. Tindakan aku buat dia naik hantu. Pantas dia mencengkam pipiku dan memaksa aku memalingkan muka ke arahnya.
        “Kan aku dah cakap. Aku akan beritahu kau semuanya bila kita dah sampai ke destinasi bulan madu kita. Jangan tergesa-gesa sangat nak tahu. Aku takut hati kau akan semakin terluka nanti…” Emir tergelak jahat. Benci aku mendengar gelak tawanya itu. Ia sangat menyeramkan aku.
       “Hah, sampai pun…” Tiba-tiba Emir bangun dari kerusi. Dia segera melangkah beberapa langkah ke hadapan sambil mendepakan tangannya menerima kehadiran seseorang.
Mata aku menjadi saksi atas apa yang sedang berlaku di hadapanku saat ini. Tanpa segan-segan Emir memeluk tubuh seorang wanita dengan cukup erat. Dan yang lebih mengejutkan dan meluluhkan hatiku, aku cukup kenal dengan perempuan itu. Adawiyah?
Adawiyah dan Emir melangkah ke arahku sambil berpegangan tangan. Aku hampir tak dapat nak berdiri dengan stabil. Kakiku menggigil menerima realiti yang sedang terbentang di depan mata.
        “Kenalkan. Wanita yang paling aku cintai, Fazlyn.” Dengan senyuman sinis, wanita yang Emir panggil sebagai Fazlyn itu menghulurkan tangan untuk bersalaman denganku. Adakah aku salah mengenali namanya atau sebetulnya nama dia bukan Adawiyah? Jadi, Ada juga termasuk dalam plan untuk memusnahkan hidup aku? Ya Allah…
       “Salamlah! Apa kau termenung lagi.” Arahan Emir kedengaran cukup keras. Terkocoh-kocoh aku menyambut ‘salam perkenalan’ dari Fazlyn.
       “Aku tahu kau terkejut dengan semua ni, Suri. Tapi rilekslah. Ini baru sikit. Lepas ni, aku yakin, nak teruskan hidup pun kau dah tak sanggup lagi. Kerana kau akan rasa benar-benar tertipu. Kesiannya kau.” Ucapan Emir disambut gelak tawa ceria dari Fazlyn. Fazlyn memandang aku dari atas ke bawah. Aku yakin ada sesuatu yang bakal keluar dari bibirnya. Kata-kata yang bakal menyakiti hatiku yang sudah tersakiti ini.
       “You berlakon ke bertudung semua ni? Youkan perempuan suka berlakon. Sayang, you tak rasa ke Suri ni mampu jadi pelakon wanita terhebat untuk tahun ni? Dia mampu sandang anugerah Pelakon Wanita Terbaik 2013. Kan, sayang?” Air mata tak mampu aku bendungkan lagi. Aku yang dituduhnya berlakon?
Emir juga ikut mentertawakan aku. Dia juga memandang aku dengan senyuman sinisnya. Mengakui dan membenarkan setiap penghinaan yang Fazlyn lemparkan terhadapku. Kejamnya Emir.
       “Tapi I lebih prefer you yang menang anugerah tu, sayang. Sebab lakonan you sebagai Adawiyah gadis berusia enam belas tahun sangat menjadi. Dan perempuan bodoh ni, terlalu percaya dengan apa yang I cakap.” Aku tak mampu nak menadah telinga mendengar setiap kata yang keluar dari mulut Emir. Langsung tidak menjaga perasaan aku. Apa dia ingat aku ni siapa? ‘Kau bukan siapa-siapa bagi dia, Yana. Kau hanyalah perempuan bodoh yang terlalu mempercayai dan mencintainya’. Hati aku menangis lagi. Menyesal? Sudah tiada gunanya lagi.

***********

       “Kalau you rindukan I, you datang aje jumpa I. I akan sentiasa tunggu kedatangan you. I gonna miss you, sayang.” Berbulu telinga aku mendengar kata-kata manja yang keluar dari bibir Emir itu. Ketika dia berlakon bercouple dengan aku dulu, satu patah ayat romantic pun dia tak hadiahkan untuk aku. Kononnya tak bersalam, tak bersentuhan dengan perempuan. Yang dia peluk Fazlyn depan mata aku tadi tu apa? Emir benar-benar pelakon yang hebat!
       “You jangan nakal-nakal tau. Jangan nak mengada jatuh hati dengan wife you ni. Kalau I tahu you main mata dengan perempuan ni, siap you I kerjakan. Faham?” Amaran dari Fazlyn disambut gelak tawa ceria dari Emir. Lelaki itu mengangkat tangan seakan-akan berikrar bahawa dia tidak akan jatuh cinta dengan aku. Tak sanggup untuk aku terus melihat sandiwara pasangan hipokrit itu. Bencinya!
       Come, Suri. Kita dah nak bertolak ni.” Arahan Emir kedengaran cukup serius. Ditarik tangan aku dengan cukup kasar. Tak habis-habis dia melayan aku dengan tindakan keras dan tanpa simpatinya itu. Semakin lama, perasaan benci semakin menghiasa ruang jiwaku. Aku benci Emir. Aku benci dia!
       Dengan berat hati, Emir melepaskan pegangan tangan Fazlyn. Sempat dia menghadiahkan kekasih hatinya itu dengan sebuah senyuman menawan. Senyuman itulah yang telah buat aku jadi buta mata hati. Senyuman plastik yang buat aku menyampah sekarang.
       “Kau tak rimas ke pakai tudung ni? Tanggalkan aje. Bukan kau tak biasa pun kan? Mari aku tolong tanggalkan.” Emir bersuara sebaik saja kami berdua duduk di dalam kapal terbang. Tangan Emir sudah bersedia untuk menanggalkan tudung yang aku pakai. Segera aku menepis tangannya. Aku mungkin akan terima andai dia menyakiti hati dan perasaanku. Tapi jangan pernah dia ingat dia mampu patahkan penghijrahan suci aku ini. Aku bertudung bukan kerana dia. Aku bertudung kerana Allah!
       “Suri bertudung bukan kerana Emir. Suri berubah kerana Allah. Demi cintaNya pada Suri, Dia ingin melihat Suri berubah. Itu baru sebenarnya cinta. Bukan seperti Emir, yang hanya berlakon cintakan Suri. Penipu!” Aku tahu apa yang bakal akan aku dapat dengan berkata seperti itu. Emir pasti akan naik meradang. Tapi aku juga ingin meluahkan perasaan yang terbuku di hati. Biar Emir tahu, betapa menyesalnya aku mencintai dia!
       “Tapi kalau bukan sebab aku yang minta kau bertudung, mungkin sampai sekarang kau akan terus tanggung dosa mendedahkan aurat. Kau sendiri yang cakap, aku menjadi penyebab kenapa kau nak berubah. Betul kan?”
Aku diam. Aku cuba mengumpulkan kekuatan untuk membidas kata-katanya dengan cukup tabah.
       “Tapi masa tu Suri ingat Emir benar-benar ikhlas nak lihat perubahan Suri. Tapi ternyata tak… Walau apapun yang berlaku, terima kasih sebab sudi tegur Suri. Sekurang-kurangnya Suri akan kenang itu sebagai satu jasa yang pernah Emir taburkan pada Suri. Suri takkan lupa… sampai bila-bila…” Butiran jernih terus menitis jatuh ke pipi. Aku tak mampu lagi nak memandang wajahnya. Pantas kualihkan badanku mengiring ke dinding. Aku cuba pejamkan mata, membuang semua memori indah yang pernah tercipta antara aku dan dia. Sekali lagi, cinta suci aku dipermainkan oleh lelaki. Aku memang bodoh. Terlalu mudah mencintai. Terlalu mudah mempercayai.
       “Kau nak tahu sesuatu tak Suri?” Bisikan Emir menyapa ke telingaku. Aku hanya mengeraskan diri langsung tidak berpaling kepadanya. Setiap kali aku dengar suara dia. Hati aku bagaikan tertusuk dengan sembilu. Lelaki penipu!
Emir hanya tertawa sinis. Dia tetap meneruskan bisikannya ke telingaku.
       “Aku kesiankan diri aku sendiri tau tak. Kau nak tahu tak sebab apa? Sebab… aku terpaksa berpura-pura jadi lelaki nerd dan lelaki bodoh yang kononnya cinta mati dengan kau. Kononnya aku ni tak boleh hidup tanpa kau. Huh! Seumur hidup aku, aku tak pernah rasa meluat sampai macam ni sekali. Hmm… apa nak buat. Terpaksalah. Kalau tak, tak adalah kau jatuh dalam perangkap cinta aku.”
Permata jernih meniti di kelopak. Menanti jatuh. Memaksa bukan. Mengalir arus menghakis tebing kalbu. Berderai tanpa bicara. Esakan tanpa suara. Tersemat madah sejuta rasa. Hanya diri dan empunya yang mengetahui apa itu erti mainan hati… Terima kasih Emir. Terima kasih kerana mengajar Suri apa itu erti mainan hati. Dan erti sebuah… kepura-puraan.

**********

Pulau Langkawi. Itulah destinasi bulan madu kami. Emir membawa aku ke sini dengan satu tujuan yang pasti. Dia ingin menghancurkan kehidupanku. Ketika dalam penerbangan tadi, Emir tak habis-habis menceritakan rasa meluatnya padaku. Bermula dari pertemuan kami di depan perpustakaan hinggalah semalam, majlis akad nikah kami berdua. Aku tak pernah menyangka, Emi bakal melakukan semua ini terhadapku. Apa dosaku padanya? Adakah benar semua ini ada kaitan dengan Emriz? Apa hubungan Emir dan Emriz?
Namun, dalam meniti kesengsaraan yang baru Emir ciptakan untukku ini. Rasa syukur harus ku panjatkan pada Ilahi. Sekurang-kurangnya Emir masih ada sifat perikemanusiaan. Dia membawa aku ke pulau yang masih berada dalam negara. Pulau yang pernah aku jejaki. Aku takut kalau-kalau Emir membawa aku keluar dari negara. Mungkin dia membawa aku entah ke ceruk mana. Ditinggalkan aku keseorangan di tempat asing tanpa dapat aku bergantung pada sesiapa. Ya Allah… Tak mungkin Emir sekejam itu. Harapan masih menggunung dalam hatiku agar semua ini hanyalah permainan Emir semata-mata. Aku lebih rela dia berlakon membenci aku daripada aku harus menghadapi kebenciannya yang sebenar-benarnya.
Tanganku terasa pedih. Ke hulu ke hilir Emir menarik tanganku untuk mengikutnya. Sedari tadi, tanganku kemas dipegangnya. Andai saja itu dia lakukan kerana perasaan cintanya padaku, sudah pasti aku akan berasa selamat dan rasa cukup bahagia. Tapi, dia lakukan semua itu tidak lain adalah kerana takut aku larikan diri. Emir memang licik. Penuh dengan misteri! Dan sampai saat ini, satu misteri pun belum berjaya aku rungkaikan. Semuanya masih kabur. Misteri dalam misteri.
       “Kita nak pergi mana ni? Suri nak balik. Suri nak balik, Emir… Tolonglah hantar Suri balik…” Aku merayu padanya. Aku cuba melepaskan pegangan tangannya. Dan aku berjaya lepas dari dia. Tak menunggu lama aku terus melarikan diri darinya. Aku ingin pergi jauh dari Emir. Aku tahu aku takkan selamat dengan dia.
       “Kau nak pergi mana?! Kau jangan nak macam-macam ya, Suri. Aku takde masa main kejar-kejar dengan kau. Mari sini!” Emir sempat menahan aku dari melarikan diri lebih jauh. Kawalannya terlalu ketat. Aku tak berdaya apa-apa lagi. Sungguh aku tak sanggup nak lalui hidup bersama dengannya. Melihat sikapnya sekarang sudah cukup menakutkan aku. Mungkinkah ini diri Emir yang sebenar-benarnya?
       “Tolong lepaskan Suri, Emir. Suri merayu. Kalau Emir tak cintakan Suri, lepaskan Suri. Suri takkan beritahu mama dan papa pasal semua ni. Suri akan tutup mulut. Please let me go!” Dalam sedar tidak sedar, aku menjerit sekuat hatiku. Orang yang lalu lalang di hadapan kami rata-ratanya semua melihat ke arah aku dan Emir. Mungkin aku perlu menggunakan peluang ini untuk menjerit minta tolong.
Baru saja aku nak nak buka mulut menjerit, Emir pantas memeluk aku. Pelukannya kemas seakan-akan tidak mahu melepaskan aku.
       “Kau jangan buat hal dengan aku, Suriyana. Sekali lagi kau menjerit, kau tahulah apa nasib orang tua kau kat rumah tu. Aku tak main-main. Kau belum kenal siapa aku. Kau tak tahu apa kerja aku selama ni. Kalau kau berani sangat dan kalau kau nak sangat tengok mama papa kau mati, kau boleh larikan diri dari aku. Sikit pun aku tak hairan.” Bisikan Emir ke telingaku kedengaran cukup menakutkan. Dia mengugut aku? Dia nak bunuh papa dan mama? Siapakah lelaki ini sebenarnya? Adakah aku pernah berhutang apa-apa dengan dia sehinggakan dia terlalu berdendam dengan aku?Siapa dia sebenarnya!
Emir terus membawa aku keluar dari lobi. Setibanya di luar, sudah ada sebuah kereta yang menunggu kami. Emir segera membuka pintu kereta dan menolak tubuhku masuk ke dalam perut kereta. Aku pandang wajah si pemandu teksi. Dan sekali lagi aku tergamam. Aku kenal dengan lelaki ini. Aku pernah melihat wajah dia di rumah Emir sebelum ini. Bukan dia pak cik perengus tu ke? Uncle Bad?
       “Uncle Bad? Uncle Bad buat apa kat sini? Uncle tolong Suri. Tolong bawa Suri pergi dari Emir. Tolong Uncle…To…” Rayuan aku terhenti di situ apabila Uncle Bad berpaling memandang wajahku sambil tersenyum sebelah. Senyuman yang pernah dihadiahkan oleh Fazlyn untukku. Jangan-jangan…
       “Aku tak boleh tolong kau apa-apa, Suri. Kalau aku tolong kau lari, bos tak bagi aku duit gaji nanti. Apa anak bini aku nak makan. Huh, kesiannya kau. Mudah sangat percayakan lelaki. Bodoh!” Uncle Bad geleng kepala sambil tertawa sinis. Jiwaku makin hancur dengan semua sandiwara ini. Siapa pula lelaki ni? Salah seorang pelakon yang diupah oleh Emir? Berapa orang yang Emir gunakan untuk pergunakan aku? Adakah ibu juga termasuk dalam senarai orang yang diupah oleh Emir untuk menipu aku? Tak mungkin. Aku lihat Emir terlalu sayangkan Aunty Ros. Tak mungkin Aunty Ros juga seperti Fazlyn dan Uncle Bad.
       “Jalan, Don. Kita dah lambat ni,” arah Emir sebaik saja masuk ke dalam kereta. Dia pandang aku tanpa sebarang riak. Aku pandang dia meminta penjelasan di atas semua yang berlaku. Don? Nama sebenar Uncle Bad, Don?
Enjin kereta terus dihidupkan oleh Don. Aku hanya mampu berdoa agar Emir tidak membawaku ke tempat yang bukan-bukan. Saat ini, hanya pada Allahlah tempat aku bergantung. Aku hanya ada Dia. Hanya Dia….
Dia yang melahirkan rasa cinta aku pada Emir. Dan Dia juga yang mengaturkan semua ini. Ya Allah… apa sebenarnya hikmah di sebalik perancangan-Mu ini. Aku manusia yang lemah, ya Allah. Tabahkanlah hatiku mengharungi semua cubaan ini. Aku cintakan Emir. Sungguh aku cintakan dia. Perasaan sayang aku pada Emir masih kukuh tersemat dalam hati. Cuma sekarang, aku berasa sangat takut. Aku takut dari cinta perasaan ini akan berubah menjadi benci. Benci yang amat sangat. Dan jika aku boleh memilih saat ini, aku lebih rela memilih untuk tidak mengenali Emir. Daripada aku harus membencinya.
       “Kenapa kau tengok aku macam tu? Aku tahulah aku handsome.” Tiba-tiba Emir bersuara,  mengejek. Pantas aku mengalihkan pandangan entah ke mana. Tak sangka dalam keadaan seperti ini, aku masih lagi terhanyut menatap wajah kacak milik Emir. Yang sudahnya, hati aku juga yang terkecewa.
       “Apa eh yang selalu kau cakap. Suri suka anak mata hazel Emir tu. Senyuman Emir. Semuanya buat Suri tak tidur malam. Haha… Kau betul-betul dah angau dengan aku kan Suri? Sayangnya, aku langsung tak rasa apa-apa. Cinta aku pada kau? Zero!” Emir mendengus keras. Sesaat kemudian, dia ketawa sambil menggelengkan kepala. Entah apa yang lucu sangat akupun tak tahu. Mungkin dia sedang mentertawakan kebodohan aku yang selama ini terlalu mengagung-agungkan dirinya.
Ya aku mengaku. Seluruh cinta dan kepercayaan aku telah kucurahkan hanya pada Emir. Tanpa ragu-ragu. Tanpa ada syak wasangka walau sekecil zarah! Akulah perempuan bodoh yang sudah dibutakan oleh lakonan mantap dari Emir. Arghh! Aku benci semua ni. Aku benci!
Saat itulah tanganku terlalu ringan untuk terangkat menampar muka Emir. Panggg! Untuk sesaat hati aku berasa puas. Puas kerana aku dapat tunjukkan pada Emir kebencian aku pada dirinya saat ini! Namun, sesaat kemudian, perasaan takut menyelubungi diri apabila Emir merenung aku dengan pandangan yang maha tajam.
       “Kau tampar aku? Kau tampar aku, perempuan?! Kau memang nak kena Suri!” Kemarahan Emir kurasa sudah memuncak. Mungkin dia benar-benar bengang dengan tindakan spontan aku menamparnya. Aku sendiri terkejut dengan tindakan aku itu. Ya Allah… first time aku tampar muka orang.
Dengan wajah yang cukup merah padam, Emir tercari-cari sesuatu sesuatu dari poket seluarnya. Sebelah tangannya sudah kemas memegang tanganku. Aku yang ketakutan hanya mampu rapatkan diri ke badan kereta. Andai mampu aku lari, sudah lama aku lari.
       “E-emir nak buat apa ni? Emir jangan. Emir jangan…” Semuanya sudah terlambat, tanpa dapat aku mengelak lagi, Emir menekup mulut dengan sapu tangan. Beberapa detik berlalu, aku mula rasa lain macam. Pandangan mataku kian kabur. Imej terakhir yang dapat aku lihat dari mataku adalah wajah Emir tersenyum tanpa belas kasihan. Sesaat berlalu, pandanganku terus gelap.



SURI DI HATIKU - BAB 15





Entah apa yang harus aku beritahu mama dan papa tentang kehilangan Emir semalam dan pagi ini. Aku turun ke ruang bawah dengan harapan, papa dan mama tak banyak bertanya. Aku tak sanggup nak menipu tapi aku juga tak sanggup nak memburukkan nama Emir, suami aku. Pasti papa dan mama pelik, sehari berkahwin sudah aku ditinggalkan Emir. Aku sendiri pelik dengan sikap Emir. Tapi walau apa pun keadaannya, aku tetap perlu menerima dan mengharungi semua ini dengan hati yang tabah dan matang. Mungkin Emir ada hal mustahak yang harus diselesaikan. Hmm…
Sesampai di kaki tangga, cuping telingaku terdengar suara lelaki yang amat aku kenali sedang rancak berborak. Emir? Dia dah balik? Kutilik jam di pergelangan tanganku. Pukul lapan pgi baru ingat nak balik?
Aku melangkah menghampiri ruang dapur. Mama dan Mak Limah sedang sibuk menyiapkan sarapan pagi. Emir pun kelihatannya ringan tulang membantu sekali. Aku berdeham beberapa kali mengejutkan mereka bertiga. Melihat kelibatku muncul di ruang dapur, Emir pantas menegurku dengan panggilan yang cukup manja.
       Good morning sweetheart. Lama tau abang tunggu sayang turun. Ingat nak pergi angkat bawa sayang turun ke bawah tadi. Nasib baik mak dan mama larang abang.”
Hipokrit. Itu saja yang mampu aku katakan. Kenapa Emir berlakon macam tu? Sekelip mata dia berubah menjadi romantik dengan membahasakan dirinya ‘abang’ dan memanggil aku ‘sayang’. Apa maksud Emir dia menungguku lama? Aku yang tunggu dia lama. Apa semua ni. Ya Allah, kenapa aku rasa macam tak sedap hati.
Mak Limah dan mama memandang ke arahku dengan senyuman penuh makna. Emir juga tersenyum tanpa dapat aku faham maksud senyuman dia itu.
       “Pengantin  baru kenalah turun lambat sikit. Betul tak Kak Mah?” Mama ceria mengusik aku. Mak Limah juga kelihatan gembira. Pasti mereka menganggap aku dan Emir telah melalui malam yang cukup indah semalam.
       “Tengok suami kamu ni, Yana. Awal-awal pagi dah bangun. Pergi belikan kuih-muih kegemaran kamu di kedai. Sayangnya Emir pada Yana.” Kata-kata Mak Limah buat aku tak tahan lagi. Segera aku bersuara mengajak Emir untuk keluar dari ruang dapur. Ada sesuatu yang harus dia perjelaskan!
       “Emir, jom kita pergi kat depan. Mak, mama, takpekan kalau pengantin baru tak buat kerja dapur hari ni?” Dengan penuh lakonan, aku menampakkan wajah ceriaku. Melihat mama dan Mak Limah saling mengangguk, aku segera menarik Emir mengikutku.
Tanganku masih kemas memegang tangan Emir memaksa dia mengikutku naik ke bilik. Tak sesuai untuk kami berbincang hal penting ini di ruang tamu. Aku yakin, ada sesuatu yang tak kena. Wajah Emir kelihatan sangat selamba. Langsung tak rasa bersalah menipu mama dan Mak Limah.
Sampai di bilik, aku terus melepaskan tangannya. Pintu bilik ku tutup kemas. Aku berpaling memandang Emir. Wajahku serius menatap jauh ke dalam anak mata hazel miliknya. Anak mata hazel yang sama. Cuma, pandangan Emir membalas renungan mataku jauh berbeza. Ia tidak lagi menawan dan indah. Tapi ia… menakutkan.
       “Kenapa Emir berbohong? Kenapa Emir tak balik semalam? Emir dah janji dengan Suri, kan?” Pertanyaan aku yang bertubi-tubi itu Emir sambut dengan senyuman. Senyuman sinis yang tak pernah aku lihat sebelum ini.
       “Kan Emir dah cakap, Emir pergi jumpa Ada. Tak faham ke apa yang Emir cakap semalam?” Aku tercengang mendengar suara Emir berkata-kata. Cukup kasar dan seperti sengaja nak menaikkan darah aku.
Aku berdepan lebih dekat dengan Emir. Aku cuba meraih tangannya namun dia menepis tanganku kasar. Sekali lagi aku tergamam.
       “Emir? Kenapa ni? Hmm?” Aku masih cuba untuk bersabar. Mungkin ada sesuatu yang tak kena di sini. Mungkin Emir nak main-main dengan aku.
Dengan rengusan keras, Emir merenungku tajam.
       “Emir? Siapa Emir? Hah?” Ya Allah… apa semua ni? Aku tak faham. Kenapa Emir dah lain? Atau aku sekarang sedang bermimpi. Mimpi ngeri. Bangunkan aku dari mimpi ini, ya Allah…
       “Aku bukan Emir. Aku Emriz. Emriz Asyraf yang pernah kau tinggalkan dulu. Don’t you remember me, Suriyana? Tengok baik-baik muka aku ni!” Tak semena-mena Emir merentap rambutku kasar. Ya Allah, sakitnya.
       “Emir sakit. Emir buat apa ni. Lepaskan Suri…” Aku mula meronta-ronta minta dilepaskan. Dengan seluruh tenaga yang aku ada, kucuba meleraikan cengkaman Emir yang kuat mencengkam rambutku. Tanpa mendengar rayuan dariku, dia menarik aku ke meja solek. Dia memaksa aku melihat ke dalam cermin kaca.
       “Tengok betul-betul dalam cermin ni, Suri. Tengok betul-betul siapa aku sebenarnya. Tengok!” Emir memegang pipiku kemas. Aku tak faham dengan apa yang sedang berlaku sekarang. Sikap Emir berubah seratus peratus. Tapi kenapa? Dan bagaimana pula Emir boleh tahu nama Emriz?
       “Kenapa dengan Emir ni? Kenapa sakiti Suri?” Aku bertanya dalam tangisan. Kesakitan dia merentap rambut dan memegang pipiku dengan kasar, buat aku menitiskan air mata. Aku takut. Aku tak kenal siapa yang berada dengan aku sekarang ini. Adakah dia Emir yang pernah aku kenali dua bulan yang lalu?
       “Sakit? Lepas ni hidup kau akan lebih merana, Suri. Kau memang perempuan tak guna!” Dengan tolakan yang kuat, Emir menolakku ke lantai. Sekali lagi dia bertindak di luar jangkaan. Aku cuba larikan diri darinya namun dia pantas merentap rambutku sekali lagi.
       “Kau tak boleh lari, Suri. Aku dah lama tunggu peluang ni. Bertahun-tahun aku cari kau. Hampir setahun aku perhatikan kau. Dan hampir dua bulan aku berlakon untuk mendampingi kau, pura-pura cintakan kau dan yang lebih buat aku meluat… aku terpaksa kahwin dengan kau! Perempuan macam kau tak layak untuk dikahwini!”
Luluh hati aku mendengar pengakuan dari Emir. Jerkahannya buat hatiku menangis ketakutan. Apa maksud dia yang sebenar-benarnya? Bertahun-tahun dia mencari aku? Dia berlakon cintakan aku? Dia terpaksa kahwin dengan aku? Apa semua ni?!
       “A-apa Emir merepek ni, hah? Emir dah gila ke? Emir dah tak kenal Suri lagi ke?” Aku cuba untuk tidak melayan kata-kata Emir. Mungkin Emir sakit. Sakit jiwa! Tak pernah terlintas di benakku untuk menerima semua layanan seperti ini. Aku mengharapkan belaian mesra dari dia. Bukan amarah seperti ini!
Tiba-tiba Emir gelak besar. Dia berdiri sambil berpeluk tubuh. Pandangannya penuh dengan kebencian. Dia bukan lagi Ku Emir Affan yang pernah aku kenali dua bulan yang lalu.
       “Memang aku dah gila. Kau yang buat aku jadi gila. Emriz gila pun sebab kau. Mustahil kau tak kenal siapa Emriz tu. Kau kenal dengan dia kan?” Aku masih cuba menafikan dengan menggelengkan kepala. Serentak itu Emir bertindak menampar pipiku tanpa belas kasihan. Ini kali kedua aku menerima tamparan dari seorang lelaki. Emriz juga pernah menampar aku suatu ketika dahulu. Apa sebenarnya hubungan antara Emir Affan dan Emriz Asyraf?
       “Kau jangan nak berlakon dengan aku lagi, Suri. Aku dah muak dengan lakonan kau. Kau jangan ingat aku tak tahu lakonan kau selama ni. Kau pura-pura jatuh cinta dengan aku dulu kan? Kau jangan ingat aku ni bodoh dan nerd sangat, Suri! Aku tahu, kau berpakat dengan Sofiya nak kenakan aku. Kau memang perempuan tak guna!” Jeritan Emir menghiasi ruang bilik. Dia bagaikan menggila.
Bagaimana Emir boleh tahu mengenai hal itu? Siapa yang memberitahunya? Sofiya? Suzi? Tak mungkin! Mereka tidak mungkin mengkhianati aku. Tapi persoalan utama yang membelenggu jiwaku saat ini adalah… KENAPA. Kenapa Emir berubah sedrastik ini?
       “Kau jangan nak buat muka terkejut macam tu. Aku tahu semuanya pasal kau, Suri. Kau aje yang bodoh sebab tak pernah ambil tahu pasal diri aku. Terlalu percayakan aku. Jangan berlakon seperti kau benar-benar dah serahkan cinta kau pada aku. Sikitpun aku tak percaya. Sekarang bangun…” Emir bertindak menarik tanganku. Dia memaksa aku berdiri.
       “Pergi basuh muka kau. Jangan nak nampakkan air mata plastik kau tu depan mata aku. Dan aku bagi amaran pada kau. Jangan berani-berani nak laporkan apa yang terjadi ni pada mak ayah kau. Kalau kau buat jugak, kau tahulah apa nasib kau nanti. Faham?!” Dengan kasarnya Emir menonyoh kepalaku. Dia segera merapikan kembali pakaian yang dipakainya. Bila dah kelihatan segak, dia terus melangkah keluar dari bilik. Sempat dia hadiahkan aku dengan satu jelingan yang maha tajam.
Terus aku terjelepok jatuh ke lantai. Ya Allah… apa semua yang dah berlaku ni?

**********

       “Hai sayang… Come duduk kat abang.” Panggilan Emir menyeramkan aku. Aku yang baru turun dari bilik terpaksa melangkah ke arahnya. Aku duduk di sebelahnya. Papa, mama dan Mak Limah yang turut berada di meja makan tersenyum-senyum ke arahku. Papa, mama, mak… tolong Yana. Yana dah tak kenal siapa lelaki bersama Yana sekarang. Dia bukan Emir yang pernah Yana kenal. Jiwa aku menangis kepiluan. Tak sangka, kebahagiaan yang selama ini aku dambakan dan idam-idamkan musnah dalam sekelip mata. Bukan musnah tapi ianya tak pernah sempat untuk dimulakan.
       “Senang mama tengok Yana dan Emir. Loving couple. Hmmm… maafkan mama, sayang…” Tiba-tiba mama pegang tangan aku. Aku kurang jelas dengan maksud mama. Maaf? Untuk apa?
       “Maafkan mama dan papa sebab cuba untuk tidak merestukan hubungan kalian berdua dulu. Mama cuba halang korang dari berkahwin. Ternyata, Yana dan Emir memang layak untuk hidup bersama.” Mama menampakkan wajah bersalahnya. Aku pantas menggenggam tangan mama erat. Hakikatnya, Yana menyesal kahwin dengan Emir, ma. Yana dah tak kenal siapa dia lagi.
       “Janganlah sedih-sedih. Emir janji, Emir akan jaga anak kesayangan papa mama dan mak ni dengan baik. Emir janji, Emir akan bahagiakan Yana. Sebagai langkah pertama, Emir dah tempah tiket bulan madu kami.” Emir pandang aku sambil tersenyum. Aku tercengang membalas senyumannya. Bulan madu? Ya Allah… adakah itu bermakna kesengsaraan aku bakal bermula?
       “Bulan madu? Kat mana tu? Mesti overseas kan?” Papa yang turut berada di situ tiba-tiba mencelah.
Emir pandang aku lagi. Kali ini, kemas tangannya memeluk bahuku rapat ke badannya. Betul-betul loving couple. Plastiknya.
       “Biarlah rahsia, pa. Emir nak buat kejutan untuk Suri. Yang pasti bukan overseas. Dalam negara jugak. Emir dah rancang, Emir nak berhoneymoon sepuas-puasnya dengan isteri tercinta Emir ni. Suri, Suri happy kan dengan kejutan ni?” Adakah pertanyaan dari Emir itu benar-benar satu soalan yang harus aku jawab dengan satu jawapan? Atau dia sengaja nak memberi isyarat pada aku bahawa rancangannya untuk memusnahkan hidup aku bakal bermula tak lama lagi?
       “Mama harap, bila dah sampai ke destinasi nanti, Yana calllah kami kat sini. Mama harap, dalam tahun ni jugak mama dan papa dapat cucu. Betul tak Kak Mah? Biar rumah ni meriah sikit dengan suara baby,” ujar mama cukup ceria. Mak Limah hanya mengangguk sambil tersenyum. Pasti dia bersetuju dengan kata-kata mama itu.
Dan aku pula, mahu tercekik dengan harapan menggunung mama itu. Anak? Mana mungkin Emir sanggup memiliki anak bersamaku. Diakan hanya pura-pura mencintaiku. Terpaksa berkahwin  dengan aku. Aku mula menyedari satu hakikat. Malam pertama aku dan Emir berlalu sebegitu saja adalah kerana Emir sendiri yang menginginkannya berlaku seperti itu. Dia dah rancang semua ini. Kenapa dia sanggup tipu aku?Apa salah aku pada dia?!
       “Lepas sarapan ni, Emir dengan Suri terus bertolak, pa, ma, mak… Flight jam 10 pagi.” Aku yang sedang meneguk air minuman, hampir saja tersembur mendengar berita yang baru disampaikan oleh Emir. Kenapa cepat sangat dia nak bertolak? Adakah ini juga dalam perancangannya? Ya Allah… aku masih belum bersedia untuk meninggalkan kedua orang tuaku. Mak Limah juga. Apa yang aku harapkan selama ini tidak berlaku. Aku bersedia untuk melayari bahtera rumahtangga andai lelaki itu adalah Emir. Bukannya lelaki gila yang sedang berdrama king dengan aku sekarang. Aku tak kenal siapa lelaki ni!
       “Pasti mama, mak, dan papa rindukan Yana nanti. Dahlah lama berbulan madu. Hmm… Tapi korang jangan seronok sangat berbulan madu. Ingat, majlis resepsi korang ada lagi tiga minggu.” Ucapan mama yang panjang berjela itu tidak langsung memberi apa-apa reaksi pada Emir. Kelihatannya lelaki itu hanya berwajah selamba sambil terus menyuap nasi goreng ke dalam mulutnya. Agak-agaknya sejauh mana perasaan sayang Emir pada keluarga aku. Mungkin tak pernah ada langsung. Mungkin hanya ada kebencian semata-mata. Tapi kenapa?
       “Mama… Yana…” Tak sempat aku bersuara, Emir pantas memberiku jelingan tajamnya. Aku jadi tersentak dengan renungan tajamnya itu. Dia menggeleng perlahan. Bagaikan isyarat dia tidak mengizinkan aku untuk bersuara.
Tidak. Aku tak perlu rasa takut. Di sini ada mama, papa dan Mak Limah. Aku perlu berani untuk membongkar apa yang sudah berlaku antara aku dan Emir. Tetapi, adakah ibu bapaku akan percaya dengan ceritaku itu? Sedangkan dulu aku yang separuh mati mempertahankan cinta aku pada Emir. Aku yang beria-ia untuk menikah dengannya. Bersungguh-sungguh aku memujuk mama dan papa untuk mengizinkan aku dan Emir berkahwin. Dan sekarang, aku burukan Emir tanpa ada sebarang bukti yang kukuh?
Apa lagi yang mampu aku lakukan? Adakah sudah tiba masanya untuk aku menerima hakikat bahawa ini adalah takdir yang harus aku lalui? Hidup bersama lelaki yang aku paling cintai yang telah menipu mencintai aku setulus hatinya. Bersiap untuk membenarkan Emir mengsengsarakan hidup aku? Tapi kenapa? Kenapa, ya Allah… Kenapa…