“Cinta memang sering kali membuat
kita terluka, tapi ia membuatmu
semakin dewasa. Jadilah peribadi
yang selalu memaafkan.”
PAGI itu Nailah sediakan sarapan. Dia tidak pernah lupa tugasnya sebagai menantu apabila balik kampung. Sikap ibu mentuanya semakin dingin tidak menghalangnya berbakti kepada mereka. Lagipun layanan abah mentuanya tidak berubah.
“Jemput makan abah,” pelawa Nailah.
“Ibu mana?” tanya Haji Ghani. Dia baru sahaja pulang dari masjid.
“Tak keluar bilik lagi. Tengah mengaji kut, abah.”
Haji Ghani mendengus. Mengaji? Bulan puasa saja Cik Milah buka al-Quran. Kalau bukan melayan TikTok, layan drama Korea. Itulah kerja Cik Milah seharian, selain bersembang pasal kain dalam orang.
“Mengaji dalam TikTok,” dengus Haji Ghani.
Nailah senyum segaris. Dia melayan abah mentuanya makan. Dia tahu sejak dua tiga tahun kebelakangan ini Cik Milah sangatlah aktif berTikTok. Pengikutnya telah sampai puluhan ribu. Hebatkan? Dia sendiri tidak ada akaun TikTok ni.
“Abah, kejap lagi Ilah nak balik rumah mak Ilah. Abang Nuar masih tidur lagi, penat bawa kereta semalam. Jadi boleh Ilah tumpang abah?”
“Boleh. Tak pun guna kereta Myvi yang ada kat depan rumah tu.”
“Tak apalah abah, saya tumpang abah je. Lagipun nanti Abang Nuar akan ke rumah mak jugak.”
“Kalau macam tu pergilah bersiap, kejap lagi abah nak ke kedai.”
Nailah senyum gembira. Nasib baik abah mentua memahami dan tidak banyak tanya. Dia terus masuk dan bersiap. Nailah pandang Anuar yang masih tidur. Tidak pasti sama ada Anuar bangun solat subuh atau tidak tadi. Sebab dia ada kejutkan Anuar sebelum keluar menyediakan sarapan tadi. Tapi bila masuk Anuar masih lagi tidur.
“Awak..” Nailah sentuh bahu Anuar.
“Hmmm.”
“Saya balik rumah mak, tumpang abah.”
“Hmmm...” Anuar bergerak mengiring, membelakangi Nailah.
Nailah pandang sahaja. Semalam dia puas menangis sendiri dalam tidur, jadi pagi ini emosinya semakin tenang. Dia sudah tidak mahu ambil kisah lagi tentang Anuar.
Tidak mahu abah tunggu lama, Nailah segera bersiap. Beg berisi baju turut dibawa sekali. Malam ini dia akan tidur di rumah maknya.
Sebaik keluar, dia nampak Cik Milah dan Firdaus tengah makan sambil berbual. Beg diletak tepi dan dia menghampiri ibu mentuanya.
“Ibu, saya nak balik ke rumah mak saya dulu.”
Tangan dihulurkan tapi tidak bersambut. Wajah Nailah berubah. Tangan ditarik balik. Kemudian dia memandang Firdaus yang buat-buat ralit makan.
“Nuar masih lagi tidur tu,” beritahunya tanpa ditujukan kepada sesiapa.
“Eloklah, laki ditinggalkan. Mak ni lagi penting dari laki sendiri. Tak sedar diri melayan suami itu lebih penting dari mak sendiri,” sindir Cik Milah.
“Saya dah minta kebenaran dari Abang Nuar, ibu,” balas Nailah senada. Dia cuba tidak ambil hati dengan sikap ibu mentuanya.
Sebelum jadi menantu, dia ingat Cik Milah ni baik sangat. Cakap pun lembut. Apabila datang ke kedai selalu belikan mereka makanan. Layan mereka macam anak sendiri. Sebab itulah apabila Cik Milah cakap nak jodohkan dia dengan Anuar, dia cakap dia terima kalau maknya terima.
Jadi Cik Milah tidak tunggu lama, esoknya dia datang merisik. Mak besar hati terima kerana dia sudah lama berangan hendak berbesan dengan keluarga tauke emas ni. Sekurang-kurangnya dapatlah diskaun apabila beli emas di kedai besan sendiri, itu yang mak sentiasa zikirkan.
Layanan baik ketika di awal perkahwinannya mula berubah apabila perutnya tidak berisi. Mula-mula macam-macam petua dan ubat Cik Milah bagi dia suruh makan. Dia makan walaupun tahu rezeki anak sampai bila-bila pun takkan datang.
Bila semua tidak menjadi, dia mula dipersalahkan. Anaknya tidak pernah salah. Anaknya semua bagus dan kuat. Nailah diam. Buruk mana pun Anuar, itu suaminya. Maruah Anuar dijaga walaupun dia yang menanggung segala yang buruk itu.
Tapi sekarang dia telah penat. Penat untuk menyayangi dan mencintai. Penat mempertahankan rumah yang nampak cantik dan berseri ini padahal kosong di dalamnya. Luka di hati semakin parah sehingga dia tidak mampu berpura-pura lagi.
“Ilah dah siap?” tegur Haji Ghani.
“Dah abah.” Nailah terus mengikut Haji Ghani keluar rumah tanpa menoleh lagi.
“Terima kasih abah,” ucap Nailah sebelum keluar dari kereta abah mentuanya.
“Sama-sama. Kirim salam kat mak ayah. Abah tak sempat singgah. Ada miting kat KB.”
“Insya-Allah, baik abah.” Nailah angguk. Dia terus berdiri di tepi jalan melihat kereta BMW itu bergerak dan hilang di sebalik selekoh, barulah dia berpaling masuk ke halaman rumah.
Sunyi rumah pagi-pagi ini. Mak tentu ada di dalam bilik mengaji masa ni. Kak long dan abang long serta anak-anak ke sekolah. Dia balik tengah minggu, jadi dah tentu tidak ada orang yang menyambutnya. Balik pula tidak cakap awal-awal.
Sampai di tangga, barulah dia memberi salam.
“Assalamualaikum...”
“Assalamualaikum... mak... oo mak!” Suara dikuatkan lagi.
“Waalaikumussalam.” Pintu depan terbuka.
“Mana Nuar?” Terjenguk-jenguk Cik Idah ke laman rumah.
Hati kecil Nailah terasa. Menantu dia juga yang dicarinya dulu.
“Tengah tidur kat rumah Cik Milah, mak,” beritahu Nailah tanpa sedikit pun bersalah.
“Dah tu kenapa kau balik dulu? Tak tunggu suami datang sekali?” tegur Cik Idah dengan nada tidak senang.
“Dia penat bawa kereta, mak. Biarlah dia tidur lama sikit. Lagipun bukan jauh mana pun rumah Cik Milah dengan rumah kita. Lepas bangun nanti dia datanglah. Orang balik dulu sebab rindukan mak. Dah lama tak balik jumpa mak.” Serak suara Nailah menjawab maknya.
“Yalah. Marilah masuk.” Cik Idah terus berpaling masuk ke dalam semula. Tanpa dipedulikan Nailah di belakangnya, dia terus masuk ke dalam biliknya.
Nailah pandang belakang tubuh maknya sehingga menghilang di sebalik pintu. Rindu yang berbekam di dada terus hilang tanpa jejak. Sambutan dingin mak membuatkan dia rasa dia tidak patut balik kampung.
Nailah jadi serba salah. Sejak bila rumah ini jadi asing? Beg diletakkan di tepi dinding. Dia keluar balik dan melangkah menuju ke rumah mak tok, nenek sebelah mak. Rumahnya terletak di belakang rumah mak, betul-betul tepi sawah padi.
“Assalamualaikum mak tok.”
Nailah memberi salam apabila melihat mak tok bertinggung di kebun kecilnya mencabut rumput.
“Waalaikumussalam.” Mak tok berpaling.
Nailah sudah pun memeluk belakang mak tok. Air mata setitis dua menitis sebelum dia menyekanya dengan hujung baju. Rindu dia dekat mak tok. Bukan rindunya dekat mak di rumah.
“Laa, kamu Ilah. Bila balik?”
“Malam tadi, mak tok. Tidur rumah Cik Milah.”
“Ooo... baru balik sini pagi nilah.”
Nailah angguk.
“Mak tok nak tanam apa?”
“Lobak, kangkung, maman.”
“Mak tok sihat?”
“Sihat cara orang tualah. Kamu ni, kenapa kurus sangat ni?”
Nailah tayang gigi, sengih.
“Orang rasa gemuk dah. Mak tok kata kurus lagi? Tak tahu nak makan banyak mana lagi dah,” balasnya. Padahal dia tahu sebab banyak makan hati, seleranya tumpul. Jadi banyak mana sangat makanan yang mampu ditelannya.
Mak tok geleng kepala.
“Makan benda tak berkhasiat, mana nak gemuknya.”
Mengekek Nailah ketawa. Hilang lara hatinya.
**BERMINAT? Boleh hubungi/ WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /
: 019-3729676 (Admin Shida)