“AZIM?”
Nur terkejut. Ingatkan mereka hanya berteman
setakat di terminal sahaja, rupanya sepanjang perjalanan
balik ke Kelantan.
“Kau buat apa atas bas ni?” Nur memberikan
pandangan tajam.
Manakala Azim selamba sahaja mengambil tempat di
sebelah Nur. “Balik kampunglah.”
“Bukan rumah keluarga kau kat KL ke?”
“Itu rumah daddy dan mummy aku. Aku nak balik
kampung daddy aku kat Pasir Puteh,” jelas Azim. Suka dia
melihat wajah terkejut Nur. Comel sangat. Sepanjang malam
tak tidur pun tak apa kalau dapat tengok wajah comel pujaan
hatinya.
Nur tarik nafas. Air mukanya berubah. Suka tak
suka terpaksa juga bertemankan Azim malam ini. Harapnya
janganlah mamat ni ajak dia bersembang sepanjang jalan. Dia
mahu tidur sahaja. Tapi... boleh ke dia tidur dengan mamat
ni ada di sebelah?
“Kita sama negeri Nur, senanglah nanti,” bisik Azim
penuh makna.
Nur mendengus. Dahinya berkerut. Tak ambil kisah
sangat apa yang Azim cakapkan. Lantak dialah! Bila hati tak
suka dengan seseorang atau keadaan, dia akan shut down
dirinya. Tak ambil kisah atau tak ambil tahu. Yang paling
penting, secepat mungkin dia mahu keluar daripada situasi
yang tak selesa ini.
“Kenapa tak balik rumah orang tua kau?” Nur
bertanya. Dia pandang Azim yang asyik tersengih sejak tadi.
Sengih miang, gatal. Selalunya tersenyum macho. Malam ini
pula senyum merenyam, membuatkan hatinya cuak.
“Tak ada siapa kat rumah tu. Baik aku balik jumpa
tok ayah aku. Senang sikit nak ajak kau berdating nanti.”
Azim tenung ke dalam mata Nur.
Nur ketap bibir. Dia segera melarikan matanya.
Tangan kanan menggenggam kuat kusyen bawah
punggungnya. Situasi ini benar-benar tak disukainya.
Matanya dijulingkan ke atas.
‘Ingat aku nak ke keluar dating dengan kau? Baik
aku keluar dating dengan abah,’ bebel hati Nur lagi.
Teringatkan abah. Tak sabar nak ajak abah keluar
dating di KB Mall. Banyak barang yang hendak diborong,
terutamanya novel.
“Bolehkan aku datang rumah kau, ajak kau keluar
nanti?” Azim tagih jawapan. Dikerdipkan matanya seolah
mengharapkan jawapan yang positif. Tapi sebaliknya
meremang bulu roma Nur mendengarnya. Seram!
Bas sudah mula bergerak keluar dari Terminal Bas
Makmur. Dibetulkan duduknya agar lebih selesa. Pertanyaan
Azim dibiarkan tidak berjawab. Dia sengaja melarikan
wajahnya memandang ke luar bas. Masih lagi di dalam
bandar, Nur melihat deretan kedai dan orang masih ramai
berkeliaran mencari keperluan masing-masing.
“Boleh, kan?” bisik Azim, dekat. Hampir-hampir Nur
terlompat bangun. Gilalah mamat ni! Tubuh Nur berganjak
hampir ke dinding bas, mahu menjauhkan mukanya dari
wajah Azim. Senyuman kacak lelaki di sebelahnya nampak
menakutkan.
‘Pasti aku tak tidur malam ni. Hesy!’
“Boleh apa?” Nur buat tak faham. Dia pandang wajah
Azim sepintas lalu, sebelum pandangannya beralih ke depan.
“Datang rumah kau. Ajak kau dating nanti.”
“Kalau kau berani, datanglah,” cabar Nur.
“Nak pikat anak dara orang kenalah berani,” ujar
Azim penuh keyakinan.
Nur diam. ‘Hesy, tak malu betul Azim ni! Macamlah
aku suka kat dia juga.’
Azim tak melepaskan peluang untuk terus
memandang wajah manis Nur. Sejak pertama kali melihat Nur,
dia telah jatuh cinta. Sehingga sekarang cinta yang dirasakan
hanya sekadar cinta monyet itu rupanya kuat penangannya.
Semakin terus bertapak dalam hatinya. Bukan dia tak cuba
untuk melupakan apa yang dirasakannya, tapi tidak boleh.
Wajah Nur sentiasa tertayang di dalam kepalanya. Setelah
yakin dengan perasaan sendiri, dia berusaha mendekatinya.
Namun bukan mudah.
“Aku nak tidurlah Azim. Selamat malam,” ucap Nur
seraya mematikan setiap kata yang telah tersusun dalam hati
Azim untuk diluahkan.
Azim diam. Dia pandang Nur yang memalingkan
wajah mengadap dinding. Tubuhnya juga mengiring sedikit.
Dia mengeluh perlahan.
‘Tak apa, ada masa lagi,’ bisik hatinya.
Azim juga memejamkan mata, cuba memancing
kantuk agar datang. Namun hati dan fikirannya masih cergas.
Mungkin teruja kerana sepanjang perjalanan ini berada di
sebelah gadis pujaannya.
Dua jam berlalu, namun matanya tetap cerah.
Dikalih ke sebelah melihat Nur. Dari bahasa tubuh dia tahu,
Nur juga tak lena.
“Saya jatuh cinta pandang pertama pada awak, Nur,”
bisiknya perlahan. Tidak mampu lagi menahan bibirnya
daripada menyatakan isi hatinya.
Mata yang hampir tertutup, terus terbuka luas.
Terkejut. Terus hilang kantuknya. Nur pandang Azim sekilas
sebelum kembali mengadap belakang tempat duduk orang
di hadapannya. Situasi yang langsung tak terlintas dalam
fikirannya. Apatah lagi akan dilalui di dalam bas.
‘Dugaan apa pulak ni? Aku tak tahu nak balas apa.
Aku sendiri tak tahu apa perasaan yang aku rasa. Tiba-tiba je
mamat ni buat pengakuan luar alam! Siapa nak tolong aku
jawab ini?’
Lama Nur berperang dengan diri sendiri. Dikerling
jam tangan. Jam 12 malam. Boleh catat sejarah peribadi ni.
Pengakuan cinta pertama oleh Azim.
Nak balas ke tak nak balas ni?
Suka?
Cinta?
Entahlah, dia sendiri pun keliru. Bukannya pernah
alami situasi macam ni. Nak kata dia tak suka, suka saja si
Azim ni. Nak kata cinta? Wow... tak sampai tahap darjah tu
lagi rasa dalam hati ini. Lagipun kenal tak sampai setahun.
“Nur?” panggil Azim lembut dan romantik.
Berdiri bulu roma Nur. Badannya dijauhkan sehingga
merapat ke dinding bas.
‘Umi... tolong adik!’ Hati Nur sudah meraung.
Nur tak senang duduk. Rasa ingin melenyapkan
diri sendiri. Biar Azim tak nampak dia. Biar dia tak dengar
pengakuan Azim tadi.
“Nur, saya sayang awak. Kali pertama saya nampak
awak, hati saya terus kata awaklah cinta pertama dan terakhir
saya. Awaklah yang akan saya jadikan isteri suatu hari nanti.”
Wajah Nur semakin merah. Dia tidak sanggup lagi
memandang wajah Azim yang redup itu. Berdiri tegak bulu
romanya.
‘Lambat lagi ke nak sampai ni? Aku tak sanggup dah
ni. Nak sampai cepat!’ rintihnya.
Hati Nur makin resah. Azim pula macamlah tempat
duduknya sempit sangat sehingga menghimpit dia ke dinding
bas. Sesak nafas.
“Erk... Azim...”
“Ya, sayang.”
Gulp! Kesat.
Gila! Terlebih makan gula ke Azim malam ni?
Mata Azim redup memandang wajahnya sehinggakan
dia hampir tidak merasa apa. Kebas.
“Boleh tak kau jauh sikit? Aku tak selesa, susah nak
bernafas.” Senafas Nur tuturkan. Lama-lama duduk serapat
begini boleh mati sesak nafas.
“Opps. Maaf, sayang.” Sengih Azim. Kepala yang tak
gatal digaru. Dia berganjak membetulkan duduknya. Tidak
sedar dia rupanya hampir menghimpit Nur. Teruja dapat
peluang duduk rapat dengan pujaan hati, dia hampir gagal
mengawal gelora rindunya. Ini saat yang dinantikan.
“KAU TUNGGU apa lagi? Baliklah dulu. Angah aku dah
nak sampai ni.” Nur cuba halau Azim balik. Tapi lelaki itu
tetap tidak mahu berganjak dari sisinya. Masih lagi berwajah
tenang dan senyuman kacak.
‘Huh! Aku tak hairan pun. Makin menyampah
pulak tengok muka lagak macho Azim ni. Tak faham bahasa
rupanya mamat ni. Patutlah orang buat tak layan pun, datang
juga menginding. Angah ni pun satu. Orang dah WhatsApp
sebelum nak sampai lagi. Dah pukul 7 pun tak nampak batang
hidung dia. Memang nak kenalah!’
“Tak apa, saya tunggu. Lagipun risaulah awak sorang
kat sini.”
“Kau ni buta ke apa? Bukan aku sorang, ramai
lagilah. Tu, tu, tu... bukan manusia ke?” balas Nur rimas dan
geram. Bahasanya sudah tak terjaga lagi dah. Lantak dialah.
Tangan kanan Azim naik usap kepalanya. Bibirnya
tetap koyak senyum. Tak terasa pun. Hati rasa sayang nak
tinggalkan Nur sendiri. Lagipun inilah peluangnya untuk
berkenalan dengan abang Nur. Mana tahu boleh kamceng
nanti.
Melihat riak bersahaja dan tidak ada tanda mahu
bergerak pergi, Nur mendengus geram.
‘Suka hati kaulah Azim. Ada aku kisah kau teman
ke tak!’
Dia membelek telefon pintarnya mencari nombor
angah buat sekian kalinya. Dua kali telefon tadi jawapannya
tetap sama.
‘On the way. Kejap lagi angah sampai.’
Kejap apa kalau dah dekat setengah jam dia tercongok
kat sini. Melampaulah angah ni! Tak pernah datang cepat.
Azim pandang wajah masam dan tak puas hati Nur.
Masih lagi manis di matanya. Mana ada tak cantik kalau hati
dah sayang, kan? Yang busuk pun dikatakan berbau wangi.
Yang buruk pun dikatakan baik sahaja.
Dia perasan Nur menjelingnya. Namun tidak
dilarikan renungannya. Nak buat bekal dua tiga hari nanti.
Sengihan dipamer bila Nur memalingkan wajahnya. Tak
kisah pun. Dia yakin Nur akan jatuh hati padanya juga nanti.
“Assalamualaikum, adik.”
No comments:
Post a Comment