“APA semua ni, Adrian?”
Helaian kertas yang memaparkan gambar-gambar diletakkan kasar di hadapan Adrian. Tengku Sofia kemudian mengambil tempat berhadapan adik lelakinya itu.
Helaian kertas-kertas di hadapannya dikerling sekilas sebelum memandang Tengku Sofia. Wanita itu kelihatan tegang. Adrian sangat tahu punca Tengku Sofia berkeadaan sedemikian.
“Ini gambar-gambar lama. Kak long pun tahu yang...”
“Kau dengan dia pergi bercuti berdua?” celah Tengku Sofia dalam nada yang kedengaran bengang.
Adrian melepaskan keluhan.
“Bukan berdua. Ada orang lain selain Ed dengan dia. Semua orang dah tahu hal ini,” jawab Adrian malas.
Dia mengingat kembali perihal dirinya bersama Camilla Leanne tahun lepas. Hal sebenarnya, dia dan Camilla bukan pergi bercuti berdua. Ada lagi rakan-rakan mereka yang lain. Cumanya, paparazi lebih mahu menyebarkan gambar-gambar mereka berdua.
Melalui gambar-gambar itulah, gosip hubungannya dengan Camilla mula tersebar. Walaupun benar, dia tak pernah mahu mengeyakan hubungan tersebut kepada media. Baginya kehidupan peribadinya adalah haknya, bukan hak rakyat.
Sungguh pun begitu, hubungannya dengan Camilla walaupun tiada pengesahan daripada pihak mereka, mendapat maklum balas yang agak baik daripada rakyat. Dia masih ingat bagaimana namanya dan Camilla menjadi carian hangat pada tahun lepas. Setiap apa yang mereka berdua lakukan menjadi bualan.
Itu belum lagi dengan pertikaian mengenai pencapaian-pencapaian Camilla. Ada gosip yang dia pernah baca, bahawasanya anugerah-anugerah yang diterima Camilla itu sebenarnya disebabkan hubungan dengannya walaupun Camilla sebenarnya layak memperoleh anugerah-anugerah tersebut.
“Perkara macam ni akan mengganggu urusan perkahwinan kau nanti. Kalau Lyssa terbaca, ia akan mengganggu perasaan dia. Dia perlu berada dalam keadaan tenang sehingga hari perkahwinan kau,” sambung Tengku Sofia.
Adrian tahu itu. Tapi, tiada apa yang dia boleh lakukan terhadap penyebaran gambar-gambar lama yang merosakkan namanya. Lagipun, pihak istana juga minta supaya dia tidak memberi reaksi terhadap isu itu. Kata pegawai hal dalaman istana, berdiam diri merupakan jalan yang terbaik. Biarkan rakyat dengan andaian-andaian mereka, kerana itu bukan satu hal yang penting perlu diuruskan.
“Bonda dan ayahanda cakap apa tentang ni?”
Minda Adrian teringatkan ibunya yang agak sukar untuk bertemu disebabkan wanita itu sibuk menguruskan perihal majlis perkahwinannya yang bakal tiba nanti. Kali terakhir dia bertemu Tengku Yuhanis adalah beberapa hari lepas. Itu pun mereka tidak sempat berbual lama. Tapi, wanita kesayangannya itu sempat menitipkan nasihat supaya bersabar dengan apa yang berlaku.
“Macam biasa. Bonda cuma cakap ni semua cerita murahan untuk merosakkan nama kau. Ayahanda pula... kau tahulah dia macam mana. Dia nak jumpa kau malam nanti.”
Adrian sebenarnya sudah mendapat arahan yang sama daripada pembantu peribadinya pagi tadi. Namun, dia masih kecut perut apabila memikirkan tujuan Tengku Izhar mahu bertemu dengannya adalah disebabkan apa yang sedang dibincangkan dengan Tengku Sofia ketika ini.
“Makin nak dekat dengan tarikh kau kahwin, makin banyak pula gosip pasal kau tersebar. Ada orang yang tak gembira dengan berita perkahwinan kau ni.” Tengku Sofia mengecilkan matanya.
“Camilla takkan buat macam tu,” ucap Adrian tanpa sedar.
“Kak long tak sebut pun nama dia.” Tengku Sofia kerutkan dahi. Dipandang Adrian dengan tidak beriak. “Jadi, Camilla yang sebarkan gambar-gambar ni semua?”
Adrian telan liur. Nampaknya, dia telah tersalah cakap membuatkan kakaknya tersalah faham dengan Camilla.
“Bukan Camilla yang buat semua ni.”
“Habis tu, kenapa kau tiba-tiba sebut nama dia?” Mata Tengku Sofia masih kepada Adrian.
“Ed cuma tak nak kak long salah faham dengan dia aje.”
“Dalam Eurovia ni... bukan dia aje yang tak gembira dengan berita perkahwinan kau. Berlambak lagi perempuan-perempuan kat luar sana yang patah hati dengan kau. Tapi, sebab kau tiba-tiba sebut nama dia, kak long terpaksa fikir semua yang berlaku ni adalah disebabkan dia. Entah-entah dia yang upah orang komen benda buruk tentang Alyssa.” Tengku Sofia memeluk tubuh.
“Camilla bukan macam tu. Ed kenal dia macam mana.”
Jauh di sudut hati Adrian, dia sebenarnya sudah mula sangsi dengan apa yang dikatakannya sebentar tadi. Lebih-lebih lagi apabila Tengku Sofia mengeluarkan andaiannya.
Ayat Adrian membuatkan Tengku Sofia mengeluh berang.
“I hope so. Tapi... kalau betul dia, kak long akan ambil tindakan.”
“Tolong jangan besarkan hal kecil macam ni, kak long. Kak long tak ada bukti untuk apa yang kak long cakap tadi tu.”
“Kak long memang tak ada bukti. Tapi sekarang ni, yang penting adalah apa yang Lyssa akan fikir apabila dia baca berita-berita macam ni. Dia mungkin tak cintakan kau tapi dia akan rasa dikhianati.”
“Ed akan terangkan kepada dia.”
“Tak perlu. Bonda beritahu, dia akan bercakap dengan Lyssa tentang hal ni. Kau cuma perlu bersiap sedia dan tumpukan pada kerja kau aje.” Seusai ucapkan itu, Tengku Sofia melangkah keluar dari pejabat Adrian.
Sekali lagi Adrian melepaskan keluhan. Serba salah dibuatnya apabila teringatkan tunangnya itu. Dia teringatkan perbualannya dengan Alyssa beberapa hari yang lalu.
MATANYA MEMERHATIKAN keadaan sekeliling kafe di hadapannya sambil menghirup minuman coklat panas di tangannya. Nasibnya baik apabila tiada sesiapa pun di kafe ini mengenalinya apabila dia mengenakan cermin mata dan topi. Itu adalah penyamarannya saat ini setiap kali dia memilih untuk mengambil angin di luar.
Minda Alyssa teringatkan kembali apa yang dibacanya tadi. Dia sebenarnya tahu dan faham tujuan artikel gosip yang ditulis. Tapi, ia masih tetap mendatangkan perasaan tidak puas hati dalam dirinya. Walaupun dia tahu, dia tidak layak untuk punya perasaan sebegitu.
Alyssa terpaksa akui, dia adalah di antara manusia-manusia yang bergelar anti-fan kepada Camilla Leanne itu. Walaupun begitu, dia memilih untuk tidak mengambil tahu perihal Camilla. Baginya, tiada sebab untuk dia mahu ambil tahu mengenai manusia yang tidak disukainya.
Cumanya, sejak bergelar tunang kepada Tengku Adrian Eiman, perasaan tidak puas hati terhadap wanita itu mula bercambah setiap kali dia membaca gosip-gosip Adrian dengan Camilla walaupun ia cuma gosip-gosip lama.
Beberapa ketika, telefon pintar miliknya bergetar menandakan ada panggilan masuk. Namun begitu, Alyssa memilih untuk mengabaikan panggilan daripada abangnya. Dia sangat yakin Megat Aiman bukan setakat mahu bertanyakan mengenai keberadaannya ketika ini. Tapi, lelaki itu juga akan menghulurkan bebelan disebabkan dia telah keluar dari rumah tanpa kebenaran, dan juga tanpa pengetahuan sesiapa.
Entah berapa banyak panggilan tidak dijawab daripada Megat Aiman, Alyssa tidak peduli. Apa yang Alyssa tahu, saat ini dia tidak mahukan gangguan. Dia mahu kekal menikmati minuman kegemarannya dengan tenang.
Namun, tiba-tiba saja muncul seorang lelaki mengambil tempat di hadapannya. Air liur ditelan melihat wajah lelaki itu. Walaupun hanya mengenakan topi dan cermin mata sepertinya, Alyssa tahu siapa lelaki di hadapannya ketika ini.
Tengku Adrian Eiman!
“Kenapa... you boleh ada kat sini?” soalnya dengan nada tenang yang dibuat-buat.
“Ada orang beritahu I, you kat sini.”
“You... suruh orang ikut I?”
Adrian mengangguk.
“Untuk sekarang ni, keselamatan you sangat penting. Walaupun you terkurung di dalam rumah, ada pengawal yang akan mengawal di luar rumah you.”
“Berdasarkan arahan you?”
Seingat Alyssa, baik Tengku Yuhanis mahupun ahli keluarganya langsung tidak pernah memberitahu perihal pengawal yang akan mengawal di luar rumahnya.
“Ya.”
Alyssa diam walaupun dia sebenarnya langsung tidak gemar dengan apa yang didengarnya.
“You berkemungkinan ada kat sini sebab you nak cari ketenangan,” Adrian kembali bersuara.
Alyssa diam lagi, memilih untuk tidak memberi respons pada ayat Adrian.
“Do you find it stressful being my future wife?”
“Yes.”
Tersenyum hambar Adrian mendengar jawapan Alyssa. Terlalu jujur!
“You menyesal?”
Soalan Adrian itu membuatkan Alyssa mula melepaskan keluhan.
“You patut tahu dalam keadaan sekarang, bukan mudah untuk kita ubah keputusan yang dibuat. Semua orang dah tahu tentang kita. Dan sebab itu, kita ada reputasi yang perlu dijaga. Lagi-lagi you. Reputasi you lebih besar daripada I. You adalah...” Sengaja Alyssa tidak menghabiskan ayatnya. Dia risau jikalau ayat yang bakal dikeluarkan tadi akan membongkar identiti sebenar mereka sekarang.
Sekali lagi Adrian tersenyum hambar dengan apa yang keluar daripada mulut Alyssa sebentar tadi.
“Kenapa you datang sini? You tak ada kerja ke? Sepatutnya orang macam you ni sangat penting, sampaikan kalau ada orang perasan kehilangan you, dunia akan jadi huru-hara.”
Entah mengapa, Adrian mahu ketawa mendengar ayat Alyssa. Gadis di hadapannya mungkin sedang bersikap serius namun dia rasakan ayat Alyssa tadi kelakar.
“Janganlah risau. Radi akan uruskan semua tu nanti.”
“Radi?” Alyssa kerutkan dahi. Belum pernah pula dia mendengar nama itu keluar daripada mulut Adrian.
“Pembantu peribadi I. You belum pernah jumpa dia lagi.”
Alyssa mengangguk faham sebelum dia kembali menghirup minuman di tangannya. Keadaan menjadi sepi seketika sehinggalah Adrian kembali bersuara.
“I harap you tak terganggu dengan apa yang berlaku ketika ni. Gambar-gambar tu semua gambar lama.” Mata Adrian memanah mata Alyssa.
“Bonda you dah beritahu I benda yang sama,” Alyssa membalas pandangan Adrian. “Besides... ayah I cakap kita tak patut menilai seseorang berdasarkan masa silam seseorang. Dan I cuba buat tu.”
“Tapi?” Adrian tahu ayat Alyssa masih belum tamat.
“Tapi... tipulah kalau I cakap I tak terganggu dengan semua tu. Lagi-lagi apabila orang bandingkan dia dengan I. I rasa tercabar walaupun I tahu dia dengan I tak sama.”
“You are way better than her, Lyssa.”
Bukanlah Adrian mahu membuatkan Alyssa senang hati dengan ayatnya itu. Tapi, itu adalah hal sebenar. Dia jujur dan ikhlas dengan pujian yang diberikan kepada gadis itu sebentar tadi.
Ayat Adrian membuatkan Alyssa tersenyum hambar. Dia langsung tidak senang hati dengan pujian lelaki itu.
“I might agree with you, Ed. Tapi... katakanlah suatu hari nanti, bila I dah tak nak teruskan semua ni, you akan lepaskan I tak?”
Terkesima seketika Adrian dengan soalan Alyssa yang tiba-tiba itu. Air liur ditelan sebelum memaksa dirinya bersuara.
“Kenapa... you tiba-tiba tanya macam tu?”
Alyssa jongketkan bahu.
“Just wondering, kita tak tahu apa yang berlaku pada masa hadapan. Tapi... katakanlah hal macam tu berlaku, you... akan lepaskan I tak?”
Adrian diam seketika, memikirkan jawapan bagi soalan Alyssa yang sangat mengejutkannya.
“Kalau... betul you dah tak mampu nak teruskan semua ni... dan, you fikir penceraian adalah jalan yang terbaik, you fikir hanya dengan cara tu aje akan buat you gembira...” Adrian merenung tepat mata Alyssa. “I... akan... lepaskan you macam yang you nak.”
Bibir kiri Alyssa bergerak sedikit ke atas tatkala mendengar jawapan Adrian. Dia sememangnya sudah jangkakan itu daripada lelaki itu.
“I... akan tunggu waktu tu tiba.”
Alyssa memaksa diri ukirkan senyuman walaupun dia sebenarnya sedikit kecewa dengan apa yang didengarnya itu.
Ah, siapalah dia untuk mahukan jawapan yang berbeza daripada apa yang diucapkan oleh lelaki itu. Lihatlah situasi yang mereka alami ketika ini. Perkahwinan mereka berlaku hanya disebabkan kepentingan orang lain. Dan Adrian hanya menuruti takdir yang telah ditetapkan kepadanya.
Adrian tersenyum hambar. Sesungguhnya dia tidak tahu apa yang bakal berlaku pada perkahwinannya nanti. Tapi dia harap jikalau perkahwinannya punya masalah sekalipun, penyelesaian pada masalah itu bukanlah membuatkan dia terpaksa melepaskan Irene Alyssa sekali lagi.
**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini :
011-40049752 (Admin Nina) / 019-3729676 (Admin Shida)