Friday, 31 December 2021

Boss Tolong Jaga Saya - Bab 3

 

MENOLAK pintu bilik pejabatnya, anak mata Aiman menangkap figura pembantu peribadinya yang sedang terlentok lena di meja kerja wanita itu.

Dahi Aiman berkerut. Bukankah dia menyuruh Misha pulang berehat di rumah tadi?

“Misha...” seru Aiman mengejutkan wanita itu.

“Misha...” Kali ini Aiman kuatkan sedikit suaranya.

Misha membuka mata perlahan. Badannya terasa sengal dan sakit kerana tidur membongkok begitu.

“Kenapa tak balik tidur kat rumah? Kan saya suruh awak balik rehat kat rumah tadi.”

“Bos....” Misha meraup muka dan cuba bangkit berdiri. Namun kepalanya terasa berpinar-pinar. Mungkin kerana terlalu banyak menangis tadi.

“Awak okey ke tak ni?” Kelam-kabut Aiman menangkap lengan wanita itu dan mendudukkannya semula.

“Saya okey, bos.” Misha mengangguk-angguk. Jemarinya naik menekan kepala yang sakit.

Aiman mengeluh kecil sebelum ke mejanya. Air mineral yang terletak di atas meja dicapai dan dibawa kepada Misha.

“Minum dulu.” Botol air mineral itu diserahkan kepada Misha.

Turun mencangkung, Aiman menilik wajah pucat tanpa solekan milik PAnya itu. Jarang wanita itu berupa begini. Selalunya Misha tampil elegan di sebelahnya. Tapi hari ini, wajah wanita itu begitu pucat dan keruh tanpa sebarang solekan.

“Betul awak okey? Kenapa awak tak balik rehat kat rumah?” Aiman bertanya prihatin.

“Saya tak mahu balik rumah.” Nada suara Misha bergetar membalas ketuanya itu.

“Ada masalah?” Aiman tahu dia tidak patut masuk campur. Tapi pastinya pembantu peribadinya itu punya masalah tersendiri sehingga wanita itu tak mahu pulang ke rumah.

Misha cuma diam sambil mengetap bibir sebelum menyedut nafas dalam-dalam.

“I’m okay, boss. Just a period pain. Saya malas nak balik rumah.” Misha mempamer senyum tawar sebelum tubuhnya ditegakkan.

“Oh.” Aiman bangkit berdiri. Ingatkan apa tadi. Rupanya sakit perempuan. Risau juga dia kalau-kalau Misha punya masalah lain.

“Saya ke washroom sekejap.” Misha mencapai beg kosmetiknya sebelum berlalu ke tandas.

 

MENATAP WAJAH yang sembap di cermin, hati Misha berantakan lagi. Jujur dia tidak sekuat yang disangka. Kalaulah Aiman sedar siapa dirinya yang sebenar, pasti Aiman akan mentertawakannya. Lihatlah Aiman sekarang dan lihatlah dia yang ini; yang gagal dalam soal

hati dan perasaan. Dari dulu sehingga sekarang, Misha tetap seorang yang gagal.

Bunyi telefon pintar yang menyanyi menyentak Misha daripada tenggelam dek perasaan. Tertera nama si pemanggil. Misha membasuh muka sekali lagi sebelum mengangkat panggilan itu.

“Assalamualaikum abah...” Misha memberi salam setenang yang mungkin.

Waalaikumussalam. Kakak kat mana?”

“Kat pejabat, bah. Ada apa? Abah tak sihat ke?” Dahi Misha berkerut. Bimbang juga jika ada sesuatu berlaku kepada bapanya itu.

“Abah tak ada apa. Kakak okey tak? Mak mentua kakak call abah tadi, kata mereka kakak  halau mereka. Betul ke?”

Misha mengetap bibir. Laju betul ibu mentuanya menyampaikan apa yang berlalu.

“Kakak... kakak tahu kan abah selalu ada. Jangan rahsiakan daripada abah.”

Dada Misha bagai ditumbuk dan dilanyak apabila mendengar bicara lembut abahnya.

‘Maafkan Misha, abah. Kalaulah Misha dengar cakap abah... Kalaulah Misha tak buat keputusan terburu-buru...’

“Maafkan kakak, abah. Kakak dah tak tahan. Kakak dah tak boleh tahan...” Misha kemam bibir.

“Kakak ambil cuti. Balik kampung ya? Nanti kita bincang apa yang perlu dibuat.” Abah masih lembut memujuk.

“Baik, bah...”

Selepas meletakkan panggilan, Misha membersihkan muka dan mengenakan solekan. Sebolehnya dia mahu kelihatan cantik di mata Aiman. Dia mahu Aiman nampak inilah Nur Amisha yang sekarang.

Tetapi selama 2 tahun ini, walau sebesar hama pun Aiman tidak pernah menyedari siapakah dia yang sebenar dan Misha tidak berani membuka kisah silam yang pernah tersimpul antara mereka. Biarlah hubungan mereka kekal sebagai majikan dengan pekerja. Lagipun, dia masih isteri orang. Masih bergelar isteri kepada Jeffri yang tidak pernah menghargainya.

 

AIMAN MEMUTARKAN pen di tangan. Fikirannya melayang pada wajah sendu Misha tanpa solekan tadi. Dia seperti pernah melihat sepasang anak mata yang menyimpan seribu rahsia itu. Tapi di mana ya?

Misha... Misha... Tak mungkin! Aiman menggeleng kecil. Menafikan apa yang terlintas dalam kotak memorinya. Memanglah nama mereka sama, tapi Aiman tak pernah beranggapan pun mereka adalah orang yang sama. Tapi tadi...

Bunyi pintu pejabatnya dibuka menerbangkan khayalan Aiman. Misha muncul dengan wajah dan gaya yang segar. Wanita itu bergerak ke mejanya yang terletak dalam bilik pejabat yang sama. Dari dulu Aiman senang Misha dekat dengannya. Mudah untuk dia memberi arahan.

Anak mata Aiman merenung tajam setiap lenggok Misha. Mencari titik persamaan yang mungkin ada dengan seseorang yang pernah hadir dalam memorinya dahulu.

“Misha, dulu awak sekolah di mana?”

Misha yang baru saja melabuhkan duduk tersentak dengan soalan Aiman. Namun, lekas dia mengawal perasaan gugupnya.

“Di Perak, bos. Kenapa?” Misha kalihkan pandangan kepada Aiman. Sekali gus membuatkan anak mata mereka saling bertautan.

“Tak... tak ada apa.” Cepat Aiman menundukkan pandangan dan berpura-pura membuka komputer ribanya. ‘Kan aku dah cakap bukan...’ Aiman bercakap dalam hati.  Tapi...

Stop Man, stop. Dia isteri orang!’ Aiman mengingatkan dirinya.  Kenapa pula dia tiba-tiba tertarik kepada pembantu peribadinya sendiri? Sedangkan selama ini mereka sentiasa profesional dalam tugas masing-masing.  Masalahnya, wanita itu bunga di taman larangan!

Sementara itu, Misha pula menggigit bibir bawah. Kedua tangannya diramas-ramas membuang debar.

“Bos...” panggil Misha antara dengar dan tak dengar.

“Ehem! Bos.” Kali ini Misha tegaskan suara seperti biasa.

“Ya, Misha?” Aiman memanggung kepala.

“Saya nak ambil cuti panjang, boleh?”

“Cuti panjang?” Terangkat kening Aiman. Tak pernah Misha minta cuti selama bekerja dengannya. Ini kali pertama.

Misha angguk.

“Sebab?”

“Saya... saya nak balik kampung. Dah lama saya tak balik kampung.” Misha tersenyum tawar  memberi alasannya.

“Balik Perak?”

“Ya, balik Perak.” Misha mengangguk lagi.

“Suami awak ikut?”

Soalan Aiman kali ini buat Misha menelan liur kesat. Banyak pula Aiman bertanya.

“Tak. Dia tak ikut.”

“Berapa lama awak nak ambil cuti?”

“Dua minggu.” Misha menggigit bibir bawah.

“Dua minggu?” Terkejut juga Aiman dibuatnya.

Err... cuti tahun saya banyak lagi. Jadi... saya...”

“Baik, Misha. Awak boleh isi form cuti. Nanti saya approve,” Aiman pintas memberi kata putus. Aduh, lama juga Misha ambil cuti. Tapi mengenangkan Misha tidak pernah ambil cuti, diizinkan juga.

“Terima kasih, bos.” Misha menarik nafas lega. Dua minggu mungkin cukup untuk dia menyelesaikan segala masalahnya dengan Jeffri. Harapnya Jeffri memberi kerjasama walaupun Misha tahu jalan yang ditempuhnya mungkin berliku.

 

**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /

: 019-3729676 (Admin Shida)

 

Boss Tolong Jaga Saya - Bab 2

 

MISHA menguap kecil sebelum membuka pintu dengan berhati-hati. Dia tidak mahu isi rumah itu mendengar kepulangannya. Sudahlah malam tadi diam-diam dia keluar tanpa memberitahu. Kecuali...

“Hah, macam inilah perangai seorang isteri ya? Keluar malam, pagi baru balik!” Hilang serta-merta kantuk Misha tadi apabila disergah begitu.

Dihelakan nafas sebelum memasukkan kunci ke dalam tas tangannya.

“Sha pergi kerja, mak...” Lemah Misha membalas sebelum melangkah masuk.

“Kerja? Kerja apa sampai ke pagi baru balik? Entah-entah kamu curang dengan anak aku!” Tuduhan yang tidak berasas keluar daripada bibir ibu mentuanya itu.

Panas terus hati Misha jadinya. Dia penat-penat bekerja untuk menyara seisi rumah itu, dituduh curang pula!

“Saya bekerja, mak! Rumah, bil-bil, makan minum ni semua perlukan duit. Mak fikir saya ada masa ke nak curang bila semua beban atas bahu saya?” Nada Misha meninggi. Dia sudah penat menahan semuanya.

“Mak, Misha, apa bising-bising ni?” Suara seorang lelaki muncul menegur mereka.

“Bini kamu ni hah. Kurang ajar dengan mak. Mak cuma tanya aje kenapa pagi ni baru dia balik.” Bernanah telinga Misha mendengar aduan ibu mentuanya itu.

Misha berpaling kepada lelaki yang sedang menguap kecil sambil menggaru pipi itu. Makin panas hati dia jadinya.

“Awak tak beritahu mak awak ke saya kena temankan bos saya yang sakit malam tadi?” Misha mencerun suaminya itu.

“Ya ke bos sakit?” Sinis lagi ibu mentuanya memerli.

“Sha ada beritahu Jeff dia kena teman bos dia tu. Tak ada apalah mak. Jangan fikir bukan-bukanlah.” Jeffri, suami Misha sambung menguap dan masuk ke dalam bilik semula.

Misha mengekori lelaki itu dari belakang.

“Hei! Sarapannya tak beli ke?” laung ibu mentuanya itu sebelum dia menutup pintu bilik.

Berbulu mata Misha apabila melihat sang suami menyambung tidur seperti tak ada apa yang berlaku. Seperti hinaan si ibu kepada isterinya tidak terkesan langsung di hati.

Misha mencapai tuala dan masuk ke dalam bilik air yang terletak di dalam bilik mereka itu.  Bersandar ke pintu, badan Misha melorot ke bawah. Sakit hatinya membuatkan dada Misha sesak dan berat. Air matanya gugur satu per satu hingga tersedu-sedan.

‘Kenapa Misha? Kenapa kau masih bertahan dengan lelaki seperti Jeffri?’ Kerana sebuah pengharapan... berharap yang Jeffri akan berubah menjadi suami yang seperti diidaminya.  Berharap yang rumah tangga mereka akan normal seperti orang lain. Apakah ia Cuma impiannya saja?

 

KELUAR DARIPADA bilik air, dengkuran Jeffri kedengaran kuat. Misha melepaskan keluhan sebelum mengenakan pakaian.

“Jeff... Jeff...” Misha mencuit bahu Jeffri.

“Apa?” Bahu Jeffri bergerak tanda tidak mahu diganggu.

“Awak kata nak cari kerja hari ni,” Misha mengingatkan Jeffri.

“Esoklah... mengantuk ni.” Jeffri mengambil bantal dan menutup mukanya.

“Janganlah macam ni, Jeff. Awak asyik janji aje, tapi tak pernah pun tunaikan. Saya dah tak mampu nak tolong awak sara keluarga awak.” Misha tak kira. Dia sudah terlalu penat. Sama ada Jeffri cari kerja dan menafkahi keluarganya atau Misha terpaksa ambil kata putusnya sendiri.

Sekarang ini, dia masih cuba bertoleransi. Kerana apa? Kerana masih ada sekelumit sayang buat lelaki itu. Lelaki yang pernah berjanji mahu menjaganya dengan sepenuh hati sebelum mereka bernikah. Malangnya, janji Jeffri Cuma tinggal janji.

Jeffri masih dengan dengkurannya.

Akhirnya Misha menepuk kuat bahu lelaki itu.

“Hoi! Apa ni? Aku nak tidurlah. Kau tahu tak aku tak tidur malam tadi? Bodohlah kau ni!” Jeffri bangkit bertempik apabila lenanya diganggu.

“Awak fikir tidur awak aje. Tidur saya awak ada fikir?” Misha membalas sebal. Jeffri memang pentingkan dirinya saja. Dia yang bersengkang mata mencari rezeki, Jeffri pula yang melebih-lebih penatnya. Padahal haram satu kerja rumah pun tak dibuatnya. Semua pun Misha juga yang lakukan.

Bibir Jeffri terjongket sinis di hujung.

“Bukan kau suka kerja ke?”

Membesar anak mata Misha.

“Apa maksud awak?”

Jeffri bangkit dan meregangkan badan. Hilang rasa mengantuknya tadi.

“Aku tak kisah pun kau nak kerja sampai tak balik rumah, yang penting kau selesaikan hal dalam rumah dulu. Sakit telinga tahu tak dengar mak aku membebel kompelin pasal kau.” Jeffri tunjukkan telinganya. Dia rimas dengan bebelan si emak.

“Habis, apa guna ada awak? Awaklah buat kerja rumah. Saya penat, tahu tak!” Misha membentak.

“Wah! Kau ni akhir-akhir ni makin tak hormat aku nampaknya. Aku ni suami kau, kau ingat tak?” Jeffri mencerun memandang isterinya sambil bercekak pinggang.

Misha yang duduk di birai katil sebentar tadi, bangkit berdiri menghadap Jeffri.

“Awak ingat rupanya yang awak tu suami saya. Kalau betul awak suami saya, jalankan tanggungjawab awak, Jeff! Pergi keluar cari kerja. Bagi keluarga awak makan!” Misha menuding jari ke arah pintu. Sabarnya sudah separas hidung. Selagi dia tak lafazkan apa yang terbuku di hati, selagi itu dirasakan dadanya sesak dan sendat.

“Hei! Siapa yang nak kahwin dengan aku dulu? Siapa yang kata akan hidup susah senang dengan aku? Siapa yang kata akan terima aku seadanya?” Bebola mata Jeffri merah menyala.

“Saya tak akan ungkit kalau awak ada usaha. Saya tak akan ungkit kalau awak tepati janji-janji awak. Tapi awak langsung tak berusaha. Malah, habiskan duit saya tanpa pengetahuan saya. Ingat saya bodoh ke? Saya tahu awak curi kad ATM saya diam-diam, Jeffri!” Misha mengambil bantal dan baling ke arah suaminya itu. Hari ini dia bakal mengamuk semahunya. Dia sudah cukup bersabar.

Malam tadi, ketika dia mahu mengeluarkan wang daripada ATM, yang tinggal cuma RM50  sahaja. Selebihnya lesap begitu saja. Dia tidak mahu menuduh, tapi dia tahu suaminya saja yang berani buat semua itu.

Jeffri mengelak. Wajahnya bertukar riak.

“Ak... aku pinjam ajelah! Nanti aku bayarlah!” Gugup Jeffri membela diri.

“Pinjam! Pinjam! Dah berapa banyak awak pinjam daripada saya, hah? Awak tahu tak duit yang awak curi tu belanja makan kita sebulan? Mana saya nak cari duit untuk bagi awak makan? Nak bagi mak dan adik-beradik awak tu makan?” Misha menjerit sehingga dia terduduk semula di birai katil.

“Jeff! Jeff! Apa ni bini kau terjerit-jerit macam kena sampuk hantu?” Suara si ibu mentua bising di luar pintu bilik diselangi oleh ketukan bertalu-talu.

Jeffri kecut perut. Tak pernah isterinya jadi begitu. Misha seorang yang tenang selalunya.

Misha mengesat air mata yang hampir gugur. Selendangnya disarung seadanya ke kepala. Tas tangannya diambil dari atas meja.

Melangkah ke muka pintu bilik, kemudian dibuka lebar daun pintu itu. Terjengul wajah si ibu mentua dan ahli keluarga Jeffri yang menumpang di rumahnya itu.

“Baguslah semua ada ni. Mulai hari ni, saya nak semua orang keluar daripada rumah saya. Termasuk awak, Jeffri!” Misha memandang wajah-wajah di situ satu per satu sebelum menolak bahu si ibu mentua dengan bahunya dan berlalu pergi.

Misha pejam mata seketika apabila mendengar si ibu mentua terjerit-jerit memanggilnya dan terpekik terlolong kepada Jeffri. Tapi cukup setakat ini. Dia sudah penat! Tersangat penat berharap rumah tangga yang dibina beberapa tahun yang lalu akan menjadi syurga buatnya.

Boss Tolong Jaga Saya - Bab 1

 

KATA orang, lelaki akan menjadi lemah jika jatuh sakit. Tetapi tidak bagi Aiman. Dia lelaki kuat. Bukannya lemah seperti itu. Malangnya, hari ini dia terbaring di katil bercadar putih ini.

Satu keluhan terbit daripada bibir Aiman.

“Bos dah okey ke? Saya dah beritahu keluarga bos yang bos jatuh sakit.”

Suara pembantu peribadinya menyentak lamunan. Aiman mengalih pandangan ke sisi. Wanita itu sedang menuang air putih ke dalam gelas.

Aiman bangkit duduk bersandar ke kepala katil.

“Saya sakit sikit aje, Misha. Kenapa sampai beritahu dia orang?” Gelas berisi air yang sudah bertukar tangan, Aiman teguk perlahan.

“Saya cuma jalankan tugas aje, bos. Lagipun, waktu-waktu begini keluarga yang perlu ada di sisi kita.” Misha mengukir senyum.

Sudah 2 tahun dia bekerja dengan lelaki itu. Jarang Aiman jatuh sakit. Agaknya kerana tak tahan sangat, lelaki itu menghubunginya malam tadi untuk meminta bantuan.

Hujung bibir Aiman terjongket nipis.

“Awak ni cakap macam saya sakit teruk pula. Ni, awak boleh tolong saya?” Aiman menyerahkan semula gelas kepada Misha dan menatap wajah pembantunya itu.

“Boleh, bos. Takkanlah tak boleh.” Misha menanti arahan. Seboleh mungkin dia berdedikasi pada kerjanya. Kerana inilah lubuk rezekinya. Syukur, dia mempunyai ketua yang baik dan selalu memahami.

“Tolong ambilkan fail projek Delta-X di pejabat, boleh? Saya kena semak sebelum miting dengan Mr. Robert nanti. Jangan lupa singgah rumah saya ambilkan iPad juga,” Aiman meminta pertolongan. Baru teringat akan kerjanya yang masih tertangguh di pejabat.

“Baik, bos.” Misha bangkit daripada duduk sebelum menggeleng kecil.

“Bos, banyakkan berehat. Perut bos baru saja baik,” sambung Misha menegur ketuanya itu.

“Saya tengah rehatlah ni kan. Sampai bosan dah ni.” Aiman mengangkat kening kepada Misha. Tak cukup rehat lagi ke begini? Dia sudah hampir mati kebosanan saat ini.

“Ya... ya... bos tengoklah media sosial bos dulu. Tengok Facebook ke, Instagram ke, TikTok... barulah hilang bosan bos tu,” balas Misha sambil menyangkut tas tangannya ke bahu.

“Ehem! Saya mana ada semua tu,” Aiman menjawab dengan berdeham kecil.

Jatuh rahang Misha. Biar betul! Ada lagi ya rupanya manusia seperti Aiman?

“Kenapa? Salah ke saya tak berminat dengan semua tu?” Aiman mencerun memandang Misha. Tahu yang Misha pastinya hairan dia tak punya walau satu akaun pun yang berkaitan dengan dunia interaksi maya itu.

Misha ketawa kecil.

“Taklah... lagi bagus sebenarnya kalau tak ada, bos. Saya pergi dulu.” Misha pamit sebelum berlalu.

Aiman mengambil telefon pintarnya setelah bayang Misha ditelan pintu. Ada sebabnya dia menghindari media sosial yang menjadi kegilaan orang zaman sekarang. Pahit untuk dikenang kata orang. Baik dia tidur saja daripada kebosanan begini. Cepat-cepat Aiman pejamkan mata.

 

DAHI AIMAN berkerunyut apabila mendengar derapan kaki yang menghampiri. Telinganya memang mudah menangkap sebarang bunyi. Mudah terjaga daripada lena.

Buka mata, figura kakaknya hadir di depan mata. Sedang melabuhkan duduk di kerusi yang terletak di sebelah katil.

“Hah, bangun dah? Man okey ke? Sakit lagi?” Seperti yang dijangka, pastilah satu-satunya kakak yang dia ada itu akan cemas begini.

“Man okey, kak...” Aiman membalas lemah sebelum bangkit meluruskan duduk dan bersandar di kepala katil. Awaanis, kakak kesayangannya itu sibuk membantunya membetulkan bantal di belakangnya.

“Kak, Man okey... okey?” Aiman membetulkan bantalnya sendiri dan mengangkat kening kepada Awaanis, kakaknya itu.

Awaanis melepaskan keluh dan melabuhkan duduk semula. Kalau pembantu Aiman tidak menghubungi suaminya, sampai sudah dia tidak tahu adik kesayangannya itu jatuh sakit. Sejak masing-masing meningkat umur ini, Awaanis rasa hubungan mereka semakin jauh. Apatah lagi, Aiman ini sama saja seperti suaminya. Gilakan kerja!

“Berapa kali dah kakak cakap, cari isteri! Barulah Man pandai jaga diri sendiri.” Awaanis kecilkan mata dan mencerun pandang ke arah adiknya itu. Lagi satu yang dia geramkan, Aiman selalu mengelak apabila berbicara soal jodoh.

“Man gastrik aje, kak. Bukan sakit teruk pun.” Selamba Aiman membalas.

“Tak teruk apa kalau sampai masuk wad?”

Aiman menghela nafas. Ini satu hal. Pantang berjumpa, Awaanis akan sibuk bertanya tentang hal jodohnya yang belum sampai lagi itu. Tak habis-habis soal kahwin. Masalahnya, dia terlalu sibuk. Tidak ada masa mahu memikirkan semua itu.

“Assalamualaikum...”

Waalaikumussalam...” Serentak Aiman dan Awaanis membalas salam yang diberi oleh figura yang baru masuk ke dalam ruangan wad kelas pertama itu.

“Bos... ini saya bawa fail yang bos minta tu.” Misha menjengah. Bimbang juga dia mengganggu bosnya itu.

“Terima kasih, Misha.” Aiman mengangguk sambil mengerdipkan mata meminta Misha mendekati mereka.

Misha mengukir senyum kepada wanita yang berada di sisi bosnya itu sebelum melangkah rapat dan menyerahkan fail yang berada di tangannya kepada Aiman. Entah apa yang diborakkan Aiman dengan wanita itu sehingga kedengaran kecoh sampai ke luar pintu.

Menjeling kakaknya, Aiman perasan Awaanis sedang menilik Misha atas bawah.

No, kak... no.” Menderam suara Aiman keluar daripada celahan gigi. Faham benar Aiman apa yang ada dalam fikiran kakaknya itu.

Syhhh...” Awaanis menepuk paha Aiman sebelum tersenyum kepada gadis bertudung dengan gaya elegan itu.

“PA Aiman?” Manis Awaanis bertanya.

“Ya, puan.” Misha mengangguk. Dia  kenal wanita itu. Kakak Aiman, merangkap isteri kepada Tuan Adriy.

“Lama dah kerja dengan Aiman?”

Terangkat kening Aiman. Ah, sudah! Kakaknya itu sudah mulakan sesi temu duga.

“2 tahun dah, puan.” Misha menjawab dengan jujur.

“Lama dah rupanya, kenapa kakak tak tahu Man ada PA cantik macam ni?” Awaanis mengalih pandang kepada Aiman.

Pap! Aiman menutup fail yang baru dibeleknya. Hilang fokusnya gara-gara si kakak.

Thanks, Misha.” Aiman menyerahkan semula fail kepada Misha.

Err... baik bos, saya balik ofis dulu kalau tak ada apa-apa.”

“Ya, ya... silakan.”

“Eh, nantilah dulu! Saya ada banyak benda nak tanya ni.” Awaanis menahan Misha daripada

melangkah. Tak jadi wanita itu berpusing ke arah pintu.

“Awak boleh balik, Misha. Dari malam tadi awak temankan saya. Awak tak payah masuk pejabat lepas ni. Balik rumah dan rehat,” arah Aiman memintas sebelum Awaanis buka mulut.

“Ba... baik bos.” Misha terus melangkah. Berkerut keningnya hairan dengan dua beradik itu. Tapi, apa-apa sajalah. Dia pun sudah letih dan perlukan rehat. Rehat? Satu keluhan nipis keluar daripada bibir Misha.

“Dia jaga Man dari malam tadi?” Kening Awaanis terangkat apabila bayang Misha sudah tidak kelihatan.

“Bukan macam kakak fikir. Dia PA Man!” Aiman menyangkal tidak senang. Dia tahu sangat  apa yang sedang berlegar dalam fikiran kakaknya itu.

“Baguslah. Maknanya dia dah tahu tentang fiil Man.”

Aiman hela nafas.

“She’s married.” Full stop. Dia diamkan terus si kakak.