Wednesday, 31 December 2014

Dekat Padamu - Prolog



“KE mana pulak Shafiq ni?” soalnya sendiri apabila dilihat rumah usang peninggalan arwah ayah dan ibu mereka gelap tidak bercahaya. Beg yang dijinjing dari tadi diletak di atas tangga. Terasa lenguh tangannya membawa beg itu dari jalan besar ke rumah mereka sejauh hampir setengah batu. Bas memang tidak masuk ke dalam kampung, hanya setakat jalan besar di luar itu sahaja. Itu pun sejam satu. Asyik bersungut, tetapi situasi itu tidak akan berubah kalau tiada tindakan daripada wakil daerah di situ. Beg sandangnya dibiarkan di belakang badannya.  

Sepatutnya dia sudah sampai tengah hari tadi. Tetapi disebabkan bas yang dinaiki rosak, dia dan penumpang-penumpang lain terkandas di hentian Rehat dan Rawat Behrang.

“Shafiq... Ika dah balik ni!” pekiknya sambil memandang ke atas. Terasa pelik dengan tingkap rumah yang terbuka. Masakan abang kembarnya tidur di waktu itu. Tiba-tiba
perutnya berbunyi-bunyi. Aduh, dia masih belum makan dari tengah hari tadi. 


“Shafiq!” Lantang suaranya membelah suasana malam. 

Hening dan sepi sebaik saja dia senyap. Ada rasa takut menyelimuti hati dan dirinya. Dia memandang sekeliling. Kelam dan gelap. Hanya lampu neon di tepi jalan yang membiaskan cahaya yang berbalam-balam.

Geram pula dia apabila panggilannya tidak disahut oleh Shafiq. Dia menghela nafas dengan kasar. Penat dan lapar. Kalau Shafiq tidak memasak, bermakna terpaksalah dia yang memasak. Sekali lagi dia mengeluh berat. Beg yang diletak di tangga diangkat dan dibawa naik ke atas. 


Pintu berkeriut apabila ditolak perlahan-lahan. Kecut perutnya mendengar bunyi sebegitu. Terasa seperti memasuki suatu tempat yang agak menyeramkan. Dia menggeleng sendiri. Entah ke mana abang kembar merayap sampai pintu tidak dikuncinya. Suis lampu di buka, tetapi tiada lampu yang bernyala. 

“Kenapa pulak ni?” soalnya sendiri. Beberapa kali lampu itu dibuka dan ditutup suisnya. Agaknya Shafiq tak bayar bil elektrik? Soalnya sendiri. Melihatkan lampu di jalan bernyala walaupun suram, dia pasti sangat yang lelaki itu tidak membayar bil elektrik. Aduh! Macam mana ni? Bergelaplah mereka malam itu, gumamnya sendiri. Menggunung rasa marahnya terhadap Shafiq. Mujurlah biasan lampu dari jalan yang suram menjadi penyuluh untuknya bergerak.  


Ooo... baru dia teringat yang dia ada membawa pulang lampu membacanya yang menggunakan bateri. Segera diselongkar beg pakaiannya tadi untuk mencari lampu picit yang sering dibawa ke mana sahaja. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia suka membawa lampu picit itu. 

“Hah, jumpa pun!” ucapnya dengan nada gembira. Shafiqa menyuluh persekitaran ruang dalam rumah itu. “Ya Allah!” Gamam melihat suasana ruang tamu yang bersepah.

Almari yang menempatkan pinggan mangkuk arwah emaknya pecah dan pinggan-pinggan di situ banyak yang sudah tiada. Adakah rumah mereka dimasuki perompak? Kerusi rotan, tunggang terbalik dengan kusyen yang bersepah-sepah. Dia menerpa ke biliknya yang gelap.
“Apa ni?” soalnya sendiri. Bilik itu bersepah-sepah dengan baju-bajunya. 


Kemudian dia ke bilik Shafiq pula. Tetapi terhenti apabila terdengar seperti gerakan dari dalam bilik itu. Segera dia menutup lampu yang berada di tangannya dan berundur perlahan-lahan, menjauhkan diri dari bilik abang kembarnya. Mungkinkah itu perompak yang sedang mencari-cari barangan berharga di rumah mereka. Shafiqa cuba mencari tempat untuk bersembunyi.

“Ika...”  Dia kenal dengan suara itu. Shafiq, desisnya sendiri. Pantas dinyalakan kembali lampu picitnya dan menyuluh ke arah Shafiq sambil menghampiri lelaki itu yang berdiri tidak jauh darinya. Terkejut dia melihat keadaan Shafiq. Kenapa kurus sangat lelaki itu? Wajahnya cengkung sekali. Tiba-tiba dia menjadi kecut. Langkahnya terhenti dan segera berundur setapak ke belakang. Dia dapat merasakan yang lelaki itu akan menyerangnya bila-bila masa, melihatkan air yang meleleh dari hidung Shafiq yang sentiasa dikesat dengan pergelangan tangan. Dengan kuku yang panjang, mata lelaki itu tidak seperti dahulu; jernih dan lembut renungannya. Tetapi kini seperti jerangkung. Adakah Shafiq seorang penagih? Dadanya berdebar. Rasa takut dan cemas berkecamuk menjadi satu di hatinya. Mahu sahaja dia  terjun ke bawah saat itu. Tetapi dia membawa dirinya untuk bertenang.

“Shafiq. Kenapa ni?” soal Shafiqa sekali lagi cuba mengesahkan apa yang dilihatnya di hadapannya kini.  Benarkah ini Shafiq? Soalnya lagi.


 “Ika aku nak duit.” Shafiq menghampiri Shafiqa yang sudah mula berundur apabila dia cuba menghampiri adiknya itu. 

Mendengarkan permintaan Shafiq, dia membenarkan apa yang sedang difikirkan sebentar tadi. Ya Allah, macam mana boleh jadi macam ni? Soalnya sendiri. Hatinya sedih.

“Ika tak ada duit, Shafiq.” Kata Shafiqa terus berundur menuju ke pintu yang masih terbuka.

Shafiq meraup rambutnya dengan kasar. Badannya mulai seram sejuk dan sesekali  mengesat hidungnya yang berair. Sudah dua hari dia tidak mendapat benda itu. 

Bohong! Kau banyak duit,” sergah Shafiq yang tidak dapat berfikir dengan waras lagi. Langkahnya laju mendapatkan Shafiqa. Sempat dia mencapai beg sandang yang berada di belakang adiknya sebaik Shafiqa hendak melarikan diri. Shafiqa terjatuh dan lampu picitnya tadi jatuh bergolek entah ke mana, begitu pun lampu itu tidak terpadam.

“Ika tak ada duit. Ika balik ni pun nak cari duit.” Shafiqa cuba untuk bangun tetapi Shafiq menahannya. 


“Aku tahu kau banyak duit. Kau balik bawak duit kan?” kata Shafiq dengan kasar. Kini dia sudah pun duduk di atas perut adiknya, memandang tajam ke wajah Shafiqa. Ya Allah, tolonglah hamba-Mu ini, rintihnya sendiri. Dia tidak tahu dan tidak dapat menjangkakan apa yang hendak dilakukan oleh Shafiq. Adakah dia akan dibunuh oleh kembarnya? Air matanya sudah bergenangan di tubir mata.

Ibu, ayah, rintihnya sendiri. Dia cuba untuk bangun. Tetapi kepalanya ditolak oleh Shafiq dan terkena kepada dulang ayan peninggalan arwah ibu mereka. Pantas sahaja ideanya menerjah fikirannya. Dicapai dulang itu dan berharap ia dapat membantunya untuk menyelamatkan diri. 


Maafkan Ika, Shafiq, pintanya sendiri lalu diangkatnya dan diketuk sekuat hatinya ke kepala Shafiq. Terpekik Shafiq kerana kesakitan dengan pukulan itu. Tergolek lelaki itu sambil memegang kepalanya yang sakit akibat dipukul oleh Shafiqa sebentar tadi. 

Pantas Shafiqa bangun dan segera melangkah laju menuju ke pintu. Dia tidak menoleh lagi. Shafiqa segera melompat turun ke serambi apabila Shafiq mula hendak mengejarnya. Dia sudah tidak peduli lagi, ditinggalkan kasut dan beg pakaian di situ. Tiba di jalan di hadapan rumah dia tidak pasti ke mana hendak dituju. Ke kiri atau ke kanan.

“Ika!” jerit Shafiq yang berada di serambi dan terkial-kial hendak menuruni tangga tetapi tergelincir kerana tidak dapat mengimbangi tubuhnya yang memang tidak berdaya.

Shafiqa menoleh, melihatkan Shafiq jatuh menggelongsor memberinya peluang untuk terus berlari. Ya, dia harus meminta bantuan. Tetapi kepada siapa? Mak longnya? Mungkin tidak! Wanita itu amat membenci mereka berdua beradik, tambahan Shafiq sudah menjadi begitu
memberi ruang untuk wanita itu terus membenci mereka. Sedih hatinya dengan ujian yang baru diterimanya itu. 


“Ika!” pekik Shafiq yang masih berusaha mengejar adik kembarnya. Dia berhenti kerana kepenatan.  

Shafiqa cuba berlari sepantas yang boleh. Sesekali dia menoleh ke belakang. Tidak kelihatan pula Shafiq yang mengejarnya. Mungkin kerana jalan itu agak gelap. Lampu jalan yang terletak agak jauh antara satu sama lain, menyukarkan pandangannya. Meskipun begitu dia tidak mahu berhenti. Dia harus meminta bantuan dan langkahnya terus menuju ke rumah tok penghulu iaitu Haji Samad yang kini hanya terletak lebih kurang 50 meter. 

“Ika!” pekik Shafiq dari belakang. 

Ya Allah, memang dia kejar aku, tangis Shafiqa sendiri. Mahu sahaja dia mati ketika itu. Apalah nasibnya yang tidak sudah-sudah ditimpa malang. Serasanya beberapa bulan yang lalu Shafiq elok sahaja, tidak seperti yang dilihatnya sebentar tadi.  

Ibu, ayah! Jerit hatinya dengan linangan air mata.  Dia tidak sangka kepulangannya membawa bencana kepada dirinya. Tetapi kalau dia tidak pulang, dia tidak akan tahu
nasib yang menimpa abang kembarnya. Macam mana boleh jadi begini? Soalan itu terus-terusan menumbuk benaknya. 


Ika!” pekik Shafiq. Langkahnya semakin lemah. Dia hanya mampu memandang Shafiqa yang sudah berada jauh di hadapannya. Dia sudah tidak berdaya untuk mengejar Shafiqa yang begitu tangkas berlari menuju ke rumah tok penghulu, Haji Samad. 

“Setan kau!” jerit Shafiq. 

Shafiqa terus berlari tanpa mempedulikan jeritan Shafiq. Dia benar-benar takut, takut kalau diapa-apakan oleh Shafiq. Lelaki itu sudah dikuasai syaitan. Terus dia menerpa ke pintu rumah Haji Samad sambil mengetuk pintu rumah itu bertalu-talu.

“Pak Samad, Mak Kiah!” pekiknya dengan kuat. Hilang sudah rasa sopan dan malunya terhadap kedua suami dan isteri itu. Dia menoleh ke belakang apabila Shafiq masih menjerit memanggil namanya. Dia menangis sambil terus mengetuk pintu rumah Tok Penghulu bertalu-talu. 

Terkejut Haji Samad apabila melihat Shafiqa menangis di hadapan pintu rumahnya. Apa yang berlaku? Soalnya sendiri. Pasti Shafiqa baru pulang dari Pulau Pinang untuk menghabiskan cuti semesternya di kampung. 

“Kenapa Ika?” soalnya cemas dan bimbang melihat wajah pucat gadis itu dan air mata yang bergenangan di tubir mata. 

“Kenapa bang?” soal Hajah Zakiah yang tiba-tiba muncul di belakang suaminya.  Memandang ke pintu. Gamam dia melihat Shafiqa yang berdiri di luar. 

Ika... Kiah.” Haji Samad memberi laluan kepada isterinya.

“Kenapa Ika?” soal Hajah Zakiah memandang wajah pucat anak gadis arwah Halim dan Fauziah. Dipegangnya tangan Shafiqa yang menggigil dan berpeluh-peluh. Apa yang
berlaku


“Shafiq...” terhenti kata-katanya dalam esakan dan rasa cemas dan berdebar-debar dikejar oleh Shafiq sebentar tadi. “Shafiq kejar Ika, Mak Kiah,” adu Shafiqa dengan suara terketar-ketar sambil menahan nafasnya yang turun naik. Jantungnya seakan larian kencang seekor kuda. Tangannya yang sejuk memegang lengan wanita separuh abad itu.
 

Haji Samad dan Hajah Zakiah berbalas pandang. Faham dengan apa yang dikatakan oleh gadis itu. 

“Kiah, bawak Ika masuk...” arah Haji Samad sambil melangkah menuju ke tangga. Matanya meliar memandang sekitar. Tiba-tiba hatinya tidak tenang dengan khabaran yang dibawa oleh Shafiqa tadi. Dia sudah dapat mengagak yang perkara sebegitu akan berlaku. Ini semua gara-gara Helmi. Samseng kampung. Dia mengeluh berat dengan masalah demi masalah yang melanda kampung mereka sejak akhir-akhir itu.

“Mari masuk Ika...” ditarik tangan gadis itu. Dia sangat pasti Shafiq cuba mengapa-apakan Shafiqa, kalau tidak Shafiqa tidak akan berlari ke situ meminta bantuannya
suami isteri. 


Ika?” tegur Sahlan. Terkejut dia melihat gadis itu berada di rumahnya dan sedang dipimpin oleh ibunya. Shafiqa yang mengetuk pintu rumah orang tuanya seperti hendak roboh dipendengarannya tadi. Ketika itu dia sedang bersolat isyak. Pandangannya dihalakan kepada Hajah Zakiah yang memandangnya. 

“Lan, kau pergi tengok ayah kat luar sana,” suruh Hajah Zakiah, bimbang dengan keselamatan Haji Samad. Sahlan akur dan melangkah tangkas menuju ke pintu yang terbuka. “Kenapa ayah?” soal Sahlan menghampiri Haji Samad.

“Shafiq buat hal lagi,” tegas Haji Samad dengan rasa cuak. 


Sahlan mengeluh berat. Barulah dia faham dengan kedatangan Shafiqa sebentar tadi. Apa pula yang dilakukan oleh Shafiq terhadap adiknya? Dia berharap tiada perkara buruk berlaku kepada gadis itu. Melihatkan beg sandang yang masih terlekat di belakang tubuh gadis itu, dia pasti yang Shafiqa baru sahaja pulang ke situ. Pandangan dihalakan ke halaman rumah yang diterangi cahaya lampu spotlight yang baru sahaja dibuka oleh Hajah Zakiah. 

“Dia kejar Ika sampai ke sini. Ika pulak baru balik tak tahu akan hal ni,” dia menggeleng sendiri. Terasa kesal dengan kejadian sebentar tadi. “Agaknya si Shafiq tu minta duit daripada Ika nak beli benda haram tu daripada kuncukuncu Helmi,” dengusnya. Mengapa perkara itu boleh berlaku di dalam kampungnya? Pihak berkuasa kerap melakukan serbuan tetapi masih juga kes itu bermaharajalela di kampung mereka. 

Sahlan sekali lagi mengeluh berat. “Shafiq tu kita tak boleh simpan ayah.” Sahlan memandang Haji Samad seperti meminta cadangan. 

Haji Samad turun ke bawah. “Lan tolong ambilkan lampu suluh.” Pintanya sambil memandang Sahlan yang masih berada di serambi rumah. 

“Tak payah ayah. Kita panggil polis aje, tak guna simpan dia...” tegas Sahlan lalu melangkah masuk ke ruang tamu. Serasanya dia tidak tahan melihat mayat hidup berlingkaran di sekitar kampung mereka. Entah esok atau lusa ada pula yang mati disebabkan mereka.
 

Haji Samad senyap. Langkahnya menuju ke jalan di hadapan rumah, matanya melilau ke kiri dan kanan jalan. Lama dia memerhati jalan yang kelihatan berbalam-balam dari cahaya lampu jalan yang agak suram. Bagaimana Shafiqa boleh berlari dalam keadaan begitu? Soalnya sendiri. Tetapi alhamdulillah, gadis itu selamat sampai ke rumahnya sebentar tadi. Nampaknya dia perlu menghantar Shafiq ke pusat pemulihan untuk menyelamatkan lelaki itu daripada berterusan hidup begitu. 

“Kejap lagi polis akan datang...” tegas Sahlan kepada Haji Samad. Dia tidak peduli, sama ada Haji Samad setuju atau tidak, Shafiq perlu dihantar ke pusat pemulihan. Haji Samad hanya mengangguk sendiri membenarkan tindakan Sahlan.Sarnia Yah

No comments:

Post a Comment