DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 1 November 2022

Pelangi Selepas Hujan - Prolog


 

Terpasang jerat halus...

 

TAUKE Yan memandang gadis di depannya. Tak sangka ada gadis yang berani menyerahkan diri kepadanya. Bibirnya menguntum senyum senget tatkala mempelawa gadis itu duduk. Gadis yang hanya mahu dikenali sebagai madam.

“Mana kau tahu tentang aku?”

“Mana aku tahu tak penting, tapi apa yang aku bawakan untuk kau... sangat penting.” Keningnya mengerut. Bicara gadis ini kedengaran sangat menarik. Apakah yang ada pada gadis ini untuk ditawarkan kepadanya?

“Kau nak tawarkan apa? Tubuh kau?” Dia tersenyum miang. Melirik nakal ke arah gadis itu.

“Huh, lelaki semua sama!” cemuh keras gadis itu tanpa rasa takut. Dia mengangkat mata membalas tajam pandangan miang lelaki itu dan mengeluarkan sekeping gambar lalu diletakkan ke atas meja. Ditolak ke depan lelaki Cina itu.

Kening Tauke Yan ternaik sedikit. Perlahan anak matanya turun memandang gambar di atas meja. Dia menegakkan tubuh mendekat pada meja. Tidak terus mengambil gambar tersebut, tangan diletakkan di atas meja. Sepasang matanya merenung tajam ke arah gadis itu.

“Siapa ni?”

“Kau lihat... kau tahu siapa.” Tenang dia menjawab. Bibirnya melengkung senyum sinis. Dalam hati dia bersorak angkuh. Kali ini dia akan pastikan yang perancangannya berjalan dengan lancar, tanpa ada siapa pun menduga bahawa dia yang merancang semua ini.

Tauke Yan merupakan langkah pertama dalam perancangannya. Masih ada lagi insan yang akan ditarik ke dalam rancangannya ini. Yang pasti, kemenangan akan menjadi miliknya.

Mendengarkan itu, Tauke Yan membalikkan gambar tersebut. Terlihat saja susuk pada gambar tersebut, laju matanya mencari raut perempuan yang ingin dikenali sebagai madam itu. Bersilih ganti antara gambar dengan madam.

“Mana kau kenal dia?”

“Aku bukan hanya kenal dia tapi tahu sejarah kau dengan dia,” ujarnya mendatar.

“Aku datang membawa tawaran. Aku... akan bawa dia kepada kau.”

“Kenapa?” soal Tauke Yan. Hatinya terdetik curiga. Bagaimana kalau perempuan ini mahu mengenakannya? Tak nak pisang berbuah dua kali.

“Mudah. Dia ada hutang dengan aku dan aku nak dia langsaikan dengan cara aku.”

“Aku boleh percayakan kau?”

“Aku takkan rugi apa-apa, Tauke Yan. Kau mahu atau tidak, aku akan tetap buat dia langsaikan hutang aku dengan cara aku. Cuma... aku ingat kau dan aku di jalan yang sama.”

Jeda.

Lama Tauke Yan berfikir. Sekali lagi dia melihat gambar di tangan. Kemudian dia mendongakkan kepala memandang perempuan itu.

“Bagaimana?”

Bibir madam melengkung senyum nipis yang berubah lebar dan sinis. Segalanya akan lebih mudah selepas ini. Perangkap pertama sudah mengena. Terjerat!

 

No comments:

Post a Comment