“AWAK sengaja mengelak dari saya Rifqi?” Itu soalan pertama yang diajukan Nediesha ketika Rifqi ditemuinya.
“Taklah. Mana ada mengelak Cik Nediesha. Saya kan sedang bekerja ni,” jawab Rifqi tenang tanpa mendongakkan kepalanya.
“I know Rifqi, awak tak perlu nafikan. Saya nampak reaksi awak.”
Rifqi diam. Dia pura-pura sibuk menaip di komputernya. Nediesha cekak pinggang. Dia tidak kisah datang menagih cinta di meja pekerja Sirna. Bukan dia tidak tahu perbualan mereka boleh didengar pekerja lain yang hanya terpisah melalui partition. Lagipun line clear waktu ini, hanya Zamri di situ. Staf perempuan di partition sebelah ke tandas agaknya.
“Rifqi, cinta saya tak layak ke untuk awak?”
“Saya yang tidak layak untuk terima cinta cik,” balas Rifqi tanpa memandang wajah Nediesha. Sungguh dia takut untuk menatap mata gadis cantik itu. Jika bersabung mata perasaannya tentu dapat dibaca Nediesha. Nediesha tidak perlu tahu apa yang ada di perdu hatinya.
“Rifqi... hati saya pilih awak. Jadi mengapa awak cakap tak layak? Cinta tak kenal siapa Rifqi.”
“Cik Nediesha saya sedar siapa saya. Mana mungkin kita boleh bersama.” Perlahan tapi jelas maksudnya.
“Itu lelaki pengecut yang cakap. Sekarang saya nak dengar dari mulut awak. Awak suka atau tidak pada saya?” soal Nediesha dengan tegas. Memberontak jiwanya ingin mengetahui perasaan Rifqi terhadapnya. Cinta dalam hatinya bukan rahsia lagi. Telah diluahkan kepada lelaki itu. Masakan dia mahu luahan itu diabaikan tanpa balasan.
“Saya suka Cik Nediesha sebagai majikan saya.” Bibir memberi jawapan dengan mata masih di skrin komputer. Nediesha yang berskirt pendek dia cuba elak untuk pandang. Imannya bukan kuat sangat.
“Bukan itu jawapan yang saya cari. Saya mahu tahu hati awak.” Nediesha merengus.
“Hati saya masih seperti biasa.” Mendatar tetapi ada getaran di dalamnya. Minta-minta dia cepat pergi. Semakin dia asak aku dengan soalan terasa jantung hendak meloncat keluar.
“Bohong!” Nediesha tepuk meja Rifqi. Rifqi berpaling jua. Menjadi juga idea tepuk meja si Nediesha ni. Dapatlah dia tengok wajah penuh Rifqi. Tadi sipi saja. Hanya 50 peratus sebab orang tu macam tak sudi nak pandang.
“Terserah. Saya harap cik percaya. Tiada gunanya cik kejar lelaki tiada masa depan seperti saya. Belum terlewat untuk Cik Nediesha tarik balik kata cinta dan betulkan hati cik pada paksinya.”
“Never mind. Saya akan buktikan, saya mampu miliki awak Rifqi.” Telunjuknya ditunjal ke dada Rifqi. Berdegup jantung Rifqi. Telunjuk Nediesha yang singgah beberapa saat itu sesakkan dadanya. Nediesha telah berjalan pergi tapi dia tinggalkan rasa senak buat Rifqi. Bukan sakit menerima tunjalan itu tapi jiwanya yang sakit. Kata-kata Nediesha tajam menikam. Dia tahu Nediesha tidak bergurau. Gadis seperti itu tidak bercakap omongan sia-sia. Zamri jenguk Rifqi di sebalik partition.
“Wow! Hebat kau Qi. Puteri raja datang menyerah. Siap buat akuan, engkau hendak dimilikinya…”
“Banyaklah kau punya hebat. Dia buat aku tak senang duduk tahu tak.” Rifqi tayang penumbuk kepada Zamri.
“Kalaulah aku yang diidamkan dia. Hari ni juga aku kahwin.” Zamri tayang sengih. Dia buat aksi sedang berangan.
“Aku sepak juga kau ni karang Zam. Kau tak payah berangan lebih-lebih, tak pasal-pasal Engku Masitah sembelih kau nanti.”
Zamri mencemik. “Padahal engkau yang cemburu.”
“Cemburu tu adalah sikit-sikit tapi aku lagi takutkan harimau betina tu.”
“Untung kau sebenarnya disukai Nediesha tapi jalan yang bakal dilalui tu rumit hakikatnya. Jika kaki yang berjalan perlu memijak bara dan duri entah korang berjaya ke garisan penamat atau tidak. Kalau kandas di pertengahan jalan pula boleh ke berpatah balik?”
“Dalamnya kau punya ayat. Pandai juga kau bermadah ya Zam. Jadi penulis novel cinta pun boleh kau ni.”
“Gila. Baca novel cinta pun aku tak minat takkan nak menulis pulak. Ayat tadi tu aku cipta khas untuk kau. Kau fikirlah sendiri apa yang tersirat. Aku cuma nak tengok kau bahagia. Aku tak nak kau sengsara kerana terlibat dengan cinta si anak harimau betina tu.”
“Terima kasih atas keprihatinan kau tu. Pergilah sambung kerja. Aku nak pergi tandas kejap.” Zamri angkat ibu jari. Rifqi… Rifqi… dada yang ditunjal, perut pula yang meragam.
ARTINI MASUK ke bilik Nediesha. Adiknya pula jauh termenung dengan muka mangga muda. Dicuitnya bahu Nediesha.
“Orang tua pesan kalau mahu jadi awet muda kena selalu senyum.”
“Diesha ni muda lagi Kak Tini. Tak terjejas pun wajah adik akak ni kalau tak pakai petua tu.” Nediesha juih bibir. Tanda tidak terkesan dengan saranan Artini.
“Kut ya pun janganlah memuncung macam tu. Kak Tini tengok pun seram.”
“Diesha tak ada moodlah Kak Tini.” Nediesha bermain dengan jari-jemarinya.
“Patutlah belum berusik lagi dokumen atas meja tu,” ujar Artini apabila matanya tertancap pada dokumen yang masih tersusun kemas di meja Nediesha.
Nediesha mengangguk lemah. Dia tidak bersemangat. Cinta buat Rifqi tewaskan dia.
“Diesha ada masalah ke berkhidmat di Sirna Jaya?” Jeda sebelum jawab.
“Sirna Jaya tak ada kaitan.”
Kalau Sirna Jaya tiada kaitan sah masalah hati.
“Diesha jangan cakap sebab budak tu pula Diesha moody macam ni.”
“Terbaiklah Kak Tini. Boleh baca apa di kepala Diesha ni.” Nediesha menguntum senyum kerana tembakan kata Artini tepat pada sasarannya.
“Diesha pleaselah. Semalam Diesha tak turun makan pun mama bising. Siap berleter lagi mahu cari calon suami untuk Diesha.”
Terkejut Nediesha. Bulu romanya siap berdiri tegak. Dia takut benar akan kenyataan itu.
“Kak Tini biar betul. Takkan tiba-tiba mama boleh cakap begitu.”
“Dia marah Diesha keluar berpelesiran. Dia bimbang Diesha berkawan dengan orang yang bukan-bukan. Tu yang boleh timbul pasal bakal suami.”
“Kak Tini tahu kan Diesha sukakan siapa.”
“Tahu dan Kak Tini tak beritahu mama pun pasal Rifqi. Kak Tini dan daddy cuma bantah. Kami minta bagi Diesha masa untuk berjaya dalam karier dahulu. Awal sangat kalau nak suruh adik akak ni bersuami.”
Nediesha urut dada. Lega rasanya.
“Diesha serius ke sukakan budak Rifqi tu? Dah fikir segala onak duri yang perlu ditempuh jika pilih dia?”
“Apa maksud Kak Tini? Hidup ni penuh ranjau kak, tak semestinya pilih dia bermakna hidup akan menderita. Jika kita terpilih untuk diuji-Nya kahwin dengan anak raja pun belum tentu bahagia.”
“Pandai Diesha berfalsafah. Kak Tini akui kebenaran tu. Kak Tini cuma takut sebab akak tahu Diesha tak kuat untuk tempuh segalanya. Buat apa berumah di tepi pantai sedangkan ombak yang ganas Diesha sudah takut untuk renangi. Buat apa makan cili sedangkan Diesha tak suka rasa pedas.”
“Sebab berani ingin berumah di tepi pantailah Diesha nak belajar berenang. Sebab tak makan pedaslah Diesha kena belajar telan cili.”
Artini geleng kepala bersama hembusan nafas.
“Diesha sedia maklum siapa Rifqi. Dan Diesha juga sedia tahu bagaimana pilihan mama. Kak Tini minta sangat Diesha jangan buat hal dengan mama. Jangan ikutkan rasa hati nanti Diesha yang mati.”
“Diesha berani mati asal apa yang Diesha impikan tercapai.” Yakin sekali Nediesha bertutur.
“Diesha terlalu muda untuk berani mati. Diesha belum matang dalam kehidupan. Jadi sebelum bertindak fikir kesannya dulu. Dengar nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman.”
“Diesha bukan macam Kak Tini. Lurus dan lembut dengan mama. Kak Tini jangan ingat Diesha tak mampu lawan mama,” rakus Nediesha menyindir kakaknya.
“Astaghfirullahalazim. Diesha cakap apa ni? Kak Tini nasihatkan Diesha cara baik, jadi jangan bongkak sangat lidah tu zahirkan kata-kata. Diesha ambillah masa fikir balik nasihat
Kak Tini. Jangan sampai impian tak masuk akal Diesha tu mama hidu.”
“I don’t care!” bentak Nediesha dengan memalingkan wajahnya ke arah lain. Bosan dengan leteran Artini.
“Diesha... Kak Tini sayang Diesha. Janganlah buat hati akak gundah. Kak Tini takut suatu masa Kak Tini tak mampu sebelahkan Diesha lagi. Kak Tini takut Diesha jatuh dan sakit untuk bangkit sendiri.”
Nediesha menutup telinganya. Cukup bengang dengan Rifqi yang tidak mahu menyambut cintanya, bebelan Artini menyakitkan jiwa pula. Bengkak hatinya mahu terus tadah telinga.
Melihatkan tingkah si adik, Artini faham. Rambut Nediesha diusap lembut. Dilabuhnya ciuman tanda sayang di ubun-ubun adiknya sebelum berganjak ke pintu.
JUS TEMBIKAI susu disedut rakus. Julia di depannya kehairanan kerana itu gelas kedua sahabatnya. Dia diajak keluar oleh Nediesha selepas habis waktu kerja. Hingga ke saat itu Nediesha belum meluah apa-apa.
“Diesha sejak dalam kereta lagi kau diamkan diri. Kau ajak aku keluar untuk jadi penonton kau minum tembikai susu bergelas-gelas ke?” tebak Julia. Dia dapat rasakan ada yang tak kena pada adik ipar abangnya itu.
“Jue... salah ke jatuh cinta pada lelaki biasa? Salah ke punya impian untuk hidup dengan lelaki tiada harta?”
“Kau maksudkan Rifqi Ekhsan? Lelaki yang kau cerita pada aku tempoh hari?”
“Yalah siapa lagi...”
“Tak salah Diesha cuma masalahnya keluarga kau. Kau tahu bagaimana effectnya, jadi aku rasa lebih baik kau kuburkan saja.”
“Kau ni macam Kak Tini kan? Langsung tak mahu kasihankan aku. Sikit-sikit fikir pasal perangai Engku Masitah. Tak bankraplah dia bermenantukan lelaki biasa.”
“Diesha bukan soal bankrap tapi soal pendirian. Sikap kau ni akan tinggalkan kudis buat dia.”
“Jue aku harap sangat kau boleh bantu aku. Boleh faham perasaan aku. Aku beritahu Rifqi perasaan aku pada dia tapi dia macam mahu larikan diri. Alasannya tak layak. Aku bosan begini tau tak.”
“Rifqi sendiri sedar diri jadi buat apa kau berani seorang nak pijak bara api?”
“Dah hati aku suka dia. Dah hati aku impikan dia. Mana boleh nak buang mudah-mudah.” Betul itu soal hati. Soal hati ni susah. Hati yang seketul tu bukan mudah untuk orang faham. Tuan punya badan pun kadang-kadang tak faham bahasa hati sendiri.
“Kau yakin dia pun sukakan kau?” tebak Julia sekadar menduga. Mahu membaca keyakinan cinta sahabatnya.
“Aku yakin. Aku nampak sinar tu di mata dia… cuma dia takut saja.”
Nampak air muka sahabatnya tiada keraguan. Betullah tu cinta separuh mati. Erk! Gusar juga sebenarnya dia. Gadis di depannya ini bukan dia tidak kenal. Persepsi cinta seorang Artina Nediesha bukan dia tak tahu. Mana tahu bibir kata cinta sebab terpukau dengan rupa paras, hati belum jitu mana pun untuk menongkah arus cinta.
“Kau dah fikir masak-masak untuk berdepan dengan mama kau?”
“Pasal mama tu aku tak nak fikir. Sekarang ni yang lebih penting aku mahu peluk hati Rifqi dulu. Aku nak dia mengaku yang dia juga cintakan aku. Lepas couple barulah boleh fikir bagaimana nak hadapi mama aku.”
“Jalannya tak semudah itu Diesha. Kau nak dia sambut cinta kau sedangkan jelas dia tak berani. Bermakna dia juga fikirkan natijah yang menanti.”
Siang malam Julia aku terbayangkan dia. Kalau bukan sebab dia, aku tak rajinlah nak bekerja di Sirna Jaya tu. Dia semangat aku kini. Nediesha merengus. Julia nampaknya kurang yakin dengan cinta yang dia perkatakan.
“Jue, aku betul-betul cintakan dia. Aku boleh jadi gila sebab angankan dia. Aku nak dia jadi suami aku. Dia lelaki baik. Dia boleh bimbing aku.”
“Habis mama kau?” Julia ni tak nampak orang lain dah. Nampak wajah Engku Masitah saja. Di matanya itulah penghalang terbesar cinta sahabatnya.
“Jue tak perlu kau sesakkan otak fikir pasal dia. Tahulah aku nak hadapi. Yang penting kau doakan dulu aku mampu dakap cinta Rifqi.”
Julia pegang tangan Nediesha. Seolah-olah mahu salurkan semangat dan tunjuk pengertian.
“Aku akan sentiasa doakan kau. Tapi dalam masa yang sama, kau juga perlu berdoa. Minta petunjuk Allah.”
“Aku tak pandai solat Jue. Sebab tu aku mahukan Rifqi. Aku nampak dia selalu ke surau...”
Luhur bicara Nediesha bergema. Kalau betullah bukan kerana rupa semata, dia yakin sahabatnya tak salah memilih.
“Niat kau tu betul. Semoga dipermudahkan,” akhiri Julia. Dalam hati dia bersyukur kerana terselit nawaitu begitu di hati sahabatnya. Itu bermakna cinta Nediesha bukan kosong semata-mata.