DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 28 February 2021

Puppy Love - Bab 5


BUNYI pintu kedengaran dibuka dari arah luar sebelum diselangi dengan suara Naail memberi salam. Azzam mengerling memandang jam dinding di ruang tamu.

Last week kau cakap malam ni ada janji yang nak ditepati?” tegur Azzam. Wajah serabut Naail dipandang sekilas.

“Haah tapi aku rasa macam aku akan lambat aje ni,” balas Naail sambil menutup semula pintu utama. Jam Fossil di pergelangan tangan kanan dilirik sekilas. Sudah pukul 8 malam dan dia hanya ada 15 minit sebelum majlis reunion bermula.

“Kau dari mana ni?” soal Azzam walaupun dia seperti dapat mengagak jawapan yang bakal terbit daripada dua ulas bibir Naail.

“Dari site meetinglah. Client ni jenis fussy semacam sampai hujung minggu macam ni nak buat site meeting tergempar disebabkan isu dengan kontraktor. Padahal IOW dengan engineer C&S ada aje,” rungut Naail.

“Kau ada event apa sebenarnya malam ni?” Soalan yang sama sebelum ini pernah ditanya tetapi hanya mendapat jawapan gelak ketawa daripada Naail.

Reunion dinner.”

“Apa dia?”

Reunion dinner sekolah aku. Pekak jugak kau ni kan, Zam.” Naail ketawa melihat reaksi Azzam.

Reunion dinner?”

Naail mengerutkan dahinya memandang riak wajah Azzam.

“Kenapa memek muka kau macam tu? Macam kucing adik aku tengah sembelit tau.”

“Kau? Naail Anas nak pergi reunion dinner sekolah? Naail, kau tu bukannya jenis yang rajin nak pergi event ramai-ramai macam tu. Kau jangan nak buang tabiat. Takut aku! Orang suka buang tabiat ni takut ada dua kali Jumaat aje,” seloroh Azzam.

“Kau ni kalau tak over, tak sah kan?” bidas Naail.

“Kau tulah! Kenapa tiba-tiba pulak terbuka hati nak pergi reunion dinner sekolah ni?”

“Sebab ada orang yang bukakan hati aku.” Selamba saja ayat itu meniti di bibir Naail.

Azzam yang baru sahaja mahu mengalihkan fokus ke skrin leper televisyen terus memandang Naail semula.

“Apa dia?”

“Dahlah, aku nak mandi. Kalau aku layan kau ni, mahunya tak mandi aku pergi dinner tu.” Naail sudah mahu melangkah ke tingkat atas tetapi tiba-tiba dia berhenti. “Azzam.”28

“Apa? Kau jangan cakap yang kau malas nak mandi sebab dah lambat.”

“Bukanlah. Aku nak pesan supaya kau jangan lupa korek telinga!” ujar Naail sambil tersenyum sinis.

Kuang ajo!” jeritan Azzam bergema di ruang tamu rumah sewa itu. Terus Naail ketawa dan memanjat anak tangga ke tingkat atas.

 

MENYESAL PULA rasanya mengenakan dress labuh serba hitam malam ini. Memang warna hitam menyerap haba dengan sangat baik ataupun dia yang berpeluh-peluh kerana Didie sudah mula bertanyakan soalan-soalan panas.

Yang si AJK majlis pula, kenapalah buat susunan ahli meja seperti sekarang ini? Di meja bernombor 10 ini ada Wardah, Alya duduk di sebelah kanannya manakala isteri Firhan yang bernama Warda Sofiya itu pula duduk di sebelah Alya. Firhan duduk di sebelah isterinya tetapi berhadapan dengan Wardah dan juga Didie di sebelah Firhan. Harap-harap tak terbaliklah meja bulat ini!

“Wardah.” Suara Didie yang memanggil nama Wardah sekali lagi membuatkan tuan punya nama tidak jadi untuk meneruskan suapan sate ke dalam mulut.

“Kau tahu tak betapa terkejutnya aku bila dapat kad jemputan kahwin Firhan tahun lepas? Nama Warda tu dah betul tapi kenapa macam lain aje daripada nama Wardah Aleesa. Nama ayah pun lain,” ujar Didie dengan tangan kanan yang sudah terawang-awang di udara. Memang semakin berpeluhlah Wardah dibuatnya. Isteri Firhan a.k.a. Warda tanpa huruf h itu sudah mula memandang dia lain macam.

“Nama aku kan sedap, Didie. Apa yang kau pelik sangat? Ada kemungkinan kau akan jumpa lagi ramai Wardah lepas ni,” balas Wardah sambil mata melingas mencari Alya. Takkanlah lama sangat ke tandas?

“Tapi macam kebetulan yang dibuat sangat aje. Firhan putus tunang dengan kau tapi setahun kemudian dia kahwin dengan another Warda pulak,” balas Didie lagi. Dia buat-buat tidak faham reaksi wajah Firhan yang sudah berubah kelat.

“Kau dengan perangai mak cik bawang kau memang tak boleh control kan, Didie? Elok sangatlah kau jadi wartawan hiburan.” Akhirnya Firhan bersuara keras. Sempat dia mencuri pandang Wardah yang sedang duduk bertentangan. Kelihatan Wardah sedang memandang ke arah pintu utama Banquet Hall ini.

“Alah, aku tanya aje. Ingat lagi waktu korang bercinta dulu siap ada #WarFir lagi. Janganlah panas, Fir. Lagipun bukan senang kita nak kumpul ramai-ramai macam ni. Ini first reunion kita yang ramai boleh datang. Biasalah kalau go down the memory lane sikit.” Didie koyak sengih tanpa rasa bersalah.

Wardah sudah berkira-kira mahu bangun untuk mencari Alya di tandas. Ditambah pula apabila raut wajah isteri Firhan itu sudah kelat semacam memandang dia. Gaya pandang yang macam dia ni ada bakat untuk jadi pemusnah rumah tangga orang.

“Bila aku tengok banyak kali War dengan wife Firhan ni, macam ada iras-iras pulak muka korang. Tadi tak perasan sangat sebab Alya duduk di antara korang.” Wardah sudah menggeleng perlahan. Tak habis lagi rupanya!

“Didie, kau...” Mulut Wardah sudah ringan mahu membahasakan mulut lepas Didie.

“Assalamualaikum. Sorry, aku lambat.” Pemilik suara yang menegur itu terus melabuhkan duduk di kerusi kosong di sebelah Wardah. Ayatnya untuk membahasakan Didie tadi terus tergantung begitu saja.

“Naail?” Kedengaran suara Firhan yang jelas terkejut.

“Kenapa korang macam terkejut nampak aku ni?” soal Naail sambil tergelak kecil. Dia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Firhan yang asyik memandangnya tanpa berkelip.

“Aku ingat kau dah berhijrah duduk Marikh sebab bertahun-tahun tak dengar khabar kau. Unexpected sangat bila kau muncul dekat majlis reunion ni. Memanglah nampak kau RSVP dalam grup WhatsApp tapi aku tahu kau ni bukannya jenis yang nak datang majlis ramai-ramai macam ni,” komen Didie pantas. Tumpuannya beralih ke arah Naail yang sudah duduk menyandarkan tubuh.

“Wardah kata, dia janji akan datang. Sebab tulah aku datang. Kalau War tak datang, aku pun tak datang,” balas Naail selamba dengan tawa kecil.

Terus Wardah memusingkan kepala memandang Naail yang nampak relaks itu. Dia main-main sahaja hari itu. Konon-kononnya dia akan datang ke reunion ini kalau Naail juga akan datang. Yang Naail ni ringan mulut pergi bercerita dengan si Didie ni dah kenapa pulak?

“Ehhh... lain macam statement kau ni, Naail. Masing-masing pun pakai baju warna hitam malam ni. Aku tahulah waktu sekolah dulu memang ada gosip pasal korang. Ke memang korang ni ada apa-apa?” soal Didie pantas. Gaya wartawan versi mak cik bawang betul! Memang patutlah temu ramah hiburan yang dikendalikan oleh Didie sentiasa mendapat rating yang tinggi daripada para netizen.

“Kalau ada apa-apa pun, apa salahnya. Dah tak ada cikgu nak marah dah. Kan, Wardah?” jawab Naail bersahaja sambil tersenyum memandang Wardah yang sedang terkebil-kebil memandangnya.

No comments:

Post a Comment