DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 1 November 2022

Pelangi Selepas Hujan - Bab 5

 

Rantai besi yang dimakan bubuk...

 

“RYAN.”

Kaki yang elok melangkah terhenti. Memandang tepat ke depan susuk lelaki yang berusia, bertongkat ditemani wanita muda. Haih, nak memandang pun dia jelik, inikan lagi nak memanggil wanita itu dengan panggilan mommy atau apa saja. Tertanya juga dia, apakah perasaan wanita ini bersuamikan lelaki separuh abad? Kerana jelas pada pandangan wanita itu... sesuatu yang mudah dibaca oleh sesiapa yang melihatnya. Dasar pisau cukur!

Lidah digigit perlahan menahan rasa. Bimbang kata yang sudah tertahan selama tiga hari terlepas tanpa sempat dia menapis. Ikutkan hati dia mahu menempelak Mr. Lee akan perkahwinan ini namun Ryan sedar dia telah menolak kehadiran lelaki itu dalam hidupnya maka dia tak punya hak untuk tentukan hidup Mr. Lee.

“Papa.” Ryan menundukkan kepalanya sedikit.

Qadr juga melakukan yang sama. Matanya melirik ke arah wanita di sisi Mr. Lee. Agaknya inilah ibu tiri Ryan. Jika benar, memang patut sangat Ryan bengang. Muda dan seksi. Sangat seksi hingga dia sendiri naik segan hendak melihat. Sementelah lagi dia nampak pandangan wanita itu sering melirik kepada Ryan. Perlahan, Qadr gelengkan kepala. Kali ini dia mula faham keputusan Ryan menolak tawaran Mr. Lee. Berada di sini bukan hanya membuka Ryan kepada kenangan lama, malah fitnah juga.

“Apa yang papa buat kat sini?”

“PA papa beritahu yang hari ini penerbangan kamu ke Turki,” ujar Mr. Lee bergerak ke tepi. Penat berdiri lama. Dia duduk di kerusi di lobi hotel.

Ryan memandang Qadr. Bila si teman kerdip mata dan bergerak sedikit menjauh, Ryan akur melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan Mr. Lee. Sangkanya lelaki itu takkan mengganggunya lagi. Keputusan telah diberikan. Mr. Lee sendiri tahu yang dia takkan berganjak daripada keputusan yang telah dibuat.

“Ryan, tolong pertimbangkan tawaran papa,” ujar Mr. Lee lembut.

Ryan angkat wajah memandang Mr. Lee kemudian menjeling Sandra di sebelah. Faham akan jelingan si anak, Mr. Lee memberi isyarat kepada isteri baharunya itu agar meninggalkan mereka berdua.

Raut tak puas hati dilayangkan kepada keduanya. Rahsia apa sangat yang hendak dibincangkan hingga dia dihalau daripada perbualan ini? Nak saja dia membentak tetapi dia kena jaga air mukanya juga. Ramai yang memandang mereka di sini. Lagi pula pemilik hotel ini kenal dengan Mr. Lee.

Why her?”

“Apa maksud kamu, Ryan?”

“Dalam banyak-banyak perempuan di muka bumi ini, kenapa dia? Papa tahu tak dia lagi muda daripada Ryan? What should I call her? Mommy? Aunty or what?” tempelak Ryan perlahan. Kemudian dia menghela nafas perlahan. Sudah dia kata yang dia pasti akan terlepas kata.

Lelaki di depannya ini memang lelaki yang memberikan luka yang dalam pada hatinya. Lelaki yang bertanggungjawab membuatkan dia kehilangan cinta tapi dia masih ada rasa hormat kepada lelaki ini. Justeru itu, dia bertahan agar tidak menyatakan sesuatu yang menyinggung hati Mr. Lee. Namun mengapa Mr. Lee tidak faham akan itu?

“Ryan...”

“Papa kahwin tanpa maklumkan kepada Ryan. Dan sekarang dengan suka hati papa paksa Ryan terima tawaran papa. Sebenarnya siapa Ryan kepada papa? Bertahun dulu papa paksa Ryan tinggalkan Malaysia, Ryan dah lakukan. Dan Ryan menyesal hingga kini kerana ikut kata papa. Sepatutnya Ryan bangun pertahankan apa yang Ryan nak, tapi...” Ryan jeda. Kenapa dia putar kembali kenangan?

“Keputusan Ryan tetap sama, pa. I can’t.”

“Papa takde sesiapa selain Ryan. Hanya Ryan yang papa harapkan untuk teruskan legasi ini,” rayu Mr. Lee. Dia terdesak. Jika tidak terdesak, dia tak akan merayu apatah lagi memaksa.

“Isteri papa masih muda, Ryan yakin dia mampu berikan papa anak melainkan...”

“Ryan!” Sedikit meninggi nada Mr. Lee menegur.

“Tolonglah, pa. Lepaskan Ryan cari hidup sendiri,” rayunya pula.

“Untuk apa? Untuk kamu teruskan maksiat!” jerkah Mr. Lee dengan suara tertahan.

Maksiat? Dahi Ryan berkerut. Dari mana pula datangnya maksiat ni? Dia hanya ada Zulaika sahaja. Selepas kehilangan wanita itu, dia hidup sendirian tanpa teman wanita. Dia bukan jenis lelaki yang berikan harapan palsu kepada perempuan, selepas itu dengan bangga mengaku masih berpegang pada kenangan lalu. Pentingkan diri! Itu status lelaki begitu. Disebabkan itulah dia sentiasa mencipta jarak. Dia tidak mahu dipersalahkan apabila ada hati yang terluka kerananya.

Mr. Lee menjeling ke arah Qadr yang tidak jauh daripada mereka. Banyak yang didengari tentang si anak dan lelaki itu. Antara satu sebab kenapa dia mahu Ryan pulang ke Malaysia adalah agar Ryan jauh daripada Qadr. Apa yang dia dengar menyakitkan telinga dan juga hatinya. Malah maruah keluarga Lee diperkatakan.

Melihat pada pandangan Mr. Lee, Ryan boleh teka apa maksud lelaki itu. Dia mahu ketawa tapi ditahan. Tak sangka berita itu sampai ke Malaysia. Ini kalau Qadr tahu, mahu lelaki itu juga turut ketawa. Apa yang salah pada persahabatan lelaki sesama lelaki? Jika perempuan dan lelaki bersahabat, orang akan kata tidak molek dipandang. Kerana lelaki dan perempuan sepatutnya ada batasan iktilat tetapi apa masalah lelaki berkawan dengan lelaki? Gay? Adakah hanya kerana sesetengah manusia memilih jalan durjana maka semua orang terpalit cela yang sama? Oh, ini konsep kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Sedangkan dalam Islam menuntut pencerahan bersama bukti dan saksi kemudian barulah menghakimi.

Sama juga apabila perempuan berkawan rapat  sesama perempuan pasti akan ada isu yang sama; lesbian! Ya, tak dinafikan ramai yang memilih jalan songsang dengan menutup sikap tidak bermoral mereka di sebalik sebuah persahabatan tapi tidak semua begitu. Tidak adil jika dilabel begitu pada semua orang.

“Papa...”

“Papa dengar Ryan!” tekan Mr. Lee.

Ryan bersandar tenang. Tunak matanya merenung Mr. Lee. Melihat raut wajah tua Mr. Lee yang yakin, dia memutuskan untuk mendengar. Apakah yang telah sampai ke telinga lelaki itu?

“Apa yang papa dengar?”

“Fasal kamu dengan kawan kamu tu. Berselindung di sebalik agama, kamu ingat papa tak tahu? Dah cukup kamu memalukan papa. Sebab itu papa nak kamu balik. Jauhkan diri daripada dia! Ajaran agama kamu tak mengajar ke apa hukum perbuatan kamu ni?” selar Mr. Lee.

Ryan menundukkan kepala bersama senyum nipis. Dia menarik nafas dalam bagi menenangkan hati yang panas. Jam di pergelangan tangan diintai. Masa yang berbaki tidak banyak. Mereka perlu ke lapangan terbang dan perbualan ini tidak akan habis dengan mudah.

“Agama Ryan ajar Ryan tentang bukti, saksi dan penghakiman. Untuk apa saja permasalahan berikan bukti atau saksi yang sihat akalnya, tidak pernah berbohong dan solat lima waktu. Papa ada saksi tu?” soal Ryan lembut.

Jeda.

“Jika papa tidak ada saksi yang sebegitu, jangan menuduh Ryan. Jatuh fitnah nanti. Dalam agama yang dianuti Ryan ini, fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh. Papa tahu apa maksudnya? Jika di dunia kita membunuh, mungkin boleh lepas daripada tuduhan atau paling tidak dijatuhkan hukuman bunuh kembali. Tapi fitnah, ini lebih besar. Jika dijatuhkan hukuman bunuh sekalipun kepada sang pemfitnah, fitnah itu tetap tersebar. Tetap menjadi darah daging dalam masyarakat,” jelas Ryan seraya bangun. Dia tidak tahu sama ada Mr. Lee faham atau tidak, yang jelas dia tak pernah mahu menjadikan agama yang dianuti mereka ini sebagai perbezaan; sebagai tembok pemisah kerana hubungan darah daging mereka takkan padam hanya kerana dia Islam.

Dia masih perlu menghormati Mr. Lee selaku ayahnya dan orang tua. Tapi yang menjadikan mereka berbeza apabila Mr. Lee yang meletakkan agama di depan. Kenyataan lelaki ini menjentik perbezaan antara mereka. Walhal dalam mana-mana agama sekalipun tidak menghalalkan hubungan sesama sejenis ini.

“Papa boleh percaya pada mulut orang yang menyampaikan berita ini kepada papa tapi... kenapa papa tak boleh percaya kepada anak sendiri? Jika beginilah pa, bagaimana papa nak serahkan tampuk kegemilangan papa kepada Ryan? Apa yang Ryan faham dalam hidup ini, kepercayaan sama penting dengan menghormati. Jika tiada rasa ini, lebih baik bawa diri sendiri. Maafkan Ryan, pa.” Dia terus mengatur langkah mahu mendapatkan Qadr namun terhalang pula oleh Sandra.

“Patutlah you tak suka perempuan. Pasangan you not bad,” ujar Sandra menjeling Qadr. Bibirnya mencemik sinis.

Aduh, ini lagi seorang! Ada juga yang dia bagi penampar, tapi Qadr mengajar dia berlembut dengan perempuan. Maka dia menarik nafas dalam melepaskan gelodak perasaan.

Yeah, right. Perempuan sekarang melemaskan. Bergantung pada lelaki seperti parasit,” balas Ryan selajur melangkah. Menggamit Qadr untuk pergi.

Melotot mata Sandra memandang belakang tubuh Ryan. Kedua-dua tangannya dikepal kemas. Sombong! Itu yang disimpulkannya untuk dua pertemuan antara dia dengan Ryan. Dia tahu sangat ayat Ryan tadi menuju kepadanya. Dia menjeling Mr. Lee yang tidak jauh daripadanya. Sakit hati! Argh!

“Apa hal?” bisik Qadr.

“Nanti aku cerita,” ujar Ryan. Malas dia mahu cerita sekarang, boleh buat perasaannya tunggang-langgang nanti.

Qadr menjongketkan kening saja. Masukkan gear, dia terus memecut membelah jalan raya. Mereka sudah terlewat. Harapnya jalan tidak sesak.

Ryan membuang pandangan ke luar tingkap. Jauh dia membelah jalan dengan sepasang matanya. Mata dipejamkan seketika. Nafas ditarik dalam.

Dari jauh dia melihat kemesraan kedua-duanya. Kehidupan yang pernah dia harapkan suatu masa dulu kini bukan miliknya. Dia cuba reda tapi hatinya masih mencari. Masih berpegang kepada si dia walaupun hatinya tahu sangat mustahil untuk dia mendakap kenangan menjadi nyata. Matanya masih terpaku pada seraut wajah yang manis dengan senyuman. Senyum yang pernah menjadi igauannya suatu masa dulu.

‘Zulaika... tolonglah pergi dari hati aku.’

 

No comments:

Post a Comment