Monday, 26 January 2015

Sesaat Cukup Bagiku - Bab 6

Satu persatu Syamsul menyusun tin susu pekat manis di atas rak berdekatan dengan tempat membancuh air. Dia perlu membantu serba sedikit manamana kerja yang masih belum siap. Sebentar sahaja lagi restoran akan dibuka. Apabila sudah dibuka nanti, pastinya dia tidak boleh lagi duduk berehat. Pelanggan restoran yang sering ramai membuatkan dia tidak menang tangan dibuatnya. Walaupun penat, dia berasa bangga kerana ramai pelanggan yang gemar dengan hasil tangannya. 

Makanan panas masakannya menyebabkan pelanggan tidak putus-putus mengunjungi restoran milik Kak Ros. Tidak sia-sia dia belajar cara-cara untuk memasak makanan panas daripada tukang masak restoran ini yang terdahulu. Sekarang ini dia sudah mampu mendabik dada kerana ramai pelanggan yang menggemari masakannya. Walaupun dia tidak pernah berlagak sombong, namun rasa bangga itu tetap ada dalam diri. Menyebabkan dia yakin yang dia pasti boleh memulakan perniagaan sendiri. Yang pentingnya sekarang, bagaimana dia mencari modal untuk memulakan sebuah perniagaan. 

Kak Ros juga menawarkan saham di kedai makan ini untuk memastikan dia tidak akan berhenti kerja dan meninggalkan restoran ini untuk bekerja di tempat lain. Namun, dia masih lagi belum menerima tawaran itu. Terlalu banyak yang perlu difikirkannya sebelum menerima tawaran tersebut. 

“Bang... Malam ni, Abang Daud datang kerja tak?” tanya Imah yang sejak tadi sedang membersihkan sayursayuran yang akan dimasak nanti. 

Sebentar tadi dia telah membersihkan telur ayam. Semua bahan masakan perlu dibersihkan dan disusun di tempat yang bersesuaian supaya mudah apabila kerja-kerja memasak akan dimulakan nanti. 

“Entahlah Imah, abang tak tanya pula tadi. Semalam dia kata nak datang. Kalau tak datang, macam mana anak-anak dia nak makan esok kalau dia tak kerja hari ni,” katanya kepada gadis yang sering mencari peluang untuk berbual mesra dengannya. 

Bekerja di restoran memang memenatkan. Terutama yang memulakan perniagaan pada pukul lima petang dan tamat pada jam dua pagi. Namun habuannya cukup berbaloi. Bukannya sedikit untung yang diperolehi Kak Ros. Kalau tidak, mana mungkin dia mampu membuka satu lagi cawangan di Seksyen Dua Shah Alam. Di sana, dia mengupah tukang masak yang pernah bekerja di restoran ini dulu untuk menguruskannya. 

Syamsul pula diminta untuk menjadi tukang masak di restoran ini setelah setahun mempelajari teknik memasak masakan panas daripada tukang masak terdahulu. Dia bernasib baik kerana sanggup belajar untuk memperbaiki diri. Dulu, dia sama seperti Abang Daud. Sama-sama mula bekerja di restoran ini sebagai pembantu restoran. Semua kerja dilakukannya. Daripada kerja mengambil pesanan, hinggalah membasuh pinggan dan memcuci kawasan restoran. 

Akibat daripada keadaannya yang tidak sempurna, dia tidak mampu untuk melakukan kerja-kerja yang lebih berat. Kerja-kerja sebegitu sering diserahkan kepada Abang Daud untuk melakukannya. Yang membezakan dia daripada Abang Daud ialah sikapnya yang sering cuba untuk memperbaiki diri. Dia sering memerhatikan cara-cara yang digunakan oleh tukang masak yang bekerja di sini. Sering peluang-peluang untuk belajar memasak juadah-juadah yang dijual akan diambil jika salah seorang daripada tukang masak restoran tidak dapat datang bekerja. Akhirnya dia mampu untuk memasak makanan yang ringkas. Dari situ, dia terus belajar dan belajar. Dan kini akhirnya dia dipercayai Kak Ros untuk mengendalikan kerjakerja memasak sepenuhnya di restoran ini. Peningkatan diri yang sungguh menyenangkannya. Kalau dulu dia hanya dibayar sebanyak RM500 sebagai pembantu restoran, kini gajinya sudah dinaikkan sehingga ke angka RM3000, setara dengan tukang masak yang terdahulu, malah Kak Ros kini menawarkan 10 peratus saham di restorannya itu untuk memastikan dia tidak akan meninggalkan pekerjaannya untuk bekerja di tempat lain. Satu usaha untuk mengekalkan dia supaya terus bekerja di restoran ini.   

“Dia selalu tak datang kerja sekarang ni, kan?” 

“Apa nak buat Imah, penyakit lelah dia tu nampaknya menjadi-jadi sekarang ni. Kalau dah sakit, macam mana nak kerja. Kesian juga abang tengok.”

 “Abang Syam pun kenalah jaga diri tu. Jangan kuat sangat kerja. Nanti sakit macam Abang Daud, susahlah pula kan?” tegur Imah dengan jujur. 

Gadis itu sering mengambil berat tentang dirinya. Dia tahu Imah menyimpan hati kepadanya. Sering jika ada waktu yang terluang gadis itu akan bertanyakan itu dan ini tentang dirinya. Namun dia tidak mampu untuk melayan perasaan gadis itu. Terlalu banyak yang perlu dilakukannya untuk memajukan diri. Dia tidak boleh melayan perasaan itu kerana ada agenda lain yang lebih utama untuk diselesaikan dalam hidupnya, tambahan pula gadis berusia sembilan belas tahun itu terlalu muda untuknya. 

Ingatannya kembali pada peristiwa yang berlaku beberapa minggu yang lalu. Terus wajah wanita muda yang disebut namanya sebagai Mai itu menarik perhatiannya kembali. Sejak hari itu, wajah itu bagaikan melekat dalam hatinya. Sukar sekali untuk dilupakan. Dia mengira-ngira sendiri usia wanita itu, masih muda, mungkin dalam lingkungan akhir dua puluhan. Satu usia di mana kecantikan seorang wanita sedang mula ranum. Antara akhir dua puluhan hinggalah ke angka awal tiga puluhan. Kalau diumpamakan sekuntum bunga, dalam usia sebegitu kecantikan seseorang wanita diibaratkan bagaikan bunga yang sedang mekar berkembang. Harum dan mewangi. 

Ingatan Syamsul beralih pula kepada bekas suami Mai. Seorang lelaki yang menghampiri kesempurnaan dan punya segalanya. Ketampanan yang terserlah, kerja yang bagus dan rumah tangga yang dulunya bahagia. Namun dengan sekali lafaz, segala kebahagiaan itu hilang bagaikan pakaian yang tiba-tiba terlucut dari tubuhnya. Hilang segalagalanya hanya dalam sekelip mata. 

Ketika Zamzuri menemuinya untuk menceritakan kisah dua insan ini, hatinya jadi marah kepada lelaki itu. Sewenang-wenangnya dia menggunakan kuasanya sebagai seorang lelaki. Tanpa sedikit pun memikirkan tentang hak seorang isteri, dia menceraikan isterinya. Apabila dalam keadaan marah, selalunya akal fikiran tidak lagi memainkan peranan. Sering pada waktu itu syaitan yang berbisik di telinga menjadi rujukan dalam melakukan sesuatu tindakan. Sekarang, apabila sudah terlanjur, bukannya mudah untuk membaiki kesilapan tersebut. Dan kini dia perlu membayar harga yang cukup mahal untuk kembali kepada keadaan seperti dulu. Cukup mahal. 

“Abang, malam ni agaknya kita tak boleh buat tomyam sampai habis waktu menjual ni,” kata-kata Imah mengembalikan dia daripada lamunan. 

“Eh, kenapa pula Imah?” 

“Air lada yang kita biasa guna tu cuma tinggal dua botol aje. Selalunya satu malam kita perlu tiga botol. Malam minggu pula sampai lima botol.” 

“Isy... Kan abang dah beritahu Kak Ros, minta dia belikan dua hari lepas? Macam mana pula sampai dah nak habis, tak beli-beli lagi ni?” 

“Entahlah, bang... Kak Ros lupa agaknya.” 

“Hem... Nanti abang beritahu dia semula,” katanya sambil berkira-kira dalam hati. 

Dia sememangnya perlu berbicara dengan Kak Ros. Terlalu banyak yang perlu diberitahunya kepada Kak Ros tentang keadaannya. Kak Ros perlu tahu apa yang akan berlaku. Sebelum ini dia terfikir untuk menyembunyikan semuanya. Namun, dirasakan perkara itu tidak sepatutnya dilakukan. Selama ini Kak Ros terlalu baik kepadanya. 

Pada awal perkenalan lagi Kak Ros sudah Laila Hanni 61 membantu dia dengan memberikan pekerjaan ini. Walaupun terlalu banyak kelemahan dan kekurangan yang ada pada dirinya, Kak Ros sering memberi galakan dan peluang untuk dia memajukan dirinya. Disebabkan itu, pada malam ini, Syamsul tekad hendak menceritakan segalanya kepada Kak Ros. Kak Ros perlu tahu tentang perkahwinannya yang bakal dilangsungkan ini walaupun bukan kesemua rahsia di sebaliknya akan diceritakannya. 

Malam itu, seperti biasa, Kak Ros dan suaminya, Abang Din tiba selepas selesai sembahyang isyak. Syamsul pula baru sahaja pulang dari masjid. Cepat-cepat dia memberitahu hasratnya untuk berbicara dengan wanita berumur dalam lingkungan usia awal lima puluhan itu. Dia tidak mahu nanti Kak Ros mengatakan bahawa dia membelakangkan wanita itu dalam hal yang berkaitan dengan dirinya. 

“Kenapa ni... Syam?” 

“Ada hal sikit nak cakap dengan Kak Ros ni.”  

“Hal apa ni, Syam? Cakaplah...” 

Matanya menjeling ke arah pelanggan-pelanggan yang sedang menunggu giliran pesanan mereka sampai. Dan kertas pesanan yang tergantung di depan mata juga tersusun sedang menunggu giliran untuk disiapkan. Ada lima lagi pesanan yang perlu dia siapkan. 

“Emmm... Pelanggan masih ramai ni, kak. Nanti dah kurang saya beritahu ya?” 

“Okey, lepas ni ya. Jangan lupa ingatkan akak pula nanti. Akak ni... kalau tak diingatkan mudah lupa. Maklumlah... dah tua...” 

Kak Ros memandang Syamsul dengan penuh tanda tanya. Syamsul hanya menyambut kata-katanya itu dengan senyuman. Anak muda ini sememangnya punya sikap yang agak susah sekali untuk meluahkan kata-kata. Setiap patah perkataan yang keluar dari bibirnya bagaikan keramat daripadanya. Hanya perkara yang penting sahaja yang selalunya menjadi butir bicaranya. Selalunya dia cuma menjadi pendengar sahaja. Namun pada malam ini, Kak Ros merasakan ada sesuatu yang amat penting yang akan diperkatakannya. 

Kira-kira jam sebelas malam barulah pelanggan mula berkurangan. Waktu itu, Syamsul merasakan amat sesuai untuk dia menyampaikan berita pernikahannya kepada Kak Ros. Perlahan dia menghampiri Kak Ros yang sedang duduk di kaunter pembayaran. Abang Din, suami Kak Ros sudah hilang entah ke mana. Mungkin sedang merehatkan diri di ruang rehat yang terdapat di sebelah dalam restoran tersebut. 

“Ada apa hal ni Syam... Macam penting sangat nampaknya.” 

“Emmm... Saya...” Teragak-agak Syamsul dibuatnya. 

“Saya... Saya... Apa ni Syam? Saspenslah akak... Jangan cakap Syam nak berhenti pula. Akak tak bagi...” Meleret kata-kata Kak Ros seakan-akan memberi amaran. 

“Tak, kak... Saya... Saya... sebenarnya nak... kahwin.” 

Terkejut Kak Ros mendengarkan kata-kata Syamsul itu. Dia mengeluh perlahan penuh dengan perasaan lega. Membulat matanya merenung anak muda di hadapannya itu. Seketika kemudian dia tergelak kegembiraan. 

“Masya-Allah Syam... Akak ingatkan apa tadi... Lega rasanya...” Syamsul tersenyum hambar. 

“Eee... Berita gembira ni. Bila? Siapa pengantin perempuannya?” soalnya dengan wajah yang cukup teruja. 

“Kak, janganlah kuat sangat. Segan saya kalau ada yang dengar.” 

“La... apa nak segannya? Benda baik, kenalah diumumkan. Bila? Syam nak ambil cuti ke? Kena beritahu awal-awal ni. Boleh akak cari pengganti Syam masa bercuti nanti.” 

“Emmm... Tak payah kak. Saya kahwin dengan orang kat sini aje. Ingat nak nikah kat pejabat agama aje. Jadi malamnya tak payah cuti.” 

“Isy... Apa pula macam tu... Takkan tak ada majlis. Takkan tak cuti. Takkan nak habiskan malam pertama Syam dengan memasak kat sini. Isteri Syam mesti kecil hati. Syam kahwin dengan siapa ni? Mak bapak dia tak marah ke kahwin koboi macam tu?” 

“Mak dengan ayah dia dah meninggal, Kak Ros,” jelas Syamsul dengan teragak-agak. Kahwin koboi kata Kak Ros, detiknya dalam hati. 

“Yalah... Kalau dah meninggal pun, takkanlah kahwin koboi aje. Perempuan tu takkan tak nak buat majlis. Sekurang-kurangnya buat kenduri doa selamat ke... Kamu ni Syam... jangan buat acuh tak acuh aje dengan orang perempuan ni... kecil hati dia nanti karang.” 

“Em... Dia kata dia tak kisah. Yang penting, nikah aje, kak.” 

“Kamu ni Syam... Jangan buat main-main soal nikah kahwin ni. Benda besar ni tau. Sekurang-kurangnya buat kenduri sikit supaya orang tahu yang Syam dengan dia dah menikah. Tidaklah nanti jadi bahan umpatan pula bila tengok Syam dengan dia berkepit ke hulu ke hilir. Kita ni hidup bermasyarakat. Bukannya hidup sorang-sorang...” kata Kak Ros dengan nada yang agak marah. 

Syamsul terdiam. Terasa agak jengkel pula hatinya. Dia sememangnya telah menetapkan syarat untuk tidak mengadakan kenduri bagi perkahwinan ini. Lagipun bukannya mereka kahwin betul-betul. Untuk apa dia membazirkan wang yang dikumpulnya sejak lama dulu hanya untuk kenduri yang tidak mereka perlukan. Lagipun selepas ini mereka akan bercerai. Bukankah itu permintaan daripada bekas suami Mai? Jadi untuk apa dia menghabiskan duitnya untuk kenduri-kendara bagi hubungan yang tidak akan berkekalan begini. 

“Hah... cerita pasal kenduri ni... Siapa pengantin perempuannya? Jangan kau cakap Imah pula nanti. Budak tu muda sangat lagi. Boleh ke dia jaga anak-anak kau tu nanti...” 

“Tak kak, bukan Imah... antara saya dengan Imah, tak ada apa-apalah, kak...” 

“Habis tu... siapa?” “Dia tinggal kat Seksyen Sepuluh. Akak tak kenal dia kut...” 

“Hem... Nanti akak kenallah ya... Kerja apa?” 

“Em... Cikgu.” 

“Amboi... Diam-diam ya kau ni, Syam... Dapat cikgu...” kata Kak Ros dengan nada yang cukup teruja. 

“Bila nak langsungkan ni?” tanya Kak Ros lagi.

“Em... Dua minggu lagi.” 

“Hei... bukan masa cuti sekolah ke? Sempat ke ni, Syam...”

“Sempat apa, kak?” 

“Sempat ke nak buat persediaan... Isy... kamu ni, buat-buat tak tahu pula.” Kak Ros diam seketika. Raut wajahnya menunjukkan betapa gembiranya dia apabila mendengarkan berita ini. Kemudian dia meletakkan tangannya di tepi bibir dan berbisik. 

“Anak dara ke... janda?” 

“Em... Janda, kak.” 

“Oh... Ada anak ke tidak?” tanya Kak Ros lagi. 

"Tak ada, kak...” 

“Berapa umurnya tu?” Syamsul terkejut. Dia tidak tahu berapa sebenarnya umur wanita tersebut. 

“Dua puluh lapan, kak...” Dia meneka sendiri. 

“Huish... Janda muda ke? Mati suami ke... bercerai...” Syamsul mengetap bibir. Bagai polis pencen pula Kak Ros ni... detik hatinya. 

“Bercerai, kak...” Akhirnya dia menjawab. Malas rasanya hendak melayan soalan-soalan lain yang pasti akan timbul nanti. 

“Hem... baguslah... Dah lama akak nak tengok kau kahwin. Kesian akak tengok tak ada yang jaga makan pakai kau tu,” kata Kak Ros lega. Syamsul terdiam. 

Ah... Bukan itu tujuan dia berkahwin dengan wanita muda itu. Ada agenda lain yang lebih penting sekarang ini. Semuanya gara-gara sikap bodoh dan terburu-buru bekas suaminya. Dan sekarang, si isteri yang terpaksa menanggung seksanya. 

“Mak kat kampung dah tahu?” 

“Dah kak, saya dah beritahu minggu lepas.” 

“Apa kata anak kamu. Suka ke mereka nak dapat mak baru?” 

“Saya tak pasti, kak. Mak kata Wawa macam tak suka, tapi Nabil seronok. Lepas mak beritahu dia, asyik tanya mak bila umi baru dia nak datang.” 

“Tentu seronok dia orang nak dapat umi baru. Pasal Wawa tu, tak usah risau Syam, budak perempuan biasalah macam tu. Bila dilayan elok esok, dialah yang paling sayang kat mak tirinya itu nanti. Kau tengoklah...” Syamsul terdiam. 

Dia tahu, mungkin itu tidak akan berlaku. Perkahwinannya dan perempuan itu tidak akan kekal lama. Untuk apa dia memberi harapan untuk anak-anaknya? Pasti anak-anaknya akan kecewa nanti apabila kasih sudah mula terbina dan mereka akan berpisah kelak. Tidak, dia tidak akan membiarkan anak-anaknya jatuh kasih kepada perempuan itu. 

Mujurlah anak-anaknya sekarang berada bersama emaknya di kampung. Dia hanya perlu membawa perempuan itu pulang sebentar ke kampung untuk diperkenalkan selepas mereka bernikah nanti. Sekurang-kurangnya perkara itu perlu dia lakukan. Menyembunyikan perkara sebegini daripada pengetahuan emaknya, dia rasa tidak sanggup pula. Pasti emaknya akan berkecil hati jika dia berbuat begitu. Dia tidak boleh mengetepikan perasaan emaknya yang sejak tiga tahun ini telah menjaga dan mendidik anakanaknya. Mengambil alih sepenuhnya tugas yang terpaksa dia tinggalkan demi mendapatkan rezeki untuk menyara mereka. Tugas yang ditinggalkan oleh Madihah semenjak isteri yang amat dicintainya itu meninggal dunia pada empat tahun yang lalu.

“Habis, nanti nak cuti, kan? Berapa hari? 

“Emmm... Saya cuma pergi nikah kat pejabat agama paginya. Lepas tu, malamnya kerja. Tak perlukan cuti.” 

“Dia tak buat kenduri ke di pihak dia? Takkanlah nikah aje.” 

“Tak kak, katanya dia tak boleh minta cuti panjang. Cuma ambil cuti dua hari aje.” 

“Hei... kamu orang muda ni... buat main-main aje benda macam ni. Tak elok macam tu, Syam. Sekurangkurangnya buat sikit kenduri. Macam ni... Nanti Kak Ros tanya Abang Din kalau dia setuju. Lepas nikah, kita buat kenduri doa selamat sikit. Kat sini pun boleh. Ajaklah kawankawan Syam dan kawan-kawan dia. Saudara-mara Syam pun jangan dilupakan. Akak pun nak ajak jiran-jiran kat kawasan ini.” 

“Isy... Tak usahlah, kak. Menyusahkan akak aje. Lagipun... saya tak ada duit nak buat kenduri.” 

“Tak apa, kenduri tu biar akak yang sponsor. Akak pun dah lama tak buat kenduri doa selamat. Kita buat sikitsikit ajelah. Ajak jemaah masjid kat sini.” 

“Tak payahlah kak...” 

“Engkau jangan cakap banyak. Akak kan dah kata akak nak sponsor. Jangan risau pasal belanja tu. Lepas tu kau ambil cuti tiga hari. Jangan fikir sangat pasal restoran ni. Kalau terpaksa, tutup aje kedai ni dua tiga hari. Akak pun dah lama tak balik kampung. Nak juga jenguk-jenguk orang tua kat kampung tu. Kau pula, kenalah bagi hak dia sebagai seorang isteri. Bawa dia ke mana-mana, honeymoon...” Syamsul terdiam. 

Dia tidak menyangka Kak Ros akan memberikan cadangan sebegitu. Dia rasa malu. Jika nanti tiba masanya dia perlu melepaskan wanita itu, pasti Kak Ros akan berasa marah. Melihatkan kesungguhan Kak Ros, tidak sanggup rasanya untuk dia memberitahu bahawa dia cuma menjadi cina buta.

No comments:

Post a Comment