Saturday, 18 January 2020

Kau Antara Bintang - Bab 10

KERETA Mitsubishi ASX merah metalik meluncur laju masuk ke kawasan letak kereta bangunan kondominium 10 tingkat tersebut. Kereta itu bergerak semakin perlahan sebelum betul-betul berhenti memarkirkan kereta. Tak sampai 10 saat, pintu kereta dibuka dan Anum melangkah keluar sambil menjinjit beberapa beg kertas Isetan.

2 hari berturut-turut dia keluar membeli-belah. Semata-mata untuk menenangkan hati. Dan selama 2 hari berturut-turut jugalah dia terpaksa membeli-belah seorang diri. Nak ajak Melinda, temannya itu masih lagi merajuk.

Sejak kejadian semalam, Melinda masih belum ada tanda-tanda hendak berdamai. Selalunya, jika mereka bertekak atau ada salah faham, Melinda akan hantar WhatsApp berbentuk gambar-gambar lucu tanda dia sudah sejuk hati. Namun, sehingga sekarang ini tiada lagi sebarang kiriman mesej daripada gadis itu. Jadi, itu pastilah bermaksud yang Melinda masih lagi marah. Dan Anum sendiri tiada keinginan untuk memulakan langkah mahu berdamai. Baginya, dia tidak salah. Apa yang diperkatakannya itu benar belaka.

Baru saja pintu kereta ditutup, kelihatan sebuah Toyota Avanza kelabu berhenti betul-betul di sebelah keretanya. Sekali lihat saja Anum sudah tahu siapa gerangan pemandu kereta tersebut.

“Assalamualaikum.” Terus saja salam diberi.

Waalaikumussalam. Tak kerja ke?” Anum membalas.

“Baru balik dari hospital. Singgah sini kejap sebelum balik.”

Anum mengangguk sedikit. Rumahnya ini bukanlah jauh sangat dengan rumah ayah. Tak sampai pun 15 minit. Dia saja yang liat hendak pulang ke rumah ayah.

“Kenapa semalam Anum tak balik rumah ayah? Semua orang tertunggu-tunggu,” soal Abang Iqram sambil menutup pintu kereta.

“Tak sempatlah. Banyak hal,” Anum menjawab malas.

“Kesian Pak Cik Omar. Berjam-jam dia tunggu, tapi akhirnya terpaksa balik sebab anak dia ada hal nak kena balik cepat. Kalau tak, mesti sampai malam ayah akan tahan diaorang dan suruh tunggu Anum. Abang telefon, Anum tak angkat, mesej pun tak jawab. Kesian tetamu letih tunggu Anum.”

“Buat apa tunggu Anum? Kan hari tu Anum dah cakap dengan abang, Anum tak balik sebab nak keluar shopping dengan Mel. Siapa suruh tunggu jugak? Padanlah muka!” Anum membidas.

“Abang ingatkan Anum akan tukar fikiran.”

“Isy, tak mungkin! Nak tukar fikiran untuk terima rancangan ayah yang bodoh tu? Jangan haraplah...” Anum mencebik.

“Tadi masa dekat hospital, abang ada berbual dengan anak Pak Cik Omar tu. Dia kata semalam dia jumpa...”

“Alah, abang tak payah nak buka cerita pasal anak Pak Cik Omar tu, boleh tak? Anum tak berminatlah nak ambil tahu pasal dia,” cepat-cepat Anum memotong.

Iqram tergelak kecil.

“Anum tak berminat sebab Anum tak pernah jumpa dia lagi. Abang percaya, kalau Anum dah tengok depan mata, mesti Anum takkan menyesal. Dia adalah satu contoh lelaki yang ada pakej lengkap. Dengan rupa, kerjaya dan yang lebih penting akhlak yang baik. Kalau abang yang lelaki ni pun boleh puji melambung, apatah lagi orang perempuan. Dia doktor paling hot dekat hospital abang tu tau!”

Kata-kata Iqram itu langsung tidak dilayan oleh Anum. Dia membuka pintu belakang kereta dan mengeluarkan beg-beg kertas yang lain. Malas hendak dengar cerita mengarut Abang Iqram tentang anak Pak Cik Omar itu. Tak berminat!

“Semalam masa dekat rumah, 5 minit aje dia ambil masa untuk ambil hati Yaya dengan Mimi. Pandai betul dia melayan budak-budak. Kak Ana pun cakap, muka dia nampak bersih, lembut, sejuk hati bila tengok dan dengar dia bercakap. Lepas tu pula...” Iqram terus bercakap panjang lebar. Bukan main berjela dia bercerita tentang perkara dan orang yang langsung tidak menarik perhatian Anum untuk mendengarnya.

Anum hanya membiarkan sahaja Iqram terus berceloteh seorang diri. Bagaikan dengar tak dengar saja kata-kata Iqram masuk ke dalam gegendang telinganya. Kalau tak silap, Abang Iqram ada sebut nama lelaki itu tadi. Tapi, tak perasan pula apa namanya. Hendak ditanya sekali lagi, takut pula Abang Iqram salah anggap dan ingat dia berminat hendak ambil tahu. Jadi, dibiarkan saja ia berlalu begitu sahaja. Nama lelaki itu tak ada kena-mengena dengan hidupnya. Tak kuasa dia nak ambil kisah.

“Hari Ahad minggu depan dia tak kerja. Abang ingat nak jemput dia makan malam dekat rumah lagilah. Kali ni Anum jangan buat hal lagi, balik kejap tau. Boleh?”

Anum diam tidak berkuit. Dibelek-belek isi beg kertas yang berisi seluar jean Levi’s.

“Anum dengar tak apa abang cakap ni?”

Masih tak berjawab.

“Anum!”

“Hah?” Anum terpinga-pinga apabila disergah.

“Anum dengar tak apa abang cakap tadi?”

Err... dengar kut,” Anum menjawab kurang pasti.

“Okey, kalau macam tu minggu depan kita jumpa. Kak Ana nak masak lauk ketam cili api. Menu kesukaan Anum tu, kan?”

Anum mengangkat kening. ‘Wow! Ketam cili api? Yummy!’

“Okeylah, abang balik dulu. Jangan lupa minggu depan. Nanti tak pasal-pasal tebal lagi muka abang dengan ayah nak tahan malu dengan tetamu. Orang yang ditunggu-tunggu tak sampai-sampai.” Iqram membuka kembali pintu keretanya. Mengangguk sedikit kepada Anum sebelum mengundurkan kereta dan berlalu pergi.

Anum terkebil-kebil. Tebal muka lagi dengan tetamu? Apa yang Abang Iqram cakap tadi? Rasanya ayat yang dia dengar ialah Abang Iqram suruh balik sebab Kak Ana nak masak ketam cili api. Itu saja. Yang lain-lain dia tak dengar. Apa lagi yang Abang Iqram cakap tadi, ek?

Anum garu kepala. Ah, lantaklah! Yang penting Abang Iqram ajak balik rumah minggu depan kerana Kak Ana hendak masak lauk istimewa. Lauk kegemarannya. Ketam cili api. Memang terliur gila!

Anum tersenyum lebar sambil melihat jejak kereta yang semakin menjauh. Abang Iqram adalah abang yang terbaik dalam dunia ini. Dia berasa begitu bertuah. Biarpun tempoh hari mereka baru saja bertegang urat, namun hari ini abangnya muncul di depan mata dengan wajah yang bersahaja dan mengajak dia pulang ke rumah untuk makan menu kesukaannya. Sedikit pun wajah itu tiada menunjukkan riak masih marah atau terasa dengannya.

Untunglah kakak iparnya dapat suami baik seperti abangnya itu. Lembut, baik hati dan tetap boleh dikatakan ada rupa walaupun tidaklah sekacak hero Korea. Dan yang lebih penting, ada kerjaya yang bagus. Doktor Iqram Dizly yang sentiasa tenang dan lembut tidak seperti adiknya Anum Danisha yang sentiasa panas macam gunung berapi. Seronoknya kalau dapat suami yang bersifat sama seperti abangnya itu. Orang kata, nak pilih suami kenalah yang berlawanan sifat. Kita panas, dia lembut. Kita garang, dia penyayang. Barulah saling melengkapi antara satu sama lain.

‘Eh, Anum Danisha... tiba-tiba berangan pasal suami ni dah kenapa pulak? Adoi!!!’

 

*** BOLEH DAPATKAN DIPASARAN, KELUARAN JANUARI 2020 ATAU HUBUNGI/WHATSAPP NO DI BAWAH ***

019-3729676 (Cik Shida) / 013-4888095 (Kak Peah)

Kau Antara Bintang - Bab 9

ANUM mengeluh panjang. Dia melepaskan pandangan ke arah orang-orang yang berjalan melintasinya. Duduk seorang diri di tengah-tengah pusat membeli-belah ini benar-benar membosankan. Selama beberapa jam sebelum dia duduk di sini, Melinda dengan setianya menemani untuk bersama-sama membeli-belah. Belum sempat mereka meredah segala kedai-kedai yang ada di tengah kota ini, Melinda sudah meninggalkannya seorang diri. Gara-gara kelancangan mulutnya tadi. Itulah, orang kata terlajak kereta boleh reverse balik, tapi kalau terlajak kata, padanlah muka!

Sekali lagi Anum mengeluh. Macam manalah dia boleh terlepas cakap dengan Melinda tadi?

Memikirkan hal Melinda dan Steven, bukannya dia sengaja nak mengata yang Melinda itu perempuan simpanan. Tapi, dah memang cara hubungan mereka itu nampak seperti itu.

8 tahun yang lepas, ketika menghadiri majlis di sebuah hotel, Melinda berkenalan dengan Steven secara kebetulan di dalam lif. Perkenalan singkat itu nampaknya berlarutan hingga bertahun-tahun lamanya. Itu memang merupakan satu perkara yang baik dan mengagumkan. Tetapi, apa yang membuatkan Anum berasa jengkel dan pelik ialah jarak usia mereka yang terlalu jauh. Melinda masih muda manakala Steven itu sudah jejak angka 70!

Aduh... dengan usia emas seperti itu, tambah-tambah lagi dengan status Steven yang sudah mempunyai anak dan cucu, sudah pastilah tidak sesuai langsung dengan Melinda yang cantik menawan itu. Tetapi, Melinda degil. Dia tetap mengatakan bahawa dia cintakan Steven sepenuh hati. Dia sentiasa berpegang teguh bahawa suatu hari nanti Steven akan melamarnya dan mereka akan berkahwin. Apatah lagi Steven memang tidak mempunyai isteri kerana sudah mati sebelum mereka berkenalan lagi.

Kata Melinda, dia jatuh cinta dengan kematangan Steven, jatuh cinta dengan sikap ambil beratnya dan jatuh cinta dengan segala nasihat dan tunjuk ajar daripadanya. Alahai... gelinya dengar! Baik mengaku saja sudah jatuh cinta dengan harta dan kemewahannya? Jatuh cinta dengan pangkat yang ada pada Tan Sri Steven Ooi. Lagi senang cerita!

Pelik dan sangat pelik. Percintaan mereka berdua sungguh pelik. Keluarga Melinda menetap di Pulau Pinang, maka memang mudahlah Melinda hendak menjalinkan cinta rahsianya itu. Segala-galanya perlu menjadi satu rahsia. Rahsia yang disimpan untuk sekian lama hinggalah ke saat ini. Bertahun-tahun lamanya Melinda bersama dengan Steven tanpa pengetahuan sesiapa melainkan Anum dan Danny. Danny tahu pun sebab Anum yang pecah rahsia. Kalau tak, sudah pasti juga sampai sekarang Danny masih tidak tahu apa-apa

Hmm... entahlah! Kata Melinda, segala rahsia ni disebabkan takut penerimaan orang. Betul atau tidak, Anum sendiri tidak tahu. Nak kata musykil, memang musykil.

Steven kata isteri dia dah mati. Kalau betul dah mati, kenapa mesti nak sorok-sorok lagi? Dan sikap Melinda yang bergaul bebas dengan lelaki lain pun membuatkan Anum sering tertanya-tanya. Bukankah kesetiaan itu menunjukkan kesucian cinta?

Itu sebablah dia kata Melinda memang macam perempuan simpanan. Selalunya dia simpan dalam hati sahaja. Dia tahu pasti Melinda akan terasa. Entah macam mana, hari ni boleh terlepas pula.

Untuk kali yang seterusnya Anum melepaskan keluhan. Ingatkan hari ni hendak mengelak balik ke rumah ayah, dia boleh berjalan-jalan dan berhibur dengan Melinda. Tapi, sekarang Melinda pula yang lari daripadanya. Sudahnya, terpaksalah dia meredah, meronda dan membeli-belah seorang diri.

Apabila berada dalam keadaan begini barulah terasa betapa kosong hidupnya ini. Selain daripada Melinda dan Danny, dia tiada kawan lain. Selain daripada ayah dan Abang Iqram, dia tiada keluarga lain lagi. Hubungannya dengan saudara-mara yang lain pun tidak berapa mesra. Ini semua gara-gara sikapnya sendiri yang malas hendak bergaul rapat dengan sesiapa pun.

Dan bagi I, I bahagia dengan apa yang I ada sekarang...

Tiba-tiba dia teringatkan kata-katanya sendiri sebentar tadi.

Bahagia? Ya, memang benar dia mempunyai kerjaya yang bagus dan menjawat jawatan yang tinggi. Siapa sangka dalam usia belum mencecah 30 tahun, dia sudah berjaya menjadi naib pengerusi sebuah syarikat. Mungkin bukan syarikat mega, tetapi sekurang-kurangnya gaji yang diperolehnya agak lumayan. Tetapi, malangnya di pejabat, dia langsung tidak disukai oleh rakan-rakan sekerja. Dia langsung tidak rapat dengan mana-mana pekerja bawahannya melainkan dengan Melinda dan Danny.

Jika dia mahu berbangga dengan istilah bahagia di samping keluarga pula, rasa-rasanya dia hanya sempat merasa istilah keluarga bahagia hanya ketika hayat mama masih ada. Sudah bertahun-tahun makna keluarga yang bahagia itu tidak lagi dirasainya. Perginya mama, membawa bersama segala kebahagiaan dalam kamus hidupnya. Jadi, apa sebenarnya hak miliknya yang benar-benar membuatkan dia bahagia?

Untuk kesekian kalinya Anum mengeluh. Namun, kali ini disertai dengan titisan air mata. Panas kelopak matanya menahan empangan air mata daripada jatuh berguguran, namun dia tidak mampu. Terasa hiba mengenangkan keadaan dirinya sekarang ini. Hatinya berdetik sendiri bahawa dia sebenarnya hidup dalam kesunyian dan keseorangan. Sudah lama dia hidup seorang diri tanpa diwarnai dengan kehidupan yang bahagia dan indah. Tanpa gelak tawa teman-teman yang ramai, tanpa belaian orang tua yang penyayang dan tanpa cinta daripada seseorang yang bergelar kekasih hati. Bosannya hidup! Hanya egonya saja yang menafikan semua itu.

Anum meraup wajahnya. Dia bangun perlahan lalu mengesat pipi dengan belakang tapak tangan. Walaupun hatinya sedih dan sunyi, dia tidak mahu memalukan diri dengan menangis di sini. Apa pula kata orang nanti.

Anum memulakan langkah. Beg-beg kertas dijinjit di tangan kiri dan kanan. Penuh kedua-dua tangan Anum dengan segala macam beg plastik dan kertas. Memang setiap kali hatinya sedih atau marah, membeli-belah merupakan satu terapi yang terbaik untuknya. Anum melangkah perlahan dengan menundukkan kepalanya. Melintasi hingar-bingar orang yang lalu-lalang di hadapannya.

“Adoi!”

Anum terperanjat sedikit apabila mendengar suara itu. Dengan tidak sengaja dia terlanggar, lantas terpijak kaki seseorang. Beg-beg kertas yang dibawa terlepas daripada pegangan. Mujur lelaki tersebut tidak jatuh tersembam ke lantai. Itulah, berkhayal sambil berjalan, kan dah terpijak kaki orang!

Sorry... sorry...” Anum segera meminta maaf. Dia tunduk lalu membongkok untuk mengambil plastik dan beg-beg kertas yang terjatuh sebentar tadi.

“Nasib baik saya pakai kasut. Kalau pakai selipar, mahu berlubang kaki kena pijak dengan kasut tinggi KLCC tu.” Terdengar suara lelaki itu bersuara sambil menepuk sedikit kaki kanannya yang lengkap berkasut sukan.

Anum tidak menjawab apa-apa dan hanya menumpukan perhatian mengutip semula beg-beg kertas yang bertaburan di atas lantai. Lelaki yang dilanggarnya tadi turut duduk mencangkung lalu membantunya mengutip beg-beg tersebut.

“Mata manusia ni cuma ada dua. Kalau dua-dua sibuk mengira lantai, mana ada mata lain lagi yang nak tolong tengok depan.”

Anum sedikit terkelu. ‘Alamak mamat ni nak perli-perli orang pulak!’

Anum masih tidak menjawab apa-apa. Dia hanya meneruskan kerja mengutip dan terus berdiri.

Lelaki itu juga turut bangun lalu membariskan senyuman kepada Anum.

“Terima kasih,” jawab Anum apabila lelaki itu menghulurkan beg-beg kertas kepadanya. Namun, ucapan yang diberi itu tanpa sebarang calitan senyuman pun. Seperti tidak ikhlas saja ucapan terima kasih itu keluar daripada mulutnya.

“Sama-sama.” Lelaki itu membalas mesra. “Lain kali kalau nak berjalan tu tolonglah pandang depan. Jangan pandang bawah. Tak payah risau sebab kaki awak takkan hilang waktu tengah berjalan,” ujar lelaki itu dengan senyum simpul.

Anum mencebik. ‘Mamat ni tak habis-habis nak perli aku ni dah kenapa? Menyampah!’

Anum lepaskan pandangan kepada lelaki yang berada di hadapannya ketika ini. Lelaki yang mempunyai susuk tubuh agak tinggi dan berkulit cerah. Lelaki itu masih tersenyum-senyum sambil menatap lama wajahnya walaupun dia langsung tidak menunjukkan reaksi mahu membalas senyuman lelaki itu.

“Tengok apa?” Anum seakan menyergah. “Saya dah minta maaf tadi, kan? Tak puas hati lagi ke?”

Lelaki itu tidak menjawab. Namun, matanya masih tajam memerhatikan wajah Anum.

“Kenapa awak menangis?”

Soalan yang ringkas dan pendek, namun ia membuatkan Anum sedikit terpaku.

“Mata tu... merah menyala. Mesti baru lepas menangis. Kenapa? Ada masalah ke?”

Anum terkelu. Terus saja kelopak matanya berkedip berkali-kali dengan agak laju. Matanya memang akan cepat sangat merah kalau menangis.

“Kalau ada masalah, saya boleh tolong.”

Oh my God, are you some kind of pervert or what?” Anum terus saja tayang muka jelik. “Kita tak kenal, tiba-tiba nak tunjuk baik dan tanya macam-macam ni, dah kenapa?” Kasar Anum bersuara membuatkan lelaki itu pula yang kelihatan sedikit terkelu.

“Mula-mula tadi awak sibuk nak perli-perli saya.

Dan sekarang ni, sibuk nak tahu kenapa saya menangis pulak. Tolong jangan jadi pak cik bawang dan menyibuk hal orang lain, boleh tak?” Anum menjegilkan sedikit matanya. Membuatkan lelaki itu terus saja diam. Mungkin terkelu lidah hendak bercakap kerana disembur secara percuma.

“Saya rasa lebih baik kita bergerak dan jalan ikut haluan masing-masing. Selamat tinggal!” Anum pandang susuk tubuh lelaki itu atas bawah untuk sekali imbas, sebelum dia menjeling lalu memalingkan badan dengan niat ingin segera beredar.

Baru tiga tapak dia bergerak, Anum memberhentikan langkah. Lantas dia berpusing semula dengan niat hendak melihat sekali lagi wajah lelaki tersebut.

‘Eh, mana mamat tadi? Dah hilanglah pulak!’

Anum mengerutkan dahi. Mengecilkan mata lalu memandang kiri dan kanan. Memanjangkan leher dan melebarkan pandangan ke seluruh ceruk di sebalik hiruk-piruk orang yang ramai. Berasa hairan kerana begitu cepat sekali lelaki tersebut ghaib daripada pandangannya.

“Oh, tu dia...” Anum menjerit dalam hati apabila melihat kelibat lelaki itu di sebalik orang yang ramai. Dia mengatur langkah. Mengejar sambil memanggil lelaki tadi.

“Encik!” Anum menjerit sedikit. Mengharapkan agar lelaki tadi mendengar panggilannya dan akan berhenti. Namun, panggilannya itu tidak dihiraukan. Mungkin lelaki itu tidak mendengar. Dia mempercepatkan lagi ayunan langkah. Panjang lehernya ingin melihat ke mana arah lelaki itu mengatur langkah.

“Awak, err... encik... tunggu kejap!” Sekali lagi Anum memanggil. Terkedek-kedek dia mengejar. Apatah lagi dengan menjinjit beg-beg yang banyak, menambahkan kesukaran untuknya bergerak dengan lebih pantas.

‘Cepatnya dia berjalan, tak terkejar aku dibuatnya!’

Anum terus saja berhenti dengan dada yang turun naik tanda letih mengejar. Lelah terasa apabila dia tidak mampu lagi hendak mengikut jejak lelaki tersebut. Dia mengurut-urut dada. Melihat lelaki itu yang akhirnya hilang di sebalik kesibukan warga kota yang lalu-lalang.

Anum mengeluh. Sekejap saja kelibat lelaki itu menghilang.

Anum tarik nafas sedikit panjang. Sekali lagi dia meninjau. Mengharapkan agar kelibat lelaki tersebut kembali semula. Tetapi, dia hampa. Kelihatannya lelaki tersebut benar-benar sudah tiada. ‘Kenapa sekejap sangat dah tak ada? Tak sampai 10 saat! Tak sempat nak tanya nama atau lihat muka dia sekali lagi.’

Anum cepat-cepat geleng-geleng kepala beberapa kali. Tarik nafas dalam-dalam dan berpaling semula. Perlahan-lahan dia mengatur langkah. Berjalan beberapa tapak, namun kemudian dia menoleh ke belakang sekali lagi. Entah kenapa hatinya berasa kecewa pula.

Kecewa kerana apa? Kerana tidak sempat nak berkenalan atau kerana tidak puas menatap wajah lelaki itu? Rasa kecewa itu sama seperti semasa dia melihat wajah lelaki berbaju kelabu yang berada di restoran tempoh hari. Dapat perhati sekejap, langsung hilang dan ghaib.

‘Hah... kalau tak silap... muka dia macam nak sama saja dengan lelaki yang berbaju kelabu di restoran tu...’

Sekali lagi langkah Anum terhenti. Cepat-cepat dia menoleh ke belakang. Hatinya geram. Tidak puas hati kerana tidak dapat hendak pastikan sama ada lelaki tadi adalah orang yang sama dengan lelaki berbaju kelabu tempoh hari atau tidak. Aduh, kenapa tak pasal-pasal dia boleh jadi ralat dan kecewa kerana seorang lelaki pula? Tadi dah elok-elok orang tu cuba nak beramah mesra, dia marah pula. Salah sendirilah. Argh!!!

Kau Antara Bintang - Bab 8

“AD...

Tiada reaksi.

“Ad!”

Anum tersentak.

“Ya? Apa you cakap tadi?”

Terdengar sedikit keluhan.

“I dah bercerita sikit punya panjang, you buat bodoh aje. Panggil 10 kali pun tak menyahut. Sakit hati betullah!”

Anum mengukir senyuman tawar.

Sorry babe... I berangan sekejap tadi.”

“Berangan apa? Rindukan Danny ke? Relakslah, esok lusa dia baliklah. Baru berapa hari dia tak ada, takkan dah tak boleh nak tahan sikit kut?” Melinda mengusik.

“Rindu apa benda pulak ni? Eh, you jangan suka-suka nak usik I tak tentu pasal, boleh tak? Nanti tak pasal-pasal I mengamuk dekat sini pulak karang!” kata Anum seraya menjeling tajam. Tanda tidak suka dengan usikan Melinda sebentar tadi.

Melinda menggeleng-gelengkan kepala. Sensitif sangat!

Come on girlfriend... chill up and tell me what is wrong with you?” Melinda menyoal sambil menongkat dagu. Menunjukkan minat untuk mendengar masalah sang sahabat.

Dalam ramai-ramai kawan, mungkin hanya Melinda seorang saja yang boleh tahan dengan perangai angin kus-kus Anum dan juga panas barannya. Kerana itulah persahabatan mereka boleh bertahan lama. Kawan-kawan yang lain, semuanya sering makan hati dan menyampah dengan kepala angin Anum. Setakat kawan-kawan biasa yang sesekali bertegur sapa, berbual barang seminit dua, mungkin tak ada hal. Tapi, kalau nak jadi teman rapat macam mereka berdua, kirim salamlah... Tak tahan!

Melinda saja yang ada kesabaran tinggi tahap langit ketujuh melayan kepala angin Anum. Tapi, selain daripada Melinda, ada sorang lagi yang kebal telinga dan hati dalam melayan kerenah Anum. Siapa lagi, Dannylah!

“I sakit hati dengan ayah I...” Anum bersuara dengan agak perlahan.

“Ayah you? Kenapa dengan dia?”

“Ayah I tulah... masih lagi dengan projek kahwin tak habis-habis. Dulu dengan Khalil, jiran satu taman dekat rumah I tu. Sekarang ni dengan anak kawan dia pulak. Anak Pak Cik Omar. Hesy, geram betullah! You tak rasa kelakar ke? Macam hidup zaman P. Ramlee pulak nak jodoh-jodohkan anak ni. Old fashion!”

Melinda senyum. Terserlah kesepetan matanya. Dia masih setia mendengar rungutan Anum tentang bapanya. Perkara yang sudah menjadi kebiasaan Anum selama bertahun-tahun. Kalau tak merungut pasal ayahnya, memang tak sah.

“Abang Iqram pun sama. Sibuk suruh I ikut cakap ayah. Lepas tu, mulalah puji apa yang ayah buat tu baik, elok... Suruh I balik rumah dan berkenalan dengan anak Pak Cik Omar tu. Tolonglah! Nak tengok muka dia pun I tak ingin. Abang Iqram ingat I tak tahu yang dia datang ofis kelmarin sebab ayah yang suruh dia pujuk I? Eh, I ni bukan lembik macam dia yang tak berani nak angkat muka langsung dengan ayah. Nak ikut cakap ayah, lagilah... kirim salam!”

Anum menyandarkan badan. Cuaca yang agak panas dirasakan bertambah-tambah panas apabila wajah ayah terbayang di ruangan mata. Diambil buku menu di atas meja lalu dijadikan kipas mengibas ke seluruh wajah. Matanya meliar melihat pelanggan-pelanggan yang keluar masuk di restoran itu. Hujung-hujung minggu begini memang ramai yang ambil kesempatan untuk makan di luar.

“Ayah tu memang jenis yang tak faham bahasa betullah. I ingat bila dulu I buat hal tak balik rumah berbulan-bulan sebab kes Khalil, dia dah insaf. Dia takkan paksa I kahwin lagi. Tapi, rupa-rupanya dia tak serik. Sekarang ni dia buat lagi. Dia nak sampai I tak balik rumah langsung agaknya!”

Melinda melepaskan sedikit keluhan lalu ketawa kecil.

“Entahlah, Ad... I nak cakap pun susah. Perangai you dengan ayah you tu sama aje. You degil, ayah you pun degil. You keras kepala, ayah you pun keras kepala. Sama-sama tak nak mengalah, sama-sama nak menang. Sampai bila korang anak-beranak nak jadi macam ni pun I tak tahu.”

Anum diam. Menjeling sedikit mendengarkan komen Melinda. Dia degil? Ayah tu lagi degil! Dahlah degil, tak faham bahasa pulak tu.

“Cuba you beritahu I, kenapa you tolak pinangan Khalil dulu? Dan sekarang ni pulak, you tak nak kenal atau jumpa langsung dengan calon baharu yang ayah you pilih... kenapa?”

“Apalah soalan bodoh yang you tanya ni? Dah tentulah dulu I tolak sebab I tak ada perasaan langsung dekat Khalil. Walaupun kita orang duduk deret taman yang sama dan I selalu bertembung dengan dia bila balik rumah ayah, pernah berborak empat lima kali, tapi tak bermakna I sanggup jadi isteri dia. Dan sekarang ni, ayah nak jodohkan I dengan lelaki yang I tak pernah jumpa, tak pernah kenal, terus nak kahwin? Itu gila namanya!” Meja diketuk sedikit sebagai menunjukkan rasa tidak puas hati.

“Walaupun Abang Iqram cakap dia kenal lelaki tu, siap puji baiklah bagai, tapi I tetap takkan termakan dengan puji-pujian Abang Iqram. Sengaja cakap yang manis-manis. Entah-entah sebenarnya kelabu asap! I takkan terima lelaki yang I tak kenal untuk jadi suami. Tak tahu macam mana perangai, tiba-tiba nak duduk serumah. No way!” Panjang lebar Anum meluahkan perasaan sambil menggelengkan kepala.

“Kalau you tak kenal, inilah masanya untuk you kenal dia. Kalau you nak tahu perangai dia macam mana, mintalah tempoh untuk berkawan dulu supaya you boleh selidik semua pasal dia. I yakin yang ayah you pun tak kisah kalau you minta tempoh untuk kenal hati budi dia dulu. Jadi, kenapa nak tolak mentah-mentah terus?”

“Tak payahlah... kalau kenal pun I memang tak ingin nak kahwin dengan orang tu.”

“Kenapa? Sebab Danny?” Melinda menduga.

Anum membulatkan mata.

“Maaflah ya... Danny tak ada kena-mengena dalam hal ni. Kenapa tiba-tiba you mesti sebut nama dia pulak?”

Melinda ketawa.

“Tak adalah... I cuma teringat, dulu masa you tolak pinangan Khalil, you bagi alasan pada ayah you yang you dah ada calon lain. Beria-ia you minta Danny berlakon dan menyamar jadi boyfriend you. Manalah tahu kalau-kalau sebenarnya itu bukan lakonan, tapi you sebenarnya memang nak Danny tu betul-betul jadi teman istimewa...” Melinda ketawa lagi.

Anum membentuk mulut. Teringat pula sewaktu dia bersungguh-sungguh meminta Danny datang ke rumah dan menyamar menjadi kekasihnya di depan ayah dan dia tidak mahu berkahwin dengan Khalil kerana sudah mempunyai teman istimewa. Dan perkara itu ternyata berhasil. Memang dia berjaya mengelak daripada berkahwin dengan Khalil, tetapi ia juga menyebabkan ayah bertambah marah dan benci kepada Danny. Tak pasal-pasal Danny diherdik ayah. Berbakul-bakul ayah berleter dan mengatakan bahawa hubungannya dengan Danny tidak akan mendapat restu ayah.

Merah telinga Danny mendengar sumpah seranah ayah. Ayah, memang dari dulu tak suka dengan Danny. Ah, bukan saja dengan Danny, malah ayah juga tak berkenan dia berkawan dengan Melinda. Ayah beranggapan bahawa Danny dan Melinda banyak mempengaruhinya sehingga hanyut dan liar. Ayah sering menuduh merekalah yang mengajar dia tentang dunia sosial dan mula lupa pada agama.

Ya, dia mengaku bahawa dia memang suka pergi berhibur dan keluar masuk kelab malam sama seperti Melinda dan Danny. Tetapi, ia adalah kerana dirinya sendiri dan bukan atas pengaruh orang lain. Walaupun kaki clubbing, tapi dia tidak pernah sentuh minuman keras. Danny juga sama. Mereka pergi semata-mata untuk berhibur suka-suka dan menghilangkan tekanan. Kalau ayah anggap Danny itu jahat semata-mata kerana suka masuk disko, itu memang tidak patut. Dan ayah juga tidak perlu nak risau Danny akan jadi menantu, kerana dia sendiri tak pernah terfikir pun hendak berkahwin dengan kawan karib sendiri.

“I minta tolong Danny sebab tak ada pilihan lain lagi. Dialah satu-satunya kawan lelaki yang baik dengan I. Lagipun, dulu-dulu I dah selalu tolong menyamar jadi girlfriend atau tunang dia bila dia nak lari daripada perempuan lain. Jadi, apa salahnya kalau kali ni dia pula yang tolong menyamar untuk I? Adil dan saksama. Itu aje... bukannya sebab I cintakan dia.”

“Tapi, masalahnya... Danny memang ada hati dekat you. Dia pergi menghadap ayah you sebab dia serius nak ambil you jadi isteri dia. Bukan semata-mata nak menyamar atau berlakon. Kena herdik, kena marah, semuanya dia telan dan tak melawan langsung. Danny memang bersungguh-sungguh nak ambil hati ayah you. Dia selalu berdoa dan mengharap yang ayah you akan mengalah dan bersetuju untuk jadi wali bila you dengan dia berkahwin nanti.”

Anum membulatkan biji mata. Wah, Melinda bukan main pandai pula bercakap pasal wali!

Babe, takkan you nak dera perasaan Danny lama-lama? You terima ajelah dia. Kalau you kahwin dengan dia, dalam masa yang sama, masalah dengan ayah you pun selesai. Dia takkan boleh nak paksa you kahwin lagi. Dan you pun pasti akan bahagia kerana berada di samping orang yang betul-betul sayang dan cintakan you.”

“Isy! Kita cerita pasal apa sebenarnya ni?” Anum mula tak senang duduk. “Tadi kita tengah cerita pasal lain, kenapa tiba-tiba boleh masuk topik Danny pulak ni? Jangan lari tajuk, boleh tak?”

“I tak lari tajuk. Kita masih bercakap hal yang sama dan I dah berikan jalan penyelesaian yang paling baik. Kalau ayah you nak sangat menantu, you kahwin ajelah dengan Danny. Senang cerita! Soal kena marah atau tak restu, pandai-pandailah korang berdua ambil hati ayah you lepas kahwin nanti. I pasti, sekejap aje ayah you akan lembut hati bila tengok Danny layan you macam puteri. You sendiri pun tahu betapa dalamnya cinta Danny untuk you, kan?”

“Cinta?” Anum ketawa sinis. “You percaya sangatlah dengan luahan cinta si Specky Romeo tu. You tak ingat ke dah berapa ramai kekasih dia sebelum ni? Cinta konon...” Anum ketawa lagi sambil kepala digelengkan beberapa kali. Lucu dengan kata-kata Melinda itu.

“You sendiri tahu yang dia dah berubah. Sejak dia luahkan perasaan cinta pada you, mana ada perempuan lain yang dia pandang? It’s only you, Ad! The one and only Anum Danisha...

Kali ini ketawa Anum menjadi besar pula. Masih lagi tergeleng-geleng. Kata-kata Melinda langsung tidak masuk ke dalam hatinya. Tidak melekat walau sedikit pun.

“Ad, Danny tu lelaki yang sangat baik, sangat bertanggungjawab. Mana lagi nak cari lelaki macam dia dekat dunia ni? Kalau you kahwin dengan dia...”

“Mel...” Anum terus saja memotong. Bosan pula apabila asyik mendengar kisah hati dan perasaan Danny terhadapnya. Kalau Melinda rasa Danny tu baik sangat, romantik sangat, kacak sangat dan semuanya sangat-sangat, senang cerita Melinda sajalah yang kahwin dengan Danny. Ini nak paksa-paksa dia pula. Tak pernah terfikir Anum nak kahwin dengan Danny. Jatuh cinta dengan lelaki itu? Uwek!

“Mel, I nak tanya you sikit, boleh tak?”

Segera Melinda mengangguk.

“Cuba you beritahu I, apa ada dengan cinta?” soal Anum.

Melinda diam. Berfikir sejenak untuk mencari jawapan. Apa ada dengan cinta? Baru saja dia hendak menjawab, tetapi suara Anum pula yang kedengaran terlebiH dahulu.

“Kalau you tanya I, jawapannya senang aje. Cinta itu merepek! I tak percaya yang manusia boleh berubah semata-mata sebab cinta. Kalau dah sejak azali kaki perempuan, maka sampai bila-bila dia akan tetap gilakan perempuan. Tak ada maknanya dah berubah semata-mata sebab cinta. Zaman sekarang ni orang dah tak main cintan cintun dah! Dulu-dulu bolehlah...”

Mata Melinda yang sepet itu tiba-tiba membulat. Sekali lagi dia membuka mulut dan ingin bersuara, namun sekali lagi juga suaranya dipotong oleh Anum terlebih dahulu.

“Cinta itu satu beban. Tak mendatangkan apa-apa kebaikan pun. Kita takkan bahagia hanya disebabkan cinta. Mel, orang sekarang ni bahagia bila ada duit, ada kedudukan, ada pangkat tinggi dan bukannya bahagia sebab cinta. Dan bagi I, I bahagia dengan apa yang I ada sekarang. Walaupun taklah kaya raya, tapi I puas hati. I ada kerjaya yang bagus dan I tak perlukan benda-benda lain untuk mengganggu kebahagiaan I, terutama sekali cinta. I tak ada masa nak fikir dan serabutkan kepala otak I ni pasal benda-benda bodoh macam tu.”

Kali ini tak cukup dengan mata yang seboleh-bolehnya dibulatkan, Melinda ternganga pula. Jatuh terus rahangnya. Terkebil-kebil dia mendengarkan kata-kata Anum sebentar tadi. Pertama kali dia mendengar pengakuan gadis itu tentang definisi cinta.

“I tak faham kenapa sampai macam tu sekali you boleh fikir...” Melinda bersuara perlahan. “Cinta tu bukan satu beban, Ad... dan ia dah tentu sekali bukan sesuatu yang merepek.”

Anum mendengus. Amoi ni memang pantang betul nak mengalah. Ada saja nak dibangkang pendapatnya.

“Cinta itu satu perkara yang indah, yang suci. Disebabkan cinta, kita akan rasa disayangi, diperlukan dan cinta juga membuatkan hidup kita lengkap. Lengkap kerana dalam waktu yang sama kita saling sayang-menyayangi dan saling merindui antara satu sama lain. Kalau tak ada cinta, hidup kita akan sunyi,” ujar Melinda menyatakan pendiriannya tentang cinta.

“Memang kadang-kadang cinta boleh buat kita sakit hati dan menderita, tapi itu semua satu ramuan untuk membuatkan hidup kita lebih berwarna-warni. Hidup kita takkan lengkap dan sempurna sekiranya kita tak tahu apa itu cinta dan bagaimana nak bercinta. Melalui cinta kita belajar rasa rindu, belajar untuk bertolak ansur dan boleh juga belajar untuk menjadi lebih tabah. Dan disebabkan oleh cinta jugalah manusia boleh berubah. Berubah daripada jahat menjadi baik, berubah daripada penakut menjadi berani dan berubah daripada setan menjadi alim. You tak pernah tengok ke orang sanggup buat apa saja demi cinta?” Panjang lebar Melinda mengutarakan pendapatnya mengenai erti cinta.

“I tak percaya yang kita boleh bahagia hanya disebabkan harta kekayaan dan bukan sebab cinta. Kalau you nak tahu, cinta boleh membuatkan kita lupa pada pangkat dan kemewahan. Sebab tu orang selalu cakap yang cinta tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.” Melinda menambah lagi.

Kata-kata yang keluar daripada mulut Melinda itu terus saja mengundang ilai tawa Anum. Tergelak besar dia mendengarkan kata-kata pujangga Melinda.

“Kelakarlah I dengar you cakap macam tu. Ada pulak cinta tak boleh dibeli dengan wang ringgit? Kelakar betul!” Anum ketawa geli hati.

“Kenapa pulak?” soal Melinda pelik. Terasa aneh mengapa tiba-tiba Anum terasa lucu dengan pendapatnya bahawa cinta itu tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

“Kalau betul itu pendapat you mengenai cinta, jadi kenapa you boleh bercinta dengan Steven?” soalan Anum kedengaran berbaur perlian.

Terkebil-kebil Melinda memandangnya. Tanda tidak mengerti dengan soalan tersebut.

Come onlah, Mel... you nak cakap dengan I yang you bersama dengan Steven sekarang ni bukan disebabkan duit dan kedudukan?” Anum mengangkat kening tinggi.

Melinda nampak sedikit terkejut dengan pertanyaan tersebut.

Steven and I, we are in love...

Sekali lagi Anum tergelak besar.

“You bercinta dengan lelaki yang umur dia tiga kali ganda lebih tua, yang jelas lagi nyata mempunyai harta yang banyak, ada perniagaan yang bagus, berpangkat tinggi dan you berani cakap yang you cintakan dia bukan kerana kemewahan dan kedudukan?”

Of course! I suka dia sebab dia baik, memahami dan bukan sebab dia kaya!”

“Kalau macam tu, kenapa tak kahwin-kahwin lagi? Kalau dia baik sangat, kenapa dia tak melamar aje you jadi isteri dia? Kenapa dah bertahun-tahun bersama, tapi dia masih lagi simpan you secara senyap-senyap dan tak benarkan you beritahu orang lain tentang hubungan korang? Kenapa dia takut sangat orang tahu yang you ni kekasih dia?” Bertalu-talu pertanyaan keluar daripada mulut Anum.

What are you trying to say, Ad?” soal Melinda.

“Tak adalah... I hanya nak betulkan fakta you pasal cinta aje. Tadi bukan main bercakap pasal cinta yang sucilah, itulah, inilah... jadi I nak you buka fikiran dan mata you yang sepet tu untuk tengok sendiri tentang apa yang you cakap tu sebenarnya tak betul. Cinta yang suci tu tak wujud. Kalau betul, dah lama you dengan Steven kahwin. Ini tak, dia sibuk dengan dunia dia dan langsung tak kisah pun kalau you berkawan dengan lelaki lain. Yang dia tahu, dia belikan rumah, kereta besar, barang mahal-mahal dan apa saja yang you nak, janji you tak buka rahsia pasal hubungan korang. Bila-bila senang, dia akan cari you dekat rumah. Dia buat you ni betul-betul macam perempuan simpanan.”

“Ad! Sampai hati you cakap I ni perempuan simpanan.” Melinda terjerit sedikit.

“Mel, I bukan cakap you ni perempuan simpanan, tapi...” Anum terdiam sebentar. “Lebih kurang macam itulah.”

Kali ini Melinda bangun. Panas hati dan panas punggungnya mendengarkan kata-kata tak ada insurans daripada mulut Anum.

“I tak kahwin dengan dia sebab anak-anak dia belum bersedia untuk terima hubungan kami. Bukan mereka saja, malah famili I pun belum tentu boleh terima dalam waktu terdekat ni. Dan I rahsiakan hubungan kami sebab tak nak orang mengumpat dan fikir yang bukan-bukan. Tapi, tak sangka rupa-rupanya kawan baik I sendiri pun berfikiran sama macam orang lain!” Melinda bergegas meninggalkan Anum. Dengan laju dia melangkah dan langsung tidak menoleh walaupun beberapa kali Anum cuba memanggil.