DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 27 November 2018

My Miss Universe - Bab 10

“KAKAK! Ooo, kakak! Katanya mahu berjumpa
orang pagi ini. Sudah pukul 8 enggak bangun-bangun lagi.
Kakak!” Bibik Rasna menarik selimut yang membaluti
seluruh tubuh Darissa. Langsir tingkap diselak lalu dibuka
tingkapnya. Angin pagi menderu masuk menggigit tubuh.
Darissa menggeliat. Pinggangnya terasa sengal.
Malasnya nak bangun. Kesejukan pagi menyebabkan dia
menarik semula selimut.
“Kakak! Waduh, bangun! Mamanya sudah tunggu
di bawah mahu sarapan bersama.” Sekali lagi Bibik Rasna
menarik selimut. Selepas itu, pasu bunga yang terletak di
sebelah katil dicapai. Pasu yang berisi bunga mawar itu mahu
dibawa turun dan ditukar dengan bunga segar yang lain.
“Bibik turun dulu ya. Nanti lepas mandi lekas turun.
Bibik buatkan nasi goreng.” Selepas habis semua tingkap
bilik dibuka, Bibik Rasna menyusul keluar.
Darissa masih lagi terbaring liat. Malam tadi entah
pukul berapa dia masuk tidur. Selesai menonton wayang,
dia, Dayana dan Hakim pergi menjamu selera. Balik rumah,
Dayana ajak bermain Scrabble pula. Mengantuknya! Namun,
sinaran matahari yang masuk melalui tingkap biliknya
memaksa dia untuk mengalah. Matanya dikecilkan apabila
sinaran mentari menusuk masuk ke kelopak mata. Dia
menyelak rambut yang jatuh terjuntai di dahi.
Darissa melangkah perlahan menuju ke tingkap.
Melihat pemandangan laman yang cantik dipenuhi dengan
pelbagai bunga berwarna-warni. Walaupun mereka tinggal di
kawasan perumahan teres, tetapi setiap rumah mempunyai
laman yang agak luas. Apatah lagi rumah di bahagian tepi
sekali seperti rumah mereka ini.
Sedang asyik memerhati pemandangan dari tingkap,
sekali lagi pintu biliknya diketuk.
“Kakak!” Kali ini suara mama pula menjamah
gegendang telinga. “Kakak, tak bangun-bangun lagi ke?”
“Ya... kakak dah bangun. Kejap lagi kakak turunlah.”
Kain tuala diambil dan Darissa melangkah laju menuju ke
bilik air.
Hari ini dia mempunyai janji temu yang penting dan
tidak boleh dilepaskan. Sejak menjadi ejen insurans, memang
menjadi kewajipannya menepati setiap janji temunya.
Dia sendiri tidak tahu kenapa dan bagaimana dia boleh
terjebak menjadi ejen insurans sedangkan dahulu dia belajar
dalam jurusan undang-undang. Mungkin sudah tertulis
rezekinya dalam bidang ini. Dan nampaknya setelah 5 tahun
bergelumang dalam dunia insurans, bolehlah dikirakan dia
antara ejen yang berjaya dan berwibawa.
Selesai mandi, Darissa turun ke ruang bawah. Di meja
makan, kelihatan mama dan bibik sudah siap menunggunya
untuk bersarapan bersama.
“Good morning, ma...” Pipi Puan Dahlia diciumnya
mesra. Haruman semerbak menusuk masuk ke dalam lubang
hidung. Dari jauh lagi sudah boleh bau semerbak minyak
wangi mama.
“Good morning...” Giliran Puan Dahlia pula
mengucup pipi kiri dan kanan anak sulungnya itu.
“Cantiknya anak mama hari ni. Nak pergi jumpa
siapa?” Pinggan diambil dan disenduk nasi goreng sebelum
dihulurkan kepada Darissa.
“Mana ada cantik. Hari-hari kakak pakai macam ni
jugak. Mama tu yang cantik hari ni. Pakai wangi-wangi ni,
mama nak jumpa siapa pulak?” Darissa menjeling melalui
ekor mata. Dilihatnya mama tersenyum manis. Memang
mama nampak cantik hari ini. Dengan baju blaus berwarna
merah, berseluar hitam dan bertudung hitam bunga-bunga
merah. Sepadan. Lengkap dari atas sampai bawah.
Selepas bersarapan, mereka berdua berpecah. Puan
Dahlia terlebih dahulu keluar menuju destinasinya, manakala
Darissa pula masih lagi terkial-kial hendak menghidupkan
enjin kereta.
“Alamak... buat hal lagi kereta ni!”
Darissa menghempaskan pintu kereta. Dia
menuju ke depan dan membuka bonet hadapan kereta.
Dia meninjau-ninjau ke dalam. Entah apa yang hendak
ditinjaukan pun dia tidak tahu. Dia bukannya tahu sangat
pasal kereta. Walaupun sudah bertahun-tahun memandu,
dia masih lagi terkial-kial kalau apa sahaja perkara yang
berkaitan dengan kereta. Kalau setakat nak tengok minyak
penuh atau sudah kering, dia pandailah.
Darissa menggaru-garukan kepalanya yang tidak
gatal. Masa dia hendak cepat, masa inilah kereta ini buat hal!
Akhirnya, setelah Darissa berfikir-fikir, dia
mengambil keputusan untuk menaiki teksi sahaja. Urusan
kereta akan dia diuruskan kemudian. Kalau nak telefon
mekanik dan tunggu kereta dibaiki, sudah tentu lama pula
nanti. Dia memang perlu kejar masa sekarang ini.
Bonet hadapan kereta ditutup kembali. Briefcase dan
tas tangan diambil dari tempat duduk kereta dan dia mula
berjalan kaki menuju ke jalan besar. Dari rumahnya hendak
ke jalan besar, bukannya jauh sangat pun. Dia cuma perlu
melepasi 2 lorong untuk sampai ke situ.
Kenderaan di jalan tidak banyak pagi itu. Tidak
seperti selalu yang bertali arus. Mungkin disebabkan hari ini
hari Sabtu. Ramai lagi yang sedang berehat di rumah. Darissa
menunggu teksi di perhentian bas betul-betul berhadapan
dengan sekolah lamanya dengan sabar. 10 minit telah berlalu,
tetapi satu teksi pun tidak ada.
‘Tolonglah...’ doa Darissa dalam hati. Kalau boleh,
dia memang mahu sampai awal. Dia sudah berjanji akan
berjumpa dengan Encik Sharif dan isterinya di rumah mereka
pada jam 11 pagi ini. Pasangan suami isteri itu mempunyai
jadual yang sangat padat. Kalau lambat, habislah...
Sedang dia berdoa, tiba-tiba sebuah kereta Ford
Escape berwarna gelap berhenti betul-betul di seberang jalan.
Darissa mengecilkan mata. Macam kenal saja kereta itu.
Tingkap kereta dibuka separuh dan kelihatan seorang lelaki
melambai-lambai ke arahnya.
“Kim!” Darissa menjerit kegembiraan. Boleh pula
Hakim muncul di depan mata. Darissa segera menyeberang
jalan. Tanpa perlu diajak, dia melompat masuk ke dalam
perut kereta dan duduk di sebelah tempat duduk pemandu.
“Kim... nasib baik kau ada!” jerit Darissa sebaik saja
dia duduk. Muncung tudung yang sedikit lembik dibetulkan
agar nampak lebih kemas. Kemudian, penghawa dingin
kereta dikuatkannya. Panas setelah lama menahan terik pagi
menunggu teksi tadi.
“Kenapa kau duduk kat tepi jalan tu?”
“Tengah tunggu teksi. Kereta tak boleh start.”
Hakim tersenyum. Rosak lagi? Memang Haji Bakhil
sungguh Darissa ini. Ada duit, tapi tak nak tukar kereta.
“Nak pergi mana pagi-pagi ni?”
“Ampang. Aku ada janji dekat Setia Hills. Kau tolong
hantarkan, boleh?”
Hakim mengangguk. Brek tangan dilepaskan dan
kereta mula meluncur pergi.
“Dah tahu kereta rosak, kenapa tak telefon aku?
Aku dah beritahu kau malam tadi kan yang aku tidur rumah
Sarah. Nasib baik aku patah balik bila nampak kau tadi.”
Mendengarkan rungutan Hakim itu, Darissa hanya
mampu tersenyum kambing. Ya tak ya juga. Kenapalah dia
tak telefon Hakim saja tadi? Sedikit pun dia tidak teringat
sedangkan sudah beberapa kali Hakim memberitahu bahawa
datuk dan neneknya baru sampai dari kampung dan berada
di rumah Qaisarah. Jadi, selepas menghantar dia dan Dayana,
Hakim akan terus ke rumah Qaisarah untuk berjumpa
mereka dan bermalam di rumah Qaisarah sahaja.
“Lupalah...” jawab Darissa ringkas sambil tayang
muka tidak bersalah.
Hakim mendengus. Dalam hati, dia berkecil hati
dengan jawapan bersahaja Darissa sebentar tadi. Perkara
yang sekecil itu pun boleh lupa? Kalau perkara-perkara yang
berkaitan dengan Iqram pasti sampai sekarang tak ada yang
dilupakan gadis itu.
“Kau tak kerja ke hari ni?” tanya Darissa apabila
sudah separuh perjalanan Hakim hanya mendiamkan diri.
Hakim menggeleng.
“Got no appointment?”
Hakim menggeleng lagi.
“Dapat tak jumpa atuk dengan nenek kau malam
tadi? Diaorang sihat?”
Tetap menggeleng.
“Kenapa geleng kepala pulak? Geleng kepala tu
tandanya dapat jumpa mereka ataupun tak? Nenek dengan
atuk ada tanya pasal aku tak?”
Hakim hanya terus-terusan menggeleng tanpa
sebarang jawapan. Darissa mengalihkan pandangan ke tepi
tingkap. ‘Orang tanya, asyik menggeleng saja. Tiba-tiba pula
jadi bisu. Pelik betul.’
Dan akhirnya perjalanan diteruskan dengan
masing-masing melayani perasaan sendiri. Seketika keadaan
menjadi sepi dan kelam. Kedua-duanya membatukan diri. Apa
yang kedengaran hanyalah lagu Sugar dendangan Maroon
Five yang ke udara di corong radio.

DARISSA TERSENYUM. Semakin lebar senyumannya apabila
melihat lelaki separuh abad yang berada di hadapannya ini
selesai mengisi dan menandatangani beberapa helaian kertas.
Kertas-kertas tersebut bertukar tangan. Dengan cermat
Darissa menyusun dan memasukkannya ke dalam briefcase.
“Itu saja?” soal lelaki tersebut.
Darissa mengangguk.
“Nanti kalau ada apa-apa, saya akan hubungi Encik
Sharif. Terima kasih encik dan puan sebab sudi ambil insurans
dengan saya,” Darissa menuturkan kata-kata sambil bibir tak
putus dengan senyuman.
“It’s my pleasure to deal with you. Penjelasan you
sangat jelas dan lengkap. Kawan-kawan I memang ramai
yang ambil insurans dengan you. Jadi I memang dah biasa
dengar cerita yang you ni ejen insurans yang sangat bagus
dan prihatin.”
Senyuman Darissa bertambah lebar. Aduh, sudahlah
hatinya gembira sebab dapat jual insurans berpuluh ribu,
lepas tu kena puji lagi.
Darissa meminta diri. Encik Sharif dan isterinya
menghantar Darissa hingga ke pintu pagar dan melambai
mesra. Senang hati Darissa dapat berurusan dengan
pelanggan seperti Encik Sharif dan isterinya itu. Walaupun
orang kaya, ada perniagaan besar, tapi sangat merendah diri.
Dan yang lebih seronok lagi, Encik Sharif bersetuju untuk
membeli insurans nyawa yang bernilai 50 ribu untuk setiap
ahli keluarganya. Wah! Memang Darissa puas hati!
Baru saja berjalan tak sampai 10 tapak, tiba-tiba
saja dia dikejutkan dengan bunyi hon yang agak kuat. Dia
melepaskan pandangan, lalu anak matanya melihat sebuah
kereta Ford Escape berwarna hitam yang berada di bawah
pokok besar. Eh, itu bukan kereta Hakim ke?
Darissa mengecilkan anak mata dan memang sah
kereta itu milik Hakim. Sekali lagi hon berbunyi dan dia
cepat-cepat merapati kereta itu.
“Eh, Kim! Apa kau buat dekat sini?” soal Darissa
sebaik sahaja tingkap kereta Hakim dibuka setengah.
“Buat apa lagi? Tunggu kaulah.”
Darissa membulatkan biji mata.
“Tunggu aku?” Sambil jari telunjuk kanan menunjuk
ke arah diri sendiri.
Hakim angguk kepala.
“Cepatlah masuk. Tercegat lama-lama dekat luar tu
lagi, kenapa? Jom, balik.”
Darissa masih tidak berganjak.
“Dah berapa lama kau tunggu aku dekat sini?”
soalnya lagi, masih dengan nada tidak berapa percaya.
“Sejak kau masuk dalam rumah orang itulah,”
Hakim menjawab bersahaja.
Darissa besarkan lagi biji matanya.
“Lepas hantar aku tadi, kau tak terus balik? Kau
tunggu aku dekat sini?”
Hakim mengangguk lagi.
“Maksudnya... dah 2 jam lebihlah kau duduk dalam
kereta dan tunggu aku?”
Mengangguk untuk kesekian kali.
Darissa diam. Kali ini dia tidak meneruskan
pertanyaan dan dia hanya pandang Hakim dengan rasa tidak
percaya. Kenapalah Hakim sanggup tunggu dia sampai
berjam-jam? Dia tak suruh pun, dia tak minta pun. Kenapa
Hakim rajin sangat? Kenapa Hakim sanggup jadi penunggu
tak berbayar?
“Eh Rissa, yang kau berdiri lama-lama lagi dekat
luar tu kenapa? Masuklah cepat. Panas dekat luar tu!” sergah
Hakim apabila melihat Darissa masih lagi berdiri tegak.
Darissa memandang Hakim dua tiga saat, kemudian
barulah dia membuka pintu kereta dan masuk. Kereta mulai
bergerak meninggalkan kawasan perumahan elit tersebut.
“Kau ada janji dengan pelanggan lagi ke lepas ni?
Kalau ada, aku boleh hantarkan,” Hakim bertanya sambil
membelok ke arah jalan besar.
Darissa menggeleng.
“Nak kena pergi ofis?”
Darissa geleng kepala lagi.
“Okey, kalau macam tu kita pergi makanlah. Perut
aku dah lapar ni. Dari pagi belum makan lagi.”
Spontan Darissa terus memandang ke arah Hakim
tanpa berkelip matanya. Belum makan dari pagi?
“Kenapa kau tengok aku semacam pulak ni?” soal
Hakim.
Darissa pandang Hakim lagi.
“Kim, kenapa kau tunggu aku tadi? Aku tak suruh
pun...”
“Memanglah kau tak suruh. Aku sendiri yang
memang nak tunggu. Kan kereta kau rosak?”
“Kalau kereta aku rosak, aku boleh balik naik teksi.
Bukannya susah nak dapat teksi dekat kawasan ni,” jawab
Darissa bernada rendah.
“Alah, tak apalah... bukannya kerja susah pun.
Lagipun aku memang lapang hari ni. Tak ada kerja nak buat,
jadi apa salahnya aku teman dan tunggu buah hati aku yang
tersayang ni, kan?” Hakim sengaja ingin mengusik. Dan
sengaja juga dia mengeluarkan perkataan buah hati. Tetapi,
apabila mendengarkan itu sahaja, terus riak wajah Darissa
berubah. Ada baris-baris tidak senang kelihatan.
Hakim hanya tersenyum sahaja melihat riak wajah
itu. Dia tahu Darissa tidak pernah mengakuinya. Walaupun
Darissa itu tunangnya, tapi tidak pernah sekali pun gadis
itu mengaku atau menganggap dirinya buah hati pengarang
jantung Hakim.
“Rissa, kita pergi makan makan nasi Arab, nak tak?”
soal Hakim ingin memulakan perbualan seperti biasa dengan
Darissa. Mahu mengelak suasana menjadi dingin dan suram.
Entah kenapalah Darissa nampak semacam pula. Marah
sangat ke sebab dia tunggu depan rumah Encik Sharif tadi?
Patutnya dialah yang marah. Patutnya dialah yang tengah
sakit hati kerana dia seolah-olah tidak penting dalam hidup
Darissa.
Namun, apabila memikirkan yang Darissa terpaksa
berjalan kaki keluar untuk menahan teksi apabila pulang
nanti, terus hilang semua perasaan marahnya pagi tadi.
Timbul pula perasaan kasihan. Sudahlah tengah hari buta.
Jadi, dia ambil keputusan untuk berpatah semula ke rumah
Encik Sharif dan menunggu sahaja sampai urusan Darissa
selesai. Kemudian, akan dihantar Darissa ke mana sahaja.
Lagipun, dia sememangnya tidak mempunyai apa-apa agenda
yang hendak dibuat. Daripada termangu-mangu memikirkan
apa yang hendak dibuat, baik duduk menghadap buah hati
yang tersayang. Sejuk sikit mata memandang.

MEREKA SAMA-SAMA makan tengah hari di restoran yang
dicadangkan oleh Hakim. Namun, Darissa langsung tidak
bercakap banyak. Dan belum sempat habis makan, Darissa
sudah ajak balik kerana dia mahu pergi berjumpa Atikah dan
Husna yang sedang sibuk membeli kain untuk majlis tunang
Husna nanti. Sengaja nak larikan diri!
“Rissa, kenapa kau diam semacam aje ni? Bosanlah
bila aku tanya sepatah, kau jawab sepatah. Kau marah sangat
ke aku tunggu kau tadi?” soal Hakim sebaik saja mereka
masuk ke dalam kereta semula. Tidak tahan dengan sikap
diam Darissa sepanjang waktu makan tadi.
“Tengok tu... jangan kata nak jawab soalan aku,
senyum pun tidak. Rissa, kalau kau asyik nak bermasam
muka aje, nanti urat-urat dekat mulut tu semuanya akan jadi
kejang bila kau nak senyum. Sebabnya urat-urat tu semua
dah tak tahu macam mana lagi nak senyum. Tahu tak?” usik
Hakim lagi apabila Darissa terus diam.
Tetapi, Darissa tetap juga dengan watak yang sama.
Dia hanya memandang kosong ke jalan raya di hadapan.
Bukannya dia sengaja hendak tunjuk angin kus-kus dan tidak
mahu melayan Hakim. Tapi, rasa serba salah betul-betul
sedang merajai hatinya kini.
Memang... dia tahu Hakim buat semua itu atas
kerelaan sendiri. Dan apabila Hakim tunggu dia tadi, maka
kerjanya akan jadi lebih mudah. Tak perlu nak berjalan kaki,
tak perlu nak tahan teksi, tak perlu nak berpanas matahari
dan tak perlu pening-pening nak fikir panggil mekanik untuk
betulkan kereta kerana Hakim sudah bereskan semuanya
untuk dia. Best, memang best. Tapi, yang tak seronoknya
ialah... dia rasa macam ‘mem besar’ pula apabila Hakim
sanggup buat dan tolong semua perkara!
Dia rasa tak sedap hati apabila Hakim terpaksa
berkampung dalam kereta semata-mata nak tunggu dia
habis buat kerja. Dia rasa serba salah apabila Hakim terpaksa
ketepikan semua urusannya semata-mata nak uruskan hal
keretanya yang rosak. Dan dia sedih apabila Hakim sanggup
buat semua benda dan perkara hanya untuk Intan Darissa.
Kalau orang tengok dengan mata kasar, pasti mereka
akan menganggap Darissa itu seperti seorang diva. Siang
malam hanya menyusahkan Hakim. Dia tak nak orang luar
terutamanya ibu Hakim tuduh dia asyik buli Hakim saja tidak
habis-habis!
“Darissa...” Hakim memanggil Darissa yang sedang
mengelamun. Dipetik jari kirinya betul-betul di hadapan
wajah Darissa. Namun, jangankan kata hendak tersenyum,
hendak memandang wajah Hakim pun tak ada tanda-tanda.
Berkelip mata pun tidak.
“Intan Darissa!” Hidung Darissa ditarik kuat. Nasib
baik lampu trafik merah.
“Adoi!” jerit Darissa dengan kuat. Sempat ditepuk
tangan Hakim yang baru saja menarik hidungnya tadi.
“Hah, bersuara pun! Ingatkan aku duduk dengan
mayat hidup tadi.”
Darissa menggosok-gosok hidungnya yang mula
merah. Hakim sejak dulu sampailah sekarang, memang
cukup suka menarik hidungnya.
“Sakitlah! Kau ni kasar tau. Tak boleh ke lembut sikit
dengan orang perempuan. Macam manalah dengan bini kau
nanti. Malang betul siapa yang dapat kau ni.”
Hakim ketawa. Lega sikit hatinya dapat mendengar
suara Darissa semula. Barulah terasa ceria sikit suasana.
“Bini? Dah tentulah kau bakal bini aku, kan?”
katanya sambil angkat kening.
“Siapa nak jadi bini kau? Tak hingin langsung.”
“Jangan cakap tak hingin... nanti melepas, kau juga
yang merana,” Hakim mengusik.
“Tak mungkin,” Darissa membalas pula dengan
yakin.
“Jangan yakin sangat, Rissa. Kalau dibuatnya esok
aku suruh emak dan ayah aku datang berbincang dengan
mama kau, minggu depan jugak kau kena jadi bini aku!”
Darissa mencebir, membuatkan Hakim seakan rasa
tercabar.
“Kau tak percaya ke aku boleh buat macam
tu?” katanya sambil pandang Darissa sekilas. Sambil itu
dimasukkan gear dan kereta kembali bergerak semula.
Darissa mencebir sekali lagi.
Hakim bagaikan rasa tercabar. Dia keluarkan telefon
bimbit dari dalam kocek lalu mendail nombor seseorang.
Darissa hanya memerhatikan sahaja apa yang ingin
dilakukan oleh Hakim.
“Helo, auntie. Ini Hakim. Auntie sibuk tak hujung
minggu ni? Hakim ingat nak suruh emak dengan ayah datang
rumah auntie dan berbincang pasal hal kahwin.”
Darissa mendengar saja. Pada mulanya dia
menganggap Hakim hanya berlakon dan bercakap
sorang-sorang. Tetapi, entah kenapa telinganya dapat
menangkap ada suara dari hujung telefon yang menyahut
kata-kata Hakim sebentar tadi.
“Rissa cakap dia tak kisah kalau nak kahwin cepat.
Minggu depan nak nikah pun dia sanggup.”
Darissa cepat-cepat rampas telefon yang sedang
melekap di telinga Hakim. Dia melihat skrin dan ternyata
Hakim sedang bercakap dengan mamanya.
“Hakim! Kau dah gila ke???” Dengan kelam-kabut
dan tidak tentu arah Darissa cepat menekan skrin. Menutup
panggilan yang masih belum terputus. Dia tengok Hakim
dengan mata yang membulat. Tak sangka Hakim memang
betul-betul menghubungi dan bercakap dengan mamanya,
bukannya berlakon atau main-main.
Hakim hanya tersengih.
“Itulah, tadi tak percaya sangat. Sekarang tahu
takut...”
Dada Darissa turun naik.
“Kim, benda ni tak lawaklah!”
“Siapa pula yang buat lawak? Bila bercakap pasal
kahwin, aku tak pernah bergurau atau buat lawak,” balas
Hakim kali ini dengan nada yang agak tegas pula.
Darissa terdiam.
“Aku memang nak kahwin dan...”
“Dah, diam! Aku tak nak cakap apa-apa dengan kau
lagi,” Darissa terus menyampuk. Dia mencampak telefon
Hakim dan terus memusingkan badan menghadap cermin
tingkap di sisi.
“Darissa...” Hakim memanggil nama Darissa dengan
lembut dan mesra.
Diam lagi. Dan Darissa terus-terusan mendiamkan
diri walaupun beberapa kali Hakim memanggil namanya.
Membisu seribu bahasa tanpa sebarang suara, sehinggalah
turun dari kereta, dia masih lagi langsung tidak bercakap
apa-apa. Ucap terima kasih kepada Hakim pun tidak. Dia
terus melangkah dan tidak berpaling ke belakang langsung.
Apatah lagi hendak memandang wajah Hakim.
Hakim hanya memandang sepi, melihat tingkah
Darissa yang begitu sukar sekali hendak ditembak segala isi
hatinya.

*** AKAN BERADA DIPASARAN UNTUK KELUARAN NOV 2018**  

My Miss Universe - Bab 9

Beberapa tahun berlalu...

SAMBIL melangkah menuju ke kereta, tak
habis-habis dia mengeluh. Muka monyok tanda hati tengah
sedih. Selalunya apabila berkumpul beramai-ramai, hatinya
akan jadi riang dan gembira. Bukan senang nak duduk
bersembang panjang dengan Qaisarah, Atikah dan Husna.
Sejak tamat persekolahan, mereka melanjutkan pelajaran
di IPT berlainan dan sekarang ini pula apabila bekerja,
masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri. Sesekali
berkumpul, memang seronok.
Tetapi, perasaannya berlainan pada hari ini. Mana
tidaknya, dia baru saja dikejutkan dengan berita Husna yang
hendak berkahwin. Terperanjat beruk dia mendengarnya.
Tak sangka Husna yang tembam, tak pernah bercinta dan tak
pernah keluar dating, akhirnya sudah sampai seru hendak
berumah tangga walaupun hanya mengikut pilihan keluarga.
Sedangkan dia?
Darissa rasa seperti hendak menangis. Sebelum
masuk di dalam kereta, sempat dia melambai kepada Hakim
yang baru saja melintasi keretanya ini. Hakim tengah sibuk.
Dia terpaksa bergegas menemui pelanggan dan sebab itulah
dia perlu memandu sendiri hari ini.
Bagus juga, dapatlah dia lepaskan perasaan apabila
memandu seorang diri nanti; memikirkan nasib diri yang
mungkin akan bergelar anak dara tua atau tidak laku
sedangkan semua teman-teman rapatnya sudah naik pelamin.
Qaisarah bakal menimang cahaya mata kedua beberapa bulan
saja lagi, Atikah pula baru bergelar pengantin baru tahun
lepas dan sekarang ini giliran Husna pula.
Intan Darissa... memang tak suka kalau mendengar
atau bercerita topik kahwin. Isu sensitif!
Masuk ke dalam kereta, dia hidupkan enjin kereta
lalu kereta Kancil putih itu meluncur laju di jalan raya.
Berada di dalam kereta bersendirian, terus saja air mata jatuh
mengalir di pipi. Huh! Nampak saja garang dan bengis, tapi
apabila duduk seorang diri begini, menangis pula kerjanya.
Kalau boleh dia tidak mahu menangis kerana hal sekecil ini.
Tetapi, dia tak mampu hendak tahan air mata. Sedih... semua
kawan karib dah ada pasangan sedangkan dia masih lagi takut
dan seriau dengan perkataan kahwin.
Perjalanan untuk sampai ke rumah tidak memakan
masa yang lama. 15 minit memandu, kereta Kancilnya sudah
membelok masuk ke dalam pagar rumah. Namun, apabila dia
melihat 2 orang wanita sedang memasukkan barang ke dalam
kereta Exora putih, terpaksa pula dia mengundurkan kereta
semula lalu diparkirkan di luar pagar rumah sahaja. Tengok
mama dan bibik sedang sibuk memasukkan gubahan bunga
ke dalam kereta, tandanya mesti sudah hendak keluar.
Darissa keluar dari perut kereta. Daun pintu kereta
ditutup lemah. Masih dengan wajah sedih, dia berjalan masuk
ke dalam rumah. Bertembung dengan Puan Dahlia di ruang
tamu, namun dia langsung tidak menegur. Tidak seperti
selalu di mana dia pasti akan memberi salam atau memeluk
mamanya itu.
“Kakak, dah balik?” tegur Puan Dahlia mesra apabila
melihat susuk tubuh Darissa.
Darissa diam. Langsung tidak menjawab.
Puan Dahlia memandang pelik. Dah kenapa pula
dengan anaknya?
“Eh, kenapa kakak balik dengan kusut-masai macam
ni? Macam baru lepas menangis aje, apa yang tak kena?”
tegur Puan Dahlia lagi.
Namun sama seperti tadi, Darissa tetap tidak
menjawab, membiarkan mamanya saling berpandangan
dengan bibik yang sedang memegang jambangan bunga
untuk dibawa ke kereta mama di luar.
“Intan Darissa...” Puan Dahlia memanggil nama
penuh anaknya.
Darissa yang baru naik dua anak tangga berhenti
sekejap.
“Tak ada apa-apa. Menangis sebab angin senggugut
datang,” jawab Darissa, malas hendak bercerita banyak. Hal
kecil saja pun, tak perlulah dia mengadu dengan mamanya.
Darissa sambung mendaki tangga. Tapi, belum
sempat sampai di atas, dia berhenti sekali lagi apabila dia
mendengar mamanya memberitahu bibik bahawa dia tidak
akan pulang untuk makan malam ini. Selepas menghantar
bunga, dia akan ke tempat lain dan makan di luar sahaja.
Cepat-cepat Darissa berlari semula ke bawah untuk
mendapatkan Puan Dahlia.
“Mama nak pergi mana?” Darissa menyoal dari anak
tangga paling bawah sekali.
Puan Dahlia yang baru hendak keluar menoleh
memandang Darissa.
“Hantar bunga. Ada orang tempah untuk majlis hari
jadi,” jawabnya.
“Dekat mana?” soal Darissa lagi.
“Bukit Antarabangsa.”
“Dekat aje tu. Kenapa mama cakap dekat bibik nak
balik lambat malam ni? Semalam pun satu hari suntuk mama
keluar. Hantar bunga bukannya lama sangat, kan?”
Puan Dahlia mengangguk.
“Hantar bunga memang sekejap. Tapi, lepas tu mama
ada hal nak jumpa kawan.”
“Siapa?”
“Adalah... kawan lama masa sekolah dulu.”
“Kawan lama tu lelaki ke perempuan?” soal Darissa
lagi tidak puas hati.
Puan Dahlia tersenyum. Darissa ini kalau dah mula
menyoal, memang tak terjawab dibuatnya.
“Mama rasa elok kalau kakak naik bilik dan terus
mandi, lepas tu berehat. Nampak macam letih sangat,
tudung pun senget-menget. Kalau lapar, kakak makanlah
dulu. Tak payah tunggu mama. Mama pergi dulu ya?” Tanpa
menjawab soalan Darissa, Puan Dahlia melangkah keluar dan
membiarkan Darissa dengan pandangan yang terpinga-pinga.
Darissa mendengus. Tak puas hati. Dia naik atas,
masuk ke dalam bilik dan pergi mendekati tingkap. Selak
langsir dan melihat kereta Exora perlahan-lahan menyusur
keluar dari pagar rumah. Pelik betul dengan mamanya
sekarang ini. Asyik keluar saja. Nak jumpa kawanlah, nak
pergi beli baranglah dan macam-macam lagi. Dulu, mama
tak pula rajin buat semua itu.
Mama yang Darissa kenal adalah seorang wanita yang
banyak menghabiskan masa di rumah dan tidak suka keluar
jika tidak ada perkara penting. Tak pernah sampai berjam-jam
mamanya pergi membeli-belah. Mama lebih suka habiskan
masa di rumah membaca buku masakan, majalah dekorasi
atau berbual dengan bunga-bunga yang ditanam di laman.
Mama lebih rela duduk berjam-jam berkebun daripada keluar
berhibur di luar. Tapi, kenapa sekarang dah berubah angin
pula? Pelik!
Darissa tarik kain tudung dari kepala. Dicampak
ke lantai lalu menghempas badan ke katil. Terkebil-kebil
matanya memandang siling. Dia tengok cicak yang melekat
di siling sambil kepalanya berfikir. Masih lagi memikirkan
kisah Husna nak kahwin. Ini bermakna tinggal dia dan
Hakim sajalah yang masih solo dalam geng mereka. Terdetik
juga dalam hati untuk jadi seperti teman-teman mereka itu
semua. Apatah lagi apabila melihat anak Qaisarah yang comel
dan cerdik. Lagilah rasa tak sabar hendak menimang anak
sendiri.
Tetapi, tak tahulah kenapa hatinya ini masih terlalu
berat hendak bercakap soal kahwin apabila duduk berdua
dengan Hakim. Dia tahu Hakim hanya menunggu masa saja
untuk dia buka mulut, cuma dia saja yang buat tidak tahu. Dia
sedar Hakim sudah terlalu lama menunggu. Sudah 9 tahun
mereka bertunang, tahun depan genap 10 tahun. Sudah
bertahun-tahun mereka meninggalkan zaman universiti,
tetapi mulutnya masih lagi terkunci untuk berbicara soal
kahwin, hati, cinta dan perasaan.
Ah, biarlah... malas dia hendak memikirkan soal
itu yang nampaknya bagaikan tiada penghujung dan jalan
penyelesaian. Lebih baik tidur sekejap dan lapangkan kepala
yang terasa berat disebabkan menangis tadi.
Baru saja Darissa hendak tutup mata, telinganya
mendengar deruman enjin motosikal masuk ke dalam
kawasan pagar rumah. Cepat-cepat dia bangun. Kalau bunyi
motor, sudah tentulah Intan Dayana baru balik dari kampus.
Jika tak silap, hari ini adiknya itu sudah habis menjawab
kertas peperiksaannya yang terakhir. Wah, seronoknya! Pasti
rumah ini takkan sunyi lagi apabila Dayana dah habis belajar.
Adalah teman untuk diajak bertekak dan bergaduh. Yes!
Darissa terjun daripada katil. Dia menjenguk ke luar
tingkap. Kelihatan motor skuter berwarna kuning di tempat
letak kereta. Memang sah Dayana dah balik! Adiknya itu
memang ala-ala tomboi sedikit. Lasak dan ganas.
Darissa keluar bilik untuk mendapatkan Dayana.
Sampai di tingkat bawah, dia melihat Dayana baru saja
menghempaskan badan di sofa dan melunjurkan kaki,
meregangkan badan dan kemudian berbaring.
“Yana, macam mana exam tadi? Susah tak?” Darissa
terus saja mengajukan pertanyaan kepada Dayana seraya
mengambil tempat di sofa berhampiran.
Tiada jawapan yang keluar daripada mulut Dayana.
Hanya diam dan buat muka bodoh.
“Yana, kakak tanya ni... susah ke tak exam tadi?
Boleh jawab ke tak?”
“Kakak ni tanya soalan yang langsung tak bernas.
See the leglah. Ini Yana tau. Intan Dayana yang bakal menjadi
akauntan tersohor di Malaysia!”
Darissa mencebik mendengar jawapan berlagak
adiknya itu.
“Bukan macam kakak...”
Tiba-tiba terdengar pula suara Dayana seakan
memerli, membuatkan Darissa mengerut dahi. Aik? Apa
kena-mengena dengan dia pula ni?
“Kakak ni memang pelik. Belajar tinggi-tinggi
sampai masuk universiti. Ingatkan bila dah dapat ijazah jadi
peguam. Alih-alih jadi agen insurans pulak. Buat penat aje
mama hantar masuk U. Lebih baik kakak terus kerja aje lepas
SPM dulu.”
“Amboi, sedapnya mengutuk! Eh, awak ingat kerja
jadi agen insurans ni tak bagus ke? Loaded tau! Kalau setakat
nak lawan gaji akauntan cabuk macam awak ni, petik jari
ajelah!” Darissa membalas sambil memetik ibu jari kanannya.
Sudah mula hendak tunjuk lagak. Tidak mahu mengalah
apabila adiknya mula hendak mengutuk.
“Eleh... loaded konon! Kalau kakak banyak duit,
kenapa sampai sekarang ni tak tukar-tukar Kancil buruk tu?
Dah bertahun-tahun kakak pakai, dah berpuluh-puluh kali
masuk workshop, tapi tak jugak tukar-tukar. Zaman sekarang
ni, mana ada orang pakai Kancil lagi? Paling-paling kurang
pun, belilah Myvi. Kancil tu pun Abang Hakim yang beri bila
dia tukar kereta baharu dulu. Nak harapkan kakak beli pakai
duit sendiri, jangan mimpilah! Macam ‘sengkek’ aje. Kereta
pun tak mampu nak beli!”
Darissa mula panas telinga. ‘Sengkek’? Sedap gigi
betul adiknya bercakap!
“Hei, awak kalau nak bercakap tu baik-baik sikit.
Terlajak ‘skuter’, awak boleh tarik balik. Tapi kalau terlajak
cakap, habis rambut awak kena tarik nanti!” Darissa
seakan-akan mengugut.
Dayana sudah tidak jadi berbaring. Dia bangun dan
duduk menghadap Darissa.
“Eleh, nak tarik rambut konon! Ingat Yana takut ke,
hah? Kalau berani...”
“Sudahlah!”
Dayana tidak sempat menghabiskan ayatnya. Bibik
Rasna sudah mencelah sambil berdiri tegak di tengah antara
sofa mereka sambil menatang dulang minuman.
“Kamu berdua ni, kalau enggak gaduh, enggak
boleh? Baru 5 minit sudah mahu bercakaran,” Bibik Rasna
menggeleng-gelengkan kepalanya sambil meletakkan dulang
yang berisi air Milo ais kesukaan dua beradik itu di atas meja
kopi.
Darissa menjeling ke arah Dayana. Kan tak
pasal-pasal dah kena marah!
“Adik mau makan enggak? Jika mahu, bibik
panaskan ya?”
Dayana menggeleng perlahan.
“Tak naklah, bik. Tadi saya sudah makan.”
Bibik Rasna mengangguk dan berjalan menuju ke
dapur. Belum separuh jalan dia melangkah, dia berhenti dan
berpatah balik.
“Usah ribut-ribut lagi ya? Bising, bibik mau solat
asar. Sudah hampir lewat ni.”
Serentak dua beradik itu mengangguk. Bibik Rasna
ini jangan dibuat main-main. Dalam rumah ini, dia jadi
‘mem’ yang kedua selepas mama. Mama sudah memberi
kuasa penuh kepada bibik untuk menjadi mata kedua mama
kalau mama tiada di rumah. Yalah, sudah hampir 20 tahun
Bibik Rasna menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.
“Malam ni kita keluar pergi tengok wayang ya. Tadi
Yana singgah KLCC beli tiket,” ujar Dayana apabila susuk
tubuh Bibik Rasna hilang di sebalik dinding dapur. Sambil
itu tangannya mencapai air yang diletakkan oleh pembantu
rumah mereka tadi.
“Wayang cerita apa?”
“Alah, terima sajalah cerita apa pun yang Yana dah
beli. Dan yang lebih penting, malam ni kakak tak payah bawa
Kancil buruk tu. Ada orang yang akan ambil kita nanti.”
“Siapa?” Darissa berminat hendak tahu.
“Abang Hakim.”
“Hakim?” Darissa menyebut kembali nama Hakim
dengan nada kecewa. Punyalah dia berangan ingatkan adiknya
dah ada buah hati, rupanya Hakim. Huh!
“Kenapa ajak Hakim? Bosanlah asyik tengok muka
dia aje. Baru tengah hari tadi kakak jumpa dia.”
“Suka hatilah! Yana yang belanja, jangan nak banyak
songeh pulak. Kalau kakak tak nak, biar Yana sajalah yang
keluar dengan Abang Hakim malam nanti.”
“Eh, mana boleh Yana keluar berdua dengan dia aje?
Kakak nak ikut!”
Yana mencebirkan mulutnya sedikit.
“Cakap dah bosan asyik tengok muka dia. Tapi bila
adik sendiri nak keluar berdua pun tak kasi. Cemburulah tu!”
Darissa buat-buat tidak tahu saja dengan sindiran
Dayana.
“Yana naik atas dululah, nak berehat sekejap. Jangan
kacau, Yana letih sangat ni. Nanti lepas maghrib Abang Hakim
datang ambil kita. Kakak bersiaplah cantik-cantik sikit. Biar
terbeliak mata Abang Hakim tengok. Jangan lambat, tiket
wayang pukul 8.30.” Dayana bangun mengangkat beg galas
dan berlalu pergi.
Tiada soalan susulan lagi daripada Darissa. Malas
nak membalas apa-apa sebab kasihan melihat wajah adiknya
yang nampak letih dan juga tak mahu nanti perbahasan jadi
panjang lebar.
Darissa menghantar kelibat Dayana naik ke tingkat
atas dengan ekor mata. Kemudian, dia tersenyum sendiri. Ada
ke siap pesan suruh bersiap cantik-cantik? Adiknya memang
suka dan sayang betul dengan Hakim. 24 jam asyik memuji
melambung saja kerjanya. Sama jugalah dengan mama.
Sebenarnya, tak perlu susah-susah adik dan
mamanya memuji Hakim siang malam. Nak dibandingkan
dengan mereka, dia lebih mengenali perangai Hakim. Tak
perlu dipuji kerana dia sememangnya tahu bahawa Hakim itu
lelaki yang sangat baik. Tengoklah tunang siapa, kan? Tunang
Intan Darissa, mestilah baik dan elok budi pekerti. Memang
bertuah badan dapat tunang yang kacak, tegap, pandai dan
baik macam Afif Hakim.
Eh, eh... kenapa tiba-tiba boleh nak puji tunang
sendiri pula?

My Miss Universe - Bab 8

ANGIN bertiup lembut sepoi-sepoi bahasa namun
mentari yang terik memancar tetap terasa menggigit-gigit
seluruh kulitnya yang putih gebu itu. Walaupun dilindungi
bumbung, namun percikan bahang mentari tetap
mengurangkan rasa kedinginan angin petang. Sebahagian
besar warga kampus sudah ramai yang pulang ke destinasi
masing-masing. Habis saja kuliah tadi, tanpa melengahkan
masa, masing-masing meninggalkan pekarangan universiti
yang besar ini. Semuanya gara-gara cuti semester yang sudah
bermula.
Darissa mengeluarkan tisu dari beg galas seraya
mengesat sedikit titik-titik peluh yang mula kelihatan di
beberapa bahagian muka. Sudah lebih 15 minit menunggu,
jangan kata bayang bas, bunyi enjin bas pun haram tak ada.
Bosannya! Rindu pula pada Kancil buruk Hakim.
Selalunya jika ke mana-mana, memang Hakim yang akan
jadi pemandu tidak berbayarnya. Memang sejak melanjutkan
pelajaran, Hakim yang akan jadi tukang ambil dan hantar dia
ke kuliah. Hujung minggu pula mereka akan keluar berjalan
atau pulang ke rumah bersama-sama.
Tetapi, sejak Hakim buat pengakuan berani mati 2
minggu lepas, sejak itulah dia menjadi pengguna tetap bas
dan teksi. Apabila Hakim datang ambil di hostel, cepat-cepat
dia akan melarikan diri dengan menumpang teman sebilik
yang lain atau beri apa saja alasan supaya Hakim tidak perlu
muncul depan mata. Termasuklah hari ini, walaupun dia tahu
leceh hendak pulang ke rumah naik bas, tapi akan digagahkan
juga.
“Wei, Rissa! Apa benda lagi yang kau duk termenung
tu?” Faezah mencuit bahu Darissa dengan kasar, membuatkan
bahu Darissa sedikit terhinggut. Segera dia melihat ke arah
Faezah dan Sazali yang turut sama-sama menunggu bas di
situ.
“Buah hati dah ada depan mata, masih nak berkhayal
panjang lagi,” sindir Sazali nakal.
“Amboi mulut... buah hati apa pulak ni?” Darissa
bersuara dengan nada tidak puas hati apabila diusik oleh
temannya itu.
“Tu... peminat setia kau.” Sazali memanjangkan
muncung ke arah jalan raya. Kemudian memandang Faezah
dan mereka sama-sama ketawa.
Darissa menoleh. Melihat seorang lelaki bertubuh
tegap, tinggi lampai dan berkulit hitam manis bersandar pada
keretanya di seberang jalan sana.
“Dia buat apa dekat situ?”
“Buat apa lagi? Tunggu kaulah. Dari tadi dia tengok
kau aje. Aku pun tak sampai hati nak biar dia tunggu
lama-lama,” jawab Sazali.
“Cara dia perhatikan kau, macam takut sangat ada
orang nak culik Miss Universe dia ni. Bertuah betul ada
peminat setia macam abang hitam manis tu, kan?” Sekali lagi
Faezah ketawa terkekek-kekek. Begitu juga dengan Sazali.
Bukan main lagi mereka berdua mengusik.
Darissa mengeluh. Telinganya rasa seperti sudah
kebal dengan panggilan Miss Universe. Hampir satu kampus
sudah mula memanggilnya dengan gelaran itu.
“Pergilah cepat, Rissa. Mr. Universe kau dah lama
tunggu tu. Kesian dia duduk berjemur lama-lama bawah
matahari,” tambah Sazali lagi.
“Mr. Universe?” Darissa kerut dahi.
“Yalah. Kalau kau Miss Universe, dah tentulah gelaran
terbaik untuk pasangan kau pula ialah Mr. Universe! Sedang
eloklah tu, kau cantik macam Miss Universe, dia pula sado
dan gagah macam Mr. Universe,” Sazali tersenyum-senyum
dengan gelaran yang diberi sendiri olehnya.
“Tapi, aku tak minat lelaki badan ketul-ketul macam
Mr. Universe tu. Gelilah!” Darissa buat muka geli.
“Eh, badan abang hitam manis tu tak adalah berketul
sangat. Just nice... tegap, tinggi, macho, gagah bergaya dan
kacak.” Faezah memuji.
“Eiii... tak penat ke korang semua nak jadi tukang
puji dia siang malam? Berkarat tahi telinga aku ni dengar
pasal dia aje,” Darissa buat muka geli. Dia mendengus.
Namun dengusannya itu hanya dibalas oleh ketawa sinis
Faezah dan Sazali.
“Kau tak sudi ke nak bercinta dengan Hakim?
Walaupun kulit dia gelap, tapi siapa yang boleh nafikan aura
kekacakan dia tu? Hidung mancung, badan tegap, pandai
tekwando pulak tu. Selamat dan terjamin kalau berada di
samping dia. Kalau kau tak nak, ramai lagi yang beratur
menunggu nak rembat. Tak pun kau pass aje dia tu dekat
aku,” Faezah sekadar mengusik.
“Kau ingat dia tu barang ke nak main pass-pass?”
Darissa membulatkan mata.
“Dah kau jual mahal sangat. Kenapa? Takut cemburu
ke kalau tengok aku bercinta dengan dia nanti?” Faezah
angkat kening, namun Darissa hanya mencebik.
“Isy... kalaulah aku ni dianugerahkan wajah sekacak
dan setegap hero Hindustan macam Hakim, alangkah
bagusnya. Maskulin habis! Mesti berpusu-pusu perempuan
tergila-gilakan aku. Masa tu aku dah tak hairan nak kejar
Miss Universe dah, sebab segala ratu cantik yang akan kejar
aku pulak. Miss World, Miss Flora and Fauna, Miss Beauty
and The Beast, segala mak datuk miss yang ada dalam dunia
inilah!” Sazali menambah. Sambil-sambil itu mengenyitkan
mata kepada Faezah yang tergelak besar dengan usikan itu.
“Dah! Cukup!” Darissa tayang muka geram.
“Sikit-sikit Hakim, sikit-sikit Hakim. Hero Hindustanlah,
itulah... inilah... macho sangat ke dia tu sampai korang tak
habis-habis memuji? Macam lemang hangus adalah!”
“Macho!” Serentak kedua-duanya menjawab.
Darissa mencebikkan muka. ‘Ya Allah, kenapalah
budak dua orang ni memuji sangat lemang hangus tu!’
“Pergilah, Rissa! Pemandu peribadi kau dah lama
sangat tunggu. Mana tahu kalau-kalau hari ni dia nak bawa
kau naik kereta dia terbang ke kayangan ke...” cuit Faezah
ke bahu Darissa. Kasihan melihat Hakim yang sudah lama
menunggu di bawah panas terik.
Darissa mengeluh lagi. Buku-buku kuliah berserta
fail dikepit. Beg galasnya ditarik malas. Dia bingkas berdiri.
“Yalah, yalah! Aku ni dah ada pemandu peribadi. Nak
buat apa susah-susah naik bas, kan? Nanti makan gaji buta
pulak si lemang hangus tu!” Darissa bercakap sedapkan hati
sendiri.
“Nak tumpang?” soal Darissa kepada kedua-dua
orang sahabatnya.
“Tak naklah! Nanti kita orang tak tahu jalan balik
kalau dah sampai ke kayangan nanti...”
Jawapan Sazali mengundang ketawa besar Faezah,
namun tidak bagi Darissa. Dia hanya menjelirkan lidah lantas
cepat-cepat melangkah menyeberang jalan, meninggalkan
teman-teman sekuliah yang masih lagi tak putus-putus
ketawa.
“Nak buat apa tunggu aku? Menyibuk aje!” Laju saja
Darissa melintas jalan yang lengang. Lelaki di hadapannya
hanya tersenyum sambil memandangnya dengan mata yang
penuh sinar.
“Dipersilakan masuk my Miss Universe.” Lelaki itu
membuka pintu kereta untuknya. Darissa terus memboloskan
tubuhnya ke dalam perut kereta. Pintu ditutup dan Hakim
segera masuk ke dalam kereta.
“Nak balik terus ke?” soal Hakim.
“Baliklah, nak pergi mana lagi? Takkan kau nak bawa
aku pergi daftar masuk pertandingan ratu cantik pulak?”
Darissa menyindir selamba. Dalam pada itu sempat dia
menjeling tajam.
“Eh, memanglah tak boleh,” sanggah Hakim laju.
“Kecantikan ratu cantik di sebelah aku ni hanya milik aku
seorang aje. Gila nak kongsi dengan satu dunia! Melepas gigit
jari aku karang.” Hakim tersenyum nakal.
“Excuse me, kalau tak masuk pertandingan ratu
cantik pun, belum tentu aku akan jadi milik kau. Jangan nak
berangan sangatlah!”
Hakim hanya ketawa. Darissa menjeling tajam.
Enjin kereta dihidupkan. Kereta Kancil putih
bergerak perlahan meninggalkan pekarangan universiti yang
semakin lengang. Masing-masing diam tanpa bersuara.
Hakim membuka radio dan lantas lagu Bencinta
dendangan Faizal Tahir berkumandang. Lagu yang telah
menjadikan Darissa peminat setia penyanyi itu. Dengan ekor
mata, Darissa menjeling Hakim. Namun, jelingannya dapat
ditangkap oleh Hakim.
“Cantiknya orang tu bila mata dia menjeling. Tajam
menikam!”
Darissa mengeluh perlahan. Sudah terlalu kerap
dia mendengar pujian sebegitu. Tidak pernah putus
Hakim mengeluarkan segala kata-kata pujian kepadanya.
Sehinggakan kadang-kadang dia berasa keliru, adakah pujian
itu benar-benar dimaksudkan atau sekadar lakonan untuk
mengambil hatinya sahaja?
“Tapi, buruknya muka orang tu bila dia
tersengih-sengih. Sebiji macam kera kena belacan!” Darissa
membalas kasar. Sengaja hendak sakitkan hati Hakim.
“Buruk-buruk kita pun, semua sister-sister dekat
uni tu tergila-gilakan tau,” Hakim membalas bangga.
“Mata sister-sister tu semua rabun. Ada ke lemang
hangus macam kau ni boleh jadi jejaka pujaan? Tak ada taste
langsung!” Darissa memerli lagi. Kalau Hakim menggelarkan
dia Miss Universe, jadi elok saja dia gelarkan Hakim dengan
panggilan lemang hangus bersempena dengan kulit Hakim
yang hitam, memang sesuai sangat!
“Lemang hangus?” Hakim menyebut kembali
gelaran yang baru saja diucapkan oleh Darissa sebentar tadi.
Sambil-sambil itu dia tergelak kecil.
“Lemang hangus pun hanguslah. Janji aku ni
memang hero pujaan kampus. Kau tu nak mengata orang
lain tak ada taste konon... bukan ke taste kau pun kulit gelap
dan hitam macam aku ni? Kau minat Faizal Tahir dengan
Dayang Nurfaezah, pelakon kesukaan kau pula Will Smith.
Jadi, sudah pasti lelaki lemang hangus macam aku ni boleh
tersenarai jadi jejaka pujaan kau jugak, kan?” Hakim ketawa.
Bertambah besar tawanya apabila melihat Darissa terdiam.
Memang hakikatnya artis-artis kesukaan Darissa semuanya
yang jenis berkulit hitam manis.
Setengah perjalanan, kereta dihalakan ke restoran
makanan segera.
“Aku tak laparlah. Buat apa datang sini?”
“Miss Universe, kalau kau tak lapar pun, boleh tak
kalau kau temankan aku makan sekejap? Emak dengan ayah
aku balik kampung, tak ada makanan dekat rumah. Kesian
aku mati kebulur nanti.” Hakim buat muka sedih sambil
memarkirkan keretanya.
“Tak payah makan dekat sinilah... mama masak sup
tulang hari ni. Dia ajak kau makan sekali.”
“Kenapa tak cakap awal-awal? Kalau mama yang
masak, berlari balik pun aku sanggup datang!” Hakim
menjerit kecil.
“Tapi ini mama yang ajak tau, bukan aku!”
“Tahu... kau memang tak ajak makan, tapi kau ajak
kahwin terus!” Hidung Darissa ditarik menyebabkan Darissa
menjerit kuat.
“Nak pergi mana pulak tu?” soal Darissa kehairanan
apabila melihatkan Hakim membuka pintu kereta dan
keluar dari kereta itu. Hidung yang merah digosoknya
perlahan-lahan. Tangan macam raksasa! Nak patah hidungnya
dibuat Hakim.
“Tunggu aku 5 minit. Ada hal kejap.”
Darissa mengeluh. Lehernya dipanjangkan untuk
menjejaki ke mana arah Hakim yang pantas. Hatinya
tertanya-tanya arah tujuan Hakim. Sejurus kemudian lelaki
itu datang dengan membawa dua jambangan bunga. Satu
warna kuning dan satu lagi warna putih.
“Bunga apa ni?”
Hakim ketawa mendengarkan soalan Darissa.
“Nama aje anak tauke bunga. Nama-nama bunga
pun tak tahu. Yang kuning ni bunga carnation dan sejambak
lagi ni bunga lily. Kedua-duanya bunga kesukaan mama.”
“Nak buat apa beli bunga? Membazir aje. Dekat
nurseri mama berlambak bunga macam ni,” rungut Darissa
apabila jambangan bunga itu diletakkan di pahanya. Mamanya
memang pengusaha bunga, jadi sudah tentulah pelbagai jenis
bunga ada di nurseri mamanya itu.
“Kenapa? Cemburu ke tak dapat bunga?” Hakim cuba
menarik hidung Darissa lagi, namun cepat Darissa mengelak.
“Eiii... nak cemburu dengan mama? Tak terlintas
sikit pun!”
“Yalah tu... macamlah aku tak tahu muka merajuk
kau tu macam mana. Nampak aje tak kisah, tapi sebenarnya
cemburu sebab mama sorang aje yang dapat bunga. Jangan
risau, untuk Miss Universe aku pun mestilah ada jugak...”
Hakim menarik 3 kuntum mawar merah yang diselitkan
di belakang seluarnya lalu dihulurkan kepada gadis
kesayangannya itu.
Wajah Darissa bertukar kemerah-merahan. Terasa
malu pula apabila Hakim berbuat demikian.
“Aku tahu kau sebenarnya suka mawar putih, tapi
mawar putih dah habislah. Aku ganti dengan mawar merah.
Janji dapat bunga. Suka tak?” kata Hakim saat kuntuman
mawar bertukar tangan.
Darissa tersenyum manis lantas mencium haruman
mawar merah itu. Walaupun dia tidak berapa tahu sangat
pasal bunga, tapi dia memang cukup minat dengan bunga
mawar. Kerana itulah mama selalu suruh bibik hiaskan bilik
tidurnya dengan bunga-bunga mawar segar. Supaya lebih
kelihatan cantik dan mewangi.
“Lagipun, mawar merah ni ada maksud tersirat,”
ujar Hakim sambil merenung Darissa. “3 kuntum mawar
mewakili maksud aku cintakan kau.”
Darissa terpaku.
“Or it can be... I miss you? Or I want you?”
Darissa tambah terkelu.
“Three roses might also mean... Hakim and Darissa
or Darissa and Hakim. Or maybe...”
“Kim, stop it!” Darissa segera mencelah. Mematikan
segala percakapan Hakim. “Aku tak sukalah dengar kau
merepek macam ni.”
“Merepek? Bila masa pulak aku merepek?” Hakim
membulatkan matanya.
“Semua inilah. Semua benda yang kau buat sekarang.
Bunga mawar, handphone... lebih-lebih lagi pengakuan yang
kau buat masa pembentangan dalam kelas kau. Aku tak suka
kau main-main macam ni.”
“Itu semua bukan merepek atau benda main-main,
Rissa. Itu realiti! Aku dah tak sanggup nak berlakon atau
berselindung di sebalik hubungan kawan semata-mata. Kau
perlu tahu apa yang ada dalam hati aku ni. Aku cintakan kau.
Bukan sekarang dan bukan semalam. Tapi sejak pertama kali
kita berjumpa.”
Darissa menggelengkan kepalanya. Kedua-dua
tangannya menekup telinga. Tak sanggup mendengar
kata-kata Hakim.
“Kau perlu tahu yang selama ni aku memang dah
lama simpan perasaan pada kau. Dah lama aku pendamkan.
Sekarang aku tak nak jadi penakut lagi. Aku perlu berterus
terang sebelum segalanya terlambat. Aku nak kau tahu yang
aku bertunang dengan kau sebab aku sayang dan cintakan
kau. Bukan sebab lain.”
Darissa tidak membalas. Dia masih lagi menutup
telinga dengan kedua-dua tangannya.
“Dulu aku takut nak dekat dengan kau walaupun
hati aku ni siang malam terbayangkan kau aje. Aku yakin,
pertunangan kita walaupun berlaku dengan tidak dirancang,
tapi ia adalah jalan yang Allah bukakan untuk aku memiliki
kau. Aku tak nak kau anggap yang aku bertunang dulu
semata-mata sebab kasihan atau simpati. Aku sayang, cinta
dan sanggup buat apa saja untuk kau. Dan kalau boleh, aku
nak kau juga terima aku dengan perasaan yang sama. Kalau
kita berkahwin nanti...”
“I said stop it!” tengking Darissa. Matanya membulat.
“Aku tak nak dengar benda-benda macam ni lagi!”
“Kenapa, Rissa? Apa yang salah dengan kata-kata aku
tadi?”
Darissa tak menjawab.
“Rissa, aku tak faham... kenapa kau mesti mengelak
bila aku nak bercakap pasal soal hati dan perasaan, tentang
cinta dan rindu? Kenapa kau nak marah bila aku cakap, aku
cintakan kau? Kenapa?”
“Because it hurts!” Air mata Darissa mula mengalir
laju. Merah padam matanya memandang wajah Hakim.
Hakim terdiam tiba-tiba. Membatu tanpa suara.
“Kalau kau nak hubungan kita terus kekal,
tolonglah... jangan cakap pasal hal ni lagi. Aku tak sanggup,”
Darissa sudah menangis tersedu-sedan. Air matanya sudah
merambu jatuh.
“Kau tahu yang aku takkan biarkan kau sedih dan
terluka, kan?” balas Hakim perlahan.
“Bercakap soal cinta saja dah cukup membuatkan
aku terluka, Kim. Tolonglah... tolong jangan bercerita soal
hati dan perasaan lagi. Aku betul-betul tak sanggup!”
“Habis tu, kalau kita tak bercakap soal cinta
sekarang, bila lagi waktu yang sesuai untuk kita bercakap
mengenainya? Kau sedar yang kita dah bertunang dan suatu
hari nanti kita akan berkahwin, kan?”
Darissa menggeleng laju.
“Semuanya belum pasti lagi, Kim. Kalau kau rasa
kita perlu berkahwin semata-mata sebab dah bertunang,
aku sanggup putuskan saja pertunangan kita ni. Aku tak nak
berkahwin semata-mata disebabkan nak balas budi kau yang
sanggup jadi pak sanggup gantikan Iqram dulu.”
Hakim menundukkan wajahnya. Pedih! Pedih
sungguh rasa hati mendengarkan kata-kata yang keluar
daripada mulut Darissa. Jika diikutkan, mahu juga dia menjerit
melepaskan kecewanya. Sangkanya dia akan beroleh cinta
yang diharap-harapkan. Tapi, ditolak mentah-mentah tanpa
diberi kesempatan langsung. Hancur remuk mengenangkan
cintanya yang belum mampu dibalas. Malah Darissa lebih
rela memutuskan ikatan pertunangan mereka daripada cuba
untuk menyambut salam cintanya ini.
Sakit, pedih, hampa. Semuanya bersatu. Namun,
apabila melihatkan Darissa yang tersedu-sedan, membuatkan
hati Hakim lembut. Mungkin benar bahawa masanya belum
sesuai lagi untuk mereka berbicara tentang hati, cinta dan
perasaan. Mungkin luka yang berada dalam hati Darissa
belum betul-betul sembuh dan terubat.
“Baiklah. Aku janji aku tak sentuh lagi pasal benda
ni.” Perlahan saja suara yang keluar daripada mulut Hakim.
“Demi membuktikan yang aku betul-betul sayangkan kau,
aku takkan mendesak kau lagi. Aku hormati permintaan
kau. Sebagai balasan, kau perlu berjanji yang kau takkan
sebut pasal putus tunang lagi. Walau apa pun yang terjadi,
kau tetap tunang aku dan jangan sesekali kau berani minta
putus. Biarlah tak ada sesiapa dekat kampus yang tahu, tapi
kau harus sedar dan faham bahawa aku, Afif Hakim adalah
tunang kau dan aku tak izinkan kau sebut perkataan putus
tunang sampai bila-bila. Faham?”
Darissa tidak menjawab. Sebaliknya hanya tangisan
sayu yang menguasai segenap suasana.
“Dan kau kena ingat, aku mengalah hanya untuk
kali ini saja. Aku rela pendamkan semuanya hanya untuk
sementara waktu. Bila tiba masanya nanti, aku akan kembali
menuntut balasan cinta daripada kau. Mungkin setahun,
mungkin dua tahun. Aku akan setia menunggu. Aku tahu
suatu hari nanti kau pasti akan menyedari bahawa kau juga
cintakan aku. Aku akan buat kau sedar bahawa kita berdua
memang ditakdirkan untuk bersama. Suatu hari nanti kau
akan terima aku sebagai kekasih, tunang atau suami kerana
rasa cinta dan bukan semata-mata untuk membalas budi. Kau
kena ingat sampai bila-bila yang hati aku memang cintakan
kau sepenuh hati. Tak kiralah apa pun yang terjadi dulu,
sekarang atau masa hadapan, Afif Hakim tetap akan cintakan
Intan Darissa sampai hujung nyawa.”
Darissa menundukkan wajah. Semakin sayu hatinya
mendengarkan kata-kata Hakim yang panjang dengan penuh
mendalam dan bermakna. Habis lencun tudungnya menjadi
kain mengesat air mata yang mengalir.
Hakim menghidupkan enjin kereta dan
perlahan-lahan dia memandu menuju jalan ke rumah Darissa.
Darissa mengintai sedikit melalui ekor mata.
Hakim kelihatan begitu serius. Melihatkan riak wajahnya,
dapat Darissa tafsirkan betapa kecewanya Hakim ketika
ini. Memang tidak dapat dinafikan, tiada siapa yang dapat
menandingi kedudukan Hakim dalam hati Darissa. Namun,
dia takut untuk membuka perasaan cinta walaupun untuk
Hakim, tunangnya sendiri. Luka lama terlalu dalam rasanya
hingga menjadikan dia seorang manusia yang takut untuk
menerima dan memberi cinta.
‘Argh... Hakim! Sesungguhnya kau lelaki yang amat
baik. Mungkin saja masa akan mengubati segala luka yang
ada dan pada ketika itu aku mampu untuk menerima kau
sebagai orang yang istimewa selain daripada sahabat sahaja.
Ya, hanya masa yang akan menentukan segala-galanya...’

My Miss Universe - Bab 7

“KIM... berilah balik handphone aku. Aku nak
pakailah.”
Hakim tersenyum sambil menyanyi-nyanyi kecil.
Buat muka selamba dan tak bersalah.
“Kim, cepatlah! Berdosalah curi barang orang.
Kau tak belajar agama ke?” Wajah Hakim dipandangnya.
Masam. Tiada secalit senyuman diberi walaupun Hakim tak
habis-habis meleretkan senyuman lebar. Kalau tidak kerana
hal penting, tak kuasa dia datang mencari Hakim di kantin
hari ini.
Sejak pengakuan berani mati Hakim tempoh hari,
kalau boleh dia tidak mahu duduk semeja dengan lelaki itu.
Tidak mahu nanti teman-teman lain menganggap bahawa
dia telah menerima luahan hati Hakim dan takut sekiranya
orang tersalah anggap dia dengan Hakim dah bercinta
pula. Gosip-gosip orang, memang cepat sangat nak bertiup.
Tambah-tambah lagi dekat kampus ni, memang sepantas
kilat gosip liar akan berterbangan. Bahaya!
“Hakim... kau dengar tak, apa yang aku cakap ni?
Pulangkan balik handphone aku. Nanti kalau mama nak
mesej atau telefon, susahlah!” Darissa mendesak lagi. Ingin
cepat-cepat selesaikan hal ini agar dia boleh segera beredar
dari situ. Dia sendiri tidak sedar bila masa Hakim mencuri
telefon bimbitnya dek ralit mencari bahan bacaan di
perpustakaan kelmarin. Mujur Sazali, teman sebilik Hakim
memberitahunya.
Tanpa menghiraukan desakan Darissa, Hakim
hanya buat muka selamba sambil duduk menopang dagu
memerhatikan wajah Darissa. Lama dia merenung hingga
membuatkan Darissa jadi serba tidak kena.
“Kim, kau dengar ke tak apa yang aku cakap
tadi?” Darissa menyoal dengan nada gelisah. Cara Hakim
memandangnya macam kucing yang tengah perhatikan
tuannya memotong ikan. Tak berkelip-kelip!
“Dengar,” Hakim menjawab sepatah.
“Habis tu, kenapa tak jawab? Asyik tenung muka aku
aje.”
“Saja... aku tengah buat analisis muka orang depan
aku ni. Peliklah... kenapa makin ditenung, muka kau makin
nampak lawa, ek? Eh Rissa, kau tak risau ke ada pakej yang
sempurna macam ratu cantik? Sudahlah kulit putih mulus,
tinggi lampai, walaupun sekarang dah pakai tudung, tapi kalau
masuk pertandingan Miss Universe, mesti senang-senang aje
kau boleh kalahkan wakil daripada seluruh dunia yang lain,”
ujar Hakim bersungguh-sungguh.
Darissa mendengus.
“Kim, kau tak payahlah nak puji melangit sangat.
Aku datang sini jumpa kau sebab nak minta telefon aku
semula. Itu aje, bukan nak dengar ayat jiwang karat kau
itulah!” Darissa bersuara tidak puas hati.
“Siapa cakap telefon kau ada dekat aku? Muka aku ni
ada macam pencuri ke?” Hakim tersenyum nakal.
Darissa mengeluh.
“Kalau kau tak ambil, tak apalah. Aku pergi
tanya orang lain.” Darissa segera bangun. Malas nak layan
lama-lama otak senget Hakim.
“Tapi memang aku yang ambil pun,” cepat-cepat
Hakim bersuara.
Darissa membulatkan biji mata. Dia duduk semula.
“Habis tu, mana telefon aku? Bak sini,” Darissa
menghulurkan tangan ke arah Hakim.
“Telefon kau dah hilanglah.”
Tak cukup besar lagi mata Darissa dibulatkan tadi,
kali ini dibesarkannya lagi dengan kenyataan tak bersalah
Hakim itu.
“Hilang? Kau jangan nak main-main, Kim! Tak
kelakarlah lawak bodoh kau tu.”
“Siapa pulak yang buat lawak bodoh? Memang dah
hilang! Aku lupa mana aku letak semalam. Dah cari banyak
kali pun tak jumpa-jumpa jugak,” Hakim membalas.
“Alaaa...” Darissa mengeluh lagi. Dia sandarkan
badan sambil menyilang tangan. “Ganti balik!”
“Kenapa nak kena ganti pulak?”
“Dah kau hilangkan, mestilah kena ganti balik!”
Darissa membalas dengan nada geram. Sakit hati sungguh!
Itulah, pandai-pandai sangat ambil barang orang tanpa
kebenaran, tengoklah sekarang apa dah jadi? Urgh!
“Hakim, kau ingat dengan tersenyum macam ni,
boleh dapat balik telefon aku yang hilang tu ke? Tak ada
maknanya!” Darissa menjeling masam apabila Hakim hanya
tersengih-sengih macam kerang busuk.
“Eleh... kau ingat aku tak boleh ganti ke? Aku boleh
beli 10 telefon macam kau punya tu tau.”
‘Ek eleh mamat ni. Dah hilangkan barang orang nak
tunjuk lagak lagi.’ Darissa mengata sendiri dalam hati.
“Banyak sangat ke duit kau tu?” Darissa memerli.
“Banyak tu tidaklah. Tapi sejak jadi tutor ni,
simpanan aku boleh kira cukuplah kalau nak buat kahwin.”
Darissa mencebik. Memang sejak masuk universiti,
Hakim banyak membuat kerja luar dengan menjadi tutor
dan guru tuisyen. Dan sememangnya Hakim itu bukan jenis
yang suka berjoli sakan atau membazir tidak tentu hala, jadi
mungkin saja duit simpanannya hasil mengajar sudah banyak
dan beribu-ribu ringgit.
“Belajar tak habis lagi dah sibuk nak cakap pasal
kahwin,” perli Darissa lagi.
“Eh, kalau nak buat perancangan awal apa salahnya?
Nanti senang bila dah habis belajar terus naik pelamin aje.
Lagipun aku bukan bercakap dengan orang lain, tunang
sendiri jugak. Betul tak?” Mata Hakim bersinar-sinar apabila
menyebut perkataan ‘tunang’ itu.
“Jangan nak tukar tajuklah! Orang minta ganti
telefon, sengaja nak tukar topik pulak. Tak nak gantilah tu...”
Darissa tidak suka Hakim mula menyebut perkataan ‘tunang’.
Takut pula kalau ada sesiapa yang terdengar, habis pecah
rahsia!
“Siapa cakap aku tak nak ganti?” Hakim memainkan
jemarinya di atas meja. “Aku boleh ganti balik hari ni jugak,
tanpa sebarang masalah. Tapi, dengan syarat!”
“Kalau ganti dengan ikhlas tak boleh ke? Main
syarat-syarat pulak. Syarat apa yang kau nak aku buat kali ni?
Panggil kau sayang lagi ke?”
“Eh, panggil sayang tu senang sangat. Kali ni kalau
kau nak aku ganti telefon tu, kau kena cium aku dulu. Boleh?”
Hakim sengaja mengusik.
Darissa menjelirkan lidah. Dah gila!
“Boleh tak? Kalau kau setuju, aku belikan handphone
yang paling canggih sekali dekat dalam dunia ni.” Hakim
mengangkat-angkat keningnya. Begitu senang sekali hatinya
dapat mengusik Darissa. Nak suruh cium betul-betul? Hei...
nak mampus? Kena buang universiti baru tahu!
“Tak hingin!” Darissa buat muka geli.
“Tak hingin? Eiii... dah fikir betul-betul ke? Bertuah
tau siapa yang dapat cium pipi karat lelaki pujaan kampus ni.”
Hakim tergelak-gelak.
Darissa buat muka. Gelinya dengar orang perasan
memuji diri sendiri. Loya tekak mendengarnya. Sudahlah tu,
nak menggatal pula.
“Nak tak?” Hakim menyoal sekali lagi.
“Tak nak!” Darissa menjawab laju dan yakin.
“Betul tak nak ni?”
“Tak naklah! Tak hingin!”
“Kalau tak nak, tak apa. Belilah telefon pakai duit
sendiri...” Hakim bersuara mengejek.
Panjang muncung Darissa. Dalam hati ada juga rasa
seperti mahu menangis. Tak baik sungguhlah Hakim main
syarat begini. Kalau dah hilangkan barang orang, adatlah
kena ganti balik. Tapi, kenapa nak kena bersyarat pula?
Rasanya seperti dah kena ugut, bukan syarat lagi dah!
Hakim hampir saja nak tergelak besar melihatkan
muncung Darissa yang panjangnya kalau diukur, mungkin
boleh diikat dengan reben. Comel betul!
“Tak nak ganti sudahlah!” Darissa menjeling tajam.
“Aku boleh beli sendirilah. Tak hairan!”
“Betul kau nak beli sendiri? Tak menyesal?
Kalau macam tu, terpaksalah aku beri pada orang lain aje
handphone yang aku baru beli ni...” Lantas Hakim mencapai
beg sandangnya lalu mengeluarkan kotak telefon bimbit dari
dalam beg itu.
Mata Darissa kembali membulat. Hakim ini kan,
memang sengaja tau! Dah beli yang baharu pun. Sengaja
mahu menyakat!
“Apa tengok-tengok? Nak ke?” Hakim tersenyum
sinis sambil membelek kotak telefon bimbit baharu itu.
Darissa diam. Mengangguk tidak, menggeleng
lagilah tidak. Nak jawab apa? Mestilah nak. Tapi...
“Aku nak kasi percuma ni. Nak tak?” Hakim bertanya
sekali lagi.
“Nak, tapi...”
“Tapi apa?”
“Tak naklah cium kau...”
Suara ketawa Hakim akhirnya pecah. Dia
menggelengkan kepala. ‘Darissa, Darissa... lurus bendul
jugak kau ya? Takkanlah kau percaya aku nak suruh kau cium
depan orang ramai ni? Kalau tak ada orang boleh juga. Ceh!’
“Yalah, yalah... aku tak suruh kau cium. Takut
sangat! Nah, ambillah.” Kotak itu bertukar tangan.
“Eh, telefon ni model sama macam kau,” Darissa
bersuara setelah kotak tersebut berada di genggamannya.
Apabila dikeluarkan, memang sah seratus-peratus sama!
“Memang sama pun.” Hakim mengiakan. “Kad
telefon pun aku dah belikan. Dah siap masukkan dalam
telefon tu. Ini nombor baharu kau,” Hakim menunjukkan
skrin telefon bimbitnya kepada Darissa.
Darissa berkerut-kerut membaca nombor yang
tertera di skrin telefon bimbit Hakim itu. Eh, nombor ini
seperti sudah biasa dia hafal. Kalau tak silap, ini nombor yang
selama ini dia pakai. Nombor lama, bukannya nombor baharu
pun!
“Lepas tu, kau rasa telefon ni sesuai tak kalau nak
beri adik aku pakai? Daripada buang, baik sedekah dekat dia,
kan?” Hakim menayangkan telefon bimbit berwarna putih
yang baru dikeluarkan dari begnya.
“Kim, itu aku punya!” Darissa menjerit kuat apabila
melihat telefon bimbit yang berada di tangan Hakim.
“Eh, ya ke? Bukanlah...” Hakim buat muka selamba.
Dahinya sengaja dikerutkan.
“Ya... itu memang aku punya! Kau sengaja sorokkan,
kan?” Darissa menjegilkan mata memandang Hakim. “Kau
sengaja cakap dah hilang, tapi sebenarnya ada!”
Hakim ketawa geli hati. Memang dia sengaja
sembunyikan telefon bimbit Darissa. Dia hendak hadiahkan
Darissa sebuah telefon bimbit baharu yang sama jenama
dengannya. Baru rasa seperti pasangan sehati sejiwa. Tapi,
kalau cakap terus terang dengan Darissa, mesti dia takkan
setuju. Jadi, terpaksa guna cara begini barulah Darissa tak
boleh buat apa-apa dan terima saja.
“Bak balik handphone aku tu!”
“Tak boleh!” Hakim seakan mengejek.
“Bagilah... aku nak pakai!”
“Alah... aku dah beri yang baharu, pakai ajelah yang
tu. Yang lama ni, aku simpan.” Hakim mengenyitkan mata.
“Okeylah Cik Intan Darissa, aku ada kelas ni. Nanti petang
aku telefon handphone baharu kau tu ya?” Cepat-cepat
Hakim terus meminta diri. Serentak dengan itu dia mencapai
beg galas dan bangun dari tempat duduk.
Darissa mendengus.
“Kim! Janganlah main-main. Aku tak nak yang ni,
bagilah telefon lama tu balik...” Darissa bersuara seakan-akan
merengek.
Namun langsung tidak dilayan oleh Hakim. Hakim
hanya senyum meleret dan terus saja melangkah pergi.
“Afif Hakim!”
Rasanya dia sudah menjerit kuat memanggil
nama itu, namun tetap tidak dipedulikan. Laju saja Hakim
mengatur langkah sebelum berpaling dan menghadiahkan
Darissa senyuman yang cukup lebar.
“Kau boleh dapat balik handphone lama kau ni,
tapi dengan syarat, kau kena mengaku yang kau suka dan
cintakan aku dulu. Tell me that you love me like the way I
love you. Deal?” Walaupun jarak antara mereka sudah agak
jauh, namun dengan jelas Darissa dapat mendengar suara
Hakim berkata-kata.
Darissa tidak menjawab. Hakim kenyit mata
kanannya lalu berlalu pergi meninggalkan Darissa yang
duduk bersandar dengan bibir atas bawah diketap kuat.
Pengakuan cinta mana boleh dipaksa-paksa? Nak
mengaku cintakan dia semata-mata untuk dapatkan telefon
bimbit? Tak mungkin!

My Miss Universe - Bab 6

“DULU masa SPM, Bahasa Melayu abang
Hakim dapat markah berapa? Mesti gagal, kan?”
Hakim menahan tawa yang pecah. Terasa geli
hatinya. Alamak, kan tak pasal-pasal dah kena serangan bom
atom sebiji!
“Aik? Macam mana Yana boleh tahu Abang Hakim
tak pandai Bahasa Melayu ni?”
“Yalah, tak faham-faham bahasa. Dah kakak tak nak
cakap dengan Abang Hakim, nak buat apa telefon lagi?”
“Okey, okey... kalau kakak tak nak cakap dekat telefon
sekarang, tak apalah. Tapi beritahu kakak, abang takkan
mengaku kalah tau. Nanti Abang Hakim akan telefon lagi.”
“Tak payahlah. Buang masa aje nak pujuk si kepala
batu tu!”
“Alah, malam ni mungkin dia tak mahu cakap, tapi
siapa tahu esok-esok dia lembut hati? Tak sia-sia usaha abang
long telefon.” Hakim ketawa geli hati.
“Abang long? Dah mula berangan nak jadi ahli
keluarga ni ke?” Dayana turut ketawa kecil.
“Eh, apa pulak berangan? Abang Hakim memang
tunang kakak. Jadi, tak salah kalau Yana mula panggil abang
dengan panggilan abang long, betul tak?”
“Betul jugak tu, selalu panggil Abang Hakim tak
sedaplah. Kalau abang long bunyinya lebih mesra dan bersifat
kekeluargaan, kan?”
“Kan, kan, kan?” Hakim turut mengiakan sambil
ketawa.
“Yalah, teruskanlah usaha nak memujuk kakak yang
keras kepala tu. Semoga berjaya, abang long!” Dayana tergelak
besar sebelum meletakkan gagang telefon. Tersengih-sengih
dia mendapatkan Darissa yang tak berkelip-kelip memandang
kaca televisyen. Nampak saja seperti sedang menumpukan
perhatian pada rancangan TV, tapi pasti telinganya mencuri
dengar perbualan Dayana dan Hakim sebentar tadi.
“Apasal tiba-tiba pulak Yana boleh panggil Hakim tu
abang long?”
Hah! Kan dah cakap, baru saja nak duduk, soalan
itu sudah ditanya. Jadi, sudah pasti kakaknya pasang telinga
segala apa yang dibualkan dengan Abang Hakim tadi.
“Saja.” Dayana membalas pendek.
“Lain kali jangan dilayan sangat Hakim tu. Otak dia
bukannya betul sangat. Kalau kita layan, makin lama dengan
kita-kita sekali jadi tak betul!” rungut Darissa.
“Apa pulak yang tak betulnya? Yana tengok biasa
aje.” Dayana mempertahankan Hakim.
“Betul Yana. Awak tak tahu kepala otak dia tu macam
mana. Kalau dia waras, takkan dia boleh buat kerja gila
macam siang tadi.”
“Kerja gila apa?”
Darissa diam. Malas hendak bercerita perihal
kejadian siang tadi sewaktu di kuliah.
“Ceritalah... apa benda yang abang kesayangan
orang tu buat sampai kakak cakap otak dia tak betul?” Dayana
terus-terusan mendesak.
“Macam ni, markah Hakim dan tiga empat orang
kawan kelas dia untuk subjek Pengajian Malaysia lemah.
Jadi, pensyarah beri peluang pada mereka untuk buat
pembentangan secara individu sebagai markah tambahan.
Boleh berucap atau bercakap tentang apa saja. Tapi, awak
percaya atau tak Yana... dalam banyak-banyak topik yang
Hakim boleh pilih untuk berucap, dia boleh pulak bercerita
pasal kakak? Depan semua orang dalam kelas, dia bersyarah
dengan panjang lebar tentang kisah dia jatuh hati dengan
perempuan yang bernama Intan Darissa Binti Ahmad Imran!”
Bulat biji mata Dayana mendengarkan cerita
kakaknya. Wah, selamba betul Abang Hakimnya itu!
“Depan pensyarah dia mengaku cintakan kakak?”
“Itulah pasal! Dia cerita dari A sampai Z! Dia kata,
kisahnya bermula waktu dia berumur 16 tahun. Waktu
pertama kali dia nampak gadis yang bernama Intan Darissa
berdiri di hadapan kelas, dia terpaksa mengaku yang dia
sudah jatuh cinta. Dan perasaan itu ternyata masih lagi
membara walaupun sudah bertahun-tahun lamanya.
Dengan kesempatan yang ada sekarang, dia mahu membuat
pengakuan bahawa dia amat mencintai gadis itu. Dan doanya
semoga cintanya akan berbalas.” Darissa bercerita dengan
penuh geram. Sakit hati betul dengan perbuatan Hakim.
“Dia siap main gitar dan nyanyi masa luahkan
perasaan tu. Satu dewan ikut dia menyanyi. Dah macam
dalam konsert!”
“Lagu apa?” Bersungguh-sungguh betul Dayana
berminat hendak tahu.
“Entahlah, tak ingat. Hati dah geram, mana nak fikir
lagu apa tu semua!”
“Abang Hakim tak buka cerita pasal kakak dengan
dia dah bertunang?”
“Berani dia nak buka mulut pasal hal tu? Dia dah
janji, takkan ada sesiapa pun dekat uni yang akan tahu pasal
pertunangan kami. Kalau dia bocorkan rahsia, esok juga
kakak suruh mama putuskan pertunangan ni!” Dengan
yakin Darissa bercakap. Sememangnya, pertunangan antara
dia dengan Hakim menjadi satu rahsia yang harus dijaga
sebaik-baiknya oleh mereka berdua.
Terkejut bukan kepalang waktu dia mendapat
tawaran belajar dulu. Tak sangka, Tuhan aturkan agar dia
belajar di pusat pengajian tinggi yang sama dengan Hakim.
Pada mulanya dia tidak mahu. Tetapi, apabila Hakim
memujuk dan memberi kata janji bahawa mereka akan jadi
seperti sahabat karib sahaja, barulah dia bersetuju.
“Mana kakak tahu semua cerita ni? Kakak bukannya
satu kelas dengan dia pun?” Tiba-tiba Dayana buat muka tak
berapa nak percaya pula. Abang Hakim mengambil jurusan
ekonomi manakala kakaknya pula jurusan undang-undang.
Jadi, mereka bukan rakan sekelas. Bagaimana pula kakaknya
boleh tahu semua perkara dengan jelas pula?
“Walaupun tak sekelas, tapi universiti tu bukannya
besar sangat. Kawan-kawan dia semuanya kakak kenal.
Mula-mula pelik juga bila kawan-kawan kelas dia pandang
kakak lepas tu tersengih-sengih. Balik hostel, kakak tak puas
hati, terus tanya Faezah. Nasib baik jugak kakak duduk sebilik
dengan budak yang satu kelas dengan Hakim. Faezahlah yang
cerita semuanya. Dia cakap, silap-silap hari bulan daripada
markah rendah, Hakim boleh dapat A+ disebabkan ucapan
dia hari ni. Dia bercerita dengan penuh semangat dan
penghayatan. Pensyarah tu pun sama, bukan main suka lagi
dengan keyakinan dan cara Hakim buat pembentangan. Satu
kelas duduk diam, lepas tu bagi tepukan gemuruh bila dia
habis bercerita.” Dada Darissa turun dan naik sama semasa
bercerita.
“Wow! Beraninya dia buat macam tu...” Dayana
menyatakan kekagumannya.
“Berani kepala otak dia! Orang gila aje yang sanggup
buat macam tu. Buat malu betul!”
Dayana tersenyum sendiri mendengarkan cerita
yang baru disampaikan oleh kakaknya. Dalam hati, terbit
rasa kagum kepada Hakim kerana begitu berani bertindak
sedemikian. Terang-terangan meluahkan rasa yang
terpendam dalam hati. Kalaulah ada lelaki yang sanggup
lakukan perkara yang sama kepadanya, mungkin dia akan
berasa kembang habis. Bangga gila!
“Yana dah lama teka Abang Hakim tu memang suka
dekat kakak. Mama pun cakap benda yang sama. Cara dia
pandang dan senyum pada kakak, lain sangat. Tapi, bila Yana
dengan mama cakap, kakak tak percaya. Hah, bila dia dah
luahkan terang-terangan macam ni, barulah nak buat-buat
terkejut.”
“Eleh... dulu masa dekat sekolah tak pernah
nampak pun dia macam suka dekat kakak. Berlagak gila! Nak
menegur kita pun payah. Sekarang ni, alih-alih pulak dia
mengaku depan orang ramai yang dia jatuh hati pada kakak
masa mula-mula nampak kakak dekat sekolah dulu. Nampak
sangat tipu! Sebenarnya dia sengaja cakap macam tu. Dah tak
ada cara lain nak mengurat!”
“Cara macam mana pun tak kisahlah kak... janji
dia dah luahkan apa yang ada dalam hati dia. Mana tahu apa
yang dia cakap tu memang betul. Masa dia sombong dulu
pun kakak selalu jugak puji dia handsome, kan?” Dayana
tersenyum sinis. Keningnya diangkat sedikit apabila Darissa
memandang ke arahnya.
“Yana rasa, apa yang Abang Hakim cakap tu
semuanya betul. Mungkin dia memang dah lama jatuh hati
dengan kakak, tapi tak mampu nak luahkan dulu. Kalau tak,
takkanlah dia sanggup nak bertunang dengan kakak? Yana
yakin dia buat keputusan nak bertunang bukan semata-mata
sebab nak jaga air muka kita, tapi kerana rasa sayang dan
cinta terhadap Intan Darissa,” sambung Dayana lagi.
Darissa merebahkan badan ke lantai. Baring
terlentang sambil mata memandang tepat kipas yang berputar
laju. Sepertimana lajunya kipas itu bergerak, seperti itulah
urat-urat dalam kepalanya ligat memikirkan pengakuan
berani Hakim itu. Hakim, jejaka yang disangkanya tidak
berperasaan, akhirnya mengaku menyimpan rasa cinta
terhadapnya; mengaku bahawa hatinya terpaut pada saat
pertama kali memandang gadis yang baginya cantik setanding
Miss Universe.
Miss Universe? Ya, mengikut pengakuan Hakim,
itulah gelaran yang diberikan kepadanya selama ini. Biarlah
jika orang lain menganggap dia perasan kerana memberi
gelaran sebegitu kepada Darissa. Tetapi Hakim tidak kisah.
Baginya Intan Darissa memang setaraf jelitawan ratu cantik
dunia. Malah jika dia yang menjadi pengadil sudah tentu
dengan mudah saja Darissa akan mengalahkan ratu-ratu
cantik yang lain. Ah, setinggi itukah Hakim menganggapnya
selama ini?
Menurut cerita Faezah, Hakim mengaku
apabila jatuh hati dengan Darissa, dia jadi malu pada diri
sendiri. Malu kerana usianya yang terlalu mentah untuk
mengungkapkan kalimah cinta. Gelaran sebagai ‘pelajar’
seharusnya menghalangnya untuk hanyut di alam penuh
misteri itu. Lama perasaan itu berlangsung tanpa sebarang
ungkapan dan kesudahan. Sekarang, dia membuat keputusan
untuk memberanikan diri dan bersuara.
Dia sedar bahawa kedua-dua mereka masih lagi
sibuk mengejar pelajaran dan cita-cita. Niatnya sekadar
melepaskan bebanan hati yang telah lama menanggung
rahsia. Sekurang-kurangnya jiwa dan perasaannya akan
terasa sedikit lapang dan lega. Dia perlu menuntut hak
hatinya untuk berterus terang. Sama ada rasa cinta itu
terbalas mahupun tidak, terserah kepada Miss Universe pula
untuk mempertimbangkannya.
Aduhai Hakim... mengapa begitu berani kau
membuat tindakan dengan berterang-terangan begitu?
Walaupun Darissa tahu yang Hakim itu memang nakal
orangnya, namun tidak disangka pula kenakalan Hakim
itu sampai ke tahap tidak kisah untuk berkongsi rasa dan
rahsia dengan kenalan-kenalan yang lain. Apatah lagi dengan
kehadiran seseorang yang bergelar guru atau pensyarah. Masa
zaman sekolah dulu, nak bertentang mata pun malu-malu,
sekarang ini boleh selamba badak pula!
Sejak peristiwa Hakim menjadi pengganti Iqram,
Hakim memang sudah jauh berubah. Hakim bertukar menjadi
lelaki yang peramah, suka tersenyum, rajin membuat jenaka
lucu semata-mata hendak menghiburkan hati Darissa, malah
dia tidak pernah lupa untuk menghubungi Darissa pada
setiap masa yang terluang. Daripada hubungan yang janggal
dan kekok, mereka berdua kini sudah ibarat isi dengan kuku.
Ke mana sahaja pasti Hakim akan menjadi peneman. Hakim
tidak akan biarkan Darissa seorang diri tanpa dia berada di
sisi. Hakim mula menjadi sahabat di mana Darissa selalu
meluahkan segala perasaan marah, sedih dan kecewa.
Ya, sahabat. Walaupun mereka sebenarnya sudah
bertunang, tetapi Darissa selalu terlupa tentang itu dan
hanya menganggap Hakim sebagai sahabat karibnya sahaja.
Tapi sekarang, Afif Hakim mengaku yang dia sebenarnya
menganggap Intan Darissa itu lebih daripada kawan. Jadi,
adakah betul kata-kata Dayana tadi bahawa Hakim sanggup
menjadi pengganti Iqram kerana cinta dan bukan hanya
sekadar nak jaga air muka mereka sekeluarga?
Aduh... kalau Hakim meluahkan perasaannya dulu...
kalau Hakim berterus terang begini bertahun-tahun dahulu,
mungkin dengan suka hati dia akan pertimbangkan. Tetapi,
kini semuanya sudah terlewat. Walaupun sudah 2 tahun
peristiwa pahit itu berlalu, namun masa yang pantas pergi
itu belum mampu membuatkan hatinya melupakan apa yang
terjadi. Pada zahirnya mungkin luka yang ada tidak kelihatan,
namun kesakitan yang terpalit belum bisa sembuh lagi. Parut
yang tebal dan dalam tetap berbekas di hati.
Lelaki hanya pandai memberi kata janji, tetapi
untuk menunaikannya tidak sekali. Lebih baiklah dia hidup
sendirian daripada menghadapi risiko untuk terluka buat ke
sekian kalinya. Sungguh dia tidak sanggup!

My Miss Universe - Bab 5

KECOH. Memang kecoh. Rumah teres 2 tingkat
milik Puan Dahlia yang selalunya sunyi dan aman ternyata
meriah dengan hiruk-pikuk hari ini. Dan kemeriahan itu
ditambah lagi dengan kecohnya suasana apabila Darissa
menyampaikan sesuatu yang di luar dugaan. Setelah siap
dirias, barulah Darissa memanggil Puan Dahlia masuk ke
dalam bilik dan memberitahu segala-galanya.
“Ya Allah, kakak! Kenapalah kakak boleh buat
senyap bila hal besar macam ni dah jadi? Kenapa tak beritahu
mama Iqram dah lari?” Dengan wajah gelisah Puan Dahlia
memandang Darissa.
Darissa hanya mendiamkan diri. Ingin memberi
masa agar mamanya bertenang untuk seketika. Begitu juga
dengan Intan Dayana yang hanya berdiri kaku berhampiran
pintu, tak berani hendak menyampuk apa-apa. Memang
sengaja bilik itu diminta dikosongkan setelah Darissa selesai
bersiap agar mereka anak-beranak boleh bercakap dengan
tenang dan selesa. Teman-teman rapat Darissa yang dari pagi
lagi sudah berada di sini juga berlalu keluar bagi memberi
ruang kepada Puan Dahlia bercakap dengan anak daranya itu.
“Kenapa kakak tak cakap pada mama semalam
atau kelmarin, tunggu saat akhir baru nak berterus terang?
Sekarang ni macam mana? Semua saudara-mara dah ada
dekat luar tu. Kawan-kawan mama pun dah ramai yang
sampai. Kakak nak mama turun bawah dan buat pengumuman
majlis ni dibatalkan?” Sambil bercekak pinggang Puan Dahlia
mengajukan pertanyaan bertalu-talu.
Padanlah beberapa hari ini Darissa kelihatan seperti
lain sahaja. Rupa-rupanya sedang menyembunyikan masalah
besar. Dan patutlah sudah beberapa hari kelibat Iqram tak
muncul-muncul, selalunya rajin saja petang-petang dia
datang dan berbual dengan anaknya di depan pagar rumah.
Rupa-rupanya dah cabut lari sampai ke luar negara!
“Kalau kakak dah tahu Iqram takkan datang, buat
apa kakak susah payah bersiap cantik-cantik? Buat apa kakak
berhias dengan baju tunang ni semua?” Puan Dahlia bertanya
lagi. Pelik melihat Darissa yang cantik dengan baju kurung
moden berwarna hijau muda, rambut disanggul kemas dan
selendang sama warna dengan baju terletak cantik di atas
kepala sedangkan dia sudah tahu bahawa rombongan Iqram
takkan muncul.
“Kakak bersiap sebab rombongan Hakim nak sampai
kejap lagi,” mendatar Darissa menjawab.
“Hah?” nada suara Puan Dahlia naik setakuk.
“Iqram dah lari, jadi Hakim janji dengan kakak
untuk jadi pengganti. Rombongan dia akan datang sama
seperti waktu yang keluarga Iqram janjikan tempoh hari.”
Dengan tenang Darissa bercakap sedangkan dalam hati
berdebar-debar dan berdegup begitu kencang. Dia tidak mahu
mempamerkan riak sedih mahupun lemah di hadapan mama
ketika ini. Kalau dia tunjuk muka sedih, nanti mama akan
jadi bertambah kecewa.
“Apa? Tak jadi bertunang dengan Iqram dan sekarang
ni Hakim pula nak jadi ganti? Apa benda yang korang nak
buat ni? Ingat benda ni macam main kahwin-kahwin masa
zaman kecik-kecik dulu ke???” sergah Puan Dahlia kuat. Dia
sebenarnya jarang sekali naik angin, tinggi suara mahupun
mengherdik anak-anaknya sepanjang membesarkan mereka
seorang diri. Tetapi, hari ini dia rasa seperti hendak naik
hantu pula apabila mendengarkan perkara yang berlaku.
“Hakim rela jadi pengganti Iqram, mama. Kakak pun
dah setuju nak bertunang dengan dia. Kita jalankan majlis
seperti biasa. Semuanya sama macam yang dirancang, cuma
bertukar rombongan pihak lelaki saja.”
Pening! Puan Dahlia betul-betul pening sekarang ini.
Pandai-pandai saja anak-anak ini merancang dan melakukan
perkara tanpa berbincang dengan orang tua terlebih
dahulu. Ingin saja dia membatalkan majlis pertunangan itu
dan menyuruh semua tetamu yang ada pulang saja. Tapi,
apabila memikirkan kesan masa panjang, terasa malu dan
tak sanggup pula. Sudah tentu hal ini akan menjadi bualan
bertahun lamanya. Sudah tentu ia akan mendatangkan kesan
mendalam kepada Darissa, anak sulungnya itu. Silap-silap
hari bulan, tak ada sesiapa yang berani nak masuk meminang
pula gara-gara kes ini. Jadi, apa yang patut dia buat sekarang?
“Mama... kita terima pinangan Hakim ya? Kakak rela
bertunang dengan dia daripada batalkan majlis begitu saja.
Please, mama...” Darissa seakan merayu kepada mamanya.
Usai solat subuh pagi tadi, dia menerima kiriman
mesej daripada Hakim menyatakan bahawa dia akan kotakan
janjinya semalam. Rombongannya akan tiba di rumah
Darissa dan mereka akan pasti bertunang. Itu janji seorang
lelaki bernama Muhd Afif Hakim. Jadi, dia harus berpegang
pada janji itu dan dia harus memujuk mama agar menerima
pinangan Hakim sebentar lagi. Dia yakin bahawa ini adalah
satu-satunya jalan yang terbaik untuk dia sekarang. Apa
yang akan berlaku setelah dia dan Hakim bertunang, akan
difikirkan kemudian.
Akhirnya Puan Dahlia terpaksa bersetuju dengan
tindakan dan permintaan Darissa. Walaupun dia sebenarnya
berat hati, tetapi apalah yang mampu dilakukannya. Sudah
tidak ada jalan lain yang mampu diambil sekarang ini. Puan
Dahlia tidak tahu bagaimana Hakim memujuk ibu dan
bapanya supaya datang menggantikan rombongan Iqram.
Pasti mereka terperanjat besar. Masakan tidak? Mereka
berdua sendiri sudah tahu yang Darissa akan bertunang
dengan Iqram, tapi tiba-tiba saja anak lelaki mereka pula yang
bakal menjadi tunang Darissa.
Dia segan dan malu hendak mengangkat muka
memandang Encik Rahman dan Puan Hayati, iaitu ibu dan
bapa Hakim apabila rombongan mereka sudah pun berada di
ruang tamu. Begitu juga dengan Puan Harlina, ibu Qaisarah
yang merupakan kakak kepada Puan Hayati. Pasti mereka
semua tahu tentang kehilangan Iqram dan Hakim yang
menjadi pengganti. Aduh, walaupun pening, malu dan segan,
tetapi apalah yang mampu dia lakukan. Takkan nak dihalau
pula rombongan Hakim yang sudah duduk di ruang tamu
sekarang ini.
Upacara pertunangan berjalan dengan lancar. Waktu
mula-mula wakil daripada pihak lelaki menyebut nama Hakim,
wajah ayah long yang mewakili pihak Darissa kelihatan agak
terpinga-pinga. Ini kerana nama bakal tunangan Darissa yang
dicanang sebelum ini ialah Iqram. Namun, cepat-cepat pula
Puan Dahlia membisikkan bahawa pihak lelaki tidak tersalah
sebut dan sememangnya nama bakal tunang Darissa ialah
Hakim dan bukannya Iqram. Walaupun agak ragu-ragu, tetapi
mujurlah ia tidak menjadi satu isu yang besar dan panjang.
Segala perbincangan dan kata putus cepat saja dicapai.
“Auntie tak sangka, pandai betul Rissa pujuk Hakim
untuk jadi pak sanggup. Demi anak, auntie ikutkan saja
kehendak Hakim. Tapi auntie takkan biar dan lupakan hal ini
begitu saja.” Semasa upacara menyarungkan cincin, sempat
juga Puan Hayati membisikkan kata-kata itu ke telinga
Darissa.
Darissa pandang wajah ibu Hakim dan kelihatan
bibir wanita lewat 40-an itu tersenyum lebar, seolah-olah
cuba menyembunyikan kata-katanya di sebalik kesibukan
tetamu yang sedang merakam gambarnya dengan Darissa.
Apabila ada yang meminta dia berlaga pipi dengan Darissa
untuk mengambil gambar, terus saja ibu Hakim menurut
apa yang diminta sambil tersenyum ceria. Langsung tidak
menggambarkan rasa marah, sakit hati atau kecewa yang
mungkin saja tersarang dalam hati apabila terpaksa mengikut
kehendak anak yang mahu bertunang ekspres.
Darissa hanya tersenyum sedikit. Turut tidak mahu
menunjukkan sebarang rasa yang sedang berkecamuk dalam
hati. Walaupun dia tersenyum, namun hatinya menangis.
Rasa pilu, hanya Tuhan saja yang tahu kerana dituduh
memujuk Hakim untuk menjadi pak sanggup. Dan rasa malu
hanya mampu dipendam saja kerana ini semua berlaku bukan
atas kemahuannya.
‘Iqram, semua ini berlaku kerana engkaulah
puncanya. Aku benci kau, Iqram! Kaulah lelaki kedua yang
paling aku benci selain daripada papa. Dulu, papa tinggalkan
kami sekeluarga semata-mata kerana perempuan lain, dan
sekarang ni kau juga turut lari tinggalkan aku. Memang
jantan tak guna! Masing-masing hanya tahu memuaskan hati
sendiri tanpa memikirkan perasaan orang lain. Lelaki yang
tidak tahu berpegang pada janji dan erti setia! Jika semalam
dan kelmarin kau menjadi lelaki yang aku sayang dan puja,
tetapi mulai sekarang kau adalah lelaki dayus yang perlu
diajar erti sakit, sedih dan kecewa!’ Darissa mula menanam
tekad dalam hatinya.

My Miss Universe - Bab 4

DARISSA tidak menjamah langsung kuih akok
yang terhidang atas meja. Walau secubit pun. Tidak seperti
selalu kalau kuih tradisional Kelantan itu ada di depan
mata; sedikit pun dia tak bagi peluang pada orang lain. Mesti
masuk perut sendiri dahulu. Tetapi, hari ini dia tak ada selera
langsung nak jamah. Padahal dia yang beria-ia suruh mok
bakar kuih akok itu semalam.
“Kakak, kenapa rumah Abang Iqram tadi tak ada
orang? Yana pergi tadi kosong aje. Orang gaji pun tak ada.”
Kata-kata Intan Dayana langsung tidak disahut.
Masih lagi memandang kosong ke arah meja makan.
Hatinya sebal dengan sikap Iqram. Entah apa kena agaknya
dengan Iqram. Kelmarin Iqram sudah berjanji hendak
datang ke sini dan berkenalan dengan neneknya yang baru
sampai dari kampung. Sebelum mereka mengikat tali
pertunangan, mahu juga nenek, mak cik dan pak ciknya
melihat dan mengenali Iqram terlebih dahulu. Nenek bukan
main bersungguh-sungguh lagi masak nasi dagang untuk
menyambut kedatangan Iqram, tetapi akhirnya langsung tak
nampak muka. Apabila dihubungi, langsung tidak berjawab.
Mesej juga tidak dibalas.
Hari ini pula, nenek bakarkan kuih akok
kegemarannya. Dengan susah payah Darissa memujuk
adiknya pergi menghantar ke rumah Iqram. Sambil-sambil
itu bolehlah adiknya bertanya kenapa tak muncul-muncul
dah banyak hari. Tetapi, apa yang baru disampaikan oleh
Dayana tadi; rumah Iqram sunyi sepi tanpa bayang seorang
pun yang ada. Pembantu rumah pun tak nampak muka!
Darissa sakit hati. Kenapa makin nak dekat majlis
pertunangan, Iqram makin buat perangai? Tempoh hari bukan
main lagi merayu-rayu sampai nak keluar air mata supaya dia
setuju bertunang. Sekarang ini, apabila semua persiapan dah
hampir siap, boleh buat perangai pula. Geramnya! Tunggulah
kalau dapat jumpa atau bercakap di telefon, akan diherdik
Iqram habis-habisan!

“HELO.”
“Helo... boleh saya bercakap dengan Hakim?”
“Ya, Hakim bercakap. Ini Darissa, kan?”
Darissa ketawa kecil. Tak sangka Hakim dapat
mengenali suaranya. Padahal mereka bukannya pernah
bercakap di telefon. Bertegur sapa di luar pun jarang-jarang.
“Kim... nak tanya sikit boleh tak?”
“Boleh. Nak tanya apa?”
Darissa diam seketika. Mencari ayat yang sesuai
untuk bertanya.
“Kau tahu tak mana Iqram? Aku telefon dia banyak
kali tak dapatlah...”
“Iqram? Dia dekat rumahlah kut.”
“Tak ada. Aku dah telefon rumah dia banyak kali, tak
berangkat langsung. Aku mesej tak balas, telefon bimbit tak
berjawab. Semalam dengan siang tadi adik aku pergi rumah
dia, tapi tak ada orang pun. Mana pergi semua orang dalam
rumah tu? Kau tahu tak, kenapa Iqram buat perangai macam
ni?” Darissa sedikit merungut, mengeluh dan membebel.
“Perangai? Perangai apa pulak ni?” Hakim buat-buat
tergelak.
“Perangai peliklah. Aku tak tahu apa yang dah jadi,
tapi Iqram macam nak lari daripada aku pulak. Dia tak ada
cerita apa-apa dekat kau ke?”
Hakim diam sebentar. Seolah-olah sedang berfikir.
“Dah 3 hari aku tak dapat hubungi Iqram. Lusa dah
majlis bertunang, tapi dia missing in action pulak. Dia tak ada
cakap dekat kau ke dia nak pergi mana? Iqram ada masalah
ke?” soal Darissa sekali lagi.
“Aku baru aje keluar main boling dengan Iqram
kelmarin. Masa tu aku tengok Iqram biasa aje. Tak nampak
macam orang ada masalah pun. Cuma dia cakap gementar
sikitlah nak bertunang. Itu aje.”
Darissa diam. Jawapan yang diberikan oleh Hakim
tadi belum mampu membuatkan hatinya lega.
“Rissa...”
Tiada balasan.
“Darissa!”
“Ya, Kim. Aku dengar ni...”
“Macam inilah Rissa, aku pergi cari dia kejap lagi.
Kalau ada apa-apa, aku telefon kau.”
Darissa sedikit lega mendengar kata-kata Hakim itu.
“Kau tolong aku ya, Kim. Tanyalah kenapa dia
macam nak mengelak daripada aku. Aku risaulah. Manalah
tahu kalau apa-apa jadi. Dia tak pernah buat perangai macam
ni sebelum ni.”
“Jangan risaulah, Rissa. Dia tak apa-apa tu. Mesti dia
sengaja nak buat kau cuak aje. Maklumlah lagi dua hari saja
korang dah nak bertunang. Sengaja nak buat kejutan untuk
kau kut.” Hakim ketawa di hujung kata-katanya. Mungkin
untuk menyedapkan hati Darissa.
“Okay. Thank you, Kim. Kalau ada apa-apa, telefon
aku tau.”

“PAGI TADI aku jumpa Iqram dekat lapangan terbang. Dia
dah selamat terbang ke US dengan mummy dan daddy dia
sekali.”
Darissa menghempas punggung. Ingatkan masa
Hakim telefon dan beritahu semua kawan-kawan sedang
tunggu di padang permainan petang ini, ada berita baik yang
akan dia dengar. Manalah tahu tiba-tiba terpacak kelibat
Iqram. Tetapi, berita buruk dan mengecewakan pula yang
keluar daripada mulut Hakim.
Benarlah seperti kiriman mesej yang diberi oleh
Iqram pagi tadi. Dengan mudah dan ringkas dia memberitahu
bahawa dia tak jadi bertunang dan berharap agar keputusannya
itu tidak dipertikaikan; tanpa kata maaf dan tanpa penjelasan
yang lengkap. Kurang ajar! Tempoh hari Iqram yang bukan
main beria-ia, sekarang ini main lari macam ini saja! Apa
Darissa nak cakap kepada mama dan seluruh kaum kerabat
yang tengah sibuk di rumah sekarang ini?
“Aku dah cuba pujuk dan nasihatkan dia tadi. Tapi,
nampaknya dia memang betul-betul nekad nak lari dan
terbang ke US. Aku sendiri tak sangka dia sanggup buat
macam ni.” Hakim bersuara dengan nada terkilan. Tidak
pernah dia terdetik Iqram sanggup bertindak meninggalkan
Darissa begini.
Apa yang lebih memeranjatkan, sikap kedua-dua
orang tua Iqram yang seolah-olah tidak rasa bersalah kepada
keluarga Darissa. Mengikut saja kemahuan anak tunggal
kesayangan tanpa memikirkan kesan kepada orang lain.
Tidak bolehkah mereka menasihati Iqram dan tidak bolehkah
mereka datang berjumpa dengan keluarga Darissa terlebih
dahulu? Bukankah elok jika mereka berbincang dengan
baik tentang perkara ini? Mudah saja mereka semua pergi
meninggalkan Darissa terkontang-kanting seorang diri
sedangkan majlis pertunangan hanya tinggal sehari saja lagi.
Tak guna jadi orang kaya, mempunyai perniagaan berjuta-juta
dan berpangkat, tapi pendek akal!
Darissa menarik nafas dalam-dalam dan dilepaskan
berat. Qaisarah, Husna dan Atikah semuanya diam seribu
bahasa. Tak tahu apa lagi yang mampu mereka katakan.
“Kim, kau tahu tak kenapa Iqram buat macam ni?
Kenapa dia sanggup pergi tanpa bercakap dengan aku dulu?”
Darissa meminta kepastian.
Hakim tarik nafas.
“Iqram bagi alasan dia tak bersedia nak bertunang
lagi. Dia tak nak jawab telefon atau berjumpa dengan kau
sebab dia tak sanggup nak dengar kau merayu atau pujuk dia.
Iqram cakap, bila dia dah habis belajar nanti dia akan cari kau
semula dan bincang pasal hal ni.”
“Dah habis belajar baru nak berbincang? Dia ingat
bertunang ni macam main pondok-pondok ke? Kalau tak
bersedia, kenapa dia yang beria-ia ajak aku bertunang dulu?
Kenapa dia bagi harapan yang bukan-bukan dekat aku? Bila
semuanya dah siap, bila semua orang dah tahu, dia boleh lari
macam ni aje! Macam mana aku nak cakap bila mama aku
tanya nanti? Apa kata nenek dan saudara-mara aku yang dah
berkumpul dekat rumah tu? Siapa yang nak tanggung malu
semua ni? Aku sorang-sorang aje ke?” Dengan suara yang
bergetar Darissa berbicara. Ada air jernih yang bertakung di
kelopak mata. Selama ini, memang Iqram selalu memberi
kejutan dengan pelbagai hadiah yang istimewa, tetapi kejutan
yang diberikan oleh Iqram kali ini tidak langsung diduga oleh
dia dan teman-teman yang lain.
Sungguh dia tidak menyangka sanggup Iqram buat
begini kepadanya. Selama 2 tahun mereka berkawan, Iqram
tak pernah buat perangai yang pelik atau menunjukkan
ciri-ciri sebagai lelaki yang tidak bertanggungjawab. Mama
dan adiknya juga sudah cukup arif tentang hubungan
mereka. Kerana itulah mama setuju apabila dia minta untuk
bertunang pada usia semuda ini. Walaupun mula-mula
berat hati, namun disebabkan percaya kepada Iqram, mama
mengalah. Tapi, sekarang ini apa dah jadi?
Masing-masing yang ada di situ mendiamkan
diri. Tak tahu hendak cakap apa tentang keputusan Iqram
yang betul-betul memeranjatkan. Qaisarah, Atikah dan
Husna juga sudah mati akal hendak menenteramkan hati
Darissa. Manakala Hakim pula masih lagi dengan perasaan
tidak percaya dengan sikap sahabat karibnya itu. Iqram
itu memang sudah gila! Semua orang dah tahu Iqram dan
Darissa nak bertunang, satu sekolah malah satu taman ini
sudah diuar-uarkan tentang perkara ini. Mana Darissa dan
keluarganya nak sorok muka kalau tiba-tiba majlis tak jadi
berlangsung?
“Rissa, aku rasa kau kena berterus terang dengan
mama kaulah. Cakap dengan dia yang Iqram dah lari. Jangan
nak sorok-sorok lagi. Benda ni bukan boleh buat main-main.”
Akhirnya Qaisarah bersuara. Sudah berkali-kali sebenarnya
dia mencadangkan kepada Darissa agar menceritakan perihal
yang sebenarnya. Tapi, Darissa degil. Dia masih lagi menaruh
harapan yang Iqram akan muncul juga sebelum hari
pertunangan mereka. Dan sekarang apabila Hakim sendiri
yang menjadi saksi perginya Iqram ke luar negara, apa lagi
yang mahu diharapkan oleh Darissa? Iqram takkan muncul
esok, itu sudah pasti!
“Aku pun setuju dengan cadangan Sarah. Benda dah
tak boleh nak rahsia lagi, Rissa. Beritahu saja yang kau tak
jadi bertunang esok dan...”
“Esok Rissa tetap akan bertunang. Kalau Iqram
dah lari, aku sanggup jadi pengganti dia.” Tiba-tiba Hakim
menyampuk, mematikan kata-kata Husna.
Serta-merta Husna berpaling melihat ke arah Hakim
yang berada beberapa tapak dari tempat dia sedang berdiri.
“Kau cakap apa tadi, Kim?” Atikah pula yang laju
menyoal dengan dahi sedikit berkerut.
“Aku cakap, kalau Iqram dah lari, aku sanggup jadi
pengganti dia. Aku takkan biarkan Rissa tanggung malu
sorang-sorang. Esok pasti akan ada rombongan yang muncul
depan rumah Rissa. Bukan rombongan daripada keluarga
Iqram, tapi emak dan ayah aku yang akan datang meminang
Rissa. Jadi korang semua jangan risau. Aku janji majlis esok
akan berjalan lancar sepertimana yang dirancang.”
“Kau dah gila ke Kim? Bertunang ni bukan perkara
main-main!” Qaisarah terus saja menyergah. Dia yang
sememangnya mempunyai hubungan saudara dengan Hakim
menunjukkan wajah terkejut.
“Aku tahu ini bukan perkara main-main. Dan aku
cakap serius tadi. Aku akan pujuk emak dan ayah datang
rumah Rissa. Sebagai sepupu, aku minta kau tolong aku
pujuk mak long dan pak long untuk datang dan jadi wakil
belah lelaki sekali esok.” Hakim memandang tepat ke arah
Qaisarah yang sudah bulat biji matanya. Pak long dan mak
long yang dimaksudkan oleh Hakim itu sudah tentulah ibu
dan bapa Qaisarah yang merupakan bapa saudara Hakim
sendiri.
Hakim sebenarnya memang sudah nekad. Lepas
sahaja berjumpa dengan Iqram di lapangan terbang tadi,
dia sudah berfikir semasak-masaknya. Dan sesungguhnya
dia memang tidak rela membiarkan Darissa bersedih dan
menanggung malu seorang diri. Dia harus lakukan sesuatu
untuk menyelamatkan maruah pujaan hatinya itu. Dan jika
dengan berbuat begini akan membuatkan maruah Darissa
terjaga, akan dia lakukannya dengan penuh rela dan ikhlas.
Iqram lelaki yang tidak bertanggungjawab.
Dengan mudah dan selamba dia serahkan segala barang
yang sepatutnya menjadi barang hantaran untuk Darissa
kepadanya pagi tadi. Dengan tidak berperasaan, Iqram
menyuruh dia berikan barang-barang tersebut kepada
Darissa sebagai cara untuk memujuk dan mengharapkan agar
gadis itu faham tentang tindakannya itu. Ah, jika selama ini
dia menjadi posmen dan orang tengah apabila Iqram mahu
memberi sesuatu kepada Darissa, adakah kali ini dia sanggup
melakukan hal yang sama?
Tidak! Lebih baik dia gunakan sebagai hantaran
untuk majlis esok hari. ‘Iqram, kalau kau beli barang tu
semua dengan niat nak bertunang dengan Rissa, aku akan
pastikan niat itu terlaksana dan Rissa akan tetap menerima
segala barang itu sebagai tunang orang esok!’
“Rissa, kau setuju ke dengan apa yang Hakim nak
buat ni? Kalau aku, aku lebih rela batalkan majlis dan beritahu
perkara sebenar. Iqram dah buat kerja gila, kau jangan nak
buat benda yang sama pulak,” suara Atikah seakan-akan tidak
bersetuju.
Darissa mendiamkan diri. Dia hanya memandang
tepat ke arah Hakim yang turut memandangnya dengan
wajah yakin dan bersungguh-sungguh.
“Kau jangan risau, Rissa. Aku janji apa yang aku buat
ni bukan ada niat yang tak baik. Aku cuma tak nak kau dan
seluruh keluarga kau malu dan dalam waktu yang sama aku
memang ikhlas nak bertunang dengan kau. Apa-apa yang
terjadi lepas ni, kita sama-sama fikirkan kemudian,” dengan
bersungguh-sungguh Hakim bercakap sambil memandang
tepat ke dalam anak mata Darissa.
Darissa hanya diam terpaku. Pertama kali Hakim
bercakap panjang dengannya. Dan buat pertama kali juga
Hakim tidak melarikan pandangan apabila mata mereka
bertentang. Sebaliknya tidak berkelip mata itu memandang
dan memancarkan sinaran yang cerlang.
“Aku harap kau jangan salah anggap, Rissa. Aku tahu
ini adalah yang terbaik untuk kau dan aku ikhlas,” ujar Hakim
lagi bersungguh-sungguh. Masih tidak melarikan pandangan
mata merenung jauh ke dalam anak mata Darissa. Perkara
yang tidak pernah dia lakukan sebelum ini.
“Aku... setuju,” perlahan suara Darissa kedengaran.
Dia sendiri tidak tahu bagaimana perkataan setuju itu boleh
terpacul keluar daripada mulutnya. Entah kuasa apa yang
menyelinap masuk membuatkan dia bersetuju dengan
cadangan dan rancangan Hakim itu. Dia buntu. Dia tak
tahu apa yang patut dibuat dan sekiranya bertunang dengan
Hakim esok boleh menyelesaikan masalah, maka dia rela.
Daripada harga dirinya tercalar tanpa kehadiran rombongan
pihak lelaki esok, lebih baik dia terima saja Hakim menjadi
tunang dan apa yang akan berlaku kemudian hari, akan dia
fikirkan nanti.
“Korang memang dah gila. Bukan saja Iqram, tapi
Intan Darissa dan Afif Hakim pun memang suka buat kerja
gila!” Husna meluahkan perasaan tidak percaya. Kepalanya
digelengkan berulang kali. Begitu juga dengan Qaisarah dan
Atikah yang turut tayang muka terkejut dan tidak percaya.
“Aku tahu ini memang kerja gila. Tapi, sebagai
kawan karib aku harap korang bertiga akan sentiasa berada di
samping aku dan Rissa untuk berikan semangat. Ini saja jalan
yang ada. Rissa tak bersalah. Dia tak patut tanggung masalah
yang berpunca daripada Iqram. Rissa amat memerlukan
sokongan kita sekarang ni,” suara Hakim kedengaran tegas.
Dia memandang Qaisarah, Husna dan Atikah.
Ketiga-tiga mereka tidak jadi hendak bercakap
banyak. Ternyata apa yang dikatakan oleh Hakim itu
ada benarnya. Mereka harus beri sokongan yang tidak
berbelah-bagi kepada Darissa.
“Baiklah, kalau ini yang terbaik untuk Rissa... aku
sebagai kawan, setuju untuk berikan sokongan. Kau jangan
risau Kim, aku akan pastikan mak dengan ayah aku setuju
untuk jadi wakil pihak lelaki,” akhirnya Qaisarah bersuara
memberikan persetujuannya setelah beberapa minit mereka
semua hanya mendiamkan diri.
Dia bangun dan mendapatkan Darissa. Dia memeluk
Darissa sekuat-kuatnya. Perlakuannya itu turut diikuti
oleh Husna dan Atikah. Mereka berempat berpelukan erat.
Langsung tidak mempedulikan kanak-kanak lain yang sedang
bermain bola. Dan pelukan mereka itu turut diiringi oleh
air mata yang tidak tertahan lagi. Keempat-empat mereka
menitiskan air mata.
Hakim turut memandang sayu. Kalaulah dia ini
perempuan, ingin juga dia menyertai mereka. Turut memeluk
Darissa sebagai tanda sokongan yang tidak berbelah bahagi.
Kasihan Darissa. Jika dia tahu inilah yang akan terjadi, pasti
dia takkan setuju untuk jadi orang tengah bagi pihak Iqram
waktu hendak memikat Darissa dahulu. Dan sesungguhnya,
sekarang ini dia berasa begitu malu untuk mengaku
mempunyai sahabat seperti Iqram. Malunya dia menjadi
orang tengah dulu. Malu dan bersalah terhadap Darissa!
‘Kau memang celaka, Iqram! Kalau aku tahu ini
yang kau akan buat, selangkah pun aku takkan berundur
dulu!’ Hakim menggenggam tangan sambil menahan geram
sendiri. ‘Iqram, semoga suatu hari nanti kau akan terima
padah atas perbuatan kau ni!’