DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 13 February 2019

Silhouette - Bab 10

EMIR merenung kelibat Hadif yang sedang
duduk menghadap kolam. Majlis tahlil baru selesai, tetamu
juga sudah ramai yang pulang. Hanya tinggal keluarga dan
sahabat rapat saja. Itu pun masing-masing sudah mahu
berangkat pulang.
“Hadif...”
Diam tidak berjawab. Lelaki itu tidak bergerak
walaupun seinci. Masih tenggelam dalam lamunannya
sendiri.
Emir duduk dan tunduk. Nafas dihela perlahan.
Dalam keadaan begini, dia tidak sanggup untuk memberitahu
tentang hal itu. Seolah-olah meletak garam ke dalam luka
yang parah. Dia menoleh, memandang Hadif dari sisi. Lelaki
itu langsung tidak berkelip mata.
“Kau dah makan? Tadi aku tak nampak pun kau
jamah makanan,” soal Emir memecah suasana di samping
mahu menarik perhatian Hadif.
Masih sama. Tidak berganjak.
“Hadif, kau tak boleh macam ni. Kesian Thalea.
Macam mana Thalea akan kuat kalau abangnya begini? Dia
ada kau aje sekarang. Kau kena bagi semangat pada dia,
bukan lemah semangat macam ni.”
Wajah Emir dipandang. Ya, dia memang sedar akan
hal itu. Tapi dia manusia, sekuat mana pun dia cuba, rasa itu
tetap datang bertandang. Dia terkilan. Dia rasa bersalah.
“Kalau aku ada malam tu, kalau aku ikut papa aku
malam tu, mesti semua ni takkan jadi...”
“Kalau kau ada... benda nak jadi, akan jadi juga.
Allahuakbar... kita manusia, Hadif. Kalau dah tertulis,
memang kita tak mampu untuk menidakkan takdir. Kau kena
jaga apa yang kau ada sekarang. Thalea...”
Hadif meraup wajah lantas mencengkam rambutnya.
Kusut. Dia benar-benar kusut. Terlalu banyak perkara yang
dia perlu fikirkan sekarang. Namun benar apa yang dikata
Emir. Thalea, satu-satunya manusia yang mampu buat dia
kembali kuat. Tapi ada satu hal yang dia perlu tahu.
“Macam mana dengan siasatan? Ada jumpa apa-apa
tak?”
“Kau janganlah fikir pasal ni. Kau...”
“Macam mana aku tak fikir? Orang yang aku cari
selama ni bunuh papa aku. Aku akan cari dia sampai dapat!
Sama ada dia kena tangkap, atau aku sendiri yang akan bunuh
dia,” pangkas Hadif. Dia mengepal penumbuk.
Nafas dihela kasar. Melihat Hadif senekad ini buat
dia risau. Risau dengan respons yang bakal diterima jika tahu
yang lelaki itu digugurkan daripada kes ini. Seperti yang
ketua mereka katakan, Hadif akan menjadi emosi. Apatah
lagi lelaki itu bakal ditukarkan ke unit lain. Ternyata apa yang
dirisaukan benar-benar berlaku.
“Kau jangan fikirkan pasal tu lagi, boleh tak? Kau
kena bertenang dulu. Tuan izinkan kau cuti. Kau rehatlah.
Jangan fikir bukan-bukan.” Bahu Hadif ditepuk perlahan.
“Aku balik dulu, insya-Allah esok aku datang lagi.”
Hadif hanya mengangguk. Kelibat Emir dihantar
dengan lirikan mata. Lirikan mata tajam menikam. Dia sedar,
ada sesuatu yang disembunyikan lelaki itu. Bukan setahun
dua dia berkenalan dengan Emir.

HIDUNG THALEA mula pedih dek terlalu kerap dilap dengan
kain. Kepala usah dikata. Sakit. Air mata bagaikan tidak mahu
berhenti keluar. Thalea hanya membiarkan. Sudah malas
untuk menyeka apatah menahannya.
“Thalea... makan sikit, ya?”
Soalan Mak Cik Hasnah dijawab dengan gelengan.
Wajah wanita itu juga tidak dipandang. Thalea kekal duduk di
atas lantai dapur sambil memeluk lutut. Kosong memandang
hadapan.
Hatinya lebih pilu apabila tiada seorang pun
rakannya datang melawat. Atilia yang dianggap sahabat baik
juga tidak muncul.
Ya, dia lupa. Gadis itu tidak ikhlas berkawan
dengannya. Semua ini salah dan silapnya dalam memilih
kawan.
People pretend well. Bila dia dalam situasi yang
memerlukan seseorang, semua pergi. Terserlah sikap sebenar.
Dia memang sendiri. Tak ada sesiapa yang ikhlas berkawan
dengannya.
Mak Cik Hasnah sudah hilang punca. Dengan Hadif
termenung di luar, Thalea di sini. Dua-dua belum menjamah
sebarang makanan. Hanya meneguk air saja. Itu pun boleh
dikira berapa kali. Dia bangun. Nasi dan lauk-pauk yang siap
dihidangkan di atas meja hanya direnung sayu.
“Mak cik... nampak Thalea tak?”
Pandangan tertumpu ke arah lelaki di depannya.
Berpakaian Melayu berona ungu gelap dan berseluar jean
hitam. Kening bertaut. Belum pernah dia melihat lelaki itu
sebelum ini namun kelibat lelaki itu ada sepanjang majlis
tahlil tadi. Begitu juga semasa pengebumian jenazah Dato’
Mirza.
“Mak cik...”
“Oh... kawan Thalea ke ni?”
Razin mengangguk.
“Tu...” Mak Cik Hasnah mengalihkan pandangan
ke arah Thalea. “Dari tadi dia duduk di situ dalam keadaan
macam tu. Makan pun belum.”
Hidangan di atas meja dipandang.
“Tak apa, saya akan suruh dia makan,” Razin
menawarkan diri. Selepas itu dia menghadam kata-katanya
sendiri. Mata terbeliak, lalu dia menggeleng perlahan.
Lekas-lekas dia menidakkan rasa dan menggantikan dengan
rasa itu dengan simpati.
“Kalau macam tu, mak cik nak pergi cari Hadif
kejap. Manalah dia pergi...” semakin sayup suara wanita itu
usai meninggalkan ruang dapur.
Saat Razin ditinggalkan sendiri di ruang dapur
bersama Thalea, barulah dia memandang lama gadis itu.
Nafas dihela perlahan. Dia tahu, Thalea trauma. Melihat ayah
sendiri dalam keadaan begitu.
Pinggan yang sudah siap diisi dengan nasi dicapai.
Kuah daging masak kicap disenduk. Sudu diambil dan dia
melangkah perlahan menghampiri Thalea lantas duduk
di hadapan gadis itu. Ternyata gadis itu masih dalam
lamunannya. Tidak sedar yang dia ada di depan mata.
Sudu disuakan ke mulut Thalea sehingga sudu
bersentuhan dengan bibir gadis itu.
“Tak naklah mak cik...” Thalea menoleh ke kanan.
Tangan itu ditepis. Habis isi di sudu bertaburan.
Razin hanya tersenyum nipis. Dia tak pasti, kenapa
dia menjadi sesabar ini. Mungkin kerana dia mahu Thalea
menjamah sedikit nasi. Nasi disudu dan sudu disua lagi.
“Tak nak...”
Sudu ditepis lagi. Razin tidak berputus asa. Namun
kali ini Razin tidak menyudu nasi, hanya sudu kosong yang
disua. Dengan sengaja dibiarkan sudu bersentuh dengan bibir
Thalea.
“Mak cik... sa...” Thalea hilang kata usai memandang
wajah di depannya. Dia kaku.
Saat Thalea memandangnya, Razin tersenyum dan
kali ini barulah dia menyudu kembali nasi.
“Makan sikit, ya?”
“Saya tak ada seleralah, Razin...” Thalea mengubah
posisi duduknya. Dia bersila.
“Rasa dulu sikit. Kalau tak sedap, biar saya yang
makan. Tapi cuba rasa dulu...” pujuk Razin.
“Tapi...”
“Please,” cantas Razin. “Nanti awak tak ada tenaga.
Mungkin awak akan pitam. Thalea, awak tak kasihankan
abang awak ke?”
Jeda. Apa yang dikata Razin ada benarnya. Sekarang
ini, dia dan abangnya masing-masing harus menyalurkan
kekuatan antara satu sama lain. Dia tidak boleh terlalu
ikutkan hati dan pentingkan diri.
Melihat Thalea mula membuka mulut, Razin
mengulum senyum. Nasi disuap. Tanpa sedar, dia juga
membuka mulut.
“Sedap tak?”
Thalea diam dan hanya mengunyah saja. Dia juga
tidak memandang wajah Razin.
“Sedaplah tu, kan?”
Wajah Razin dijeling.
“Nak lagi tak?” Sengaja Razin mengecilkan matanya.
Mengusik. “Nak lagilah tu...”
Thalea mengangguk dan itu menggamit tawa Razin.
“Itulah... lain kali rasa dulu. Jangan ikut hati. Tak
makan, letih tau. Saya tahu awak memang takkan makan
banyak, tapi beberapa suap dah memadai. Nah...” Pinggan
diletakkan di atas riba Thalea.
“Kenapa?”
“Suaplah sendiri.”
Pinggan kembali diletakkan ke atas riba Razin.
“Awak suap. Kalau tak, saya tak nak makan.”
“Hesy, mana boleh macam tu. Nanti orang nampak.”
“Tadi tak fikir pula orang nampak?”
“Tadi tu nak pujuk awak makan. Sekarang awak dah
rasa nak makan. Awak suaplah sendiri.” Pinggan cuba diberi
kepada Thalea namun gadis itu lekas-lekas memeluk kembali
lututnya. Pandangan dilarikan.
Belakang leher digaru.
“Yalah, yalah. Nah... aaa...”
Menyimpul kembali senyum Thalea. Apa yang
dimakan bagai tiada rasa, namun senyuman Razin
memaniskan segala-galanya.
Dari jauh, Hadif hanya memerhati. Nafas lega
dihela sebaik saja melihat Thalea mula menjamah makanan.
Pandangan tertumpu pula kepada Razin. Entah kenapa,
dia rasa dengan adanya lelaki itu, adiknya akan selamat.
Kehadiran lelaki itu memang tepat pada masanya.

KEPALA DITELENG ke kanan dan kiri sebaik saja Razin
keluar daripada kereta. Kelopak mata diurut seraya dia
menguap. Kedua-dua belah tangan diangkat tinggi ke udara.
Mengantuk.
Sedang dia melangkah menghampiri pintu, pintu
dikuak dari dalam. Segar terus matanya.
“Uish, kau ni... terkejut aku!”
“Kau pergi majlis tahlil apa sampai lambat balik
macam ni?”
“Kut ya pun, bagilah aku masuk dulu.” Tubuh Khalil
yang menghalang jalan masuk dilanggar.
“Kereta buat hal ke?” Usai duduk, Khalil menyerang
lagi dengan soalan.
“Taklah, aku ada hal tadi. Takkanlah kau ni risau.
Baru pukul 12. Relakslah.”
“Bukan risau, pelik. Siang tadi beria-ia kau suruh aku
naik motor, kau nak naik kereta. Lepas majlis pengebumian,
kau lesap sampai malam. Macam manalah aku tak hairan.
Tapi...”
“Tapi apa?”
“Bukan tengah hari tadi kau pakai T-shirt ke?”
Pandangan Khalil tertumpu pada baju Razin.
Angguk.
“Kan aku cakap ada hal. Tak sempat nak balik tukar
baju untuk majlis tahlil nanti. Jadi aku bawa baju Melayu
siap-siap. Apa pasal kau tak pergi tadi?”
“Aku seganlah sorang-sorang.”
“Kau dah makan?”
“Dah, aku tapau aje.”
Remote TV dicapai. Siaran ditukar ke berita pukul
12. Berita perihal pembunuhan Dato’ Mirza menjadi topik
utama bukan saja di media sosial malah di media massa juga.
Semua topik menjurus pada pembunuhan bersiri disebabkan
bukti yang ditinggalkan.
“Aku nak tengok ni. Jangan tukar!”
Razin mencuri pandang wajah Khalil. Tekun lelaki
itu mendengar setiap butir bicara pemberita yang fasih
berbahasa Inggeris itu.
“Aku dah agak, mesti orang sama yang bunuh
pelakon tu. Tak selamat betul dunia zaman sekarang ni. Isy...
bunuh orang macam bunuh semut aje!”
Dek sedikit terkesan dengan kata-kata itu, Razin
berdeham dan bangun. Malas terus-terusan berada di situ.
“Dahlah, aku nak naik atas. Letih.”
Kaki melangkah tanpa menunggu kata balas.
Pandangan Razin mula bertukar resah. Langkahnya mati
di pertengahan anak tangga. Kelibat Khalil dipandang. Apa
yang perlu dia lakukan sekarang? Perkara itu benar-benar
buat otaknya bercelaru. Kemudian kata-kata Khalil
terngiang-ngiang.
Bunuh orang macam bunuh semut aje! Nafas Razin
sesak. Sedikit demi sedikit perkara itu terlayar dalam kepala.

***AKAN BERADA DIPASARAN, KELUARAN FEBRUARI 2019***  

Silhouette - Bab 9

SEBAIK saja Razin menghampiri meja, kelibat
Dato’ Mirza hilang. Dia meliar memandang sekeliling,
mencari, namun tiada. Pandangannya terhenti pada Thalea.
Hanya gadis itu saja yang kekal menunggunya di meja makan.
“Mana papa awak?”
Ternyata Thalea terkejut apabila Razin membuka
mulut. Melebar senyumannya apabila Razin sudah tidak
ber‘aku-kau’ dengannya. Ini satu peningkatan yang bagus.
“Lepas awak pergi toilet, dia bayar dan dia cakap dia
nak tunggu dalam kereta.”
“Kenapa awak tak ikut dia? Setakat nak cari kereta,
rasanya saya tak sesat lagi. Kalau awak dan papa awak nak
balik dulu pun tak ada masalah. Saya boleh naik teksi.”
“Sebab saya tunggu awak. Saya tarik balik kata-kata
saya tadi. Saya tetap akan ganggu awak sampai awak sukakan
saya...” Thalea bangun. “Jom?” Sempat lagi Thalea kenyit
mata.
Sepatutnya Razin rasa resah dengan kata-kata itu
namun anehnya dia bagaikan suka. Walau bagaimanapun,
rasa sebenar disembunyikan di sebalik riak wajahnya yang
kosong. Dia berdeham dan mula melangkah seiringan dengan
Thalea.
“Lagi awak sombong, lagi saya suka. Mencabar!”
“Isy, boleh tak jangan menjerit macam ni. Orang
dengar!” ucap Razin sebaik saja mereka berada di tepi kereta.
“Biarlah.” Pintu kereta dibuka, namun pandangan
masih tertumpu pada Razin. “Biar orang tahu yang awak akan
jadi milik saya nanti.”
Belum sempat Thalea berpaling untuk masuk ke
dalam kereta, tangan Razin laju menarik lengan Thalea,
kemudian menutup mata gadis itu sebelum memusingkan
badan Thalea agar memandangnya.
Tindakan itu benar-benar mengejutkan Thalea. Dia
hanya merenung kedua-dua belah tangan yang sudah melekat
di dada Razin.
Razin masih memandang hadapan dengan riak
terkejut. Tubuh Dato’ Mirza sudah terkulai layu dengan
tembakan tepat di tengah dahi. Manakala pemandu pula
terlentok pada stereng. Sekeping kertas yang berada di sisi
Dato’ Mirza direnung tajam.
“Kena... pa ni?”
“Stay still.”
Mata mereka bertaut. Tetapi renungan Razin
menambahkan gundah dalam hati Thalea. Thalea menggeleng
perlahan. Sesuatu telah berlaku kepada papanya.
Arahan diabaikan. Thalea meronta untuk berpaling
ke belakang. Dia merasakan ada perkara yang tidak kena.
Masakan papanya tidak bersuara apabila melihat mereka
serapat ini? Makin kuat Razin memegang, makin kuat
rontaannya. Tubuh Razin ditolak, laju dia berpaling.
Sejenak, masa dan nafas bagaikan terhenti. Tubuh
mula menggigil. Lemah lututnya. Tubuhnya hampir rebah.
Mutiara jernih mengalir tanpa esakan.
“Pa...”
Sekali lagi tangan Razin menutup matanya dan
tubuhnya dipusing perlahan. Thalea cuba meronta.
“Thalea... look at me...” Pegangan pada bahu Thalea
diperkemaskan.
Thalea angkat perlahan kepala.
Renungan mata Thalea menimbulkan satu rasa. Rasa
yang menggamit ke masa silam. Masa yang penuh dengan
titik hitam dan noda.
Razin menarik Thalea ke belakang kereta. Kepala
meliar memandang sekeliling. Keadaan seperti biasa. Tiada
pergerakan yang mencurigakan. Seolah-olah tiada sesiapa
pun yang sedar telah berlaku sesuatu yang dahsyat di sini.
Razin mengeluarkan telefon bimbitnya. Talian
kecemasan didail.
“Helo. Saya nak laporkan, ada pembunuhan di sini...”

TOMBOL PINTU direnung lama, lantas pintu bilik Hadif
dibuka perlahan tanpa diketuk. Hadif yang sedang melihat
sesuatu di skrin komputer segera menumpukan perhatian ke
arah Emir tatkala melihat wajah lelaki itu. Badan disandarkan.
“Kenapa kau ni? Buat terkejut aku aje. Dah tak reti
nak ketuk pintu ke?” Hadif tersenyum. Namun melihat wajah
Emir kekal serius, senyumannya mati.
“Ada kes...” Perlahan Emir bersuara. Dia serba salah.
Hadif bingkas bangun.
“Dia?”
Emir mengangguk. Dia hanya melihat Hadif kalut
mengambil barang-barang peribadi. Dia menjadi teragak-agak
untuk bersuara. Apabila Hadif berdiri di hadapannya, tangan
diangkat, memberi arahan agar Hadif berhenti.
“Kejap.”
“Tunggu apa lagi, cepatlah!”
“Hadif... aku nak kau bertenang dengan apa yang
bakal aku cakap ni.” Sebelah bahu Hadif dipegang. Otak
Emir ligat merangka ayat yang sesuai. Jauh di sudut hati, dia
benar-benar bersimpati dengan sahabatnya ini.
“Kau apa hal ni?”
“Mangsa kali ni... papa kau...”
Tangan Emir ditepis kasar. Pandangan Hadif
sudah bertukar tajam. Dia menapak ke belakang selangkah.
Berlegar-legar ayat itu bermain dalam kepala. Antara ingin
percaya atau tidak menjadi sama banyak.
“Kau jangan main-main macam ni. Tak kelakar.”
“Betul. Aku tak main-main. Baru saja ada orang call
tadi. Ada pembunuhan. Dalam kereta, berdekatan restoran.
Mayat dah dibawa ke hospital untuk bedah siasat dan...”
Tanpa menunggu kata balas daripada Emir, Hadif
melangkah laju beredar dari situ. Telefon bimbit dikeluarkan.
Nombor Thalea didail namun tidak berjawab. Berkali-kali dia
cuba namun keputusannya tetap sama. Hati yang resah kian
berganda.
Sebaik saja memboloskan diri ke dalam kereta, lokasi
Thalea dikesan dengan menggunakan aplikasi Find Friends.
Sebaik saja mengetahui lokasi, kereta dipandu laju.
Stereng digenggam kuat. Nafas Hadif kencang.
Teringat kata-kata papanya pagi tadi yang ingin membawa
Thalea dan mahu mengajak Razin ke restoran kerana mahu
membalas budi lelaki itu. Dia tidak dapat turut serta dek
kekangan kerja.
Apa yang ada dalam kepalanya kini berkecamuk.
Mengenangkan jika papanya benar-benar tiada, apakah yang
berlaku pada Thalea? Adiknya juga ada di situ.
Usai tiba di hospital, Hadif berlari laju ke kawasan
yang pada dulunya dia jejak apabila orang lain menjadi
mangsa. Sebaik saja melihat kelibat Thalea yang sedang
menangis di sisi Razin, langkahnya menjadi perlahan. Apa
yang perlu dia buat? Bagaimana dia mahu tenangkan Thalea
sedangkan dia juga tidak mampu melakukan perkara yang
sama.
“Lea...”
Thalea mendongak. Tatkala melihat wajah Hadif,
tubuh lelaki itu dirangkul erat. Esakan Thalea semakin
menggila.
“Abang, papa kena bunuh! Papa dah tak ada... papa
kena tembak. Abang, pergi tangkap siapa yang buat papa
macam ni... Tolong, abang... Tolong...” mengongoi Thalea
dalam pelukan.
Rintihan itu buat hati Hadif goyah. Seteguh dan
sekuat mana pun seseorang, apabila berhadapan dengan
kehilangan orang yang tersayang, pasti lemah. Akhirnya,
air mata lelakinya tumpah. Kini hanya dia tempat Thalea
bergantung.
Selama ini dia hanya melihat situasi ini daripada
waris mangsa-mangsa yang lain, tapi kini... dia merasai dan
melalui perkara yang sama.
Razin melihat situasi itu dengan perasaan bercampur
baur. Dia mengepal penumbuk. Dia memang sudah berjanji
untuk melupakan semuanya. Tapi kisah silam tidak mungkin
melepaskannya untuk melangkah ke masa hadapan dengan
mudah. Dia tidak boleh membiarkan mereka bermaharajalela
dengan makin angkuh. Hanya seorang yang mampu
selesaikan semua ini.
Raid!

“MANGSA DITEMBAK tepat di tengah dahi dan pemandu
ditembak juga di kepala, namun di sebelah kanan. Hasil
siasatan, suspek membuka pintu kereta di bahagian pemandu,
tembakan pertama dilepaskan. Kemudian dia menembak
mangsa kedua dari situ.”
ASP Ilyas dan Inspektor Emir fokus mendengar
penjelasan daripada seorang anggota unit forensik.
“Itu kawasan awam. Ada saksi?” soal Tuan Ilyas lagi.
Angguk.
“Ada seorang. Dia ditemui pengsan tak jauh dari
tempat kejadian. Dia dah sedar, tapi dia beritahu, dia tak
nampak wajah suspek. Belum sempat dia lari, suspek pukul
dia.”
“Tak ada saksi lain?” soal Emir.
Geleng.
“Tak ada tuan, malah tak ada sesiapa pun dengar
bunyi tembakan. Kami yakin senjata mempunyai silencer.”
“Walaupun guna silencer, tapi still akan keluar bunyi
walaupun perlahan. Takkan tak ada langsung yang dengar?”
Tuan Ilyas mula tidak puas hati.
Emir hanya mendengar, memang dia sudah sedia
maklum tentang itu.
“Lokasi kejadian berdekatan dengan jalan raya,
cuma terpisah dengan pokok. Kejadian pula malam minggu,
kawasan tu sering dilalui geng-geng motor. Mungkin bunyi
motor itulah yang tenggelamkan bunyi.”
“Mangsa pernah ada terima ugutan tak?” soalan itu
ditujukan kepada Emir.
“Kalau mangsa ada terima ugutan, mesti Inspektor
Hadif orang pertama yang akan tahu tuan,” jawab Emir lantas
pandangannya tertumpu ke arah anggota forensik itu.
“Macam mana pula dengan cap jari?”
“Macam sebelum ni, tiada kesan cap jari di kertas
mahupun di tempat kejadian. Kami masih lagi mencari
kesilapan yang mungkin pembunuh lakukan...”
“Macam mana pula dengan CCTV?”
“Kelibat dikesan, tuan. Suspek pakai serba hitam
tapi wajah memang tak nampak langsung.”
Tersandar Tuan Ilyas dan Emir. Semua soalan sudah
disoal namun semuanya tidak terjawab dalam erti kata
sebenar. Memang kes ini pasti akan menemui jalan buntu,
seperti kes-kes sebelumnya.
“Tak apa, awak boleh keluar.”
“Terima kasih, tuan.” Lelaki itu beredar dari situ
meninggalkannya dan Emir.
“Macam mana dengan Hadif? Bila jenazah akan
dikebumikan?” soal Tuan Ilyas tiba-tiba.
“Dia tak okey, tuan. Tadi masa nak bawa jenazah balik
rumah, dia memang tak okey. Jenazah akan dikebumikan
tengah hari ini dan jenazah pemandu pula sudah dibawa ke
Perak, tuan.”
“Emir, saya tak nak Hadif terlibat dalam kes kali ini
dan kes-kes sebelum ni. Saya gugurkan dia. Saya tak mahu
dia didorong dengan emosi dan menyebabkan dia bertindak
terburu-buru. Tuan Nizam juga sependapat dengan saya.
Saya izinkan dia bercuti beberapa hari. Lepas tu, dia mungkin
akan ditukar ke unit lain.” Tuan Ilyas bangun. “Awak pergilah
jumpa dia awal sikit. Kejap lagi saya pergi.”
Emir turut bangun apabila Tuan Ilyas mula bangun
dan beredar dari situ. Jam di tangan dikerling. Memang dia
berniat untuk pergi melawat jenazah dengan lebih awal.
Akan tetapi ada sesuatu yang merisaukannya. Bagaimana
dia hendak beritahu bahawa Hadif digugurkan daripada kes
ini malah lebih teruk lagi, Hadif bakal ditugaskan ke unit
lain? Pasti lelaki itu mengamuk kerana tidak dapat membela
kematian papanya.

TOMBOL PINTU dibuka. Suis lampu ditekan dan ruang itu
mula cerah. Kepalanya ditelengkan ke kiri dan ke kanan,
sekadar mahu mahu mengurangkan rasa sengal. Kelopak
mata diurut sebaik saja pintu dikunci. Langkah terarah ke
ruang tamu.
Remote televisyen dicapai dan dihidupkan, lalu objek
itu dilempar ke atas sofa. Dapur dituju. Panas betul hari ini.
Langkah Andy tiba-tiba mati. Keningnya berkerut.
Dia berpaling memandang ke arah TV. Langkah kembali ke
ruang tamu. Remote TV dicapai. Bila masa dia tukar channel?
“Kau tak suka ke cerita tu?”
Sebaik saja dia berpaling, wajahnya ditumbuk kuat.
Andy jatuh tersembam. Belum sempat dia mencapai pistol
yang disisip di pinggang, tangan kanannya dipijak, belakang
badan ditekan dengan lutut dan tengkuk dicengkam kuat
dengan tangan. Tangannya kiri yang bebas hanya mampu
terkapai-kapai.
“Raid!”
“Syhhh...” Razin mencapai remote TV dan suara
dikuatkan.
“Kau dah ingat?”
“Aku tak pernah lupa, Andy.”
Tangan pada tengkuk dilepaskan dan pistol di
pinggang Andy dicapai, kelopak peluru dibuka sebelum
dimasukkan balik. Masih ada 6 peluru berbaki.
“Macam mana kau...”
“Kau ingat lepas kau jumpa aku, aku duduk diam?
Kau ingat aku bodoh ke, hah?” Pistol dihala ke belakang
kepala. Tangan kiri mencengkam kembali leher lelaki itu.
“Raid... aku...” Kata-kata Andy terhenti apabila
tekanan lutut di belakang dan cengkaman semakin kuat,
begitu juga dengan tangan yang masih dipijak. Dia mula
mengerang.
“Takkan macam ni pun dah sakit? Belum pun kena
macam aku dulu. Aku datang sini bukan nak dengar kau
merayu. Aku cuma nak tahu, Karl buat apa semalam?”
“Aku tak tahu...”
Razin ketawa sinis.
“Kau tahu kan, aku takkan tanya untuk kali yang
kedua. Aku tak suka.”
“Raid...”
“Satu...”
Andy makin panik.
“Dua...”
“Okey, aku cakap! Dia ada job. Aku tak tahu siapa.
Sumpah! Cuma dia ada cakap yang lelaki tu ada pangkat dan
anak lelaki tu polis. Dia nak ajar polis tu sebab polis tu yang
siasat pasal semua kes-kes berkaitan kami.”
Razin diam. Hanya suara TV dan erangan Andy saja
bergema di ruang itu.
“Mana Akim?”
Mata Andy membulat. Dia takut untuk menjawab.
Jawapannya pasti akan membangkitkan lagi kemarahan lelaki
itu.
“Aku tanya mana Akim?”
“Dia... dia... dah mati...” gagap Andy menjawab.
Berderau darah Razin mendengarnya. Selama ini dia
menyangka tiada siapa tahu perihal Akim pada malam itu.
Pistol diletakkan di atas lantai, tubuh Andy dipusing.
“Siapa bunuh dia?” Bertalu-talu Razin menumbuk
Andy tanpa memberi ruang kepada lelaki itu menjawab
soalannya.
Mata Andy berpinar-pinar. Memang kekuatan
tumbukan Raid tidak pernah berkurang, malah semakin kuat.
Untuk membuka kelopak mata, dia juga sudah tidak mampu.
“Karl...”
Kolar baju Andy dicengkam. Kerana manusia
bergelar kawanlah dia jadi begini, dan kerana kawan juga
Akim mati!
Andy mula gerun. Jelas kelihatan wajah Raid seakan
mahu membunuhnya. Mata lelaki itu tajam umpama helang
meratah wajahnya.
“Aku minta maaf, Raid. Aku terpaksa ikut Karl
selama ni. Kalau tak, Karl akan bunuh aku juga!
“Kau dengar ni...”
“Aku takkan cakap pada Karl! Aku janji... aku akan
diam! Tolong lepaskan aku, Raid!” pangkas Andy.
“Aku dah terlalu lama diam dan biarkan Karl jadi
raja. Dia dah melampau! Kali ni aku takkan biar. Dan kau...
kau ingat kau boleh terlepas macam tu saja lepas apa yang kau
buat pada aku! Pada kami!” Tangan memegang leher Andy.
“Lepaskan aku, Raid. Aku minta maaf. Aku akan...
beritahu di mana Karl...”
“Syhhh...”
“Tolong...”
“Kalau kau betul nak bebas, aku kena lenyapkan kau
dari dunia ni. Lepas tu baru kau akan bebas.” Cengkaman
dikuatkan.
Andy menggelupur. Kekuatan Raid tidak mampu
dibolosi. Wajah bengis lelaki itu dipandang pohon simpati.
Renungan mata yang dia gerun selama ini kini terpampang.

Silhouette - Bab 8

Beberapa hari berlalu...

PANGGILAN dimatikan. Menyenget senyuman
Karl. Tugas yang diberikan beberapa hari lepas kini sudah
hampir ke penamatnya. Maklumat yang disampaikan sebentar
tadi memudahkan kerjanya. Lokasi dan masa yang sesuai
sudah diketahui. Dia hanya perlu pastikan beberapa perkara
saja lagi dan itu tidaklah sesukar mana.
Habuan berganda-ganda mampu menyemarakkan
lagi semangatnya. Dendam sesama manusia memang
tunjang utama ‘perniagaannya’ yang diwarisi daripada Tuan
Qaiser. Zaman sekarang duit menjadi raja, dan kuasa itu
permaisurinya.
Oleh sebab kali ini tidak boleh ada kesilapan, jadi dia
mahu selesaikan semuanya sendiri. Lagipun sudah lama dia
tidak turun padang.
Karl bangun, dan menapak ke bahagian timur
bilik. Kini dia berdiri di rak buku setinggi melebihi sedikit
ketinggiannya. Dengan mudah dia menolak rak itu ke kanan,
semudah menolak sliding door. Ada satu pintu di sebalik
rak buku itu. Sebaik saja dia memasukkan code, pintu itu
terbuka.
Bilik menyimpan senjata. Semuanya lengkap. Tali
pinggang yang digunakan untuk menyimpan senjata dibelek.
Senyuman nipis terbit.
Sebuah beg dicapai. Glock 17 ciptaan dari Austria
pula menjadi perhatian. Lengkap berpeluru. Ini saja sudah
cukup. Magazine berisi peluru penuh dibawa sebagai
persediaan dan dimasukkan ke dalam beg. Tidak dilupakan
silencer.
Kepalanya menoleh ke arah jaket dan kot yang
bersangkut. Dia mahu memakai pakaian seperti biasa. T-shirt
namun berkot di luar dan berseluar jean hitam. Kasual. Apa
yang perlu hanyalah penutup mulut dan itu hanya dibawa
dan turut dimasukkan ke dalam beg.
Usai keluar dari bilik itu, kelibat Andy sudah berada
di dalam biliknya.
“Aku tahu kau kawan lama aku. Tapi jangan main
masuk aje dalam bilik aku macam ni. Nanti orang takkan
respek aku. Kau faham tak?”
“Kau nak ke mana dengan beg tu?”
“Ada perkara yang perlu aku selesaikan. Jadi aku nak
check senjata aku.”
“Kau selesaikan sendiri?” soal Andy dengan nada
terkejut.
“Sebab aku tak yakin orang lain boleh selesaikan.
Mangsa ni bukan calang-calang orang.”
“Maksud kau... berpangkat?”
“Ya, berpangkat. Dan anak dia inspektor polis.
Polis yang siasat kes-kes berkaitan kita. Sebab tu aku nak
selesaikan sendiri dan aku tak nak ada sikit pun kesilapan.
Anak dia terlalu obsess nak tangkap kita. Sebab tu bila aku
dapat tugas ni, aku nak selesaikan sendiri. Biar aku ajar sikit
pegawai polis tu di samping dapat habuan.”
“Kau nak pergi sorang?”
Angguk.
“Selama ni memang aku selesaikan tugas
sorang-sorang pun, kan?”
Andy diam tidak berkutik, ada sesuatu yang
mengganggu fikirannya apabila dia menyebut ‘selesaikan
tugas sorang-sorang’ itu, namun dia hanya diam saja. Ada
perkara lain yang dia harus luahkan.
“Kau tak rasa ke kita patut risau pasal perkara lain?
Yang kita patut bersedia.”
“Raid?”
“Ya.”
“Lepas ni aku fikirkan pasal dia. Kau juga cakap
dia tak kenal kau. Jadi aku rasa dia takkan bawa masalah
apa-apa.” Karl terus ke meja. Punggung dilabuhkan dan beg
diletakkan di hadapan mata. Sarung tangan hitam dipakai.
Kertas tertera huruf H yang berada di dalam kotak khas
dicapai dan dipandang dengan senyuman sinis. Kertas yang
dia mahu letakkan di sisi bakal mangsanya. Sengaja dia buat
semua ini kerana mahu mencabar pihak polis.
Kertas itu hanya akan diletakkan pada orang
yang menjadi mangsanya saja. Selalunya dia hanya akan
turun padang apabila melibatkan mangsa berprofil tinggi.
Selebihnya Jay dan Sam yang selesaikan.
Andy akui Karl memang hebat di antara mereka
yang berada di sini. Namun masih ada seorang yang mampu
mematahkan Karl. Kerana itulah Karl menjadi seperti ini.
Raid!
Lelaki itu sebenarnya lebih gila. Dan itu yang
merisaukan dia kerana dia tetap rasa lelaki itu bahaya
walau dalam apa pun keadaannya. Kehebatan Raid memang
tidak mampu disangkal lagi walaupun lelaki itu ada satu
kelemahan. Namun jika tempur tanpa senjata, semua pasti
kalah dengan Raid.

TELEFON YANG berdering buat kesekian kalinya buat Razin
mula rimas. Nombor yang sama menelefonnya sejak beberapa
hari lepas.
Thalea!
Hesy, dia nak melepak di media sosial pun terganggu.
Ini semua salah Khalil! Murah hati sangat beri nombornya
kepada orang dah kenapa?
Sejak hari dia dipukul, dia diberi cuti 2 hari. Dan
pada hari dia dia bekerja, dengan sedaya upaya dia mengelak
apabila Thalea mencarinya. Gadis itu memang menakutkan
betul!
Tak cukup dengan ganggu secara fizikal, dia
diganggu pula secara mental. Pagi, petang, siang, malam
Thalea menelefonnya. Gadis itu memang tidak kenal betul
dengan perkataan putus asa. Sudahlah hari ini hari Sabtu.
Cutinya terganggu!
“Apasal tak angkat? Dari pagi tadi bunyi. Rimas aku
dari tadi zzz zzz... kalau silent, tolong matikan vibration
sekalilah...”
“Saja aku nak bagi kau terseksa.” Senada Razin
menjawab. Jelingan tajam dihadiahkan kepada Khalil.
“Hah?”
“Ini semua kau punya pasallah! Aku memang tak
puas hati betul. Kenapa kau bagi nombor telefon aku dekat
dia, hah?” Razin meluahkan apa yang terbuku di dada.
“Dah lebih daripada 10 kali kau tanya dan aku rasa
kau dah sedia maklum dengan jawapannya. Aku nak kau
kahwin.”
Razin mendengus kasar mendengar balasan Khalil.
Tak habis-habis dengan kahwin.
“Apa kata kau off aje telefon kau tu. Senang.”
Sepet mata Razin memandang Khalil yang sedang
minum kopi di meja makan.
“Dah berjam-jam aku off. Aku baru on sejam lepas,
dah lebih 20 kali dia call!”
“Mungkin dia nak tanya keadaan kau.”
“Aku dah cakap masa first time aku angkat call dia.
Aku okey, jangan ganggu aku. Perempuan tu memang tak reti
baha...”
“Assalamualaikum...”
Panggilan salam mematikan kata-kata Razin.
Terbeliak biji matanya. Dia bingkas bangun, memandang
wajah Khalil dan pintu silih berganti. Suara perempuan!
Tak... tak mungkin!
“Assalamualaikum, Razin... awak ada tak?”
“Waalaikumussalam. Ada ni haa,” selamba saja
Khalil menjawab.
Razin berdiri di hadapan Khalil sambil menggeleng
berkali-kali, memberi isyarat agar pintu tidak dibuka.
“Aku dah jawab salam. Sah-sah dia tahu yang kita
ada di rumah. Takkanlah aku nak jawab ‘rumah ni tak ada
orang’...” bisik Khalil lantas menonong saja dia ke muka
pintu walaupun dihalang buat kali kedua.
Razin hanya mampu pejam mata dan mengeluh.
“Razin, sini!” gamit Khalil.
Razin tidak punya pilihan lain. Lemah langkahnya
menuju ke muka pintu. Sebaik saja melihat dua manusia
di depan mata, dia terdiam dan terkebil-kebil memandang
wajah mereka silih berganti.
“Uncle...”
“Uncle nak kamu ikut uncle kejap, boleh?” pinta
Dato’ Mirza bersama senyuman. Wajah Thalea di sebelahnya
dipandang sekilas. Asyik betul anaknya memandang wajah
Razin.
“Tapi... saya...”
“Uncle cuma nak ajak kamu makan. Dah dua kali
kamu selamatkan anak uncle. Jadi malam ni, uncle nak balas
jasa kamu. Uncle berharap sangat.”
Dalam hati, Razin sudah bengang kerana Thalea
menggunakan papanya agar dia turut serta.
“Saya tak bo...”
“Masuklah dulu,” Khalil mencelah. Dia tidak mahu
Razin menolak pelawaan itu.
“Tak apa, uncle tunggu di luar aje. Kamu pun kalau
nak ikut, marilah.”
Khalil tersenyum.
“Tak apa uncle, saya nak jumpa orang. Kejap lagi si
Razin ni siaplah,” balasnya sebelum menarik baju Razin dari
belakang.
“Kau pergi siap sekarang...” gumam Khalil perlahan.
“Kau menipu, eh? Kau nak jumpa siapa?”
“Aku nak jumpa Megan Fox kejap lagi, dalam TV. Ada
Transformers. Dah, kau pergi siap!”
Makin mendidih darah Razin apabila mendengar
jawapan Khalil.
“Alasan tu tak relevan! Aku tak naklah...” bantah
Razin dengan gigi yang diketap.
“Jangan mematahkan hati orang yang lebih tua.
Dia berharap sangat. Kau pergi aje. Lepas tu, kau bincang
elok-elok dengan Thalea. Settle face to face lebih mudah.
Dah, pergi siap!” Tubuh lelaki itu ditolak.
Kalau ikutkan memang Razin mahu membantah,
tapi ada betulnya juga apa yang dikatakan Khalil. Jadi,
Razin naik laju ke tingkat atas untuk menukar pakaian. Dia
perlu selesaikan semuanya malam ini. Tak sanggup rasanya
diganggu setiap hari. Biarlah malam ini menjadi kali terakhir
dia rasa begini. Biarpun apa yang dikata bakal melukakan hati
seseorang, tapi dia tidak peduli.
“Kau pakai macam ni aje? Warna tak menarik
langsung,” tegur Khalil sebaik saja Razin memijak anak
tangga terakhir.
Baju T-shirt kelabu yang dipakai dibelek.
“Apa masalahnya? Kau tahu tak, ni warna orang kaya
tau. Kau pernah nampak Mark Zuckerberg pakai baju warna
merah?”
Kali ini giliran Khalil membelek bajunya. Panas
betul hati apabila mendengar Razin ketawa. Kelibat lelaki itu
dihantar dengan mata yang sepet. Langkah Razin diekori.
“Behave sikit depan bakal pak mentua,” bisik Khalil
perlahan.
Oleh kerana dia sudah berdiri di muka pintu, Razin
sabar saja daripada membalas kata-kata Khalil. Usai memakai
kasut, dia mengekori langkah Dato’ Mirza dan Thalea. Dia
sedar Thalea asyik mencuri pandang ke arahnya. Tak selesa
betul!
Sebaik saja sampai di kereta, seorang pemandu
menghadiahkan senyuman kepada Razin dan siap membuka
pintu untuk Dato’ Mirza. Saat itu, Razin terus menyuarakan
kehendaknya.
“Err, saya duduk di depan ajelah, boleh?”
“Boleh, asalkan kamu selesa.” Dato’ Mirza menjawab
dengan senyuman dan itu melegakan hati Razin. Lega kerana
tidak memaksa persis anak perempuannya.
Sepanjang perjalanan, Razin hanya menjawab
apabila ditanya saja. Selebihnya dia mendengar dua beranak
itu berborak. Pemandu yang berusia dalam lingkungan 40-an
itu juga hanya mendiamkan diri.
Tak lama selepas itu, sebuah restoran mewah
terpampang di hadapan mata. Mereka turun betul-betul di
hadapan restoran dan kereta meluncur pergi.
Dato’ Mirza melangkah terlebih dahulu.
“Razin...”
Panggilan Thalea mematikan langkah Razin
seketika. Dia berpaling. Anak mata mengekori gadis itu
berjalan sehingga berada di sebelahnya. Mereka melangkah
seiringan.
“Kenapa awak tak angkat bila saya call awak? Saya
cuma nak tanya khabar awak... nak tahu awak dah okey ke
tidak. Saya pergi pejabat, awak tak ada...” Suara Thalea
perlahan dan kedengaran sayu.
Itu membuatkan perasaan serba salah menjentik
tangkai hati Razin. Dia hanya mendiamkan diri. Tadi bukan
main, kata nak selesaikan semuanya, tapi apabila mendengar
Thalea berkata begitu, segala ayat yang sudah dikarang
menjadi tunggang terbalik.
Selain mak long, pak long dan Khalil, belum pernah
lagi ada orang mengambil berat tentangnya sebegini rupa.
“Kalau awak rasa tak selesa, lepas ni saya takkan
ganggu awak lagi. Saya tengok awak pun dah okey. Cuma
saya minta satu aje. Papa saya betul-betul nak balas jasa
awak, jadi awak janganlah menolak, ya? Awak jangan risau,
dia cuma nak belanja makan aje.” Thalea menghadiahkan
senyuman nipis lalu membuka langkah dengan lebih besar
untuk menghampiri papanya yang sudah duduk. Sengaja dia
berkata begitu. Sekarang ini, dia kena main tarik tali.
Razin kaku. Nafas dihela perlahan. Adakah dia
terlalu pentingkan diri dan sombong? Untuk mengurangkan
rasa bersalah, dia perlu beriak biasa, malah harus menghargai
apa yang berlaku sekarang. Senyuman terukir. Dia melajukan
langkah. Sebaik saja dia duduk, buku menu yang dihulur
pelayan dicapai.
“Apa yang kamu nak makan, oder saja. Jangan
segan-segan.”
“Saya tak kisah, uncle. Apa pun yang uncle pesan,
saya makan aje. Lagipun saya tak biasa makan di sini. Jadi,
saya tak tahu nak pilih yang mana.” Kepala yang tidak gatal
digaru seiring dengan senyuman.
Jawapan Razin menggamit jelingan Thalea. Buku
menu di tangan sudah tidak dipedulikan. Bersinar matanya
memandang senyuman lelaki itu. Kalau dia sendiri di dalam
kamar, pasti sudah melompat kegirangan kerana teruja.
“Lea pun ikut papa aje.”
“Kalau macam tu, okey... biar papa oder
memandangkan papa selalu makan di sini.”
Perihal memesan makanan, Razin dan Thalea
serahkan 100 peratus kepada Dato’ Mirza. Razin hanya
melilaukan mata memandang sekeliling. Restoran ini tidak
begitu ramai. Nak kata tak terkenal, tak mungkin. Restoran
ini boleh tahan terkenalnya. Pernah tular. Adakah kerana
harga atau mereka datang terlalu awal, oleh sebab itulah
tidak ramai pelanggan? Razin memegang kemungkinan
kedua, mungkin mereka datang terlalu awal. Nanti ramailah
yang datang.
Sebaik saja dia memandang ke arah Thalea, gadis itu
sedang menongkat dagu dan memandang ke arah papanya.
Ketika itu, Razin akui Thalea memang cantik orangnya.
Wajah Thalea diteliti.
“Haaa Razin, kali ni barulah boleh borak lama sikit.
Hari tu tak sempat.”
Pandangan Razin terus tertumpu ke arah Dato’
Mirza. Dia mengawal riak. Dalam hati berdetak kencang.
Harap-harap Dato’ Mirza tidak menyedari tindakannya tadi.
“Ya, betul. Hari tu lewat sangat.”
“Uncle tak tahu nak balas budi kamu macam mana.
Thalea ni satu-satunya anak perempuan uncle. Kalau kamu
tak ada, entah apalah nasib dia. Terima kasih sangat-sangat.”
“Kebetulan saja saya ada di situ. Dan kali kedua tu,
sebab Thalea nak belanja saya makan.”
“Itu yang dia beritahu uncle. Jadi sebab itulah uncle
ajak malam ni sebab tak jadi nak makan hari tu. Erm, uncle
nak tanya sikit, boleh?”
Angguk. Sesekali Razin menjeling ke arah Thalea.
Gadis itu kini merenungnya. Dia menjadi semakin tidak
selesa namun senyumannya tetap dikekalkan.
“Kamu asal dari mana?”
Mendengar saja soalan itu, Thalea membetulkan
duduknya. Ini yang dia tunggu-tunggu. Sudah lama dia ingin
mengetahui dengan lebih lanjut perihal Razin. Jika dia yang
menyoal, belum tentu Razin akan menjawab.
Berbeza dengan Razin. Dia bagaikan kehilangan kata
apabila soalan itu terpacul keluar. Mata dipejam seketika.
Dia menarik nafas dan senyuman yang mati terukir kembali.
Lupakan yang dulu, kini dia sudah punya keluarga sebenar.
“Saya asal dari Pulau Pinang. Keluarga saya tinggal
di Pulau Aman.”
“Oh, orang utara rupanya. Jangan salah faham tau,
uncle cuma nak kenal kamu dengan lebih dekat lagi. Jangan
fikir yang uncle ni menakutkan pula, ya?”
Tawa Razin meledak.
Indah. Itu saja yang mampu Thalea gambarkan.
Razin, merdunya suara lelaki itu ketawa. Mungkin dengannya
lelaki itu agak kasar, tapi apabila dengan orang yang lebih
tua, perwatakan Razin berubah 180 darjah; daripada kasar
menjadi lembut; daripada sombong menjadi peramah. Itu
yang menyebabkan Thalea semakin sukar untuk melepaskan
lelaki ini.
Thalea mengulum senyum. Tadi bukan main nak
tarik tali, sekarang rasa macam tak sanggup pula. Beg tangan
dicapai. Dia perlu melihat wajahnya, touch-up bedak sedikit.
“Lea nak pergi ladies kejap.”
“Kalau tak pergi ladies tak sah...” ucap Dato’ Mirza
setelah kelibat Thalea hilang daripada pandangan.
“Biasalah, selalunya orang perempuan memang
macam tu.”
Perbualan mereka terhenti seketika apabila pelayan
menghantar minuman.
“Terima kasih.”
Gerak-geri Razin yang mengucapkan terima kasih
kepada pelayan membuatkan Dato’ Mirza makin yakin
dengan naluri kebapaannya. Jika anaknya mahu mencari
rakan, mencari pasangan... dia yakin, Razin memang
sesuai. Dia sudah tahu sedikit sebanyak tentang lelaki ini
sebenarnya. Razin merupakan seorang despatch di syarikat
rakan niaganya. Bekerja belum lagi sampai sebulan. Itu saja
yang dia tahu.
“Razin...”
“Ya?”
“Kamu tahu yang Thalea sukakan kamu?”
Terbatuk Razin dibuatnya. Air yang baru tiba disedut
sedikit.
“Sa... ya...”
“Jangan risau, uncle bukan jenis memaksa.
Terpulang pada kamu. Cumanya, uncle kenal anak uncle, dia
takkan give-up macam tu aje. Kalau kamu rasa rimas, cakap
ajelah dengan dia elok-elok. Tapi kalau jodoh kamu dengan
dia, legalah hati uncle ni. Kalau jadi apa-apa pada uncle,
kiranya dah ada orang yang menjaga dia. Kamu dan Hadif.”
Razin hilang punca. Tak tahu mahu memberikan
reaksi bagaimana, dan akhirnya dia hanya mampu tersenyum
saja.

DARI JAUH, seseorang tersenyum sinis memandang ke arah
dua manusia. Anak mata fokus pada target. Lelaki yang duduk
di hadapan adalah target dan yang membelakanginya, dia
tidak peduli. Yang penting, dia yakin kerjanya akan selesai
pada malam ini.

Silhouette - Bab 7

“LEA tak sangka yang Faris sanggup buat
sampai macam tu, abang.” Thalea memandang sepintas lalu
ke arah Razin. Mereka baru saja selesai membuat laporan
polis. Bukti video yang terdapat pada dashcam juga sudah
diserahkan untuk membantu siasatan. Kesemua ditangkap.
“Abang, Razin tak salah apa pun. Dia nak pertahankan
diri dia dan dia pun teruk kena pukul. Lea saksi. Bukti pun
dah ada. Dia takkan kena tindakan apa-apa, kan?” soalnya
lagi. Kali ini siap dengan memegang tangan Hadif.
Bibir tersenyum nipis. Bahu adiknya disentuh
lembut.
“Jangan risau, insya-Allah tak...” jawab Hadif
sekadar mahu mengurangkan risau adiknya. Dia yakin,
mana mungkin ayah Faris akan diamkan diri. Dia akan cuba
menolong pegawai yang menyiasat kes ini berdasarkan bukti
yang ada.
“Sekarang ni Lea pergi bawa Razin ke klinik. Abang
ada perkara nak selesaikan. Jaga diri, drive elok-elok, malam
ni insya-Allah abang balik.”
“Okey... take care...” Thalea mengatur langkah ke
arah Razin. Lelaki itu hanya tunduk memandang lantai.
Tangan kiri Razin melekat pada bahu kanan. Melihat keadaan
itu, jatuh rasa kasihan. Kerana dia, sekali lagi Razin menjadi
mangsa, malah kali ini lebih teruk kesannya.
“Awak, jom kita ke klinik.”
“Tak perlu.” Razin bangun. “Hantar saja aku balik
ofis. Ada benda yang aku kena buat.” Dia terus melangkah.
“Tapi...” Bahu Razin dipegang. Tertunduk lelaki
itu dibuatnya, menahan sakit. Lekas-lekas Thalea menarik
tangan. “Sorry, sorry! Tengok, dalam keadaan macam ni pun
nak berdegil lagi.”
“Yang kau nak kisah aku degil ke tidak ni kenapa?
Kalau kau terus hantar aku ke ofis, kau tak payah susah-susah
nak bawa aku ke klinik, aku boleh pergi sendiri. Aku nak
mudahkan kerja kau, kau kata aku degil?” Langkah diteruskan
tanpa menunggu kata balas daripada Thalea.
Sepet mata Thalea memandang kelibat Razin. Geram
kerana kedegilan lelaki itu. Kalau macam tu, tak mengapa.
Jika dia tidak dapat dengan cara lembut, dia akan buat dengan
cara paksa. Yang pasti, dia tetap akan bawa lelaki itu ke klinik!
Sekarang ini biar dia pula tunjukkan kedegilannya.
Usai masuk ke dalam kereta, Thalea hanya
mendiamkan diri. Dia tidak pasti bagaimana reaksi lelaki itu
tentang keputusannya tapi dia perlu cuba. Kereta dipandu
terus ke klinik.
Sepanjang perjalanan mereka hanya mendiamkan
diri. Sebelum Thalea menghala ke arah bertentangan dengan
ofis Razin, dia menoleh sekilas memandang figura lelaki itu
yang sedang merenung ke luar tingkap. Thalea menggigit
bibir dan menghala ke kanan. Razin tidak memberikan
sebarang respons. Sepatutnya dia berada lega, tetapi entah
kenapa perasaan risau melebihi segala. Apa yang lelaki itu
fikirkan sampai langsung tidak sedar? Namun pemanduan
tetap diteruskan.
Beberapa minit kemudian, Razin tersedar daripada
lamunan dan kepala melilau pandang kawasan jalan. Ini
bukan jalan untuk kembali ke ofisnya!
“Kau nak ke mana ni?” soalnya dalam keadaan
terpinga-pinga. Wajah Thalea dipandang.
“Saya nak bawa ke klinik.”
“Kan aku cakap tak payah, maknanya tak payahlah!”
“Saya tak peduli.”
“Berhenti!”
“No!”
“Thalea!”
“Ya saya...” Thalea memandang Razin bersama
senyuman manis dan mata dikerlip berkali-kali. Tindakan itu
membuatkan Razin kaku. Dia kekal begitu dalam beberapa
saat sebelum tersedar daripada lamunan.
“Dah, dah pandang depan! Tak pasal-pasal dua-dua
masuk hospital karang.”
“Jadi awak setujulah ni...”
Diam.
“Razin!”
“Kalau aku kata tak pun kau nak bawa jugak, kan?
Apa pilihan aku ada?”
“Haaa, macam itulah. Dengar cakap. Good boy.”
Terpejam mata Razin mendengar ayat itu. Good boy?
Dengan sedaya upaya dia cuba menahan diri daripada meletup.
Thalea ini memang benar-benar menguji kesabarannya!

USAI MENDENGAR bunyi enjin motosikal di hadapan rumah,
Khalil menerpa laju ke muka pintu. Mendengar daripada staf
mengatakan Razin minta cuti separuh hari membuatkan dia
hairan. Apabila ditelefon, lelaki itu hanya berkata ‘nanti aku
cerita’ saja.
Sebaik saja daun pintu dibuka, jatuh rahangnya.
Terkejut melihat wajah Razin apabila lelaki itu menanggalkan
topi keledar.
“Kau kenapa ni?”
“Kena pukul.” Perlahan saja Razin menjawab. Malas
untuk berdalih lagi.
Topi keledar diletakkan di dalam raga. Saat ini,
hanya katil yang terbayang di depan mata. Badan mula terasa
sakit. Namun, memikirkan yang dia belum mandi dan solat,
nampaknya dia perlu tangguh dulu keinginannya. Yang wajib
perlu dibuat terlebih dulu. Lepas itu bolehlah dia baring
selama mana pun yang dia mahu.
“Kenapa kau kena...”
“Nanti aku explain. Aku tak larat ni,” pangkas Razin.
Kelopak mata diurut. Dia mahu masuk ke dalam rumah,
namun tubuh Khalil menghalang.
“Yang kau tercegat tengah-tengah ni kenapa? Tepi
sikit... aku nak masuk...”
Khalil masih tidak berganjak. Razin kembali
memandang Khalil. Sahabatnya itu sedang merenung sesuatu
di belakangnya. Dia turut berpaling.
Kini gilirannya pula melopong. Terkejut bukan
kepalang apabila Thalea turut berada di situ. Tersenyum
memandang ke arah mereka.
Badan segera dipusingkan menghadap Thalea.
Mencerlung mata Razin memandang gadis itu.
“Kau ikut aku ke, hah?”
“Awak tertinggal ubat. Nak tak nak saya terpaksalah
ikut. Lagipun kalau awak tak makan ubat ni, nanti awak
lagi sakit.” Sebenarnya jika Razin tidak tertinggal ubat pun
Thalea tetap akan mengekori lelaki itu pulang. Dia risau
Razin menunggang motosikal dalam keadaan begitu.
Plastik berisi ubat yang dihulur Thalea direntap
kasar. Tanpa membalas apa-apa, Razin menolak tubuh Khalil
dan memboloskan diri masuk ke dalam rumah. Dia tidak
mahu Thalea terlalu rapat dengannya. Perasaan itu... dia
tidak boleh rasa begitu! Dia tidak boleh menerima orang lain
dalam hidupnya. Cukuplah dengan apa yang dia ada sekarang.
Dia bahagia begini.
“Minta maaflah, dia tu memang kasar sikit.” Akhirnya
keluar juga suara daripada mulut Khalil.
“Tak apa. Dia kena pukul sebab selamatkan saya tadi.
Lepas tu saya paksa dia ke klinik pula, itu yang dia marah
sangat kut.”
Khalil mengangguk perlahan tanda memahami apa
yang baru berlaku.
“Patutlah. Dia memang anti klinik dan hospital.
Entah apa yang dia takut pun tak tahulah.”
“Boleh saya minta tolong?”
“Tolong? Nak minta tolong apa?”
“Boleh bagi saya nombor telefon dia?” Nak tak nak,
Thalea terpaksa tebalkan muka. Jika tidak, sampai bila dia
takkan tahu nombor telefon lelaki itu. Tak mungkin Razin
akan memberitahunya. Peluang dah ada depan mata, mana
boleh dia sia-siakan!
Melebar senyuman Khalil. Berdasarkan
pemerhatiannya, dia boleh meneka sedikit sebanyak apa
yang berlaku. Nombor telefon yang sedia ada dalam kepala
diberitahu.
Sebaik saja gadis itu beredar, langkah dipanjangkan
ke bilik Razin. Dia mengintai sedikit pintu yang terbuka. Razin
sedang menanggalkan kemejanya. Melihat keadaan badan
Razin yang lebam dan bekas parut lelaki itu membuatkan
Khalil terkenangkan perkara itu semula.

“PAK LONG, rasanya ikan dah banyak ni. Sekarang pun
dah lewat. Jom baliklah. Karang mak long membebel pula,
memancing sampai tak ingat nak balik.”
“Dapat ikan lagi seekor, kita baliklah. Dah lama pak
long tak memancing ni. Sekali-sekala Lil balik, baru boleh...
Pak long nak pergi sorang mak long hang bukannya bagi.”
Khalil hanya mampu menggeleng. Semangat pula
bapa saudaranya pagi-pagi buta ini. Dia mula menyimpan
joran dan mahu berehat. Dia membiarkan Encik Ahmad
asyik dengan pancingnya. Dia hanya duduk dan membuang
pandang ke arah langit. Bintang dan bulan galak menonjolkan
diri.
Kemudian dia memandang ke arah jambatan dan
dia terlihat sesuatu. Pada mulanya matanya sepet namun
berselang beberapa saat bertukar terbeliak. Takkanlah!!!
Enjin bot pantas dihidupkan. Lampu yang menerangi bot
dipadamkan. Tolonglah, biarlah apa yang dilihat itu hanya
satu ilusi.
“Lil... kenapa ni? Sikit lagi aja nak dapat ikan. Hang
ni! Yang padam lampu tu pasaipa?”
“Pak long, tunggu sini! Jangan buka lampu tu.”
Lampu suluh kalis air dicapai.
“Nak buat apa tu?”
Tanpa membalas, Khalil terus terjun ke dalam air.
Encik Ahmad mula panik dengan tindakan Khalil secara
mendadak itu. Memanglah anak saudaranya itu jaguh dalam
sukan renang, tapi sekarang ini malam. Pandangan terhad.
Hanya bergantung pada lampu suluh itu saja. Kenapa Khalil
terjun dengan tiba-tiba?
“Allahuakbar, Lil!” Niat untuk mencapai lampu
terbantut tatkala teringatkan pesanan Khalil. Tapi dalam
keadaan begini, dia lebih risaukan keadaan anak saudaranya.
Lampu suluh yang hampir kehabisan bateri diambil.
Diketuk-ketuk lampu itu sehingga mengeluarkan sedikit
cahaya malap. Kawasan di mana Khalil terjun disuluh.
Debaran di dada kian menggila.
Tak lama selepas itu Khalil muncul malah dengan
seorang lelaki dalam pelukannya. Sedikit sebanyak itu
melegakan Encik Ahmad tika melihat anak saudaranya
selamat.
“Pak long, padam lampu! Cepat... tarik dia!” Dek
basah, badan menjadi berganda beratnya. Dengan kudrat
yang ada, Encik Ahmad menarik dan Khalil menolak dari
bawah sebelum dia naik ke dalam bot.
“Siapa ni?”
“Tak tahu! Pak long, kita kena pergi sekarang!”

“KITA KENA bawa dia ke hospital, teruk sangat ni. Allah,
siapa yang buat dia jadi macam ni?” lirih suara Puan
Fatimah menyapa. Belakang badan lelaki yang meniarap,
dilap dengan berhati-hati. Setiap kali tuala suam menyentuh
kesan torehan, badan lelaki itu seolah-olah terkena renjatan
elektrik seiring dengan suara menyeringai. Nafas kencang
walaupun mata terpejam rapat. Menggigil tangan lelaki itu
menggenggam bantal.
Encik Ahmad juga memikirkan perkara yang sama
namun terkenangkan apa yang dirayu lelaki itu dan apa yang
dipesan Khalil, dia menggeleng.
Hati turut kasihan melihat keadaan lelaki itu. Wajah
bengkak. Belakang badannya bukan saja terdapat kesan
torehan, malah lebam berbirat dek dipukul. Turut terdapat
kesan melecur seolah-olah ditekap dengan besi panas. Di
bahagian betis juga terdapat kesan lebam.
“Lil, kalau kita tak bawa dia, mak long risau kalau
dia...” Tak sampai hati Puan Fatimah untuk menyebut
perkataan itu tapi itulah yang paling dia risaukan.
“Mak long, kita kena ikhtiar cara lain dulu. Esok
baru kita bawa dia, okey?”
“Tapi...”
“Mak long, percayalah... kalau kita bawa dia sekarang,
bukan saja dia, malah kita pun dalam bahaya, mak long.”
Ya, Khalil masih ingat apa yang dipinta lelaki itu tadi.
‘Jangan bawa dia ke hospital’ dan ‘jangan beritahu sesiapa’.
Pasti ada sebab utama lelaki itu merayu begitu. Malah Khalil
juga berasa tidak sedap hati walaupun dia tidak tahu punca
sebenar.
Terdiam Puan Fatimah dibuatnya. Dia ingin bertanya
dengan lebih lanjut, namun apabila difikirkan-fikirkan semula,
ini bukan masa yang sesuai walaupun bermacam-macam
soalan berlegar-legar dalam kepalanya.
“Habis kita nak buat apa ni?” soal Puan Fatimah lagi.
“Lil tahu nak buat apa. Tapi benda paling utama
sekarang, kita kena bagi dia tinggal di sini.” Khalil sedar
dengan keputusannya. Jika sesuatu buruk berlaku, pasti
nama baik keluarga itu akan tercalar.
Namun apa pun dia akan ikhtiar cara lain. Jika
keadaan makin buruk, dia akan bawa lelaki itu ke hospital.
Mungkin bukan hospital di kawasan Pulau Pinang. Dia akan
minta tolong kawan-kawannya di sini untuk bantu.

ANAK MATA menjeling ke arah Razin yang enak menjamu
selera di hadapan televisyen seolah-olah tiada apa yang
berlaku. Kesan lebam pada wajah lelaki itu ditenung.
Takkanlah Razin langsung tidak berasa sakit?
“Macam mana kau boleh makan dengan selera
sedangkan muka dan badan kau dah macam pisang lebam?”
Terhenti suapan dan kunyahan Razin. Dia menoleh
sekilas kemudian tumpuannya kembali pada pinggan.
“Benda sikit aje. Aku pernah kena lagi teruk
daripada ni, jadi aku tak kisah... dah lali...” jawab Razin tanpa
memandang wajah lelaki itu. Nada perlahan namun masih
sampai di pendengaran Khalil.
Nafas dihela perlahan. Khalil faham benar dengan
apa yang dimaksudkan oleh Razin.
“Aku dari tadi tunggu kau explain, apa yang jadi
sebenarnya?”
“Ingat aku tolong orang malam tu?”
Angguk.
“Mamat tu tak puas hati dengan aku, angkat geng.
Ingat aku bodoh ke apa nak jadi punching bag? Memang
mampuslah dengan aku. Dia sendiri cari pasal. Aku cuma
mempertahankan diri.”
“Mempertahankan diri apa kalau kena pukul sampai
macam ni?”
“Aku saja biar dia pukul aku. Kalau tak, nanti aku tak
ada motif untuk pukul dia balik. Lagi satu, aku nak kumpul
bukti.”
“Perempuan tu girlfriend kau ke?”
Tersedak Razin dibuatnya. Pinggan yang dipegang
diletakkan di atas tikar dan dia berlari laju ke dapur untuk
mengambil air.
Mengekek Khalil ketawa melihat reaksi Razin. Ruang
itu kini berselang-seli dengan ketawa dan batuk.
“Perempuan tu bukan siapa-siapalah!” jerit Razin
dari dapur. Bengang dibuatnya. Kenapa Khalil boleh fikirkan
tentang perkara itu?
“Habis tu macam mana kau boleh ada dengan dia
tadi?” Kelibat Razin yang baru muncul diekori dengan lirikan
mata.
“Dia... dia...”
“Haaa, gagap! Aku beritahu mak long!”
Razin duduk di hadapan Khalil.
“Janganlah! Weh... kau ni... sikit-sikit nak mengadu,
dasar manja...”
“Aku tak tahu yang kau ni bodoh atau apa. Tapi gadis
tadi tu memang ambil berat pasal kau. Kau boleh jual mahal.
Berlagak! Mentang-mentang tengah laku.”
Dengusan kasar dilepaskan. Sesi ceramah perihal
perkahwinan pasti akan menyusul pula selepas ni. Pinggan
yang diletakkan tadi dicapai. Selera untuk makan sudah
patah. Tapi dia harus paksa diri juga menghabiskan makanan
yang masih berbaki kerana tidak mahu membazir makanan
yang ditapau Khalil.
Namun suasana hening seketika sebelum Khalil
kembali bersuara. Nadanya berubah.
“Aku tak tahu apa yang dah jadi dengan hidup kau
dulu, Razin. Yang aku tahu, perkara tu perit. Tapi, aku cuma
boleh cakap... kalau kau nak bahagia, kau tak boleh dibayangi
masa lalu. Jangan seksa diri kau. Sementara jalan bahagia
terbentang luas, kau kena mula melangkah. Jangan kau kekal
di jalan yang sama; gelap dan hanya memandang ke arah
cahaya. Ingat, Allah ada...” Bahu Razin ditepuk perlahan.
Khalil bangun dan menuju ke biliknya.
Razin kaku. Suapan dan kunyahan terhenti. Ya,
berkata-kata memang mudah. Tapi apa yang dia telah buat
dulu memang terlalu salah. Sukar untuk dia melangkah.

Silhouette - Bab 6

RAZIN melangkah perlahan. Dia baru saja
selesai memberikan surat-surat balasan syarikat lain serta
memulangkan beberapa borang Poslaju kepada pekerja
syarikat yang meminta bantuannya untuk menghantar
barang peribadi mereka.
Untuk hari ini, setakat ini... tugasnya di luar selesai
namun selepas makan tengah hari, dia kembali ke pejabat
untuk selesaikan beberapa surat yang perlu diagihkan ke
setiap jabatan.
Jam juga sudah berganjak ke angka 2. Lambat pula
hari ni dia rehat. Sebaik saja pintu lif terbuka, langkahnya
terbantut apabila melihat kelibat manusia di depan mata.
Keningnya bertaut dan wajah mula berkerut. Malah pakaian
gadis itu lebih sopan daripada sebelum ini walaupun masih
belum bertudung.
“Hai...” sapa Thalea seraya menghalang pintu lif
daripada tertutup dengan menggunakan tangan.
“Hai? Kau demam ke?”
Malas mahu berlama-lama, Razin melanggar kasar
bahu Thalea dan keluar dari lif. Hairan, kenapa gadis itu
mencarinya pula? Dan perkara yang lebih penting, bagaimana
Thalea boleh mencarinya?
Entah apa lagi yang si Thalea ini mahukan agaknya.
Walaupun bertalu-talu soalan di kepala, Razin tidak berhajat
untuk bertanya. Dia mahu jauhkan diri daripada gadis itu
saja. Langkahnya semakin laju tatkala menyedari dia diekori.
“Razin!”
Jeritan Thalea mula menarik perhatian beberapa
orang pekerja syarikat yang dikenali. Mereka mula
memandang ke arahnya.
Razin mengeluh perlahan. Badan dipusingkan,
wajah Thalea direnung tajam.
“Apa kau nak? Macam mana kau tahu aku kerja dekat
sini?”
“Adalah...” Thalea senyum simpul. Seronok betul
apabila dia dapat berjumpa dengan Razin. Berbeza dengan
perasaannya sebelum ini, benci betul dia dengan lelaki itu.
Namun sekelip mata saja, perasaannya bagaikan ditukar.
“Adalah... adalah apa? Kau nak apa ni?” Baru dia rasa
nak berehat, muncul gadis ini pula. Potong betul!
“Saya nak belanja awak makan tengah hari, boleh?”
“Aku kenyang lagi. Pagi tadi dah makan.” Laju saja
dia menolak.
“Minum?”
“Kau ingat tadi aku makan telan air liur aje ke buat
hilang dahaga? Mestilah aku dah minum jugak.”
Melihat Thalea masih tersenyum buat Razin tidak
selesa. Dia melangkah beberapa tapak ke belakang. Aneh
melihat reaksi gadis di hadapannya walaupun dia sudah
berkata begitu.
“Dahlah, aku letih ni. Janganlah kacau aku...”
Sekali lagi langkah Razin terbantut apabila Thalea
menghalangnya.
“Teman saya minum?”
“Isy... kau ni me...”
“Please...”
Pergerakan Thalea yang menerpa ke arahnya
membuatkan kata-kata Razin mati dan tubuhnya melekat di
dinding. Sekali lagi adegan itu menjadi perhatian beberapa
orang manusia yang berada di situ. Terbeliak biji mata Razin
memandang wajah Thalea yang begitu dekat dengannya.
“Yalah! Isy, jauh sikit!”
Makin melebar senyuman Thalea. Dia sudah tidak
peduli walaupun gayanya nampak seperti orang terdesak saja.
Tapi tak mengapa, asalkan lelaki ini mengikutnya.
“Okey, saya drive.”
“Aku naik motor ajelah.”
“Naik kereta sekali kan senang, saya pinjam masa
awak kejap aje. Lagipun restoran yang saya nak bawa awak ni,
tak jauh pun. Nanti saya hantarlah awak balik ke sini, okey?”
Oleh sebab Razin rasa tidak selesa dengan pandangan
mata orang lain, dia setuju saja. Dia mahu berhambus dari
sini secepat mungkin. Ah, pasti sekejap lagi berita ini sampai
di pendengaran Khalil. Jenuhlah dia hendak menjawab.
“Shall we?”
Usai memboloskan diri ke dalam kereta, Razin hanya
mendiamkan diri dan membuang pandang ke luar tingkap.
Dia juga tidak faham dengan dirinya, mudah betul menerima
pelawaan Thalea. Padahal sebelum ini, dia bukan kisah
pun kalau orang nak fikir buruk tentangnya. Pandangan
manusia-manusia tadi sepatutnya tidak menjadi masalah
baginya. Hal mereka, mereka punya pasal. Hal dia, hal dialah!
“Erm, saya nak minta maaf pasal kes langgar awak
hari tu.”
Terkebil-kebil Razin dibuatnya. Ayat cuba dihadam
berkali-kali. Kepala menoleh perlahan memandang wajah
Thalea. Gadis itu masih fokus pada pemanduan bersama
senyumannya yang menawan.
Saat asyik dia memandang wajah Thalea, gadis itu
menoleh sekali. Kelam-kabut jadinya. Laju Razin melarikan
pandangan. Dia berdeham sebelum bersuara.
“Tak apa, benda dah lepas, kau pun dah minta maaf.
So, kosong kosonglah...”
Pandangan Razin tertumpu pada cermin sisi kereta.
Keningnya bertaut dan matanya menjadi sepet. Suara Thalea
yang petah berbicara seakan-akan hilang. Dia harus pastikan
satu hal. Apabila kereta menghala ke kiri, Razin yakin ada
orang mengekori mereka. Terkenang kata-kata abang Thalea
2 hari lepas.
“Razin, awak okey tak ni?”
“Slowkan kereta...” Razin berkata serius. Dia tahu,
kereta di belakang menunggu masa untuk menghalang.
Dan jalan yang dilalui mereka sekarang adalah jalan yang
sesuai untuk berbuat demikian. Untuk larikan diri rasanya
sudah terlambat. Jadi lebih baik perlahankan kereta untuk
mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Anak mata
memandang dashcam yang dipasang di depannya. Bibir
tersenyum nipis.
“Kenapa...”
Belum sempat Thalea menghabiskan ayat, seperti
yang dijangka, sebuah kereta menghalang laluan mereka.
Brek ditekan mengejut dan tangan Razin automatik
menghalang kepala Thalea daripada terhantuk pada stereng.
4 lelaki bertopeng keluar dari kereta.
“Buka kunci kereta ni!”
“Awak jangan keluar. Biar saya call abang saya dulu.”
“Sementara kau nak call dia, entah apa akan jadi
nanti. Buka ajelah! Lepas aku keluar, kau kunci balik kereta
ni dan call abang kau.”
Walaupun berat hati, Thalea menurut. Sebaik saja
Razin keluar, tangan memegang dahi. Apa yang dilakukan
Razin semakin lama semakin mencuri sekeping hatinya.
Anak mata empat manusia dipandang silih berganti.
Razin bercekak pinggang. Sengaja dia melangkah ke hadapan
kereta.
“Aku malas nak cakap banyak. Sekarang ni, mana
satu si Faris?”
Soalan itu menyebabkan salah seorang daripada
empat itu mengambil baseball bat lalu datang menerpa ke
arahnya. Pasti itu Faris.
Baseball bat diayun, Razin tidak mengelak. Dia
biarkan dirinya dipukul di bahagian bahu. Hampir-hampir
saja badan jatuh menyembah bumi jika tidak berpaut pada
kereta. 3 orang lagi turut serta. Tumbukan demi tumbukan
diterima Razin namun dia masih teguh berdiri walaupun
tertunduk. Pukulan terakhir daripada Faris membuatkan dia
jatuh terduduk.
Melihat keadaan itu, Thalea menangis. Semuanya
berlaku begitu pantas. Abangnya belum pun menjawab
panggilan namun Razin sudah dipukul teruk begitu.
“Helo! Abang, check location Lea sekarang! Ada
orang ikut Lea dan pukul Razin!”
“Okey! Tunggu situ!”
Panggilan dimatikan dan Thalea kembali memandang
hadapan. Razin sedang melutut dan dia dikelilingi 4 orang
tadi.
“Rasakan!” ucap Faris puas.
Dengan tak semena-mena Razin ketawa. Kekura
tangan digunakan untuk mengelap bibir yang berdarah.
“Apa yang lawak, hah?”
“Ini aje kau mampu?” Perlahan Razin mengangkat
wajah. Ketawanya semerta mati. Pandangan mata tajam
menikam. Kali ini tiba gilirannya pula.
Entah mengapa, Faris menjadi gerun. Renungan itu
berbeza dengan sebelum ini. Tapi untuk mengalah tidak sama
sekali. Egonya tidak boleh tercalar dan dipijak-pijak kali ini.
Belum sempat Faris membuat ayunan kayu, Razin
bingkas bangun. Tersangat pantas sehingga membuatkan
mereka tergamam.
Tangan mencengkam pergelangan tangan Faris dan
mengilas laju tangan lelaki itu ke belakang. Bunyi tulang dan
jeritan bersatu. Sebelah tangan lagi menarik laju topeng yang
dipakai Faris.
3 orang lagi menerpa dengan tindakan mengejut
Razin. Kali ini tendangan dihadiahkan tepat di dada salah
seorang daripada mereka. Seorang rebah. Cengkaman pada
tangan Faris akhirnya dilepaskan dan tubuh Faris ditendang
betul-betul di hadapan kereta. Kemudian, tumbukan diayun
silih berganti kepada 2 orang lagi yang masih berdiri.
Kini semuanya menyembah bumi. Razin memandang
ke dalam kereta si penyerang, masih ada seorang lagi berada
di tempat pemandu. Kali ini dia takkan biarkan seorang pun
melarikan diri. Mereka ini boleh dijadikan bukti juga. Tubuh
pemandu ditarik keluar, dan ditolak ke arah mereka yang
masih terbaring.
“Bodoh betul kau ni, Faris. Lain kali, kau jangan
turun padang. Upah orang sudah. Tapi masalahnya orang
yang kau upah lembik lebih kurang macam kau jugak. Ni...”
kunci kereta ditayang sebelum dibaling ke arah semak.
“Kali ni korang takkan boleh lari daripada aku. Bangun...
alang-alang... aku nak selesaikan bagi habis...”
Razin memberi ruang kepada mereka untuk bangun.
Hanya 4 saja yang mampu berdiri. Faris hanya mengerang.
Razin yakin tangan lelaki itu mesti terseliuh. Bukannya kuat
sangat pun dia pukul sampaikan hendak patah. Dasar lembik!
Kelihatan mereka teragak-agak untuk menyerang
Razin. Masing-masing saling berpandangan sesama sendiri.
“Tolong jangan menari zapin kat sini boleh tak?”
Mereka masih tidak memberi sebarang respons.
“Aku tak ada masa!”
Razin memulakan serangan dengan menghadiahkan
tumbukan, tendangan untuk mematahkan pergerakan
mereka agar tidak mampu melarikan diri. Kaki menjadi
sasaran utama. Akhirnya mereka rebah tanpa ada peluang
untuk berdiri lagi. Razin menghampiri Faris.
“Tak kiralah kau anak siapa pun, aku takkan biarkan
kau terlepas kali ni. Ingat buku lima aku ni sampai bila-bila.”
Tumbukan terakhir dihadiahkan ke wajah Faris.
Dia bangun. Saat melangkah menghampiri kereta
Thalea, sebuah kereta Mitsubishi putih muncul bersama
sebuah kereta polis. Thalea juga keluar dari perut kereta dan
menerpa ke arah Razin.
“Muka awak! Teruknya...”
Tangan yang cuba menyentuh wajah ditepis Razin.
“Apa ni nak pegang-pegang? Aku okeylah...” Thalea
tidak mengalah, berkali-kali dia cuba menyentuh wajah
itu. Tetap ditepis. Dalam hati mendengus geram akan
kesombongan Razin.
Hadif muncul. Wajahnya panik.
“Lea okey?”
Angguk.
“Tapi...” Anak mata memandang Razin. Hadif juga
memandang ke arah sama. Boleh tahan teruk Razin dipukul.
“Diaorang start pukul aku dulu. Bukti ada dekat
dashcam. Aku yakin, muka Faris jelas. Sekarang kau gunakan
bukti tu sebaik mungkin. Ni kunci kereta diaorang.” Razin
menghulurkan kunci kereta yang dia pura-pura buang tadi.
“Okey. Lea, sekarang ni abang nak Lea pergi buat
report. Kejap lagi abang sampai. Lepas tu terus ke klinik.”
Dengusan kasar dilepaskan. Nampaknya makin
lamalah masa yang akan diambil nanti. Sudahlah dia harus
kembali ke pejabat.
“Aku kena ikut juga ke? Aku kena balik ofislah kejap
lagi. Aku kerja ni.”
“Yalah, kau saksi dan mangsa juga. Takkan kau nak
pergi kerja dalam keadaan macam ni?”
Nafas dihela kasar. Razin terus melangkah masuk ke
dalam kereta. Begitu juga dengan Thalea.
Kereta yang meluncur laju dihantar dengan
pandangan mata. Hadif mengarahkan anggotanya menggari
mereka berlima. Boleh tahan teruk juga mereka dipukul.
Sampaikan semuanya mengerang. Mujur saja dia berada dekat
dengan lokasi kejadian. Kalau dia lambat sampai, entah apalah
yang berlaku. Namun dari segi wajah, kondisi Razin nampak
lebih teruk. Dalam keadaan Razin yang begitu, bagaimana dia
boleh memukul mereka sebegini rupa? Berlima pula!

Silhouette - Bab 5

SEBAIK saja kereta diparkirkan di kawasan yang
disediakan berdekatan Jeti Batu Musang, mereka melangkah
ke kawasan tempat menunggu bot. Oleh sebab bot belum tiba,
Razin dan Khalil duduk di atas kerusi yang disediakan sambil
menjamu mata dan telinga dengan keindahan pemandangan
di samping bunyi deruan ombak yang menenangkan.
Senyuman tak lekang di bibir Razin. Tak sabar
rasanya untuk berjumpa dengan Encik Ahmad dan Puan
Fatimah. Dia suka suasana di pulau itu. Tenang. Segala apa
yang terbeban bagaikan hilang. Ya, memang ia tak sehebat
pulau-pulau lain, tapi tidak mengapa, itu sudah cukup
baginya. Dia hanya perlukan sikit, bukannya banyak.
Apa guna berada dalam kalangan ramai manusia
tanpa disayangi? Kualiti lebih penting daripada kuantiti.
Dia rasa disayangi di sini. Rasa yang sudah lama hilang
daripada hidupnya dahulu. Encik Ahmad dan Puan Fatimah
memberikan kasih sayang umpama seorang ibu dan ayah.
Sedikit pun dia tidak rasa terasing.
Tak lama selepas itu bot tiba. Ini bot yang terakhir
untuk ke Pulau Aman pada hari ini. Hanya ada 6 orang
penumpang saja termasuk mereka. Kurang beberapa minit,
sampailah nanti. Bukan jauh mana pun.
“Kau tak risau ke?” soal Khalil tiba-tiba.
Berkerut dahi Razin. Dia membetulkan duduknya.
Rambut yang disebak kasar angin diraup perlahan.
“Risau pasal apa pula?”
“Kutlah sampai rumah nanti ada keluarga Sara
datang nak meminang kau...” Tawa Khalil meledak usai ayat
menemui noktah. Sengaja mahu mengenakan Razin.
Razin menayang buku lima. Tanpa suara, mulutnya
menyebut ‘aku tumbuk kau’. Geram betul apabila Khalil
asyik pasangkan dia dengan Sara. Dan si Sara pun satu, entah
apalah yang gadis itu nampak dalam dirinya.
“Kau jangan macam-macam, dah nak maghrib ni.
Tak pernah dibuat oranglah!”
“Jadi kalau tak datang sekarang, datang esok ke, kau
naklah?”
“Oi, kau jangan buat aku takut, eh? Tapi, kejap... ni
ke sebab kau nak bawa aku balik kampung?” Riak wajah Razin
bertukar panik.
“Taklah, aku saja tanya aje...”
Dengusan kasar dilepaskan apabila melihat Khalil
tertawa. Sedar yang Khalil berjaya mempermainkannya.
Razin kembali membuang pandang ke arah langit
yang sudah bertukar jingga. Namun tatkala dia terpandang
jambatan kedua Pulau Pinang, bunyi suasana sekeliling
bagaikan tenggelam. Masa juga seakan terhenti. Selalunya
dia akan melarikan pandangan. Tapi entah kenapa, kali ini dia
kekal memandang ke arah itu. Dia rasa, perasaan itu harus
dilawan. Soalan ‘sampai bila?’ kini berlegar-legar dalam
kepala. Namun, seakan-akan terkena renjatan elektrik apabila
perkara itu terbayang. Degupan jantung kian rancak.
Pegangan pada besi yang berada di sisi bot menjadi
kuat. Tangan kanan pula mencengkam dada. Mata dipejam
rapat. Nafas menjadi tidak sekata. Segala memori hitam
berlegar-legar dalam kepala. Umpama video memaparkan
kisah-kisahnya. Semakin lama apa yang tertayang semakin
laju. Itu amat memeningkan kepalanya.
Lekas-lekas Razin menggeleng. Dia mahu lupakan
semuanya. Masih terngiang-ngiang kata-kata si dia. Api...
air... argh!!!
Wajah Khalil berubah riak apabila sedar apa yang
sedang berlaku. Wajah beberapa orang penumpang lain
dipandang sepintas lalu. Mereka masih dengan hal mereka.
Dia harus sedarkan Razin. Dia segera bangun dan cuba
menyentuh bahu sahabatnya itu.
Sepantas kilat, Razin menepis. Dia mengilas tangan
lelaki itu sebelum dia berubah tempat dengan menolak Khalil
agar menghadap tempat duduk dan dia berdiri di belakang
lelaki itu. Sebelah tangan lagi menolak kepala Khalil dari
belakang agar kepalanya mencium kerusi.
“Razin...”
Suara Khalil mengembalikan Razin ke alam nyata.
Razin segera melepaskan pegangan sebaik saja dia sedar apa
yang dilakukannya. Kepala melilau memandang sekeliling.
Semua anak mata merenungnya takut.
Saat itu juga, bot akhirnya tiba di jeti Pulau Aman.
Penumpang lain laju saja beredar dari bot. Barangkali gerun
dengan tindakan drastiknya sebentar tadi.
“Dah, jom...” Khalil menolak perlahan tubuh
Razin dari belakang. Dia tidak boleh membiarkan Razin
terus-terusan begitu.
Sedang mereka berjalan menuju ke rumah, Khalil
menjeling ke arah Razin beberapa kali sebelum bersuara
semula.
“Kau okey tak ni?”
Diam Razin membuatkan Khalil semakin panik.
Perjalanan untuk ke rumah bagaikan jauh walaupun
hakikatnya tidak. Lelaki itu hanya berjalan lemah dengan
kepala hanya memandang ke bawah. Sesekali langkah Razin
bagaikan terhuyung-hayang seperti orang mabuk.
Beberapa minit kemudian, kelibat wajah Encik
Ahmad dan Puan Fatimah yang sedang menunggu kepulangan
mereka di hadapan rumah kelihatan. Tanpa mengetahui
apa-apa, mereka tersenyum lebar. Lega kerana melihat dua
manusia yang mereka sayang ada di depan mata.
“Ya Allah, sampai dah anak-anak mak long ni...” sapa
Puan Fatimah gembira. Laju dia melangkah menghampiri
mereka.
Namun riak wajah Khalil mematikan senyuman
mereka berdua. Kini semua anak mata terarah kepada Razin
yang mahu mendaki tangga. Belum sempat wanita itu
menyapa, tubuh Razin rebah.
“Allahuakbar... Lil, cepat! Angkat dia masuk!”

MELIHAT MANUSIA di depan mata diseksa dan dipukul
membuatkan hati Raid diserang dengan pelbagai rasa.
Apatah lagi dia tidak mampu untuk berbuat apa walaupun
dia kuat meronta-ronta. Dikhianati orang yang dia percaya
membuatkan jiwanya membara bersilih lemah kerana masih
tidak percaya.
Saat api marak menjilat tubuh yang menggelupur
di depan mata, dia meronta-ronta. Jeritan si mangsa dan
jeritannya bersatu walaupun jeritannya tidak kedengaran.
Disertai dengan tawa manusia yang bertanggungjawab
menyeksa.
“Lepas ni giliran kau, Raid...” Kaki yang memijak
kepalanya menekan. Saat itu Raid menggelupur kuat.

KELOPAK MATA terbuka luas. Razin bingkas bangun.
Kelopak matanya yang basah dilap kasar seraya meraup
wajah. Tercungap-cungap dia dibuatnya. Pandangannya
kosong memandang hadapan.
Semakin lama, pandangan itu bertukar tajam.
Hujung selimut yang menutupi separuh badan digenggam
kuat. Kuat sehingga menggigil.
“Razin...” suara lembut menyapa halwa telinga.
Genggaman dilepaskan. Serta-merta pandangan
tajamnya hilang. Sangkanya dia hanya bersendirian. Perlahan
Razin menoleh ke kanan. Wajah sayu Puan Fatimah kelihatan.
“Mak long... dah lama ke... mak long ada di sini?”
Tergagap-gagap Razin menyoal.
Melihat wanita itu mengangguk, Razin mengeluh
perlahan.
“Mimpi apa tadi? Razin okey?”
“Alhamdulillah, okey...” Kepala melilau mencari jam.
Pukul 1 pagi. “Kenapa mak long tak tidur lagi ni?” soalnya
sekadar mahu menukar topik.
“Mak long tak boleh tidur. Mak long risaukan kamu.”
Ya, Razin akui, jelas kelihatan wajah dimamah usia
itu kelihatan risau. Terbit rasa bersalah dalam benaknya
kerana sering kali merisaukan mereka.
“Razin okey. Cuma tadi... rasa macam tak berapa
sihat. Mak long janganlah risau, betul Razin dah okey.”
Walaupun bersungguh-sungguh Razin cuba
meyakinkannya, namun dia masih tidak percaya. Razin
kelihatan tersangatlah terseksa ketika dalam keadaan tidak
sedarkan diri tadi. Entah apalah yang mengganggu lena lelaki
itu. Apa yang berlaku kepada lelaki itu sebelum ini masih
menjadi tanda tanya. Dia juga tidak mahu menyoal kerana
risau menambah garam pada luka Razin.
“Mana pak long, Khalil?”
“Tadi sebelum mak long masuk sini, depa ada di
ruang tamu.”
Segera Razin turun dari katil. Dia tak boleh biarkan
dirinya kelihatan lemah lagi.
“Nak makan tak? Mak long nak panaskan lauk.”
“Boleh juga, mak long. Lepas tu nak join pak long
dan Khalil melepak. Sudahlah esok dah nak balik. Takkan
nak baring aje, kan?” Razin berlakon ceria. Tidak mahu
membiarkan manusia di hadapannya terus-terusan gelisah.
“Okey, mak long pergi panaskan lauk dulu, ya...”
Kelibat Puan Fatimah dihantar dengan lirikan mata.
Akhirnya Razin menarik nafas lega apabila mampu melihat
senyuman wanita itu. Kelopak mata diurut. Dia bangun dan
ketika mahu melangkah, dia terpandangkan cermin. Segera
dia berlatih senyum. Tidak mahu mereka mengesan sesuatu
dari wajahnya lagi.
Usai keluar dari bilik, dia mencari kelibat Khalil dan
Encik Ahmad di ruang tamu namun tiada. Langkah terarah
ke dapur. Khalil sedang minum kopi dan Puan Fatimah
sedang memanaskan lauk. Cuma Encik Ahmad saja yang
tidak kelihatan.
“Mengopi tak ajak!”
Hampir tersembur air kopi tatkala Razin menegur
tiba-tiba. Khalil menepuk dada sambil terbatuk-batuk.
“Kau dah boleh buat aku terkejut macam ni,
tandanya kau memang dah okey.”
Razin sengih. Dia duduk berhadapan dengan Khalil.
“Mana pak long?”
“Lepas pak long dengar yang kau dah okey, barulah
dia nak masuk tidur. Padahal tadi sampai tersengguk-sengguk
mengantuk. Aku suruh pun tak nak. Tengok, punya sayang
dekat kau...” Khalil mencebik.
“Kami pun sayang kamu, Khalil...” celah Puan
Fatimah. “Dah, dah... ni Razin, makanlah...” Semangkuk
sambal udang diletakkan di atas meja.
Razin mencapai nasi yang sudah sedia disenduk.
“Mak long pun pergilah tidur, nanti Razin kemas
sendiri. Okey?”
“Betul tu, mak long. Lil akan pastikan dia makan.
Mak long janganlah risau,” celah Khalil.
“Tapi...”
“Mak long...” Panjang nama mak long disebut Razin.
“Yalah... makan udang tu bagi habis. Memang mak
long masakkan khas untuk kamu berdua. Khalil dah makan
tadi.”
Mata dipejamkan, Razin tersenyum dan kepala
mengangguk. Serentak.
Sebaik saja kelibat wanita itu melangkah pergi,
Razin merenung Khalil yang asyik mencecah biskut ke dalam
air kopi. Nasi di tangan hanya direnung sekilas.
“Apa pasal kau tak makan?” soal Khalil sambil
memandang Razin sepintas lalu.
“Aku minta maaf pasal tadi. Aku tak sedar yang aku
buat macam tu.”
“Tak ada hal. Cuma...”
“Cuma apa?” Razin mula menyudu lauk masuk ke
dalam pinggan dan memulakan suapan.
“Cuma aku tak faham, kenapa kau renung jambatan
tu? Kau tahu kan jambatan tu...”
“Aku nak cuba hilangkan rasa tu...” pangkas Razin.
Dia hanya mengunyah tanpa memandang wajah Khalil.
“Tapi kau tak boleh...”
Kepala diangkat.
“Aku boleh. Aku akan boleh. Memang itu kenangan
buruk aku. Tapi disebabkan itu jugalah aku berjumpa dengan
orang yang tatang aku seperti anak sendiri, dan aku dapat
merasa ada seorang abang.”
Mendengar perkataan ‘abang’ buat hati Khalil
menjadi sayu. Kalau adiknya ada, memang dia sebaya Razin.
Puas juga dia mencari jejak, namun hampa. Walau apa pun
di sebalik rasa itu, terselit juga rasa gembira kerana Allah
gantikan apa yang dia tiada.
“Sebagai abang, aku nak kau jangan buat benda yang
memudaratkan diri kau. Misalnya pandang ke arah benda
yang boleh buat kau terkenang kembali perkara lama... dan...”
“Dan?” soal Razin apabila Khalil mematikan tanpa
menyudahkan kata.
“Alang-alang tangan kau dah pegang lauk, tolong
kupaskan aku udang seekor. Sedap pula aku tengok.”
“Mengada-ada kau ni. Ini aku punya! Kau kan dah
makan tadi. Kau makan ajelah biskut dengan kopi tu!”
“Kata aku abang... hormatlah! Tak kira, bagilah aku
sikit! Ganti apa yang kau buat pada aku tadi. Cepat!”
“Kejap, aku nak cari udang paling kecil dulu.”
“Oi!!!”

SEBAIK SAJA mengerling jam di tangan, Hadif bersandar
pada kerusi seraya mengurut kelopak mata. Tadi dia bergegas
datang ke ibu pejabat sebaik saja menerima panggilan
berkaitan kes pembunuhan yang disiasatnya.
Tapi maklumat yang diperoleh menemui jalan
buntu. Beberapa orang suspek termasuk beberapa orang ahli
perniagaan yang mungkin ada motif dendam juga terpaksa
dilepaskan kerana tidak mempunyai bukti kukuh. Alibi
mereka juga sudah disahkan.
Pintu diketuk dan seorang pegawai polis muncul dan
duduk di hadapan Hadif sebaik saja dipelawa.
“Patutnya kau tak payah datang. Tunggulah esok,
maklumat yang dapat pun samar-samar lagi.”
Hadif masih bersandar pada kerusi. Kelibat Emir
Ukasyah, sahabatnya yang berusia 27 tahun dan juga
sebayanya dipandang sekilas.
“Kalau aku stay kat rumah, kau ingat aku boleh
tenang lepas aku dapat berita ni?” Hadif kembali pejamkan
mata.
“Aku hairan macam mana pembunuh ni buat kerja?
Clean. Langsung tak ada jejak. Bukti yang ada tak cukup
untuk kaitkan siapa...”
“Aku pasti tak lama lagi aku akan dapat juga cari
cara mereka berhubung. Aku yakin H tu ada kaitan dengan
pembunuh. Sengaja dia tinggalkan bukti tu. Dia nak
main-main dengan kita.” Hadif membalas tanpa memandang.
Dia masih tenggelam dalam fikirannya memikirkan kaitan
hatta sebesar zarah.
“Tapi kes yang sama macam ni, yang tahun lepas pun
tak settle lagi.”
Kali ini Hadif memberikan tumpuan sepenuhnya
kepada Emir. Dia menunggu dengan sabar ayat seterusnya
daripada lelaki itu.
“Bukti macam ni ditinggalkan pada mangsa yang
berprofil tinggi saja. Cara pembunuhan macam ni, aku rasa
beberapa bulan yang lepas jadi di Melaka. Dan sebelum tu jadi
di Perlis. Itu belum kira yang tahun lepas. Perak, Pahang...
KL paling banyak. Pembunuh gagal dikesan. Tapi tak ada
kertas bagai ni. Sebab tu aku tak faham...” panjang lebar Emir
berkata.
“Mungkin orang lain...”
“Maksud kau?”
“Mana tahu ada orang ambil kesempatan dalam kes
ni? Berpura-pura... tak mustahil, kan?” Hadif meraup wajah.
Saat itu dia teringatkan sesuatu.
“3 tahun lepas... ada kes sama macam ni, tapi
pembunuh tu tak tinggalkan kertas. Dia tulis di dinding,
menggunakan darah mangsa. Huruf R...”
Emir memetik jari berkali-kali.
“Kes tu, 9 orang mati termasuk seorang jutawan... di
gudang. Orang yang sama?”
“I don’t know...”
Masing-masing menghela nafas berat terutama
Hadif. Bagaimana dia hendak memberi taklimat tentang kes
ini sedangkan dia juga menemui jalan buntu. Apatah lagi
untuk berdepan dengan Tuan Ilyas dan Tuan Nizam.
“Dah, sekarang ni aku duty. Kau pergi balik. Kau
tu dahlah sebelum ni 24 jam duty. Kerja-kerja juga, badan
kena rehat. Bila ada masa rehat, datang juga sini apa hal? Tak
faham betul aku dengan kau ni. Patutlah tak kahwin-kahwin.”
“Hoi, apa kaitan soal kahwin pula? Kau ni dah lama
tak rasa penumbuk aku gamaknya!”
Emir terus melangkah keluar tanpa mempedulikan
leteran sahabatnya.
Hadif mendengus kasar sebelum telefon bimbitnya
berbunyi menandakan WhatsApp masuk.
Abang, jangan lupa janji abang!
Hadif hanya mampu menggeleng kepala. Awal betul
buat reminder. Ni mesti kes terjaga daripada tidur dan terus
hantar pesanan. Pagi-pagi buta ni Thalea oi!

Silhouette - Bab 4

“SEKARANG ni aku nak kau cakap dengan aku
sebetul-betulnya. Kau melacur dengan siapa semalam?”
Tersembur habis air kosong dengan soalan tiba-tiba
Khalil itu. Laju Razin mengelap mulut dengan menggunakan
lengan baju. Kelibat Khalil yang baru pulang daripada kerja
overtime diekori dengan lirikan mata sehingga lelaki itu
berdiri di hadapannya.
“Tak beragak kau ni nak tanya pun!” Razin ketap
gigi. Padahal jauh dalam sudut hati, dia bukan kisah sangat
pun sebab dia tahu, Khalil memang jenis bergurau kasar
dan dia pun sudah terbiasa. Cumanya dia terkejut dengan
soalan yang tidak disangka itu. Melacur? Hesy, teruk sangat
bunyinya tu!
“Yalah, semalam nak dekat pukul 5 pagi baru kau
balik. Aku ingat nak tanya aje kau pagi tadi, tapi kau tidur
mati. Aku kejut tak reti nak bangun. Kau subuh ke tidak?”
“Solatlah. Lepas tu aku tidur balik.”
“So, sekarang... kau cakap dengan aku.”
“Nak cakap apa lagi, kau pun tahu kan yang aku
tengok bola semalam?” pangkas Razin.
“Yang tu aku dah tahu, kau buat macam aku tak
pernah tengok bola. Tapi semalam tu lewat sangat kau balik.
Next!”
Nafas dihela perlahan.
“Lepas tu, aku tolong orang... aku hantar dia balik
rumah. Itu aje...”
“Kau tolong siapa pagi-pagi buta, hah? Yang aku
tahu, akak dukung anak aje yang tumpang orang pagi-pagi
buta.”
“Hesy, bukan itulah! Aku tolong manusialah
semalam. Ma-nu-sia!” perkataan itu ditekankan. “Perempuan
tu nak kena rogol dalam kereta.”
Ayat itu ternyata mampu menarik minat Khalil.
Terus saja dia duduk bersila di hadapan Razin dengan wajah
ingin tahu.
“Lepas tu?”
“Aku cuma tolong apa yang patut aje. Lepas geng
lelaki tu blah, takkan aku nak tinggal dia sorang-sorang?
Aku ni ada sifat perikemanusiaan lagi, kau tahu tak? Aku
hantarlah dia balik rumah.”
Dengan tak semena-mena bahu Razin ditepuk.
“Bangga pak long dan mak long. Berita begini aku
kena sebarkan.”
Tangan Khalil ditepis. Terkebil-kebil Razin merenung
Khalil yang sudah berdiri.
“Kau jangan macam-macam. Kau nak sebarkan
apa?”
“Dah, pergi siap sekarang. Aku nak solat kejap. Lepas
tu, jom balik kampung! Kita kena sampai sebelum pukul 7.
Nanti tak ada bot. Leceh nak minta tolong orang nanti.” Laju
Khalil melangkah masuk ke dalam biliknya tanpa sempat
Razin membuka mulut.
“Hoi! Takkan kau nak balik kampung sebab nak
beritahu benda ni dekat pak long dan mak long?”
Diam. Tiada balasan.
“Hesy...” Nak tak nak Razin bangun juga dan
melangkah ke biliknya. Ikut hati, memang dia rindu sangat
dengan kampung walaupun baru sebulan dia meninggalkan
tempat itu untuk mengikut Khalil. 2 minggu juga dia terperap
di dalam rumah sewa ini sementara hendak bekerja di tempat
yang disyorkan Khalil.
Jam tangan dikerling. Pukul 2 petang. Dia
memandang ke arah almari dan juga beg baju yang terselit
di situ. Rasanya tak perlu kut dia bawa balik baju sebab baju
di kampung pun masih ada. Jadi Razin hanya mengambil
barang-barang penting saja sebelum keluar dari bilik.
Beberapa minit selepas itu, Khalil muncul. Ternyata
lelaki itu pun tidak membawa apa-apa. Tanpa berlengah
mereka memulakan perjalanan untuk pulang ke Pulau
Pinang atau lebih tepat lagi ke Pulau Aman.
“Kenapa kau tiba-tiba nak balik kampung?” soal
Razin memecah suasana. Sejak tadi mereka mendiamkan diri
saja. Hanya celoteh DJ radio menjadi peneman.
Diam.
“Pak long atau mak long sakit ke?” Memikirkan
kemungkinan itu, Razin mula panik. Ditambah pula Khalil
mendiamkan diri, itu membuatkan dia rasa ada sesuatu yang
tidak kena.
“Hoi, aku tanya ni! Kau tak reti nak jawab ke, hah?”
“Bukanlah...”
“Dah tu kenapa kau diam?”
“Aku tengah cemburu ni...”
Berkerut dahi Razin dibuatnya. Pelik betul perangai
sahabatnya ini. Tadi okey saja, kenapa tiba-tiba saja jadi
begini?
“Tadi masa aku nak balik kerja, mak long call aku...
cakap dia rindu kau. Dia suruh aku bawa kau balik...” Khalil
menjeling ke arah Razin yang kelihatannya masih bingung.
“Hmmm, dah jadi anak kesayangan kau ni. Aku rasa terbuang
pula.”
Setelah menghadam kata-kata Khalil, tawa Razin
meledak.
“Bagilah chance... kau dah lama jadi kesayangan,
sekarang ni biar aku pula. Kau ni buat aku nervous aje tadi.
Aku ingat diaorang sakit tadi...” Razin membuang pandang
ke luar tingkap dengan tawa yang masih bersisa.
Khalil hanya menjeling dari tepi. Dia juga
tersenyum. Sebenarnya dia tak kisah pun. Walaupun baru
berkenalan selama 3 tahun, mereka bukan saja menjadi
sahabat baik walaupun umurnya lebih 2 tahun; malah
rapatnya seperti abang adik. Jauh di sudut hati, dia berasa
lega kerana munculnya Razin, membuatkan keluarga kecil
mereka bertambah meriah.
Sebelum ini, hanya dia saja yang menemani ibu
dan bapa saudaranya, Fatimah dan Ahmad atau lebih mesra
dipanggil mak long dan pak long sejak ibu bapanya berpisah.
Dia mengikut ayah manakala ibu dan adiknya pindah entah
ke mana. Tak lama selepas itu, ayahnya meninggal dan dia
terus tinggal bersama mereka.
Muncul Razin secara tiba-tiba pada mulanya
menimbulkan resah kerana keadaan Razin ketika itu.
Kemudian lelaki itu hanya mendiamkan diri dan tidak
berdunia dengan sesiapa. Selepas beberapa bulan, barulah
sikap Razin berubah.
Sejak hari itu Razin akhirnya bersuara. Dia, pak
long dan mak long berjanji tidak akan membangkitkan dan
menyoal lagi tentang perkara itu.

THALEA MEMELUK lutut dan termenung sendiri di dalam
bilik. Sejak pulang semalam, lenanya terganggu. Boleh
dikatakan dia hanya terlelap sekejap saja.
Kejadian semalam merebak sehingga ke alam mimpi
malah menjadi semakin ngeri sehingga menyebabkan dia
menjadi takut untuk pejamkan mata. Dagu menyentuh kepala
lutut namun pandangannya kosong terarah ke balkoni.
Cinta betul-betul menyebabkan dia buta. Selama ini
dia cuba untuk menidakkan keburukan Faris walaupun dia
sudah sedia maklum dengan perangai lelaki itu. Kelemahan
Faris dipandang dengan sebelah mata kerana dia yakin
cintanya pasti akan mengubah sikap lelaki itu. Namun dia
silap.
Kejadian semalam benar-benar membuatkan dia
rasa begitu bodoh. Mujur saja Tuhan tunjukkan sikap sebenar
Faris sebelum hubungan mereka berlanjutan ke alam
perkahwinan. Jika tidak, entah apalah nasib yang bakal dia
alami nanti.
Thalea merenung telefon bimbit dan kembali
mengeluh. Atilia... dia cuba menelefon gadis itu, namun
panggilannya tidak dijawab malah ada beberapa kali
panggilannya ditolak. Kata-kata Pian dan Harris mula
terngiang-ngiang. Nampaknya, dia bukan saja silap memilih
cinta, malah kawan! Ternyata selama ini Atilia memang tidak
ikhlas berkawan dengannya.
Ketukan pintu mengembalikan Thalea daripada
lamunan. Baru dia sedar air matanya sudah membasahi pipi.
Laju saja dia menyeka sebaik saja terpandang pintu dikuak
perlahan.
“Boleh abang masuk?”
Thalea hanya mengangguk. Anak mata memandang
abangnya sedang memegang segelas air dan sebelah lagi
menggenggam sesuatu dan dia tidak pasti itu apa.
“Dah pukul 2 lebih, tapi Lea tak turun makan pun.
Sarapan tadi pun tak turun.” Hadif duduk di birai katil.
“Nah...”
Gelas berisi air oren disambut perlahan namun anak
mata memandang ke arah tangan kiri Hadif. Thalea membuat
isyarat menandakan dia mahu tahu apa yang dipegang
abangnya dengan memuncungkan sedikit mulutnya.
“Ni coklat... Snickers, your favourite...”
Laju saja Thalea mahu menyambar coklat di tangan
abangnya namun dengan pantas Hadif mengangkat tinggi
tangannya. Mata dan mulut bergandingan senyum.
“Tapi, Lea kena turun bawah, makan nasi sikit. Mak
cik dah masak lauk spesial tau. Masak lemak ketam dengan
belimbing buluh.” Hadif cuba memancing Thalea dengan
menyebut masakan Mak Cik Hasnah merangkap tukang
masak mereka.
“Abang tak kerja ke?” soal Thalea sekadar mahu
menukar topik. Dia tak ada selera untuk menjamah nasi buat
masa sekarang walaupun itu lauk kegemarannya. Air dihirup
sedikit.
Lagipun dia memang hairan dan ingin tahu kenapa
abangnya boleh berada di rumah hari ini. Selalunya Hadif
hanya fokus pada kerja saja. Begitu juga dengan papanya.
Sebab itulah Thalea selalu rasa diabaikan dan sengaja
memberontak dan bersikap nakal.
“Hari ni abang cuti. Tapi kalau ada call, abang kena
pergilah...”
“Papa mana?”
“Papa ada. Tunggu Lea kat bawah. Kita turun makan,
ya?”
Mungkin masing-masing mula kisah tentangnya
lepas apa yang berlaku semalam. Namun Thalea tetap dengan
keputusannya. Biarlah dia merajuk lama.
“Tak nak. Lea tak lapar.”
“Lea kena makan. Lepas ni abang nak bawa Lea pergi
buat...”
“Tak nak... Lea tak nak buat report...” pangkas
Thalea. Rupa-rupanya ini sebab abangnya ada di rumah. Ah,
patutnya memang dia sedar dari awal akan perkara itu.
Nafas dihela perlahan. Seperti yang dijangka, Thalea
memang takkan mahu. Hadif mengurut kelopak mata.
Kalaulah dia benar-benar boleh heret, cempung Thalea
seperti anak kecil, sudah lama dia buat.
“Kenapa, Lea? Tahu tak yang dia cuba nak rogol Lea
semalam? Lea ikut abang ya?” Hadif masih lagi dengan nada
memujuk.
“Lea malu. Abang faham tak? Kalau Lea buat report,
semua orang akan tahu pasal ni. Lagipun abang tahu kan
Faris macam mana? Abang tahu kan bapak dia berpengaruh?
Silap hari bulan, mereka play victim dan kesalahan akan
berbalik pada kita. Lea takkan jumpa dia lagi lepas ni, Lea
janji. Cuma tolonglah abang, jangan paksa Lea. Lagipun Lea
selamat, kan?”
Melihat seakan-akan Thalea mahu menangis, Hadif
menghela nafas perlahan. Dia terus memeluk tubuh adiknya.
Walaupun dia dikatakan pegawai polis paling garang dan
serius di ibu pejabat, namun air mata Thalea mampu buat
dia lemah. Apa yang perlu dia lakukan? Kalau dibiarkan si
Faris itu nanti, entah apa lagi lelaki itu akan buat. Tapi
mengenangkan kata-kata Thalea, ada benarnya juga. Masalah
terbesar sekarang, keluarga Faris memang berpengaruh!
“Lea...”
“Abang jangan paksa Lea, please... Lea tak nak
orang tahu. Lea malu...” Thalea terus-terusan mengongoi di
dakapan Hadif.
“Okey, Lea...” Belakang kepala Thalea diusap lembut.
Berat untuk dia setuju dengan kehendak Thalea sebenarnya,
tapi pujuk rayu Thalea memang melemahkannya.
“Janji dengan abang, jangan jumpa dia lagi. Paling
penting, jangan keluar sendiri buat sementara waktu, ya?”
Thalea mengangguk. Tiba-tiba dia teringat kepada
lelaki semalam. Pelukan dileraikan. Wajah Hadif dipandang
serius seraya menyeka kasar air mata.
“Abang, lelaki semalam... abang tak buat apa-apa
pada dia, kan?”
“Taklah, lagipun abang dah minta maaf pada dia
sebab berkasar semalam.”
“Itulah, main serang aje. Hmmm, tak sempat nak
tanya nama dia...” Omelan Thalea menggamit senyuman
Hadif. Pasti Thalea tidak mendengar perbualan mereka
semalam. Nampak sangat Thalea berada dalam dunianya
sendiri semalam. Padahal Razin memang ada memberitahu
namanya.
“Nama dia Razin.”
Bersinar-sinar wajah Thalea.
“Just Razin?”
“Entah, itu aje yang dia beritahu.”
“Abang berbual apa dengan dia semalam? Dia ada
tinggalkan nombor telefon tak?” soal Thalea. Entah kenapa
tiba-tiba dia menjadi bersemangat pula.
“Hai... tadi muka macam orang baru lepas makan
mangga masam, sekarang ni dah berseri-seri pula...” Sepantas
kilat hidung Thalea dipicit. “Berbual sekejap aje, dia nak balik
sebab dah lewat. Nombor telefon pun tak sempat nak minta.”
Keluhan berat dilepaskan. Senyuman Thalea
bertukar cebik. Hampa dengan jawapan Hadif.
“Tapi kalau Lea nak turun makan, abang akan cuba
cari d...”
Belum sempat Hadif menghabiskan ayat, Thalea
sudah melompat turun dari katil. Senyumannya lebar.
“Abang janji tau!”

TANGAN MENYENTUH bahagian bibir yang pecah dan mula
menunjukkan tanda lebam. Faris mendengus kasar seraya
menumbuk dinding di hadapannya bersebelahan cermin.
Tak guna! Berani betul lelaki itu memukulnya. Faris
nekad, dia akan cari lelaki itu sampai dapat. Dia akan buat
lelaki itu melutut di depannya kerana menghinanya dan
memukulnya semalam. Berombak-ombak dada Faris tatkala
terkenangkan setiap ayat yang dilontarkan lelaki itu.
Apabila teringatkan kata-kata Pian semalam, telefon
bimbit dicapai. Tak lama selepas itu talian bersambung.
“Pian, kau cakap kau sempat hafal nombor plat
motor mamat semalam, kan? Kau WhatsApp aku nombor
plat tu. Now!”
Tawa bergema di hujung talian.
“Okey. Apa pun kau nak buat, aku dengan Harris nak
join. Biar dia tahu rasa!”
Tak lama selepas itu talian dimatikan. Faris
tersenyum sinis.
‘Kau akan terima balasan!’ gumamnya.

Silhouette - Bab 3

BUNYI bising bersilih ganti dengan suara
tengkingan lelaki di luar bilik hanya didengari dengan mata
yang dipejam rapat. Suara yang kuat membolehkan dia
mampu mendengar setiap butir bicara mereka.
Mujur hari ini moodnya agak baik. Jika tidak, semua
yang ada di ruang tamu itu pasti akan terima habuan dek
mengganggu ketenteramannya.
“Andy, kau ingat tempat ni senang-senang boleh
keluar masuk ke, hah? Kalau ada orang ikut kau, macam
mana?”
Mendengar nama itu, kelopak matanya terbuka luas.
“Andy...” Perlahan nama itu meniti di bibir.
“Sebab tu aku datang pada waktu macam ni. Aku
tahu yang tempat ni ibarat siang pada malam hari. Kau jangan
banyak cakap, bagi aku jumpa dia! Aku ada benda penting nak
beritahu dia!”
“Kau ingat dia nak jumpa kau? Dah setahun kau blah
dari sini. Kalau nak cakap apa-apa, melalui aku. Faham? Jadi
kau cakap ajelah pada aku, biar aku yang beritahu dia nanti.”
“Jay, aku kenal dia lagi lama daripada kau, jadi kau
jangan nak berlagak sangat!” suara itu semakin keras.
Segaris senyuman sinis di bibir. Dia akhirnya bangun
dan menapak perlahan menghampiri pintu. Kedua-dua
butang baju kemeja di bahagian tangan ditanggalkan dan
lengan baju disingsing hingga ke paras siku.
Sebaik saja pintu dikuak, suasana bising menjadi
sepi. Semua anak mata merenungnya tanpa ada sikit rasa
untuk bersuara.
“Kita satu team, kan? Buat apa nak bergaduh? Jadi
Andy... kau nak cakap apa?”
Lelaki yang sedang berdiri di tengah ruang tamu itu
memandang wajah-wajah lain yang berada di sekelilingnya
sebelum pandangan berakhir pada lelaki yang bersuara tadi.
“Aku tak boleh beritahu kalau ada mereka ni semua.
Ini... pen-ting!” Perkataan ‘penting’ ditekankan seiring
dengan pandangan tajam.
“Sam, Jay... get out!” jawabnya dengan mata yang
sedikit sepet. Pandangan langsung tidak berganjak daripada
memandang Andy.
“Tapi...” Jay baru saja ingin bersuara sebelum lelaki
itu mengangkat tangan tanda tidak mahu sebarang bantahan.
Dengan dengusan perlahan, Jay memandang Sam
yakni orang bawahannya yang berdiri di muka pintu. Hanya
anggukan perlahan, lelaki itu beredar terlebih dahulu diikuti
dengannya. Dia memang rasa tidak puas hati, apa yang
penting sangat sampaikan dia tidak boleh turut serta berada
di ruang itu?
“Lama betul aku tak jumpa kau. Aku ingat kau dah
tak nak terlibat lagi dan aku pun dah lepaskan kau dengan
cara baik.” Lelaki itu berjalan perlahan menghampiri Andy.
“Tak sangka yang kau akan datang jumpa aku. Kenapa, kau
nak pakai duit?”
“Ini bukan soal duit. Ini... melibatkan aku dan
kau. Jadi aku tak boleh duduk diam saja.” Dia tidak boleh
melengah-lengahkan masa lagi. Ini semua melibatkan dirinya
juga. Diibaratkan ditelan mati emak, diluah mati bapa. Dia
cuba beriak tenang, tapi tidak mampu. Apa yang paling dia
pasti, dia takut!
“Maksud kau?”
“Apa yang kita risau dah jadi. Aku... nampak dia,
Karl...” Andy mula tergagap sebaik saja dia mengesan
perubahan wajah dan nada lelaki di hadapannya. Dia melihat
lelaki di hadapannya mula bercekak pinggang bersama
renungan yang tajam.
Pandangan Karl terarah pada pintu sepintas lalu
sebelum kembali memandang Andy.
“Kita bincang dalam bilik.”
Andy mengekori Karl masuk ke dalam bilik. Dia
terus duduk di atas sofa bertentangan dengan lelaki itu.
“Dia? Dekat mana kau jumpa dia?”
“Masa tu aku nampak dia melintas di hadapan aku
dan masuk ke dalam kedai makan. Walaupun cara percakapan,
pakaian lain, seolah-olah itu orang lain, cuma tak mungkin
ada wajah yang seserupa tu. Tapi...”
“Tapi apa?”
“Dia tak kenal aku. Dia cakap jangan ikut dia, kalau
tak dia report polis. Lagi satu, perwatakan... lain sangat. Dia
menyanyilah, apalah... memang lain!”
Karl ketawa kuat sebaik saja ayat Andy menemui
noktah.
“Menyanyi? Report polis? Buang tabiat ke apa?”
“Hmmm... kalau betul itu dia, macam mana?”
Tawa Karl mati. Tangan menurut dagu. Otak mula
merangka rancangan.
“Mulai sekarang aku nak kau stay dengan aku.
Faham?” soalan Andy langsung tidak dijawab.
Angguk.
“Rahsia ni, hanya aku, kau dan Akim saja yang tahu.
Akim dah mati... tinggal...”
“Memang patut pun dia mati!” pangkas Karl dengan
nada keras. “Aku dah agak semua ni akan jadi lepas Akim buat
hal!”
Hati Karl mula panas apabila Andy mula menyebut
nama itu. Kerana si Akimlah semua ini terjadi.
“Aku tahu...”
“Aku tak pasti apa yang jadi sekarang. Aku kena fikir
dulu. Aku cuma nak kau tutup mulut kau dan jangan sesekali
kau larikan diri. Aku tetap akan cari kau dan nasib kau akan
sama macam Akim, faham?”
“Fa... faham...” Gerun Andy mendengar kata-kata
itu. Apa pilihan yang dia ada sekarang? Tak ada melainkan dia
hanya menurut perintah Karl.
“Bagus!”
Perbualan mereka terganggu apabila pintu diketuk.
Perkataan ‘masuk’ bergema dan wajah Jay muncul.
“Ada call. Job baru.” Telefon bimbit diserahkan
kepada Karl.
Andy dan Jay saling berpandangan tatkala melihat
riak wajah Karl kelihatan begitu gembira mendengar suara
yang menyapa di hujung talian.

MENDONGAK RAZIN sebaik saja tiba di hadapan sebuah
banglo. Kelibat Thalea yang sudah berdiri di depan
motosikalnya dipandang sekilas sebelum pandangan kembali
terarah pada banglo tiga tingkat di hadapannya. Rumah besar
macam ni pun nak keluar malam-malam lagi. Dah besar
macam ni, mestilah semua benda ada. Itu pun tak puas hati
lagi ke?
Tak faham dia dengan perangai gadis ini. Apabila
dia tersedar gadis itu memandangnya sambil menghulurkan
topi keledar, Razin berdeham seraya menyambut huluran itu,
namun topi keledar diletakkan dahulu di dalam raga motor.
“Aku balik dulu.”
“Erm, sekejap. Jaket... ni...”
“Tak apalah, kau pakailah. Lagipun keadaan baju kau
dah tak serupa baju. Kalau aku lambat sikit tadi, sah baju kau
jadi kain perca.”
Nafas dihela perlahan. Benar apa yang dikatakan
lelaki itu. Jaket diperkemas. Malu dengan keadaan bajunya
ketika ini.
“Sebenarnya...” Thalea diam. Dia tertunduk dan
bermain-main dengan jari-jemarinya. Otak ligat merangka
ayat.
“Sebenarnya apa?” soal Razin sekali lagi dek mula
hilang sabar. Pantang betul dia dengan manusia yang selalu
bercakap sepatah-sepatah.
“Sebenarnya aku nak tahu, apa yang kau buat
dengan adik aku???” Cengkaman di leher Razin membuatkan
dirinya tergamam. Dari mana datangnya juga tidak dapat
dikesan. Tiba-tiba muncul saja. Cengkaman semakin lama
semakin kuat sehingga menyebabkan dia sukar untuk
bernafas. Tangannya cuba meleraikan, akan tetapi lelaki itu
seolah-olah mampu membaca pergerakannya. Nampaknya
lelaki ini bukan calang-calang orang.
“Abang, apa ni? Lepaskan dia!”
‘Ah, keluarga ini memang seorang angkuh, seorang
ganas macam ni ke? Tak reti nak tegur elok-elok ke?’ Razin
menahan sabar dalam hati.
“Abang, dia tak buat apa-apa pun! Dia yang
selamatkan Lea!” Kali ini Thalea cuba untuk meleraikan
cengkaman dengan memegang tangan abangnya seiring
dengan kata-kata. Ternyata dia berjaya.
Saat cengkaman dilepaskan, Razin mencuri nafas
dan batuk silih berganti. Leher dipegang. Kebas.
‘Main kasar betul. Mujur adik kau ada aje. Kalau
tidak, melambung dah kau ni! Lagi sikit aje topi keledar ni
nak cium wajah kau,’ gumam Razin geram.
Berselang beberapa saat...
Pintu pagar terbuka luas. Muncul seorang lelaki lebih
kurang dalam lingkungan 50-an. Bapa kepada Thalea Aleesya
dan Hadif Alfian, Dato’ Mirza. Serius wajahnya memandang
Razin sebelum beralih kepada anak-anaknya.
“Thalea, Hadif... masuk...”
Razin berkira-kira untuk pergi dari situ namun sekali
lagi suara serius lelaki 50-an itu membantutkan niatnya.
“Dan kamu... masuk ke dalam rumah juga...”
Nafas dihela perlahan. Tak pasal-pasal dia terlibat
juga dalam permasalahan keluarga ini. Dia cuma mahu
beredar dengan kadar segera. Tapi sekarang ini, niatnya nak
beradu musnah. Dah lewat sangat ni.
Razin turun dari motosikalnya. Dengan langkah yang
lemah, dia berjalan mengekori Thalea dan bapanya sambil
menolak motosikalnya masuk ke pekarangan rumah. Lelaki
bernama Hadif itu mengekorinya dari belakang. Barangkali
takut dia melarikan diri.
Sebaik saja masuk ke dalam rumah, langkah Razin
dihalakan ke ruang tamu. Dia hanya berdiri sambil melilau
memandang sekeliling. Ruang tamu diteliti. Mewah dengan
gaya ala-ala barat.
“Duduk...”
Jangan kata duduk, kalau lelaki ini suruh dia baring
pun dia akan baring. Mengantuk sangat. Hendak membuka
kelopak mata juga sudah malas sebenarnya.
Kini dua pasang mata itu merenungnya tajam
namun Razin beriak selamba. Sesekali dia menguap tanpa
menghiraukan pandangan mereka. Padanya dia tidak perlu
takut, kerana dia tidak bersalah. Dia hanya membantu orang
yang memerlukan.
Berbeza dengan Thalea, dia pula hanya tunduk. Dia
sudah tidak mampu untuk bersuara dan memasang telinga
akan perbualan mereka. Dia tenggelam dalam dunianya
sendiri. Kepalanya yang kusut menyukarkan dia untuk
merangka jawapan yang bakal ditanya.
Dia tidak berani bertentang mata dengan papa
apatah lagi abangnya. Pasti abangnya sangat marah sehingga
sanggup bertindak seperti tadi walaupun pada hakikatnya,
abangnya bukan manusia mudah marah sebegitu. Segalanya
berpunca daripada dia dan sekarang, semuanya pasti akan
terbongkar.
“Siapa kau?” soal Hadif.
“Hadif, biar papa tanya...”
Hadif mendengus kasar seraya memeluk tubuh. Dia
terus membuang pandang ke arah lain.
“Kamu siapa?”
“Saya Razin...”
“Kamu kenal uncle siapa?”
Wajah lelaki di hadapannya direnung. Isy, memang
anak-beranak ni suka tanya soalan begini ke? Mereka ingat
dia kenal ke semua manusia di Malaysia ni? Kalau berjasa
besar, artis terkenal, memang insya-Allah dia kenal.
Razin menggeleng kerana malas untuk mengerah
otak berfikir.
Lelaki itu ketawa perlahan.
“Nama uncle, Mirza...”
Saat lelaki itu menyebut nama itu, barulah Razin
sedar. Syarikat yang dia jejakkan kaki pada pagi tadi...
pemiliknya Dato’ Mirza. Depan syarikat itu jugalah dia
bertemu dengan Thalea. Takkanlah? Memandangkan keadaan
rumah, nampaknya apa yang dia fikir itu memang benar.
“Tapi panggil uncle aje. Jadi uncle nak tanya dengan
kamu, apa yang kamu buat dengan anak uncle sampai balik
hampir pukul 4 pagi ni?” Suara Dato’ Mirza tenang saja
menyoal. Tiada langsung menunjukkan tanda-tanda bahawa
dia sedang marah atau akan mengamuk. Entah kenapa,
melihat wajah lelaki bernama Razin, buat moodnya menjadi
baik.
“Papa...” Thalea cuba untuk mencelah.
“Thalea, diam!”
Tengkingan itu menyebabkan Thalea tersentak.
Razin tarik nafas. Rasanya Thalea takkan mampu
buka mulut memandangkan amaran Dato’ Mirza kepada
Thalea diibaratkan seperti mangga. Jadi baik dia saja yang
ceritakan. Jika tidak, sampai pagi esoklah sesi soal jawab ini
tidak akan berakhir.
“Sebenarnya saya terjumpa anak uncle. Kebetulan
saya lalu kawasan tu. Baru lepas tengok bola di kedai mamak.
Ada 3 orang lelaki cuba buat benda tak elok pada dia dalam
kereta...”
Wajah Dato’ Mirza berubah riak. Lelaki itu
memandang Razin dengan dahi yang berkerut. Begitu juga
dengan Hadif.
Thalea masih tertunduk. Razin yakin, pasti dia terlalu
takut untuk bertentang mata dengan papa dan abangnya.
“Saya tak kenal 3 orang tu siapa... tapi masa diaorang
nak larikan diri, 2 orang lagi ada jerit satu nama. Faris...”
Ternyata ayat itu mengejutkan Thalea. Tidak sangka
pendengaran Razin terlalu tajam.
Terhinggut bahu Razin apabila Dato’ Mirza
menampar kuat bahagian lengan sofa. Hilang sudah riak
wajah tenang lelaki itu.
“Papa dah cakap dah! Jangan keluar dengan Faris
tu... kamu degil! Tengok apa dah jadi? Kamu pergi mana
Thalea sampai boleh jadi macam ni? Kamu pergi club ke,
hah?”
Thalea diam tidak berkutik. Dia hanya tunduk dari
tadi sehingga bunyi esakan menyapa halwa telinga.
“Lea tahu kan Faris tu macam mana?” Kali ini Hadif
bersuara namun nadanya seakan-akan memujuk. Bahu
Thalea terhinggut-hinggut menahan esakan.
“Kejap... kejap. Saya rasa, lebih baik uncle suruh dia
rehat dulu. Dia mungkin trauma lagi.”
Dato’ Mirza diam sejenak. Nafas dihela perlahan.
Kata-kata lelaki ini ada benarnya. Sekarang bukan masanya
untuk dia memarahi anaknya. Thalea sudah pasti terlalu letih
dengan apa yang terjadi. Anak perempuannya perlu berehat.
Dia bangun, memimpin Thalea untuk ke tingkat
atas, di samping mahu menenangkan anak perempuannya.
Silapnya kerana menengking harus ditebus. Dia yakin, selepas
ini pasti Thalea akan mendengar kata-katanya.
Kini tinggallah Razin dan Hadif di ruang tamu. Razin
sudah hilang punca. Dalam kepala, dia mula mengarang ayat
untuk meminta izin untuk beredar dari rumah itu dengan
cara yang paling santun.
“Sebenarnya dah lewat ni...”
“Terima kasih sebab tolong adik aku tadi,” cantas
Hadif. Segaris senyuman terbit pada wajah dan itu sudah
mampu buat Razin menarik nafas lega.
Suasana janggal tadi kembali tenang.
“Dan aku minta maaf sebab berkasar tadi. Gerakan
automatik...”
“Tak apa. Kalau aku ada di tempat kau pun aku akan
buat benda yang sama, malah mungkin lebih teruk.”
Hadif ketawa perlahan. Melihat wajah lelaki di
hadapannya yang tenang, pasti lelaki itu tidak mengenali
siapakah Faris sebenarnya. Anak jutawan yang sering kali
buat masalah namun selalu dibela si bapa. Sering kali terlepas
dek kuasa. Ya, manusia sekarang taasub dengan kuasa kerana
kuasa mampu membeli segala-galanya.
“Polis macam aku pun susah nak jentik si Faris tu,
tapi kau belasah terus.”
Terbeliak biji mata tatkala mendengar perkataan
polis. Tak mungkin anak orang kaya mahu bekerja sebagai
polis.
“Polis?”
“Aku rasa bukan itu yang kau patut risau. Faris, dia
tu memang masalah. Clubbing... minum... pernah masuk
lokap... kes bergaduh... tapi, bapak dia selalu back-up. Itu
antara kes yang sampai pada pengetahuan polis. Tapi aku tahu
ada banyak lagi masalah yang dia pernah buat tapi semuanya
diselesaikan dengan duit dan ugutan kepada si mangsa. Dia
ada geng juga. Aku rasa dia mesti takkan lepaskan kau lepas
apa yang kau dah buat. Well, apa yang aku boleh cakap...
hati-hati...”
“Aku rasa sekarang, kau dah ada point untuk
tangkap si Faris tu. Dia nak rogol adik kau. Make sure dia
kena tangkap, dan aku tak payahlah hati-hati lepas tu. Right?”
“Memang aku akan cuba ajak adik aku nanti untuk
buat report... dan aku harap tak ada campur tangan bapak dia
nanti,” bisik Hadif perlahan namun masih didengari Razin.
Razin malas untuk ambil kisah. Tugasnya selesai.
Tanpa mahu berlengah lagi, dia bangun.
“Aku kena balik. Dah lewat sangat.” Razin hanya
tersenyum nipis dan dia terus melangkah. Dia tidak mahu
lagi berlama-lama di sini. Dia sedar Hadif mengekorinya.
Namun belum sempat dia sarungkan kasut, suara Dato’ Mirza
menerjah halwa telinga dan itu membantutkan langkahnya.
Dia berpaling. Begitu juga dengan Hadif, memandang
wajah tua itu.
“Macam mana uncle boleh balas jasa kamu?”
“Eh, tak apa uncle. Saya tolong ikhlas.” Razin
tersenyum nipis dan kembali menyarungkan kasutnya. Dia
cuma berharap dapat pulang dengan kadar segera. Itu pun
sudah cukup. Tolonglah.
“Terima kasih...”
Razin tersenyum manis.
“Sama-sama, uncle...”