DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 11 August 2016

Indahnya Cinta - Bab 10

HARI-HARI yang aku lalui semakin suram.
Kini tiada lagi gelak suara Haiqal di sisi. Hanya gambar dan
barang-barang milik Haiqal yang menjadi peneman buat aku.
Aku bagai tiada semangat untuk hidup.
“Adik, makan sikit.” Mama menghulurkan makanan
buat aku.
Aku berpaling melihat mama yang sudah duduk
di tepi aku. Dulang berisi makanan aku pandang. Tiada
nafsu untuk makan walaupun mama membawa makanan
kegemaran aku.
“Adik tak lapar.” Aku kembali memeluk lutut. Terasa
usapan lembut mengenai kepala. Aku dongak. Mata mama
sudah mula berkaca. Aku menahan sebak, lantas mata aku
larikan daripada memandang wajah mama.
“Sampai bila adik nak macam ni? Adik tak kesian ke
dengan diri adik sendiri.”
Aku hanya diam mendengar kata-kata mama.
Sesekali aku mengesat hujung mata yang kian basah.
“Bagi adik masa ma.” Aku menjawab perlahan.
Mama terus memeluk erat tubuh aku.
“Jangan lama-lama sangat sayang. Mama rindukan
anak mama yang dulu.” Ujar mama.
Aku angguk dengan deraian air mata.
“Makan sikit ya sayang. Sejak semalam adik belum
makan apa-apa.” Pujuk mama.
Akhirnya aku akur. Aku makan juga walaupun ketika
itu selera aku langsung tiada. Sekadar mahu menyenangkan
hati mama.
Mama tersenyum melihat sesuap demi sesuap
makanan masuk ke dalam mulutku.
“Tak nak dah?” tanya mama apabila aku menolak
perlahan sudu yang disuakan.
Aku geleng. Mama akur dan menghulur gelas berisi
air suam pula.
“Lepas ni adik pergi mandi, nanti turun bawah ya.
Ambil angin dekat luar. Dah lama asyik terkurung dalam bilik
ni.” Mama bangun dan bawa sekali dulang berisi pinggan.
Aku angguk perlahan. Selepas mama keluar, air mata
yang ditahan kembali menitis. Tangisan yang aku cuba tahan
tadi terletus juga. Aku menutup mulut, tidak mahu tangisan
didengari oleh sesiapa. Dada aku terasa ketat. Payahnya untuk
aku lupakan apa yang terjadi. Ya Allah, kenapa kau bagi ujian
ini untuk aku? Aku tidak cukup kuat untuk hadapi kenyataan
yang cukup pahit ini.
Perut tiba-tiba rasa bergelora. Aku menekup mulut
dan berlari ke bilik air. Dalam singki aku luahkan isi perut.
Nasi yang aku makan tadi habis keluar. Aku menahan pedih.
Akhirnya aku tersandar lesu pada dinding bilik air. Tenaga
aku bagai disedut keluar. Aku benar-benar tiada tenaga untuk
berdiri. Perut yang sakit aku tekan kuat. Ya Allah, sakitnya!
Peluh dingin keluar bersama-sama air mata.
“Mama…,” aku memanggil nama mama, tetapi
hanya desahan halus yang keluar. Aku berusaha mengengsot
ke pintu bilik air.
“Mama….”
Aku sudah tidak bertenaga. Akhirnya aku terjelepok
di tengah-tengah ruang bilik. Mata aku hanya memandang
kipas yang berpusing ligat. Keadaan di sekeliling sunyi tibatiba.
Hanya mata aku yang terkelip-kelip.
Wajah Kak Ida muncul di depan aku. Aku melihat
muka dia yang panik. Tubuh aku digoncang dengan mulutnya
yang bergerak-gerak tetapi suaranya langsung tidak
kedengaran di pendengaran aku. Kak Ida keluar sebelum dia
muncul semula bersama mama dan abah.
Seperti Kak Ida, hanya gerakan bibir mama dan abah
sahaja yang aku pandang, tanpa suara. Mama sudah menangis.
Tubuh badan aku terasa diangkat. Aku membuka mata yang
layu tadi. Haiqal tersenyum sambil mendukung aku. Aku
membalas senyumannya itu. Rasa sakit yang mencengkam
bagai hilang dibawa angin.
“Be strong sayang.” Bisik Haiqal. Tangan aku
angkat, pipi Haiqal aku elus lembut. Sejuk. Haiqal menunduk
memandang aku. Senyuman dia cukup manis. Aku terbuai.
“Love you sayang.” Ucapnya.
Aku angguk dengan rasa yang cukup indah sekali.
Namun, pandangan aku mulai kelam. Makin lama makin
gelap dan… gelap....
AKU TERSEDAR apabila terasa tekakku kering. Aku pandang
kiri dan kanan. Suasana cukup hening. Tangan kiri aku sudah
tertusuk jarum. Tiba-tiba aku bagai teringatkan sesuatu.
Haiqal!
Aku bingkas bangun dan turun dari katil tetapi
langkah aku tersekat. Aku pandang lengan. Nafas aku tarik
dalam-dalam dan aku tarik keluar drip. Kening berkerut
menahan seriau. Pintu bilik aku tuju. Baru beberapa langkah,
kaki aku terhenti lagi.
“Saya cadangkan supaya anak Datuk dan Datin
menjalani terapi. Dia memerlukan rawatan untuk merawat
kesedihannya.” Terdengar suara orang bercakap di muka
pintu.
Aku bersandar di balik dinding. Telinga mendengar
butir bicara mereka.
“Saya tak tahu nak buat apa. Dia macam berada
dalam dunia dia sendiri. Makan minum dah tak terurus.
Mandi tak mandi, dia dah tak hiraukan. Bila saya tanya, dia
hanya angguk dan senyum. Hati ibu mana yang sanggup
tengok anak macam tu.” Suara mama merintih.
Aku menutup mulut dengan belakang tangan.
Menahan tangis.
“Sabar Rina. Saya ikut saja. Saya sanggup buat apa
saja untuk anak saya. Saya mahu yang terbaik untuk dia.”
Suara abah pula.
Aku makin sebak. Air mata sudah berjurai keluar.
“Saya akan aturkan untuk Datuk. Jangan risau.
Sama-sama kita berdoa agar anak Datuk dan Datin sihat
seperti biasa.”
“Terima kasih doktor.” Ujar abah.
Aku cepat-cepat menyeka air mata dan kembali ke
katil apabila pintu dikuak lebar dari luar.
“Ya Allah, adik!” tempik mama.
Aku yang berpura-pura tidur, terus membuka mata
luas. Mama dan abah kalut menekup lengan aku. Aku baru
tersedar yang tangan aku sudah basah dengan darah.
“Abang, panggil nurse!” tempik mama.
Abah angguk dan butang di kepala katil ditekan.
Aku pandang sayu wajah abah dan mama. Betapa sayangnya
mereka kepada aku.
“Adik sakit ke?” Mama perasan apabila melihat air
mata yang menitis.
Aku geleng. Tubuh mama dan abah aku peluk.
Mereka terpinga-pinga. Aku biarkan mereka dan tangan aku
masih kejap memeluk pinggang mereka.
‘Ma, payah untuk adik lupakan semua benda yang
terjadi, tapi tolong bagi adik masa. Tolong bantu adik untuk
teruskan hidup ini. Adik perlukan kekuatan daripada mama,
abah, abang dan Kak Aina. Adik akan cuba walaupun hati ini
sudah benar-benar rapuh.’ Aku merintih dalam diam.
“ABANG!!” SUARA mama tiba-tiba bergema satu rumah.
Aku yang baru membuka pintu rumah terus terhenti.
Terkejut dengan suara mama sebenarnya.
“Kenapa?” terdengar suara abah pula.
“Adik hilang! Dia tak ada dalam bilik.” Suara mama
kedengaran cukup cemas.
“Hah!” kali ini suara abah pula yang terkejut.
“Awak dah cari ke dalam bilik air ataupun tempat
lain?” soal abah.
“Dah. Saya dah cari, adik tak ada. Abang, macam
mana ni?” Mama sudah menangis. Aku yang mendengar dari
balik pintu sudah menggigit bibir.
“Jom kita tengok kat luar.” Ujar abah.
Menyedari langkah mereka menuju ke pintu, aku
cepat-cepat menyeka air mata dan tersenyum.
“Assalamualaikum.” Aku memberi salam. Langkah
mama dan abah terhenti. Terkejut barangkali melihat aku
yang berdiri di situ.
“Waalaikumussalam.” Walaupun masih lagi
terkejut, salam tetap dijawab.
Aku tersenyum dan bersalam dengan mama dan
abah.
“Adik. Adik dari mana ni?” tanya abah. Mungkin
pelik melihat aku yang berjubah hitam dan berselendang. Jag
kosong yang berada di tangan, aku letakkan ke atas almari
kecil.
“Dari kubur arwah.” Balas aku perlahan. Senyuman
yang aku berikan terasa sumbang. Air mata yang hilang tadi
kembali bertakung.
“Kenapa tak cakap yang adik nak ke sana? Boleh
abah atau mama temankan.” Ujar abah lagi.
Aku tersenyum dan menggeleng.
“Tak apa abah. Adik pergi kejap aje.” Ujarku.
“Lain kali, kalau nak pergi mana-mana cakap dengan
kami. Tak adalah buat kami risau.” Tegur mama.
Aku senyap. Entah kenapa hati aku terasa dengan
nada yang mama gunakan. Aku menggigit bibir menahan
tangis.
“Rina…,” abah menegur mama. Mata abah
mengerling ke arah aku. Mama terdiam. Dia melangkah
menghampiri aku. Tubuh aku dipautnya.
“Maaf sayang, mama cuma risaukan adik. Mama tak
marahkan adik.” Tubuh aku digosok lembut.
Aku angguk dengan air mata yang menitis perlahan.
“Maaf ma.” Balas aku pula.
“Dahlah. Jom sarapan. Adik belum makan lagi, kan?”
mama pujuk aku.
Aku geleng dan mama menarik tangan aku masuk
ke dapur.
Selepas makan, aku kembali berkurung di dalam
bilik. Sejak akhir-akhir ini aku lebih senang menyepikan diri.
Bingkai gambar di bawah bantal aku tarik keluar. Gambar aku
dan Haiqal.
“Carl….” Aku usap perlahan gambarnya. Bibir dia
yang tersenyum manis itu menggamit aku untuk tersenyum
sama.
“Lamanya Carl pergi, bila Carl nak balik ni? Farah
dah rindu sangat-sangat dengan Carl. Carl nak tahu tak, baju
kahwin kita cantik sangat. Carl nak tengok hari tu kan, tapi
Farah tak bagi sebab Farah nak buat surprise masa kahwin
kita. Tapi….” Bicara aku terhenti. Mata mulai berkaca. Nafas
aku tarik dalam. Cuba mengusir rasa pilu.
“Tapi... Carl langsung tak berpeluang nak tengok
pun. Kenapa Carl buat Farah macam tu, kenapa Carl?
Kenapa???” Gambar di tangan aku baling kuat ke dinding.
Berkecai sebelum jatuh.
“Arghhhh!!!” Aku meramas rambut dengan kasar.
Bantal, selimut dan barang-barang yang dekat dengan aku
habis aku tepis kasar. Bunyi kaca berderai membuatkan aku
makin menggila.
“Adik! Adik! Adik!!!” Bunyi ketukan di muka pintu
tidak aku hiraukan.
“Carl!!! Carl!!!” Aku masih lagi meraung kuat.
Barang-barang hantaran yang ada di sudut bilik aku tarik dan
hempas ke lantai.
“Arghhhh!!!” lolongan dan tempikan semakin kuat.
“Ya Allah, adik!” Abah dan mama sudah menerpa
masuk. Tubuh aku dipaut erat.
“Lepas! Lepaslah!!!” Aku meraung kuat. Tajam mata
aku menikam mata mama dan abah. Ketika ini rasa marah
benar-benar merasuk aku. Tanpa sengaja aku menolak kuat
tubuh mama.
“Farah Zulaikha!!!” memetir suara abah berserta
satu tamparan di pipiku. Tamparan dan jerkahan itu seakan
menyedarkan aku.
“Ya Allah, mama! Apa yang aku dah buat ni?” Aku
terkaku. Tubuh mama yang masih lagi terbaring di lantai aku
pandang. Mama tersenyum kelat dengan air mata mengalir
di pipi.
“Ma… mama…,” suara aku tersekat-sekat. Aku
cukup rasa bersalah. Kaki mahu melangkah mendekati mama
tetapi otak melarang.
“Rina, awak tak apa-apa?” Abah membantu mama
bangun.
Mama menggeleng perlahan sebelum kembali
memandang aku. Pandangan mama cukup sayu sekali. Hati
aku bagai dihiris. Tangan yang menolak mama aku pandang.
Ya Allah....
“Adik…,” mama melangkah menghampiri aku.
Aku menggeleng dan bergerak ke belakang. Langkah
mama terhenti.
“Adik…,” mama panggil lagi. Mama sudah menangis.
Ya Allah, sakit hati aku melihat air mata mama.
“Ma… adik minta maaf. Adik tak sengaja.” Aku
meraung kuat. Tangan yang menyakiti mama tanpa sengaja
aku tampar kuat. Tidak cukup dengan itu, aku menampar pipi
sendiri. Mama dan abah terkejut dengan perlakuan aku.
“Adik!” Mama dan abah menerpa ke arah aku.
Aku melorot jatuh. Kepala aku sembamkan ke dada
mama. Tangisan aku kembali bergema.
“Adik minta ampun dengan mama… minta ampun
sangat-sangat. Adik tak sengaja nak buat macam tu. Adik
sayangkan mama.” Aku mencium pipi mama bertalu-talu.
Tangan mama aku kucup lama.
“Ya, mama tahu adik tak sengaja. Mama maafkan.”
Air mata mama juga sudah lencun. Mama cium balik pipi aku.
Air mata di wajahku mama lap.
Kemudian aku peluk abah pula. Minta ampun
dengan abah dengan kekasaran aku tadi.
“Kami sayangkan adik. Sayang sangat.” Suara abah
kedengaran serak.
Aku tatap mata abah. Ada air mata yang bertakung di
situ. Aku tertunduk. Sayu tengok abah dan mama. Ya Allah,
apa yang aku buat ni? Air mata semakin lebat. Kesal, kesal
yang teramat sangat!
“Sorry.” Aku cium tangan abah dan mama. “Maafkan
adik.” Hanya itu yang mampu aku ucapkan kepada mereka.
“Syhhh....” Abah tepuk perlahan bahu aku.
Menenangkan aku.

No comments:

Post a Comment