HARI ini jadualnya kosong. Jadi dia mengambil keputusan untuk bermalasan sahaja di rumah. Tidak berniat mahu keluar ke mana-mana. Namun panggilan telefon daripada Haidhar pagi tadi membuatkan niatnya hanya tinggal niat.
Perapi rambut disapu pada rambut. Kini dia sudah bersiap mahu menjemput Haidhar kerana lelaki itu mahu ke klinik. Pada awalnya Yusra menolak, namun terpaksa juga diturutkan apabila Haidhar mula mengungkit itu dan ini.
“Nak pergi mana tu, kak? Bukan kata nak tidur 24 jam ke hari ni?” Fitri yang melewati biliknya sengaja menegur. Bukannya dia tidak tahu Yusra mahu ke mana. Sengaja mahu mengusik.
“Aku sepak kau nanti, jangan tanya kenapa pula!” Yusra menunjukkan kakinya kepada Fitri. Geram hatinya dengan pengurusnya yang sengaja mahu menghangatkan hatinya yang sudah sedia hangat.
“Mentang-mentang bakal suami dia pemain bola, nak disepaknya kita ni.” Fitri buat suara sedih sebelum ketawa mengilai. Melihat Yusra sudah sedia mengangkat vas kecil untuk dicampak ke arahnya, cepat-cepat dia beredar. Tak pasal-pasal pecah kepalanya nanti.
Berseluar jean, tube dan kardigan, Yusra melangkah keluar dari biliknya. Lantaklah, keluar sekejap saja. Dia memang begini. Kalau hari biasa, dia lebih suka memilih seluar jean. Di set penggambaran sahaja dia memakai pakaian yang lebih feminin.
“Baik-baik drive. Lagi satu, baik-baiklah sikit dengan Haidhar tu. Dia tengah sakit.” Sempat Fitri memberi nasihat sewaktu Yusra mengeluarkan flat shoes dari almari kasut.
Yusra mengangguk sahaja. Nak buat baik dengan Haidhar? Hmm, kalau lelaki itu tak buat perangai hari ini, mungkin dia akan okey sahaja. Dia pun tahu apa itu perikemanusiaan.
“Ha, pasal nak putus tu, jadi ke? Aku rasa, tunggulah dia sihat dulu. Dahlah kaki sakit, nanti hati pula sakit. Double sakit,” Fitri menasihatkan Yusra. Sekeras-keras hati Yusra, dia tahu, jika dipujuk, pasti akan lembut juga.
“Kau ni kesian lebih sangat kat Haidhar tu. Kau ambillah dia, nak?” tanya Yusra. Sungguh, dia tidak main-main dengan tawarannya. Jika benar Fitri mahu menjaga hati Haidhar, ambil sahajalah lelaki itu. Bukannya dia kisah pun.
“Gila apa kau ni? Nak muka aku masuk surat khabar ke? Pengurus caras kekasih hati pengacara terkenal? Tak pasal-pasal aku kena kecam satu Malaysia,” Fitri membalas. Tak mahulah dia ambil risiko.
“Sampai bila nak dengar cakap orang aje? Kita pun ada hidup sendiri.” Yusra membalas sebelum keluar dari rumah tanpa mendengar balasan Fitri.
Sementara itu, Fitri yang tinggal hanya terkebil-kebil mendengar kata-kata Yusra.
Hmm, memanglah tak boleh nak dengar cakap orang sangat. Tapi kalau nak dikirakan kes mereka ni, nak tak nak kena fikir juga apa kata orang. Mereka berdua berkecimpung dalam industri seni. Industri yang tiada privasi kata orang. Memang tak boleh nak sorokkan apa-apa. Lagi-lagi si Yusra yang popular se-Malaya itu.
“BETUL KE buah hati kamu tu nak datang?” Puan Azean bertanya lagi buat kesekian kalinya. Melihat anak terunanya sukar hendak turun dari katil, dia segera menolong. Walaupun tubuh anaknya itu jauh lebih berat, namun digagahkan juga kudratnya untuk membantu anaknya berdiri. Siapa lagi hendak diharapkan kalau yang ada hanya dia seorang?
“Betul, umi. Along dah call dia tadi,” balas Haidhar sewaktu dia dipapah oleh Puan Azean menuju ke tandas.
“Dia tahu umi ada di sini?” tanya Puan Azean sebaik sahaja Haidhar masuk ke dalam tandas.
Haidhar menoleh sekilas. Sengihan nakal dihadiahkan kepada uminya sebelum pintu tandas ditutup rapat.
Puan Azean yang berdiri di muka pintu sudah bercekak pinggang. ‘Bertuah punya anak! Kalau ada yang bergaduh dengan buah hati nanti, mohon jangan mengadu pada umi ya!’
Sewaktu menanti anak terunanya selesai urusan di dalam tandas, dia duduk di birai katil. Katil yang bersepah itu dikemaskan sedikit.
‘Hailah, anak bujang! Cepatlah kahwin. Lama-lama, makin tak terurus hidup. Tengoklah, katil pun tak pandai nak kemas,’ hatinya mula membebel.
Sibuk membebel, telinganya menangkap bunyi loceng. Pasti Yusra. Dia bingkas bangun. Sebelum turun ke tingkat bawah, dia memaklumkan dahulu kedatangan Yusra kepada Haidhar.
“Yusra dah sampai. Umi nak pergi buka pintu ni. Kalau kamu tak dapat turun sendiri, panggil umi,” pesan Puan Azean.
Tanpa menanti balasan daripada anak terunanya, dia segera menuju ke tingkat bawah. Loceng rumah masih berbunyi. Kali ini, bunyinya semakin laju, menunjukkan betapa tidak sabarnya tetamu yang datang itu untuk masuk ke dalam rumah.
Sebelum membuka pintu, Puan Azean berhenti di balik daun pintu. Sengaja. Mahu melihat perangai buah hati pengarang jantung anak sulungnya itu. Nampak gaya, ada beberapa perkara yang dia bakal tidak berkenan dengan gadis yang bakal ditemuinya ini nanti.
Dengan bacaan basmalah, daun pintu dikuak. Puan Azean menelan air liur. Payah rasanya hendak menelan. Bahagian dada kirinya dipegang. Kagetnya tidak dapat dibendung. ‘Kau sabar, jantung. Jangan buat hal.’
Di pihak Yusra juga begitu. Terkejut bukan kepalang dia apabila yang membuka pintu adalah wanita bertudung labuh yang sudah agak berusia. Dia yakin, ini pasti umi Haidhar. Rasa terkejutnya sekelip mata bertukar menjadi marah, namun ditahan sahaja.
Kerana dia ini masih hormatkan orang tua, dia kekal berdiri di muka pintu. Kalau ikut hatinya yang sedang hangat dengan kelakuan Haidhar, pasti dia sudah angkat kaki.
‘Haidhar main kasar!’ desis hatinya.
“Yusra, kan? Jemputlah masuk,” pelawa Puan Azean dengan hati yang berat. Bukannya apa, hati tuanya ini sungguh tidak berkenan dengan cara pemakaian kekasih anaknya itu. Tidak memakai tudung, dia masih boleh terima. Tetapi apabila gadis itu memakai pakaian yang menampakkan sebahagian besar bahagian dadanya, naik sakit juga matanya.
Mengenangkan ini kali pertama dia bertemu dengan Yusra, diketepikan sahaja rasa tidak senang yang mula bersarang dalam hatinya. Fikirnya, berikan Yusra peluang. Tengok cara gadis itu bergaul dahulu.
“Err, tak apalah. Saya datang nak hantar Haidhar ke klinik aje,” balas Yusra sedikit kekok. Senyumnya ditayangkan.
‘Masuk rumah? Tak apalah, mak cik.’ Dia yakin jika dia masuk ke dalam rumah, memang lamalah jawabnya. Pasti umi Haidhar ini hendak berkenalanlah, tanya itu dan tanya ini. Mesti akan makan masa yang lama nanti. Terima kasih sahajalah.
“Eh, kenapa pula tak nak masuk? Masuklah dulu. Minum-minum sikit. Haidhar pun belum siap lagi tu. Tak sedap pula mak cik nak biarkan tetamu berdiri di muka pintu aje,” pujuk Puan Azean dengan nada yang lembut.
Lambat-lambat, Yusra mengangguk setuju. Berat sungguh kakinya hendak melangkah masuk namun diheret juga kakinya. Dia melangkah ke ruang tamu seiringan dengan umi Haidhar.
“Selalu datang sini?” tanya Puan Azean sebaik sahaja mereka tiba di ruang tamu.
Yusra yang baru melabuhkan punggung ke atas sofa mengangkat muka. Baru sahaja mulutnya hendak menjawab ‘tidak’, dia terfikir sesuatu. Lantas jawapannya ditukar.
“Selalu juga. Tidur sini pun pernah,” balasnya selamba. Siap dengan senyuman manis bergula lagi.
Akalnya ketawa jahat. Memang dia sengaja menjawab begitu. Biar dia nampak teruk, jahat, kotor atau apa sahaja. Kalau dah teruk dan seangkatan dengannya, pasti namanya akan dipangkah secara automatik daripada menjadi menantu. Kan?
Puan Azean yang mendengar sudah beristighfar panjang. Tidur sini?
“Dah jauh sangat ke hubungan kamu dengan Haidhar?” Soalan Puan Azean lebih kepada mendesak. Hati ibu mana yang boleh tenang jika anaknya selalu membawa perempuan balik ke rumah. Dadanya semakin sakit.
“Kami tak serius pun, mak cik. Main-main aje. Saya ada ramai lagi orang lain.” Perkataan ‘ramai’ itu ditekan sedikit. Makin seronok pula dia memainkan perasaan umi si Haidhar ini. ‘Maaf ya, mak cik. Saya terpaksa.’
“Tadi kamu kata, pernah tidur sini. Tidur sekali dengan Haidhar ke?” Tak tunggu lama, laju sahaja soalan itu meluncur daripada mulut Puan Azean.
“Mak cik rasa?” Keningnya diangkat sebelah, sengaja mahu menguji kesabaran umi Haidhar itu.
Puan Azean tersandar pada badan sofa. Matanya tidak lepas daripada memandang wajah Yusra yang masih mampu tersenyum senang seperti perkara yang mereka bincangkan sekarang langsung tidak serius. Dia cuba menilai gadis di hadapannya itu.
“Err... mak cik, tu Haidhar dah turun. Kami pergi dululah ya,” ujar Yusra kepada Puan Azean yang jelas masih belum hilang rasa terkejutnya sebaik sahaja dia nampak kelibat Haidhar di kaki tangga.
Tanpa menunggu lebih lama, Yusra terus menuju ke arah Haidhar. Tangan lelaki itu ditarik agar mengikutinya menuju ke pintu utama. Lantaklah kaki lelaki itu sakit atau apa, yang penting hatinya jauh lebih sakit!
“KEPUTUSAN UMI muktamad. No objection!” tegas suara Puan Azean menampar gegendang telinga Haidhar.
“Tapi umi...” Haidhar masih mahu mempertahankan Yusra.
Mata Puan Azean tajam mencerlung ke arah anak sulungnya. Masih ada hati mahu membantah.
“Okey, dengar ni... umi tak nak menantu macam tu. Dahlah tak menutup aurat. Tu, bajunya seksi bukan main. Nak tunjuk pada siapa badan dia tu? Along nak ke isteri macam tu? Ke along memang suka tengok dia macam tu? Sukalah tambah dosa? Ya rabbi, along! Tak ada ke perempuan lain yang boleh dijadikan isteri?”
“Umi, tak baik cakap macam tu. Nanti dah kahwin, along nasihatkanlah dia.”
“Nanti dah kahwin baru nak nasihatkan? Nak ke dia dengar cakap along? Along yakin dia nak dengar cakap along? Terus terang, umi tak setuju dengan pilihan along.” Tanpa berlapis, Puan Azean menegaskan pendiriannya. Dia tidak mahukan Yusra sebagai menantu.
Haidhar menarik nafas panjang. Dia tidak mahu menjadi anak derhaka, tapi dia juga tidak mahu kehilangan Yusra. Ya, dia tahu di mana tempatnya dalam hati gadis itu, tapi... cinta boleh dipupuk, kan? Dia yakin, suatu hari nanti Yusra akan lembut hati juga dengannya.
“Umi bukan saja-saja larang along berkahwin dengan dia. Tapi along kena tahu, umi nak yang terbaik untuk along. Yusra tu, umi tengok tak ada adab langsung. Masuk keluar rumah ni tadi, tak pandai nak salam umi. Itu yang along nak angkat jadi isteri dan ibu kepada anak-anak along?”
Apabila uminya sudah melemparkan pelbagai jenis persoalan sebegitu, sesak juga dada Haidhar menahan pedih. Jatuh teruk saham Yusra pada mata uminya hari ini. Haih!
“Lagi satu, umi nak tanya... along jawab betul-betul. Selalu ke along bawa Yusra tu masuk rumah ni?” Nada Puan Azean bercakap semakin serius. Hal ini yang paling hendak dia bincangkan sejak tadi. Tunggu masa sahaja.
Haidhar kaget mendengar soalan uminya yang lain macam bunyinya.
“Masuk? Tak pernah, umi. Paling jauh dia jejak pun, kat parking lot aje. Kenapa umi tanya macam tu?” soal Haidhar kembali.
“Along biar betul ni? Along jujur dengan umi, betul along tak pernah bawa dia masuk rumah ni, tidur dekat sini?” Puan Azean tidak puas hati. Bukankah Yusra kata tadi...
“Ya Allah, umi! Kenapa dengan umi ni? Umi tahu along macam mana, kan? Umi nak cakap apa sebenarnya ni?” Haidhar pula naik marah apabila dituduh sebegitu oleh uminya. Tak sangka, umi tidak mempercayainya sehingga sanggup menuduhnya membawa perempuan bukan mahram tidur di rumah. Memanglah dia ini bukan orang yang kuat agama, tapi dia takkan sesekali meniduri perempuan yang bukan halal baginya.
Menyedari dia ditipu oleh Yusra, Puan Azean tersenyum sinis.
“Baguslah kalau apa yang dia beritahu tu tak betul. Dah jelas pada mata umi yang dia tu memang tak layak nak dijadikan menantu. Tak menutup aurat, tak beradab, penipu, penabur fitnah. Jadi Haidhar, jawapan umi tetap tidak! Cari orang lain.”
Haidhar terpempan. Uminya sudah berlalu meninggalkannya. Penipu dan penabur fitnah? Haidhar termenung sendirian di ruang itu. Fikirannya berputar kembali memikirkan perbalahannya dengan Yusra di dalam kereta tadi.
“APA YANG you rancang sebenarnya ni, Haidhar? You memang sengaja, kan? Memang sengaja nak buat I marah!”
Masuk sahaja ke dalam kereta, Yusra melepaskan amarahnya kepada Haidhar. Segala amarahnya dilepaskan tanpa mempedulikan Haidhar yang mengurut kaki. Sakit agaknya.
“Kenapa you tarik I macam tu? Kalau jadi apa-apa macam mana?” Haidhar pula yang meluahkan rasa tidak puas hatinya. Kakinya dibelek. Bimbang bertambah teruk. Sesuka hati sahaja Yusra menariknya tadi. Tidak sempat dia hendak menyalami tangan umi. Harap umi tak terasa.
“You melampau, tahu tak? Kenapa you tak cakap yang umi you ada?” tanya Yusra bertalu-talu. Dadanya berombak menahan amarah yang teramat.
Haidhar mengukir senyum. Kerana itukah Yusra marah sangat? Ingatkan kenapalah gadis itu naik angin sebegini rupa.
“Kenapa senyum? Suka tengok I marah?” Yusra makin naik angin apabila melihat Haidhar tiba-tiba senyum sendiri. Sewel agaknya.
“Okay, calm down, darling. I saja nak surprisekan you. Lagipun, umi memang dah lama nak jumpa bakal menantu dia. So, inilah peluang untuk...”
“Peluang? Peluang apa? Kenal-kenal? Macam tu? You tak faham lagi ke? Kan I dah cakap, I tak nak kahwin dengan you. Tak ada istilah bakal menantu ke apa. Bahagian mana yang you tak faham ni???”
Hati Yusra mendongkol geram apabila Haidhar pandai-pandai mengatur pertemuan antaranya dengan umi lelaki itu. Siapa lelaki ini mahu memaksanya sebegini?
“Kenapa hati you ni keras sangat?” tanya Haidhar perlahan. Badannya terus disandarkan pada badan kerusi. Wajahnya diraup. Keluhan berat dilepaskan. Lelah juga rasanya mahu memenangi hati gadis ini.
Yusra mengerling Haidhar yang nampaknya sudah berputus asa. Dia menjerit keriangan dalam hati. Baguslah kalau Haidhar berputus asa. Memang itu yang dia mahu.
Selepas itu, Yusra tetap menghantar Haidhar ke klinik. Kasihan pula kerana dia sudah menambah sakit pada kaki lelaki itu. Selesai urusan di klinik, Yusra menghantar lelaki itu pulang ke rumah semula. Namun sekadar di parking lot sahaja. Malas dia mahu bertemu dengan umi Haidhar lagi.
Usai menghantar Haidhar, dia tidak terus pulang ke rumah. Jika tadi, dia tidak sabar sangat mahu pulang, kini sudah terbalik. Dia terasa malas mahu pulang. Dia mahu melapangkan mindanya dahulu sebelum pulang. Terus keretanya dipandu menuju ke KLCC.
Laju kakinya melangkah melewati kedai-kedai yang ada. Sesekali, langkahnya diperlahankan apabila matanya tertarik pada barangan yang terpamer. Sekadar melihat kerana dia tidak berencana mahu membeli-belah pun.
Leka memerhati beg tangan terbaharu keluaran jenama terkenal itu sambil berjalan, dia terlanggar sebuah stroller. Mujur tidak terbalik. Kalau tidak, memang naya nak menjawab dengan ibu kepada budak di dalam stroller itu.
“Err... sorry, puan.” Pantas dia memohon kemaafan daripada wanita bertudung hijau yang dipercayai ibu kepada bayi itu.
“Never mind, it’s okay,” balas wanita itu bersama senyuman.
Saat mata mereka bertentangan, masing-masing kaku. Terkejut dengan pertemuan yang tidak dirancang itu. Selepas beberapa tahun, ini kali pertama mereka bersua. Ada bicara yang tidak mampu diungkap.
Tanpa berkata apa-apa, Yusra terus berlalu. Langkahnya laju. Dia tidak mahu pertemuan ini berpanjangan. Dia belum bersedia.
“Yaa...” sebut Sarah perlahan.
Pemergian Yusra dipandang dengan linangan air mata. Dia mahu mengejar, namun dia tahu, tiada apa yang akan berubah. Yusra sudah ada kehidupannya sendiri.
“Sarah, what’s wrong?” Harris yang baru kembali dari tandas mendekati isterinya yang berdiri kaku di tepi stroller. Perasan ada air mata yang membasahi pipi isterinya, dia yakin ada sesuatu yang telah berlaku.
“Boleh tak kalau kita balik kampung?” soal Sarah tanpa menjawab pertanyaan suaminya. Kini, matanya beralih pada wajah Harris. Berharap agar suaminya bersetuju dengan permintaannya.
“Abah sakit ke?” Harris naik pelik dengan permintaan isterinya. Dia tahu, kampung yang Sarah maksudkan ialah rumah abah. Tapi kenapa tiba-tiba? Lagipun, mereka baru sahaja pulang ke kampung minggu lepas.
Sarah menggelengkan kepalanya.
Melihat kesukaran isterinya mahu menjelaskan apa yang berlaku, Harris tidak mahu memaksa. Dia yakin, Sarah akan tetap memberitahunya kelak. Sarah tidak pernah berahsia dengannya.
“Tak apa. Petang ni kita balik. Bukan jauh pun,” putus Harris. Dia menyorong stroller menuju ke pintu keluar pusat membeli-belah itu.
Sarah mengangguk. Masih terkejut dengan pertemuan secara tiba-tiba tadi. Lengan suaminya dipaut. Mindanya bercelaru.
‘Yaa, sampai bila nak lari? Akak rindukan Yaa,’ hatinya berbisik perlahan.
No comments:
Post a Comment