Sunday, 15 February 2015

13 Ros Merah - Bab 1




MEMANG NAK makan maki gua la orang dalam Lexus hitam ni. Weh, lu sepupu Kassim Selamat apa? Bawak kereta macam siot. Lu kalau gian nak terbang, lain kali pergi buat landasan lu sendiri. Jangan guna jalan raya. Memudaratkan orang lain. Gua pun ada sumbangan bina jalan raya ni tau tak. Tiap tahun gua bayar cukai kepada gomen. Err... walaupun tu duit Pot yang punya, tapi sebab gua yang tolong pergi bayar, kira tu pun sumbangan gua jugak tau tak?’ Damia buang dengus geram.

Bibir diketap kuat. Sakit hati sudah tidak terhitung. Berlapis-lapis rasa itu terhadap pemandu Lexus hitam yang telah menyebabkan dia jatuh terduduk di atas rumput tepi jalan
dek mengelak percikan deras air lopak likat macam teh susu pekat tadi. Dek nak mengelak sangat, dia gagal mengimbangi tubuh lalu jatuh terduduk dan separuh seluarnya lencun. Basah kuyup. Kuyup okey... Matanya mencerlung tajam ke arah kereta di hadapan.

‘Kalau tak sebab badan gua rasa sengal-sengal ni, mahu je gua tabuh lu cukup-cukup. Siap dengan patah-patahkan lagi tulang lu. Bawak kereta macam pelesit tanah sampai tak nampak gua yang jalan kat bahu jalan ni. Gua bukan makan jalan lu pun. Bingka ubi hangus betul!’ Damia terus hambur amarahnya. Berjela-jela.

Matanya tajam memandang baju seragam coklatnya yang sudah kotor habis tercalit lumpur coklat kesan becak dari lopak. Hatinya meledak. Bengang. Bengang giler! Mata merenung uniform di tubuh. 

‘Ni siapa nak ganti uniform gua yang dah bertukar di luar warna kejadian asal ni. Tahu tak ni baju uniform baharu gua? Gua memang sengaja pakai yang baru sebab nak dapat pahala hari jumaat tau tak?’ Perlahan-lahan Damia bangkit dari jatuhnya. Muka berkeriut menahan sakit. Tubuh terasa sengal kesan terjatuh dan terduduk tadi dek mengelak simbahan air dari lopak yang dilanyak tayar Lexus hitam di depannya. Tudung yang sedikit senget dibetulkan dengan tapak tangan. Disapu laju kiri dan kanan tudung. Beg kura-kura yang masih tersangkut di belakang ditanggalkan. Mata membelek depan dan belakang beg.

‘Nasib baik tak tercedera beg gua. Kalau tak, gua mintak lu ganti beg klasik gua ni. Gua tak kira!’ Tangan yang sedikit bercalar dan sedikit pedih kemudian laju dihala ke belakang badan menyapu belakang seluar coklat muda yang tersarung. Kesan lumpur yang lembab dan basah sudah melekat di punggungnya. Mata dihala tajam ke arah Lexus di depan. ‘Lu ni lesen kedai mamak pokok ketapang apa? Bawak kereta sampai tak nampak gua yang sebesar pokok belimbing ni!’ Hati Damia terus menyumpah-nyumpah dalam hati. Panas dah sampai ke telinga. Mata memandang bahagian bawah seluar yang sudah lencun bermandikan air lopak yang berwarna teh susu pekat.

‘Apa punya malang la nasib gua pagi ni. Dah la gua lambat bangun pagi tadi pasal si jam loceng kat rumah tu cuti bertugas pulak hari ni. Teruk betul la lu, Pot. Lu dah tau nak cuti hari ni, lu kejutkan la gua lepas lu solat subuh tadi. Lu tau kan gua ABC lagi. Ni tak. Boleh lu terjun berbungkus sama sebelah gua. Baek punyer berkeruh. Lu memang hampas kelapa aar Pot. Tengok, kan dah jadi tragedi gua bangun melangkah syuruk. Mangkuk bingka ubi hangus ni pulak lagi dah melambatkan gua. Harus gua kena sembur dengan Ms. Ow ni karang, beb. Tapi takkan gua nak pergi kerja macam ni. Uniform gua dah jahanam berbalut lumpur. Aahhh... tensionnya gua!’

Wajah pengurusnya sudah terpampang di depan biji mata. 

‘Ms. Ow tolonglah jangan marah gua. Gua tak salah apa-apa aar Ms. Ow. Ini memang di luar kawalan kuasa radar otak gua aar. Semua ni pasal mangkuk bingka ubi hangus Lexus hitam kat depan tu hah. Dia aar punya angkara yang memalangkan hari jumaat gua. Dia yang sebabkan gua terpaksa emergency leave hari ni. Sorry aar Ms. Ow. Gua bukan sengaja aar.’

Iqram tepuk dahi. Keluhan perlahan terluncur. Macam mana dia boleh tak perasan ada lopak dalam di tepi jalan tu tadi. Tu la bahana bawak kereta ikut hati. Bukan ikut  undang-undang. Nasib baik tak langgar orang... cuma disebabkan kecuaiannya tadi dia telah menyebabkan ada orang yang terduduk di tepi jalan.

Diundur keretanya perlahan. Nasib baiklah kenderaan pagi ini tidak begitu sesak. Hari minggu begini, awal-awal pagi jalan raya memang lapang. Dari cermin pandang belakang, mata Iqram terhala ke arah gadis berbaju kemeja dan seluar serba coklat. Gadis yang sedang bangkit dari jatuh itu dilihat sedang membetulkan tudung di kepalanya. 

Matanya dikalih sesaat ke pergelangan kiri. Bebola matanya menjunam ke permukaan cermin Tag Heuer. Sah Mimi dah masuk bilik bedah ni. Mahu panjang muncung buah hatinya itu sebab tak nampak bayang Iqram sedangkan semalam dia sudah berjanji untuk datang sebelum pembedahan. 

‘Padanlah muka kau, Iqram. Tu la, tidur lagi lambat-lambat. Berembun je malam-malam minggu. Libur dan hibur tak sudah-sudah. Berpelesiran sana sini. Kan dah terlajak.’ Tapi sekarang yang lebih penting dia harus menyelesaikan masalah yang di depan matanya saat ini. Wajib!

Tali pinggang pantas ditanggalkan. Pemegang pintu dicapai deras. Tubuh kurus tingginya diloloskan keluar dari perut kereta. Gadis yang sedang menyapu bahagian belakang seluar dihampiri. Dadanya menahan debar. Iqram tahu memang dia akan mendapat habuan daripada gadis itu. Dia akur. Memang salah dia pun. Kalau kena maki, kena sembur, kena marah... diam sahajalah. Pekakkan telinga. Minta maaf. Itu paling selamat. Settle semua. Langkahnya semakin menghampiri gadis yang terpacak di depan mata. Kepala sedang laju menyusun ayat minta maaf.

“Err... cik okey? Saya minta maaf. Saya tak sengaja. Sungguh tak sengaja. Saya betul tak nampak lubang berlopak tu tadi. Minta maaf, cik.” Mata Iqram jatuh pada wajah di depan yang sedang merenungnya tidak berkutik. Wajah putih mulus itu tidak berkelip ditatapnya.

‘Merahnya pipi dia! Tapi... ni bukan merah pasal marah. Haisy, yang kau pergi tenung pipi dia kenapa Iqram ooi. Tak nampak ke mata dia yang tajam tu. Tapi... pipi dia memang merah la. Cantik!’ Hatinya berbisik.  Masih tiada jawapan. Hanya dua pasang mata mereka
yang bertembung. Damia cebik. Matanya bulat merenung makhluk di depan yang rasa macam nak ditelan hidup-hidup. ‘Maaf konon. Banyak la lu punya tak sengaja! Pergi humban aar maaf lu masuk gaung kat Genting Highland sana.’

“Cik tak apa-apa ke? Kita ke klinik ye.’ Suara Iqram perlahan tapi cukup jelas di cuping telinga Damia. Tidak putus asa. Dia tahu memang dia yang bersalah. Dan dingin beku layanan gadis di hadapannya ini memang wajar. Senyum sinis yang terukir di bibir gadis berpipi merah di depannya ini membuatkan dada berdebar gusar. 

‘Cool Iqram. Just be cool okey.’ Hatinya membisik semangat.

Mata Damia terus memandang. Bulat. Geram dan rasa sakit hati saling bercampur. Mata terus beradu pandang. Tidak dijawab pertanyaan yang diajukan. Juga pertanyaan yang tadinya. Lelaki kacak berpakaian santai kemeja-T Polo warna hitam, berseluar jeans dan berkaca mata hitam yang baru keluar dari kereta hitam yang menyiram air lopak ke seluar uniformnya masih tegak berdiri di hadapan. Memandang dan menegur Damia dengan penuh sopan. Berhemah. Prihatin. Damia pamer senyum sinis memandang lelaki di hadapannya ini.

‘Walla... sopan santun la pulak bingka ubi hangus ni. Cover ampun baek punyer aar vokal lu sebab dah humban gua terduduk tepi bahu jalan ni kan. Apa, lu ingat gua akan terpesona ke dengan suara lu. Apa barang nak bawak gua pergi klinik. Gua bukan cedera la!’ Dilempar lagi renungan tajam kepada lelaki di hadapannya ini.

Iqram telan liur. Dua pertanyaan tadi langsung tidak bersambut. Gadis di hadapannya ini hanya merenung dia dari tadi. Tajam. Iqram elus pelipisnya. Matanya menyusuri seluar gadis itu yang sudah basah separas lutut. Ada kesan lumpur.  Di sebalik ray-ban, matanya terpaku pada tapak tangan gadis itu. Ada kesan garis-garis calar luka yang jelas. Hati dibalut
rasa bimbang. Rasa bersalah. Apa nak cakap ni. Kepalanya dah buntu. Pertanyaannya awal tadi langsung tidak berjawab. Sah gadis di depannya ini memang marah kepadanya. Marah yang amat sangat. Iqram hela nafas perlahan.

“Cik okey tak ni? Saya bawakkan ke klinik ye.” Damia rasa macam nak luku kuat-kuat je kepala lelaki di hadapannya ini.

‘Ek eleh bingka ubi hangus ni. Boleh lu tanya gua okey ke tak. Mata mana? Bukaklah spek hitam lu tu. Gua tak heran pun ray-ban lu tu. Haa ni... cuba tengok gua betul-betul. Tengok uniform gua yang selamat lu mandikan dengan air lopak. Hai la labu kuning, ada je yang kena tomoi dengan gua pagi-pagi jumaat yang sejahtera dan permai ni karang. Woi mangkuk rayban hitam, lu pakai mata batu apa! Lu tak nampak uniform gua dah kuyup separuh lutut ni. Seluar gua dah berlumpur ni. Lu boleh tanya lagi. Bengap tol aar.’

Damia ketap bibir. Geram. Mata dah macam buah saga tua tenung objek hidup di depan yang sedang memandangnya. Menyala. Jari-jemari dah diramas-ramas. 

‘Kalau gua swing sebijik dia ni mau jadi drama sebabak di tepi bahu jalan. Ahh... memang suwei aar tuan kereta hitam gedabak ni. Harap muka je meletup. Bawak kereta macam lumba haram!’

“Cik... cik okey tak ni? Kalau tak, saya hantar ke klinik ye.” Iqram terus bertanya tanpa putus asa. Tenungan gadis itu benar-benar merisaukannya. Dia bimbang kalau-kalau gadis itu mengalami apa-apa kecederaan dalaman. Kebisuan gadis itu benar-benar membuatkan Iqram mati kutu. 

‘Cik kak ni memang marah sungguh nampak gayanya. Habislah kau, Iqram. Nak buat apa lagi ni? Nak minta maaf sekali lagi ke? Tapi cik pipi merah ni asyik tenung je dari tadi. Mulut sikit pun tak buka.’ Iqram usap pelipis. Buntu.

‘Memang rentung bingka ubi hangus ni gua kerjakan karang. Gua panas ni. Gua tak kira walaupun muka lu meletup handsome. Gua memang nak belasah lu gak! Telinga gua dah keluar asap Pinatubo ni. Berdesup-desup ni. Lu nampak tak?’ 

‘Tak boleh jadi ni. Mau tak settle kalau terus macam ni. Dia pandang aku… aku pandang dia.’ Iqram toleh bebola matanya ke pergelangan kiri. Memang sah Mimi akan merajuk nanti ni. Aduh. Matanya dihala ke wajah di depan yang tidak lepas merenungnya dari tadi.
 

‘Ni satu hal lagi. Aaah... cakap la sekali lagi. Minta maaf je. Harap dia boleh terima. Amin... amin... Ya Tuhan, tolonglah hamba-Mu yang bersalah ni ye.’

“Cik... saya tau cik marah. I’am so... so... sorry. Saya... saya memang tak sengaja. Saya tahu memang salah saya. Saya sebenarnya sedang berkejar ke hospital. Ada kecemasan.” Kecemasan? Biar betul kau Iqram. Tak kisahlah. Janji cik pipi merah kat depan ni boleh terima alasan dia.

‘Banyak lu punya sorry molly. Kecemasan la sangat. Nampak tapak Adidas gua yang berlumpur ni? Mangkuk bertingkat-tingkat punya bingka ubi hangus! Kalau gua bagi satu kick harus lu tersangkut kat tiang letrik depan sana. Memang sah lu rentung dan wassalam.’ Damia lontar renungan tajam kepada lelaki di hadapannya ini. Beg kura-kura di belakang dibetulkan kedudukannya. Tali beg yang terjuntai diketatkan ikatannya. Mata masih tidak berganjak memandang lelaki di depan yang sudah banyak kali memohon maaf.

‘Aarrghhhh... boleh jalan dengan lu punya maaf. Dada dah macam berbahang. Berasap-asap. Geram tahap gaban merah kuasa dua belas ganda dua. Huh… ingat senang-senang ke gua nak lepaskan maaf gua kat lu lepas apa yang lu dah buat kat uniform kesayangan gua. Malam sikit! Boleh blaah.’ Iqram garu pelipis.

‘Dia ni memang tak bercakap ke. Asyik pandang dan tenung je. Isy... macam mana nak settle ni. Nafas ditarik. Okey. Last try Iqram. Kalau dia tak jawab gak, sah dia memang tak bercakap.’

“Cik... saya minta ma...”

“Lu ni apa kes bawak kereta macam tersampuk puting beliung mabuk, bro? Bini lu ada dalam wad bersalin ke? Ke bini lu dah masuk operation theatre? Bawak kereta tu tolong pasang mata sama la. Jangan simpan bijik mata lu dalam poket. Gua tau la kereta lu kebaboom punyer gempak tapi agak-agaklah kalau nak tayang pun. Ingat gua ni pokok krismas warna coklat aper.”

‘Ada pun suara cik pipi merah ni. But... but what did she said just now? Pokok krismas warna coklat?’ Ketawa spontan Iqram pecah di dalam. Tak daya benar dia menahan tawa kala mendengar kata-kata spontan yang keluar dari mulut gadis manis itu. Namun ketawa Iqram tetap tak berani dizahirkan bila melihat wajah ganas di depannya. Melihat renungan tajam gadis itu Iqram telan liur. Garangnya!’ Bibir memang terkesima sekejap bila diserang berdas-das.

Kata-kata Iqram tadi dipintas deras oleh suara garang gadis di depannya ini. Tapi... tapi dia sebut apa tadi. Lu? Bini? Wad bersalin? Bibir Iqram memang mahu menghambur ketawa tapi berjaya ditahan apabila melihatkan renungan tajam gadis di depannya masih tidak berganjak. Ketawa hanya terluncur di dalam. Wajah polos di depan dipandang.

‘Fuh, garangnya cik kak pipi merah ni. Bahasa ganas betul. Macam kongsi gelap. Tak padan dengan badan. Tapi... muka dia cantik sungguh la.’

“Kalaupun bini lu nak bersalin, lu jangan babitkan orang lain dengan hal peribadi lu, bro. Lu tengok sekarang gua dah lambat pergi kerja... uniform baharu gua, lu dah siram dengan air lopak berlumpur. Lu fikir tak, lu dah susahkan hidup gua hari ni. Kalau gua kena buang kerja sebabkan gua tak datang kerja hari ni, lu nak tanggungjawab? Gua nampak lu kecik je sekarang ni. Eei... geram betul gua dengan lu ni. Lu tau tak, lu dah rosakkan hari jumaat gua? Sebab lu, gua nak kena tunggu seminggu lagi nak jumpa jumaat. Lu nak ganti ke pahala gua yang dah hilang hari ni sebab lu dah wassalamkan  uniform gua ni haa?” Damia lontar amukan. Berdas-das. 

‘Haa... ambik lu! Buat hal lagi dengan gua.’

“Err... saya...”

“Gua tak kira. Lu call bos gua sekarang jugak. Lu cakap lu yang sebabkan gua tak dapat datang kerja hari ni. Lu yang sebabkan gua terlibat dalam kemalangan hari ni dan lu akan bayar ganti rugi untuk gaji gua hari ni kepada dia. Mana telefon lu. Cepat bagi gua.” Damia hulur tapak tangan.

Pantas mencantas kata-kata lelaki di depannya ini. Tidak mahu memberi peluang. Mata Iqram tidak berkelip.

“Haa? Aw... awak cakap apa ni?” Dahi Iqram sudah berlapis kerut. Terkejut diterjah dengan kata-kata spontan gadis di depannya ini. Kata-kata yang mengandungi permintaan yang tidak disangka-sangka!

“Lu ni memang stok mamat lembab aar. Harap muka je giler gempak meletup yang boleh buat awek-awek terjun lombong sebab rebutkan lu. Bro, lu nak gua cakap bahasa apa dengan lu. Tamil?” Mata Iqram tidak berkelip memandang gadis di depannya yang mempamerkan muka bersahaja.

‘Which star does she come from? Dia ni memang sungguh ganas la!’

No comments:

Post a Comment