DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 13 February 2019

Silhouette - Prolog




AMUKKAN lelaki itu menyebabkan dua orang
remaja akhirnya tersungkur dek dipukul dengan kayu yang
dililit dengan dawai besi berduri. Tak cukup dengan itu, dua
lagi lelaki yang menjadi pembantu si ‘dia’ mengangkat tubuh
salah seorang daripada remaja itu dan dibaringkan di atas
pecahan kaca.
“Kami minta maaf! Tolong, jangan!” rayu seorang
lagi yang masih bebas. Dia melutut.
“Tak boleh! Selagi aku tak ajar, lepas ni korang akan
buat silap! Lagi dan lagi. Aku tak suka kalau ada kesilapan.
Tu semua merugikan aku! Dah banyak duit aku laburkan
untuk korang, tapi langsung tak ada hasil!” Ditunjal-tunjal
kepala remaja itu dengan hujung kayu di tangan sebelum dia
menolak tubuh manusia di hadapannya dengan kaki.
“Cepat!”
Sebaik saja arahan diterima, tubuh remaja yang
terbaring di atas kaca digolek-golek.
“Lepas ni kalau ada silap lagi, kau pulak yang ada atas
tu, faham?” lelaki itu memberi amaran sebelum berpaling
ke arah orangnya. “Kurung dua hari! Jangan bagi makan,
minum!”
Tawa.
Jeritan.
Tangisan.
Bersatu!

II
BUKANNYA DIA tidak pernah terfikir tentang mereka, tapi
jika difikirkan hati semakin sesak. Fikirannya bercelaru. Dia
buntu. Perkataan paling berbahaya meniti di bibir.
Kalau...
Mata dipejamkan rapat. Nafas ditarik dalam.
Sudah lama dicari, tapi belum ada rezeki.

III
SAMPUL SURAT dilempar kasar ke atas meja usang yang
hampir roboh namun hanya dibiarkan tidak terusik. Anak
mata Raid kekal tajam memandang ke arah manusia yang
tersenyum sinis di hadapannya.
“Kenapa kau tak ambil? Takut tak cukup?”
Sekilas pandang dia menoleh ke belakang. Dua
manusia berdiri tegak tidak begitu jauh di belakangnya dan
dua lagi manusia mengapit lelaki yang sedang duduk di
hadapannya. Masing-masing mengawasi gerak-gerinya.
Naluri Raid mengatakan ada sesuatu yang tidak kena.
Kenapa perlu jumpa di gudang lama seperti ini? Selalunya
mereka akan berurus niaga tanpa bersemuka. Hanya perlukan
5 saat; dia perlu menunggang motor dan mengambil sampul
yang dihulurkan dari dalam kereta. Sampul yang merupakan
arahan dan ganjaran separuh seperti yang dijanjikan.
Selebihnya dia akan dapat setelah tugas selesai, juga melalui
cara yang sama. Ah! Patutnya dia mengkhabarkan kepada
Tuan Qaiser terlebih dahulu tentang pertemuan ini.
“Kalau nak bagi benda ni aje kenapa sampai nak
bersemuka?”
“Macamlah kau tak pernah berurusan dengan aku,
Raid?” Soalan dibalas dengan soalan.
“Jangan risau, jumlah dalam tu adalah ganjaran
selebihnya seperti yang dijanjikan. Sebab kau berjaya
melaksanakan dua tugas dengan jayanya. Cepat pulak tu.
Aku kagum. Sebab itu aku rasa nak jumpa kau. Nak ucapkan
terima kasih, face to face...” sambungnya. Berkepul-kepul
asap cerut dihembus ke udara disusuli dengan ketawa yang
cukup menjengkelkan pada pendengaran Raid. Bagaikan
dibuat-buat.
Cerut... selalunya melambangkan status pada
sesetengah orang. Benar, status manusia di hadapannya bukan
calang-calang. Orang kenamaan, namun sanggup melakukan
perkara yang membahayakan untuk memusnahkan sesiapa
yang menghalang kehendaknya. Namun, orang yang
hendak diselesaikan boleh tahan jahanamnya. Jadi memang
patut sangat mereka mati. Lebih kurang seperti penyangak
nak hentam si penyamun. Dia cuma orang tengah untuk
selesaikan pertelingkahan mereka berdua.
“Bukan takut tak cukup, cuma...” Ayatnya dibiarkan
tergantung.
“Cuma apa? Bukan ke orang macam korang semua
ni pentingkan duit? Dapatkan duit dengan membunuh.”
Kali ini terlepas tawa halus daripada mulut Raid.
Ayat itu benar-benar menggelikan hatinya.
“Kau cakap pasal diri sendiri ke?”
Soalan itu dibalas dengan tawa.
“Tajam kata-kata kau.”
“Asalkan kau bagi jumlah seperti yang dijanjikan,
itu sudah cukup. Sekarang aku tak rasa aku patut ada di sini
lagi.” Raid berkira-kira untuk bangun, namun suara lelaki itu
menghalangnya.
“Aku nak tawarkan kau sesuatu.”
Terangkat kening Raid. Dia hanya mendiamkan
diri dan kembali duduk. Menunggu ayat seterusnya dengan
tenang.
“Aku nak kau tinggalkan Hunter dan join aku. Aku
boleh bayar kau tiga kali ganda. Dan kau akan terus jadi orang
terpenting di sisi aku. Kerja dengan aku, Raid.”
Raid pasti, inilah punca utama mereka mahu
berjumpanya di sini. Untuk membelinya dengan wang
agar dia tinggalkan Tuan Qaiser, lelaki yang menubuhkan
Hunter. Sekiranya dia menolak, pasti ada sesuatu yang buruk
bakal berlaku. Dia yakin. Mustahil empat orang lelaki yang
mengapit lelaki itu sekadar tunggul.
“Sorry, aku tak boleh...” jawab Raid senada.
Tangannya perlahan-lahan mula menjalar di bahagian
pinggang. Mencari ‘kunci’ untuk menyelamatkan dirinya.
Tempat yang hanya diterangi dengan cahaya lampu kereta
sedikit sebanyak membantunya mengaburi pandangan
mereka.
Lelaki itu ketawa besar. Diikuti dengan empat orang
suruhan yang berada di situ.
“Setia betul kau dengan mereka. Kalau macam tu,
tak apa. Tapi ingat, peluang ni takkan ada buat kali kedua.”
“Aku faham. Dan aku pun takkan ulang keputusan
aku untuk kali yang kedua.”
“Memandangkan ini kali terakhir kita berurusan,
apa kata kau tunjukkan wajah kau? Aku teringin jugak nak
tengok wajah orang yang dah selesaikan musuh-musuh aku
tu. Come on Raid, dah beratus ribu duit aku habis untuk
korang, takkan kau tak percayakan aku?”
Segaris senyuman sinis ditarik di sebalik penutup
mulut.
“Bergantung pada konsep keadilan setiap orang.
Percaya adalah benda paling susah untuk aku beri, tambahan
pula lepas apa yang jadi. Lagipun, kau sendiri tahu syarat
untuk berurusan dengan Hunter, kan?”
Hanya ada tiga syarat Hunter. Satu; bayar cepat
dengan jumlah yang tepat. Dua; jangan tukar perjanjian. Tiga;
jangan cari pasal. Dan nampaknya lelaki ini sudah melanggar
dua daripada syarat itu.
Lelaki itu tersenyum sinis.
“Kalau macam tu, baiklah.”
Saat itu Raid melihat lelaki itu mula memandang
orang bawahan yang berada di belakangnya. Dengan tak
semena-mena tawa Raid meletus dan itu mengembalikan
tumpuan lelaki itu kepada Raid. Berkerut keningnya, hairan
dengan tawa yang baru tercetus.
“Tak adil kalau orang dah settlekan kerja untuk kau,
tapi oleh sebab dia tolak permintaan kau, kau rancang nak
bunuh orang tu...” Serentak itu, Glock 26 dikeluarkan. Mujur
saja dia membawa compact pistol ini kerana Sig Sauer P226
miliknya berada di kedudukan yang sukar untuk dicapai.
Sekelip mata, dua orang suruhan lelaki itu rebah
dengan beberapa das tembakan. Masing-masing mengerang
menahan kesakitan. Raid terus mendapatkan lelaki yang
tadinya angkuh, kini diam tidak berkutik apabila pistol tepat
dihalakan di tepi kepala. Dia menggunakan lelaki itu sebagai
tebusan.
Dua lagi orang suruhan lelaki itu juga hanya mampu
menghalakan pistol namun tidak mampu menarik picunya.
Masing-masing kelihatan teragak-agak.
“Kenapa? Cerut kau dah rasa tak sedap macam biasa
ke?” Raid tertawa sinis apabila lelaki itu terbatuk-batuk.
Sengaja dikuatkan pelukan tangan kirinya di leher lelaki itu.
“Apa kau buat ni?”
“Aku tahu, kau memang rancang nak bunuh aku
kalau aku tak terima cadangan kau. Sebab aku tahu semua
rahsia kau, kan? Kau-silap-orang! Aku tak suka orang
main-main dengan aku. Tambahan lagi, aku tak suka orang
yang suruh aku khianati ketua aku sendiri. Kau tahu apa
syarat Hunter. Kau langgar syarat, maknanya mati...” bisik
Raid perlahan.
Dia tidak mahu melengahkan masa lagi. Pasti bunyi
tembakan sebentar tadi telah memancing orang suruhan
yang berada di kawasan luar gudang. Sekali lagi kawasan itu
bergema dengan tiga das tembakan.
Bergema ruang itu dengan erangan. Raid masih
merenung tubuh mereka yang menggelupur.
Sampul berisi ganjaran yang patut diterimanya
diambil semula dan dimasukkan ke dalam jaket. Senjata tadi
disimpan dan kini P226 di tangan. Magazine dikeluarkan
sedikit untuk melihat peluru yang masih berbaki sebelum
dimasukkan kembali. Cukup. Telinga mula menangkap bunyi
tapak kaki menghampiri.
Seseorang muncul. Raid tersenyum. Masing-masing
menggenggam pistol di tangan.
Untuk lari tidak sama sekali. Orang sebegini perlu
diajar seperti yang telah diberitahu tuannya; tak boleh
tinggalkan bukti, tiada tebusan, tiada tangkapan.
Beberapa das tembakan dilepaskan. Suasana menjadi
sunyi. Tiada erangan lagi. Yang ada hanya tubuh beberapa
orang yang kaku. Tembakan pertama untuk menyeksa dan
tembakan kedua untuk menamatkan nyawa.

No comments:

Post a Comment