“Buatlah hidup ini semudah mungkin,
tak perlu kau pusingkan tentang
masalahmu, biarkanlah saja
mengalir dan berbahagialah.”
“MAAF Ilah, saya kena pergi outstation esok.”
Nailah murung. Dia kena tinggal lagi. Baru sehari sampai, Anuar terpaksa ke site, katanya ada masalah. Anuar kena turun. Rela dalam terpaksa Nailah lepaskan suami pergi. Padahal masa tu mereka baru sahaja sampai rumah. Baru dua hari suami balik dan dia baru sahaja hendak bermanja-manja dengan suami. Mahu kenal lebih mendalam tentang suaminya, tapi kena berpisah lagi.
Anuar peluk bahu isterinya. “Janganlah macam ni. Kita banyak masa lagi ke depan. Sepanjang hayat kita ada masa untuk lebih mengenali hati budi masing-masing. Tapi kerja ni tak boleh ditangguh. Kalau tak, saya kena buang kerja nanti.”
“Tapi...” Nailah hendak cakap segan. Malam pertama pun belum dilalui lagi, sudah kena tinggal.
“Bila-bila masa nanti saya bawa awak pergi jalan-jalan, makan angin.”
Nailah tetap diam. Anuar outstation, jadi dia hendak buat apa di rumah sendirian? Sudahlah ini kali pertama dia menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur, kawan pun tak ada.
“Kalau Ilah bosan, ajak kawan keluar. Pergi tengok wayang dan shopping,” saran Anuar.
“Mana saya ada kawan kat sini,” rungut Nailah. Kawan dia Anuarlah.
Dulu dia sambung belajar di Politeknik Sultan Ibrahim, Pasir Gudang, Johor. Memang dia tidak pernah datang ke Kuala Lumpur ni.
“Eh... bukan ke Wafa kawan Ilah kerja kat sini ke?” Anuar teringatkan Wafa, pengapit Nailah. Dia selalu juga terjumpa dengan gadis itu. Mereka bekerja di bangunan sama.
Nailah melepaskan keluhan. Dia menjeling suaminya. Dia teringatkan perbualan terakhir mereka selepas kenduri hari itu.
“Kau tahu aku suka Nuar, tapi kenapa kau terima dia jugak?” soal Wafa, sakit hati. Kawan makan kawan.
“Bukan aku terima tapi mak aku yang terima. Aku dah cakap aku tak nak kahwin dengan dia, dah cakap kau suka dia. Tapi kau tahulah mak aku tu, mana dia dengar cakap anak dia. Apa dia buat semua dia rasa betul. Kau pun tahu kak long dan kak ngah aku kahwin pun dengan pilihan mak, menangis memberontak macam mana sekali pun mak aku tetap dengan keputusan dia. Jadi aku nak tolak macam mana lagi?” Berair mata Nailah menjelaskannya. Dia tidak mahu hilang kawan tapi dalam masa yang sama dia terpaksa akur dengan keputusan mak.
Wafa pandang Nailah geram. Dia tahu mak Nailah bukan macam maknya, ikut pilihan anak-anak tapi hati tetap tidak dapat terima. Dia setuju jadi pengapit Nailah ini pun sebab mahu dekat dengan Anuar buat kali terakhir. Selepas ini dia perlu kuburkan perasaannya terhadap lelaki itu.
“Maafkan aku Wafa. Aku sayang kau. Aku juga sayang mak aku. Aku tak boleh bantah kehendak dia.”
“Kalau betul kau sayangkan aku, buktikan. Bagi Anuar tu kat aku.”
Hati Nailah tersentak. Walaupun hati tidak pernah jatuh cinta dengan Anuar (suka tengok wajah kacak dia, jiwa gadis muda mesti suka yang kacak dan segak) tapi Anuar telah menjadi suaminya, sudah tentulah hatinya tanpa dipaksa akan jatuh cinta. Tidak mungkin dia rela hati menyerahkan suami yang baru dikahwininya kepada gadis lain walaupun gadis itu kawan baik sendiri.
Wafa ketawa sinis, sudah diagak. Dia kemudian berpaling meninggalkan Nailah.
“Dia marah saya sebab rampas awak, cinta dia. Saya tahu dia dah lama cintakan awak, tapi awak pilih saya,” cerita Nailah.
Anuar terkejut mendengarnya. Patutlah selama ini Wafa bukan main ramah menegurnya setiap kali mereka terserempak.
“Tapi saya tak suka dia pun. Tak ingat pun nama dia kalau bukan sebab dia jadi pengapit kita hari itu.”
Nailah angkat bahu.
“Tapi itulah ceritanya. Last sekali saya cakap dengan dia lepas kenduri hari tu. Lepas tu dia tak balas WhatsApp dan panggilan saya lagi dah. Saya pun tak nak ganggu dia, biarlah dia sejuk dulu.”
Anuar pandang Nailah dengan pandangan rumit. Hati jatuh kasihan. Tidak sampai hati pula dia tinggalkan isterinya terkial-kial sendirian di rumah. Tapi dalam hati dia telah tahu apa perlu dilakukan.
“Kawan semasa belajar dulu, ada tak yang kerja kat sini?”
Nailah geleng kepala.
“Saya belajar kat JB, jadi ramai yang kerja sana. Sana gaji lebih mahal dan dekat dengan Singapura pula.”
Anuar terdiam. Nampaknya dia kena tangguh dulu ‘outstation’ tu.
“Esok pagi abang call office cakap tak dapat pergi outstation, biar office ganti orang lain.”
“Tak apa ke?” Wajah Nailah cerah. Dia terharu bila mendengar kata-kata itu.
“Tak apa. Lagipun bos tahu saya baru kahwin. Faham pengantin baru mana boleh berpisah, kan?”
Wajah Nailah merah mendengarnya. Hati berbunga-bunga. Gembira dan bahagia apabila suami mengutamakannya. Dapatlah dipujuk hati yang rawan ini.
“Ilah nak kerja tak?”
“Nak!” Nailah terus jawab. Dia bukan jenis yang boleh duduk rumah. Di kampung pun dia kerja tujuh hari seminggu. Jumaat buka sampai tengah hari.
“Okey, nanti saya tanyakan dekat HR, ada kerja kosong tak. Tak pun Ilah boleh cari kerja kat Jobstreet.”
Jadi kalau dia dapat kerja, Anuar outstation, dia tidak kebosanan di rumah. Nailah terus bersemangat mahu mencari kerja, bila suami sendiri mengizinkannya.
Dua minggu berlalu, Nailah mendapat panggilan temu duga untuk jawatan kerani akaun di Bintang Emas Sdn. Bhd. dan alhamdulillah dia mendapat kerja tersebut. Hatinya gembira, tidak adalah dia jadi penunggu rumah apabila Anuar bekerja.
Tapi Nailah tidak tahu itulah permulaan kehidupan yang akan merapuh jiwanya. Sejak Nailah mula bekerja, Anuar semakin kerap outstation dan lama. Sedar tidak sedar, masa terus berlalu.
No comments:
Post a Comment