DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 30 May 2022

Pernah Benci - Prolog


SAKIT betul hati dia. Semua yang dia cakap, satu patah perkataan pun mak su tak percaya. Malang betul nasib dia.

Sejak mak su berkahwin, semuanya dah berubah. Pantang ada salah sikit, teruk dia dipukul. Semuanya berpunca daripada lelaki tak guna tu. Tak padan dengan tua tapi masih nak menggatal.

Kalau ikutkan hati, nak saja dia lari dari rumah. Lebih baik dia tinggal di tempat lain daripada terus tinggal bersama keluarga toksik. Setiap hari dia pasti ketakutan gara-gara lelaki mata keranjang itu.

Getah rambut ditanggalkan terlebih dahulu. Habis kusut rambutnya gara-gara ditarik oleh mak su tadi. Hanya disebabkan dia melawan, dapat jugalah makan penampar.

Tap!

Haishhh... getah ni. Masa nilah nak putus. Aku dahlah rimas kalau rambut tak berikat.”

Getah rambut dicampak kasar ke atas lantai. Terpaksalah dilurut rambut menggunakan jari. Lebih baik dia berjalan di sekitar pasar raya untuk menenangkan fikiran. Setibanya di sebuah kedai aksesori rambut, dia singgah sebentar untuk mencuci mata.

“Cantiknya.”

Getah rambut yang menarik perhatiannya itu dicapai. Berkenan betul. Namun senyuman di bibirnya beransur hilang. Walaupun harga getah rambut ini setakat 3 ringgit, dia masih tak mampu untuk membeli.

Langkah diatur keluar dari kedai itu. Fikirannya lebih memikirkan tentang masa depannya. Tahun hadapan dia sepatutnya belajar di tingkatan 5. Namun disebabkan faktor kewangan, dia terpaksa berhenti sekolah.

Kata mak su, dia hanya merugikan duit jika terus sekolah. Lebih-lebih lagi dia sering mendapat keputusan yang teruk. Disebabkan itu, dia dipaksa bekerja bersama mak su berniaga pada waktu pagi.

Perut yang lapar diusap lembut. Sejak dia keluar dari rumah, dia masih belum menjamah makanan. Saat ini dia rindukan air tangan emak. Kedua-dua orang tuanya meninggal ketika usianya 10 tahun. Hanya dengan mak su dia menumpang kasih.

Krukk...

“Hesy... tahanlah sikit. Macam tak biasa pula puasa berhari-hari.” Perutnya ditampar geram.

“Lapar ke?”

Hampir saja dia terjerit gara-gara terkejut. Dia angkat wajahnya sedikit. Tak berkelip matanya melihat lelaki itu. Kacak.

“Nah, ambillah. Kita kongsi.”

Lelaki kacak itu duduk di sebelahnya sambil menghulurkan separuh wafel berinti jem coklat. Tertelan air liurnya.

“Ambillah.”

Orang cakap, musuh jangan dicari. Rezeki jangan ditolak. Tak salah kalau dia menerima tawaran lelaki ini.Malu-malu dia mencapai huluran itu. Satu gigitan masuk ke dalam mulutnya. Setiap kali dia menunduk, rambut panjangnya pasti jatuh ke depan. Rimas betul!

“Sini saya tolong.”

“Ha?”

Tak sempat dia bertanya, terasa rambutnya diikat oleh seseorang. Laju jantungnya bekerja. Belum pernah lagi ada lelaki yang mengikat rambutnya.

“Siap.” Tersenyum lebar lelaki ini.

Anak mata mereka saling bertemu. Mereka saling terkelu. Hampir beberapa saat kemudian, dia yang terlebih dahulu mengalihkan anak mata ke arah lain. Terasa pijar kulit mukanya ketika ini.

Sorry. Saya nampak awak tak selesa. Jadi saya tolong ikatkan.”

Err... terima kasih.” Dia masih menunduk.

Masing-masing terdiam seketika. Sesekali dia menjeling ke sebelah. Melihat penampilan lelaki ini, dia yakin lelaki ini bukan orang sembarangan. Pakaian dan kasut pun dari jenama mewah.

Tiba-tiba dia terfikirkan sesuatu. Tak salah kalau dia mencari seseorang untuk dijadikan tempat sandaran. Kata-kata mak su hari ini membuatkan dia sedikit tercabar. Kali ini dia beranikan diri menoleh ke sebelah.

“Nama awak apa?

Si jejaka terus menoleh ke arahnya.

“Saya nak tahu nama awak, boleh?” Arwah mak pernah cakap, kalau dia senyum pasti ramai yang cair. Nak-nak lagi dia ada sepasang lesung pipit di pipi.

“Saya Aimy Raiqa. Awak?”

Tangan dihulurkan kepada jejaka ini. Kali ini dia hadiahkan senyuman yang paling manis untuk lelaki di sebelahnya. Siap pakej mata terkelip-kelip lagi.

“Daim. Daim Rayyan.”


No comments:

Post a Comment