MERIAH! Perkataan itu masih tidak cukup
untuk menggambarkan majlis resepsi Hanim. Seisi dewan
dihias cantik bertemakan kayangan. Bunga-bungaan segar
semerbak harum menyelubungi ruangan dalam dewan.
Ramai tetamu yang hadir untuk memeriahkan
majlis. Di atas pelamin, Hanim kelihatan begitu bahagia di
samping suaminya. Seri pengantinlah katakan. Terpaku juga
Zalya melihatnya tadi.
Agak-agaknya kalau dia kahwin nanti, mampukah
dia buat majlis sebesar ini? Mampu dalam mimpi sajalah
gamaknya!
“Aduh!”
Satu suara halus menampan telinga Zalya. Serentak
itu dia menunduk. Entah anak siapa jatuh tersungkur
betul-betul di hadapannya. Lantas Zalya memapah
kanak-kanak itu bangun.
“Sakit...” Air mata si kecil mulai bercucuran. Lengkap
dengan pakej suara nyaring. Apa lagi? Beberapa pasang mata
mula tertumpu ke arahnya.
“Kesiannya dia. Cuba beritahu sakit kat mana?”
Zalya bertanya.
“Kat sini...” jawab si kecil sambil tersedu-sedan. Jari
halus dituding ke arah lututnya.
Zalya tunduk, dikipas-kipas lutut kanak-kanak itu.
“Okey, dah tak sakit, kan?” Zalya dongak,
memandang wajah comel itu. Senyumannya melebar apabila
kanak-kanak itu berhenti menangis dan mengangguk. Zalya
segera mengesat sisa air mata yang comot di pipi gebu itu.
Alahai... comelnya!
“Nama adik siapa?”
Belum sempat kanak-kanak itu menjawab, seorang
wanita berwajah risau meluru ke arah mereka.
“Maisha! Puas mama cari tadi.”
“Mama...” Kanak-kanak tadi segera memeluk wanita
itu.
“Tadi Maisha jatuh. Kakak tolong tiupkan tadi,”
cerita Maisha, tanpa lengah.
“Ya? Maafkan akak sebab susahkan awak tadi.”
Terpapar riak bersalah di wajah si ibu.
“Tak menyusahkan pun. Lagipun Maisha kuat
orangnya. Maisha tak sakit, kan?” Zalya bertanya.
Maisha tersengih sebelum mengangguk.
“Maisha, cakap terima kasih dengan kakak.”
“Terima kasih, kakak.”
“Sama-sama.” Terkoyak senyum Zalya. Tercuit hati
melihat keletah si kecil.
Pasangan anak beranak itu beredar pergi. Zalya
kembali tegak sebelum melambaikan tangannya kepada
Maisha. Seronok melihat kanak-kanak comel itu tersenyum
semula.
Pandangannya ditala kembali ke arah pelamin.
Dewan bertukar hingar-bingar ketika pengantin lelaki
tiba-tiba bangun dan mencapai mikrofon. Seluruh tumpuan
beralih pada pentas pelamin.
“Assalamualaikum dan selamat petang semua.
Pertama sekali, saya ingin ucapkan terima kasih yang tak
terhingga kepada semua tetamu yang hadir ke majlis kami.
Kepada mak, abah, keluarga dan saudara yang lain, terima
kasih sangat-sangat sebab membantu menjayakan majlis
pada hari ini. Dengan rendah hati, saya mohon doakan
kebahagiaan kami hingga ke akhir hayat.”
Bicaranya terhenti. Matanya mendarat pada wajah
suri hatinya. Pandangannya melimpah dengan rasa cinta.
Bersulam kasih yang tak terhingga.
“Buat Hanim, terima kasih kerana sudi terima saya
sebagai suami. I love you and Insya-Allah, will always do.
Lagu ini saya tujukan khas untuk awak, sayang,” tutur raja
sehari itu mengundang tepukan tetamu.
Aloloo... sweet sawit sangat! Hanim nampak
malu-malu kucing. Pengantin lelaki maju penuh gaya ke
tengah pentas. Seisi dewan bergema dengan irama acapella
yang amat Zalya kenali.
“Dengarlah bisikan angin bayu... Dengarlah bisikan
ooo hatiku...”
Bukan main romantik lagi! Nasib baik suara
pengantin lelaki merdu seperti penyanyi asal. Kalau tidak,
jam itu juga Zalya pergi rampas mikrofon itu!
Sebaik tamat dendangan lagu Semua Untukmu oleh
pengantin lelaki, seisi dewan gemuruh dengan tepukan. Zalya
juga tidak terkecuali. Tumpang gembira melihat kebahagiaan
Hanim. Selesai makan, dia mencuri peluang untuk mendekati
Hanim.
“Cantiknya awak hari ini, Hanim! Macam puteri
kayangan!” puji Zalya ikhlas.
Kembang kempis hidung Hanim apabila dipuji.
“Thank you, darling. Awak datang seorang aje ke?”
“Habis, awak nak saya datang dengan siapa?” Zalya
tenung Hanim tajam. Peduli apa dia jika hari ini hari bahagia
rakannya? Kalau Hanim berani tanya tentang pasangan
hidup, siaplah dia cubit-cubit mulut kawan baiknya nanti.
“Dengan Fidalah. Mana perginya kawan baik kita tu?
Kenapa saya tak nampak dia?”
“Kan hari ni keluarga Rayyan buat kenduri doa
selamat dan akikah. Awak tak ingat ke? Nak tak nak Fida kena
tunjukkan muka di sana. Dia cakap kalau sempat dia datang.”
“Haahlah lupa. Dia kan dah beritahu kat grup hari
tu. Awak dah makan? Ada apa-apa yang terkurang tak? Tak
cukup garam ke?” Hanim tahu betapa jujurnya Zalya. Jika dia
tanya, pasti Zalya akan berterus terang tanpa berselindung.
“Jangan risau, makanan semua sedap-sedap.
Marvellous!” Zalya menegakkan dua ibu jari.
“Ya? Lega saya mendengarnya. Cuma ada satu aje
yang saya nak tanya. Kenapa awak pakai baju begini?”
Zalya segera tunduk, meneliti kebaya warna biru dan
seluar jean yang dipakainya. Rambutnya pula disisir rapi ke
sisi kiri, melepasi bahu.
“Apa yang tak kena dengan baju saya? Sopan apa!”
“Sopan? Cuba tengok orang lain. Elok aje pakai baju
kurung, kebarung. Mana ada pakai baju dengan jean macam
awak!”
“Eh, tolonglah! Memang taklah saya nak pakai baju
kurung segala. Sepatutnya awak bersyukur tahu sebab saya
nak pakai baju kebaya ni. Buatnya saya datang pakai strapless
mini dress aje, macam mana?”
“Jangan cari pasal nak pakai seksi meksi kat majlis
kahwin saya ini, ya! Pengsan bakal mak mentua awak tengok
nanti.”
“Hanim, ada ke bakal mak mentua kat sini yang nak
ambil saya sebagai menantu?” Zalya mula tidak suka ke mana
haluan bicara Hanim itu.
“Mana awak tahu bakal mak mentua awak takde di
sini?”
“Mana awak tahu ada? Tunjukkanlah pada saya.”
Hanim geleng lemah. Buat habis air liur saja
bercakap dengan Zalya ni. Gadis itu bukannya peduli apa
orang kata pun!
“Suka hati awaklah, Zalya. Anyway, thank you so
much sebab tolong uruskan percutian tu. Kurang satu benda
yang buat kepala saya berserabut.” Hanim separuh berbisik.
Bimbang rancangan itu diketahui oleh ahli keluarga. Dia
mahu semuanya kekal rahsia hingga tiba saatnya nanti.
“Tak payahlah nak berterima kasih sangat. Kawan
punya pasal, takde masalah!”
“Auw! Awaklah bestfriend saya yang paling best
sekali dalam dunia ini!” Hanim peluk bahu Zalya erat.
Tertawa Zalya tika membalas pelukan rakannya.
“Seronok nampak?”
Pandangan Zalya dan Hanim sama-sama terkilas.
“Mestilah seronok, bie. Hari ini kan hari perkahwinan
kita.” Hanim mengulit tangan suaminya dengan manja.
Jari-jemari bersilangan mesra.
“Agak-agaklah kalau nak bermesra sekalipun. Awak
ingat saya ni tunggul kayu ke kat sini?” tegur Zalya. Naik
juling mata melihat aksi lovey-dovey Hanim dan suaminya.
“Tak payah nak mengata sayalah, Zalya. Entah-entah
awak lebih teruk daripada saya lepas kahwin nanti.”
“Huh, takde maknanya!” Zalya tergeleng-geleng.
Persona manja memang tidak sesuai langsung dengan
jiwanya!
“By the way Irham, pandai juga awak menyanyi eh?
Lagu penyanyi favorite saya pula tu! Mati-mati saya ingat
memang Anuar Zain yang datang menyanyi tadi.”
Terburai tawa Irham sebaik mendengar pujian Zalya.
Bukannya dia tak kenal rakan baik isterinya itu. Telatahnya
lepas laku. Namun gadis itu mudah disenangi kerana
karakternya penuh selamba.
“Saya menyanyi suka-suka aje, Zalya. Demi isteri
tercinta. Kalau awak nak tahu, Hanim yang paksa saya
menyanyi. Lepas tu dia buat-buat muka terkejut pula. Kaki
drama betul, kan?”
Hanim menjeling manja, membuat tawa Irham
terlambak.
“Maknanya, dari awal-awal lagi memang awak dah
planlah semua ni?” Pandangan Zalya terhala kepada muka
selamba Hanim. Sama sekali tidak menduga plot twist dalam
cerita ini.
“Mestilah! Saya kena pastikan majlis saya berjalan
dengan lancar. Senarai jemputan pun saya semak satu per
satu, okey? Saya tak nak tiba-tiba ada drama tak jadi kahwin
pula kat sini nanti!”
“Awak dah terpengaruh dengan drama TV ni. Bukan
semua majlis akan berakhir macam tu.”
“Tapi tak salah berjaga-jaga, kan?”
Fine! Zalya menjulingkan matanya ke siling.
“Majlis awak pula bila akan langsungnya, Zalya?
Saya dan Hanim teringin juga nak makan nasi minyak majlis
awak.” Irham menyoal.
“Soon, Irham. Soon...” Senyuman tawar lagi hambar
melewati bibir Zalya. Dia hendak berkahwin dengan siapa?
Kawan lelaki pun tak ada!
Sekonyong-konyong imej Nazif terpancar dalam
ingatan. Huh? Kenapa pula dia teringatkan lelaki itu?
Lepas insiden dia tak sengaja melanggar Nazif
tempoh hari, dia sudah tak nampak kelibat lelaki itu. Walau
berapa lama pun dia bertapak di depan agensi, bayang
lelaki itu langsung tak kelihatan. Lesap begitu saja. Nazif
menghilang ke mana agaknya?
“Kalau awak masih single, saya boleh kenalkan awak
dengan kawan-kawan saya. Tak pun, awak boleh berkenalan
dengan sepupu saya. Dia bujang lagi, tahu!” Suara Irham
menarik Zalya ke alam nyata.
“Terima kasih ajelah, Irham. Saya belum puas enjoy
lagi.” Zalya menolak.
Hakikatnya, dia yang memilih. Ya, memang dia
terpaksa memilih. Kahwin tak serupa macam pakai baju;
tak suka, tukar, tak berkenan, buang. Dia tak mahu hidup
sengsara di kemudian hari.
“Terpulanglah pada awak. Tapi kalau awak dah habis
enjoy, cepat-cepat beritahu saya. Nanti saya akan kenalkan
awak dengan dia.”
Zalya cuba fikir positif. Mungkin Irham cuma mahu
melihat dia juga berjaya menemui pasangan hidup, seperti
mana dia menemui Hanim. Akhirnya dia mengangguk juga
walaupun tidak bermaksud apa-apa.
“Okeylah, Hanim. Saya nak pergi enjoy zaman solo
yang awak dah tinggalkan buat selama-lamanya tu. Anyway,
selamat pengantin baru. Semoga bahagia ke anak cucu.”
Tergelak Hanim dan Irham mendengar ucapan Zalya.
“Thanks again, Zalya sayang.” Hanim peluk Zalya
sebelum lagakan pipi mereka kiri dan kanan.
“You are welcome, Hanim sayang...”
Zalya membawa haluan ke pintu utama. Sempat dia
melihat pasangan raja sehari itu buat kesekian kali. Namun
tiba-tiba ruang pandangannya dihalang oleh satu pasangan
yang berdiri di hadapan pengantin. Lama!
Perasaannya bertambah geram apabila si perempuan
asyik memaut tangan si lelaki. Langsung tak nak lepas. Manja
bukan main!
“Hesy, kalau ya pun nak tengok pengantin, janganlah
block orang lain!” Zalya menggumam geram.
Macam tahu-tahu perbuatan mereka sedang
mengundang kemarahannya, pasangan itu tiba-tiba berkalih.
Barulah pandangan Zalya tidak lagi terbatas. Tetapi sebaik
si jejaka menoleh, Zalya terpempan. Dada terasa hendak
meletup. Beberapa kali dia pejam celik matanya, wajah itu
tetap serupa.
Apa yang lelaki itu buat di sini?
Tatkala pandangan mereka bersatu, Zalya tahu dia
perlu angkat kaki.
Sekarang!
No comments:
Post a Comment