DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 27 November 2018

Cinta Adik Manja - Bab 10

“KENAPA HISYAM janji dengan abah tak nak
berhubung dengan adik langsung?” Terus terang angah yang
tidak mahu melepaskan peluang bertanya ketika dia sedang
duduk bersantai dengan abah dan umi di ruang tamu. Hatinya
sudah puas berteka-teki. Bila ditanya Hisyam, kawannya itu
pula suruh bertanya kepada abahnya sendiri.
Adik masih lagi terperap di dalam bilik. Mogok.
Marahkan dia? Ada dia kisah? Kak chik pula tengah berkemas
hendak pulang ke rumah selepas asar nanti. Jadi hanya tinggal
dia dan adik sahaja menemani abah dan umi di rumah ini.
“Abah tak suka Syam rapat dengan adik ke?”
Mulutnya terus ringan bertanya.
“Tak suka apanya? Hisyam tu menantu idaman abah
kamu.” Zulaikha tolong jawabkan.
Terlopong angah mendengar jawapan uminya.
Makin pelik.
“Kalau menantu idaman, kenapa abah larang
pulak? Tak kesiankan adik ke menderita rindukan Hisyam.
Sampaikan angah terkena tempiasnya, hilang kawan baik,”
luah angah tak puas hati.
“Adik tu budak lagi. Mana dia tahu apa-apa pun.
Hisyam pulak pergi ke sana bukannya pergi suka-suka. Dia
pergi menuntut ilmu agama. Abah tahu apa yang abah buat.
Kamu pun budak lagi masa tu,” tegas abah jawab.
Angah terdiam seketika. “Tapi bukan susah sangat
pun telefon sekadar bertanya khabar,” rungutnya perlahan.
“Hisyam tu dah ada perasan dekat adik sejak dulu.
Jadi memang patutlah abah larang. Batas hubungan kena
jaga. Adik masa tu kecik lagi. Mana dia tahu tentang hal kasih
sayang ni. Adik tahu Hisyam sayangkan dia. Jadi betullah apa
yang abah buat tu.” Zulaikha membela suaminya. Walaupun
dulu dia pun merungut tak puas hati. Namun apabila melihat
pandangan Hisyam terhadap anak bongsunya tadi, rasanya
tindakan suaminya dulu betul.
“Tak betul abah. Tengok sekarang ni hubungan
mereka jadi macam mana? Adik nak pandang muka Hisyam
pun tak nak. Siap cakap tak pernah kenal siapa Syam.”
“Marah-marah sayang...” sampuk kak chik. Dia sudah
siap mengemas, tinggal nak masukkan dalam but kereta saja.
Terhenti dia sekejap bila terdengar perbualan hangat angah
dengan kedua orang tuanya.
“Macamlah angah tak tahu. Adik tu marahnya kejap
je. Marah dia tak ke manalah. Lagipun abah dah tunangkan
adik dengan Hisyam tu. Cuma tunggu masa je sekarang ni.”
Zulaikha membuka rahsia.
“Apa umi???” Kuat suara kak chik bertanya. Terkejut
dengan kenyataan itu. Mulut angah terlopong luas.
Haji Yusuf dan Zulaikha pula tenang-tenang sahaja.
Tahu berita itu pasti mengejutkan anak-anak mereka.
“Betullah apa yang umi cakap tu. Ingat abah saja-saja
ke larang Hisyam tu berhubung dengan adik.”
“Kenapa kami tak tahu? Berapa lama mereka dah
bertunang? Sebelum Hisyam ke Mesir?” Bertalu-talu kak chik
bertanya. Hatinya teruja ingin tahu. Dia dah agak dah tadi.
Cuma takut nak teka.
“Kamu berdua pun budak-budak lagi masa tu.
Semua masih sibuk belajar. Lagipun tak buat majlis tunang.
Hisyam cuma bagi cincin tanda.”
“Yang adik pakai tu?” Cepat kak chik tangkap. Dia
teringat cincin belah rotan yang tersarung di jari manis adik.
Umi angguk. Abah pula sekadar mendengar
perbualan isteri dan anak-anaknya.
“Adik tahu tak cincin tu cincin tanda?”
“Tak,” jawab Zulaikha ringkas.
Angah geleng kepala. Pandai betul Hisyam berahsia.
Patutlah tak hubungi dia langsung. Rupanya nak jaga rahsia
takut pecah. Dia tak terkata apa dah. Kak chik pula senyum
lebar.
“Jadi, adik dah bertunang sebelum kak chik kahwin
lagilah umi?”
Zulaikha angguk.
“Haah. Dia yang tunang dulu. Abah yang suruh
Hisyam ikat adik dulu. Kemudian lupakan adik seketika dan
tumpukan pada pelajaran. Biar kami yang jaga adik,” cerita
umi.
“Lepas adik habis matriks, abah nak kahwinkan
mereka. Selepas itu pandai-pandailah Hisyam pujuk adik tu,”
suara abah.
“Cepatnya, bah. Nak ke adik tu?”
“Nak ke tak nak, abah akan nikahkan juga!” tegas
Haji Yusuf.
“Nikahkan siapa?” soal Nur tiba-tiba. Kuat betul suara
abah tadi. Kak chik pun sibuk cakap pasal tunang-tunang.
Nak juga dia tahu.
Terus semua terdiam. Nur berjalan mendekati abah.
Dilabuhkan punggung di sisi abah. Tangannya menarik
lengan abah, lalu dipeluk. Kepalanya pula dilentokkan di atas
bahu abah.
“Abah dah sihat ke?” tanya Nur polos.
“Dah. Abah demam sikit je.” Lembut Haji Yusuf
menjawab. Yang lain terdiam. Tak berani nak cakap, takut
rahsia terpecah sebelum masanya.
“Kak chik balik dululah, umi, abah.”
“Baik. Hati-hati bawa kereta tu. Kirim salam dekat
mentua kalau jumpa nanti.”
“Insya-Allah, umi.” Tangan kedua orang tuanya
disalam. Kak chik pandang adik bongsunya dengan senyuman
penuh makna. Geram dicubit kuat pipinya sebelum berlalu.
“Kak chik!!!” jerit Nur manja.
Kak chik ketawa sambil melambaikan tangan. Nur
usap pipi. Ketap bibir geram!

“ADIK TAK pergi jalan kat pantai?” Haji Yusuf mengambil
tempat di sebelah adik, di bangku batu di laman rumah.
“Malaslah abah. Panas lagi ni. Aini dan Siti tak balik
lagi. Tak cukup geng nak melepak dekat sana,” jawab Nur.
“Abah nak air?” segera Nur bertanya.
“Ambilkan abah air suam je.”
Nur angguk sebelum angkat kaki ke dapur.
Bertembung dengan uminya di muka pintu yang menatang
sepinggan buah jambu dan mangga muda yang telah dipotong
bersama semangkuk colek.
“Sedapnya umi.” Sempat tangan Nur mengambil
sepotong jambu dan dimasukkan ke dalam mulutnya.
“Umi dah buat air teh O lemon. Ada kat atas meja.
Adik bawa ke mari nanti.”
“Baik, umi.”


*** AKAN BERADA DIPASARAN UNTUK KELUARAN NOV 2018**  

No comments:

Post a Comment