“ALI... kenapa nama kau Ali eh?”
“Kau tak ada soalan yang cerdik sikit ke nak tanya aku?”
“Rupa kau boleh tahan kut. Tapi nama kampung.”
“Kejap, aku sekeh dahi jendul kau ni.”
“Adoi, sakitlah! Kayu tu. Aku tanya je kut!” Peah gosok dahi yang diketuk dengan batang kayu yang sudah dibelah. Tak adalah sakit mana pun sebenarnya, cuma dia terjerit sebab terkejut.
“Apasal kau cakap nama Ali tu tak padan dengan aku?” tanya Ali tak puas hati.
“Kan aku dah cakap, kau tu ada rupa.”
“Habis tu kau ingat artis-artis yang lawa tu lahir-lahir je nama terus gempak dan moden? Kau tahu tak, kadang-kadang nama sebenar diaorang lari jauh daripada nama pentas diaorang tu?”
“Err...” Peah tergagap membalas.
“Ali tu nama salah seorang daripada Khulafa ar-Rasyidin, nama yang mulia.”
“Err...”
“Tanya seribu kali pun, aku tetap akan pilih nama Ali. Nama yang arwah ayah aku beri pada aku. Kau timbulkan lagi pasal ni, aku betul-betul buat perangai lanun nanti. Faham?”
“Okey.”
Ali kembali menyambung membelah kayu.
“Ali?”
“Apa lagi?”
“Masa kau selamatkan aku tu kan, apa yang kau fikir eh?”
“Entah,” jawab Ali selamba.
“Entah?” Peah sedikit terkejut dengan jawapan Ali.
“Hmm.”
“Entah?” Direnung anak teruna Mak Cik Siha yang sedang tekun membelah kayu. Kapak di tangan itu agak-agak kalau melayang sepoi-sepoi bahasa boleh putus leher tak?
“Takkan tak fikir apa-apa?” Dia mencuba lagi.
“Tak ada.”
“Yalah tu! Ke kau...”
“Kau jangan nak perasan walaupun sikit. Kau tu dahlah biul, senget, otak senteng. Tak ada maknanya aku nak suka kat kau. Daripada kau, baik aku berkasih sayang dengan itik belakang reban tu.”
“Sampai hati...”
“Kau jangan berani-berani nak melalak kat depan laman ni. Banjir macam mana pun, tak adanya aku nak cakap kau tu cantik.”
“Aku bukannya sedih atau nak nangis. Aku cuma nak cakap, sampai hati kau nak musnahkan hidup itik yang tak berdosa tu. Lagi satu, itik tu tinggal dalam reban, bukan belakang reban.”
“Peah!!!”
Peah sudah cabut dulu. Ali Lanun kalau sudah mengamuk, cicak atas siling pun boleh terjatuh ke lantai. Baik dia selamatkan diri sebelum kapak yang tajam berkilat itu memberi salam perkenalan.
“MACAM MANA?”
“Mak cik tanya macam mana? Takkan mak cik tak nampak saya mencicit lari tadi?”
Mak Cik Siha ketawa.
“Ni mesti kakak kenakan Ali, kan?”
“Mana ada saya kenakan dia. Saya cuma bawa dia kembali ke pangkal jalan dan betulkan statement dia yang ke laut dalam tu. Ada ke patut dia nak berkasih sayang dengan itik dalam reban tu? Dahlah cakap itik tu tinggal belakang reban. Apa, dia ingat reban tu buat tugu perhiasan sampai itik kena duduk kat belakang dan bukan kat dalam?”
Tawa Mak Cik Siha pecah untuk kesekian kali.
“Saya rasa Ali tu ada penyakitlah, mak cik.”
“Penyakit apa?”
“Penyakit kayu-kayan macam kayu yang dia belah tu. Keras semacam.”
Mak Cik Siha bantai gelak semula.
“Kakak boleh tolong mak cik tak?” soalnya di hujung tawa.
“Mak cik nak saya buat apa?”
“Esok kakak kacau Ali lagi.”
“Alah...”
“ALI, MAK kau mana?”
“Kat dapurlah, tengah memasak. Bukan macam kau, pemalas!”
“Aku bukannya malas. Tapi nanti kalau aku masuk dapur, ada yang terbakar satu dapur tu. Tak naklah aku jadi orang suruhan kau gara-gara nak kena bayar kerugian dapur yang terbakar tu.”
“Cakap jelah kau tak reti masak. Budak-budak perempuan zaman sekarang, bangun tidur je buka FB, buka IG. Bukannya bangun tidur tu nak ke dapur buat sarapan.”
“Aku tak macam itulah. Tengoklah aku ni, handphone pun tak ada.”
Ali kerling sekilas.
“Buktikan.”
“Buktikan apa?”
“Kat laman tu banyak pokok aku tanam. Kau pergi ambil lengkuas dan halia bawa depan aku ni. Kalau kau dapat bezakan mana lengkuas, mana halia, baru aku percaya kau tak macam perempuan-perempuan lain tu.”
“Err... err...”
“Susah? Okey, aku bagi yang senang sikit. Kau pergi cari daun kesum dengan daun kari. Kalau tu pun kau tak lepas...”
“ALI, AKU jumpa ni je. Daun kari.”
“Daun kesumnya mana?”
“Hidung aku dapat kesan bau daun kari je. Bau daun kesum dia fail.”
“Ke kau memang tak kenal rupa daun kesum tu?”
“Genius pun kau.”
“Tu, dalam tayar tu.”
“Apa?”
“Daun kesum itulah! Kau ambil secekak, kau cium puas-puas biar otak kau ingat sampai bila-bila rupa dan bau dia. Tak pun kau telan je mentah-mentah.”
“Eee... menyampahlah aku cakap dengan kau ni!”
“Siapa suruh kau cakap? Dah, pergi cari halia dan lengkuas.”
“Err... tu pun aku tak jumpa. Dah 17 kali aku tawaf rumah kau ni, tapi tak jumpa. Mak kau pun dah pandang aku pelik.”
“Hmm.”
“Ali, mana? Tunjuklah kat aku.”
“Membazir masa aku je.”
“Tak baik kedekut ilmu tau. Nanti kubur kau penuh dengan halia dan lengkuas.”
“Kau ni kan!” ujar Ali geram. Ada sahaja jawapan yang keluar daripada mulut si Peah ni.
“Tunjuklah kat aku. Please please please?”
“Ni, kat sini.” Tubuh dibawa ke rumpun pokok lengkuas dan halia. Tanah dikorek lalu isinya dikeluarkan.
“Laa... patutlah aku tak jumpa. Sampai hati kau pergi sorokkan halia dan lengkuas ni dalam tanah.”
“Peah!!!” Sungguhlah si Peah ni selalu menguji kesabarannya!
No comments:
Post a Comment