DUA hari Amiera balik kampung bersama Saiful. Selepas itu, Amiera dihantar oleh Saiful ke rumah sewanya. Amiera lega kerana gambarnya yang tersebar itu telah dijelaskan dengan baik dan orang tuanya faham akan cerita yang dia sampaikan. Mereka berharap, cerita dan gambar itu akan lenyap dalam masa terdekat. Itu juga yang Amiera harapkan. Biasalah, berita viral cepat tersebar dan cepat juga lenyapnya.
“Achik tak nak bagi peluang untuk Ijal?” Saiful bersuara sebaik sahaja dia berhentikan kereta di depan rumah sewa Amiera. Dari tadi lagi, dia menangguhkan pertanyaan itu.
“Peluang apa?” soal Amiera buat bodoh.
“Jangan buat-buat tak faham pulak. Achik tahu apa yang angah maksudkan.” Saiful menahan sabar.
“Angah pun tahu kan yang achik hanya anggap Abang Ijal tu macam abang aje. Achik tak boleh nak anggap dia lebih dari itu. Achik minta maaf. Angah kena faham yang achik tak boleh nak paksa diri achik untuk terima dia,” ujar Amiera.
Saiful mengeluh perlahan. “Tapi, Ijal tu dah lama sukakan achik. Angah memang sokong Ijal sebab angah tahu dia seorang lelaki yang baik. Dan yang penting, solatnya tak tinggal. Selalu pergi solat berjemaah di masjid. Sebab itu, angah yakin, dia boleh jaga achik dengan baik,” ujar Saiful. Dia melirik ke arah Amiera. Menunggu reaksi dan jawapan daripada adiknya.
“Angah, achik layan dia sebab achik kenangkan yang dia tu kawan angah dan achik kenal dia sejak kecil lagi. Itu aje. Dan achik tak nafikan dia seorang lelaki yang baik. Yang selalu jaga solat. Tahu hormatkan orang tua.”
“Achik juga tahu dia sukakan achik dari dulu lagi, tapi itu tak bermakna achik kena sukakan dia juga. Lagipun, ramai aje anak dara kat kampung kita yang sukakan dia. Kenapa dia tak pilih aje mana-mana perempuan yang sukakan dia. Ha... si Rosa rambut karat tu ada. Diva perasan tu suka giler dekat dia. Tunggu masa aje dipinang.” Panjang lebar Amiera memberi penerangan.
“Tapi masalahnya, si Ijal tu hanya sukakan achik seorang. Dari dulu sampai sekarang, dia tunggu achik tau!” tegas Saiful, membela kawan baiknya.
“Ya, kan achik dah cakap, achik tahu. Tapi masalahnya, achik tak pernah ada perasaan sayang atau cinta dekat dia. Achik tak boleh nak paksa diri achik untuk suka atau cintakan dia. Angah faham tak? Cuba angah letak diri angah di tempat achik? Apa yang angah rasa?” bahas Amiera. Geram pula dia dengan gesaan Saiful. Dah jelas dan terang yang dia tak pernah ada perasaan kepada Rizal. Nak diapakan lagi.
Saiful mendengus perlahan.
“Cinta dan sayang boleh dipupuk, achik. Yang penting, kita cuba. Bagi angah, Ijal tu adalah pilihan terbaik untuk achik. Ibu dan ayah pun sukakan Ijal. Atau achik tak sukakan Ijal sebab dia kerja kampung? Achik rasa pekerjaan tu tak ada standard? Tak boleh berikan kemewahan untuk achik? Tak boleh menjamin masa depan achik? Itu yang achik fikirkan?” tanya Saiful.
Amiera mengeluh kasar. Nampaknya, Saiful masih tak boleh nak terima penjelasannya. Namun hakikatnya, bila melibatkan soal hati dan perasaan, memang tak boleh nak dipaksa.
“Atau... achik memang ada hati dekat lelaki yang minta achik gantikan tempat isterinya tu? Achik jangan buat hal ya, malu ibu dan ayah nanti. Tambah kecoh bila orang kampung duk bercerita pasal achik dengan lelaki tu lagi,” ujar Saiful. Melahirkan rasa tak puas hatinya.
“Angah ni, ke situ pula difikirnya. Dahlah, malas achik nak cakap pasal ni. Tapi tolong beritahu kawan baik angah tu, achik tetap tak boleh terima dia. Titik. Muktamad,” tegas Amiera.
“Tapi, kalau ibu dan ayah dah setuju untuk terima Ijal, achik tak boleh bantah tau. Nanti kecil hati mereka.” Saiful memberi peringatan.
Amiera tak beri respons. Dia keluar dari HRV Saiful. Saiful turut keluar dan membuka but untuk mengeluarkan barang milik Amiera.
“Achik, fikir ya saranan angah tadi. Tolong fikirkan hasrat Ijal. Kesian dia sebab dia memang betul-betul ikhlas sukakan achik,” ujar Saiful semasa menyerahkan beg sandang milik Amiera.
“Angah! Susahlah cakap dengan angah ni. Payah sangat ke nak faham? Buat penat aje cakap banyak kali.” Amiera ketap bibir.
Saiful pamer sengih. “Ijal tu handsome apa. Sesuai sangat dengan adik angah yang comel dan degil ni!” ujar Saiful sambil menarik hidung Amiera.
“Angah tak payah nak fikirkan pasal masa depan achik. Baik angah fikirkan pasal masa depan sendiri. Entah gelap, entah cerah!” balas Amiera sambil ketap bibir.
Saiful melepas gelak. “Mestilah cerah. Tengok aje, kulit angah ni... putih dan berseri. Kalah kulit perempuan tau!” balas Saiful sambil menayang lengannya.
“Perasan tak ingat dunia.” Amiera menolak bahu Saiful.
“Okeylah. Angah pergi dulu. Jaga diri tau. Kalau ada apa-apa, telefon angah atau Ijal ya?” tutur Saiful.
“Baik achik telefon ibu dan ayah terus!” ujar Amiera. Makin geram bila Saiful tak habis-habis menyebut nama Rizal. Macam tak ada nama lain dalam fikirannya. Ijal... Ijal... Ijal... Kuat sungguh melobi si kawan tu! Agaknya, dia dah terima rasuah daripada si Rizal tu.
“APA CERITA? Orang tua kau ada pengsan tak sebelum kau cerita perkara sebenar?” Beria-ia Nasuha menarik tangan Amiera untuk mendapatkan cerita.
“Orang tua aku okey je. Nasib baik mereka terima penjelasan aku pasal apa yang berlaku malam tu dan berharap ia cepat reda. Bukannya terus jadi buah mulut orang kampung,” beritahu Amiera.
“Syukurlah. Benda tu cuma viral aje, bukannya betul-betul pun kau kahwin dengan lelaki tu,” komen Nasuha yang turut menarik nafas lega.
“Kalau mereka tak boleh terima, aku heret kau balik dengan aku untuk jelaskan perkara ini. Biar mereka tahu yang aku ni masih waras. Bukan bertindak sesuka hati dengan membelakangi mereka,” sambung Amiera.
Nasuha gelak kecil.
“Hmm... tapi kan, tak sangka Abang Ijal tu kepoh juga orangnya. Sibuk nak jaja cerita pasal kau,” komen Nasuha setelah diberitahu dari mana orang tuanya tahu pasal kejadian itu.
“Alah... bukannya kau tak kenal Abang Ijal. Semua cerita pasal aku, dia nak ambil tahu. Kepoh betul mengalahkan si Rosa rambut karat yang perasan diva kampung tu.” Amiera mendengus geram. Semua gelaran yang tak elok, memang Amiera gunakan untuk musuhnya itu.
“Dah dia sukakan kau. Mesti semua cerita pasal kau dia nak ambil tahu. Cuma kau aje yang tak pernah bagi perhatian pada dia. Jual mahal sangat. Bukannya dia tak handsome. Malah, dia tu lelaki rebutan dan pujaan kat kampung,” komen Nasuha.
“Tapi... kenapa dia tak suka kau pulak ya? Bukankah kau salah seorang secret admirer dia ke dulu?” Amiera picing mata ke arah Nasuha. Nasuha dan Amiera memang kawan sekampung. Semestilah dia kenal siapa Rizal dan juga Rosalinda.
“Eh, itu cerita lamalah. Dah basi. Lagipun, dia tahu aku dah ada boyfriend. Lagi handsome daripada dia tau,” balas Nasuha dengan rasa bangga.
“Yalah. Semua pasal Nadeem kau tu, benda-benda yang baik aje kan,” tempelak Amiera pula.
“Mestilah! Nadeem tu kan satu-satunya fruit heart aku dari dulu sampai sekarang. Bukan macam kau. Dari dulu sampai sekarang tak ada, bayang pun tak nampak,” balas Nasuha pula.
Amiera melepas gelak.
“Fruit heartlah konon.” Amiera sambung gelak.
“Yalah, dah biasa orang sebut, buah hati, boyfriend, kekasih. Jadi, aku nak up grade sikitlah si Nadeem tu. Baru nampak gah!” Nasuha angkat kening sambil tersengih-sengih.
“Babe, kau tahu tak? Semalam aku jumpa si Rosa perasan diva tu dekat kedai runcit Pak Hasan. Tak pasal-pasal dia marahkan aku sebab Abang Ijal sukakan aku. Lepas tu, siap sindir aku lagi, cakap sombong sebab kahwin dengan orang kaya. Memang sewel punya minah! Entah-entah dia yang jaja cerita aku dekat orang kampung!” ujar Amiera.
Dia yakin, bukan Rizal yang bawa cerita pasal gambar dia yang viral tu. Rizal hanya beritahu kepada Saiful sahaja. Dan Saiful beritahu kepada orang tuanya. Mungkin juga Rizal tak sengaja melihat gambarnya bersama Qaisar. Tapi nak buat macam mana, benda dah jadi viral. Harap-harap, lepas ni dah tak jadi isu lagi. Dia tak nak orang tuanya menjadi umpatan dan buah mulut orang kampung.
Nasuha senyum.
“Pasal minah rambut karat a.k.a. perasan diva tu, aku memang tak hairan. Dah itu kerja dia. Ke hulu ke hilir bawa mulut, mengumpat pasal orang. Kata orang, sibuk nak selak kain orang, tapi tak sedar, kain sendiri yang terselak!” komen Nasuha.
Amiera tergelak mendengar ayat Nasuha, tapi dia tak nafikan ada betulnya. Rosalinda sebaya dengan Amiera dan Nasuha namun sikap mereka tidak sama. Hidup Rosalinda hanya di kampung, tidak pernah didedahkan dengan kehidupan di bandar tapi sikapnya itu mengalahkan CNN. Itu yang buatkan Amiera dan Nasuha menyampah dekat Rosalinda.
Tak sangka, dalam ramai-ramai lelaki dekat kampung, Rizal juga yang menjadi pujaan hati Rosalinda, sedangkan hati Rizal hanya untuk Amiera seorang. Tak pernah sedikit pun diperuntukkan untuk Rosalinda walaupun pelbagai cara Rosalinda lakukan untuk menawan hati Rizal. Sampaikan sanggup setiap hari Rosalinda datang membantu di kebun sayur milik Rizal.
“Abang Ijal tu, memang dah lama sukakan kau. Dah tak boleh nak buat apa, bak kata orang... cinta mati!” komen Nasuha.
“Tapi hati aku ni tak pernah ada perasaan pada dia. Nak buat macam mana. Dah berbuih mulut aku cakap benda ni, tapi masih juga tak faham. Bengang pulak aku,” keluh Amiera.
“Yalah. Dah kau dapat ‘suami segera’ yang lagi handsome, lagi kaya, lagi gempak, kan! Abang Ijal tu dah jatuh tempat yang paling tercorot kat dalam hati kau, kan?” usik Nasuha.
Amiera mencebik. Dalam diam, dia tak nafikan yang Qaisar memang handsome. Tapi... handsome macam mana pun, tetap milik orang.
“Miera,” panggil Nasuha.
“Apa dia?”
“Andai kata, kau betul-betul berjodoh dengan Umair Qaisar, macam mana?” Nasuha membuat andaian.
“Err... entah. Kau rasa?” Amiera layankan saja andaian itu.
“Rasa bertuahlah kan? Merasalah kau jadi orang glamor, tidur berbantalkan lengan sasa, berselimutkan tubuh sado!” sambung Nasuha, siap buat demo sambil tersenyum-senyum.
“Amboi, gatal merenyam semacam!” Tangan Amiera terus mengutil lengan Nasuha.
“Eh... siapa yang tak nak? Manalah tahu, rezeki datang bergolek. Angan-angan jadi kenyataan. Siapa yang beruntung? Kau juga, kan. Betul tak?” provoke Nasuha.
Mata Amiera mengecil.
“Kau yang berangan, bukannya aku!” bahas Amiera. Saja nak menutup rasa gementar di hati.
“Eleh... tak mengaku. Padahal, setiap malam kau mimpikan mamat kacak tu, kan? Kan?” Nasuha tuding jari ke muka Amiera. Sengaja nak melihat reaksi Amiera.
“Mana ada,” sangkal Amiera dengan wajah merah.
“Yalah tu, mana ada. Memang ada, kan?” Tak habis-habis Nasuha mengusik bersama gelak memanjang.
Amiera simpul senyum. Tak dinafikan bahawa terdetik juga angan-angan itu. Tapi tak salah pun kalau dia berangan, bukan kena bayar pun, kan? Kalau kena bayar, takkan dia nak. Buat membazir aje. Tapi hakikatnya, angan-angan memang tak kena bayar, tak perlukan modal. Jadi, apa salahnya menyimpan angan-angan, mungkin akan jadi kenyataan sebagaimana yang dikatakan oleh Nasuha satu hari nanti. Aamiinn...
“Amboi... amboi! Senyum melebar sampai ke telinga. Tengah beranganlah tu! Kau berangan pasal Umair Qaisar, kan? Tak payah nak tipu, lubang hidung kau tu, jelas nampak yang kau sedang teringatkan mamat tu.” Nasuha menepuk bahu Amiera.
Akhirnya Amiera tersengih-sengih menahan rasa segan sebab memang betul pun, dia sempat membayangkan wajah kacak Qaisar tadi. Dan sekarang pun, wajah Qaisar seakan menari-nari di ruangan matanya.
**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini :
011-40049752 (Admin Nina) / 019-3729676 (Admin Shida)