Wednesday, 21 January 2015

Dekat Padamu - Bab 6

MUNGKIN inilah masanya untuk berkenalan dengan Ashila, desisnya sendiri. Dia berdehem beberapa kali, membetulkan suaranya. Ya, dia perlu memulakan langkah. Sampai bila dia harus begitu? Yes, I can do it, memberi semangat kepada dirinya sendiri.

Jejarinya lincah mencari nombor Ashila. Bibirnya mengulum senyuman. Tetapi apa yang patut dicakapkan kepada Ashila. Sekali lagi dia berdehem.

“Assalamualaikum...” dia terhenti. Nak panggil apa? Aduh... Shila? Hari tu seingatnya, Is memanggil Ashila, Ashi. Hisy... macam nama pelakon Bollywood aje, desisnya sendiri. Haa... tak kisahlah, desisnya lagi. Sekali lagi jarinya lincah mencari nombor Ashila. Dadanya mula berdebar-debar sebaik sahaja nombor itu tertera di hadapan skrin telefon bimbit. 

Macam mana nak cakap? Soalnya sendiri. 

Raiyan bangun dari kerusi dan menuju ke pintu. Pintu itu ditutupnya walaupun Mustika berada di luar. Aduh, segannya... Nak cakap apa? Sekali lagi soalan itu menendang benaknya. Kenapa tebal sangat perasaan malunya? Yang peliknya adik lelaki bongsunya sudah pun mempunyai teman wanita. Bukan main bangga menjemput teman wanita makan
malam bersama mereka. Adik perempuannya pula sudah berumah tangga, berkahwin dengan rakan semasa belajar di United Kingdom dahulu. Mudahnya budak berdua itu mendapat teman. Dia? Sampai sekarang masih malu. Jodoh pun emak bapak yang cari.

Hampir sahaja dia hendak menekan butang hijau, tetapi sengaja digelincirkan jarinya. Takut, segan, malu dan entah apa-apa lagi perasaan yang berbaur di hatinya. Tak boleh jadi. Sampai bila nak macam ni, desisnya sendiri. Memandang telefon bimbitnya, akhirnya dia menekan juga butang hijau dan panggilan mula disambungkan. Dia menunggu beberapa ketika. Berdebar-debar dia menanti suara Ashila.

“Helo...”

Dia benar-benar terkejut mendengar suara lelaki di sebelah sana. Siapa tu? Iskandarkah? Atau Encik Zakey? Jantungnya semakin laju.

“Err... boleh bercakap dengan Ashila?” soalnya sedikit gugup apabila mendengar suara lelaki di sebelah sana. 

“Ooo... sebentar ya,” jawab lelaki di sebelah sana. Dia benar-benar terkejut apabila lelaki itu
memanggil sayang kepada seseorang. Dan tentu sahaja Ashila. Terasa berbahang wajahnya. Segera dia memutuskan talian itu. Apa makna semua ni? Siapa lelaki yang menjawab telefon bimbit Ashila dan memanggil tunangnya sebagai sayang. Raiyan duduk semula di bangkunya. Telefon bimbit tadi diletakkan di atas meja. Meraup rambutnya dengan kasar.

Siapa lelaki tu? Soal hatinya lagi. Soalan itu seperti bergaung keseluruh tubuhnya. Terkejut dia apabila telefon bimbitnya berbunyi. Matanya berlari memandang skrin dan tertera nama Ashila di situ. Segera diputuskan talian itu dan menutup telefon bimbitnya. Dia tidak mahu menerima panggilan daripada sesiapa pun.

“Apa makna semuanya ni?” hampir-hampir sahaja dia menjerit. Kepalanya disandarkan di kepala kerusi sambil menghadap pemandangan di luar. Cuaca yang cerah tidak dapat menyejukkan hatinya. 

Dia menarik nafas dan cuba membawa dirinya bertenang. Dipejamkan matanya supaya dapat dilepaskan kekusutan yang baru bermula. Dia tahu, tentu ada penjelasan di sebalik apa yang didengari tadi. Ada kala, apa yang didengar tidak seperti apa yang disangka. Kadang kala ia dapat menipu diri sendiri. Akhirnya diri sendiri yang rugi. Dia tidak mahu itu berlaku. 

Mungkin teman-teman Ashila yang kerap memanggilnya sayang, dia mula berteka-teki tentang perkara tadi. Ya, jangan cepat membuat kesimpulan yang akan  membawa padah kepada dirinya sendiri.

No comments:

Post a Comment