Mai merenung ke luar tingkap kereta Toyota
Viosnya. Fikirannya kosong sejak semalam. Hatinya berdarah
dan dirasakan bagaikan tidak mampu untuk diubati lagi.
Belum pun hilang lagi perasaan gundahnya akibat daripada
perkahwinan ini, Irfan datang dengan membawa satu lagi
berita yang cukup memeranjatkannya. Lelaki yang kini
suaminya ini, meminta supaya mereka tidak berkahwin atas
dasar cina buta. Katanya, tidak sah dan dilaknati Allah
perkahwinan sebegitu. Jadi, atas dasar apakah perkahwinan
ini? Apakah mereka akan melayari perkahwinan ini seperti
pasangan-pasangan biasa yang lain?
Irfan mengatakan bahawa Syamsul sengaja
memberitahunya pada saat-saat akhir sebelum pernikahan
ini dilangsungkan. Katanya Syamsul amat memerlukan wang
upahnya. Dia tidak mahu mereka mengubah fikiran jika
diberitahu awal tentang perkara itu. Setelah semua urusan
selesai, Mai dan Irfan pasti berasa malu untuk menarik balik
semua yang telah dirancang ini. Sudahlah begitu, kata-kata
Kak Gee yang mengganggunya sejak seminggu lalu, ketika
dia menjemput teman sekolahnya ke majlis pernikahannya
ini juga mengganggu fikirannya.
“Mai ni... kenapa tak beritahu awal-awal yang Mai
dah nak cari pengganti Irfan. Kalau akak tahu dari awal lagi
akak boleh rekomenkan kawan akak ni. Dia ni bujang trang
tang tang lagi. Akak nak cakap kepada Mai, takut Mai kata
akak ni melampau pula. Baru aje bercerai dah nak kahwin
lain.”
Mai hanya diam sahaja. Dia tidak mampu berkata apa-apa.
Seandainya Kak Gee tahu yang dia akan menikah
kerana ada agenda lain di sebaliknya, pasti Kak Gee naik
marah.
“Mai sunyi, kak. Bila ada yang sampaikan hajatnya
nak kahwin dengan Mai, Mai setuju aje,” bohongnya.
“Macam mana Mai jumpa dengan dia?”
“Ada kawan yang kenalkan,” jawabnya perlahan.
Ah... dia berbohong lagi.
“Dia kerja kat mana?”
“Kerja biasa aje, kak.”
“Yalah... kerja biasa tu kerja apa? Cikgu juga ke?”
“Tukang masak...” jawabnya perlahan. Terasa agak
malu dengan pekerjaan bakal suaminya itu.
“Ohh... senanglah lepas ni, Mai tak payah lagi nak
masak untuk dia. Dia yang masak untuk Mai, kan?” kata Kak
Gee sambil ketawa. “Irfan dah tahu?” tanyanya tiba-tiba.
Mai hanya menganggukkan kepalanya. Dia yang
merancang semua ni, kak, detik hatinya.
“Apa dia kata?” soal Kak Gee lagi. Sesaat Cukup Bagiku
86
Serba salah untuk Mai menjawabnya. Dia tidak
sanggup berbohong. Tapi dia juga tidak sanggup untuk
membuka rahsia ini.
“Entah.” Lama kemudian dia menjawab soalan itu.
“Mai tak sedih?” tanya Kak Gee lagi. Suaranya
berubah daripada nada riang sebentar tadi kepada nada sayu.
Pertanyaan itu membuatkan Mai sedikit tergelak.
“Sedih kenapa pula?” jawabnya, masih dalam keadaan serba
salah dalam hal ini.
“Yalah... Irfan kan masih sayang kepada Mai. Kalau
Mai kahwin, macam mana perasaan dia agaknya ya?” tanya
Kak Gee seolah-olah menduga.
Mai merenung jauh. Kalaulah panahan mata boleh
menembuskan sehelai kertas, pasti kertas-kertas ujian anak
murid yang sedang diperiksanya itu sudah tembus. Akhirnya
dia mengeluh perlahan. Dia cuba meyakinkan dirinya,
bahawa apa yang akan dilaluinya ini nanti adalah sesuatu
yang betul.
“Antara Mai dengan dia dah tak ada harapan nak
balik semula, kak. Biarlah, lama-lama okeylah dia tu,”
jawabnya perlahan. Dan pastinya nanti, selepas diceraikan,
Mai akan dapat kembali kepadanya, kak, bisik Mai dalam hati.
Begitu yakin dia saat kata-kata itu terlintas dalam hatinya.
Namun kini dia seperti berasa tidak yakin dengan
bisikan itu lagi. Kata-kata Irfan tentang syarat yang diberikan
oleh lelaki ini supaya mereka bernikah bukan atas dasar cina
buta seakan-akan telah membuatkan keyakinannya jadi
goyah. Bagaimana nanti jika Syamsul tidak mahu
menceraikannya? Hatinya dirasuk rasa bimbang. Ah...
Mai dapat merasakan keluh-kesahnya itu dapat
dirasakan oleh Syamsul. Terasa seperti sedang direnung, Mai Laila Hanni
87
mengerling seketika kepadanya. Ah... memang benar,
Syamsul sedang mencuri pandang ke wajahnya. Lantas Mai
melarikan matanya semula. Syamsul terus memandu dengan
tenang sekali. Seakan-akan sedikit pun perkara ini tidak
meresahkannya.
Matanya terus merenung barisan kilang-kilang
yang berderet di dalam perjalanan mereka dari Seksyen 27 ke
Seksyen 10, Shah Alam. Malas untuk berfikir tentang
masalah yang baru diketahuinya semalam, Mai memejamkan
matanya melayan lagu-lagu yang diputarkan di radio.
“Penat?” Suara Syamsul mengganggu lamunannya.
Perlahan Mai membuka matanya untuk kembali
menatap wajah lelaki itu. Entah mengapa satu perkataan
terlintas dalam hatinya pada saat itu. Kacak... Mengapa dulu
dia tidak sedar akan hakikat itu. Waktu pertama kali bertemu
dulu dia terlalu leka melayan resahnya akibat daripada
perbuatan Irfan. Sehinggakan waktu itu dia tidak dapat
mengesan ketampanan wajah lelaki ini. Tambahan pula
ketika itu dia kelihatan berserabut dengan jambangnya yang
tidak dicukur dan rambutnya yang panjang mencecah ke
bahu.
Pertama kali dia melihat Syamsul ketika lelaki ini
melangkah masuk ke masjid tempat mereka diijabkabulkan
tadi, hatinya berasa sedikit keliru. Betulkah lelaki yang segak
berbaju Melayu teluk belanga ini ialah Syamsul Hasni?
Rambutnya sudah dipotong pendek. Jambangnya yang
berserabut sudah dirapikan menampakkan ketampanannya
yang sebenar. Tubuhnya yang tinggi walaupun agak kurus
kelihatan segak dan sasa dalam baju Melayu berwarna hijau
kepala itik. Sehinggakan sedikit pun Mai tidak perasan
dengan kakinya yang tempang apabila dia berjalan. Sesaat Cukup Bagiku
88
Kak Ros yang menyewakan pakaian pengantin
mereka. Pelawaan wanita separuh umur itu untuk
menyediakan pelamin untuk mereka bersanding ditolak
keras oleh mereka berdua. Akhirnya Kak Ros membuat
keputusan supaya sekurang-kurangnya mereka mengenakan
pakaian yang sedondon, yang selayaknya dipakai oleh
pengantin. Dia yang memilih persalinan ini. Katanya mereka
berdua kelihatan secocok dengan warna yang dipilihnya ini.
Mai menggelengkan kepalanya lantas berkata,
“Bukan penat dengan apa yang berlaku hari ni.”
“Habis tu?” tanya Syamsul setelah agak lama diam
menumpukan perhatian kepada pemanduannya. Ah... benci
betul dia dengan apa yang berlaku pada hari ini sampai untuk
menyebut perkataan nikah pun dia tidak sanggup, getus hati
Syamsul.
“Penat bila ingatkan semua yang berlaku sejak
enam bulan ni. Betul-betul mencabar minda saya,” ucap Mai
perlahan.
Syamsul senyum.
“Kalau semuanya kita hadapi dengan tenang, tentu
tak penat jadinya. Tentu kita jumpa satu demi satu jalan
penyelesiannya,” ucap Syamsul penuh makna.
“Huh... Macam kita sekarang? Ini jalan
penyelesaian yang kita jumpa untuk masalah saya ni, kan?”
Syamsul diam mendengarkan kata-kata Mai itu.
Kemudian dia mengangguk perlahan tanpa membalas
pandang.
“Mungkin suatu hari nanti kita lebih faham
mengapa semua ini berlaku. Mungkin ada hikmahnya bila
Allah jadikan semua ni...” ucap Syamsul perlahan.Laila Hanni
89
“Tapi bila nak selesaikan masalah kita ni, timbul
masalah lain pula, kan,” kata Mai sinis.
“Maksud engkau?” tanya Syamsul hairan. Dia
bagaikan dapat menghidu ketidakpuasan hati Mai.
Mai diam seketika. Matanya tersorot kembali
kepada deretan kilang-kilang yang tersergam megah di
sepanjang jalan.
“Semalam Irfan beritahu yang awak tak akan
lepaskan saya dalam masa terdekat ni,” kata Mai tanpa
memandang ke wajah Syamsul.
Syamsul menarik nafas panjang.
“Kita baru saja kahwin tiga jam yang lalu, dan
sekarang kita dah nak cerita pasal cerai ke?” katanya sinis.
Kata-kata itu menyebabkan Mai memandang ke
wajah Syamsul dengan perasaan yang agak jengkel. Dahinya
berkerut.
“Bukan ke itu tujuan utama saya kahwin dengan
awak? Awak hanya cina buta dalam hubungan kita ni. Dah
lupa?”
“Pada asalnya memang macam tu... Tapi kita tak
boleh lari daripada hukum, Mai. Bila kita mengaku yang kita
ni Islam, kita kena ikut segala perintah yang Allah berikan.
Macam juga bila kita kerja di satu-satu tempat. Bila kita dah
mengaku kita kakitangan kat tempat tu, kita kena ikut
peraturan tempat kerja tu, kan?” sinis Syamsul bertanya
untuk mengukuhkan alasannya.
Dalam mendengar kata-kata Syamsul yang panjang
lebar itu, sempat lagi Mai mendengar nama manjanya meniti
di bibir lelaki itu. Pertama kali lelaki ini menyebut nama
manjanya, bagaikan ada getar dalam hatinya. Cepat-cepat dia Sesaat Cukup Bagiku
90
menyeka perasaan itu. Tidak mahu membiarkan perasaan
yang sebegitu mula berpaut pada hati. Dia hanya ingin
perasaan itu hanya berlaku apabila dia bersama Irfan. Tidak
dengan lelaki lain, terutamanya dengan lelaki yang kini
bergelar suaminya ini.
“Masa mula-mula jumpa Irfan dulu, aku nekad
nakkan upah yang dia nak berikan tu. Dengan duit tu aku
boleh buka perniagaan baru. Tapi, bila aku balik, hati aku jadi
tak tenang. Entah kenapa aku rasa ada benda yang tak kena.
Sebab tu aku pergi jumpa ustaz yang mengajar dekat masjid
tempat kita nikah tadi. Aku tanya dia, sama ada betul ke
tindakan aku ni.” Syamsul berhenti seketika.
Matanya menyorot sekilas ke wajah Mai yang begitu
asyik merenung wajahnya. Renungan yang menggetarkan
perasaannya. Perlahan dia menarik nafas, cuba menenangkan
getaran dalam hatinya itu. Kemudian kembali menumpukan
perhatian kepada pemanduannya.
“Ustaz tu jelaskan semuanya. Haram dan dilaknat
oleh Allah, katanya. Kalau aku ambil duit yang tak berkat tu
untuk mulakan perniagaan, perniagaan aku nanti pasti tak
akan diberkati. Aku tak nak macam tu... Sebab itulah aku
jumpa Irfan dan beritahu dia awal-awal lagi. Dia setuju.”
Berkerut kening Mai mendengarkan kata-kata
Syamsul.
“Bila awak beritahu perkara ni kepada dia?”
“Hari pertama kita jumpa dulu. Aku minta dia
bincang dengan engkau dan dapatkan persetujuan kau dulu.
Aku tak nak ada yang tak setuju sampaikan lepas ni timbul
masalah lain. Tapi dia kata engkau mesti setuju. Aku ingat
dia dah bincang tentang perkara ni dengan engkau.”
Mai mengetap bibir lembutnya. Perlakuan luar Laila Hanni
91
sedar yang tidak lepas daripada pandangan mata Syamsul.
Makin kuat hati lelakinya bergetar. Mengapa begini mudah
wanita ini menggetarkan perasaannya. Kalau dengan Imah
atau wanita lain yang hadir sekali-sekala dalam hidupnya dia
tidak pernah merasakan getaran sebegini. Mengapa bersama
Mai mudah sekali dia kecundang? Mungkinkah kerana status
sebagai isteri yang kini dipegangnya, mampu mengubah
semua ini? Membuatkan dia merasakan ada sesuatu yang
istimewa dalam hubungan ini berbanding dengan
hubungannya dengan wanita lain?
“Abang Irfan kata, awak baru beritahu dia perkara
tu. Dia kata... awak yang beritahu saat-saat akhir sebelum
kita nikah. Supaya saya tak batalkan. Dia kata... awak betulbetul
perlukan duit tu...” katanya sambil mengeluh.
Terperanjat Syamsul dengan kenyataan itu. Namun
dia diamkan apa yang ada dalam hatinya. Tertanya sendiri
mengapa Irfan berbohong begitu. Apa tujuannya?
“Awak tak bohong, kan? Tak tipu saya, kan?” tanya
Mai meminta kepastian. Dia seakan-akan tidak yakin dengan
kata-kata Syamsul sebentar tadi.
“Kenapa pula aku nak bohong kepada engkau?”
jawab Syamsul tenang.
Mai mengalihkan pandangannya. Memandang ke
hadapan sambil mengeluh perlahan.
“Dia... bohong saya...” kata Mai sambil terus
mengetap bibirnya. Perasaan sedih kembali menyelinap
masuk ke dalam hatinya. Terasa tersinggung dengan sikap
Irfan. Terasa dirinya dipermainkan. Mengapa Irfan berbuat
begitu? Tidakkah dia boleh berterus terang?
“Mungkin dia ada sebab lain? Kita tak tahu apa
yang ada dalam hatinya,” kata Syamsul perlahan.Sesaat Cukup Bagiku
92
Hatinya bagaikan terjerut. Menyesalkah Mai kerana
sikap Irfan ini? Atau adakah kekesalan yang terpamer di
wajahnya itu menggambarkan rasa hati yang jengkel dengan
pernikahan ini? Dia sepatutnya berbincang sendiri dengan
Mai sebelum mereka bernikah. Selama ini dia mempercayai
Irfan akan menerangkan segalanya kepada Mai. Sedikit pun
dia tidak menyangka Irfan akan membuat keputusan sendiri.
“Engkau menyesal kita dah nikah?” Dia bertanya
lama kemudian.
Mai juga mengambil masa yang cukup lama untuk
menjawab. Dan apabila akhirnya dia berkata-kata, bicaranya
itu sekali lagi menjerut hati Syamsul.
“Tidak... Sebab pernikahan kita ini akan dapat
kembalikan saya kepada dia.”
Syamsul diam sambil melayan hatinya yang
terjerut dek kata-kata itu. Mai juga membisu kerana pada
saat itu dia sendiri bagaikan tidak yakin dengan kata-katanya
sendiri.
Mereka tiba ke rumah Mai kira-kira jam 6.30 petang.
Mai cepat-cepat naik ke bilik di tingkat atas meninggalkan
Syamsul termangu-mangu sendirian di ruang tamu. Dia
perlu menunaikan solat asar kerana waktu yang sudah begitu
lewat. Syamsul telah bersolat semasa di restoran Kak Ros tadi
manakala dia pula terasa agak janggal untuk solat di sana
kerana suasana yang agak asing tanpa sedikit pun privasi
di ruang rehat restoran tersebut. Walaupun ruang solat itu
bersih, namun keadaan yang agak bersepah itu membuatkan
dia rasa enggan untuk bersolat di situ.Laila Hanni
93
Dia tidak biasa dengan keadaan bersepah kerana
rumahnya sentiasa berkemas rapi. Sedikit sampah pun tidak
pernah dibiarkan bersepah di lantai. Pantas sekali tangannya
membersihkan segala kekotoran yang ada di situ. Sikap
cerewet yang sering ditegur oleh Kak Gee, sehinggakah
teman sekerjanya itu selalu mengatakan bahawa dia bernasib
baik kerana tidak punya anak-anak yang menyepahkan
rumahnya. Kalau tidak, pasti Mai akan menjadi ibu yang
cukup garang dengan sikap budak-budak yang sememangnya
gemar menyepahkan rumah.
Selepas mandi dan bersolat, barulah dia teringat
kepada Syamsul yang ditinggalkan di ruang tamu tingkat
bawah rumahnya itu. Apabila dia menapak ke bawah, dia
mendapati lelaki itu tiada di ruang tamu. Dia meninjauninjau
keluar. Terdetik dalam hatinya kemungkinan Syamsul
Hasni sudah meninggalkan rumah itu. Mungkin tersinggung
kerana ditinggalkan sendirian. Atau terasa tidak betah untuk
terus menjadi suaminya.
Dalam hati dia berharap supaya perkara itu berlaku.
Jika boleh dia ingin perkara sebegitu berlaku. Dia tidak tahu
bagaimana untuk dia melayan lelaki itu. Perlukah dia
melayannya dengan istimewa selayaknya sebagai seorang
suami? Atau bagaimana? Hatinya jadi serba salah.
Bunyi deruan air di singki dapur menyebabkan dia
sedar bahawa lelaki itu masih ada lagi di dalam rumah.
Lantas dia turut ke dapur. Dilihatnya Syamsul sedang
membasuh tangannya di singki. Di atas dapur sudah
terjerang gulai kenduri tengah hari tadi yang sedang
dipanaskan. Sebelum pulang tadi Kak Ros telah
membekalkan mereka dengan juadah daripada kenduri tadi
untuk mereka makan malam nanti.
“Awak lapar ke?” Dia bertanya kepada Syamsul yang Sesaat Cukup Bagiku
94
tidak menyedari kehadirannya.
Pertanyaan itu membuatkan Syamsul terperanjat.
Cepat sekali dia berpaling ke arah Mai. Perlakuan pantas
sebegitu membuatkan dia hilang keseimbangan. Kakinya
yang tempang itu menyebabkan dia hampir jatuh. Cepatcepat
dia berpaut pada bahagian tepi singki. Namun bahagian
yang basah itu ternyata licin menyebabkan tangannya
terlepas pegangannya dan hilang keseimbangan. Terus dia
jatuh terduduk di lantai.
Terjerit Mai melihatkan tubuh yang begitu tinggi
itu jatuh di hadapannya. Cepat-cepat dia berlari mendapatkan
Syamsul yang terduduk di lantai. Wajahnya menunjukkan
kerisauan apabila melihat Syamsul terjatuh kerana
terperanjat dengan sapaannya.
“Awak tak apa-apa ke? Maaf, saya buat awak
terkejut,” katanya cemas sambil tangannya memegang
lengan lelaki itu.
Dengan pantas dia melutut di sebelah lelaki itu dan
dalam kekalutannya, kakinya tersadung pada alas kaki yang
diletakkan di hadapan singki. Dia jatuh di atas Syamsul
lantas tubuh mereka bersentuhan dalam keadaan yang cukup
intim. Dan dengan tindakan spontan, tangan kiri Syamsul
memeluk pinggang Mai dengan erat sekali.
Terkesima kedua-duanya di atas lantai di hadapan
singki. Buat seketika mereka hanya memandang ke dalam
mata masing-masing. Pertama kali bersentuhan selepas
upacara membatalkan air sembahyang pada tengah hari tadi,
sedikit sebanyak ia mengundang rasa yang cukup tidak selesa
dalam hati masing-masing. Lantas cepat-cepat Mai
membetulkan kedudukannya supaya ada jarak antara tubuh
mereka.Laila Hanni
95
“Maaf... saya... tak sengaja...” ucapnya perlahan
yang agak terkejut.
Matanya kembali mengerling sekilas ke wajah
Syamsul yang kelihatan tersenyum selamba. Mai terasa agak
malu dengan keterlanjurannya sebentar tadi. Debaran kuat
memalu jantung hinggakan terasa lemah lututnya untuk
terus berdiri. Lalu dia terus melutut di sebelah tubuh
Syamsul yang masih terduduk di tepi singki.
“Tak apa... Aku yang salah, jatuh macam nangka
busuk, kan?” kata lelaki itu sambil tersenyum lagi.
Pertama kali Mai melihat senyuman yang sungguh
menawan itu. Selama ini keadaan di antara mereka selalunya
agak tegang hinggakan dia tidak pasti bagaimana wajah
Syamsul ketika tersenyum malah dia merasakan sehingga
kini tidak pernah sekalipun dia melihat Syamsul tersenyum
semesra itu. Selalunya dia serius dan bagaikan tenggelam di
dalam dunianya sendiri, sering termenung sendirian, seperti
sedang memikirkan sesuatu.
Cepat-cepat Mai bangun setelah merasakan dia
mampu mengawal debaran dalam hati. Dia cuba meredakan
debaran itu dengan menarik dan menghembuskan nafasnya
perlahan-lahan. Dia cuba berlagak tenang sambil
menghulurkan tangannya untuk Syamsul berpaut. Namun,
debaran itu jadi kian kencang pada saat jari-jemari mereka
bersentuhan lagi. Dia dapat merasakan kembali kehangatan
pelukan lelaki itu sebentar tadi. Menyebabkan wajahnya
kemerah-merahan menahan malu. Sungguh dia tidak
menyangka tubuh yang kurus itu mempunyai lengan yang
kuat sekali. Dapat dirasakan kekuatan itu sebentar tadi.
Syamsul turut bangun dari duduknya dengan
bantuan Mai. Terdetik sedikit rasa malu dalam hatinya kerana Sesaat Cukup Bagiku
96
jatuh dalam keadaan yang sebegitu.
“Aku ni macam lemah sangat, kan? Kena tegur sikit
dah jatuh,” ucapnya untuk membuang rasa malu itu.
Mai hanya tersenyum. Dia tidak mampu berkata
apa-apa. Rasa debar dalam hatinya bagaikan tidak mampu
untuk diseka. Lantas dia berpaling ke arah periuk di atas
dapur. Gulai yang dipanaskan sudah menggelegak.
“Awak panaskan gulai tu? Pandai pula awak cari
periuk ni?”
“Susah juga. Habis pintu kabinet tu aku buka.
Akhir sekali jumpa juga. Kak Ros pesan tadi gulai ni kena
panaskan. Kalau tak dipanaskan, basi nanti. Lauk lain tak
apalah kalau terus masukkan ke dalam peti sejuk,” kata
Syamsul selamba.
Hatinya juga cukup berdebar dengan insiden
sebentar tadi. Namun dia mampu menyembunyikan
perasaannya dengan cukup baik sekali. Kalaupun ada
terpamer sedikit debaran itu, Mai pasti tidak menyedarinya
kerana sibuk melayan debaran dalam hatinya sendiri malah
matanya juga turut dilarikan ke arah lain, tidak mampu
menatap wajah suaminya itu.
“Malam ni aku rasa tak nak makan nasi. Dah muak
rasanya seharian asyik hidu bau gulai ni aje. Nanti lepas
sembahyang, aku masakkan sesuatu yang istimewa untuk
kita,” ucap Syamsul. Mai yang masih dalam mamai hanya
menganggukkan kepalanya tanda setuju.
Tangan Syamsul mula membuka pintu kabinet
untuk mencari bahan-bahan yang boleh dimasak. Mai hanya
memerhatikan sahaja. Terdetik dalam hatinya, betapa
selesanya lelaki ini masuk ke dalam hidupnya. Tanpa segan
silu dia menyelongkar isi kandungan di dalam kabinet. Laila Hanni
97
Mungkinkah tanpa segan silu juga dia akan mampu
menyelongkar segenap ruang lain dalam hidupnya, dalam
mindanya dan mungkin juga dalam hatinya suatu hari nanti?
Dan entah mengapa kata-kata terakhir Syamsul tadi bagaikan
kedengaran romantis sekali di telinganya.