KELUAR sahaja dari kawasan perkuburan, air mata yang tadinya berhenti sekali lagi lebat mengalir. Tangan bergasak kiri dan kanan cuba menyeka air mata. Pedih, sakit, dan terluka. Bukan tubuh sahaja, tapi jiwa raga juga terasa bagai disiat-siat hancur dengan perlakuan Murad sebentar tadi. Tak pernah terbayang perlakuan jahat tersebut akan berlaku kepada diri sendiri. Disentuh sesuka hati oleh lelaki jahat yang entah siapa-siapa itu terlalu menakutkan. Tuhan sahaja yang tahu betapa luluh semangatnya jika tiada upaya untuk meloloskan diri daripada Murad sebentar tadi.
Kalau sebelum ini, cerita-cerita seperti itu hanya dibaca di dada akhbar atau di media sosial sahaja. Dan semua itu sudah cukup mengerikan. Tapi apabila berlaku kepada diri sendiri, barulah dia tahu betapa menakutkan pengalaman tersebut. Kejahatan manusia tak pernah mampu diduga. Dan itulah yang lebih menakutkan sebenarnya.
Dalam pada memujuk jiwa sendiri untuk bertenang, tubuh Cempaka masih terasa menggigil. Bayangan-bayangan buruk yang mungkin berlaku kepada dirinya terbayang satu per satu. Terlalu menakutkan! Jalan kampung yang berlopak dan berlubang sukar untuk diberi perhatian. Keretanya deras sahaja mahu berlalu dan sampai ke rumah. Tidak yakin lagi jika dirinya selamat berada di luar kawasan yang terbuka. Mungkin ada trauma kecil yang membelenggu diri sekarang.
Pada saat melepasi jalan yang kurang baik dan masuk ke jalan yang licin dan rata, makin kuat pedal minyak ditekan. Sungguh, apa yang bermain-main dalam kepalanya sekarang hanyalah rumah sendiri. Dia perlukan ketenangan dengan segera!
Dan ketika cuba untuk membelok di selekoh yang agak tajam, Cempaka tak terfikir langsung tentang bahaya atau apa saja. Sehinggalah apabila sebuah kereta meluncur sama dari arah hadapan, Cempaka tak mampu lagi berbuat apa-apa. Tekanan brek dalam keadaan cemas membuatkan tubuh terdorong kuat ke depan. Kepala serta-merta jadi kosong. Fikiran terbang jauh pergi entah ke mana. Dalam sekelip mata itu, dia sendiri sudah buntu dan tak pasti apa yang sedang berlaku. Mata menyorot ke arah tangan dan jari yang terketar-ketar. Kepalanya tiba-tiba pula terasa berat dan berputar hebat.
“ALLAHUAKBAR!”
Walaupun brek sudah ditekan, tapi dalam penilaian sendiri, Farrel tahu keretanya tak mampu menahan kereta di hadapan yang agak laju mahu menghentam keretanya. Dan dalam beberapa saat itu, dada berdebar hebat apabila kedua-dua kereta sudah ‘selamat’ berlaga. Berkali-kali nafas ditarik perlahan, cuba untuk bertenang. Mujurlah tak deras sampai bertembung hebat.
Menghantar pandangan kepada pemandu kereta di depannya, wajah berkerut kecil. Cempaka?
Laju Farrel membuka pintu dan bergerak turun dari kereta. Keadaan kereta tak menjadi fokus utama. Kaki malah melangkah ke pintu pemandu kereta Cempaka. Cuba untuk melihat keadaan gadis itu. Melihat Cempaka tunduk memanggung kepala di stereng, tergerak perasaan risau di hati terhadap gadis itu.
Tangan segera mengetuk pintu kereta tersebut.
“Awak okey?” soalnya terus. Bimbang juga kalau-kalau keadaan Cempaka lebih teruk daripada apa yang dijangka. Dia sendiri memanglah tak ada apa-apa, Cuma terkejut sahaja.
Cempaka yang sudah lemah terasa tak mampu untuk mengangkat kepala. Kosong. Terasa kosong kepalanya! Suara yang bertanya di luar pintu kereta malas rasanya mahu diberi perhatian. Dia hanya mahu berehat. Tidak mahu perkara-perkara yang tadinya bergasak hebat dalam kepala datang kembali.
“Cempaka!”
Sekali lagi suara itu memanggil, tapi tiada upaya Cempaka nak membalas. Rasanya dia macam pernah dengar suara tersebut. Tapi siapa ya? Dalam keadaan terkejut dan lemah, akhirnya kepala diangkat juga perlahan. Perasaan takut dan berjaga-jaga masih ada, tapi dengan suara yang memanggil tersebut, entah kenapa dia rasa boleh yakin untuk percaya yang lelaki itu tak akan berniat jahat.
“Awak okey ke tak? Awak cedera? Ada luka kat mana-mana?”
Melihat Farrel yang berdiri dengan wajah risau melalui cermin kereta, air mata serta-merta lebat kembali. Ah, hairan betul dengan perasaan sendiri di dalam dada.
“Saya buka pintu ni, ya?”
Dada pula yang tadinya hebat bergasak akhirnya kendur kembali. Mula perlahan-lahan dibawa rasa tenang.
“Tolong, Farrel. Tolong...”
Mendengar tangisan Cempaka yang semakin kuat, Farrel jadi buntu tiba-tiba. Tak pasti apa yang perlu dibuat. Takkanlah teruk benar kesan perlanggaran tadi? Dia sendiri tak ada apa-apa. Tapi apa yang dia tahu, kan? Semua itu Cempaka yang rasa, bukan dia.
“Kenapa ni? Awak sakit dekat mana-mana ke?” Jadi kalut pula Farrel apabila Cempaka diam semula. Hanya air mata yang semakin lebat mengalir di pipi gadis itu.
“Emm, turun dulu. Boleh awak turun?”
Cempaka tak membalas. Hanya kepala tergeleng lemah.
“Here, saya tolong.” Farrel bertindak menghulurkan tangan. Apabila Cempaka pandang dia semacam, dia mengangguk yakin. “Saya nak tolong awak ni.”
Cempaka tak mahu berfikir panjang lagi. Dia Cuma mahu dilindungi. Dan Farrel sekarang sudah mendapat kepercayaannya dalam saat getir macam ni. Dalam pada lemah untuk bergerak, tangan Farrel disambut juga. Kaki kemudiannya melangkah turun dengan hati-hati.
“Sakit? Awak sakit?”
Suara garau Farrel yang lembut bertanya tak mampu buatkan Cempaka tenang, malah semakin kuat tekanan perasaan yang dirasakan.
“Janganlah menangis macam ni. Saya tak tahu nak buat apa kalau awak menangis.”
Tak pasti apa yang bermain dalam kepalanya, Cempaka jadi selamba sahaja menahan muka di dada Farrel. Tangisan teresak-esak dilepaskan begitu sahaja.
Farrel yang tak dapat berbuat apa-apa jadi bungkam. Luas tangan terbuka, menjauhkan lengan supaya tak terkena badan Cempaka. Kelat wajahnya, tak pasti apa yang perlu dibuat. Sumpah, dia tak pernah serapat ini dengan mana-mana wanita selain mama. Namun untuk menolak kasar Cempaka supaya menjauh, dia jatuh kasihan pula. Jadi serba salah. Bersungguh Cempaka menangis di dadanya.
Apa yang dia kena buat ni? Tangisan Cempaka kuat. Apa yang Cempaka rasa sekarang ni langsung dia tak boleh nak agak.
Agak lama berada dalam keadaan dekat begitu, Farrel akhirnya memujuk diri sendiri supaya kekal bertenang. Mungkin dia perlu biarkan sahaja Cempaka menangis. Sebab berkali-kali dia tanya pun, Cempaka tetap tak mahu menjawab.
Dalam beberapa minit jugalah baru Cempaka menjarakkan diri semula. Air mata di pipi, dikesat kasar seraya mata memandang tepat ke arahnya.
“Kereta tu macam mana?”
Terkulat-kulat Farrel seketika sebelum kepala kembali fokus semula pada keadaan kereta. Ya Tuhan, dia sendiri dah bingung jadinya.
“Emm... let’s see,” balasnya dalam nada kurang yakin. Kaki kemudian bergerak ke arah depan kereta yang sedang bercantum rapat.
“Rasanya tak teruk sangat kut,” ujarnya memberitahu.
“Boleh saya balik?”
“Emmm, awak sure boleh bawa kereta ni?”
Cempaka menelan liur perlahan. Entahlah! Dia tak pasti, tapi apa yang boleh dia buat selain paksa diri. Dia dah penat, dia nak ‘lari’ daripada dunia sekarang. Dia perlukan ruang bilik yang selamat.
“Apa kata saya hantar awak balik?”
Terkelip-kelip mata Cempaka memikirkan pelawaan tersebut.
“Takpe, kereta saya ni kita tinggalkan dulu di sini. Saya drive kereta awak ke rumah awak. Then saya call pak teh suruh dia ambil saya kat rumah awak.”
Cempaka mengangguk pantas tanpa berfikir panjang lagi. Trauma masih ada, jadi rasanya beruntung sangat kalau Farrel sudi hantarkan dan selesaikan masalah yang ada sekarang. Dia cuma mahu berehat dan lupakan segala ‘kesakitan’ hari ini.
“Tapi sebelum tu, saya kena pergi masjid sekejap. Handphone saya tertinggal di sana. Boleh, kan?”
Cempaka mengangguk sahaja. Kemudian kaki tunak seketika melihat Farrel bergerak mengambil kunci kereta lelaki itu dan bergerak semula kepadanya.
“Awak naik belah sana.”
Terasa seperti anak kecil pula apabila Farrel penuh lembut memberi arahan untuk dituruti. Cempaka pula penuh tertib mengikut satu per satu arahan kecil Farrel. Dibuka pintu dan dipimpin naik, semuanya rasa diperlakukan dengan jujur.
Setelah kereta berpusing dan bergerak ke masjid. Cempaka tak langsung bersuara. Kepala disandarkan di tempat duduk dengan rasa selamat. Sesekali anak mata melirik ke arah Farrel yang tenang memandu. Lelaki itu baru sahaja dikenali, tapi kenapa dia rasa selamat untuk berada dekat?
Wajah Farrel, mungkin. Lelaki itu mirip sekali dengan Fattah. Walaupun tak terlalu serupa, ada sedikit bentuk dan lekuk di wajah Farrel yang mengingatkan dia tentang bekas suaminya. Tapi memang sebab itukah atau sebab lain dia boleh berikan kepercayaan kepada Farrel sampai sebanyak ini?
“Okey, tunggu kejap ya. Saya turun jumpa tok siak kejap.”
Tak membalas apa-apa, Cempaka hanya diam sahaja melihat Farrel turun dan bergerak masuk ke dalam masjid. Tak berapa lama kemudian, lelaki itu kembali semula.
“Careless sangat sampai handhone pun boleh tertinggal.”
Tawa kecil Farrel terdengar lembut sahaja di telinga. Suara dan gaya Farrel jauh berbeza dengan Fattah. Suara Fattah agak dalam dan garau. Farrel pula walaupun ada garaunya, suara lelaki itu masih lembut sedikit.
“Awak okey?”
Mata Cempaka semakin kuat memanah setiap inci wajah Farrel. Menilai itu dan ini.
“Cempaka, kalau awak rasa tak okey. Saya boleh pertimbangkan untuk bawa awak ke klinik.”
Cepat-cepat Cempaka menggelengkan kepala. Pandangan dihalakan semula ke kiri.
“Saya nak balik.”
“Okey...”
Sampai di rumah, Cempaka menarik nafas berkali-kali. Melihat tangga rumah sahaja sudah buatkan kepalanya merembeskan isyarat selamat. Tenang rasanya seketika.
Ketika hendak turun dari kereta, Cempaka masih dapat rasakan sifat melindungi Farrel. Lelaki itu sekali lagi menawarkan diri untuk memimpin dia turun dari kereta. Tapi akibat tidak mahu lagi menyusahkan lelaki itu, Cempaka menolak lembut. Dia dah mampu rasanya kuatkan semangat untuk berjalan sendiri.
“Kereta awak tak adalah teruk sangat. Tapi kalau nak suruh saya bawakan sekali ke bengkel kereta untuk betulkan, nanti saya datang ambil.”
Cempaka diam seketika memandang lampu depan keretanya yang pecah dan sedikit kemik diruang depan itu.
“Esok kut, sebab saya kenalah tanya pak teh dulu macam mana. Lepas itu dekat mana apa semua.”
“Bengkel ketuk kereta Abang Li ada.”
“Oh, awak tahu ke?”
Cempaka mengangguk sekali sebelum berpaling ke arah tangga rumah. Berniat untuk segera naik dan masuk ke dalam rumah.
“Emmm... Cempaka.”
Mata Cempaka terpejam rapat seketika mendengar Farrel menyeru namanya. Entah kenapa perasaan dia jadi kurang selesa tiba-tiba. Dia fikir nak segera bawa diri masuk ke dalam rumah supaya perasaan kurang selesa dengan Farrel cepat-cepat berlalu. Tapi Farrel masih lagi menyahut namanya.
“Boleh saya tahu sebab apa awak menangis tadi?”
Cempaka perlahan-lahan menggerakkan badan supaya kembali berdepan dengan Farrel semula. Wajah yang tak terlalu memaksa tapi cukup yakin mahukan jawapannya itu buatkan dia mengeluh lemah.
“Saya minta maaf sebab bertindak melebih-melebih dengan awak tadi, Farrel. Saya tak tahu nak cakap apa dah. Saya betul-betul minta maaf.”
Farrel tersenyum kelat apabila teringatkan aksi mengejut Cempaka tadi. Jujurnya, dia nak tahu sangat apa yang bermain dalam kepala gadis itu tadi sampai bertindak lurus macam tu sekali.
“Saya tak marah pasal tu. Saya cuma nak tahu kenapa. Mungkin saya perlu tahu, atau mungkin awak perlu beritahu?” balas Farrel, sedikit mendesak.
Cepat-cepat Cempaka menggelengkan kepala. Dia tak sanggup nak buka cerita yang menyakitkan tersebut. Kalau boleh, dia nak hapuskan dan padam terus daripada kotak ingatannya. Buruk dan menakutkan. Semuanya tak layak disimpan sebagai memori.
“Betul ni tak nak beritahu?”
Sekali lagi senyuman kelat dilakar.
“Okey. Saya bukan apa, saya cuma nak awak tahu, awak boleh percayakan saya.”
Cempaka membalas pandangan penuh lembut tersebut. Entah kenapa, semakin banyak patah perkataan yang diucapkan Farrel, semakin bertambah tahap kepercayaannya kepada lelaki itu. Ya, dia dapat rasakan yang Farrel ikhlas ucapkan semua itu. Tapi... tak terlalu bebas ke dia membuka ruang kepercayaan kepada seseorang yang baru sahaja dia kenal?
Ah! Mungkin hari ini sahaja dia terpaksa dibantu Farrel. Hari-hari lain, mereka sudah boleh teruskan hidup dengan masalah masing-masing. Dia bukan memerlukan lelaki itu setiap masa, jauh sekali ke arah itu!
“Terima kasih, Farrel. Saya naik dulu.”
“Yalah. Kejap lagi pak teh datang ambil saya. Saya tunggu dekat pangkin ni.”
Cempaka mengangguk perlahan dengan senyuman yang terukir elok. Perlahan badan berpaling dan melangkah ke arah tangga rumah. Sesekali dikerling sekilas ke arah Farrel. Sebelum masuk ke dalam rumah, sempat Farrel mengangkat tangan ke arahnya. Hanya senyuman yang berbalas sebelum dia loloskan diri masuk.
“Terima kasih, ya Allah untuk rasa selamat yang hanya seketika,” ujar Cempaka perlahan, namun penuh rasa syukur.
**BERMINAT? Boleh hubungi/ WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /
: 019-3729676 (Admin Shida)