LENA Raiqa sedikit terganggu gara-gara wajahnya terkena kesan percikan air. Keluhan kasar terlepas dari bibirnya. Dia betul-betul mengantuk lagi.
“Janganlah kacau, mak su. Rai nak tidur lagi.”
“Sayang... bangun. Subuh dah nak habis ni.”
Terbuka luas matanya sebaik saja suara garau itu muncul. Dia terus bangun dari perbaringan. Wajahnya berubah merah saat teringat babak yang berlaku semalam. Cepat-cepat dia menutup seluruh tubuhnya dengan selimut.
Tergelak Daim melihat reaksi si isteri. Boleh tahan liat juga dia nak kejutkan Raiqa. Jam sudah hampir 6 pagi. Sengaja dia mengejutkan isterinya lebih awal untuk solat bersama.
“Bangun sekarang. Pergi mandi. Nanti kita solat bersama.”
Terkebil-kebil mata Raiqa. Dia pandang ke arah jam dinding. Macam manalah dia boleh tak terjaga. Kebiasaannya dia sudah bangun jam 5 pagi untuk membantu mak su berniaga.
“Kenapa termenung lagi? Nak abang dukung ke?”
Laju Raiqa menggeleng. Bergegas dia turun dari katil bersama selimut yang masih membaluti tubuhnya.
Daim ketawa besar. Dia bangun sambil menghulurkan tuala.
“Jangan lupa mandi wajib, sayang.”
Makin merah wajah Raiqa. Jelingan tajam diberikan kepada si suami sebelum dia menutup pintu bilik air.
Setelah menunaikan solat subuh bersama, Raiqa ingin kembali melelapkan mata. Tubuhnya masih penat gara-gara majlis semalam.
“Eh, sayang nak tidur ke?”
“Ermm... Rai mengantuk.”
“Janganlah tidur. Jom kita buat sarapan untuk mak dan abah.”
“Hah?” Raiqa tercengang.
Daim tersenyum nipis. Tangan isterinya diraih dan diusap lembut.
“Masa nilah kita nak ambil hati mak dan abah. Abang dapat rasa mak masih marahkan abang. Tapi abang yakin lama-kelamaan mak mesti boleh terima perkahwinan kita.”
Menyampah Raiqa mendengarnya. Selama 2 minggu dia duduk di sini, hanya kata sindiran yang diberi. Mentang-mentang dia hanya gadis miskin.
“Pagi ni abang temankan Rai sediakan sarapan.”
“Mak abang tu sudi ke makan makanan yang Rai masak?”
“Kenapa cakap macam tu?” Berlapis dahi Daim.
“Selama Rai tinggal dekat sini, Rai nak sentuh dapur mak, dia tak pernah bagi. Setakat kemas dapur tu bolehlah. Takut sangat dapur mak abang tu terbakar,” sindir Raiqa.
“Rai dah salah faham. Jangan-jangan dia risau nak biarkan Rai masak.” Daim cuba bersangka baik.
Tergelak Raiqa. Dah diagak yang suaminya masih mahu sebelahkan orang tua itu.
“Rai tak pandai masak. Nanti kalau tak sedap, tak pasal-pasal makanan tu dicampak dalam tong sampah.” Sengaja dia berbohong. Bukannya dia tak pandai masak. Sekadar lauk biasa, bolehlah.
“Mak abang bukan macam tu. Cuba jangan bersangka buruk.” Kali ni nada Daim sudah bertukar tegas. Dia agak terasa apabila emaknya dituduh berkelakuan jahat.
Raiqa berdeham. Bukan niat dia untuk menyakitkan hati si suami. Dia cuma tak nak perkara itu berlaku. Tak mustahil hatinya yang akan sakit jika betul orang tua itu membuang masakan yang dimasaknya nanti.
“Jom, kita ke dapur. Kalau Rai tak pandai, kita boleh tengok YouTube. Semua maklumat di hujung jari.”
Nak tak nak, terpaksalah dia menurut. Harap-harap tak adalah dapur mewah Hajah Rogayah itu terbakar.
TIDAK BERKELIP mata Hajah Rogayah melihat hidangan di atas meja. Ada bihun goreng dan roti bakar. Banyak pula tu.
“Siapa yang masak?”
“Mestilah menantu mak yang masak,” celah Daim sambil merangkul bahu si isteri.
Raiqa sekadar tersenyum nipis. Memang dia yang masak. Mujurlah bahan-bahan masakan disediakan oleh si suami.
“Selama ni tak pernah dia rajin masak. Ingatkan tak pandai memasak,” perli Hajah Rogayah.
Wajah Raiqa terus berubah. Masih lagi niat nak menyindir.
“Sedapnya bau. Yah masak apa pagi ni?” Tiba-tiba muncul Haji Daus di meja makan.
“Bukan Yah yang masak. Rai yang sediakan,” jawab Hajah Rogayah acuh tak acuh.
Ternaik kening Haji Daus. Dia duduk di kerusi. Melihat hidangan yang ada di atas meja, perutnya terasa lapar.
Mereka semua makan dalam keadaan senyap. Sesekali Raiqa melihat reaksi ibu dan bapa mentuanya menjamah hidangan itu.
“Bila Daim nak pindah bersama Rai?” soal Haji Daus.
Hampir tersedak Daim. Dia segera membasahkan tekak terlebih dahulu. Raiqa di sebelah masih ralit menghabiskan makanan di pinggan.
“Insya-Allah, hujung minggu Daim bawa Rai ke sana,” jawab Daim.
“Cepatnya. Abang pun satu. Tak sabar-sabar nak halau anak kita keluar,” geram Hajah Rogayah. Dia sebenarnya masih belum bersedia tinggal berjauhan dengan si anak.
“Kita dah pernah bincang sebelum ni. Abang nak Daim dan Rai berdikari selepas ni. Tak ada gunanya dia berkahwin kalau kita yang masih nak menanggung mereka,” ujar Haji Daus.
Terkesan juga Raiqa. Macamlah dia hadap sangat nak tinggal di sini. Tak sabar dia nak berpindah ke rumah baharu bersama Daim. Tak perlulah dia tadah telinga mendengar kata-kata sindiran ibu mentuanya.
“Lepas ni apa rancangan Daim?” tanya Haji Daus.
“Daim nak cari kerja,” jawab Daim.
“Kenapa susah-susah nak cari kerja? Kerja ajelah dengan abah.” Hajah Rogayah membantah keras.
“Syarikat abang tak ada kerja kosong. Nak kerja perlukan pengalaman dan kelayakan yang sesuai.” Tegas nada suara Haji Daus.
“Dengan anak pun nak berkira,” balas Hajah Rogayah.
“Itulah yang Yah silap. Abang buat semua ni supaya Daim belajar dari bawah. Bukan semuanya nak disuap,” bebel Haji Daus.
Hajah Rogayah menjeling geram. Ada-ada saja yang dibantah oleh si suami. Dia pandang ke arah Raiqa. Saat mata mereka bertemu, renungan tajam diberikan kepada si menantu.
Tertelan air liur Raiqa. Dia tunduk ke bawah. Cepat-cepat dia menghabiskan makanannya. Tak sanggup dia nak berdepan dengan orang tua Daim.
Selesai sarapan, Raiqa membasuh pinggan kotor di singki. Daim dan Haji Daus berada di ruang tamu. Terasa sesak nafasnya berada di ruang yang sama dengan ibu mentuanya.
“Kesian Daim. Tak ada masalah, cari masalah. Masa depan tu dah elok, sengaja nak gelapkan masa depan sendiri.”
Panas telinga Raiqa.
“Budak sebaya Daim tu sepatutnya belajar lagi. Bukannya menyusahkan diri sendiri tanggung anak orang. Kalau isteri tu perangai elok, sedaplah mata ni nak memandang.”
Pang!
Dek terlalu marah, pinggan di tangannya dihempas kasar ke singki. Nasib baik tak pecah. Turun naik nafas Raiqa menahan marah.
“Kau nak pecahkan barang aku ke?”
“Apa maksud mak tadi?”
“Aku cakap apa?”
“Cepatnya mak dah nyanyuk. Tadi bukan main lagi menyindir.” Kali ini dia dah tak mampu bersabar.
“Kau terasa ke?”
Raiqa tergelak sinis. Tangannya dibasuh terlebih dahulu sebelum dia menutup paip air.
“Betul juga kata mak. Kesian abang. Dia tertipu dengan sikap baik mak.”
Bulat mata Hajah Rogayah.
“Abang cakap, mak dia seorang yang sangat baik tapi apa yang Rai tengok, perangai mak mengalahkan mak tiri yang kejam.”
“Kurang ajar!”
“Rai hanya kurang ajar dengan orang yang biadab. Mak tilik diri mak tu dulu sebelum nak hina orang lain.”
“Aku cakap benda yang betul. Kalau kau budak baik, kau takkan bawa anak aku sampai ke bilik tidur.”
“Ya, Rai memang perempuan jahat. Jangan nak salahkan Rai kalau anak mak pun sama-sama jahat.”
Tergerak-gerak rahang Raiqa. Kedua-dua tangannya dikepal kuat. Disebabkan tuduhan mak su dan penipuan Daim, dia dituduh perempuan yang tidak bermaruah. Laju dia melangkah meninggalkan dapur.
Daim yang baru muncul di dapur terkejut dengan reaksi si isteri. Dipandang ke arah emak yang masih berdiri kaku di dapur. Sah, ada sesuatu yang terjadi semasa dia berada di ruang tamu tadi.
**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /
: 019-3729676 (Admin Shida)