“AD...”
Tiada reaksi.
“Ad!”
Anum tersentak.
“Ya? Apa you cakap
tadi?”
Terdengar sedikit
keluhan.
“I dah bercerita
sikit punya panjang, you buat bodoh aje. Panggil 10 kali pun tak menyahut.
Sakit hati betullah!”
Anum mengukir
senyuman tawar.
“Sorry babe... I
berangan sekejap tadi.”
“Berangan apa?
Rindukan Danny ke? Relakslah, esok lusa dia baliklah. Baru berapa hari dia tak
ada, takkan dah tak boleh nak tahan sikit kut?” Melinda mengusik.
“Rindu apa benda pulak
ni? Eh, you jangan suka-suka nak usik I tak tentu pasal, boleh tak? Nanti
tak pasal-pasal I mengamuk dekat sini pulak karang!” kata Anum seraya
menjeling tajam. Tanda tidak suka dengan usikan Melinda sebentar tadi.
Melinda
menggeleng-gelengkan kepala. Sensitif sangat!
“Come on
girlfriend... chill up and tell me what is wrong with you?” Melinda menyoal
sambil menongkat dagu. Menunjukkan minat untuk mendengar masalah sang sahabat.
Dalam ramai-ramai
kawan, mungkin hanya Melinda seorang saja yang boleh tahan dengan perangai
angin kus-kus Anum dan juga panas barannya. Kerana itulah persahabatan mereka
boleh bertahan lama. Kawan-kawan yang lain, semuanya sering makan hati dan menyampah
dengan kepala angin Anum. Setakat kawan-kawan biasa yang sesekali bertegur
sapa, berbual barang seminit dua, mungkin tak ada hal. Tapi, kalau nak jadi
teman rapat macam mereka berdua, kirim salamlah... Tak tahan!
Melinda saja yang ada
kesabaran tinggi tahap langit ketujuh melayan kepala angin Anum. Tapi, selain
daripada Melinda, ada sorang lagi yang kebal telinga dan hati dalam melayan
kerenah Anum. Siapa lagi, Dannylah!
“I sakit hati dengan
ayah I...” Anum bersuara dengan agak perlahan.
“Ayah you? Kenapa
dengan dia?”
“Ayah I tulah...
masih lagi dengan projek kahwin tak habis-habis. Dulu dengan Khalil, jiran satu
taman dekat rumah I tu. Sekarang ni dengan anak kawan dia pulak. Anak
Pak Cik Omar. Hesy, geram betullah! You tak rasa kelakar ke? Macam hidup zaman
P. Ramlee pulak nak jodoh-jodohkan anak ni. Old fashion!”
Melinda senyum.
Terserlah kesepetan matanya. Dia masih setia mendengar rungutan Anum tentang
bapanya. Perkara yang sudah menjadi kebiasaan Anum selama bertahun-tahun. Kalau
tak merungut pasal ayahnya, memang tak sah.
“Abang Iqram pun
sama. Sibuk suruh I ikut cakap ayah. Lepas tu, mulalah puji apa yang ayah buat
tu baik, elok... Suruh I balik rumah dan berkenalan dengan anak Pak Cik Omar
tu. Tolonglah! Nak tengok muka dia pun I tak ingin. Abang Iqram ingat I tak
tahu yang dia datang ofis kelmarin sebab ayah yang suruh dia pujuk I? Eh, I ni
bukan lembik macam dia yang tak berani nak angkat muka langsung dengan ayah.
Nak ikut cakap ayah, lagilah... kirim salam!”
Anum menyandarkan
badan. Cuaca yang agak panas dirasakan bertambah-tambah panas apabila wajah
ayah terbayang di ruangan mata. Diambil buku menu di atas meja lalu dijadikan
kipas mengibas ke seluruh wajah. Matanya meliar melihat pelanggan-pelanggan
yang keluar masuk di restoran itu. Hujung-hujung minggu begini memang ramai
yang ambil kesempatan untuk makan di luar.
“Ayah tu memang jenis
yang tak faham bahasa betullah. I ingat bila dulu I buat hal tak balik rumah
berbulan-bulan sebab kes Khalil, dia dah insaf. Dia takkan paksa I kahwin lagi.
Tapi, rupa-rupanya dia tak serik. Sekarang ni dia buat lagi. Dia nak sampai I
tak balik rumah langsung agaknya!”
Melinda melepaskan
sedikit keluhan lalu ketawa kecil.
“Entahlah, Ad... I
nak cakap pun susah. Perangai you dengan ayah you tu sama aje. You degil, ayah
you pun degil. You keras kepala, ayah you pun keras kepala. Sama-sama tak nak
mengalah, sama-sama nak menang. Sampai bila korang anak-beranak nak jadi
macam ni pun I tak tahu.”
Anum diam. Menjeling
sedikit mendengarkan komen Melinda. Dia degil? Ayah tu lagi degil! Dahlah
degil, tak faham bahasa pulak tu.
“Cuba you beritahu I,
kenapa you tolak pinangan Khalil dulu? Dan sekarang ni pulak, you tak
nak kenal atau jumpa langsung dengan calon baharu yang ayah you pilih... kenapa?”
“Apalah soalan bodoh
yang you tanya ni? Dah tentulah dulu I tolak sebab I tak ada perasaan langsung
dekat Khalil. Walaupun kita orang duduk deret taman yang sama dan I selalu
bertembung dengan dia bila balik rumah ayah, pernah berborak empat lima kali,
tapi tak bermakna I sanggup jadi isteri dia. Dan sekarang ni, ayah nak jodohkan
I dengan lelaki yang I tak pernah jumpa, tak pernah kenal, terus nak kahwin?
Itu gila namanya!” Meja diketuk sedikit sebagai menunjukkan rasa tidak puas
hati.
“Walaupun Abang Iqram
cakap dia kenal lelaki tu, siap puji baiklah bagai, tapi I tetap takkan
termakan dengan puji-pujian Abang Iqram. Sengaja cakap yang manis-manis.
Entah-entah sebenarnya kelabu asap! I takkan terima lelaki yang I tak kenal
untuk jadi suami. Tak tahu macam mana perangai, tiba-tiba nak duduk serumah. No
way!” Panjang lebar Anum meluahkan perasaan sambil menggelengkan kepala.
“Kalau you tak kenal,
inilah masanya untuk you kenal dia. Kalau you nak tahu perangai dia macam mana,
mintalah tempoh untuk berkawan dulu supaya you boleh selidik semua pasal dia. I
yakin yang ayah you pun tak kisah kalau you minta tempoh untuk kenal hati budi
dia dulu. Jadi, kenapa nak tolak mentah-mentah terus?”
“Tak payahlah...
kalau kenal pun I memang tak ingin nak kahwin dengan orang tu.”
“Kenapa? Sebab
Danny?” Melinda menduga.
Anum membulatkan
mata.
“Maaflah ya... Danny
tak ada kena-mengena dalam hal ni. Kenapa tiba-tiba you mesti sebut nama dia pulak?”
Melinda ketawa.
“Tak adalah... I cuma
teringat, dulu masa you tolak pinangan Khalil, you bagi alasan pada ayah you
yang you dah ada calon lain. Beria-ia you minta Danny berlakon dan menyamar
jadi boyfriend you. Manalah tahu kalau-kalau sebenarnya itu bukan
lakonan, tapi you sebenarnya memang nak Danny tu betul-betul jadi teman
istimewa...” Melinda ketawa lagi.
Anum membentuk mulut.
Teringat pula sewaktu dia bersungguh-sungguh meminta Danny datang ke rumah dan
menyamar menjadi kekasihnya di depan ayah dan dia tidak mahu berkahwin dengan
Khalil kerana sudah mempunyai teman istimewa. Dan perkara itu ternyata
berhasil. Memang dia berjaya mengelak daripada berkahwin dengan Khalil, tetapi
ia juga menyebabkan ayah bertambah marah dan benci kepada Danny. Tak
pasal-pasal Danny diherdik ayah. Berbakul-bakul ayah berleter dan mengatakan
bahawa hubungannya dengan Danny tidak akan mendapat restu ayah.
Merah telinga Danny
mendengar sumpah seranah ayah. Ayah, memang dari dulu tak suka dengan Danny.
Ah, bukan saja dengan Danny, malah ayah juga tak berkenan dia berkawan dengan
Melinda. Ayah beranggapan bahawa Danny dan Melinda banyak mempengaruhinya
sehingga hanyut dan liar. Ayah sering menuduh merekalah yang mengajar dia
tentang dunia sosial dan mula lupa pada agama.
Ya, dia mengaku
bahawa dia memang suka pergi berhibur dan keluar masuk kelab malam sama seperti
Melinda dan Danny. Tetapi, ia adalah kerana dirinya sendiri dan bukan atas
pengaruh orang lain. Walaupun kaki clubbing, tapi dia tidak pernah
sentuh minuman keras. Danny juga sama. Mereka pergi semata-mata untuk berhibur
suka-suka dan menghilangkan tekanan. Kalau ayah anggap Danny itu jahat
semata-mata kerana suka masuk disko, itu memang tidak patut. Dan ayah juga
tidak perlu nak risau Danny akan jadi menantu, kerana dia sendiri tak pernah
terfikir pun hendak berkahwin dengan kawan karib sendiri.
“I minta tolong Danny
sebab tak ada pilihan lain lagi. Dialah satu-satunya kawan lelaki yang baik
dengan I. Lagipun, dulu-dulu I dah selalu tolong menyamar jadi girlfriend atau
tunang dia bila dia nak lari daripada perempuan lain. Jadi, apa salahnya kalau
kali ni dia pula yang tolong menyamar untuk I? Adil dan saksama. Itu
aje... bukannya sebab I cintakan dia.”
“Tapi, masalahnya...
Danny memang ada hati dekat you. Dia pergi menghadap ayah you sebab dia serius
nak ambil you jadi isteri dia. Bukan semata-mata nak menyamar atau berlakon.
Kena herdik, kena marah, semuanya dia telan dan tak melawan langsung. Danny
memang bersungguh-sungguh nak ambil hati ayah you. Dia selalu berdoa dan
mengharap yang ayah you akan mengalah dan bersetuju untuk jadi wali bila you
dengan dia berkahwin nanti.”
Anum membulatkan biji
mata. Wah, Melinda bukan main pandai pula bercakap pasal wali!
“Babe, takkan
you nak dera perasaan Danny lama-lama? You terima ajelah dia. Kalau you kahwin
dengan dia, dalam masa yang sama, masalah dengan ayah you pun selesai. Dia
takkan boleh nak paksa you kahwin lagi. Dan you pun pasti akan bahagia kerana
berada di samping orang yang betul-betul sayang dan cintakan you.”
“Isy! Kita cerita
pasal apa sebenarnya ni?” Anum mula tak senang duduk. “Tadi kita tengah cerita
pasal lain, kenapa tiba-tiba boleh masuk topik Danny pulak ni? Jangan
lari tajuk, boleh tak?”
“I tak lari tajuk.
Kita masih bercakap hal yang sama dan I dah berikan jalan penyelesaian yang
paling baik. Kalau ayah you nak sangat menantu, you kahwin ajelah dengan Danny.
Senang cerita! Soal kena marah atau tak restu, pandai-pandailah korang berdua
ambil hati ayah you lepas kahwin nanti. I pasti, sekejap aje ayah you akan
lembut hati bila tengok Danny layan you macam puteri. You sendiri pun tahu
betapa dalamnya cinta Danny untuk you, kan?”
“Cinta?” Anum ketawa
sinis. “You percaya sangatlah dengan luahan cinta si Specky Romeo tu.
You tak ingat ke dah berapa ramai kekasih dia sebelum ni? Cinta konon...” Anum
ketawa lagi sambil kepala digelengkan beberapa kali. Lucu dengan kata-kata
Melinda itu.
“You sendiri tahu
yang dia dah berubah. Sejak dia luahkan perasaan cinta pada you, mana ada
perempuan lain yang dia pandang? It’s only you, Ad! The one and only
Anum Danisha...”
Kali ini ketawa Anum
menjadi besar pula. Masih lagi tergeleng-geleng. Kata-kata Melinda langsung
tidak masuk ke dalam hatinya. Tidak melekat walau sedikit pun.
“Ad, Danny tu lelaki
yang sangat baik, sangat bertanggungjawab. Mana lagi nak cari lelaki macam dia
dekat dunia ni? Kalau you kahwin dengan dia...”
“Mel...” Anum terus
saja memotong. Bosan pula apabila asyik mendengar kisah hati dan perasaan Danny
terhadapnya. Kalau Melinda rasa Danny tu baik sangat, romantik sangat, kacak
sangat dan semuanya sangat-sangat, senang cerita Melinda sajalah yang kahwin
dengan Danny. Ini nak paksa-paksa dia pula. Tak pernah terfikir Anum nak kahwin
dengan Danny. Jatuh cinta dengan lelaki itu? Uwek!
“Mel, I nak tanya you
sikit, boleh tak?”
Segera Melinda
mengangguk.
“Cuba you beritahu I,
apa ada dengan cinta?” soal Anum.
Melinda diam.
Berfikir sejenak untuk mencari jawapan. Apa ada dengan cinta? Baru saja dia
hendak menjawab, tetapi suara Anum pula yang kedengaran terlebiH dahulu.
“Kalau you tanya I,
jawapannya senang aje. Cinta itu merepek! I tak percaya yang manusia boleh
berubah semata-mata sebab cinta. Kalau dah sejak azali kaki perempuan, maka
sampai bila-bila dia akan tetap gilakan perempuan. Tak ada maknanya dah berubah
semata-mata sebab cinta. Zaman sekarang ni orang dah tak main cintan cintun dah!
Dulu-dulu bolehlah...”
Mata Melinda yang
sepet itu tiba-tiba membulat. Sekali lagi dia membuka mulut dan ingin bersuara,
namun sekali lagi juga suaranya dipotong oleh Anum terlebih dahulu.
“Cinta itu satu
beban. Tak mendatangkan apa-apa kebaikan pun. Kita takkan bahagia hanya
disebabkan cinta. Mel, orang sekarang ni bahagia bila ada duit, ada kedudukan,
ada pangkat tinggi dan bukannya bahagia sebab cinta. Dan bagi I, I bahagia
dengan apa yang I ada sekarang. Walaupun taklah kaya raya, tapi I puas hati. I
ada kerjaya yang bagus dan I tak perlukan benda-benda lain untuk mengganggu
kebahagiaan I, terutama sekali cinta. I tak ada masa nak fikir dan serabutkan
kepala otak I ni pasal benda-benda bodoh macam tu.”
Kali ini tak cukup
dengan mata yang seboleh-bolehnya dibulatkan, Melinda ternganga pula. Jatuh
terus rahangnya. Terkebil-kebil dia mendengarkan kata-kata Anum sebentar tadi.
Pertama kali dia mendengar pengakuan gadis itu tentang definisi cinta.
“I tak faham kenapa
sampai macam tu sekali you boleh fikir...” Melinda bersuara perlahan. “Cinta tu
bukan satu beban, Ad... dan ia dah tentu sekali bukan sesuatu yang merepek.”
Anum mendengus. Amoi
ni memang pantang betul nak mengalah. Ada saja nak dibangkang pendapatnya.
“Cinta itu satu
perkara yang indah, yang suci. Disebabkan cinta, kita akan rasa disayangi,
diperlukan dan cinta juga membuatkan hidup kita lengkap. Lengkap kerana dalam
waktu yang sama kita saling sayang-menyayangi dan saling merindui antara satu
sama lain. Kalau tak ada cinta, hidup kita akan sunyi,” ujar Melinda menyatakan
pendiriannya tentang cinta.
“Memang kadang-kadang
cinta boleh buat kita sakit hati dan menderita, tapi itu semua satu ramuan
untuk membuatkan hidup kita lebih berwarna-warni. Hidup kita takkan lengkap dan
sempurna sekiranya kita tak tahu apa itu cinta dan bagaimana nak bercinta.
Melalui cinta kita belajar rasa rindu, belajar untuk bertolak ansur dan boleh
juga belajar untuk menjadi lebih tabah. Dan disebabkan oleh cinta jugalah
manusia boleh berubah. Berubah daripada jahat menjadi baik, berubah daripada
penakut menjadi berani dan berubah daripada setan menjadi alim. You tak pernah
tengok ke orang sanggup buat apa saja demi cinta?” Panjang lebar Melinda
mengutarakan pendapatnya mengenai erti cinta.
“I tak percaya yang
kita boleh bahagia hanya disebabkan harta kekayaan dan bukan sebab cinta. Kalau
you nak tahu, cinta boleh membuatkan kita lupa pada pangkat dan kemewahan.
Sebab tu orang selalu cakap yang cinta tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.”
Melinda menambah lagi.
Kata-kata yang keluar
daripada mulut Melinda itu terus saja mengundang ilai tawa Anum. Tergelak besar
dia mendengarkan kata-kata pujangga Melinda.
“Kelakarlah I dengar
you cakap macam tu. Ada pulak cinta tak boleh dibeli dengan wang
ringgit? Kelakar betul!” Anum ketawa geli hati.
“Kenapa pulak?”
soal Melinda pelik. Terasa aneh mengapa tiba-tiba Anum terasa lucu dengan
pendapatnya bahawa cinta itu tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.
“Kalau betul itu pendapat
you mengenai cinta, jadi kenapa you boleh bercinta dengan Steven?” soalan Anum
kedengaran berbaur perlian.
Terkebil-kebil
Melinda memandangnya. Tanda tidak mengerti dengan soalan tersebut.
“Come onlah,
Mel... you nak cakap dengan I yang you bersama dengan Steven sekarang ni bukan
disebabkan duit dan kedudukan?” Anum mengangkat kening tinggi.
Melinda nampak
sedikit terkejut dengan pertanyaan tersebut.
“Steven and I, we
are in love...”
Sekali lagi Anum
tergelak besar.
“You bercinta dengan
lelaki yang umur dia tiga kali ganda lebih tua, yang jelas lagi nyata mempunyai
harta yang banyak, ada perniagaan yang bagus, berpangkat tinggi dan you berani
cakap yang you cintakan dia bukan kerana kemewahan dan kedudukan?”
“Of course! I
suka dia sebab dia baik, memahami dan bukan sebab dia kaya!”
“Kalau macam tu,
kenapa tak kahwin-kahwin lagi? Kalau dia baik sangat, kenapa dia tak melamar
aje you jadi isteri dia? Kenapa dah bertahun-tahun bersama, tapi dia masih lagi
simpan you secara senyap-senyap dan tak benarkan you beritahu orang lain
tentang hubungan korang? Kenapa dia takut sangat orang tahu yang you ni
kekasih dia?” Bertalu-talu pertanyaan keluar daripada mulut Anum.
“What are you
trying to say, Ad?” soal Melinda.
“Tak adalah... I
hanya nak betulkan fakta you pasal cinta aje. Tadi bukan main bercakap pasal
cinta yang sucilah, itulah, inilah... jadi I nak you buka fikiran dan mata you
yang sepet tu untuk tengok sendiri tentang apa yang you cakap tu sebenarnya tak
betul. Cinta yang suci tu tak wujud. Kalau betul, dah lama you dengan Steven
kahwin. Ini tak, dia sibuk dengan dunia dia dan langsung tak kisah pun kalau
you berkawan dengan lelaki lain. Yang dia tahu, dia belikan rumah, kereta
besar, barang mahal-mahal dan apa saja yang you nak, janji you tak buka rahsia
pasal hubungan korang. Bila-bila senang, dia akan cari you dekat rumah.
Dia buat you ni betul-betul macam perempuan simpanan.”
“Ad! Sampai hati you
cakap I ni perempuan simpanan.” Melinda terjerit sedikit.
“Mel, I bukan cakap
you ni perempuan simpanan, tapi...” Anum terdiam sebentar. “Lebih kurang macam
itulah.”
Kali ini Melinda
bangun. Panas hati dan panas punggungnya mendengarkan kata-kata tak ada
insurans daripada mulut Anum.
“I tak
kahwin dengan dia sebab anak-anak dia belum bersedia untuk terima hubungan
kami. Bukan mereka saja, malah famili I pun belum tentu boleh terima dalam
waktu terdekat ni. Dan I rahsiakan hubungan kami sebab tak nak orang mengumpat
dan fikir yang bukan-bukan. Tapi, tak sangka rupa-rupanya kawan baik I sendiri
pun berfikiran sama macam orang lain!” Melinda bergegas meninggalkan Anum.
Dengan laju dia melangkah dan langsung tidak menoleh walaupun beberapa kali
Anum cuba memanggil.