S
|
ETELAH
membayar menggunakan kad kredit, Rayna bangun dan melangkah keluar dari kedai
barang kemas itu. Tiba-tiba datang dua orang remaja perempuan menegur dirinya.
“Kak Rayna… Boleh tak
nak berselfi dan autograf?” tanya salah seorang remaja tersebut.
Rayna tersenyum.
“Mestilah boleh…” jawab
Rayna lalu mengambil pen dan kertas yang diberikan oleh mereka. Sambil berdiri
sahaja dia menurunkan tandatangan serta menulis kata-kata motivasi. Setelah
selesai, dia bergambar pula dengan mereka.
“Terima kasih, Kak
Rayna…” ucap dua orang gadis remaja itu, gembira.
“Sama-sama…” balas
Rayna.
Tanpa Rayna sedari,
tidak jauh dari situ dirinya sedang diperhatikan oleh seseorang.
Berkepul-kepul asap
jika dapat dilihat keluar daripada badan Daliya. Pantang betul dia melihat
perempuan itu. Hatinya akan terus terbakar.
“Kau nak beli apa
lagi?” tanya Que yang sibuk dengan telefon bimbitnya sambil berjalan mengekori
Daliya dari belakang.
“Nah! Kau pegang ni...”
Sebuah beg plastik dicampakkan ke dada Que. Terkopoh-kopoh Que menyambarnya
daripada terjatuh. Terkejut dia dengan tindakan Daliya. Pertanyaannya tadi
langsung tidak diendahkan.
“Liya! Kau nak pergi
mana?” tanya Que setelah dia lihat langkah yang diatur oleh Daliya begitu laju.
Seolah mahu menerkam sesuatu.
“Rayna?!” Que
memperbetulkan cermin mata besar yang dipakai. Memastikan apa yang dilihat itu
memang betul-betul Rayna. “Habislah!” Dahinya ditepuk. Nampaknya akan berlaku
perang dunia ketiga sebentar lagi.
Tanpa berlengah lagi,
segera Que menghayun kakinya mengejar Daliya yang sudah semakin dekat
menghampiri Rayna. “Liya… jom la kita balik?” ajaknya sambil menarik lengan
Daliya.
“Lepaslah, Que!” bentak
Daliya. Dia tahu Que cuba menghalangnya daripada berjumpa dengan Rayna.
Que menggaru belakang
kepalanya. Bingung memikirkan apa yang harus dia lakukan. Fikir punya fikir.
Argh! Sudah tiada cara untuk menghalang Daliya saat ini.
“Bye, Kak Rayna…” Dua gadis remaja itu melambai sambil berlalu
pergi. Rayna hanya tersenyum sambil mengangkat tangan membalas lambaian dua
orang peminatnya itu.
Mahu sahaja mengangkat
langkah. Daliya muncul di hadapannya bersama Que.
“Hai, Rayna…” Que
menegur sambil tersenyum.
Daliya segera menjeling
tajam. Perlahan-lahan Que mengecutkan senyum. Pantang betul Daliya apabila
melihat orang berbaik dengan musuhnya.
“Hai, Que…” balas Rayna,
ceria tanpa menghiraukan Daliya. Tangannya dilambai-lambai kepada Que.
“Sakan betul you shopping. Pakai kad kredit Khuz ke?”
perli Daliya.
Rayna tersenyum senget.
Rasa geli telinganya mendengar tuduhan yang boleh dikategorikan sebagai
melampau itu.
“Liya… Jomlah balik?!
Tolonglah jangan cari pasal kat sini,” bisik Que di sebelah. Dia dapat rasakan,
Daliya sudah mula mahu mencari pasal.
Orang ramai yang lalu
lalang di situ tidak lepas memandang dua artis yang meletop di Malaysia ini.
Ada yang berhenti sambil mengeluarkan telefon bimbit dan mengambil kesempatan
untuk menangkap gambar.
Que semakin resah.
Sungguh dirinya terasa sangat tidak tenteram berdiri di situ. Risau jika
tindakan Daliya melampaui batas.
“Jumpa kawan baik…”
ujar Que sambil tersengih-sengih kepada mereka-mereka yang lalu lalang di situ
biarpun tidak disoal oleh sesiapa.
Daliya hanya mentulikan telinganya. Dia
seperti tidak peduli apa yang berlaku di sekeliling. Yang penting hatinya puas
dapat berdepan dengan Rayna. Perempuan yang dianggap perampas kebahagiaan dan
penganggu besar bagi kariernya.
“Kenapa? You ada
masalah ke kalau betul I pakai credit
card Khuz?” soal Rayna. Sengaja dia mahu melihat reaksi Daliya yang seterusnya.
Sama ada dia mengaku ya atau tidak, mustahil Daliya akan percaya. Susah betul kalau
berhadapan dengan orang yang tidak faham bahasa ni!
“Memang I ada masalah
besar dengan You. Sudah la banyak job
I You rampas! Tak cukup dengan tu, Khuz dengan duit-duit dia sekali You nak
kikis?!” Sekali lagi Daliya melontarkan tuduhan.
Rayna menggelengkan
kepala dan tersenyum senget. Seperti tidak percaya semua itu keluar daripada
mulut busuk Daliya, malah lebih busuk daripada loji kumbahan.
“I nak kikis ke, nak
rampas, nak gali, nak korek sekali pun… tak ada kaitan dengan You.” Rayna
membidas pedas. Dia tidak mahu mengalah. Perempuan bongkak seperti Daliya ini memang
harus diiyakan saja apa yang dikata. Semakin kita mengaku, semakin panas hati
dia. Ewah-ewah, dah macam buat
hipotesis pulak.
Sebenarnya, sesen pun
dia tidak pernah menggunakan duit Khuz seperti yang dituduh oleh Daliya. Lebih-lebih
lagi diberikan kad kredit oleh Khuz. Untuk apa? Macam la aku ni miskin sangat.
Sungguh dia tidak
faham, kenapa begitu sakit sekali hati Daliya dengan dirinya. Padahal, dia
dengan Khuz tidak lebih daripada seorang kawan. Sebetulnya, Daliya harus sedia
maklum bahawa dia terlebih dahulu mengenali Khuz, malah dia juga yang
memperkenalkan Daliya kepada Khuz.
“Kesian ex-husband I tu kan? Kenal dengan orang
yang pandai berlakon baik ni. Bukan setakat dalam TV aje. Dekat luar pun masih
lagi nak berlakon. Cukup-cukup la dengan lakonan You tu. Penat la I tengok,”
sindir Daliya. Suaranya ditahan-tahan. Mukanya pula dimaniskan dengan senyuman
paksa bagi menggelapkan mata-mata yang sedang memerhatikan mereka.
Rayna juga seperti itu.
Wajahnya diceriakan seolah sedang berjumpa dengan sahabat baik.
Orang ramai yang
melihat pastinya sudah tertipu.
“Owh, tahu pun ex-husband. I ingatkan You dah nyanyuk
yang You tu dah takde apa-apa
hubungan lagi dengan Khuz. So, I rasa
You dah tak ada sebab nak masuk campur dalam hidup khuz lagi dan jari You tu
jangan nak tundingkan pada orang lain, boleh? Sekali sekala, tunding pada diri
You tu,” nasihat Rayna.
Daliya mengetap bibir.
Sungguh terasa pedas dengan kata-kata itu.
“I tak pernah salah
tau! You tu yang suka cari pasal dengan I. I… kalau orang tak sentuh kehidupan
I, I pun takkan terhegeh-hegeh nak sentuh hidup orang lain la!” balas Daliya.
Suaranya ditekan-tekan.
“Daliya… Daliya. Masih
tak matang You ni rupanya. Kesian... Jadi, I sebagai orang yang lebih matang
dan berpengalaman daripada You nak ingatkan. Kalau You masih dengan sikap dengki
yang macam ni. You tak akan lama dapat bertahan dalam dunia populariti. Ingat
tu?!” Rayna berpesan sebelum melangkah pergi. Malas mahu melayan orang gila
seperti ini.
“You jangan nak
mengajar I, ye?!” Marah Daliya. Suaranya dikuatkan. Bertambah membara api di
dalam dirinya apabila ayat yang pernah dia lemparkan kepada Rayna di pejabat
Khuz seminggu yang lepas dicampak semula kepadanya.
Que yang mendengar seolah
mahu sahaja membenamkan mukanya dalam tong sampah. Malu dengan sikap Daliya.
Baru beberapa langkah, Rayna
berhenti lalu memusingkan sedikit badannya dan memandang tepat ke arah Daliya. “Owh
ye… You jangan ingat, I akan mengalah dan tolong You macam dulu. You sendiri
yang putuskan persahabatan kita, kan? So,
good luck!” Satu kenyitan mata dan
senyuman yang penuh dengan pelbagai maksud tersirat itu diberikan.
“You!” Daliya menahan
jerit. Kakinya sudah sedikit bergerak ke hadapan. Tangannya juga dinaikkan.
Rasa seperti mahu tampar sahaja wajah perempuan yang suka bikin hatinya panas
itu.
“Dasar perampas! Memang
patut pun aku putus sahabat dengan kau la. Kurang ajar!” Daliya menyumpah
seranah sendirian.
Kalau tidak diingatkan
mereka sekarang berada di pusat membeli belah. Dah lama dia menjerit kuat
melepaskan perasaan geram yang dia rasa.
“Jomlah balik? Malu la
kalau peminat You nampak,” pujuk Que sambil menarik-narik lengan Daliya.
“Aku tak nak balik!”
beritahu Daliya kasar. Turun naik dadanya menahan geram terhadap Rayna.
“Kita kan dah habis shopping. Kalau kau tak nak balik, kau
nak buat apa lagi kat sini?” tanya Que. Kalau boleh, secepat mungkin dia mahu
membawa Daliya keluar dari pusat membeli belah ini. Gadis ini memang sukar
dijangka tindakannya. Entah apa lagi yang bakal dilakukan.
Daliya memandang ke
dalam kedai emas tempat ‘musuhnya’ keluar tadi. Ada sesuatu yang menarik
tiba-tiba berkunjung di benak fikirannya.
“Ikut aku!” arah Daliya
kepada pengurusnya. Terpinga-pinga Que mengikuti langkah Daliya memasuki kedai
emas yang terkemuka itu.
*****
TERSENGIH
suka Daliya sambil membelek seutas gelang tangan emas putih yang baru dibelinya
sebentar tadi.
Dia ingat, dia aje
boleh beli gelang macam ni? Aku pun boleh la… Tak sia-sia aku tanya pekerja
kedai tu apa yang dibeli oleh ‘Si Perampas’ tadi! Daliya berbicara dalam hati.
Sambil memandu, Que
sempat menjeling melihat Daliya di tempat duduk belakang melalui cermin tengah
dalam kereta. Dia masih kesal dengan tindakan Daliya membeli gelang itu. “Buat
apa kau beli gelang tu, Liya? Bukan murah. More
than RM5K, You know?!” ujarnya
kecewa.
“Buat apa lagi?! Nak
pakai la… Ini kira murah giler kau tau?
Lagipun, aku ni perempuan. Lain la kalau lelaki macam kau,” jawab Daliya. Tiba-tiba
pantas dia menutup mulut. “Ops! Aku lupa… Kau ni bukan lelaki sejati pun.” Daliya
ketawa mengejek. Sempat lagi dia menyindir pengurusnya yang sememangnya lembut
itu.
Que menjeling memandang Daliya melalui cermin
tengah. Bibirnya dicebikkan. Dia sendiri sudah lali dengan sindiran seperti itu.
“Kau kena ingat, Liya…
Tawaran kau untuk berlakon dan jadi model dah tak sehebat macam dulu. Kau kenalah
belajar berjimat sikit. Lain la, kalau kau ni masih jadi isteri kepda anak jutawan
macam Khuz tu. Apa kau nak semuanya tinggal petik jari aje,” ujar Que.
Memang patut la kau
cerai dengan Khuz tu. Kalau aku la… bukan setakat talak satu. Talak tiga terus
aku bagi kat kau! Hati Que sudah tertawa jahat.
Daliya tersenyum sinis.
Memang betul apa yang
dikatakan oleh Que. Dulu, sesen pun dia tidak keluarkan duit untuk belanja itu
dan ini. Apa yang dia mahu, akan dihulurkan sahaja kad kredit warna hitam tanpa
had yang diberikan Khuz itu untuk membayar.
Gelang tangan
diletakkan kembali ke dalam kotak. Kemudian, dia memeluk tubuh sambil
melemparkan pandangannya ke luar tingkap kereta. “Menyesal aku tau, tak ambik manager bisu! Tak ada la aku dengar
suara kuat membebel macam kau ni,” ujarnya, sinis.
Eleh… Cuba tengok?
Macam mana manager bisu kau tu nak handle wartawan. Silap hari bulan, kau
yang bisu!
“Yang kuat membebel ni
la banyak menyelamatkan karier kau, tau? Aku zip mulut aku ni baru kau tahu
dunia ni besar ke kecik!” gertak Que.
Ish…, terasa hati la
pulak ‘sotong kurita’ ni!
“Yelah… aku mintak maaf. Teruskanlah membebel
kau tu sampai kiamat. Biar tersumbat telinga aku ni dengar.”
“Tahu pun…” jawab Que
sendiri. Suara radio yang tenggelam dengan pertelingkahan mereka tadi kini
kembali timbul tanpa gangguan. Daliya sedang sibuk menambah gincu yang merah
terang itu di bibirnya, manakala Que sedang fokus memandu.
“Jangan hantar aku
balik lagi.” Daliya kembali bersuara dengan memberi arahan.
“Kau nak pergi mana?”
soal Que.
“Bawak aku pergi spa,”
arah Daliya.
“Dua hari lepas, kan
kau dah pergi. Takkan nak pergi lagi?”
“Siapa yang bayar gaji
kau sekarang ni?!” tanya Daliya mengingatkan, Que.
“Kau…” Lemah sahaja
jawapan yang keluar daripada mulut Que.
“Sedar pun… Jadi,
jangan banyak soal! Hantar ajelah!” Marah Daliya lalu menyambung semula membelek
wajahnya yang tebal dengan solekan itu di cermin. Sepasang mata yang galak,
hidung yang mancung, bibir yang mungil, dan setiap apa kurniaan yang ada di
wajahnya diperhatikan satu persatu. Apabila puas. Dia akan tersenyum sendiri.
Bangga dengan kecantikan yang dimiliki.
No comments:
Post a Comment