DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 31 March 2022

Penakluk Hati Abang Jambang - Bab 10


DALAM sibuk menulis, gegendang telinga Fatehah menangkap suara orang sedang menyanyi perlahan. Siapa lagi kalau bukan suara si Gagak Hitam di hadapannya. Wah, Gagak Hitam pandai menyanyi rupanya! Tak semena-mena bibir Fatehah mengukir senyum nipis.

Bonus baginya dapat mendengar suara si Gagak Hitam menyanyi walaupun perlahan. Orang lain mesti tak ada peluang macam ni. Ingatkan si Gagak Hitam hanya pandai sebut akkk... akkk... saja. Kalau orang dulu-dulu pantang kalau kita ikut ajukan gagak. Sebabnya nanti telinga berkudis katanya. Entahlah. Zaman dulu-dulu punya pantang, tak tahu apa signifikannya mengajuk suara burung gagak dengan telinga berkudis.

Jangan pisahkan aku dan dia,

Tuhan tolonglah ku cinta dia,

Biarkan kami tetap bersama,

Di dalam suka dan duka.

Mendengar Iftitah menyanyi sambil dia menulis ‘memo cinta’ memang tiba-tiba terasa ada feel meresap ke jiwa. Fatehah tersenyum sendiri. Tak sangka, sedap rupanya suara Gagak Hitam ni menyanyi. Minat pula lagu zaman 90an. Hmm... agak-agak berapa umur dia ni ya? Roselly kata bujang lagi.

Mendengar lagu yang didendang merdu, makin lajulah dia menulis bertemankan irama dan lagu itu. Tanpa sedar bola mata lelaki itu memerhatikan setiap gerak lakunya.

“Apa senyum-senyum?”

Fatehah hanya menggeleng. Terus dia fokus kepada tulisannya.

‘Alamak! Aku tulis apa ni?’ desis hatinya. Liur ditelan. Lantas dia meronyokkan helaian itu.

“Kenapa ronyokkan kertas tu?” sergah Iftitah.

Terkejut Fatehah dibuatnya. Ingatkan lelaki itu tidak perasan akan tindakannya.

Err... salah tulis, encik,” beritahunya jujur.

“Tak payah ronyokkan. Bagi sini saya nak tengok apa yang awak tulis.” Tangan sudah dihulurkan meminta agar kertas itu diserahkan kepadanya.

“Alah, nanti encik marah. Tak payahlah tengok.” Fatehah masih berani menjawab. Ala-ala manja tanpa sedar. Sebenarnya ia terjadi secara natural.

Iftitah tayang muka serius sambil meminta kertas itu dengan jari telunjuknya. Maka terpaksa juga Fatehah menyerahkannya. Lelaki itu mengambil dan membaca apa yang tertulis. Semerta itu bola matanya terus tajam merenung wajah si gadis. Fatehah terus tundukkan pandangan. Rasa kalah pula melihat renungan tajam mata itu. Dahlah mata itu cantik. Ada pesona tersendiri walaupun tenung macam nak makan orang.

“Kan saya dah cakap salah tulis. Yang encik nak tengok juga siapa suruh. Confirm encik marah.” Fatehah rasa malu sendiri.

Jangan pisahkan aku dan dia,

Tuhan tolonglah kucinta Encik Iftitah.

Nampaknya Fatehah menulis lirik lagu yang dinyanyikan oleh lelaki itu tapi tersalah sambung ayat pula. Memang parah!

Iftitah tak berkata apa. Namun hakikatnya dalam hati, rasa nak tergelak pun ada. Halah... halah... tengah mood berapi boleh pula si dia buat lawak sweet manis bergula. Memang sajalah budak ni.

“Tu kira reject ya encik. Saya tulis yang baharu.”

“Tak perlu. Sambung aje tulis yang lain.”

Helaian itu tidak dibuang tetapi diletakkan bersama helaian-helaian yang sebelum ini. Apa yang penting bagi Iftitah adalah bukti tulisan itu. Lagipun macam ada satu aura di sebalik ayat itu. Aura yang mampu buat dia tersenyum. Perasaannya kini berdebar hebat seperti waktu awal gadis itu melangkah masuk ke biliknya tadi.

Fuh! Fatehah lega sebab tak kena marah. Dia kemudian terus menyambung kerjanya yang masih berbaki. Kerja itu perlu disiapkan secepat mungkin. Tanpa Fatehah sedar, bosnya ralit memerhatikan dirinya.

Diperhatikan saja si gadis yang ternyata fokus dengan kerjanya. Tangan yang menulis itu terus diperhatikan dengan penuh minat.

Fatehah terus berusaha menyiapkan apa yang sepatutnya. Dan akhirnya, selesai jua. “Encik, saya dah siap tulis semuanya.”

“Dah siap? Cepatnya. Takut nak duduk lama-lama depan saya ke? Bukan ke sepatutnya awak suka saya ada depan mata awak sekarang ni?” Kening itu sengaja dijongketkan.

‘Eee... poyo pula ayat si Gagak Hitam ni. Ingat aku hadap sangat ke?’ omelnya dalam hati.

“Dah boleh keluar ke encik?”

Nope! Tolong kira berapa helai yang awak tulis.”

‘Nak kena kira pula. Hesy, dia ni. Kira ajelah sendiri,’ sambil mengutuk dalam hati, tangan tetap juga mengira.

“Ada 40 helai, encik,” beritahu Fatehah setelah semua kertas yang ada di tangan dikira sebaiknya. Kertas-kertas itu kemudian diserahkan kepada lelaki itu.

“Jadi, semua sekali 44 termasuk 4 helai yang ada pada saya ni.” Iftitah menunjukkan 4 helai lagi kertas yang telah ditulis awal tadi. Kertas itu lalu dicampurkan bersama. Batang tubuhnya kini disandar malas ke kerusi. Dia tunak membelek dan meneliti tulisan di setiap helai kertas yang ditulis oleh Fatehah satu per satu.

“Kalau lepas ni ayat awak makbul, tolong jangan suka dekat saya. Tepis-tepis sikit perasaan tu. Saya tak hadaplah nak layan awak. Sebabnya, saya dah ada orang yang saya suka. Faham?”

Fatehah angguk saja. Dalam hati sempat juga dia berbicara sendiri. ‘Agaknya siapalah awek malang yang dia suka tu. Memang makan hati selalulah gamaknya.’

Hurmm... rasanya ada satu lagi yang saya nak awak tulis atas kertas ni.” Kesemua kertas berwarna itu kembali ditolak ke hadapan Fatehah. “Saya nak awak tulis, hashtag nama awak. Tak kisahlah nak tulis nama panjang atau nama pendek pun tapi pastikan awak tulis di setiap helaian kertas. Itu aje. Tak susah kan?”

Fatehah sudah telan liur. Nak kena tulis lagi ke? Aduhai... kenapalah tak cakap awal-awal tadi. Kan senang. Tak jadi dua kali kerja.

“Kenapa? Ada sebarang bantahan ke, Cik Fatehah?” Iftitah menyoal sambil menjongket kening.

Fatehah diam. Malas untuk memanjangkan kata. Dia akur saja dengan arahan itu. Pen yang berada di atas meja itu kembali diambil dan tangannya mula menulis seperti yang dikehendaki. Apabila dibaca kembali apa yang telah ditulis, dia terasa bulu romanya meremang sendiri. Sebabnya ada nama dia di bawah ayat itu.

Saya suka awak, Encik Iftitah

#Teha

‘Ya ampun... macam betul-betul terasa aku yang kasi memo cinta ni kepada dia. Dia ni pun satu. Apa motif suruh tulis nama dekat bawah tu pula?’ desis hatinya. Lagilah bila part lirik yang tersesat satu tu.

Jangan pisahkan aku dan dia,

Tuhan tolonglah kucinta Encik Iftitah.

#Teha

Setelah selesai, Fatehah menyerahkan kesemua helaian kertas itu. Lelaki itu melihat setiap helaian secara rawak sahaja.

So, Teha ni nama manja awak? Hmm... nice,” sempat dia memuji. Rasanya nama panggilan itu memang comel pun. “Confirm awak dah tulis semua?”

“Ya. Tapi apa tujuan encik suruh saya tulis nama saya? Saya tak bersalah tau dalam hal ni.”

“Rasanya awak tak perlu persoalkan tindakan saya ni. Lagipun awak dah tulis banyak-banyak tu tak rasa membazir ke bila tak letak nama awak. Sekurang-kurangnya saya tahulah semua ni daripada awak.”

Fatehah berkerut dahi. Keliru. Opss... mungkin saja Encik Iftitah suruh tulis nama tu untuk bezakan mana yang dia tulis dengan suspek seterusnya. Boleh jadi macam tu kut. Tiba-tiba Fatehah berfikir sebegitu. Harapnya macam itulah.

“Kalau tak ada apa-apa lagi saya keluar dululah encik.”

“Okey. Tapi ingat. Apa yang berlaku di dalam bilik ini, dan apa hukuman awak terima ini adalah rahsia. Kunci mulut awak. Kalau orang lain tanya, cakap aje saya tegur laporan awak. Jangan nak buka apa-apa cerita. Sebab kes ni masih dalam siasatan. Kalau diaorang tahu, siaplah awak!” Iftitah kembali tunjuk ketegasannya.

Fatehah mengangguk. Dia sangat berharap agar lelaki itu mampu menyiasat siapakah dalang di sebalik apa yang berlaku. Kalaulah dia tahu siapa yang buat angkara, pastinya diganyang orang tu sampai lumat. Puas hati!

Selepas dia bangkit dari kerusi dan melangkah pergi, Fatehah tiba-tiba menghentikan langkah dan kembali berpaling wajah menghadap lelaki itu. Dia ingin berbicara sesuatu.

Err... encik...”

“Ya. Kenapa?” Tangan Iftitah masih bersilang di dada menghadap si gadis.

“Maaf ya fasal termelatah abang kau hijau hari tu.”

Renungan tajam Iftitah kembali menikam ke wajah Fatehah. Fatehah cepat-cepat mengatur langkah pergi. Ah, lantaklah. Janji dah minta maaf untuk kesekian kalinya.

“Nanti!”

Terhenti terus langkah Fatehah apabila suara itu tepat menyapa gegendang telinga. Dia kembali pusingkan tubuh. “Ya, encik.”

Iftitah kekal memerhatikan gadis itu untuk seketika sambil mengelus jambang nipisnya. “Saya terima permohonan maaf awak tu. Tapi ada syarat.”

Err... apa syarat tu encik?”

“Saya nak awak bancuhkan kopi untuk saya. Perlu diingat, saya tak nak kopi bunuh orang yang macam awak bancuh hari tu.” Lelaki itu berbicara sinis.

Fatehah telan liur. Nampaknya lelaki itu sudah tahu bahawa dia adalah gadis pembancuh kopi itu.

“Baik. Ada apa-apa lagi encik?”

No.”

Fatehah terus keluar dari bilik itu dan menuju ke pantri. Sejak kes hari tu banyak pula stok kopi itu di kabinet. Jadi dia bancuh saja. Lalu dibawa kepada Kak Nori yang berada di mejanya.

“Kak, minta tolong ya hantar kepada Encik Iftitah. Terima kasih.”

Memang taklah dia nak masuk bilik itu lagi. Abang Jambang Hensem berlagak. Malas nak layan. Huh... benci!

Tak jadi dah nak suka.