Thursday, 13 August 2015

Akad Kedua - Bab 6






ERLAHAN-LAHAN Khuz mengacau air Milo di dalam gelas menggunakan sudu. Selesai membancuh air, dia membawanya ke ruang tamu. Air Milo yang panas itu dihirup sedikit dan diletakkan di atas meja kaca yang terdapat di hadapannya.
Punch Fear in the Face, Escape Average and Do Work That Matters
Buku yang ditinggalkannya tadi diambil semula untuk sambung membaca. Buku hasil karya John Acuff itu sudah hampir separuh dibaca oleh Khuz. Televisyen yang dibuka tidak ditonton. Dibiarkan sahaja agar suasana tidak terasa terlalu sunyi. Beberapa minit kemudian, loceng rumah berbunyi.       
Siapa pulak yang datang malam-malam ni? Fikir Khuz. Jam yang tergantung di dinding dilihat. Pukul 9 malam. Lantas buku diletakkan semula di atas meja.
Dengan rasa malas, pintu dibuka. Terpacul Rayna dengan senyuman dan satu beg kertas yang ditayangkan kepada Khuz. Khuz tersenyum lebar. “Makanan apa pulak kali ni You hantar pada I?” tanyanya setelah beg itu diambil.
“Kenapa? You tak suka ke I selalu datang bagi makanan kat You? Ke, I masak tak sedap?” soalan dibalas dengan soalan dari Rayna.
Sekali lagi Khuz tersenyum. “Bukan tu maksud I. I tak nak la menyusahkan You. Tua-tua macam ni bukannya I tak tahu nak cari makanan pulak kan?” jelasnya agar Rayna tidak terasa hati. “Urm... Sedar pun You tu dah tua. Ingatkan tak sedar diri.” Ketawa Rayna setelah menyindir Khuz.“Gembira nampak dapat menyindir?”Rayna hanya membalas dengan menjongketkan kedua keningnya.“Owh ye, pasal hari tu di pejabat I...”
“You nak mintak maaf pada I kan?” teka Rayna biarpun belum sempat Khuz menghabiskan ayatnya. Khuz mengangguk perlahan.
“Tak payah la Khuz. I dah lali dengan perangai Daliya tu. I sendiri pun tak sangka dia akan jadi seteruk tu lepas bercerai. Bila diingatkan balik, menyesal I kenalkan dia dulu dengan You. Sepatutnya, I yang mintak maaf pada You. Bukan You yang minta maaf pada I atas kesalahan yang You sendiri tak pernah buat,” ujar Rayna dengan rasa teramat bersalah pada lelaki yang berdiri di hadapannya ini.
“You pun tak salah, Rayna. Mungkin dah takdir terjadinya semua tu pada I,” balas Khuz.
“Tak best pulak kan bila kita bercakap pasal Daliya? Automatik suasana jadi macam upacara kematian aje,” kata Rayna membuatkan kedua mereka tertawa.
“Maaf la tak jemput You masuk. Maklumlah I ni kan duda kacak dan You pulak single and available,”
“Eleh... Kalau dah tahu tu. Cepat-cepat la kahwin, nanti boleh I datang makan-makan kat rumah You ni,” cadang Rayna biarpun dia tahu Khuz sekarang sangat sensitif jika dibangkitkan soal kahwin.
No comment about that,” ujar Khuz.
“Tak habis-habis dengan no comment dia. Anyway, dalam beg tu bukan makanan, tapi jubah untuk You. Ibu I kan baru balik dari umrah, dia ingatkan You. So, dia belikanlah satu jubah untuk You kat sana,” beritahu Rayna. Khuz membuka sedikit untuk melihat jubah yang dikatakan oleh Rayna itu.
“Yeke... nanti You kirimkan sejuta kali thank you and sayang I pada ibu You, okey?” pesan Khuz.
“Yelah.” Balas Rayna. Jam ditangan dilihat seimbas. “Dah lewat ni, I nak ke airport. Flight I ke Kedah pukul 10. Manager I pun mesti dah lama tunggu kat bawah tu,” ujar Rayna.
“You pergi Kedah buat apa? Shooting drama kat sana ke?” soal Khuz.
Yup... Dua minggu I kat sana, sebab tu I datang waktu-waktu macam ni semata-mata nak bagi jubah tu pada You. Dah berminggu ibu suruh I bagi, tapi terlupa. Bukan You tak kenal dengan ibu I kalau dia dah mula bising kan?”
Khuz tersenyum mendengar cerita Rayna. Ibu Rayna memang rapat dengannya dan dia juga sudah menganggap ibu Rayna seperti ibunya sendiri.
“I pergi dulu,” ujar Rayna meminta diri.
“Yelah, take care. Nanti jangan lupa belikan buah tangan dari Kedah untuk I,” pesan Khuz kepada Rayna yang sudah berjalan pergi. Rayna menoleh dan membalas dengan mengangkat tangan tanda ‘okey’.
*****
BEG kertas diletakkan di atas sofa, lalu Khuz melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan beg tersebut. Kepalanya disandarkan di sofa. Entah kenapa bila dia terpandangkan beg kertas yang berisi jubah itu, kenangan pahit itu menjelma kembali. Kisah dia bergaduh dengan Daliya buat pertama kalinya di awal perkahwinan mereka.
“Sebenarnya kan, abang dah berazam untuk menunaikan ibadah haji sama-sama dengan wanita yang bergelar isteri abang. Jadi, memandangkan Liya dah jadi isteri abang, apa kata kita ke Mekah?” soal Khuz kepada Daliya yang sedang menyikat rambut di birai katil.
“Mekah?!” Membulat mata Daliya. Seakan tidak percaya dengan apa yang didengarinya tadi.
Khuz duduk di sebelah Daliya. “Yelah, Mekah. Tapi, memandangkan musim haji lambat lagi kita pergi la buat umrah dulu sama-sama dengan abi,” jelasnya agar Daliya mengerti.
Daliya bangun dari duduknya dan mengetap bibir. Gayanya seolah tidak senang dengan cadangan suaminya itu. “Abi yang nak pergi buat umrah, yang kita nak ikut buat apa? You kan dah janji dengan I nak pusing satu Europe untuk honeymoon kita. Sekarang ni kenapa berubah pulak?”
Khuz mendekati Daliya. Tubuh kecil itu dipusingkan supaya berdepan dengannya. Masam sahaja wajah Daliya memandangnya. “Pasal tu abang akan tunaikan. Tapi, selepas kita balik dari buat umrah dengan abi, boleh? Kesian, abi tu kan tak berapa sihat,” pujuknya pula dengan harapan Daliya akan bersetuju.
Kedua belah tangan Khuz yang memegang bahunya ditolak. Membuatkan Khuz sedikit terkejut dengan tindakan Daliya.
“Tak boleh, tak boleh dan tak boleh! Sikit-sikit abi You. Dua minggu kita tanggu nak pergi sana sebab abi You tiba-tiba aje tekanan darah tinggi dia naik. Sekarang dah baik, You ajak I pergi buat umrah pulak? You kan banyak duit. You bayar la siapa-siapa untuk tolong usung abi You kat sana. Tak pun, You tangguh untuk ke Mekah tu selepas kita balik dari honeymoon.”
Pelbagai cadangan yang diberikan oleh Daliya bagi membolehkan plan mereka untuk bercuti akan berjalan seperti yang dirancangkan.
“Ye... abang mintak maaf pasal tu. Tapi, abi kan dah cadang nak pergi bulan ni jugak. Dua minggu aje kita kat sana,” pujuk Khuz lagi.
“I tak ready lagi la nak pergi buat umrah. You sendiri tahu I ni macam mana kan?” ujar Daliya seraya menghempaskan punggungnya di kerusi berhadapan dengan meja solek.
“Tak bererti Liya tak boleh berubah. Nanti kita pergi sana, buat amal ibadat, mohon ampun dan bertaubat pada Allah. InsyaAllah semuanya akan okey,” balas Khuz, lembut.
“Ini yang I tak suka ni. I ingat You kahwin dengan I sebab You terima I seadanya. Tapi, ni... You macam nak ubah I. I ni pelakon dan model. You sendiri tahu betapa I cintakan karier I ni kan?” ujar Daliya yang masih dengan keras hatinya.
“Tapi sampai bila, Liya? Abang nak ubah Liya ke arah kebaikan. Salah ke? Abang sayang Liya sangat-sangat dan abang ni kan suami Liya. Tak elok la orang lain yang tengok tubuh Liya yang terdedah tu selain abang,” tegur Khuz.
Memang dia tahu bagaimana hidup dan karier Daliya sebelum mereka berkahwin. Tapi, Khuz tidak kisah kerana percaya, secara perlahan dia dapat membimbing Daliya ke arah kebaikan. Ini janji Khuz, kerana dia sangat cintakan gadis itu.
Daliya tersenyum sinis mendengar kata-kata suaminya. “Owh... sekarang baru You nampak semuanya tak elok? Sebelum You lamar I, You tak nampak pulak? Hidup I memang macam ni dan akan sentiasa macam ni! Takde yang akan berubah dan takde siapa yang boleh ubah, termasuk You!” ujarnya kasar. Entah di mana hilangnya kelembutan dia dalam bertutur. Adakah selama ini dia berpura saja?
“I tahu... Abi yang menghasut You supaya ubah I kan? Memang dari awal lagi I dapat rasakan, abi You tak suka pada I. Dia ajak You pergi buat umrah mesti ini rancangan kedua selepas dia pura-pura sakit tempoh hari. Sengaja la tu nak gagalkan plan kita pergi berbulan madu. You tak sedar ke?!”
“Liya?! Liya boleh kata apa aje pada abang, tapi bukan pada abi. Abang tak suka Liya tuduh abi yang bukan-bukan. Abi juga sayang Liya, sebab tu dia ajak kita sama-sama buat umrah. Liya satu-satunya menantu dia. Abi tak pernah menghasut atau merancang yang tak baik untuk kita.”
Khuz cuba menafikan segala tuduhan yang dilemparkan oleh Daliya. Mana mungkin abinya seperti itu. Dia kenal siapa abinya. Segala kehendak dia selama ni semua diberikan oleh abinya termasuklah untuk berkahwin dengan Daliya.
“You memang selalu menangkan abi. I ni semuanya salah. Ingatkan bila dah kahwin dengan You, hidup I akan jadi senang. Nampak gayanya, selagi orang tua tu ada dengan kita takkan senang la hidup I!” bentak Daliya.
“Liya! Cukup!” Kali ini Khuz benar-benar terkejut mendengar ucapan daripada mulut isterinya. Sungguh tak sangka, sampai begitu teruk sekali ayat yang keluar. Adakah itu yang Daliya mahukan? Sedangkan hanya abi sahaja yang dia miliki di dunia ini.
“Kenapa? You nak marah I? You ingat bila I dah jadi isteri You, suka-suka hati aje nak I ikut segala perintah You? Never!” ujar Daliya, lalu bangun dari duduknya setelah mengambil tas tangan yang diletakkan di atas meja solek.
“I bagi masa pada You sampai esok. You pilih antara I dengan abi. Kalau You pilih nak ke Mekah dengan abi. You memang dah tak sayangkan I, dan I akan rasa ter... amat menyesal sebab kahwin dengan You!” sambung Daliya lagi.
Khuz terus bangun dan melangkah mendapatkan Daliya yang sudah bersedia mahu keluar. “Abang mintak maaf, Liya?” pohon Khuz sambil mengambil tangan Daliya dan menggenggamya kejap. Biarlah dia saja yang mengalah. Dia tidak mahu kehilangan wanita yang dicintainya ini.
“Lepaslah!” bentak Daliya. Seolah jijik dipegang oleh Khuz. “I akan maafkan kalau jawapan yang You akan bagi esok memuaskan hati I. Lagi satu, I tak balik malam ni,” beritahu Daliya tanpa sedikit pun memandang wajah Khuz.
“Liya nak pergi mana?” soal Khuz. Hampir tiga minggu usia perkahwinan mereka, inilah kali pertama Daliya tidak mahu balik rumah. Marah sangat ke dia dengan aku? Fikir Khuz sejenak.
“Ikut suka hati I la nak ke mana pun. Yang pasti tempat yang I pergi ni dapat hiburkan hati daripada menghadap muka You yang macam sekarang ni memang menyakitkan hati. You tahu tak I bosan duduk dalam rumah ni?!” ujar Daliya.
“Abang harap Liya tak ke disko tu lagi,” ujar Khuz penuh pengharapan.
Daliya membalas dengan jelingan tajam sebelum keluar dari kamar beradu mereka. Dia betul-betul panas dengan Khuz sekarang ni.
Sampai di pintu lif. Daliya bertembung dengan bapa mertuanya yang berada di dalam lif. Tiada teguran mahupun sebaris senyuman, melulu sahaja dia melangkah masuk, manakala Tan Sri Junaidi perlahan-lahan melangkah keluar dari perut lif.
Tan Sri Junaidi dapat rasanya ada sesuatu yang dingin telah berlaku antara menantu dan anaknya. Perlahan-lahan dia berjalan menghampiri pintu bilik Khuz yang tidak tertutup. Dari situ dia dapat melihat anak lelakinya sedang duduk menunduk di hujung katil. Seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.
Khuz mengangkat wajah. Dilihat abinya sedang merenung dirinya dari luar bilik. Pandangan mereka bersatu. Masing-masing tidak bersuara. Tan Sri Junaidi hanya melepaskan nafas yang terasa berat sebelum melangkah pergi.
Melalui pandangan itu, Khuz sudah dapat tangkap apa yang sedang abinya itu fikirkan. Kini, terbit rasa bersalah di sudut hatinya.
Deringan telefon bimbit menghalau kenangan buruk yang diingat kembali. Cepat Khuz tersedar lalu mengambil telefon dan terus menjawab, setelah panggilan itu daripada abinya.
“Waalaikumussalam, abi.” Khuz menjawab salam yang diberikan.
Biar apa pun yang terjadi. Hanya abinya sahajalah yang sering ada di sisi dan dia juga tidak dapat menerima sesiapa yang tidak dapat terima dan sayang kepada abinya sepertimana dirinya.



 






Akad Kedua - Bab 5





“D
HIA!!” jerit Fiqa sambil mendepakan kedua belah tangannya sebaik sahaja Dhia keluar daripada perut kereta. Mereka sama-sama berpelukan. Melepaskan rindu yang sekian lama bertapuk.
            “Rindunya kat kau… Wah, makin cantik kau sekarang ye?” puji Dhia setelah melihat penampilan sahabatnya yang telah banyak berubah. Tidak sepertimana dia kenali di universiti dahulu.
            Well, sekarang kan aku peramugari… Mestilah kena jaga penampilan,” balas Fiqa dengan senyuman.
            Dhia hanya tersenyum. Memang dia sudah sedia maklum akan pekerjaan Fiqa yang tinggi di awan itu. Lain bidang yang dia belajar, lain pula jenis kerjayanya.
            “Ni kereta kau ke… kereta pinjam?” soal Fiqa ingin tahu. Kereta kecil itu dibeleknya sampai ke dalam.
            “Kereta aku la. Siapa la yang baik hati sangat nak bagi aku pinjam, kan?” kata Dhia.
            “Mahal siut kereta ni! Selalu aku tengok orang-orang kaya aje pakai kereta macam ni. Hebat betul kau,” ujar Fiqa. Masih tidak lekang matanya membelek keseluruhan kereta Mini Cooper S itu.
            “Ayah aku ada hulur sikit, sebab tu la boleh dapat kereta ni,” beritahu Dhia sambil membuka bonet kereta dan mengeluarkan dua beg bagasi yang bersaiz besar.
            “Banyak ke barang kau? Meh sini aku tolong bawakkan?” Fiqa menawarkan diri untuk membantu. Satu bagasi terus diambil dan diheret masuk ke dalam rumah.
            “Takde la banyak sangat. Aku bawak yang mana perlu aje dulu,” balas Dhia sambil mengikuti langkah Fiqa.
            Bagasi diletakkan di sisi sofa. Sambil mencekak pinggang, Dhia melihat keadaan sekitar dalam rumah itu. “Wah… besar jugak rumah ni. Kita berdua aje ke tinggal sini nanti?” tanya Dhia.
            “Erm… kita berdua aje,” jawab Fiqa yang sudah duduk di sofa.
“Kalau kau nak tahu, rumah ni mak saudara aku yang punya. Sudah dua bulan dia ikut suami dia yang kerja di UK tu. Dia tak nak rumah ni jadi usang, jadi dia bagi la aku duduk sini.”
            Dhia membesarkan matanya, lalu mengambil tempat di sebelah Fiqa. “Jadi, selama ni kau tinggal sorang ajelah kat sini?! Tak takut ke?” tanyanya sedikit terperanjat. Tidak sangka berani juga sahabatnya ini tinggal di rumah teres dua tingkat ini berseorangan.
            “Baru dua hari aku duduk sini. Sejak kau beritahu aku nak datang KL, aku pun apa lagi angkut la pakaian dari rumah parents aku bawak sumbat kat dalam rumah ni,” beritahu Fiqa, lalu ketawa sendiri.
            “Yeke? Ala, terima kasih tau kau bagi aku tinggal sini. Eh! Sebelum tu, takpe ke aku sewa sini?” tanya Dhia yang masih ragu-ragu.
            Fiqa ketawa lagi setelah mendengar pertanyaan Dhia. “Apa punya pelik soalan kau tanya ni? Dah tentu la boleh. Aku dah tanya mak saudara aku dan dia tak kisah. At least, aku ada kawan untuk tinggal sini. Takdelah bosan sangat. Tapi, kau aje yang aku sewakan. Tak ada orang lain lagi dah,” beritahu Fiqa.
            “Owh, yeke. Terima kasih, Fiqa…” Tersenyum lega Dhia mendengarnya, sehinggakan tubuh tinggi lampai Fiqa itu dipeluk gembira.
            “Sama-sama kasih.” bahu Dhia ditepuk lembut. Dia juga gembira dapat rapatkan kembali hubungan persahabatan diantara mereka dengan cara begini. Tinggal di rumah yang sama. Pasti banyak cerita yang bakal dipersembangkan nanti.
            “Eh! Ralik menyembang aje ni. Aku sampai lupa nak tunjukkan kau bilik. Jom? kita naik atas, bawa beg kau ni sekali,” ajak Fiqa.
            “Jom?! Tak sabar nak tengok bilik,” ujar Dhia yang begitu teruja. Dia membontoti Fiqa dari belakang. Tapi, kali ini mereka menaiki tangga untuk ke tingkat atas.
*****
SAMBIL bersila di atas katil yang empuk itu, satu-persatu pakaian dikeluarkan dari bagasi dan diletakkan di atas katil. Fiqa yang juga berada di dalam bilik itu turut menghulurkan tangan dengan membantu sahabatnya mengemas apa yang perlu.
            Dalam asyik mengeluarkan barang-barang dari dalam beg, Fiqa terjumpa sebuah nota kecil yang permukaan kulitnya merupakan gambar Dhia dan juga Saiful. Sebuah nota yang sangat dia kenali.
            “Kau masih usung lagi buku nota buruk ni?” soal Fiqa sambil menayangkan buku nota itu kepada Dhia.
            Hanya sekali pandang, Dhia kembali menunduk menyambung kerja mengemas. “Buruk-buruk pun bermakna tau!” balasnya laju.
Fiqa mengkerutkan dahi. “Bermakna? Maksud kau?”
“Kau jangan salah faham pulak. Aku usung buku nota tu bukan sebab gambar aku dengan Epol, tapi sebab kata-kata motivasi yang berlambak tertulis di dalam tu. Semua tu dapat mengembalikan semangat aku ketika aku rasa down,” jawab Dhia bersahaja.
            Fiqa memanjat katil dan dia meniarap di sebelah Dhia sambil membaca sekali lagi isi nota itu. Dulu, masa di universiti dia selalu melihat Dhia membawa nota itu kemana-mana sahaja. Tiada apa rahsia, sebab Dhia tidak lokek untuk berkongsi apa yang terkandung di dalam buku nota itu.
            “Yelah… Aku tahu tu. Tapi, aku mushkil sikit la. Kau ni ada apa-apa dengan dia ke? Aku tengok kau macam serius aje dengan dengan sepupu kau tu?” soal Fiqa.
            Semenjak dia mengenali Dhia, hanya nama Saiful yang sering meniti di bibir sahabatnya itu. Saiful itu, Saiful ini. Sampaikan dia sendiri sudah tahu segalanya tentang lelaki itu. Banyak kali juga semasa mereka di UM, Saiful datang menjenguk dan dialah yang menjadi orang ketiga untuk menemani Dhia melepak dan keluar bersama dengan Saiful.
            “Ada apa-apa tu… maksud kau, bercinta?” Dhia pula menyoal meminta kepastian. Dia dapat rasakan, itulah perkara sebenar yang mahu dikatakan oleh Fiqa.
            Fiqa pantas menoleh. Riak wajahnya seperti terkejut. “Jadi, betullah kau bercinta dengan dia?!” tanya Fiqa.
            “Aku tak cakap pun betul. Aku dengan Epol macam biasa aje. Sepupu tetap sepupu, okey? Not more than that,” balas Dhia. Rasanya, jawapan yang sama diberikan untuk soalan yang sama diajukan beberapa tahun yang lepas.
            Lebar sahaja senyuman Fiqa mendengar jawapan yang still maintain macam dulu.
            “Kalau macam tu… ada peluang la untuk aku kan? Apa kata kau ejas dia untuk aku. Boleh?” Pinta Fiqa bersungguh-sungguh.
            “Habis tenaga aku aje ejaskan untuk kau. Aku kenal sangat la dia tu. Dia… kalau boleh nak isteri yang sentiasa mendampingi diri dia. Ini kau? Terbang sana sini dua tiga hari baru nak balik. Memang tak la…” Jawapan yang keluar sudah pasti menghampakan Fiqa.
            “Lagipun, dia dah bertunang dua minggu lepas,” tambah Dhia lagi.
            “Ha?! Bertunang?!” Hancur dan berderai hati Fiqa. Dhia pula hanya mengulum senyum.
            “Mohon bersedih ye?” usik Dhia.
            “Erm… Melepas seorang jejaka idaman,” keluh Fiqa. Dia bangun dengan perasaan kecewa dan merebah tubuhnya bersama buku nota milik Dhia. Gambar Saiful di nota itu ditatap dan digosok perlahan.
            Selamat tinggal calon husbandku. Huhu
            Beberapa saat kemudian, terdengar suara Fiqa menanyakan soalan cepumas. “Kau bila lagi?”
            “Aku tunggu jodoh aku sampai aje.” Selamba saja jawapan yang keluar daripada mulut Dhia.
            “Sampai mana? Sampai dari bulan?” perli Fiqa.
            “Mana-mana aje… Semua tu aku serah pada Allah, dan segala keputusan aku dah bagi kat mak dengan ayah aku untuk tentukan,” ujar Dhia. Biarpun kedengaran kolot bagi zaman sekarang, tapi itulah keputusannya.
            “Ish… biar betul kau ni? Buatnya mak dengan ayah kau pilih lelaki tua kerepot, kepala botak, gigi tinggal sekuntum ke… Kau tak kisah?” tanya Fiqa. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarinya.
            Dhia menoleh memandang wajah milik sekujur tubuh yang sedang enak berbaring di sebelahnya. “Amboi mulut… Bukan main lancang kau sebut ye? Kau ingat mak dengan ayah aku takde taste ke? Taste diorang lagi hebat dari taste kau tau?” bidas Dhia.
            “Kau asyik sibuk tanya aku, yang kau tu sendiri belum berkahwin apa hal? Macam-macam negara kau menjelajah, jumpa macam-macam jenis orang, jenis warna kulit. Mustahil tak ada yang tersangkut.” Kini giliran Dhia pula mencari tahu.
“Macam kau cakap la. Aku ni ada taste yang tersendiri. Kalau hensem, tapi poket tak tebal aku reject. Poket tebal, tapi tak hensem pun aku reject,” jelas Fiqa.
Dhia menggelengkan kepalanya. Ada juga dia terfikir. Ada ke lelaki yang kaya sekaligus pakej rupa yang kacak? Erm… mungkin dua dalam sejuta.
            Demandnya kau ni… Tak sangka betul aku.”
            ‘Takde la demand sangat. Dah nama pun taste. Mesti la semuanya nak perfect. Aku pun macam kau, serah urusan tu kepada Sang Pencipta. Tapi, soal serah segala keputusan kepada mak bapakk aku, hu’ish... Mustahil. Sebabnya, aku nak cari buah hati aku sendiri,” ujar Fiqa. Perkara yang tidak mungkin dia buat. Dia rela bujang sampai ke tua.
            “Apa-apa ajelah. Aku doakan, semoga kau berjumpa dengan buah hati mengikut taste kau tu ye?” doa Dhia.
            “Amin….” Sahut Fiqa, lalu menyapu tangan yang ditadahnya ke muka.
            “Ini apesal kau berbaring kat sini? Kata nak tolong aku kemas,” kata Dhia. Hampir sahaja dia terlupa apa yang sedang dia dan Fiqa sibuk melakukan di dalam bilik itu.
            “Kalau aku tolong tengok aje tak boleh ek?” tanya Fiqa perlahan sambil menayangkan giginya yang putih. Matanya dilirikkan ke arah Dhia yang sedang duduk di sebelah.
            Dhia diam sejenak. Ada sesuatu yang menyengah di kotak fikirannya. “Eh, kau belum beritahu aku pasal harga rumah sewa ni kan?”
            Fiqa menepuk dahinya dengan buku nota milik Dhia yang dipegang. “Ha’ah la. Aku lupa. Sekejap ek.” Matanya memandang syiling bilik sambil berpeluk tubuh. Gayanya seperti mengira sesuatu.
            “Memandangkan rumah ni tidak mahu kelihatan usang, aku perlukan teman, dan kau pulak kawan lama aku yang baik… Jadi harganya dua ratus ringgit sebulan. Okey?” Fiqa meminta persetujuan.
            Segera Dhia memusingkan sikit duduknya supaya dekat dengan Fiqa. “Murahnya! Aku ingatkan dalam empat ke lima ratus ringgit. Maklumlah, rumah besar dah tu kat KL pulak.”           
“Erm… Kalau macam tu aku tukar ke lima ratuslah,” ujar Fiqa, sengaja mahu mengenakan Dhia.
            “Ala… janganlah. Kereta comel aku nanti nak bayar pakai apa? Kebulur la aku,” rayu Dhia.
            “Aku gurau ajelah… Kalau kereta bukan main tinggi taste kau ye. Hal kahwin serah kat parents. Pelik aku,” kata Fiqa masih merasa hairan.
            Dhia menjuihkan mulutnya. Tak habis lagi fikir pasal kahwin?!
            “Kau tu yang pelik.  Apa kena mengena kereta idaman aku dengan kahwin pulak?”
            “Banyak kena mengenanya. Kereta mahal macam tu, kau ada usaha pulak nak beli. Tapi, lelaki idaman ada kau usaha nak cari?” balas Fiqa.
            Dhia diam tidak berjawab. Ya, memang jika apa yang dia mahukan, pasti akan diusahakan sampai dapat. Tapi, bukan lelaki. Dalam mengejar cita-cita dan kerjaya, langsung dia tidak pernah terfikir soal itu. Mungkin silap dia juga yang telah banyak melukakan hati dengan menolak lelaki-lelaki yang mahu cuba untuk mendekati dirinya tanpa mahu memberi peluang untuk mengenali. Biarpun sekali.
            Deringan telefon yang melalak memanggil Dhia untuk menjawab. Segera telefon bimbitnya yang berada di belakang diambil. “Alamak…” Dhia menggigit bibir sebaik sahaja terpandangkan nama yang muncul di kaca skrin. Tanpa berlengah lagi, panggilan itu terus disambut.
            “Waalaikumussalam. Epol, sorry aku lupa nak beritahu kau yang aku dah sampai KL,” kata Dhia, laju.
            “Epol?!” Fiqa terus bangun dari perbaringan. Telinganya dilekapkan dengan kepala Dhia.
            “Erm, yelah. Nanti apa-apa aku beritahu kau ye? Terima kasih, Epol. Assalammualaikum?” ucap Dhia sebelum menamatkan perbualan.
            Fiqa mengjungkit-jungkitkan keningnya kepada Dhia dengan senyuman yang mempunyai maksud yang pelbagai.
            “Apa? Dia tak boleh telefon aku malam-malam? Sudah, jangan kau nak fikir yang bukan-bukan. Epol dah bertunang, aku dengan dia akan tetap jadi sepupu dan kawan sampai mati,” beritahu Dhia bersungguh-sungguh.
            “Beb, aku tak cakap apa pun. Beria betul kau nak yakinkan aku kan?” Fiqa mengulum senyum. Rasa kelakar melihat sikap tidak keruan sahabatnya itu.
            “Nah, kau ambil balik nota sepupu kesayangan kau ni. Aku nak pergi dapur buat air,” ujar Fiqa dengan menekankan ayat ‘sepupu kesayangan’. Buku nota itu diletakkan di hadapan Dhia sebelum dia turun dari katil.
            Dhia seakan tidak senang duduk. Kata-kata Fiqa itu seperti tidak percayakan kata-katanya. “Beb, betul. Aku dengan Epol mem…”
            “Takpe-takpe. Aku tahu…” cantas Fiqa sebelum Dhia sempat menghabiskan ayatnya. Bahu Dhia ditepuk-tepuk.
            “Epol tu…”
            “Jus oren?” tanya Fiqa. Sekali lagi Dhia tidak dapat meneruskan kata-katanya.
            “Okey, jus oren. Fiqa, Epol dah bertunang dan aku…”
            “Letak ais batu?” Sekali lagi Fiqa memintas. Dhia menarik nafas menahan sabar.
            “Ye, pastikan kurang manis,” pesan Dhia kepada Fiqa yang sudah berada di muka pintu bilik.
            “Siap!” balas Fiqa dan terus keluar.
            “Apa yang siap? Belum buat dah cakap siap?” tanya Dhia sendiri.
            Bantal diambil dan terus direbahkan tubuhnya.  “Betul la, aku takde apa-apa dengan Epol. Dia dah bertunang dan aku tetap akan jadi sepupu dia sampai bila-bila,” Dhia bercakap sendiri. Tangannya digerakkan ke sana dan kemari. Gaya seperti sedang menjelaskan kepada seseorang. Sebenarnya, itulah yang mahu diperkatakan oleh Dhia kepada Fiqa sebentar tadi.
*****
DI luar bilik, Fiqa memegang perut dan tangannya ditekupkan ke mulut. Ketawa yang ditahan sejak tadi meletus juga akhirnya. Suka dapat kenakan sahabatnya. Sengaja dia buat macam tu. Pasti Dhia berasap kerana tidak dapat meneruskan kata-katanya.
            “Aku dengan Epol memang takde apa-apa. Dia tu sepupu aku dan akan tetap macam tu.” Fiqa mengejek.  Dia sudah tahu apa yang akan dicakap oleh Dhia. Setiap kali dia bertanyakan soal Saiful, pasti itu yang bakal keluar daripada mulut Dhia.
            “Dhia, Dhia…” Fiqa mengelengkan kepalanya, lalu turun ke tingkat bawah.