“LEPAS!”
“Cempaka, dengarlah apa aku cakap ni. Aku suka kau dah lama, kan? Kau pun tahu...”
“Lepas, Murad. Tolonglah...” Air mata akhirnya menitis dari tubir mata. Tak tertahan dengan rasa takut yang menghimpit. “Jangan buat aku macam ni...” Suara pula sudah kedengaran sayu. Jika ketegasan tak mampu tundukkan sifat berkuasa Murad, mungkin air mata dia mampu?
“Cempaka? Syhhh... janganlah menangis. Aku dah kata aku tak nak buat jahat dekat kau, kan...”
Membalas pandangan bersungguh Murad, Cempaka menggeleng lemah tanda menolak. Dia tak mampu nak percaya dengan setiap apa yang Murad katakan. Badannya terasa menggigil. Terlalu takut!
“Tolong Murad, lepaskan aku. Ingat Allah, Murad.”
“Cempaka... aku suka kau. Tolonglah percaya.”
Tak habis dengan hanya tangan kiri, kini tangan kanannya pula cuba digenggam Murad. Terkial-kial Cempaka menarik tangan kiri yang sudah ditahan dan melarikan tangan kanan yang cuba dicapai. Surah Yasin dan tikar pula sudah melayang entah ke mana.
“Aku janji, aku tak akan sakitkan kau. Aku cuma nak kau aje.”
Air mata sudah basah lencun di wajah. Kuat dada menjerit ketakutan. Tolonglah ya Allah, tolong selamatkan dia daripada lelaki ini.
Saat tangan kanannya berjaya digenggam, suara sudah tenggelam dengan tangisan. Mahu pecah dadanya apabila dengan sasa Murad menarik dan menolak badannya sehingga terhentak ke badan kereta.
“Gila! Lepaslah! Kau jangan jadi gila, Murad!”
“Aku suka kau. Kenapa susah sangat kau nak faham aku, Cempaka?”
“Bukan macam ni kau buat aku kalau kau suka akulah, gila!”
Bercucuran air mata tak membuatkan Cempaka mengalah dengan mudah. Wajah Murad ditatap penuh benci. Jika betul Murad sukakan dia, lelaki itu tak akan berani bertindak kasar begini. Bukan suka, tapi gila. Memanglah Maisarah sudah lebih tiga bulan meninggal dunia, tapi tak bermakna nafsu sendiri tak mampu dikawal. Murad memang sudah dirasuk setan!
Tak terkesan apa-apa gamaknya kata-kata sayu atau kasar yang Cempaka ucapkan apabila dengan lebih berani Murad merapatkan badannya, menekan tubuh Cempaka. Kepala Cempaka cemas menolak perbuatan Murad. Tergeleng kiri dan kanan, cuba memisahkan wajah daripada tersentuh dengan bibir jijik lelaki itu.
“Gila... kau memang dah gila, Murad!”
“Ya, memang!”
Terpanar Cempaka apabila keras suara Murad menjerit kuat. Liur yang ditelan terasa berpasir. Wajah bengis lelaki itu makin menakutkan.
“Memang aku gilakan kau. Dan kau kena faham kalau aku kata aku tak akan sakitkan kau. Aku cuma nak kau sekejap aje.”
Teresak-esak Cempaka tak mampu berbuat apa-apa. Bayangkan jika tubuh dan bau lelaki itu terlalu rapat di tubuh. Jijik! Lemah, lemah seluruh tubuhnya. Tapi dia tak boleh mengalah. Dia tak akan biarkan badannya diragut Murad dengan mudah. Dia rela mati di sini berbanding merelakan Murad memperlakukan dia sesuka hati.
“Murad, kalau kau betul sukakan aku, cuba kau lepaskan aku dulu. Aku tak boleh terima kalau kau buat aku macam ni.”
Tubuh Murad terasa berjarak sedikit. Tangan Cempaka juga tak terasa dicengkam kuat seperti tadi.
“Aku kenal kau, Murad. Kau bukan macam ni.”
Wajah Murad kelihatan kendur sedikit. Tunak mata lelaki itu memandang ke wajahnya.
Mengambil peluang tersebut, Cempaka mencipta senyuman di wajah. Kepala terangguk-angguk cuba meyakinkan Murad.
“Aku boleh terima kau, Murad. Kau pun tahu aku belum kahwin lagi. Kalau kau betul suka aku, kita bincang elok-elok.”
“Kau ni biar betul, Cempaka?”
“Ya, betul. Aku boleh jadi ibu untuk anak kau tu. Apa nama anak kau tu?”
“Aina.”
Sekali lagi Cempaka mengukir senyum. Air mata ditahan keras supaya tak lagi menitis di pipi. Perasaan teruja yang terlakar di wajah Murad buatkan cemas di dada Cempaka merosot perlahan-lahan.
“Lepaskan aku. Kau boleh lepaskan aku, kan Murad?”
Murad menggeleng kecil.
“Janji dulu dengan aku, apa yang kau cakap tu betul,” ujar lelaki itu dengan wajah serius.
“Ya, aku janji. Aku janji dengan kau. Kau jangan buat aku macam ni. Aku janji lepas ni, kau boleh dapatkan aku. Kita kahwin. Kalau sungguh-sungguh kau suka aku, kita kahwin.”
Tertawa kecil Murad mendengar luahan meyakinkan Cempaka itu. Dia dan Cempaka, kahwin? Oh, alangkah beruntungnya dia. Perlahan-lahan tubuh Cempaka dijarakkan dengan tubuhnya. Tangan pula dia pegang lembut. Teruja Murad membalas pandangan manis yang Cempaka tunjukkan.
“Betul ni?” soal Murad lagi, masih mahu mendengar jawapan daripada Cempaka yang kedengaran menyeronokkan.
Terasa bergelora isi perut Cempaka kerana terpaksa berlemah lembut dalam sekelip mata. Kedua-dua belah tangan yang digenggam Murad terpaksa diserahkan dengan rela. Jujurnya, dia jijik disentuh sebegitu, tapi apa pilihan yang dia ada sekarang? Murad mahu termakan ucapannya sahaja sudah merupakan untung yang paling besar.
“Kau bagi aku balik, kan?”
“Balik? Nantilah dulu, sayang.”
Mahu termuntah saja Cempaka mendengar kata panggilan sayang yang tiba-tiba sahaja digunakan untuknya. Murad memang sudah betul-betul gila agaknya.
“Bagilah aku balik. Tak baik kau buat aku macam ni. Kalau orang kampung nampak, apa orang kata nanti.”
“Tapi tak ada sesiapa pun di sini.”
“Tak boleh.”
“Cempaka, kalau betul apa yang kau cakap tadi, kau buktikan sekarang.”
Terkelat-kelat Cempaka mencipta senyuman di wajah. Bukti apa pula yang perlu dia tunjukkan sekarang? Ya Allah, dia hanya mahu segera larikan diri. Sumpah, tak sanggup lagi dia berada sebegini dekat dengan batang tubuh Murad. Entah apa yang betul-betul bermain dalam kepala lelaki itu langsung tak mampu dia nak agak. Sejauh mana lakonan yang mampu dia bawa pun dia sendiri tak berapa pasti. Terus, macam mana dia nak yakin yang dia boleh selamat keluar daripada situasi menakutkan ini?
Tak memberi apa-apa amaran, tangan Murad spontan menyapa pipi Cempaka. Bergetar seluruh nadi dan saraf. Cemas, tapi wajah terpaksa kaku tak beriak.
Dan saat sebelah lagi tangan Murad turut sama naik memegang pipinya, Cempaka nampak peluang yang terbuka untuknya. Perasaan di dada bergolak cemas antara takut dan tak pasti. Tapi kalau dia tak cuba, entah apa nasib yang akan diterima nanti.
Mata tunduk ke bawah, mencari sasaran yang sepatutnya. Senyuman kelat yang terlakar masih tegar di wajah. Walaupun takut dan resah, pandangan Murad yang penuh akalan itu ditatap tak berganjak. Fokus lelaki itu ditarik perlahan-lahan. Dan dalam sesaat itu, jari mengangkat sedikit kain yang dipakai. Kemudian dengan pantas lututnya bertindak.
Buk!
“Argh!”
Bulat mata Cempaka melihat Murad tertunduk menekan alat sulit sendiri. Badan terketar-ketar cemas mendengar Murad mengerang kesakitan. Ah, apa, apa sekarang ni? Lari! Terngiang-ngiang kuat suara dalam kepala mengarah supaya dia cepat-cepat bertindak. Dan dengan nafas yang sesak, kaki segera berpusing untuk melarikan diri.
“Sundal. Sini kau!”
Terjerut rasanya anak tekak apabila tangan Murad masih mencapai kain bajunya. Tertarik semula Cempaka, belum sempat berjarak jauh. Tapi dengan keyakinan yang mula bersarang, tangan Murad dihentak kuat. Oleh sebab badan lelaki itu masih tertunduk-tunduk menahan sakit, mudah sahaja pegangan tersebut terlepas.
“Jangan nak lari! Siap kau kalau aku dapat.”
Jarak yang hanya beberapa langkah untuk sampai ke pintu pemandu terasa begitu jauh. Dalam kekalutan seperti itu, fikiran hanya berkisar untuk segera hilang dari sini. Sumpah, dia takut!
“Arghh...”
Anak tudung tertarik dari belakang. Baru sahaja tangan mahu mencapai pintu kereta, tubuhnya terhenti semula. Murad berjaya menahan langkahnya sekali lagi!
“Kau ingat aku nak lepaskan kau macam tu aje ke?”
“Murad, tolong lepaskan aku, Murad. Jangan buat aku macam ni.”
“Kau diam!”
Pedih terasa relung hati di dalam dada akibat menahan perasaan. Demi Tuhan, Cempaka takut sangat. Ya Allah, tolong... tolonglah dia...
Tangan gagah Murad nampaknya mula kasar semula. Tengkuk Cempaka dicengkam kuat. Terasa pedih sampaikan susah dia nak bernafas.
“Kalau aku minta elok-elok, kau tak nak bagi. Kau nak rasa macam ni ke, hah?”
Lebat semula air mata yang tadinya kering seketika. Suara tak mampu dikeluarkan walaupun kecil. Tangan pula bertindak menampar-nampar lengan Murad yang sedang bertindak kasar.
Murad yang masih bengang akhirnya surut semula melihat Cempaka menanggung seksa mahu mencari nafas. Tangan yang berada di leher Cempaka dilepaskan perlahan-lahan.
“Sebab tu aku cakap, aku bukan nak sakitkan kau. Kenapa kau tak nak percaya?”
Melihat air mata di wajah Cempaka, makin kuat perasaan yang bergolak di jiwanya. Kenapakah Cempaka tak beri sahaja kerjasama? Dia pun bukannya suka berkasar sampai macam ni sekali.
“Cempaka, kau faham tak apa aku cakap ni? Aku nakkan kau. Aku suka kau!” ujar Murad dengan suara mengharap.
Tubuh Cempaka terasa tak berdaya nak bertindak sekali lagi. Dia takut, takut dan takut. Hanya itu yang menguasai diri sekarang. Memandang wajah Murad sahaja sudah cukup buat dia gerun. Kecut perutnya dicekik kuat oleh tangan kasar Murad sebentar tadi.
Dengan lagak kesal, Murad menyentuh tubuhnya dengan niat mahu menenangkan Cempaka. Tapi bukan tenang yang datang, malah makin bergetar tubuh Cempaka disentuh sana dan sini. Cemas dan ketakutan!
“Kau milik aku, Cempaka. Hak milik aku!”
Mendengar butir ayat tersebut, entah dari mana datangnya semangat. Tubuh Cempaka terasa bagai disalut kuasa asing. Penuh yakin Cempaka mengangkat muka, memberanikan diri membalas pandangan Murad kepadanya. Murad fikir dia ini barang atau apa? Tak guna punya lelaki! Berat sahaja terasa tangannya mahu naik menampar muka tak tahu malu Murad.
Sekali ini, jika sekali ini nasibnya baik, Cempaka akan pastikan Murad menyesal kerana berani bertindak segila ini. Dengan bacaan basmallah, jari telunjuk dengan berani terangkat menghala ke wajah Murad.
“Manusia jahat macam kau ni tak akan boleh apa-apakan aku, Murad. Kalau betul kau berani, cuba kau sentuh aku sekali lagi. Sentuh, sentuhlah kalau berani!”
Berkerut-kerut Murad apabila Cempaka lantang bersuara. Ke mana perginya sifat lemah dan wajah ketakutan sebentar tadi?
“Kau jangan ingat kaum wanita ni lemah sangat Murad sampai kau berani nak ambil kesempatan. Lelaki tak guna macam kau ni tak layak untuk mana-mana perempuanlah, Murad. Kau ingat tu!”
“Cempaka. Diam, Cempaka!”
“Kau yang diam! Kau ingat aku akan serahkan apa yang kau nak mudah-mudah? Cubalah, cubalah kalau kau berani.”
Cempaka tahu, sifat berkuasa yang ada dalam diri lelaki itu hanya terpakai jika dia menunjuk sifat lemah sahaja. Dan sekarang, dia tak ada masa untuk berlagak lemah lagi dah. Kalau terpaksa dia bunuh Murad sekalipun, dia berani. Cubalah lelaki itu sentuh dia sekali lagi, dia akan pastikan segala objek yang dapat dicapai terbang ke arah lelaki itu.
Biarlah nyawa Murad atau nyawa dia yang melayang pergi, dia tak akan sesekali biarkan Murad berasa berkuasa.
“Kau cabar aku, ya?” Laju sahaja tangan Murad mencengkam tangan kiri Cempaka. Dan apabila tangan kanannya mahu dipegang, terangkat laju tangan Cempaka, mendarat ke wajah Murad.
“Binatang!”
Pam! Terasa berpinar wajah Cempaka. Namun wajahnya tetap berani diangkat menghadap Murad berkali-kali. “Dayus!” jeritnya lantang.
Mengikut emosi marah, Murad mencengkam leher Cempaka sekali lagi. Cuba untuk menakutkan gadis itu sekali lagi. Entah kenapa tiba-tiba sahaja jadi berani sampai macam ni sekali.
Cempaka tak mengalah. Muka Murad dicapai dengan kedua-dua belah tangan. Terasa makin sakit di tekak, makin kuat tangannya mencengkam muka lelaki itu. Kuat sepenuh hati!
“Arghhh...” jerit Murad kesakitan.
Melihat peluang yang luas terbuka, kaki bertindak pantas. Alat sulit Murad menjadi sasaran kakinya pula. Dengan erangan yang kuat, Murad jatuh terjelepok di atas tanah. Dan dengan perasaan sedikit lega, pintu kereta dibuka Cempaka dengan nafas yang turun naik.
“Kau nak masuk penjara ke tak ni, Murad?” soal Cempaka penuh sinis. Dia tahu, Murad masih mampu bangun berdiri tapi semangat lelaki itu sudah lesap entah ke mana. Rasakan!
“Pergi mampus kau, Cempaka!” jerit Murad, tunduk tanpa berganjak lagi.
Mengesat air mata dengan perasaan lega, tubuh segera diloloskan ke dalam kereta. Allahuakbar, alhamdulillah...
No comments:
Post a Comment