SUDAH 3 hari arwah tok ma pergi meninggalkannya. Selama 3 hari ini, keluarga pak longnya tinggal di sini.
“Fiya.”
Safiya memandang ke arah pintu bilik. Wajah kakak sepupunya jelas kelihatan tegang. Tahu sangat dia yang gadis itu tidak suka berlama di rumah ini. Kononnya rumah tok ma terlalu panas. Sakit juga telinganya mendengar anak sulung pak long yang suka merungut 24 jam.
“Ayah aku panggil. Cepatlah keluar. Kami dah nak balik ni.”
Safiya segera keluar daripada biliknya. Tak berani dia pandang wajah bapa saudaranya itu. Lebih-lebih lagi, dia masih teringat kata-kata lelaki itu.
“Aku nak balik Melaka.”
“Abang... janganlah berkasar sangat,” mak long di sebelah mencelah.
Pak long hanya menjeling tajam. Nasib baik kakak sepupunya sudah menunggu di kereta. Kalau ada di sini, makin tebal kulit mukanya.
“Aku malas nak cakap banyak. Lepas ni, kau boleh tinggal aje dekat rumah ni. Aku tak kisah. Pasal duit getah, tanah tu dah jadi milik aku. Bahagian kau nanti, aku akan bagi.”
“Tak apa, pak long. Fiya tak nak. Pak long ambillah bahagian Fiya.”
Mak long tiba-tiba bangun dan duduk di sebelah Safiya. Bahu gadis itu disentuh lembut.
“Itu bahagian Fiya. Kami tetap akan bagi bahagian tu kepada Fiya.” Lembut nada suara mak long.
“Jangan nak sombong. Kalau dah dasar keturunan sombong, memang sama acuannya.”
“Abang!”
“Aimi, tak payah masuk campur. Ni urusan abang dengan dia. Pergi tunggu abang dalam kereta.”
Mak long merengus kasar. Dia memeluk tubuh Safiya sebelum keluar daripada rumah itu. Sekarang hanya tinggal mereka berdua di ruang tamu.
“Aku bukannya kejam sangat sampai nak menghalau kau pergi dari sini. Tapi demi wasiat arwah mak aku, aku benarkan kau duduk sini. Tapi pandai-pandailah kau berdikari. Aku tak nak masuk campur.”
“Terima kasih, pak long. Dapat tinggal dekat sini, Fiya dah bersyukur sangat.” Safiya cuba kuatkan hatinya. Tidak mahu menangis di hadapan orang tua itu.
“Ini duit belanja bulan ni. Aku tak sempat nak bagi dekat arwah. Tapi memandangkan memang niat aku nak serahkan, aku bagi dekat kau. Guna duit tu untuk belanja sementara kau nak dapat kerja.”
Sampul berwarna coklat diletakkan di atas meja kopi. Safiya hanya memandang sampul tersebut. Pak long berdiri dan segera berjalan ke arah pintu rumah. Sebelum dia keluar dari rumah itu, dia berpaling ke belakang.
“Aku bukan benci kau. Tapi aku tak boleh lupa apa yang nenek kau pernah buat dekat mak aku. Walaupun arwah ayah kau tak salah, hati aku tetap sakit.”
Sebaik saja orang tua itu menghilang, air mata yang ditahan sejak tadi mengalir deras. Teresak-esak dia menangis di situ. Selama 17 tahun dia membesar, baru dia tahu arwah ayah merupakan anak tiri tok ma.
Pipinya diseka perlahan. Beberapa hari ini, dia sudah puas menangis. Wajahnya turut pucat akibat terlalu lemah. Sayup-sayup dia mendengar suara seseorang memberi salam. Dia kenal pemilik suara itu.
Dia segera menyarung tudung di kepala dan bergegas ke beranda rumah. Melihat lelaki itu berdiri membelakangi dirinya, dia cuba memaniskan wajahnya.
“Abang Ian...”
Ian berpaling ke belakang. Wajah lelaki itu jelas kelihatan terkejut saat anak mata mereka bertembung.
“Fiya sihat?”
“Sihat, Abang Ian. Fiya ingat, Abang Ian dah balik sana.”
“Kak Erni dah balik semalam. Abang mungkin balik esok.” Sebenarnya hati dia tidak tenang meninggalkan Safiya begitu saja. Lebih-lebih lagi setelah dia melihat sendiri ayah saudara gadis itu seperti tidak mengendahkan nasib gadis itu.
Safiya duduk di atas tangga. Manakala Ian masih berdiri di bawah.
“Kenapa Fiya tak ikut pak long?”
“Fiya tak nak. Fiya nak tinggal dekat sini.” Dia tidak berbohong. Kalau dia ditawarkan untuk tinggal di sana, dia lebih rela tinggal di sini.
“Bahaya tinggal seorang diri.”
“Fiya tak kisah. Abang Ian tak perlulah risau. Insya-Allah, Fiya boleh biasakan diri lepas ni.”
Ian meraup perlahan wajahnya. Hatinya bertambah gelisah. Mustahil dia akan benarkan Safiya tinggal seorang diri.
“Fiya tinggallah dengan keluarga abang. Ibu pun suka kalau Fiya tinggal dengan mereka.”
“Tak naklah. Bukan jauh pun rumah Acik Tini dengan rumah ni. Kalau jadi apa-apa, Fiya jeritlah.”
“Suka sangat cakap yang bukan-bukan!”
Tersentak Safiya. Tiba-tiba saja Ian melenting.
Masing-masing terdiam seketika. Bunyi deringan telefon mengejutkan mereka berdua. Ian segera menjawab panggilan tersebut.
“Ya. Bie dengar.”
Safiya memandang ke arah lain. Berpura-pura tidak mendengar butir bicara lelaki itu.
“Err... rumah ibu.”
Berkerut dahi Safiya. Ian berdiri agak jauh daripada Safiya. Beberapa minit kemudian, Ian kembali dengan riak wajah yang keruh.
“Abang kena balik sekarang. Isteri abang tak sihat pula.”
“Pergilah cepat. Kesian Kak Erni. Mesti dia perlukan Abang Ian sekarang.”
Ian kelihatan serba salah. Tak tahu kenapa hatinya terlalu berat untuk meninggalkan gadis itu.
“Kalau ada apa-apa masalah, telefon abang. Abang janji akan ada masa Fiya susah dan senang.”
Safiya tersenyum sambil mengangguk sedikit. Janji? Dia tidak mahu terlalu berharap. Takut kelak, dia bakal terluka lagi.
“Ini duit belanja daripada abang. Guna untuk sambung belajar.” Ian meletakkan satu sampul berwarna putih di atas riba gadis itu.
“Eh, tapi...”
“Jangan nak tolak. Abang nak Fiya simpan duit ni.” Ian memegang kemas tangan Safiya.
Tertelan air liur Safiya. Pertama kali tangannya disentuh oleh lelaki itu.
Ian turut tergamam. Lekas dia menarik tangannya kembali.
“Maaf, abang tak sengaja.”
“Err... tak apa.” Safiya menundukkan wajahnya. Allah... sekali lagi hatinya cuba menderhaka. Dia perlu sedar lelaki ini suami orang.
“Abang pergi dulu. Jaga diri.” Ian segera berlalu pergi meninggalkan rumah itu.
Safiya menarik nafas lega. Sampul yang berada di tangannya dibuka sedikit. Hampir ternganga mulutnya melihat jumlah wang yang ada di dalam sampul itu. Dia pandang sekeliling rumahnya. Cepat-cepat dia masuk ke dalam rumah. Takut juga kalau ada yang perasan tentang wang itu.
Masuk ke dalam rumah, dia segera mengunci pintu. Keluhan terlepas daripada bibirnya. Bingung dia seketika. Kenapa Ian masih melayannya terlalu baik? Kadangkala dia selalu salah faham dengan layanan yang diberikan oleh lelaki itu.
HAMPIR SETAHUN arwah pergi meninggalkannya. Sekarang, dia sudah mampu memulakan kehidupannya dengan lebih baik. Syukur dia diterima bekerja di kilang makanan walaupun hanya menggunakan sijil SPM.
Pada awalnya keluarga Ian tidak bersetuju. Malah sanggup membiayai perbelanjaan Safiya untuk belajar.
Bagi Safiya, dia lebih selesa dengan kehidupannya sekarang. Duit yang pernah diberikan oleh pak long dan Ian, tidak pernah disentuh. Biarlah dia hidup berdikari. Jika ada rezeki, dia akan menyambung juga pelajarannya nanti.
Selepas dia turun daripada van pekerja, dia ternampak kereta Ian berada di hadapan rumah orang tua lelaki itu. Makin lebar senyuman Safiya. Sudah lama juga dia tidak berjumpa dengan Ian. Laju kakinya melangkah ke rumah itu.
Belum sempat dia memberi salam, Ian sudah pun keluar daripada rumah. Jelas wajah itu dalam keadaan tegang. Berkerut dahi Safiya. Lain betul wajah lelaki itu sekarang. Penuh misai dan jambang di rahangnya.
“Abang Ian.” Safiya memberanikan diri untuk menegur terlebih dahulu.
Ian tidak menjawab. Sebaliknya hanya jelingan tajam yang diberikan. Laju kaki lelaki itu melangkah ke arah kereta.
Makin bingung Safiya. Dia turut berlari ke arah Ian. Sempat dia menarik lengan lelaki itu sebelum masuk ke dalam kereta.
“Abang, kenapa ni?”
“Jangan sentuh aku!”
Terundur kaki Safiya ke belakang. Pertama kali dia dijerkah oleh lelaki itu. Matanya turut terasa hangat.
“Fiya... Fiya minta maaf.”
“Maaf?” Sinis nada suara Ian. Tajam anak mata lelaki itu merenung wajah Safiya.
“Abang tak sangka Fiya sanggup buat macam ni. Kalau Fiya sayangkan abang, bukan ini caranya. Abang takkan maafkan Fiya.”
Terpinga-pinga Safiya. Ian terus masuk ke dalam kereta dan memecut laju meninggalkan halaman rumah itu.
“Fiya!”
Safiya menoleh ke belakang. Ilaini segera mendapatkan gadis itu.
“Apa yang berlaku? Kenapa abang kau marah sangat dekat aku?”
Ilaini kelihatan serba salah. Dia memandang ke arah pintu rumah. Kedua-dua ibu bapanya sedang memandang ke arah mereka.
“Kau ada hantar WhatsApp dekat Kak Erni ke?”
“Hah?”
“Kak Erni cakap, kau merayu dekat dia untuk kahwin dengan along. Betul ke?”
Pucat wajah Safiya. Lidahnya kelu bersuara. Terasa dirinya seolah-olah telah membuat satu kesalahan yang besar.
“Jawablah. Betul ke?”
“Kau percaya ke dengan Kak Erni?”
Ilaini menarik nafas berat. Serba salah gadis itu. Tadi Ian pulang dan mengadu tentang keadaan rumah tangganya yang hampir musnah disebabkan Safiya. Malah, dia menyuruh ibu dan abahnya menasihati Safiya supaya tidak mengganggunya lagi.
“Kita masuk dalam dulu. Ibu dan abah aku pun masih keliru. Kita bincang dekat dalam.”
Dalam keadaan lemah, terpaksalah Safiya menurut. Dugaan apa pula yang perlu dia hadap kali ini?
**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /
: 019-3729676 (Admin Shida)