DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 28 April 2023

Bila Aku Bukan Dia - Bab 2


“Berimaginasi memang lebih

menyenangkan. Tapi kita harus sedar

bahawa yang kita hadapi tak seindah

saat kita berimaginasi.”

 

TENGAH hari baru Anuar muncul. Hati Nailah lega walaupun terasa dengan sikap Anuar itu. Tapi dia sedar diri, perkahwinan mereka adalah pilihan keluarga. Walaupun Anuar dikenali sejak kecil tapi mereka tidak pernah bermain bersama. Jarak umur membatas pergaulan mereka.

Namun dia tahu, Anuar ini calon menantu idaman mak-mak di kampungnya. Dilahirkan sebagai anak lelaki tunggal dalam keluarga Haji Ghani, tauke kedai emas Ghani, sudah tentu dia menjadi perhatian anak gadis di kampung. Tidak terkecuali juga Nailah.

“Ilah... suami balik tu. Pergi sambut,” arah Cik Idah apabila kereta berhenti di hadapan rumah mereka.

Hmm...” Dilihat Anuar keluar dari kereta dan bersalam dengan ayahnya sambil menjinjit plastik.

“Kawan kamu dah bertolak balik ke?” Pok Mi bertanya.

“Dah ayah. Pukul sepuluh tadi,” balas Anuar. Gaya bersahaja dan kelihatan biasa. Mungkin kerana mereka telah lama kenal.

Nailah berdiri di muka pintu mendengar perbualan mereka. Dia tidak menyampuk. Wajah suaminya dipandang, hati terdetik. ‘Anuar tidak kurang pun dari segi rupa paras dan harta benda, tapi kenapa dia pilih menerima gadis pilihan keluarga sebagai isterinya? Aku bukannya cantik pun. Kerja pun sebagai jurujual di kedai emas keluarganya.’

Persoalan itu sebenarnya telah berlegar-legar di dalam kepalanya sejak tahu keluarga Anuar datang merisik. Menurut mak, Cik Milah berkenan hendak jadikan dia menantu.

Ialah dua tahun kerja di kedai emas tu, mestilah dia baik dengan bos sendiri. Tapi tidak tahu pula dalam baiknya, dia jadi target calon menantu.

Nailah tanya mak, anak Cik Milah tu terima tak. Dia tidak mahu perkahwinan mereka sekadar pilihan keluarga dan tidak menjadi pilihan bakal suaminya.

Mak cakap, Anuar setuju. Dia ikut apa yang keluarganya kata. Jadinya pagi semalam sahlah Nailah secara rasmi jadi isteri Anuar dan menantu Haji Ghani, tauke emas tu.

Tapi malam tadi, malam pertama mereka, dia telah ditinggalkan. Dan permulaan hidup baru mereka tidak seindah yang dia impikan walaupun sebelum keluar Anuar bersikap baik kepadanya. Siap jelaskan ke mana dan dengan siapa dia akan berjumpa. Tapi itulah hati gadis yang baru jadi isteri orang sudah tentulah tergores, bila suami lebihkan kawan sendiri daripadanya.

“Eh termenung pula budak ni. Ilah ajak suami ni masuk,” tegur ayah, membuatkan Nailah tersentak. Dia senyum kelat.

“Awak dah balik, marilah masuk.”

Anuar meminta diri dari ayah mentuanya dan mengikut Nailah masuk.

“Awak nak makan ke nak masuk rehat dulu?”

“Kita masuk bilik dulu. Saya ada beli barang kat awak malam tadi.” Anuar menarik tangan Nailah masuk ke bilik mereka. Pintu ditutup dan dihulurkan plastik merah yang dibawanya.

“Apa ni?”

“Bukalah tengok.” Anuar senyum misteri.

Hati Nailah terpujuk. Mujurlah Anuar tidak lupa dia walaupun tidak balik malam tadi. Plastik merah itu dibukadan dilihat ke dalamnya.

Matanya bersinar apabila melihat shawl yang viral baru-baru ini dapat dipegangnya. Jenama skarf Cinderella ini mahal harganya. Setanding dengan material kain yang digunakan. Paling murah berharga 150 ringgit.

Mungkin pada orang lain murah harga tersebut, tapi pada Nailah, untuk sehelai selendang berharga 150 ringgit itu mahal. Dia tidak sanggup menghabiskan duit semata-mata untuk membeli sehelai tudung yang akan dipakai beberapa kali kemudian disimpan di dalam almari.

“Cantik tak? Try pakai.”

“Cantik. Mahal shawl ni. Tapi saya tak berapa reti pakai.”

“Tak reti pun boleh cuba-cuba pakai lepas ni,” pujuk Anuar ambil hati. Dia tarik Nailah duduk di birai katil.

Sorry tak balik malam tadi. Saya keluar dari Wakaf Che Yeh pun dah pukul tiga lebih. Mengantuk. Jadi saya tumpang tidur bilik kawan saya.”

“Tak apa. Saya faham. Pergi sana bukan boleh sejam dua.”

Anuar senyum. Dia lega bila Nailah memahami keadaannya. Ia membuatkan dia lebih terasa bersalah. Dipandang wajah manis Nailah, perlahan tangan naik mengusap pipinya. Licin tapi berparut jerawat. Cantik.

Wajah Nailah merah. Ditenung begitu membuatkan hatinya berdup dap dup dap. Terasa semakin kuat degupan jantungnya sehingga mungkin dapat didengar oleh Anuar.

Wajah Nailah semakin merah. Siang hari duduk rapat begini membuatkan dia salah tingkah.

“Awak lapar tak?” Nailah berusaha memecahkan keadaan canggung mereka.

“Sikit. Tapi saya nak baring kejap. Mengantuk.” Habis cakap terus Anuar tarik Nailah berbaring sama.

Nailah terkejut, mujur dia tidak menjerit dengan tindakan spontan Anuar itu.

Anuar ketawa. Hati Nailah seolah-olah disiram air mawar mendengarnya. Jauh hati semalam sudah terubat.

“Temankan saya tidur, ganti balik semalam.”

Erk! Nailah cuak. Takkanlah tengah hari begini?

Dalam diam Anuar memerhati perubahan air muka Nailah, dia senyum.

“Temankan saya tidur di sebelah. Awak fikir apa?” soal Anuar sambil ketawa kecil. Pipi merah Nailah dicubit.

Nailah malu. Mata terus dipejamkan, berpura-pura tidur.

 

No comments:

Post a Comment