“CUT!” laung Jane bagi menghentikan lakonan Yusra dan Fakhri. Sebaik sahaja jurukamera menamatkan rakaman, Jane mendapatkan hero dan heroinnya bersama senyuman yang lebar.
“Great, Yusra! I betul-betul sukakan lakonan you. Sepatutnya I ambil you berlakon sejak dulu lagi,” Jane mula memuji Yusra yang sudah 2 minggu menyertai penggambaran drama terbaru arahannya itu.
Yusra naik segan mendengar pujian Jane. Melampau betul Jane memuji dirinya. Tetapi kembang jugalah hatinya apabila dipuji sebegitu oleh pengarah terkenal di Malaysia ini.
“I cuma buat semampu I aje, Jane. Kalau ada salah I, harap you sudi betulkan,” balas Yusra sambil membetulkan tudung yang dipakai untuk menjayakan watak yang dilakonkannya.
“Amboi, Jane! Melambung you puji dia. I? You tak nak puji ke?” usik Fakhri apabila mulut Jane tidak henti-henti memuji Yusra. Matanya melirik Yusra yang tampak manis bertudung sejak melakonkan watak sebagai Noura.
Jane mencebik sahaja. Malas mahu melayan Fakhri yang sering mengusiknya, dia berlalu ke arah krew produksi yang sudah mula berkumpul di tempat makan. Masa untuk rehat!
“Betul kata Jane, you berlakon macam dah biasa. Kenapa tak jadi pelakon aje sebelum ni?” tanya Fakhri ketika dia dan Yusra sama-sama beriringan menuju ke tempat makan.
Yusra hanya angkat bahu. Tidak berniat mahu berbual panjang dengan Fakhri. Sebolehnya dia mahu menjaga jarak dengan Fakhri kerana dia tidak mahu terlalu rapat dengan lelaki itu. Hari ini merupakan hari pertamanya berlakon di samping lelaki itu sebagai heroin. Sebelum ini babak lakonannya tidak melibatkan lelaki itu pun.
Melihat Yusra hanya bereaksi ringkas, Fakhri hanya angkat kening. Betullah kata hatinya, Yusra ini sejenis perempuan yang luar biasa. Lain daripada yang lain. Dia memandang sahaja Yusra yang sudah berjalan mendapatkan pengurusnya.
“Yusra!” panggil Fakhri sebelum Yusra semakin jauh daripadanya.
Yusra menoleh.
‘Apa lagi yang dia ni nak? Cubalah buat hal sendiri!’ bentak hati Yusra. Rimas juga dia dengan Fakhri yang memandangnya semacam sejak mereka memulakan penggambaran pagi tadi.
“You nampak lagi cantik bila bertudung,” puji Fakhri sebelum mengenyitkan matanya dan berlalu meninggalkan Yusra yang tercengang dipuji.
“Aku dengar tau apa dia cakap.”
Tersentak Yusra apabila suara Fitri menampar gegendang telinganya. Eh, bila pula si Fitri ni ada di sebelahnya? Asyik benarkah dia mendengar pujian romeo itu sehingga dia tidak perasan akan kehadiran pengurusnya?
“Aku rasa dia tertarik kat kaulah, Yaa. Isy, mana boleh! Diakan dah ada Yasmin,” ujar Fitri sendiri sambil memeluk tubuh. Matanya masih tidak lepas memandang Fakhri yang nampaknya sedang berbincang sesuatu dengan Jane.
Wajah serius Fitri direnung. Ya Allah, apalah nasibnya dapat pengurus yang suka menjaga hal tepi kain orang? Silap-silap dalam kain orang pun dia mahu tahu. Tidak mahu menunggu lama, Yusra berlalu meninggalkan Fitri yang masih sibuk memerhati Fakhri dari jauh.
Yusra melabuhkan duduknya di atas sebuah kerusi plastik. Tote bag yang sering dibawa yang memuatkan barang-barang keperluannya dicapai. Sebuah Tupperware berwarna ungu dikeluarkan. Say yes to the fruit salad for brunch!
“Hei!”
Yusra angkat muka. Dia buat riak kurang senang.
‘Macam mana boleh terlepas sampai ke sini pula ni? Bukan tadi dia ada kat sana dengan Jane ke?’ Yusra meletakkan bekas berisi salad buah-buahan itu di atas riba.
“Makan tu aje? Akak catering tu dah siapkan kari sedap. You tak nak rasa?” Fakhri cuba beramah mesra dengan heroin baharunya.
Yusra menggeleng sahaja sebagai jawapan. Rasa tidak selesa menyelubungi dirinya. Aduh, mana Fitri ni? Sejujurnya dia tidak senang duduk berdua sahaja dengan Fakhri sebegini. Nanti ada cerita yang tidak sedap pula keluar di Melodi.
“Fitri tengah berborak dengan Zahira,” beritahu Fakhri seperti memahami apa yang berlegar dalam fikiran Yusra.
Mata Yusra tertala ke tempat sama yang dipandang oleh Fakhri yang sudah duduk di hadapannya. Ha, itu dia si Fitri yang rancak berbual dengan Zahira di bawah pokok sambil makan buah tembikai. Yusra melepaskan keluhan perlahan.
“I tak tahu pula you ni jenis pendiam. Erm, bukan you ni jenis banyak cakap ke?” Fakhri sengaja menduga gadis yang hanya menumpukan fokusnya pada salad buah di dalam bekas.
“Bukan macam tu. I cuma tak nak orang cakap benda tak elok,” balas Yusra sambil memandang wajah Fakhri yang sedikit berpeluh. Mungkin dek panahan matahari yang bersinar garang. Beberapa helai tisu dihulurkan kepada lelaki itu dan hulurannya bersambut.
“I faham. Tapi Yusra, I dengan you mesti ada keserasian. Ya, I tahu you takut dengan gosip, kan? Jangan risaulah, tak ada apa-apa pun. Biasalah wartawan sentiasa mencari berita. Tapi kalau you betul-betul nak ada something dengan I pun apa salahnya, kan?” Sempat lagi Fakhri mengusik hati Yusra.
Yusra mencebik sahaja mendengar kata-kata hero Malaya itu. ‘Bukan main lagi mat romeo ni bermain kata-kata dengan aku,’ desis hatinya.
“Eei, tak ingin. Ingat semua orang tergila-gilakan you ke? Perasan betul!” balas Yusra sambil menyambung suapan.
“Eei, bongkaknya! Nanti you dah terkena, baru tahu,” ujar Fakhri. Tanpa segan-silu, dia merampas garpu kecil yang dipegang oleh Yusra. Selamba sahaja dia menyuap beberapa potong buah ke mulutnya tanpa dijemput.
Yusra yang terkejut sekadar memerhati. Tanpa dipinta, dia menyerahkan bekas itu kepada Fakhri yang seronok mencuri saladnya.
‘Tak malu betul mamat ni. Dia fikir aku ni kawan baik dia sejak zaman bayi agaknya!’ Rasa tidak senang disimpan sahaja dalam hati.
Dua tiga suap, Fakhri masih menanti Yusra berbicara sesuatu dengannya namun hampa. Gadis itu hanya diam memerhatinya makan.
‘Berat betul mulut dia ni nak bercakap,’ getus hatinya.
Suapannya dihentikan. Wajah Yusra ditatap seketika. Ya, dia tidak menafikan kecantikan pengacara popular itu. Sedikit masa lagi, tidak mustahil Yusra akan bergelar pelakon popular pula. Sesungguhnya, Yusra seseorang yang berbakat.
“Okey, kita mula balik. Hey, pretty. I’m Fakhri. Let’s be friends,” kata Fakhri seraya menghulurkan tangannya untuk berjabat tangan dengan Yusra.
Yusra menahan senyum melihat Fakhri berusaha untuk membuatkannya bercakap. Lambat-lambat tangan yang dihulurkan disambut juga. Melihat mekarnya senyum lelaki itu, bibir Yusra turut sama mengukirkan senyum.
“Okay, done sesi berkenalan, my Romeo Juliet! Let’s continue.”
Jeritan Jane mematikan perbualan yang baru hendak bermula antara Fakhri dengan Yusra. Ketawa mereka berdua bergabung mendengar panggilan Jane untuk mereka berdua. Romeo dan Juliet sangat!
“DAH LAMA kau kerja dengan Fakhri?” tanya Fitri ketika dia dan Zahira leka memerhati lakonan Yusra dan Fakhri. Tidak dinafikan, lakonan mereka tampak lebih mesra selepas mereka berdua meluangkan masa bersama sewaktu rehat tadi. Fitri tersenyum sendiri.
“Lamalah juga. Sejak aku habis belajar. Sebenarnya Fakhri tu cousin aku. Mak dia minta tolong jadi PA dia. So, aku terima ajelah,” balas Zahira sambil tersenyum. Terbayang wajah ibu saudara yang menjaganya sejak kedua ibu bapanya meninggal. Kerana jasa baik ibu Fakhri kepadanya, dia memutuskan untuk membantu Fakhri dalam kerjayanya sebagai artis.
“Oh, cousin. Patutlah aku tengok kau dengan dia rapat lain macam,” kata Fitri sambil menganggukkan kepala tanda faham. Pelik juga dia apabila melihat Zahira selamba menumbuk perut Fakhri apabila lelaki itu mengusiknya.
“Kau dengan Yusra macam mana? By the way, she’s adorable. Aku suka tengok cara dia. Sentiasa nampak profesional,” puji Zahira sambil matanya dipusatkan ke arah Yusra yang masih berlakon.
Fitri yang sedari tadi memusatkan pandangan ke arah Fakhri mengalihkan pandangannya kepada Yusra pula. Mendengar pujian Zahira, Fitri turut sama mengakuinya. Itu memang kelebihan gadis yang bernama Iklil Yusra. Ke mana sahaja kakinya melangkah, dia sentiasa mampu membuatkan orang lain menyanjung keperibadiannya.
“Under agency. Mula-mula dia handle sendiri aje. Tapi lepas 2 tahun, dapat banyak tawaran. Sebab tu dia minta ada pengurus,” jelas Fitri.
Agensi! Tegak telinga Zahira mendengar cerita Fitri. Dia diam sebentar sebelum membuka mulut kembali.
“Fitri, kalau suatu hari nanti aku nak minta tolong kau sikit, boleh?”
“Tolong?” Fitri menggaru keningnya.
“Tentang agensi tu. Suatu hari nanti, aku mungkin nak minta tolong kau tentang urusan dengan pihak agensi,” balas Zahira sambil tersenyum kelat.
Fitri semakin pelik. Eh, bukankah Zahira elok saja bekerja dengan Fakhri sekarang? Lelaki itu mahu memecat Zahirakah?
Memahami kekeliruan Fitri, Zahira segera membetulkan persepsi pengurus pengacara popular itu.
“Tak lama lagi, Fakhri mungkin dah tak perlukan bantuan aku. Tak selamanya dia akan bergantung kepada aku, kan? Jadi aku kena ada back up plan. Aku dah kena bersedia kut sebab macam dah tak lama aje aku kena urus dia,” beritahu Zahira bersama senyuman kelat menghiasi bibir.
Zahira sedar, Fakhri dan Yasmin sudah menghampiri gerbang perkahwinan. Dia terdengar sepupunya berbicara mengenai itu di telefon semalam. Dan dia sudah tahu bahawa khidmatnya tidak diperlukan lagi selepas ini.
Bukannya dia tidak tahu, kekasih hati sepupunya itu tidak berapa senang dengan hubungan rapatnya dengan Fakhri. Bukan salahnya kalau Yasmin mahu cemburu. Dia boleh sahaja terus bekerja dengan Fakhri selepas lelaki itu berkahwin, tetapi dia tidak mahu memburukkan keadaan. Lebih baik kalau dia berundur sahaja.
“Jauh hati sangat bunyinya tu. Tak apa, jangan risau. Anything, just give me a call. Insya-Allah aku bantu,” balas Fitri. Sempat juga dia mengusik Zahira yang keruh sahaja air mukanya. Ada masalah agaknya.
Baru sahaja mahu menyambung perbualannya dengan Zahira, Fitri dikejutkan dengan getaran telefon di dalam tas tangan milik Yusra yang berada di sebelahnya. Laju tangannya meraba telefon yang masih bergetar itu. Tepat sangkaannya, ada panggilan masuk.
Fitri menarik nafas panjang sebelum dia menerima panggilan itu. Panggilan daripada Haidhar dan dia yakin dia perlukan kesabaran dan ketabahan untuk berbicara dengan Haidhar yang boleh tahan pendesak orangnya.
Belum sempat Fitri mengucap salam, Haidhar terlebih dahulu menerjah. Fitri ketap gigi. Geram.
“Sayang, you kat mana ni? Dah nak dekat dua minggu, mana you pergi? Kenapa tak angkat call I? Kenapa tak balas WhatsApp I?” Bertalu-talu soalan daripada Haidhar menyerbu ruang pendengaran Fitri.
“Ni Fitri, Haidhar. Yaa tengah shooting,” beritahu Fitri dengan nada yang jelas malas mahu bersuara. Lelah juga menjadi orang tengah antara Yusra dengan Haidhar.
Mendengar soalan dan keluhan yang terbit daripada si pemanggil, Fitri yakin mesti Yusra buat hal lagi. Kalau tidak, masakan pemain bola sepak kebanggaan negara itu menjadi sasau sebegitu sekali. Pasti Yusra tidak menghiraukan semua panggilan dan pesanan daripada lelaki itu. Dia yakin kerana sejak akhir-akhir ini Yusra tidak peduli langsung dengan keadaan telefon pintarnya yang satu itu.
“Dia macam mana, Fitri?” Lambat-lambat soalan itu diajukan kepada pengurus kekasih hatinya.
“Macam mana yang you maksudkan, Haidhar?” Fitri berlembut. Dia tahu, dalam keadaan ini, hati Haidhar juga harus dijaga. Sempat juga dia mengerling Yusra yang sudah selesai penggambaran salah sebuah babak dan sedang berehat berdekatan dengan Fakhri.
“Keadaan dia, emosi dia, kesihatan dia. Beritahu I semuanya tentang dia, Fitri,” pinta Haidhar sambil meraup wajahnya.
Malu. Ya, dia malu apabila terpaksa bertanyakan perihal Yusra kepada orang lain sedangkan Yusra itu kekasihnya. Namun rasa ingin tahunya melebihi rasa malunya. Biar dia menanggung malu daripada tidak tahu apa-apa tentang Yusra.
“Yaa sihat. Dia makin sibuk sekarang. Penggambaran drama dah mula. Mungkin sebab tu dia jarang contact you. Janganlah risau. Yaa masih macam biasa. Mood swing sekali-sekala biasalah. Mana nak berlakon, nak mengacara lagi,” Fitri membicarakan serba sedikit tentang Yusra kepada Haidhar. Biar lega hati orang yang kerinduan itu.
Ada masa, dia tidak faham dengan Yusra. Tidakkah Yusra melihat sikap Haidhar yang sering mengambil berat? Dia faham kalau Yusra tidak senang dengan sikap Haidhar yang adakalanya suka mendesak itu, tetapi bukankah banyak lagi kebaikan yang patut dinilai? Yang bagusnya, Haidhar bukannya kaki perempuan seperti rata-rata pemain bola sepak yang lain. Jadi atas sebab apa Yusra asyik menolak Haidhar?
Dia maklum akan Yusra yang anti dengan lelaki, tetapi tidak terusikkah hati gadis itu apabila Haidhar menunjukkan sisi lelaki budimannya? Fitri masih bersoal jawab dengan diri sendiri apabila dia tersedar Haidhar sedang berbicara dengannya.
“Fitri, let me speak to her for once. I dah lama tak bercakap dengan dia,” rayu Haidhar buat kesekian kalinya apabila Fitri diam tidak bersuara dari tadi.
“Erm, kejap,” ujar Fitri sambil mendekati Yusra yang seronok bergelak tawa dengan Fakhri. ‘Wah, seronok kau, Yaa! Aku pula yang kena layan Haidhar yang meroyan ni!’
Telefon pintar itu dihulurkan kepada Yusra sebaik sahaja dia merapati gadis itu. Yusra yang melihat telefon dihulurkan kepadanya kaget seketika. Perbualannya dengan Fakhri dihentikan sebaik sahaja dia meminta diri untuk bercakap di telefon sebentar.
“Yes?” sapa Yusra tanpa mengetahui siapa yang berada di talian.
“Ini I, Haidhar. Ingat I lagi?” Tanpa dapat menahan, ayat bernada sindiran itu meluncur laju daripada mulut lelaki itu.
“So, you call I semata-mata nak sindir I?” Yusra membalas perlahan namun tetap pedas. Geram pula apabila Haidhar menyindirnya begitu.
Dalam diam, Haidhar menyumpah dirinya sendiri kerana tersalah waktu mencari gaduh dengan Yusra. Sepatutnya dia berbicara yang baik-baik sahaja. Lupakah dia bahawa Yusra sudah hampir 2 minggu mengabaikannya? Kini dia sendiri yang cari pasal.
“Okey, salah I. Tapi Yusra, you tak rindu I ke? Sayang, I rindu sangat kat you. Kenapa you buat macam ni pada I?” soal Haidhar dengan nada yang lembut. Moga kali ini Yusra mahu berlembut juga dengannya.
Yusra melepaskan keluhannya perlahan mendengar rayuan Haidhar. Tidak fahamkah lelaki itu? Terlalu bodohkah lelaki itu sehingga tidak faham apa yang dirinya mahukan? Dia paling benci apabila dia perlu mengulang permintaannya yang ringkas sahaja.
“Haidhar, I tak tahu you hilang ingatan atau apa, tapi I dah cakap pada you, antara kita tak pernah ada apa-apa. Hubungan kita tu semua tak ada makna pun. You sendiri pernah bersetuju tentang hal ni. You yang sengaja bermain api, langgar perjanjian kita. Bila I tak nak balas perasaan you, you nak salahkan I?”
Yusra sudah habis cara mahu membuatkan lelaki bernama Haidhar itu mengerti apa yang menyebabkan dia menjauhkan diri. Sudah dikata banyak kali, namun Haidhar tetap berpegang teguh pada perasaan cintanya. Yusra jadi buntu mahu melayan kerenah Haidhar.
“Kita boleh cuba. Yusra, I betul-betul sayangkan you, cintakan you. Bagi I peluang, please...”
Mendengar rayuan Haidhar, Yusra garu kening. Ah, serabutnya dengan lelaki itu! Kenapa tak nak faham?
“Kaki you dah elok ke belum?” Yusra cuba mengalih topik. Malas mahu berbicara soal hati dan perasaan lagi dengan Haidhar yang jenis tidak mengerti kata orang. Buat sakit jiwa saja!
“Hmm... alhamdulillah, dah elok. Petang ni dah boleh masuk padang balik,” beritahu Haidhar. Jauh di sudut hati, terasa juga apabila Yusra melarikan diri daripada persoalannya, namun dia cepat menyedarkan dirinya bahawa dia tidak seharusnya mendesak. Sabar. Hatinya dipujuk agar bertenang.
“Okay. By the way, I dah nak mula shooting balik ni. So, yeah I’ve got to go. Bye,” ucap Yusra sebelum mematikan talian terlebih dahulu tanpa mendengar balasan Haidhar.
Mungkin orang kata dia kejam, tetapi dia merasakan itulah yang terbaik yang boleh dia lakukan agar Haidhar tidak terus berharap. Pasti lebih kejam jika dia memberikan harapan setinggi gunung, namun akhirnya menyentap semula tanpa rasa belas.
‘I’m sorry, Haidhar!’
*** BOLEH DAPATKAN DIPASARAN KELUARAN MAC 2020 ATAU HUBUNGI/WHATSAPP NO DI BAWAH ***
019-3729676 (Cik Shida) / 013-4888095 (Kak Peah)