DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 10 February 2015

Oops! Suami Aku Bukan Duda - Bab 1



HARI ini genap empat bulan aku bekerja di Taska Mithali. Menjaga kanak-kanak di bawah usia empat tahun dan juga bayi. Alahai, apalah nasib aku... Umur baru nak masuk lapan belas tahun tapi dah kena main dengan bayi. Kalau anak sendiri tak apalah. Ini anak orang.

Kadang-kadang aku rasa baik aku balik tolong umi kat warung. Setakat tolong basuh pinggan dan buat air, itu kacang aje. Konon nak cari pengalaman tapi kena jaga bayi. Asalnya aku nak minta jadi cikgu tadika, tapi tiada kekosongan. Tak kesahlah mengasuh budak pun daripada aku tanam anggur di tempat orang.

Lepas habis SPM, umi memang ada tawarkan kepada aku untuk bantu dia kat warung, tapi aku ni jual mahal. Mentang-mentanglah aku ada kakak kat Kuala Lumpur, jadi aku nak cubalah merasa hidup kat sini. 

Hendak tak hendak, aku jadi pekerja taska sahajalah memandangkan aku cuma ada sijil SPM. SPM pula cukup-cukup makan saja. Sebab tu aku tak dapat panggilan pertama untuk masuk UiTM. Aku dapat panggilan kedua untuk masuk 

UiTM Shah Alam. Sebab tu aku nak kerja dulu. Bolehlah buat duit poket memandangkan sesi pengajian aku bermula pada bulan Disember. 

Mulanya aku mohon untuk jadi cikgu tadika kat sekolah Azfan. Azfan tu anak saudara aku yang berumur lima tahun. Tetapi tiada rezeki agaknya. Jadi, tercampaklah aku kat taska ni. Lagipun taska ni tak jauh dari tadika Azfan.

Em… Tak kesahlah kerja apa pun, Qistina Airisa. Janji masyuk. Nak sambung studi lambat lagi. Tak guna aku duduk di kampung menghitung hari sahaja.

“Qis, pergi salin Pampers baby Eisya. Dah basah tu.” Suara Kak Azmah menerjah ke telinga aku.

Aku berpaling lalu tersengih. Sengih yang tak mahu sengih sebenarnya. Aku ni dah kembang pipi. Kalau setakat salin Pampers tu aku tak kesah, tapi aku paling lemah kalau bab budak-budak ni ‘tut’.

“Baik, kak,” jawab aku dengan patuh. Karang kalau aku lambat jawab dikatanya aku ingkar pula. Aku mendapatkan Eisha yang sedang meniarap. Bayi comel itu berusia dalam lingkungan enam bulan. Aku mendukungnya untuk dibawa ke bilik air. Semerbak bau yang kurang enak dari lampin jenama Huggies yang dipakainya itu. Aku laksanakan jua tugas itu seikhlas hati.

Setelah siap, aku buatkan susu untuknya. Aku dodoikan dia di dalam buaian. Tidak sampai lima belas minit, Baby Eisya pun melelapkan mata. Belum pun sempat aku menghela nafas lega, aku terdengar tangisan kanak-kanak lain pula.

“Kenapa ni, Mia?” tanya aku kepada budak perempuan yang sedang menangis itu.

“Danish yang uat,” beritahu Mia, pelat.

Mata aku mencerlung ke arah Danish. Danish yang di bawah jagaanku itu memang selalu mengusik kanak-kanak lain. 

“Danish, kenapa usik Mia?”

“Danish nak anak patung tu,” kata Danish dengan jari telunjuk diarahkan pada anak patung Barbie yang dipegang oleh Mia.

“Itu kan anak patung Mia,” ujarku dengan lembut. Kena pandai psikologi dengan budak-budak. Nanti kalau kita menengking mereka memberontak.

“Tapi Danish suka!” bentak Danish sambil menghentakkan kakinya.

“Boy mana boleh main anak patung. Anak patung girl aje boleh main.” Aku cuba berdiplomasi dengan budak berusia tiga tahun lebih itu. Kiranya itu nasihat paling cantik bagi aku. Danish menjerit. 

“Nak juga!”

Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Huh! Bukan senang nak nasihat budak. “Okey, macam ni. Danish main robot dengan cikgu. Kita lawan nak?”

Danish nampak berminat dengan ajakan aku lalu memberikan anak patung Barbie kepada Mia. Mia lantas mengambil anak patungnya.

Main robot pun main robotlah, Qistina Airisa. Aku menarik tangan Danish lalu mengambil robot di dalam bakul. Aku berlakon menjadi budak kecil. Melayan keletah Danish bermain. Ternyata Danish senang dilayan begitu. 

Sejak aku tiba ke taska ini, Danish lebih rapat dengan aku. Dia tidak mahu dipujuk oleh pengasuh lain kecuali aku. Mungkin kerana aku sering melayannya bermain. 

Aku juga gembira kerana Danish gemar belajar dan bermain bersama aku.

Bapa Danish pernah mengucapkan terima kasih kepada aku. Katanya aku pandai menjaga anaknya. Anaknya kerap kali memberitahu keseronokannya berada di bawah jagaan aku.

Bercakap pasal bapa Danish ni boleh buat aku angau satu macam. Orangnya tinggi lampai, berkaca mata dan berkumis nipis. Kulitnya sawo matang dan sedap mata memandang. Setiap kali dia tersenyum, aku terkesima. Namun aku cepat-cepat istighfar. Yalah, tak baik macam tu. Kacak-kacak  dia pun laki orang, bapa orang.

Bapa Danish tu nampak macam datang daripada golongan berada. Setahu aku, dia tu ahli perniagaan. Datang ambil dan hantar Danish ke taska dengan BMW. Umur lebih kurang dalam lingkungan 33 tahun. Seorang yang kemas dalam berpakaian. Nampak tegas tapi kalau dengan aku, dia murah dengan senyuman. Hai, nasib baiklah kau suami orang. 

Hesy! Tapi kalau dia bukan laki orang pun tak mungkin aku masuk jarum. Aku yang masih belasan tahun ni tak mungkinlah nak bersuamikan lelaki yang tua tu. Tua pada akulah. Mana aku tak cakap tua, beza umur kami lima belas tahun. Bukankah tua itu namanya? Apa-apa sajalah, Cik Qistina oi.

“Cikgu bacakan Danish buku ni,” pinta Danish seraya menghulurkan sebuah buku. Agaknya dia sudah bosan bermain dengan robot.

Aku menyambut buku berkulit biru itu. “Oh! Bacakan buku Aladdin.”

Danish merapatkan tubuhnya ke tubuh aku. Bersedia untuk mendengar cerita aku. Aku dengan senang menarik Danish ke dalam ribaan. Aku mula membelek buku itu. Halaman pertama kubaca.

“Aladdin seorang budak yang cerdik tetapi pemalas. Pada suatu hari, ibunya memarahi dan menyuruhnya pergi ke pasar untuk mendapatkan kerja. Di pasar, Aladdin bertemu dengan seorang tukang sihir. Si tukang sihir berjanji akan memberikan wang emas dan permata jika Aladdin menurut perintahnya. Aladdin berasa amat gembira lalu mengikut si tukang sihir.”

Belum pun habis aku baca buku nipis itu, Danish terlena di atas ribaan aku. Kanak-kanak memang mudah terlelap apabila dibacakan buku cerita bahkan lagi enak tertidur berada di atas ribaan. Aku merebahkan Danish ke atas tilam. Aku perlu mengemas apa yang patut memandangkan jam sudah menginjak ke pukul lima petang. Biasanya ibu bapa akan mula datang ke taska untuk mengambil anak masing-masing selepas pukul lima petang.

“Encik Luqman, Danish tidur. Tak sampai hati pula saya nak kejut memandangkan dia baru tidur.” Aku memberitahu bapa Danish sebaik sahaja lelaki itu tiba ke taska untuk mengambil Danish. Dia tersenyum. 

“Boleh awak tolong angkat?” 

Erk! Ada ke patut disuruhnya aku angkat? Kalau anak dia tu seringan teddy bear tak apalah juga. Ini berat. Budak tu kan kuat makan. Mahu patah pinggang aku nak angkat sampai ke kereta dia.

“Cikgu… Cikgu…” panggil bapa Danish beberapa kali.

“Ya... Ya… Sa... ya…. tak… bo... leh… angkat…” Apa pasal pula aku tergagap-gagap ni?

 Meletus ketawa Luqman Hakimi.

Aku buat-buat tidak tahu. Membahang juga pipi aku sebab diketawakan oleh Luqman Hakimi. Entah apalah yang dilucukan sehingga dia boleh terkekek ketawa. Kalau dia ni abang aku, mahu aku cekik leher dia. 

Dia kembali serius. “Kenapa cikgu tak boleh angkat?” 

“Saya tak ada kudrat. Saya puasa hari ini,” balas aku dengan senyum sinis. Harap dia tak ambil kesah dengan bohong sunat aku tu.

Luqman Hakimi mengerutkan dahinya. “Bagusnya cikgu, hari Selasa pun puasa sunat.”

“Saya puasa ganti.” Dengan selamba aku menipu. Nanti kalau aku cakap puasa sunat, dia kata tak logik pula. Yalah, puasa sunat biasanya pada hari Isnin dan Khamis. Itulah hari yang lebih afdal untuk kita berpuasa sunat.

“Oh! Puasa ganti,” tuturnya sambil menganggukkan kepala. Itu tandanya dia berjaya ditipu.

“Naiklah, angkat sendiri anak encik tu,” arah aku.  

Dia memandang aku sambil mengangkat keningnya. Mungkin dia tidak berpuas hati dengan ayat aku. 

Aku masih lagi dengan muka sepuluh sen. Kemudian dia menanggalkan kasut lantas melangkah masuk ke dalam taska. Aku turut mengekorinya untuk mengambil beg Danish. Aku lihat, dia dengan penuh kasih sayang mengangkat anak lelakinya itu. Dia mengucup pipi Danish yang sedang lena tidur.

“Bertuah Danish mempunyai bapa yang begitu penyayang.” Hatiku berbisik lembut.

Seketika kemudian, Danish telah pun berada di dalam perut kereta.

“Ni beg Danish.” Aku menghulurkan beg yang mengandungi buku dan pakaian Danish.

“Terima kasih. Selamat berbuka puasa,” balasnya dengan senyuman. Beg itu bertukar tangan.

Sempat lagi dia sindir aku. Eh, dia tak menyindir kaulah, Qistina. Tadi kau yang mengaku berpuasa. Jadi, tak salah untuk dia mengucapkan selamat berbuka puasa. 

Aku hanya tersenyum tawar lalu dengan pantas berpaling ke belakang. Tak sanggup rasanya ditenung oleh suami orang lama-lama. Aku ni bukannya kuat iman sangat. Nak-nak lagi ditenung oleh lelaki kacak bergaya macam tu. Perasannya aku. Bila masa dia tenung aku?

No comments:

Post a Comment