ERLAHAN-LAHAN
Khuz mengacau air Milo di dalam gelas menggunakan sudu. Selesai membancuh air,
dia membawanya ke ruang tamu. Air Milo yang panas itu dihirup sedikit dan
diletakkan di atas meja kaca yang terdapat di hadapannya.
Punch Fear in the Face, Escape Average and Do Work
That Matters
Buku
yang ditinggalkannya tadi diambil semula untuk sambung membaca. Buku hasil
karya John Acuff itu sudah hampir separuh dibaca oleh Khuz. Televisyen yang
dibuka tidak ditonton. Dibiarkan sahaja agar suasana tidak terasa terlalu sunyi.
Beberapa minit kemudian, loceng rumah berbunyi.
Siapa
pulak yang datang malam-malam ni? Fikir Khuz. Jam yang tergantung di dinding
dilihat. Pukul 9 malam. Lantas buku diletakkan semula di atas meja.
Dengan rasa malas,
pintu dibuka. Terpacul Rayna dengan senyuman dan satu beg kertas yang
ditayangkan kepada Khuz. Khuz tersenyum lebar. “Makanan apa pulak kali ni You
hantar pada I?” tanyanya setelah beg itu diambil.
“Kenapa? You tak suka
ke I selalu datang bagi makanan kat You? Ke, I masak tak sedap?” soalan dibalas
dengan soalan dari Rayna.
Sekali lagi Khuz
tersenyum. “Bukan tu maksud I. I tak nak la menyusahkan You. Tua-tua macam ni
bukannya I tak tahu nak cari makanan pulak kan?” jelasnya agar Rayna tidak
terasa hati. “Urm... Sedar pun You tu dah tua. Ingatkan tak sedar diri.” Ketawa
Rayna setelah menyindir Khuz.“Gembira nampak dapat menyindir?”Rayna hanya
membalas dengan menjongketkan kedua keningnya.“Owh ye, pasal hari tu di pejabat
I...”
“You nak mintak maaf
pada I kan?” teka Rayna biarpun belum sempat Khuz menghabiskan ayatnya. Khuz
mengangguk perlahan.
“Tak payah la Khuz. I
dah lali dengan perangai Daliya tu. I sendiri pun tak sangka dia akan jadi
seteruk tu lepas bercerai. Bila diingatkan balik, menyesal I kenalkan dia dulu
dengan You. Sepatutnya, I yang mintak maaf pada You. Bukan You yang minta maaf
pada I atas kesalahan yang You sendiri tak pernah buat,” ujar Rayna dengan rasa
teramat bersalah pada lelaki yang berdiri di hadapannya ini.
“You
pun tak salah, Rayna. Mungkin dah takdir terjadinya semua tu pada I,” balas
Khuz.
“Tak
best pulak kan bila kita bercakap
pasal Daliya? Automatik suasana jadi macam upacara kematian aje,” kata Rayna
membuatkan kedua mereka tertawa.
“Maaf
la tak jemput You masuk. Maklumlah I ni kan duda kacak dan You pulak single and available,”
“Eleh...
Kalau dah tahu tu. Cepat-cepat la kahwin, nanti boleh I datang makan-makan kat
rumah You ni,” cadang Rayna biarpun dia tahu Khuz sekarang sangat sensitif jika
dibangkitkan soal kahwin.
“No comment about that,” ujar Khuz.
“Tak
habis-habis dengan no comment dia. Anyway, dalam beg tu bukan makanan, tapi
jubah untuk You. Ibu I kan baru balik dari umrah, dia ingatkan You. So, dia belikanlah satu jubah untuk You kat sana,” beritahu Rayna. Khuz membuka
sedikit untuk melihat jubah yang dikatakan oleh Rayna itu.
“Yeke...
nanti You kirimkan sejuta kali thank you
and sayang I pada ibu You, okey?”
pesan Khuz.
“Yelah.”
Balas Rayna. Jam ditangan dilihat seimbas. “Dah lewat ni, I nak ke airport. Flight I ke Kedah pukul 10. Manager
I pun mesti dah lama tunggu kat bawah tu,” ujar Rayna.
“You
pergi Kedah buat apa? Shooting drama
kat sana ke?” soal Khuz.
“Yup... Dua minggu I kat sana, sebab tu I
datang waktu-waktu macam ni semata-mata nak bagi jubah tu pada You. Dah
berminggu ibu suruh I bagi, tapi terlupa. Bukan You tak kenal dengan ibu I
kalau dia dah mula bising kan?”
Khuz
tersenyum mendengar cerita Rayna. Ibu Rayna memang rapat dengannya dan dia juga
sudah menganggap ibu Rayna seperti ibunya sendiri.
“I
pergi dulu,” ujar Rayna meminta diri.
“Yelah,
take care. Nanti jangan lupa belikan
buah tangan dari Kedah untuk I,” pesan Khuz kepada Rayna yang sudah berjalan
pergi. Rayna menoleh dan membalas dengan mengangkat tangan tanda ‘okey’.
*****
BEG
kertas diletakkan di atas sofa, lalu Khuz melabuhkan punggungnya bersebelahan
dengan beg tersebut. Kepalanya disandarkan di sofa. Entah kenapa bila dia
terpandangkan beg kertas yang berisi jubah itu, kenangan pahit itu menjelma
kembali. Kisah dia bergaduh dengan Daliya buat pertama kalinya di awal
perkahwinan mereka.
“Sebenarnya kan, abang
dah berazam untuk menunaikan ibadah haji sama-sama dengan wanita yang bergelar
isteri abang. Jadi, memandangkan Liya dah jadi isteri abang, apa kata kita ke
Mekah?” soal Khuz kepada Daliya yang sedang menyikat rambut di birai katil.
“Mekah?!” Membulat mata
Daliya. Seakan tidak percaya dengan apa yang didengarinya tadi.
Khuz duduk di sebelah
Daliya. “Yelah, Mekah. Tapi, memandangkan musim haji lambat lagi kita pergi la buat
umrah dulu sama-sama dengan abi,” jelasnya agar Daliya mengerti.
Daliya bangun dari
duduknya dan mengetap bibir. Gayanya seolah tidak senang dengan cadangan
suaminya itu. “Abi yang nak pergi buat umrah, yang kita nak ikut buat apa? You
kan dah janji dengan I nak pusing satu Europe
untuk honeymoon kita. Sekarang ni
kenapa berubah pulak?”
Khuz mendekati Daliya.
Tubuh kecil itu dipusingkan supaya berdepan dengannya. Masam sahaja wajah
Daliya memandangnya. “Pasal tu abang akan tunaikan. Tapi, selepas kita balik
dari buat umrah dengan abi, boleh? Kesian, abi tu kan tak berapa sihat,”
pujuknya pula dengan harapan Daliya akan bersetuju.
Kedua belah tangan Khuz
yang memegang bahunya ditolak. Membuatkan Khuz sedikit terkejut dengan tindakan
Daliya.
“Tak boleh, tak boleh
dan tak boleh! Sikit-sikit abi You. Dua minggu kita tanggu nak pergi sana sebab
abi You tiba-tiba aje tekanan darah tinggi dia naik. Sekarang dah baik, You
ajak I pergi buat umrah pulak? You kan banyak duit. You bayar la siapa-siapa
untuk tolong usung abi You kat sana. Tak pun, You tangguh untuk ke Mekah tu
selepas kita balik dari honeymoon.”
Pelbagai cadangan yang
diberikan oleh Daliya bagi membolehkan plan mereka untuk bercuti akan berjalan
seperti yang dirancangkan.
“Ye... abang mintak
maaf pasal tu. Tapi, abi kan dah cadang nak pergi bulan ni jugak. Dua minggu
aje kita kat sana,” pujuk Khuz lagi.
“I tak ready lagi la nak pergi buat umrah. You
sendiri tahu I ni macam mana kan?” ujar Daliya seraya menghempaskan punggungnya
di kerusi berhadapan dengan meja solek.
“Tak bererti Liya tak boleh
berubah. Nanti kita pergi sana, buat amal ibadat, mohon ampun dan bertaubat
pada Allah. InsyaAllah semuanya akan okey,” balas Khuz, lembut.
“Ini yang I tak suka ni.
I ingat You kahwin dengan I sebab You terima I seadanya. Tapi, ni... You macam
nak ubah I. I ni pelakon dan model. You sendiri tahu betapa I cintakan karier I
ni kan?” ujar Daliya yang masih dengan keras hatinya.
“Tapi sampai bila,
Liya? Abang nak ubah Liya ke arah kebaikan. Salah ke? Abang sayang Liya
sangat-sangat dan abang ni kan suami Liya. Tak elok la orang lain yang tengok
tubuh Liya yang terdedah tu selain abang,” tegur Khuz.
Memang dia tahu
bagaimana hidup dan karier Daliya sebelum mereka berkahwin. Tapi, Khuz tidak
kisah kerana percaya, secara perlahan dia dapat membimbing Daliya ke arah
kebaikan. Ini janji Khuz, kerana dia sangat cintakan gadis itu.
Daliya tersenyum sinis
mendengar kata-kata suaminya. “Owh... sekarang baru You nampak semuanya tak
elok? Sebelum You lamar I, You tak nampak pulak? Hidup I memang macam ni dan
akan sentiasa macam ni! Takde yang
akan berubah dan takde siapa yang
boleh ubah, termasuk You!” ujarnya kasar. Entah di mana hilangnya kelembutan
dia dalam bertutur. Adakah selama ini dia berpura saja?
“I tahu... Abi yang
menghasut You supaya ubah I kan? Memang dari awal lagi I dapat rasakan, abi You
tak suka pada I. Dia ajak You pergi buat umrah mesti ini rancangan kedua selepas
dia pura-pura sakit tempoh hari. Sengaja la tu nak gagalkan plan kita pergi
berbulan madu. You tak sedar ke?!”
“Liya?! Liya boleh kata
apa aje pada abang, tapi bukan pada abi. Abang tak suka Liya tuduh abi yang
bukan-bukan. Abi juga sayang Liya, sebab tu dia ajak kita sama-sama buat umrah.
Liya satu-satunya menantu dia. Abi tak pernah menghasut atau merancang yang tak
baik untuk kita.”
Khuz cuba menafikan
segala tuduhan yang dilemparkan oleh Daliya. Mana mungkin abinya seperti itu.
Dia kenal siapa abinya. Segala kehendak dia selama ni semua diberikan oleh
abinya termasuklah untuk berkahwin dengan Daliya.
“You memang selalu
menangkan abi. I ni semuanya salah. Ingatkan bila dah kahwin dengan You, hidup
I akan jadi senang. Nampak gayanya, selagi orang tua tu ada dengan kita takkan
senang la hidup I!” bentak Daliya.
“Liya! Cukup!” Kali ini
Khuz benar-benar terkejut mendengar ucapan daripada mulut isterinya. Sungguh
tak sangka, sampai begitu teruk sekali ayat yang keluar. Adakah itu yang Daliya
mahukan? Sedangkan hanya abi sahaja yang dia miliki di dunia ini.
“Kenapa? You nak marah
I? You ingat bila I dah jadi isteri You, suka-suka hati aje nak I ikut segala
perintah You? Never!” ujar Daliya,
lalu bangun dari duduknya setelah mengambil tas tangan yang diletakkan di atas
meja solek.
“I
bagi masa pada You sampai esok. You pilih antara I dengan abi. Kalau You pilih
nak ke Mekah dengan abi. You memang dah tak sayangkan I, dan I akan rasa ter...
amat menyesal sebab kahwin dengan You!” sambung Daliya lagi.
Khuz
terus bangun dan melangkah mendapatkan Daliya yang sudah bersedia mahu keluar. “Abang
mintak maaf, Liya?” pohon Khuz sambil mengambil tangan Daliya dan menggenggamya
kejap. Biarlah dia saja yang mengalah. Dia tidak mahu kehilangan wanita yang
dicintainya ini.
“Lepaslah!” bentak
Daliya. Seolah jijik dipegang oleh Khuz. “I akan maafkan kalau jawapan yang You
akan bagi esok memuaskan hati I. Lagi satu, I tak balik malam ni,” beritahu
Daliya tanpa sedikit pun memandang wajah Khuz.
“Liya nak pergi mana?”
soal Khuz. Hampir tiga minggu usia perkahwinan mereka, inilah kali pertama
Daliya tidak mahu balik rumah. Marah sangat ke dia dengan aku? Fikir Khuz
sejenak.
“Ikut suka hati I la
nak ke mana pun. Yang pasti tempat yang I pergi ni dapat hiburkan hati daripada
menghadap muka You yang macam sekarang ni memang menyakitkan hati. You tahu tak
I bosan duduk dalam rumah ni?!” ujar Daliya.
“Abang harap Liya tak
ke disko tu lagi,” ujar Khuz penuh pengharapan.
Daliya membalas dengan
jelingan tajam sebelum keluar dari kamar beradu mereka. Dia betul-betul panas
dengan Khuz sekarang ni.
Sampai
di pintu lif. Daliya bertembung dengan bapa mertuanya yang berada di dalam lif.
Tiada teguran mahupun sebaris senyuman, melulu sahaja dia melangkah masuk,
manakala Tan Sri Junaidi perlahan-lahan melangkah keluar dari perut lif.
Tan Sri Junaidi dapat
rasanya ada sesuatu yang dingin telah berlaku antara menantu dan anaknya. Perlahan-lahan
dia berjalan menghampiri pintu bilik Khuz yang tidak tertutup. Dari situ dia
dapat melihat anak lelakinya sedang duduk menunduk di hujung katil. Seolah-olah
sedang memikirkan sesuatu.
Khuz
mengangkat wajah. Dilihat abinya sedang merenung dirinya dari luar bilik.
Pandangan mereka bersatu. Masing-masing tidak bersuara. Tan Sri Junaidi hanya
melepaskan nafas yang terasa berat sebelum melangkah pergi.
Melalui
pandangan itu, Khuz sudah dapat tangkap apa yang sedang abinya itu fikirkan.
Kini, terbit rasa bersalah di sudut hatinya.
Deringan
telefon bimbit menghalau kenangan buruk yang diingat kembali. Cepat Khuz
tersedar lalu mengambil telefon dan terus menjawab, setelah panggilan itu daripada
abinya.
“Waalaikumussalam,
abi.” Khuz menjawab salam yang diberikan.
Biar
apa pun yang terjadi. Hanya abinya sahajalah yang sering ada di sisi dan dia
juga tidak dapat menerima sesiapa yang tidak dapat terima dan sayang kepada
abinya sepertimana dirinya.