DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 28 February 2021

My Crush Shah - Bab 8

 

“KENAPA susah sangat nak jumpa you sekarang ni? Tiap kali I call, asyik-asyik kena cakap dengan manager you aje,” rungut Yasmin bersama riak yang masam.

Fakhri merenung wajah Yasmin seketika sebelum mengalihkan pandangannya ke tempat lain. Yasmin berwajah cantik dan lembut. Kacukan Melayu dan Arab. Kerana keayuan wajah itu, dia jatuh hati. Tapi apabila berlaku perkara begini, sakit hati juga memandang wajah itu lama-lama.

“You tahu kerja I macam mana, kan? You dan I, kita dalam bidang yang sama. You pelakon, I pelakon. You faham, kan?” ujar Fakhri sebelum melepaskan keluhan kasar.

“Ya, I faham. Tapi at least, you contactlah I. I bukan minta banyak. Sehari sekali pun I dah happy. Sebab I faham you busy jugalah I sendiri call you. Tapi tetap juga tak dapat bercakap dengan you,” kata Yasmin yang masih berlembut.

Sudah 2 tahun dia bercinta dengan Fakhri. Peminat juga sudah maklum akan hubungan mereka berdua. Selama ini, hubungan mereka baik-baik sahaja. Cuma akhir-akhir ini, nama Fakhri sudah semakin mendapat sambutan dan kekasihnya itu sering menjadi pilihan pengarah.

Timing you salah. Lain kali, you tanya Zahira jadual I. Okey?” Fakhri beralah. Memang salah dia juga. Sibuk sangat sehingga terlupa kepada kekasih hatinya ini.

Ermm. Oh, I dengar you akan berlakon dengan pengacara tu. Siapa nama dia? Alah, I pun tak ingat sangat. Betul ke? Dia boleh berlakon?” Yasmin mula membuka cerita yang disampaikan oleh pengurusnya semalam. Dia pura-pura sahaja tidak ingat nama Yusra. Masakan dia tidak ingat nama yang sering menjadi sebutan dalam industri seni ini.

Dengar khabar, pengacara terkenal itu tidak kurang cantiknya. Agak seksi pun ya juga. Dengar perkataan seksi yang keluar daripada mulut pengurusnya, tidak senang duduk juga dia jadinya.

“Ikut perancangan, macam itulah. Drama adaptasi novel. Yusra namanya. Kejap lagi baru nak pergi script reading. Boleh berlakon atau tidak, entah. I bukan pernah bekerja dengan dia,” jawab Fakhri selamba. Jus oren yang dipesannya tadi disisip perlahan.

“Dia tu dah ada boyfriend. Pemain bola sepak skuad kebangsaan. Haidhar.” Yasmin memberitahu sebelum meneguk air mineral yang sentiasa dibawa ke mana-mana sahaja dia pergi.

So?” tanya Fakhri sambil menjongketkan keningnya. Ada senyum disimpan dalam hati. Mesti kekasih hatinya ini sudah membuat kajian awal-awal tentang pengacara yang bakal bekerjasama dengannya itu.

Sebelum ini, sekiranya dia berlakon dengan mana-mana artis wanita, pasti Yasmin terlebih dahulu menyiasat segala perkara tentang artis itu. Risau benar Yasmin sekiranya kasihnya beralih arah.

“You tak payah pandang I macam itulah. I tahu I tak seksi macam pelakon-pelakon yang berlakon dengan you. I ni biasa aje,” ujar Yasmin berjauh hati apabila cemburunya dipandang rendah oleh Fakhri.

Meletus tawa Fakhri apabila Yasmin sudah mengeluarkan ayat rajuknya. Dia menggelengkan kepalanya apabila mengenangkan Yasmin yang mula merendah diri.

“Sharifah Yasmin Al Jazeera Syed Ahmad, takkan beralih arah cinta I ni kalau perempuan tu setakat seksi aje. I bukan setakat nak cari teman tidur, I cari teman hidup. You tahu sayang I pada you macam mana, kan?”

Tersipu Yasmin apabila perkataan sayang diucapkan oleh Fakhri. Lapang sedikit hatinya jika itulah yang dikatakan oleh Fakhri. Sekurang-kurangnya, dia tahu di mana letaknya dirinya dalam hati lelaki itu.

Perbualan mereka terhenti apabila telefon pintar milik Fakhri berbunyi.

Yes, Zahira? Ermm, kau kat mana? Okey, tunggu kejap.” Talian dimatikan.

Yasmin mengangkat kening, bertanya ada apa. Namun tanpa kekasihnya memberitahu pun, dia dapat merasakan yang Fakhri akan pergi. Ermm, payahnya bercinta sesama pelakon ni. Masa asyik dicuri dek hal kerja sahaja.

“Hun, I kena pergi. Script reading session diawalkan. I’m really sorry, okay,” pohon Fakhri apabila melihat wajah Yasmin yang cemberut. Rasa bersalah menyelubungi hatinya.

Yasmin mengukir senyum juga akhirnya. Mahu tunjuk kepada Fakhri yang dia kini lebih memahami kerja lelaki itu.

“Lepas ni bila lagi kita boleh jumpa?” tanya Yasmin sambil membetulkan sedikit selendang yang terletak elok di kepalanya.

Err, yang tu I tak boleh nak janji, sebab penggambaran drama baru ni dah nak mula. Tapi bila I ada masa lapang nanti, I datang jumpa you, okey?” Fakhri mencari persetujuan.

Dengan berat hati, Yasmin mengangguk juga. Dia cuma berharap yang Fakhri tidak akan melupakannya. Itu sahaja.

 

YUSRA MEMBETULKAN topi yang dipakainya. Rambut yang diikat ekor kuda dilurut sedikit agar lebih terurus. Walaupun kali ini sudah masuk kali ketiga dia bertemu dengan tuan pengarah, dia masih juga rasa berdebar-debar. Nafas ditarik dalam-dalam bagi menenangkan hatinya.

Sempat matanya mengerling ke arah Fitri yang asyik membetulkan tudung sejak mereka di rumah lagi. Ermm, rasanya dia tahu mengapa Fitri jadi begini.

“Kau nak tajamkan tudung tu macam mana lagi? Aku tengok dah macam muncung ikan todak dah,” tegur Yusra sebelum mencebik tanda meluat dengan gelagat Fitri yang over terlebih.

“Helo, sis! Hari ni pertama kali aku nak jumpa hero Malaya. Mestilah kena cantik-cantik. Kot-kot dia terpikat kat aku, terus masuk meminang. Ha, kau apa tahu?” balas Fitri dengan penuh yakin.

Dalam matanya sudah terbayang wajah tampan milik Fakhri. Sejak semalam, dia asyik membuka profil Instagram lelaki itu. Teruja benar dia mahu bertemu secara empat mata dengan lelaki itu. Pasti lebih kacak berbanding dalam gambar.

Yusra buat muka. Meluat betul dengan Fitri ini. Menggeletis sungguh. Namun Fitri inilah yang paling dia sayang. Paling setia dengannya walau apa pun terjadi kepadanya.

“Dahlah, malas aku layan otak kau yang senget ni. Buang karan aje. Jom,” ajak Yusra. Pintu kereta dibuka sebelum dia melangkah keluar. Rasa berdebar-debar dalam hatinya cuba diredakan sebaik mungkin.

‘Relaks, Yaa. Kau dipilih atas penilaian. Itu bermaksud kau memang layak dan kau mampu lakukannya.’ Yusra cuba memberi semangat kepada dirinya sendiri.

Baru sahaja dia hendak melangkah meninggalkan kereta, dia dilanggar oleh seseorang. Terhenyak dia pada badan keretanya. Rasa perit pada lengannya dek terhantuk pada cermin cuba diredakan dengan gosokan perlahan.

Dia memandang lelaki yang berlalu tanpa memohon maaf. Wah, wah! Anak siapa yang diva sangat tu? Tak tahu adab ke? Perasaan marah mula menyelubungi dirinya. Dia sudah membuka langkah untuk mengejar lelaki yang tidak beradab itu, namun langkahnya terhenti apabila bahunya disentuh.

“Alamak, cik! Maaf. Bos saya tak sengaja tadi. Saya minta maaf bagi pihak dia,” pinta Zahira bersungguh-sungguh. Dia menunduk merenung hujung kaki. Segan mahu menatap wajah gadis yang dilanggar oleh sepupunya tadi.

“Oh, bagus betul bos awak tu eh. Dia buat salah, tapi orang lain pula yang minta maaf,” gumam Yusra dengan hati yang jelik. Kalau jumpa lelaki tidak guna tadi itu, memang dia sekolahkan cukup-cukup. Biar tahu apa itu adab dan tanggungjawab. Jangan pandai hendak lepas tangan sahaja. Sendiri buat salah, sendiri minta maaflah!

Zahira menahan malu. Tebal mukanya berdiri di hadapan gadis yang dilanggar oleh Fakhri tadi. Lambat-lambat dia mengangkat muka. Wajah bersih gadis di hadapan menarik perhatiannya.

Err, Cik Yusra, kan? Saya Zahira, pengurus Fakhri,” Zahira memperkenalkan dirinya.

So, yang langgar Yaa tadi, Fakhri?” Fitri yang sedari tadi hanya memerhati mencelah. Untungnya budak Zahira ini dapat menjadi pengurus hero Malaya itu.

Zahira mengangguk perlahan sambil mengukir senyum. Dia berjabat tangan dengan Fitri apabila Fitri memperkenalkan diri sebagai pengurus kepada Yusra.

“Zahira, kau buat apa bersembang kat situ? Cepatlah masuk,” panggil Fakhri yang tiba-tiba muncul kembali di muka pintu.

Ketiga-tiga orang gadis tersebut pantas menoleh memandang ke arah lelaki yang sedang bercekak pinggang itu. Zahira menayang sengih, Fitri tampak teruja dan Yusra pastinya menunjukkan muka tidak puas hatinya.

Berkerut dahi Fakhri apabila ada tiga orang gadis sedang memandangnya dengan riak berbeza. Dia terpaku di tempat dia berdiri apabila gadis yang berambut perang itu berjalan ke arahnya.

So, youlah Fakhri?” tanya Yusra dengan suara yang tegas.

Yes. And you? Oh wait, I tahu. You ni Yusra? My heroin, right?” tanya Fakhri bersama senyum tersungging di bibir.

Ermm, betul kata Yasmin. Yusra, si pengacara terkenal. Cantik dan seksi. Patut pun Yasmin bimbang kali ini.’ Sempat lagi Fakhri menilai Yusra.

Yusra mengangguk malas. Mudah betul lelaki ini lupa kesalahannya. Apa jenislah lelaki ni agaknya?

“Kita akan kerja bersama dalam jangka masa yang agak panjang, jadi I harap you tahu adab dan tanggungjawab. Kesian manager you kena minta maaf atas kesalahan yang bos dia buat. Harap you faham,” pesan Yusra tanpa mempedulikan riak Fakhri yang nampak seperti tidak mengerti akan apa yang dikatakannya.

Tanpa menanti balasan Fakhri, Yusra berlalu masuk ke dalam pejabat. Fakhri pula masih bingung memikirkan pesanan Yusra tadi. Adab dan tanggungjawab? Dia menala pandangannya ke arah Zahira dan seorang gadis bertudung yang masih berdiri di lot parkir.

Zahira dan Fitri sama-sama mendekati Fakhri. Zahira berhenti di hadapan bosnya dan Fitri pula masuk ke dalam pejabat selepas melemparkan senyuman manis bergula buat pelakon lelaki yang kacak itu.

“Apa minah tu mengarut? Adab? Tanggungjawab? Eei, suka hati aje dia nak sekolahkan aku kat tempat awam,” luah Fakhri dengan wajah yang masam. Barangkali tidak puas hati dengan pesanan penaja yang ditinggalkan oleh Yusra tadi.

Zahira sudah tepuk dahi. Sabarnya ditahan. Mujur masih ada sabar dalam dirinya untuk Fakhri. Kalau tak, ditampar sahaja muka si Fakhri ini.

“Itulah, jalan tak pandang depan. Dah langgar orang, tak pandai pula nak minta maaf. Kau tak perasan ke kau langgar dia sebelum kau masuk pejabat tadi? Dia marah sebab kau tak minta maaf,” jelas Zahira panjang lebar.

“Menyusahkan betullah perempuan ni. Pasal minta maaf pun sampai nak hamun orang,” balas Fakhri sambalewa sebelum berlalu masuk.

Zahira yang ditinggalkan hanya mampu melepaskan keluhan panjang. Jika dilihat pada gaya Yusra dan Fakhri pada pertemuan pertama ini, seperti dapat ditebak apa yang bakal berlaku di kemudian hari nanti. Habislah!

 

“TOTALLY, I bangga dengan you all semua. Paling I bangga, Yusra. You memang berbakatlah, dear! I makin tak sabar nak mula shooting.” Jane sebagai pengarah melahirkan rasa bangganya selepas sesi script reading mereka selesai.

Baginya, pemilihan Yusra sebagai heroin dan Fakhri sebagai hero adalah yang terbaik setakat ini. Dia yakin, gandingan pengacara terkenal dan hero pujaan ramai di Malaysia ini mampu mencetuskan fenomena dalam dunia lakonan. Pasti akan menjadi satu kejayaan buat mereka apabila drama ini mula ditayangkan kelak.

Confirm drama ni meletup nanti. Sekarang ni, peminat you berdua dah mula menggila dekat IG I. Semua tak sabar nak tunggu drama ni. Nanti, make sure you berdua keep updating on your social media. Dan I harap you berdua boleh selesakan diri antara satu sama lain supaya watak ni akan jadi lebih hidup,” pinta Jane lagi. Tinggi harapannya pada drama yang bakal dimulakan sesi penggambarannya esok hari. Ini drama adaptasinya yang pertama. Moga drama ini berjaya menarik minat ramai penonton setia drama untuk mengikutinya.

“I akan buat yang terbaik untuk drama ni. I tak pernah berlakon. I harapkan bantuan daripada semua pelakon untuk bantu dan betulkan salah silap I. I hargai teguran dan nasihat semua,” ujar Yusra, merendah diri. Senyuman ringkas dihadiahkan buat semua yang ada.

Kali pertama bertemu dengan semua pelakon yang bakal terlibat dengan drama bertajuk Noura itu. Sedikit sebanyak, dia dapat mengenali dengan lebih rapat barisan pelakon drama itu. Mereka semua mesra dengannya walaupun mereka tidak pernah bertemu sebelum ini.

It’s okay, baby. Kita sama-sama nak jayakan drama ni. Okey, kita tamatkan sesi hari ni. Have a good rest. Kita jumpa di set esok. Be ready sebab I nak kerah you all semua,” seloroh Jane sebelum berlalu bersama tawa yang agak kuat.

Buku skrip dimasukkan ke dalam begnya sambil dia berdiri. Okey, masa untuk pulang!

“Yusra, boleh bagi I nombor phone you?” tanya Fakhri. Telefonnya dikeluarkan dari kocek seluarnya. Bersedia untuk menyimpan nombor telefon Yusra ke dalam memori telefonnya.

Yusra memandang Fakhri, agak lama. Sengaja melengahkan waktu. Dalam fikirannya menimbang keputusan yang akan dibuat.

“Bukan apa, kalau I ada nom...”

Tak sempat Fakhri menyudahkan penjelasannya, Yusra laju membacakan nombor telefonnya.

Fakhri tercengang.

“Dapat tak?” tanya Yusra. Dia sudah berjalan meninggalkan Fakhri. Dalam hati, sebenarnya dia sudah memutuskan untuk berkawan dengan lelaki yang bakal menyandang watak hero itu. Tak salah kut. Lagipun, jelas-jelas Fakhri mempunyai pengalaman yang lebih berbandingnya dalam bidang lakonan ini. Pastinya dia memerlukan bantuan jejaka itu bagi memastikan dia dapat berlakon dengan baik.

Obviously not. Saya manusia, Yusra. Bukan robot,” kata Fakhri sewaktu dia berjalan seiringan dengan Yusra menuruni anak tangga, menuju ke pintu utama.

Yusra ketawa mendengar respons Fakhri. ‘Dia buat lawak,’ desis hatinya.

“Bagi I phone you,” pinta Yusra sambil menadah tangan kanannya kepada Fakhri. Kakinya berhenti melangkah, menanti Fakhri memberikan telefon.

Lambat-lambat, telefon pintarnya dihulurkan kepada Yusra selepas dia menekan kod laluan pada skrin. Hulurannya disambut pantas oleh Yusra. Diperhatikan sahaja jemari Yusra yang menari laju pada skrin telefonnya.

Beberapa saat kemudian, Yusra menyerahkan kembali telefon itu kepada Fakhri yang tidak lepas memandangnya. Senyuman manis dihadiahkan buat lelaki itu sebelum dia berlalu pergi. Sebelum dia keluar dari pejabat itu, sempat lagi dia menoleh.

“Cantik girlfriend you,” pujinya ikhlas sebelum menolak pintu kaca itu dan keluar.

Fakhri yang bagai disumpah sedari tadi bagaikan tersedar. Telefon yang berada dalam genggamannya ditenung. Dia tahu, Yusra memuji Yasmin selepas melihat wallpaper telefonnya.

“Ha, ni dah kenapa macam terkena panahan asmara pula ni?” tegur Zahira sewaktu melintasi sepupunya yang masih tercegat di anak tangga.

She’s something,” ucap Fakhri perlahan.

Langkah Zahira terhenti. Dia sudah berdiri agak jauh daripada Fakhri ketika itu. Jadi apa yang dikatakan oleh Fakhri tadi tidak berapa jelas pada pendengarannya.

“Jom balik,” ajak Fakhri, segera melepasi Zahira.

Dia tahu, Zahira mahu bertanya sesuatu kepadanya, namun dia tidak mahu menjawab apa-apa. Kerana itu dia mahu melarikan diri dahulu. Dia sendiri tidak tahu kenapa hatinya seakan tertarik kepada Yusra. Rasa yang ada cuba ditepis.

‘Jangan macam-macam, Fakhri. Ingat Yasmin. Ingat Yasmin. Ingat Yasmin...’ Sedaya upaya dia mengingatkan diri.

No comments:

Post a Comment