Wednesday, 25 February 2015

Isteri Dambaan Dia - Bab 10

AWAK sengaja mengelak dari saya Rifqi?” Itu soalan pertama yang diajukan Nediesha ketika Rifqi ditemuinya. 

“Taklah. Mana ada mengelak Cik Nediesha. Saya kan sedang bekerja ni,” jawab Rifqi tenang tanpa mendongakkan kepalanya.

“I know Rifqi, awak tak perlu nafikan. Saya nampak reaksi awak.”

Rifqi diam. Dia pura-pura sibuk menaip di komputernya. Nediesha cekak pinggang. Dia tidak kisah datang menagih cinta di meja pekerja Sirna. Bukan dia tidak tahu perbualan mereka boleh didengar pekerja lain yang hanya terpisah melalui partition. Lagipun line clear waktu ini, hanya Zamri di situ. Staf perempuan di partition sebelah ke tandas agaknya.

“Rifqi, cinta saya tak layak ke untuk awak?”

“Saya yang tidak layak untuk terima cinta cik,” balas Rifqi tanpa memandang wajah Nediesha. Sungguh dia takut untuk menatap mata gadis cantik itu. Jika bersabung mata perasaannya tentu dapat dibaca Nediesha. Nediesha tidak perlu tahu apa yang ada di perdu hatinya.

“Rifqi... hati saya pilih awak. Jadi mengapa awak cakap tak layak? Cinta tak kenal siapa  Rifqi.”

“Cik Nediesha saya sedar siapa saya. Mana mungkin kita boleh bersama.” Perlahan tapi jelas maksudnya. 

“Itu lelaki pengecut yang cakap. Sekarang saya nak dengar dari mulut awak. Awak suka atau tidak pada saya?”  soal Nediesha dengan tegas. Memberontak jiwanya ingin mengetahui perasaan Rifqi terhadapnya. Cinta dalam hatinya bukan rahsia lagi. Telah diluahkan kepada lelaki itu. Masakan dia mahu luahan itu diabaikan tanpa balasan.

“Saya suka Cik Nediesha sebagai majikan saya.” Bibir memberi jawapan dengan mata masih di skrin komputer. Nediesha yang berskirt pendek dia cuba elak untuk pandang. Imannya bukan kuat sangat.

“Bukan itu jawapan yang saya cari. Saya mahu tahu hati awak.” Nediesha merengus.

“Hati saya masih seperti biasa.” Mendatar tetapi ada getaran di dalamnya. Minta-minta dia cepat pergi. Semakin dia asak aku dengan soalan terasa jantung hendak meloncat keluar.

“Bohong!” Nediesha tepuk meja Rifqi. Rifqi berpaling jua. Menjadi juga idea tepuk meja si Nediesha ni. Dapatlah dia tengok wajah penuh Rifqi. Tadi sipi saja. Hanya 50 peratus sebab orang tu macam tak sudi nak pandang.

“Terserah. Saya harap cik percaya. Tiada gunanya cik kejar lelaki tiada masa depan seperti saya. Belum terlewat untuk Cik Nediesha tarik balik kata cinta dan betulkan hati cik pada paksinya.”

“Never mind. Saya akan buktikan, saya mampu miliki awak Rifqi.” Telunjuknya ditunjal ke dada Rifqi. Berdegup jantung Rifqi. Telunjuk Nediesha yang singgah beberapa saat itu sesakkan dadanya. Nediesha telah berjalan pergi tapi dia tinggalkan rasa senak buat Rifqi. Bukan sakit menerima tunjalan itu tapi jiwanya yang sakit. Kata-kata Nediesha tajam menikam. Dia tahu Nediesha tidak bergurau. Gadis seperti itu tidak bercakap omongan sia-sia. Zamri jenguk Rifqi di sebalik partition.

“Wow! Hebat kau Qi. Puteri raja datang menyerah. Siap buat akuan, engkau hendak dimilikinya…” 

“Banyaklah kau punya hebat. Dia buat aku tak senang duduk tahu tak.” Rifqi tayang penumbuk kepada Zamri. 

“Kalaulah aku yang diidamkan dia. Hari ni juga aku kahwin.” Zamri tayang sengih. Dia buat aksi sedang berangan. 

“Aku sepak juga kau ni karang Zam. Kau tak payah berangan lebih-lebih, tak pasal-pasal Engku Masitah sembelih kau nanti.”

Zamri mencemik. “Padahal engkau yang cemburu.”

“Cemburu tu adalah sikit-sikit tapi aku lagi takutkan harimau betina tu.”

“Untung kau sebenarnya disukai Nediesha tapi jalan yang bakal dilalui tu rumit hakikatnya. Jika kaki yang berjalan perlu memijak bara dan duri entah korang berjaya ke garisan penamat atau tidak. Kalau kandas di pertengahan jalan pula boleh ke berpatah balik?”

“Dalamnya kau punya ayat. Pandai juga kau bermadah ya Zam. Jadi penulis novel cinta pun boleh kau ni.” 

“Gila. Baca novel cinta pun aku tak minat takkan nak menulis pulak. Ayat tadi tu aku cipta khas untuk kau. Kau fikirlah sendiri apa yang tersirat. Aku cuma nak tengok kau bahagia. Aku tak nak kau sengsara kerana terlibat dengan cinta si anak harimau betina tu.”

“Terima kasih atas keprihatinan kau tu. Pergilah sambung kerja. Aku nak pergi tandas kejap.” Zamri angkat ibu jari. Rifqi… Rifqi… dada yang ditunjal, perut pula yang meragam.

ARTINI MASUK ke bilik Nediesha. Adiknya pula jauh termenung dengan muka mangga muda. Dicuitnya bahu Nediesha. 

“Orang tua pesan kalau mahu jadi awet muda kena selalu senyum.”

“Diesha ni muda lagi Kak Tini. Tak terjejas pun wajah adik akak ni kalau tak pakai petua tu.” Nediesha juih bibir. Tanda tidak terkesan dengan saranan Artini. 

“Kut ya pun janganlah memuncung macam tu. Kak Tini tengok pun seram.”

“Diesha tak ada moodlah Kak Tini.” Nediesha bermain dengan jari-jemarinya.

“Patutlah belum berusik lagi dokumen atas meja tu,” ujar Artini apabila matanya tertancap pada dokumen yang masih tersusun kemas di meja Nediesha.

Nediesha mengangguk lemah. Dia tidak bersemangat. Cinta buat Rifqi tewaskan dia.

“Diesha ada masalah ke berkhidmat di Sirna Jaya?” Jeda sebelum jawab.

“Sirna Jaya tak ada kaitan.”

Kalau Sirna Jaya tiada kaitan sah masalah hati. 

“Diesha jangan cakap sebab budak tu pula Diesha moody macam ni.”

“Terbaiklah Kak Tini. Boleh baca apa di kepala Diesha ni.” Nediesha menguntum senyum kerana tembakan kata Artini tepat pada sasarannya.

“Diesha pleaselah. Semalam Diesha tak turun makan pun mama bising. Siap berleter lagi mahu cari calon suami untuk Diesha.”

Terkejut Nediesha. Bulu romanya siap berdiri tegak. Dia takut benar akan kenyataan itu.

“Kak Tini biar betul. Takkan tiba-tiba mama boleh cakap begitu.”

“Dia marah Diesha keluar berpelesiran. Dia bimbang Diesha berkawan dengan orang yang bukan-bukan. Tu yang boleh timbul pasal bakal suami.”

“Kak Tini tahu kan Diesha sukakan siapa.”

“Tahu dan Kak Tini tak beritahu mama pun pasal Rifqi. Kak Tini dan daddy cuma bantah. Kami minta bagi Diesha masa untuk berjaya dalam karier dahulu. Awal sangat kalau nak suruh adik akak ni bersuami.”

Nediesha urut dada. Lega rasanya.

“Diesha serius ke sukakan budak Rifqi tu? Dah fikir segala onak duri yang perlu ditempuh jika pilih dia?” 

“Apa maksud Kak Tini? Hidup ni penuh ranjau kak, tak semestinya pilih dia bermakna hidup akan menderita. Jika kita terpilih untuk diuji-Nya kahwin dengan anak raja pun belum tentu bahagia.”

“Pandai Diesha berfalsafah. Kak Tini akui kebenaran tu. Kak Tini cuma takut sebab akak tahu Diesha tak kuat untuk tempuh segalanya. Buat apa berumah di tepi pantai sedangkan ombak yang ganas Diesha sudah takut untuk renangi. Buat apa makan cili sedangkan Diesha tak suka rasa pedas.”

“Sebab berani ingin berumah di tepi pantailah Diesha nak belajar berenang. Sebab tak makan pedaslah Diesha kena belajar telan cili.”

Artini geleng kepala bersama hembusan nafas. 

“Diesha sedia maklum siapa Rifqi. Dan Diesha juga sedia tahu bagaimana pilihan mama. Kak Tini minta sangat Diesha jangan buat hal dengan mama. Jangan ikutkan rasa hati nanti Diesha yang mati.”

“Diesha berani mati asal apa yang Diesha impikan tercapai.” Yakin sekali Nediesha bertutur.

“Diesha terlalu muda untuk berani mati. Diesha belum matang dalam kehidupan. Jadi sebelum bertindak fikir kesannya dulu. Dengar nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman.”

“Diesha bukan macam Kak Tini. Lurus dan lembut dengan mama. Kak Tini jangan ingat Diesha tak mampu lawan mama,” rakus Nediesha menyindir kakaknya.

“Astaghfirullahalazim. Diesha cakap apa ni? Kak Tini nasihatkan Diesha cara baik, jadi jangan bongkak sangat lidah tu zahirkan kata-kata. Diesha ambillah masa fikir balik nasihat
Kak Tini. Jangan sampai impian tak masuk akal Diesha tu mama hidu.”

“I don’t care!” bentak Nediesha dengan memalingkan wajahnya ke arah lain. Bosan dengan leteran Artini. 

“Diesha... Kak Tini sayang Diesha. Janganlah buat hati akak gundah. Kak Tini takut suatu masa Kak Tini tak mampu sebelahkan Diesha lagi. Kak Tini takut Diesha jatuh dan sakit untuk bangkit sendiri.”

Nediesha menutup telinganya. Cukup bengang dengan Rifqi yang tidak mahu menyambut cintanya, bebelan Artini menyakitkan jiwa pula. Bengkak hatinya mahu terus tadah telinga.
Melihatkan tingkah si adik, Artini faham. Rambut Nediesha diusap lembut. Dilabuhnya ciuman tanda sayang di ubun-ubun adiknya sebelum berganjak ke pintu. 


JUS TEMBIKAI susu disedut rakus. Julia di depannya kehairanan kerana itu gelas kedua sahabatnya. Dia diajak keluar oleh Nediesha selepas habis waktu kerja. Hingga ke saat itu Nediesha belum meluah apa-apa.

“Diesha sejak dalam kereta lagi kau diamkan diri. Kau ajak aku keluar untuk jadi penonton kau minum tembikai susu bergelas-gelas ke?” tebak Julia. Dia dapat rasakan ada yang tak kena pada adik ipar abangnya itu.

“Jue... salah ke jatuh cinta pada lelaki biasa? Salah ke punya impian untuk hidup dengan lelaki tiada harta?” 

“Kau maksudkan Rifqi Ekhsan? Lelaki yang kau cerita  pada aku tempoh hari?”

“Yalah siapa lagi...”

“Tak salah Diesha cuma masalahnya keluarga kau. Kau tahu bagaimana effectnya, jadi aku rasa lebih baik kau kuburkan saja.”

“Kau ni macam Kak Tini kan? Langsung tak mahu kasihankan aku. Sikit-sikit fikir pasal perangai Engku Masitah. Tak bankraplah dia bermenantukan lelaki biasa.”

“Diesha bukan soal bankrap tapi soal pendirian. Sikap kau ni akan tinggalkan kudis buat dia.” 

“Jue aku harap sangat kau boleh bantu aku. Boleh faham perasaan aku. Aku beritahu Rifqi perasaan aku pada dia tapi dia macam mahu larikan diri. Alasannya tak layak. Aku bosan begini tau tak.”

“Rifqi sendiri sedar diri jadi buat apa kau berani seorang nak pijak bara api?”

“Dah hati aku suka dia. Dah hati aku impikan dia. Mana boleh nak buang mudah-mudah.” Betul itu soal hati. Soal hati ni susah. Hati yang seketul tu bukan mudah untuk orang faham. Tuan punya badan pun kadang-kadang tak faham bahasa hati sendiri.

“Kau yakin dia pun sukakan kau?” tebak Julia sekadar menduga. Mahu membaca keyakinan cinta sahabatnya. 

“Aku yakin. Aku nampak sinar tu di mata dia… cuma dia takut saja.”

Nampak air muka sahabatnya tiada keraguan. Betullah tu cinta separuh mati. Erk! Gusar juga sebenarnya dia. Gadis di depannya ini bukan dia tidak kenal. Persepsi cinta seorang Artina Nediesha bukan dia tak tahu. Mana tahu bibir kata cinta sebab terpukau dengan rupa paras, hati belum jitu mana pun untuk menongkah arus cinta.

“Kau dah fikir masak-masak untuk berdepan dengan mama kau?”

“Pasal mama tu aku tak nak fikir. Sekarang ni yang lebih penting aku mahu peluk hati Rifqi dulu. Aku nak dia mengaku yang dia juga cintakan aku. Lepas couple barulah boleh fikir bagaimana nak hadapi mama aku.” 

“Jalannya tak semudah itu Diesha. Kau nak dia sambut cinta kau sedangkan jelas dia tak berani. Bermakna dia juga fikirkan natijah yang menanti.”

Siang malam Julia aku terbayangkan dia. Kalau bukan sebab dia, aku tak rajinlah nak bekerja di Sirna Jaya tu. Dia semangat aku kini. Nediesha merengus. Julia nampaknya kurang yakin dengan cinta yang dia perkatakan.

“Jue, aku betul-betul cintakan dia. Aku boleh jadi gila sebab angankan dia. Aku nak dia jadi suami aku. Dia lelaki baik. Dia boleh bimbing aku.”

“Habis mama kau?” Julia ni tak nampak orang lain dah. Nampak wajah Engku Masitah saja.  Di matanya itulah penghalang terbesar cinta sahabatnya.

“Jue tak perlu kau sesakkan otak fikir pasal dia. Tahulah aku nak hadapi. Yang penting kau doakan dulu aku mampu dakap cinta Rifqi.”

Julia pegang tangan Nediesha. Seolah-olah mahu salurkan semangat dan tunjuk pengertian.

“Aku akan sentiasa doakan kau. Tapi dalam masa yang sama, kau juga perlu berdoa. Minta petunjuk Allah.” 

“Aku tak pandai solat Jue. Sebab tu aku mahukan Rifqi. Aku nampak dia selalu ke surau...” 

Luhur bicara Nediesha bergema. Kalau betullah bukan kerana rupa semata, dia yakin sahabatnya tak salah memilih.

“Niat kau tu betul. Semoga dipermudahkan,” akhiri Julia. Dalam hati dia bersyukur kerana terselit nawaitu begitu di hati sahabatnya. Itu bermakna cinta Nediesha bukan kosong semata-mata.

Isteri Dambaan Dia - Bab 9

TERTINJAU-TINJAU DiaRifqi mencari gadis yang bernama Artina itu. Dia diberi klu baju lady putih dan jeans denim warna biru. Saat ternampak gadis yang berpakaian begitu, pantas Rifqi hampiri. Gadis itu pula membelakangi dirinya.

“Assalamualaikum. Ni ke Cik Artina?” Secepat kilat Nediesha berpaling dengan senyuman penuh madu. Terloncat juga Rifqi kerana dia salah tegur orang. Rupanya anak bos yang ditegurnya.

“Err… maaf Cik Nediesha. Saya silap orang.” Nediesha bangun dan berdiri rapat dengan Rifqi. 

“Awak tak silap orang Rifqi. Sayalah Artina Nediesha.” Separuh berbisik.

Terkedu Rifqi tidak percaya. 

“Saya cari Artina. Dia tu orang yang salah nombor menelefon saya.”

“Ya… sayalah Artina tu,” terang Nediesha bersungguh-sungguh. Dia ni barangkali terlupa nama penuh aku. Tak ingat ke pertemuan pertama dalam bilik Abang Rizal tu?

“Cik Nediesha janganlah main-main.” Rifqi mula tak tentu arah. Bagaimanalah dia boleh terlepas pandang nama penuh anak majikannya. Ralat dia. Tak terjangka sama sekali mereka berdua gadis yang sama.

“Erm tak percaya.” Nediesha capai telefon pintarnya. Didailnya nombor Rifqi. Rifqi seluk poket. Benar nombor gadis ‘wrong number’ tu. “Jadi… Cik Nediesha sengaja permainkan saya?” 

“Please sit down Rifqi. I can explain.” 

Rifqi akur. Dia labuhkan duduk. Serius benar dia pandang wajah Nediesha. Mindanya sarat berfikir apa motif gadis itu mengenakan dia.

“Saya tak berniat permainkan awak. Saya sekadar menguji dan dengan cara itu kita dapat keluar bersama. Banyak kali awak menolak pelawaan saya jadi apa salahnya kali ini saya kenakan awak.”

Mudahnya perempuan ni ucap kata-kata. Hari tu dalam telefon yang dia duk bersoksek-soksek apa kes? Baik punya lakonan. Tipah tertipu aku jadinya.

“Baiklah kalau macam tu. Sekarang sketsa awak dah tamat Cik Artina Nediesha. Lepas ni tak payahlah pura-pura wrong number lagi. Ingatkan betul cari bekas pakwe tapi rupa-rupanya sengaja permainkan saya.”

“Awak marah Rifqi?”

“Siapa saya nak marah cik? Don’t worry Cik Nediesha, saya tak simpan dendam. Dengan ikhlas saya maafkan cik hari ni, tapi lain kali janganlah buat perangai macam tu lagi waima
pada orang lain.”

“Rifqi, awak tak jelas lagi ke kenapa saya bertindak begitu?”

“Jelas... saya belum buta. Tapi maaflah saya kurang senang dengan tindakan sebegitu.” Sinis bunyinya tapi betul ke perasaan Nediesha difahaminya?

“Saya minta maaf tapi izinkan saya dapatkan ‘Rifqi’ saya tu.”

Berlapis-lapis dahi Rifqi. Mulut pun turut sama melopong. Mata pula dibenamkan pada bebola mata Nediesha. Mencari kesahihan di situ.

“Saya tak faham...”

Malu tapi bibir tetap mahu ucap. Jantung kembang kencup tetapi hati mahu meluah. Wajah berubah rona tapi lidah yakin untuk ungkap.

“Saya... sukakan awak Rifqi.” Rifqi tepuk pipi sendiri. Selama ini pepatah perigi mencari timba tidak dipercayainya. Kali ini terhempap atas kepala sendiri. Yakin wujud perigi yang tidak malu mencari timba rupanya. Namun hatinya belum percaya seratus-peratus. 

“Sejak kali pertama tengok awak di bilik Abang Rizal,” sambung Nediesha tanpa segan.

Rifqi mati kata. Lidahnya kini terpaku di lelangit. Yang dia nampak jalannya penuh berliku di hadapan. Bukan tidak gembira mendengar ungkapan gadis cantik di hadapannya tapi Rifqi teramat takut andai itu semua bakal menjadi racun dalam hidupnya.

USAI MENUNAIKAN kewajipan kepada Illahi, Rifqi termenung di tepi tingkap. Kereta masih banyak bersimpang-siur di jalanan. Malam pun masih muda untuk dia lelapkan mata. Pertemuan dengan Nediesha siang tadi kembali mengganggu. Luahan gadis itu terngiang-ngiang semula ke telinga. Sesaknya dada kerana hati milik sendiri juga telah berirama. Musykil dia dengan permainan perasaan ini. Nediesha gadis elit yang moden boleh tersuka pada dirinya. Sungguh dia tidak percaya. Masih terasa dirinya di awangan. Getaran di hatinya tanpa diundang hadir jua buat gadis itu. Namun dia sentiasa sedar diri. Mana mungkin suasa disatukan dengan emas.

Telapak tangan kanan naik meraup wajah. Bungkam di hadapan Nediesha membuatkan dia tidak keruan untuk menghadapi hari esok. Hari esok dan seterusnya di Sirna Jaya bertemankan cinta Nediesha? Huluran cinta itu mustahil untuk  disambutnya. Nediesha salah meletak cinta. Bukan dia yang selayaknya.

Nediesha umpama kristal mahal yang hanya boleh dipandang tapi tidak boleh dimiliki. Apatah lagi berangan untuk memiliki. Dia kristal limited edition buat pembeli yang berkepuk duitnya. Sungguh Rifqi tidak menyangka Nediesha sanggup menyamar di dalam telefon. Pelik dia dengan gadis itu. Mengapa sanggup berusaha begitu hanya kerana dia? Dia… lelaki yang serba kekurangan ini. Apakah yang dilihat Nediesha pada dirinya? Bersungguhkah gadis itu mahukan dirinya? Mengeluh Rifqi sendirian. Sebelah tangan diletak ke dada cuba merasa degupan jantung sendiri. Jantungnya tidak berbohong. Ada degupan yang lahir untuk gadis itu. Sebelum ini tiada pula rasa itu bertandang buat gadis lain yang dikenalinya. Ah mengapa Nediesha? Terlalu awal lagi kehadirannya di Sirna Jaya. Terlalu awal juga tempoh perkenalan dengan Nediesha. Tapi mengapa Nediesha begitu yakin sehingga berani melafaz cinta. Bingung Rifqi memikirkannya. Duhai malam indahnya kamu bertemankan rembulan dan bintang. Aku di sini kelam diselaputi cinta yang tak mungkin untuk dimiliki…

Di mataku… di hatiku…
Di jiwaku hanya ada kamu...
Matamu… senyummu…
Buat kujadi tak tentu…
Hidungmu… bibirmu...
Bergetar seluruh tubuhku...
Di dadaku… di mimpiku...
Hanya ada kamu...
Gayamu... caramu...
Buat tak lena tidurku...
Rambutmu... kumismu...
Membakar gelora cintaku...

NEDIESHA BERNYANYI riang sambil melenggok punggungnya. Menari girang dia nampaknya. Siap menyanyi lagu dangdut. Rambutnya dikirai dengan jari. Nediesha kulum senyum seorang diri. Ditepuknya bibir yang menyanyi lagu Amelina tu. Tak pernah-pernah dia menyanyi lagu dangdut. Manalah dia suka lagu macam tu. Sebelum ni lagu-lagu artis hollywood yang menjadi kegemarannya. Ini sah penangan cinta. Sejak dalam bilik air lagi lagu itu dia dendangkan.

Nediesha tongkat dagu dengan tangan kanannya. Matanya tunak memandang cermin. Terbias wajah Rifqi di situ. Walaupun Rifqi membisu tentang perasaannya namun Nediesha tidak akan berputus asa. Dia yakin hati dan diri Rifqi mampu dimilikinya.

Cinta memang boleh butakan hati dan mata. Nediesha langsung tidak nampak pancaroba yang bakal ditempuhnya pada hari depan. Dia bagaikan tidak nampak wajah garang Engku Masitah. Dia langsung tidak mahu peduli tentang jalan yang bakal direntasinya jika mahu bersama Rifqi.
 

Menyukai Rifqi dalam masa yang singkat bukanlah sesuatu yang dirancangnya. Dia juga tidak menduga perasaan itu akan muncul. Pelik tapi tersangat indah untuk Nediesha. Dia mahu tidurnya bertemankan mimpi bersama Rifqi. Dia mahu lenanya didakap cinta untuk Rifqi. Tiba-tiba khayalannya dicantas. Lagu All of me nyaring berdendang mengusik gegendang telinganya. Malas namun tetap bangun untuk menjawab. Namun melihatkan nama Sally, telefon itu dihempas semula ke katil. Sally kalau call aku pasti tak ada kerja lain. Ajak clubbing, gerutu Nediesha sendirian. Sejak mula bekerja di Sirna Jaya, Nediesha jarang keluar malam. Apatah lagi mahu jejakkan kaki ke kelab yang biasa dia kunjungi bersama Sally dan beberapa orang lagi temannya.

Dia lebih suka keluar bersama Julia. Julia tidak suka bersosial pada malam hari. Malah Julia berpakaian sopan dan menutup aurat. Jika dibandingkan Julia dan Sally, Julia lagi molek dijadikan sahabat. Sally dan teman-teman clubbing yang lain hanya mahu mengikis duitnya. Jika dia tidak berduit mana mungkin mereka semua rapat dengannya. Masak benar dia dengan perangai Sally. Belajar sama-sama di UK. Dalam dan luar Sally dikenalinya. Apa yang dia tahu Sally mudah dibawa ke tempat tidur oleh teman lelakinya. Mujur dia tidak  terpengaruh.

Ke kelab malam bersama Sally, setitik wain pun tidak diteguknya. Jika dia mahu berbuat kemungkaran, pasti wajah daddynya akan terbayang. Dia tidak sanggup melukakan hati daddynya. Apatah lagi mencalit arang ke wajah kesayangannya itu.

HIDANGAN MAKAN malam sudah siap terhidang di meja makan. Datuk Rosli, Engku Masitah, Artini dan Nik Rizal mengambil tempat untuk menjamu selera.

“Tini, mana Diesha? Kenapa dia tak turun makan?” 

tanya Engku Masitah kepada anak sulungnya.

“Tadi sebelum turun, Tini ada panggil. Katanya tak mahu makan. Dia nak mandi.”

Berkerut kening Engku Masitah mendengarkan jawapan Artini. “Malam-malam macam ni dia mandi?” 

“Tidur waktu maghrib macam tulah Mas,” sampuk Datuk Rosli.

“Tentu keluar lepak dengan kawan-kawan dia siang tadi tu. Balik penat, terbongkanglah tidur jawabnya. Apa nak jadi dengan budak tu?”

“Tak apalah mama, dia kan masih belum kahwin. Nanti dah kahwin tahulah dia macam mana cara betul nak bersosial.” Artini membela Nediesha. Nik Rizal juga turut menadah telinga saat perut perlu diisi.

“Kalau begitu gayanya lebih baik mama cari calon suami untuk dia.”

“Mas, bukan masanya lagi. Tak perlu tergesa-gesa. Biar dia berjaya uruskan Sirna Jaya dulu,” telah Datuk Rosli dengan lembut.

“Betul tu mama. Tini setuju cakap daddy tu. Awal sangat kalau mama mahu carikan jodoh untuk dia,” tukas Artini. Hatinya benar-benar takut jika Engku Masitah beria carikan calon untuk Nediesha. Dia tahu siapa di hati Nediesha sekarang. Kerabu sotong disudu ke dalam pinggan. 

“So setakat ni, bagaimana prestasi dia di Sirna?” Artini menyudu tomyam udang pula ke pinggan dia dan suaminya.

“Baik je mama tapi banyak yang Diesha perlu belajar.”

“Tini ajarlah dia. Dalam masa yang sama pantau sikit aktiviti sosial dia tu. Mama tak sukalah dia berkawan dengan orang sembarangan. Budak Sally tu bukan elok perangainya.”

“Mas... Artini ni punya suami dan anak. Takkanlah Nediesha yang besar panjang tu mahu dipantaunya lagi. I yakin Diesha tahu mana yang baik dan buruk. Budak-budak ni tak boleh dikongkong sangat.”

“Li, I bukan apa takut dia pergi bercinta dengan lelaki yang entah apa-apa. Habislah dikikisnya duit kita nanti.” Sejak dulu lagi Engku Masitah memanggil suaminya dengan panggilan singkatan dari nama Rosli. Mungkin kerana berasal dari keturunan orang yang hebat-hebat dia tidak gemar memanggil suaminya dengan panggilan yang lebih manis.

Moyang lelaki Engku Masitah merupakan kerabat diraja. Kunyahan nasi terhenti. Datuk Rosli dapat agak sebenarnya. Soal harta keutamaan isterinya.

“Eh ke situ pula awak. Ingat risau dia berkawan dengan  Sally, tapi risau dia jatuh cinta.”

“Mestilah kena risau juga pasal tu. Berderet tau nama anak-anak VIP yang boleh saya jadikan senarai calon suami untuk Diesha.”

“Berderet ke berdozen ke biarlah dulu. I tak rasa Nediesha sudah bersedia,” bangkang Datuk Rosli. 

“Betul tu mama...” Artini menyokong bapanya.

“Ermm... yelah.” 

Mendatar sahaja suara Engku Masitah. Tak kuasa untuk bertekak hal itu di meja makan. Namun dalam mindanya sudah terlakar agenda tersendiri untuk anak bongsunya itu. Selepas itu masing-masing menikmati makan malam. Dalam hati Artini berdoa moga hal Nediesha sukakan Rifqi tidak sampai ke pendengaran ibunya. Takut membayangkan tsunami kemarahan seorang Engku Masitah.

Isteri Dambaan Dia - Bab 8

SIARAN perlawanan bola sepak di antara Pahang dengan pasukan JDT tidak Rifqi hiraukan. Zamri yang bersorak seorang kala bola berjaya masuk gol. Zamri orang Johor tentu sahaja dia penyokong JDT. Lemas melihat gelagat sahabatnya, Zamri memerli.

“Qi... rumah kita ni tak ada kerusi ke nak duduk? Mundar-mandir saja kau sebiji pak pandir.”

“Tertelan ubat lipas gamaknya kau Zam samakan aku dengan Pak Pandir. Tahulah arwah ayah aku nama Kadir. Huh! Aku fikirkan adik ipar bos kita tu. Dia merajuk dengan aku.”

“Aik apasal pulak? Pasal meeting tadi tu ke?” soal Zamri dengan giginya masih ketip biji kuaci.

“Dia ajak aku keluar dinner.” Rifqi yang tadinya berdiri sandarkan tubuhnya ke sofa murah milik Zamri. 

Zamri tunjuk wajah teruja. “Wah untunglah kau. Lepas tu apa lagi pergilah tukar baju. Yang kau masih berkain pelikat ni kenapa?”
 
Kuaci di tangan Zamri diambilnya sedikit. Diketipnya kuaci itu.

“Eh kau ni. Aku tolaklah yang dia merajuk tu.”


“Habis tu?”

“Entah. Aku pun pening dengan dia tu.”

“Kan aku dah cakap dia suka kau. Alah pergi je makan dengan dia. Bukan buat apa pun.”

“Cakap senanglah bro. Hari tu kau sendiri ingatkan aku pasal merak dengan gagak. Kalau aku setuju bermakna aku sengaja cari pasal. Dia yang hanya sekadar suka terus jatuh cinta. Tak ke naya?”

“Ermm betullah Qi. Tak perlu main dengan api nanti terbakar diri.” Zamri kembali memberi perhatian kepada perlawanan bola itu.

“Zamri… kau tahu ada perempuan tersalah telefon aku. Dia sangka aku ni teman lama yang dia cari. Nama Rifqi juga. Puas aku cakap, dia salah orang dan salah nombor tapi dia degil kata aku kekasih lamanya. Lepas tu siap ajak jumpa lagi untuk buktikan siapa aku.”

“Pelik. Siapa nama perempuan tu?” Zamri teguk nescafe O yang telah sejuk di dalam cawan.

“Artina.”

“Cantik juga nama. Suara dia macam mana?” 

Mengalahkan inspektor polis pula si Zamri ni tanya soalan. Penting ke untuk dia tahu suara perempuan bernama Artina tu? Haish!

“Lembutlah juga suara dia,” jawab Rifqi seolah-olah kurang berminat hendak bercerita lebih-lebih mengenai gadis ‘wrong number’ itu.

“Betul kau tak pernah ada kawan nama Artina?”

“Betul. Kalau dengan kau, apa kejadah aku nak putar belit cerita?” tukas Rifqi sedikit geram.
 
“Lepas tu kau setuju ke nak jumpa dia?”

“Itulah yang aku tengah fikir.”

“Pergi sajalah Qi. Lepas dia dah tengok kau bukan orang yang dia cari aku jamin dia tak kacau kau lagi.” 

“Kalau tiba-tiba aku atau dia tersyok antara satu sama lain macam mana?”

“Macam mana apanya? Elok sangatlah tu. Kau tu bukan ada yang punya. Dia yang salah nombor tu jelas-jelas belum bersuami.”

“Tak adalah Zam. Aku buat lawak saja tu. Tak terlintas langsung sebenarnya ke arah itu. Aku cuma harap dia dapat jumpa Rifqi yang dia cari.”

“Nama lelaki yang dia cari sebiji nama kau. Apa lagi, teruslah jadi pakwe dia Qi...”

Bahu Zamri ditumbuk Rifqi. “Aku bukan orang yang gemar menangguk di air yang keruh.”

NEDIESHA TELAH memikirkan tempat yang sesuai untuk berjumpa dengan Rifqi. Tak sabar pula dia untuk melihat reaksi Rifqi nanti. Tentu terperanjat Rifqi kerana Artina itu ialah dirinya. Dia mahu detik itu jadi indah. Dia mahu Rifqi tahu rahsia hatinya. Benar, dia sukakan Rifqi Ekhsan. Jemarinya laju menyentuh abjad-abjad di dada telefon. Lalu terteralah ayat yang telah ditaipnya untuk Rifqi. Hari Ahad ini kita jumpa pukul dua petang. Dekat Starbucks Berjaya Time Square. Nediesha larik senyum bersama butang hantar. Penuh kesabaran dia menanti balasan dari Rifqi.

Tidak lama kemudian Nediesha mendapat balasan. Hanya dua huruf iaitu O dan K. Tak kisahlah... janji Rifqi telah bersetuju.

ARTINI SEDANG menyusukan Amalin. Amalin yang berusia dua tahun itu masih menyusu botol. Nik Rizal senyum bahagia melihat kedua-dua cahaya hidupnya itu.

“Amalin belum tidur lagi sayang?”

Artini berpaling sekilas pada suaminya dengan meletakkan jari telunjuk di bibir. Isyarat supaya suaminya tidak berbuat bising. Amalin hampir lena. Nik Rizal merapati isterinya.

“Bee nak cakap pasal Diesha,” bisiknya perlahan.

“Kenapa dengan Diesha?”

“Merajuk dalam meeting. Bee tak rasa dia minat join meeting tu. Bee nampak sangat dia cuba raih perhatian Rifqi.” 

“Tini tahu Diesha ada perasaan kepada Rifqi. Diesha pun ada mengadu pasal Rifqi tak nak keluar dengan dia.” 

“Ermm… nampaknya dia serius sukakan si Rifqi tu.”

“Tini dah warning dia supaya batalkan niatnya untuk pikat Rifqi. Gedik dia tu tak bertempat. Rifqi dengan dia mana mungkin boleh bersama. Jadi elok benarlah budak tu tak mahu layan dia.”

“Tini rasa adik Tini tu dengar ke cakap Tini? Bee tak rasa macam tu. Bukan Tini tak tahu perangai dia.”

“Ya Tini tahu sebab tu Tini cantas awal-awal.”

“Tapi kan sayang... jika benar jodoh mereka, siapalah kita nak halang.”

“Bee… si Rifqi tu belum tentu sukakan Diesha. Bee sudah bercakap soal jodoh.”

“Diesha tu cantik. Mana ada lelaki tak suka dia…” Tiada reaksi daripada isterinya, Nik Rizal luahkan persoalan pula.

“Tini tak suka beriparkan orang biasa seperti Rifqi?” Botol susu ditarik perlahan-lahan apabila Amalin benar-benar sudah tidur. Dahi Amalin dikucup penuh kasih. Usai itu matanya beralih pada suami.

“Tini tak kisah pun beradik iparkan siapa. Tapi disebabkan Tini tahu bagaimana sikap mama, Tini perlu bertindak cepat. Tini tak sanggup lihat Diesha menderita kerana cinta. Tini juga tak rela Diesha sengsara akibat kemarahan mama.”

Nik Rizal hanya menghantar redup pandangan tanda memahami apa yang dikatakan Artini. Dia yang bergelar menantu cukup kenal ketegasan ibu mentuanya itu apatah lagi Artini selaku darah daging. Dalam hati Nik Rizal dia bersyukur menjadi pilihan Engku Masitah. Memiliki Artini sebagai isteri tiada cacat celanya. Anak kepada wanita yang bongkak namun
Artini tidak mewarisi sifat itu. Artini Nadila seorang yang mudah dibawa berbincang, mendengar kata dan selalu buat dia gembira. Senyum Artini bak suria yang menyinarkan  seluruh kehidupannya.

Di pondok usang Kampung Simpor Kecil.

MELIHATKAN KEDUA-DUA orang anaknya begitu berselera menikmati nasi bersama gulai ikan haruan sudah membuatkan perut Mak Miah kenyang. Namun ada air mata yang bergenang di tubir mata tuanya.

“Mak… awat tak makan lagi?” tegur Aina. Dia nampak nasi di dalam pinggan ibunya belum terusik sedangkan dia sudah hampir kekenyangan. Rafiq turut menghentikan suapan. Penglihatannya teralih pada wajah usia emas di hadapannya. Nasi putih hanya dilenyek dengan hujung jari. Namun fikirannya tidak berada di situ. Mak Miah dongak pada Aina dan Rafiq.

“Mak dok teringat kat abang hangpa. La ni makan dok gi? Gulai ikan haruan ni abang hang suka sangat.”

“Mak, semalam kan dah sembang dengan Abang Qi. Tahulah pasai gulai ni mak ingat abang. Dia kat sana tentu dah makan mak. Dia bukannya kena tawan sampai tak diberi makan.”

“Hesy Abang Fiq ni, ada pula habaq lagu tu. Suka ka abang kita jadi tawanan?” Bidas Aina tidak senang dengan ayat Rafiq.

“Hang ni Aina. Cheq bagi contoh saja. Yang hangin sangat pasai apa...” pangkah Rafiq pula.

“Dah… dah... Hangpa berdua ni nak makan ka nak berkelahi?” Marah Mak Miah.

“Err… minta maaf mak. Hanglah Abang Rafiq...” Rafiq angkat penumbuk tangan kiri kepada adiknya. Aina tak mahu mengalah, dijelirkannya lidah. Tergeleng-geleng kepala Mak Miah melihatkan kelakuan dua beradik itu. 

Sebelum ini semasa Rifqi berada di kampung dialah yang menjadi orang tengah jika Aina dan Rafiq bertelagah. Rifqi adalah seorang abang yang bertanggungjawab. Dia sangat sayangkan Aina dan Rafiq. Tidak pernah lagi dia menaikkan tangan kepada Aina mahupun Rafiq. 

Dia bangga memiliki anak seperti Rifqi. Anak yang taat, rajin dan tidak meninggikan suara apabila bercakap. Walaupun mereka sekeluarga bukan orang senang namun mereka hidup bahagia. Mak Miah berasa amat beruntung mempunyai anak seperti Rifqi, Aina dan Rafiq. Mereka bertigalah penawar hatinya semenjak arwah Kadir pergi menghadap Illahi.

Isteri Dambaan Dia - Bab 7

JAM di pergelangan tangan ditilik sekilas. Sedar sudah terlewat namun Nediesha masih berlenggang kangkung. Kedudukan yang disandangnya di Sirna Jaya tidak membuatkan dia terkejar-kejar menghambat masa. Nediesha belum menunjukkan disiplin yang bagus baik dari segi pengurusan masa atau kerja. Jika pekerja lain berebut untuk punch card, dia terkecuali. Jangan haraplah dia mahu terikat dengan disiplin kedatangan seperti itu.

Pintu lif yang separa ternganga menampakkan susuk tubuh yang dikenali membuatkan dia kalut menekan butang naik. Lif ternganga luas kembali dan Nediesha berjaya menerpa masuk. Senyum lebar dia apabila dapat berdua dengan Rifqi dalam ruang yang sempit itu.

“Morning Rifqi,” ucap Nediesha tanpa sekelumit pun segan untuk menegur pekerja bawahan seperti Rifqi. Sepatutnya Rifqi yang perlu mulakan sebagai menghormati jawatan yang disandang Nediesha tapi memandangkan dia arif benar kedegilan melampau Nediesha
terhadapnya. Dia enggan beramah-tamah dengan gadis itu. Nanti makin naik tocang, dia juga yang menanggung rimas. Rifqi tunduk tetapi tetap membalas ucapan selamat pagi anak majikannya itu. Nampaknya wajah cantik yang bersolek nipis itu tidak laku untuk Rifqi bila dia lebih berminat tenung muka lantai yang dipijaknya.

Tidak mahu mengalah tubuh langsingnya dibawa rapat ke badan tegap yang memakai kemeja biru berjalur putih itu. 

“Rifqi… cakap cukup bulan mahu tebus janji.” Rifqi jarakkan tubuhnya ke tepi dinding. Sebelah kening Rifqi berkerut.

“Saya segan nak pelawa Cik Nediesha jika sekadar ke kedai mamak.”

“Saya tak kisah Rifqi. Asal dapat keluar dan makan bersama awak.” 

Rifqi dongakkan kepala. Terdetik menyesal dengan kelancangan mulutnya. Baginya Nediesha tidak akan ingat barangkali.

“Maaf saya perlu memungkirinya.”

“Orang macam awak rupanya tak boleh dipercaya. Hari tu bukan main berani, sekarang cuba lari pula,” Nediesha memprovoke. Rasa dipermainkan pula. Dia tidak sabar menunggu Rifqi mengajaknya keluar makan tapi sehingga ke hari ini Rifqi buat tidak tahu.

Pintu lif terbuka. Rifqi dan Nediesha sama-sama atur langkah keluar dari kotak besi itu.

“Cik Nediesha betul nak makan di kedai mamak?”

“Sure!”

“Tengah hari ni saya bawa. Lepas tu jangan ungkit lagi soal makan bersama cik.”

“Baiklah. Pukul satu nanti saya tunggu awak dalam kereta. Saya pandu, awak tunjuk arah.”

“Tak perlu naik kereta. Kedai mamak yang saya maksudkan tu hujung bangunan ni saja. Kalau tak suka, saya boleh batalkan.”

“Rifqi, kalau kedai mamak tu mana boleh. Budak-budak ofis ramai lepak sana. Malulah nanti.”

“Kalau macam tu cancel. Saya gerak dulu.” Nediesha cekak pinggang melihat tubuh Rifqi yang mula menjauh. Dia tahu Rifqi sengaja mengelak. Sengaja mengajaknya ke kedai mamak agar mereka tidak jadi keluar berdua. Kaki yang berbalut Vinci merah bertumit dua inci itu dihentak keras. Marah pada kekalahan yang diterimanya. 


MEMBUKA KOTAK mesej dari nombor yang tidak dikenali membuatkan hati Rifqi celaru. Mana tidaknya, mesej rayu-rayuan. Gadis yang memperkenalkan namanya Artina tempoh hari yang menghantarnya. Patah perkataan yang tertera di dada skrin dibaca sekali lagi. 

Rifqi… sehingga kini saya masih mengharapkan awak. Awak boleh menipu tidak mengenali saya. Memberi a lasan salah nombor namun saya yakin awaklah Rifqi yang pernah bertakhta di hati saya... Rifqi bungkam seketika sebelum jari-jemarinya menekan aksara untuk membalas mesej berkenaan. Bukan berniat mahu terus melayan tetapi mahu membetulkan keadaan. Kasihan pula kepada gadis yang telah salah orang itu. Cik Artina, sekali lagi saya katakan. Saya bukan Rifqi yang cik maksudkan. Maaf, saya betul-betul tak kenal Rifqi Ekhsan yang cik harapkan itu. Saya doakan cik akan bersua kembali dengannya suatu masa kelak. 

Mohon jangan SMS atau call saya lagi. Butang hantar ditekannya. Tetapi tidak sampai enam
puluh saat zikir daripada Ustaz Akil Hayy bergema. Sah nombor perempuan yang sedang menagih cinta teman lama. Nak angkat ke tak ni? Rifqi berkira-kira seorang diri lalu deringan yang di setnya itu mati sendiri.

Baru dia hendak meletakkan telefon Sony Xperia Miro itu, zikir beralun lagi. Lidahnya turut berzikir sama sebelum dengan lembut hati, dia menekan butang jawab. Salam yang dihulur tidak disambut sebaliknya dihadiahkan dengan bunyi esakan. Memang sudah parah perempuan ini. Adakah gadis ini penghuni hospital bahagia yang telah lari dari wad? Mengapa pula nombor dia yang menjadi sasaran? Rifqi menggosok dada.

“Cik Artina janganlah menangis. Sorry jika mesej saya itu buat cik bersedih. Saya faham apa yang cik rasa tapi cik juga  kena faham yang saya bukan Rifqi yang cik cari.” Nediesha di hujung sana pecah ketawa tapi dia tekap telefon supaya tawanya tidak didengari. Selepas itu, diujinya pula Rifqi.

“Kalau betul awak bukan Rifqi saya... buktikan. Saya mahu lihat sendiri rupa awak.”

“Cik Artina janganlah begitu. Kita saling tidak mengenali. Tak elok rasanya mahu bersua muka.” Rifqi mulai resah. Mana mungkin dia mahu berjumpa dengan perempuan yang sudah dicapnya miring itu. 

“Awak sengaja mengelak, bermakna awaklah Rifqi saya.”
 

“Macam inilah. Saya hantar MMS pada awak tunjuk wajah saya. Hendak hantar melalui whatsapp, telefon saya tak ada line internet. Boleh ke?” Rifqi beralah. Malas mahu melarutkan perbualan.

“Gambar... semua orang boleh hantar Rifqi. Saya sama sekali tak percaya. Melainkan awak sudi temui saya.” 

“Beginilah... hujung minggu ni kita jumpa. Awak boleh SMS nama tempat pada saya. Insya-Allah saya cuba datang.” 

“Baiklah kalau begitu. Terima kasih. Sayang awak!” Rifqi jatuh rahang. Lembik lututnya mendengar ungkapan sayang. Jantungnya umpama direntap berderai ke lantai. Sejuk mencengkam tulang belulangnya. Talian telah ditamatkan tapi telefonnya masih kejap dipegang. Musibah tidak dia cari... cinta tidak dia buru. Dirinya  dirantai persoalan yang berat menjerut jiwa. Artina dan Nediesha dua orang gadis yang datang serentak mengganggu hidupnya. Seorang di alam maya dan seorang lagi di alam realiti. Apakah ini petunjuk yang hatinya bersedia untuk dimiliki? Serasa terlalu cepat membuat konklusi. Hipotesis itu belum tentu benar untuk dijadikan rumusan. Justeru itu Rifqi enggan memikirkannya. Hal hujung minggu itu akan dia bincangkan dengan Zamri nanti.

BILIK MESYUARAT yang berhawa dingin itu dirasakan panas oleh Rifqi. Mesyuarat kecil itu sepatutnya dihadiri oleh pekerja di bahagian pemasaran sahaja. Dia sama sekali tidak menyangka Nediesha akan turut serta. Dia sedar jawatan yang disandang gadis itu memungkinkan segalanya. Namun sungguh dia tidak betah. Itu presentation pertamanya. Gugup terkumpul di dalam dada, senaknya tidak tertahan. 

Mata Nediesha terlalu tajam merenungnya. Dirinya bagai telah ditelanjangkan oleh pandangan itu. Malah mata itu nampak seperti dikerdipkan kepadanya. Dia yang perasan  atau itu kenyataan?

Hendak tak hendak prentation harus dimulakan jua. Meski tidak selesa dengan kehadiran Nediesha dia tetap mahu mempersembahkan yang terbaik di depan Nik Rizal. Jika presentationnya disukai maka idea baru untuk pasaran Sirna akan dibawa kepada Engku Masitah. Inilah masanya dia menunjukkan kebolehan. Slide telah dipasang. Rifqi mengumpulkan semangat untuk bersuara dengan lantang.

“Seperti yang kita sedia maklum, produk Sirna merupakan produk yang mahal. Memang ia berkualiti, sayangnya tidak semua golongan boleh menggunakannya. Jadi di sini saya ingin cadangkan supaya produk syarikat kita boleh digunakan oleh golongan yang berpendapatan 
biasa.”

“Maksud awak, kita kurangkan harga produk kita?” Tanya Nik Rizal selaku ketua jabatan pemasaran. 

“Bukan harga, tetapi kita hasilkan dia dalam bentuk mini. Bermakna lebih kecil kuantiti bahan. Jadi dengan itu harganya mesti rendah, bukan. Lebih kurang macam set percubaanlah.”

Nik Rizal menggerakkan pen di tangannya seolah-olah sedang memikirkan idea Rifqi itu. 

“Relevan ke Rifqi buat begitu? Kandungan bahan yang sedikit bermakna ia cepat habis digunakan. Bukankah itu akan menambahkan kos pengeluaran pada bahagian packaging?”

“Kos itu tidak melampau sekiranya produk mini Sirna laris di pasaran.”

“Rifqi, I guess Engku Masitah will not agree with you. Selama ini memang produk kita bukan sasaran pada orang yang tidak berduit. So, buang masa sajalah kita cuba,” Nediesha membuat bantahan.

“Cik Nediesha, cadangan ini belum sampai ke tangan Datuk Rosli ataupun Engku Masitah. Kenapa Diesha pula yang pandang rendah pada usaha Rifqi? Abang yang arrange bahagian ni. Abang izinkan Diesha join supaya dapat lihat dan belajar, bukan memangkah idea orang 
lain.”

“Encik Rizal, saya bukan memangkah. I just said my opinion. If you think this is a good idea you can make proposal and submit to Engku Masitah. I don’t mind!” Berlaku sedikit ketegangan di antara Nediesha dan Nik Rizal. Namun Rifqi yang masih berdiri di hadapan tetap tenang.

“Cik Nediesha, jual produk tidak boleh memilih pelanggan. Jangan letakkan jurang untuk pasarkan barangan. Saya akui Sirna telah gah hari ini. Apa sangatlah saranan saya tu. Saya tak kisah pun sebenarnya jika cadangan ni tak diluluskan tapi saya kesal jika cik membuat keputusan sebelum mencubanya terlebih dahulu.”

“Apa-apa ajelah.” Nediesha bingkas. Dia buat muka bengang. Dalam hati, kan bagus jika dia datang pegang tangan aku. Memujuk dengan kata cinta. Adess! Memang aku sudah gila. Sengaja bertelagah di dalam bilik mesyuarat untuk mencari perhatian.

Toing! Tak betul sungguh si Nediesha ni... 


PELUANG HARUS dicari untuk mendekati Rifqi. Nampak kelibat Rifqi di pantri dan Nediesha cepat atur langkah. 


“Ehem… buat kopi ke?” Tegur Nediesha. Badannya disandarkan ke dinding.

“Ya buat kopi.” Rifqi menoleh. Berdebar hatinya ditegur Nediesha.

“Buatkan untuk saya juga.” Pinta Nediesha dengan gaya menggoda. Ah sudah! Rifqi mula tak tentu arah. Namun mug kosong tetap dicapai. Kopi tetap dibancuh. Saat mug dihulur, hujung jari mereka berlaga menyebabkan Rifqi sedikit tersentak. Tetapi Nediesha buat tidak tahu malah sengihnya sudah berkuasa dua.

“Rifqi, malam ni saya ambil awak, kita keluar dinner. Bagi alamat rumah sewa awak.” Selamba cengkadak Nediesha meminta.

“Hah?”

“Alamat.” Berkhayal ke dia ni tak dengar apa aku cakap. 

“Maaf Cik Nediesha, saya tak keluar dengan perempuan malam-malam.”

“Makan aje pun, bukan buat apa-apa.” Nediesha mencebir. Dalam hati geram mencanak dengan sikap lelaki itu. Boleh diumpamakan macam ikan takutkan mata kail. 

“Maaf sekali lagi. Saya pergi dulu. Ada kerja yang belum  siap.” Kaget Rifqi memberi alasan demi mengelakkan diri.

“Awak sepatutnya kena keluar dengan saya untuk pujuk saya. Tak nampak ke saya bengang dalam meeting tadi?” 

“Cik Nediesha saya tak faham. Apa kaitannya makan malam dengan meeting?” Bingung Rifqi dibuatnya. Kepalanya jadi gatal tiba-tiba. Apa lagi garulah.

“Dengan kita keluar bersama awak berpeluang untuk rapat dengan saya. Hal ini sangat menguntungkan sebab saya dapat pujuk mama dan daddy untuk terima usul awak.”

“Cik Nediesha cakap begitu, berunsurkan rasuah tahu tak. Pasal usul saya tu, Encik Rizal yang uruskan. Dia telah bersetuju untuk submit proposal kepada Engku Masitah.” 

“Ambik baliklah kopi ni. Saya tak nak minum.” Nediesha ketap bibir.

Terkebil-kebil Rifqi memandang mug yang diletakkan Nediesha. Sah merajuk. Aduhai...

Isteri Dambaan Dia - Bab 6

SUAPAN nasi di mulutnya terhenti. Terkejut tak usah cakaplah. Sedap-sedap dia menikmati nasi campur di gerai bawah pokok ni tiba-tiba Nediesha muncul di depannya. Halimunan ke apa anak CEO Sirna Jaya ni. Zamri di sebelahnya boleh buat tak tahu. Dia yang nyaris terkeluar biji mata member di sebelah baik punya babak. Buat derkk bodoh.

Kaki di bawah meja laju menendang betis Zamri. Berkerut dahi Zamri menahan sakit. Nediesha pula dengan riak selamba buat iklan ubat gigi Fresh n White. Nasib baik gigi cantik kalau jongang tak sanggup dia nak pandang.

“Cik Nediesha nak makan sini juga ke?”

“Tak. Nak tengok awak,” balas Nediesha. Kedua tangannya duduk menongkat dagu dengan mata yang tak lepas menatap wajah Rifqi. Zamri yang mendengar lepas ketawa dalam hati. Sempat dia berpaling ke belakang dan menyengih seorang. Tidak keruan Rifqi dibuatnya. Diam dan kelu tak tahu nak jawab apa. Sudahnya teh o ais disedutnya perlahan. Memberi kesejukan pada anak tekaknya yang mula kehilangan air liur.

“Saya tahu Cik Nediesha tak makan di gerai macam ni?”

“Betullah tu. Sebab tu saya kata just nak tengok awak. Saya ajak keluar makan dengan saya Rifqi yang tolak. Jadi terpaksalah saya datang sendiri tengok awak makan.”

“Kenyang ke tengok saya makan?”

“Memang saya dah kenyang.”

“Kalau dah kenyang eloklah cik masuk ke pejabat dulu. Zohor pun dah masuk waktu. Saya dan Zamri pun mahu ke surau sekejap lagi ni.”

Berubah tiba-tiba wajah Nediesha. Padam tiba-tiba niatnya untuk terus menggoda. Terdengar dia merengus sebelum menolak kerusi dan berlalu. Rifqi sambung makan tetapi Zamri hamburkan ketawa. Sahabatnya dikerling dengan hujung mata.

“Ketawa sikit-sikit sudahlah. Karang ada air lebihan masuk dalam teh o ais aku ni. Berubah rasa aku curah dalam mulut kau nanti.” Marah Rifqi. Dia faham benar mengapa Zamri terkekek ketawa. Depan Cik Nediesha tadi rela kemam dalam perut.

“Qi dia memang suka kaulah. Tiba-tiba datang bertenggek kat gerai ni sebab kau ada. Memang bertuahlah kau.”

“Bertuah amendenya, dapat dosa percuma. Dengan baju tak cukup kain dia tu. Rambut tak bertutup.” 

“Sekali-sekala cuci mata bro.”

“Tengkorak kau cuci mata. Itu namanya berbulu biji mata. Ha... satu lagi kalau Datuk Rosli nampak dia kat sini, habislah. Tak pasal-pasal aku kena pecat.”

“Apa punya pendek kau punya akal. Takkanlah sebab anak dia duduk semeja dengan kita kau nak dipecatnya. Tak relevan langsung. Tapi kan cepat pula dia pergi bila kau suruh solat.”

“Dia pun tahu tak baik lewatkan solat.”

“Lurusnya kau ni. Kalau badan pun dia tak reti tutup, aku rasa sembahyang pun dia tak tahu.” 

“Don’t judge the book by its cover Zamri. Entah-entah solat dia lebih baik daripada kita cuma dari segi pakaian dia belum dapat hidayah.” Nasihat Rifqi pada kawan baiknya itu.

Kita tak berhak menilai seseorang melalui luarannya. Kadang-kadang orang yang nampak buruk di mata kita baik budi bahasanya. Yang hitam pada pandangan kita mana tahu putih hatinya. Yang cantik pada kita pula tidak semestinya cantik lahiriahnya.

NEDIESHA TIDAK menunjukkan minat untuk belajar sewaktu mengikuti Artini ke kilang mereka. Kilang yang terletak di kawasan perindustrian itu adalah kilang yang sepenuhnya mengeluarkan produk kosmetik Sirna Jaya. Kilang itu seratus peratus milik Sirna Jaya Kosmetik Sdn. Bhd.

“Malik bagaimana proses pengeluaran produk kita minggu ni? Ada sebarang masalah ke untuk mendapatkan kuantiti yang telah ditetapkan oleh syarikat?” soal Artini kepada Malik. Pekerja yang bertanggungjawab dalam hal pengeluaran produk.

“Tiada sebarang masalah puan. Bekalan bahan untuk kita hasilkan produk juga masih mencukupi.” 

“Baguslah macam tu. Jika ada sebarang masalah cepat beritahu saya. Satu lagi Malik pastikan kualiti produk kita terjaga. Dari segi campuran bahan mahupun kebersihan. 

Walaupun kita bukan pengeluar makanan tapi produk kita ini  melibatkan wajah wanita. Jika berlaku kesan negatif kepada si pemakai maka jatuhlah Sirna.”

“Ya puan. Saya faham.” Malik mengangguk patuh dan kembali meneruskan kerjanya. Artini pandang adiknya yang tadinya membisu saja.

“Diesha ada masalah ke?”

Nediesha gigit bibir. Beberapa detik dia berfikir sebelum mengutarakan pertanyaan.

“Kak Tini pernah jatuh cinta?”

“Mestilah pernah… dengan abang ipar Diesha tulah. Kenapa tanya soalan luar syllabus ni?” Artini ketawa kecil. “Diesha rasa macam jatuh cinta pada seseorang.” Lancar butir kata yang tertitip. Tanda tidak segan memberitahu kakak sendiri.

“Kak Tini tak pelik pun kalau Diesha jatuh cinta. Sebelum ni bukan Diesha tak pernah couple. Kat UK tu lama Diesha jalin hubungan cinta dengan Paul.”

“Tapi kali ni lain...” tangkis Nediesha. Jika perasaan dalam hatinya boleh dilukis, dia mahu tunjukkan rupa. Susah sebenarnya untuk dia terangkan mengenai rasa yang sedang teranyam itu.

“Lain macam mana tu?” Artini sengetkan hujung bibir. Nediesha pegang pipinya. Lama.

“Rasa sepertinya syok sendiri. Macam Diesha seorang saja sedang jatuh cinta. Betul ke perasaan Diesha ni?” Artini mula memberikan perhatian penuh apabila bibir adiknya muntahkan luahan hati. Tadinya matanya melilau memerhatikan pekerja-pekerja kilang membungkus produk Sirna Jaya.

“Cuba cerita betul-betul Diesha jatuh cinta pada siapa. Kenapa rasa syok sendiri pula?”

“Entahlah. Diesha pandang mata dia tapi dia tak mahu pandang mata Diesha. Diesha renung wajah dia tapi dia macam nak lari. Diesha cuba ajak dia keluar makan tapi dia  menolak.”

Pembayang yang diberikan si adik dapat diagak siapa gerangan tuan badan.

“Hmmm… maksud Diesha si Rifqi tu ke?”

“Yalah siapa lagi…” Mendatar tanpa nada. Hati di dalam mahu mengadu betapa kecewanya dia dengan layanan dingin si jejaka.

“Diesha dia bukan orangnya untuk Diesha test market. Dia tak sesuai untuk Diesha uji setinggi mana saham Diesha. Dia bukan lelaki yang sepatutnya untuk Diesha jatuh cinta. Jangan permainkan perasaan orang Diesha.” Artini salah faham.

Baginya Nediesha tidak serius tentang ‘rasa’ itu.

“Kak Tini, Diesha tak berniat mahu permainkan perasaan dia. Bukan juga untuk menguji hati lelakinya. Sekarang ni Diesha yang rasa dipermainkan sebab dia tidak mahu melayan Diesha,” tegas Nediesha. Dia yang seolah-olah bertepuk sebelah, dia pula yang diberikan amaran.  Artini silang tangan ke dada.

“Diesha sedar tak apa yang Diesha cakap ni? Rifqi tu siapa untuk Diesha suka? Sebelum hati Diesha tu keluarkan bunga cinta yang kembang, matikan pucuk yang baru berputik tu. Ingat siapa Engku Masitah.”

“Kak Tini…” Eh kakak aku ni dah kenapa? Tiba-tiba marah pula. Bodoh sangat ke jatuh cinta kepada Rifqi? 

“Enough about him! Kak Tini tak nak dengar. Pastikan mama tak tahu perasaan bodoh Diesha tu. Belum sampai sebulan lagi Diesha di Sirna Jaya, jadi jangan buat hal.” Tiba-tiba  Artini keluarkan amaran keras.

Nediesha hentak kaki dengan geram. Sakit hatinya diberi amaran oleh Artini. Silap masa ke sesi meluah isi hati petang ini? Tak pasal-pasal Artini emosional. Tahulah orang tu tak pernah bercinta sebelum kahwin. Nikah dulu pun kena paksa.

Huh! Ingat boleh jadi penasihat peribadi tapi belum apa-apa sudah membantah. Ingat aku takut ke apa. Nediesha membentak tanpa suara.

PEMANDANGAN MALAM yang indah ditemani kocakan air dari kolam renang, Nediesha duduk bersantai bersama bapanya. Kepala dijatuhkan ke bahu bapanya. Entah kenapa malam ni terasa ingin bermanja dengan lelaki yang dikasihinya itu. 

“Diesha tak keluar ke malam ni? Dulu sebelum masuk  ke Sirna Jaya hari-hari keluar dengan kawan.” 

“Penatlah daddy. Petang tadi kan ikut Kak Tini pergi kilang.”

“Ha... macam mana seronok pergi kilang kita? Bangga tak Sirna mempunyai kilang sendiri di Malaysia. Bukan calang-calang perusahaan kita tu sayang...” Dengan masih berbantalkan bahu bapanya air kolam direnungnya. Pujian Datuk Rosli mengenai Sirna Jaya tidak menarik minatnya.

“Bukan kita daddy, tapi mama…”

Wajah anaknya dipandang. Datuk Rosli tarik nafas dalam-dalam sebelum bersuara.

“Diesha... mama chairman Sirna Jaya. Itu yang tertulis di atas kertas, semua orang tak dapat nafikan. Sebagai anak, Diesha perlu bangga kerana mama Diesha ialah pengasas produk kosmetik Sirna. Bukan senang mama bangunkan semua itu, jadi wajarlah dia terlalu peka dan sensitif dengan hal Sirna Jaya. Siapa yang mahu apa yang mereka usahakan musnah di tangan orang lain. Daddy sebagai suami, menghormati mama. Malah daddy berbangga memiliki seorang isteri yang bijak sepertinya.”

Nediesha bangunkan kepalanya setegak dengan badan.

“Bangga sehingga daddy tidak boleh keluarkan pendapat sendiri? Bangga tidak perlu andai mulut terpaksa membisu. Bangga berpada-padalah daddy jangan sampai hilang hak sebagai suami.”

“Astaghfirullahalazim. Diesha cakap apa ni? Daddy tidak pernah hilang hak dalam keluarga kita Diesha. Sehingga kini daddy tak faham kenapa Diesha begitu paranoid dengan mama? Apa salah mama? Jika kerana ketegasannya yang buat Diesha tak suka itu tidak patut sama 
sekali.”

“Entahlah daddy. Mungkin daddy dan Kak Tini bangga dengan apa yang mama ada dan gapai selama ini tapi tidak Diesha. Segala yang terpentas di depan Diesha sejak dari kecil umpama wayang yang merobek hati. Daddy pun tahu di ambang kegemilangan Sirna Jaya Kosmetik, di mana mama letakkan diri Diesha.”

“Maksud Diesha, mama abaikan Diesha? Mama terlampau tegas dengan daddy dan Kak Tini hingga buat Diesha tak gembira. Itu ke yang merobek hati?”

Nediesha kemam bibir. Serta-merta setitik air matanya luruh. Tiba-tiba sebak membelit hati.

“Banyak daddy...” tuturnya perlahan. Jari kasarnya menyeka air mata yang luruh di pipi comel anaknya. 

“Apa yang dapat daddy simpulkan... Diesha belum mengenali mama sepenuhnya. Separuh sisi mama sahaja yang Diesha tahu. Malangnya separuh sisi baik yang ada pada mama tidak cuba untuk Diesha selami. Ya, daddy tak boleh salahkan Diesha. Diesha pun baru balik ke Teratak Masitah. Sewaktu kecil pula Diesha rapat dengan nenek dan Mak Chombi. Atau mungkin jua hubungan yang renggang antara mama dengan keluarga daddy yang buat Diesha sakit hati. Daddy boleh cerita semuanya sekarang. Diesha cukup dewasa kini untuk mengetahui segalanya.” Liurnya ditelan. Lidah bertutur lagi.

“Tentang Artini dan Nik Rizal pula, ia memang perkahwinan aturan keluarga tapi Diesha sendiri maklum yang mereka bahagia. Paksaan mama kepada Artini tidak buat dia menderita walau sekelumit pun. Sirna Jaya pula tidak bermasalah walau segala keputusan perlu dapat hitam putih terlebih dahulu daripada mama.”

Nediesha kalih badan menghadap bapanya.

“Perlu ke Diesha selami hati mama sedangkan Diesha tak rasa kasih sayangnya? Wajar ke daddy mengungkit kisah silam keluarga sedangkan daddy tahu semua itu tak merubah apa-apa pun?”

“Ya perlu sayang, sebab mama sentiasa kasihkan Diesha. Bukan mengungkit tapi menceritakan perkara sebenar. Tentu wajar bukan?” Nediesha geleng kepalanya.

“Maaf daddy, Diesha rasa mengantuk sangat. Kalau pun daddy bercerita Diesha tak mampu hadam sekarang ni. Diesha naik bilik dulu.”

Sorotan mata tua Datuk Rosli menghantar bayangan Nediesha ke tingkat atas. Benarkah anaknya sudah mengantuk atau sengaja tidak mahu mendengar? Benar dia cintakan Engku Masitah. Kerana cinta itulah dia kuat untuk berada di sisi wanita besi itu. Mengalah selama ini bukan bermakna dia kalah. Diam mengikut telunjuk selama ini bukan bererti dia lemah. Itu namanya sayangkan keluarga tetapi dia bukannya dayus.

Sungguh Datuk Rosli tidak faham dengan anak bongsunya itu. Artini tidak pernah sekali memburukkan ibunya. Anak itu lembut dan mudah beralah seperti dirinya. Patah katanya tiada yang menggores hati. Jarang sekali hendak dengar isterinya meninggikan suara kepada Artini. Tetapi Nedieshalah yang selalu buat darah isterinya itu naik. 

Nediesha suka melawan. Kelakuan agak kurang sopan malah bibir gemar memuntahkan butir kata yang kasar. Nediesha jauh di UK tetapi hal anaknya tetap sampai ke telinganya. Bukan Engku Masitah tidak pernah mengamuk tapi dialah yang selama ini pertahankan Nediesha. Cuba menyorokkan segalanya. Namun begitu, Nediesha tidak berani berlawan kata depan-depan dengan isterinya. Janganlah Nediesha bertindak sebegitu, tidak sanggup dia bayangkan kemudaratan yang bakal terjadi nanti.