MENOLAK pintu bilik pejabatnya, anak mata Aiman menangkap figura pembantu peribadinya yang sedang terlentok lena di meja kerja wanita itu.
Dahi Aiman berkerut. Bukankah dia menyuruh Misha pulang berehat di rumah tadi?
“Misha...” seru Aiman mengejutkan wanita itu.
“Misha...” Kali ini Aiman kuatkan sedikit suaranya.
Misha membuka mata perlahan. Badannya terasa sengal dan sakit kerana tidur membongkok begitu.
“Kenapa tak balik tidur kat rumah? Kan saya suruh awak balik rehat kat rumah tadi.”
“Bos....” Misha meraup muka dan cuba bangkit berdiri. Namun kepalanya terasa berpinar-pinar. Mungkin kerana terlalu banyak menangis tadi.
“Awak okey ke tak ni?” Kelam-kabut Aiman menangkap lengan wanita itu dan mendudukkannya semula.
“Saya okey, bos.” Misha mengangguk-angguk. Jemarinya naik menekan kepala yang sakit.
Aiman mengeluh kecil sebelum ke mejanya. Air mineral yang terletak di atas meja dicapai dan dibawa kepada Misha.
“Minum dulu.” Botol air mineral itu diserahkan kepada Misha.
Turun mencangkung, Aiman menilik wajah pucat tanpa solekan milik PAnya itu. Jarang wanita itu berupa begini. Selalunya Misha tampil elegan di sebelahnya. Tapi hari ini, wajah wanita itu begitu pucat dan keruh tanpa sebarang solekan.
“Betul awak okey? Kenapa awak tak balik rehat kat rumah?” Aiman bertanya prihatin.
“Saya tak mahu balik rumah.” Nada suara Misha bergetar membalas ketuanya itu.
“Ada masalah?” Aiman tahu dia tidak patut masuk campur. Tapi pastinya pembantu peribadinya itu punya masalah tersendiri sehingga wanita itu tak mahu pulang ke rumah.
Misha cuma diam sambil mengetap bibir sebelum menyedut nafas dalam-dalam.
“I’m okay, boss. Just a period pain. Saya malas nak balik rumah.” Misha mempamer senyum tawar sebelum tubuhnya ditegakkan.
“Oh.” Aiman bangkit berdiri. Ingatkan apa tadi. Rupanya sakit perempuan. Risau juga dia kalau-kalau Misha punya masalah lain.
“Saya ke washroom sekejap.” Misha mencapai beg kosmetiknya sebelum berlalu ke tandas.
MENATAP WAJAH yang sembap di cermin, hati Misha berantakan lagi. Jujur dia tidak sekuat yang disangka. Kalaulah Aiman sedar siapa dirinya yang sebenar, pasti Aiman akan mentertawakannya. Lihatlah Aiman sekarang dan lihatlah dia yang ini; yang gagal dalam soal
hati dan perasaan. Dari dulu sehingga sekarang, Misha tetap seorang yang gagal.
Bunyi telefon pintar yang menyanyi menyentak Misha daripada tenggelam dek perasaan. Tertera nama si pemanggil. Misha membasuh muka sekali lagi sebelum mengangkat panggilan itu.
“Assalamualaikum abah...” Misha memberi salam setenang yang mungkin.
“Waalaikumussalam. Kakak kat mana?”
“Kat pejabat, bah. Ada apa? Abah tak sihat ke?” Dahi Misha berkerut. Bimbang juga jika ada sesuatu berlaku kepada bapanya itu.
“Abah tak ada apa. Kakak okey tak? Mak mentua kakak call abah tadi, kata mereka kakak halau mereka. Betul ke?”
Misha mengetap bibir. Laju betul ibu mentuanya menyampaikan apa yang berlalu.
“Kakak... kakak tahu kan abah selalu ada. Jangan rahsiakan daripada abah.”
Dada Misha bagai ditumbuk dan dilanyak apabila mendengar bicara lembut abahnya.
‘Maafkan Misha, abah. Kalaulah Misha dengar cakap abah... Kalaulah Misha tak buat keputusan terburu-buru...’
“Maafkan kakak, abah. Kakak dah tak tahan. Kakak dah tak boleh tahan...” Misha kemam bibir.
“Kakak ambil cuti. Balik kampung ya? Nanti kita bincang apa yang perlu dibuat.” Abah masih lembut memujuk.
“Baik, bah...”
Selepas meletakkan panggilan, Misha membersihkan muka dan mengenakan solekan. Sebolehnya dia mahu kelihatan cantik di mata Aiman. Dia mahu Aiman nampak inilah Nur Amisha yang sekarang.
Tetapi selama 2 tahun ini, walau sebesar hama pun Aiman tidak pernah menyedari siapakah dia yang sebenar dan Misha tidak berani membuka kisah silam yang pernah tersimpul antara mereka. Biarlah hubungan mereka kekal sebagai majikan dengan pekerja. Lagipun, dia masih isteri orang. Masih bergelar isteri kepada Jeffri yang tidak pernah menghargainya.
AIMAN MEMUTARKAN pen di tangan. Fikirannya melayang pada wajah sendu Misha tanpa solekan tadi. Dia seperti pernah melihat sepasang anak mata yang menyimpan seribu rahsia itu. Tapi di mana ya?
Misha... Misha... Tak mungkin! Aiman menggeleng kecil. Menafikan apa yang terlintas dalam kotak memorinya. Memanglah nama mereka sama, tapi Aiman tak pernah beranggapan pun mereka adalah orang yang sama. Tapi tadi...
Bunyi pintu pejabatnya dibuka menerbangkan khayalan Aiman. Misha muncul dengan wajah dan gaya yang segar. Wanita itu bergerak ke mejanya yang terletak dalam bilik pejabat yang sama. Dari dulu Aiman senang Misha dekat dengannya. Mudah untuk dia memberi arahan.
Anak mata Aiman merenung tajam setiap lenggok Misha. Mencari titik persamaan yang mungkin ada dengan seseorang yang pernah hadir dalam memorinya dahulu.
“Misha, dulu awak sekolah di mana?”
Misha yang baru saja melabuhkan duduk tersentak dengan soalan Aiman. Namun, lekas dia mengawal perasaan gugupnya.
“Di Perak, bos. Kenapa?” Misha kalihkan pandangan kepada Aiman. Sekali gus membuatkan anak mata mereka saling bertautan.
“Tak... tak ada apa.” Cepat Aiman menundukkan pandangan dan berpura-pura membuka komputer ribanya. ‘Kan aku dah cakap bukan...’ Aiman bercakap dalam hati. Tapi...
‘Stop Man, stop. Dia isteri orang!’ Aiman mengingatkan dirinya. Kenapa pula dia tiba-tiba tertarik kepada pembantu peribadinya sendiri? Sedangkan selama ini mereka sentiasa profesional dalam tugas masing-masing. Masalahnya, wanita itu bunga di taman larangan!
Sementara itu, Misha pula menggigit bibir bawah. Kedua tangannya diramas-ramas membuang debar.
“Bos...” panggil Misha antara dengar dan tak dengar.
“Ehem! Bos.” Kali ini Misha tegaskan suara seperti biasa.
“Ya, Misha?” Aiman memanggung kepala.
“Saya nak ambil cuti panjang, boleh?”
“Cuti panjang?” Terangkat kening Aiman. Tak pernah Misha minta cuti selama bekerja dengannya. Ini kali pertama.
Misha angguk.
“Sebab?”
“Saya... saya nak balik kampung. Dah lama saya tak balik kampung.” Misha tersenyum tawar memberi alasannya.
“Balik Perak?”
“Ya, balik Perak.” Misha mengangguk lagi.
“Suami awak ikut?”
Soalan Aiman kali ini buat Misha menelan liur kesat. Banyak pula Aiman bertanya.
“Tak. Dia tak ikut.”
“Berapa lama awak nak ambil cuti?”
“Dua minggu.” Misha menggigit bibir bawah.
“Dua minggu?” Terkejut juga Aiman dibuatnya.
“Err... cuti tahun saya banyak lagi. Jadi... saya...”
“Baik, Misha. Awak boleh isi form cuti. Nanti saya approve,” Aiman pintas memberi kata putus. Aduh, lama juga Misha ambil cuti. Tapi mengenangkan Misha tidak pernah ambil cuti, diizinkan juga.
“Terima kasih, bos.” Misha menarik nafas lega. Dua minggu mungkin cukup untuk dia menyelesaikan segala masalahnya dengan Jeffri. Harapnya Jeffri memberi kerjasama walaupun Misha tahu jalan yang ditempuhnya mungkin berliku.
**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /
: 019-3729676 (Admin Shida)