DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 12 February 2015

Episod Cinta Harlys - Bab 7

DAH kemas semua barang, dik?” Puan Aini menyoal anak bongsunya. Tapi soalannya dibiar sepi. Arlyssa sedang sibuk. Sibuk melayan perasaan dan sibuk menunjukkan protes kepada along dan mamanya.

Puan Aini kalihkan wajahnya dari memandang sekitar bilik. Wajah anaknya dipandang. Dia melabuhkan punggung di tepi katil, betul-betul bersebelahan dengan Arlyssa. Bahu Arlyssa dia paut dan tangan tuanya ligat menggosok lengan Arlyssa. Cuba meredakan rasa amarah yang menggunung di dalam diri Arlyssa. Puan Aini sedar, anaknya itu sedang menjeruk rasa dengan berdiam diri. Sudah 27 tahun dia bersama dan membesarkan Arlyssa. Setiap tingkah dan perangai Arlyssa sudah lali di matanya.

“Kenapa ni?” lembut nada seorang ibu bertanya. Orang yang tengah marah tak boleh ditanya dengan nada yang tinggi. Tak akan ada jalan penyelesaiannya jika terus begitu.

“Kenapa along tu, ma? Apa yang dia tak puas hati dengan Lys? Semua yang Lys buat salah di matanya. Habis, apa yang betul?” luah Arlyssa. Kalau dengan Syed Yusri, dia memang dah memberontak depan-depan. Tapi dengan Puan Aini, dia tak boleh. Walau rasa nak marah macam mana pun, kalau tengok wajah mama, pasti dia akan lemah.

“Along buat semua ni bersebab. Bukan along saja-saja nak buat Lys macam ni. Dah lama sangat Lys nafikan tanggungjawab Lys. Sepatutnya dari dulu lagi Lys ikut Harith. Tempat isteri di sisi suaminya. Lys ikut Harith ya, nak.” pujuk Pun Aini.

“Suami? Lys tak pernah anggap pun dia tu suami Lys! Lys tak suka!” protes Arlyssa. 

Kata-kata mamanya  langsung tak berjaya memujuk hatinya. Air matanya mengalir lesu.

“Lys, jangan macam ni. Sabar Lys, sabar.” Tubuh kurus Arlyssa terus dipeluk erat. Tangisan yang terhambur semakin berlagu panjang. Puan Aini terus-terusan memujuk anaknya agar mengikut Harith. Tangannya turut menggosok belakang Arlyssa bagi menenangkan tangisannya. 

“Lys, tak siap lagi ke?” tiba-tiba terjengul Syed Yusri di muka pintu bilik. Serta-merta pelukan antara Puan Aini dan Arlyssa terlerai. Air mata yang mengalir dia kesat dengan belakang tangan. Wajahnya masih muram. 

Puan Aini yang memahami riak wajah Arlyssa terus saja menghantar isyarat kepada Syed Yusri. Syed Yusri mengerutkan dahi. Tak faham sebenarnya isyarat Puan Aini. Akhirnya dia berlalu jua apabila Puan Aini membulatkan mata. Hisy, orang bagi isyarat pun dia buat-buat tak tahu. Rungut Puan Aini sambil menggosok kembali belakang Arlyssa. Dia bukan apa. Kehadiran Syed Yusri akan mengeruhkan lagi keadaan. Jiwa Arlyssa yang semakin lembut akan kembali keras. Dia bukan tak tahu, sejak akhir-akhir ni Syed Yusri selalu menyekat pergerakkan Arlyssa. Perbuatan Syed Yusri menjadikan Arlyssa semakin memberontak.

“Lys, bersiap ya. Mama tolong ya,” Puan Aini menghulurkan pertolongan. Arlyssa tidak membantah kali ni. Hanya menurut permintaan Puan Aini. Puan Aini bangun. Pintu almari baju dia buka. Dia menggelengkan kepala melihat koleksi baju milik Arlyssa. Semuanya baju-baju yang tak cukup kain! Baju-baju ni tak boleh dibawa ke Terengganu kerana budaya di sana tidak terlalu terbuka seperti di bandar besar Kuala Lumpur. 

Akhirnya almari ditutup. Kemudian pintu almari yang bersebelahan dengan yang tadi pula dia tarik. Nasib baik ada. Pakaian-pakaian yang berkenan di hati Puan Aini bawa keluar dan letakkan seketika di atas katil. Usai memasukkan baju ke dalam beg beroda, sekali lagi Puan Aini menghampiri Arlyssa. 

“Lys, tukar baju dulu. Dah lewat ni. Kalau bertolak lewat, makin lewatlah sampai. Lys pakai baju ni, ya.” Puan Aini menghulurkan sepasang baju ke arah Arlyssa. Lama baju itu dia tenung. Tangannya tak terasa pun nak ambil baju tu. 

“Lys…” Panjang Puan Aini memanggil nama Arlyssa. Di dalam hati dia berdoa agar Arlyssa tidak berubah fikiran di saat-saat akhir.

Wajah mamanya dipandang sekilas sebelum menyambut huluran Puan Aini. Perlahan langkah diatur ke bilik air. Perasaan tak mahu ikut lelaki itu masih menebal di dalam hati. Siap berpakaian, dia mendapatkan Puan Aini yang masih setia menanti di tepi katilnya.

“Jom,” ajak Puan Aini sambil menarik tangan Arlyssa.
 

Beg beroda di tangan Puan Aini serahkan kepada Harith yang sedang menanti di ruang tamu. Anak bongsunya itu dia pimpin hingga ke kereta. Arlyssa seperti orang tak punya perasaan, hanya ikut saja apa yang mamanya suruh. Puan Aini menggenggam erat Arlyssa.

“Kat sana nanti Lys jaga diri baik-baik ya. Jangan buat perkara yang Harith tak suka. Lys kena ingat, syurga seorang isteri di bawah telapak kaki suami,” pesan Puan Aini. Tiba-tiba Arlyssa memeluknya erat. Bagai tak mahu dilepaskan.

“Ma, Lys tak nak pergi ke sana. Lys takut.” Sayu hati Puan Aini mendengarkan kata-kata anaknya itu. Semerta air matanya merembes keluar. Laju dan semakin laju menuruni lekuk pipi.

“Tak ada apa yang nak ditakutkan, Lys. Di sana sama jugak dengan di sini. Cuma di sana bandarnya kecil tapi segala keperluan harian masih ada. Anak mama takkan kelaparan di sana,” pujuk Puan Aini. Bagi Arlyssa, bukan soal tak cukup makan ke apa yang dia risaukan tapi dia memang tak suka dengan lelaki tu. Dia tak nak ke sana! Dia tak nak!

“Lys tak nak!” Arlyssa mula memberontak. Pantas Puan Aini menggosok belakang Arlyssa.

“Lys jangan macam ni. Ini saja permintaan mama. Abah dah tak ada. Mama nak tengok anak-anak mama bahagia. Mama yakin Harith boleh bahagiakan Lys.” Seketika mereka begitu sebelum Puan Aini melepaskan pelukan selepas melihat Arlyssa sudah sedikit reda.
 
“Nanti, Lys boleh balik lagi ke sini. Mama bukan nak buang anak mama. Harith, nanti kalau senang-senang bolehlah balik ke sini. Pintu rumah mama sentiasa terbuka untuk kamu berdua,” ujar Puan Aini. 

Harith menganggukkan kepala. “Insya-Allah, ma,” tangan Syed Yusri dia salami sebelum menyalami tangan Puan Aini dan dikucup tangan tua itu. 

“Bawak kereta tu hati-hati,” pesan Puan Aini lagi. Hatinya keberatan untuk melepaskan mereka pergi tapi dia terpaksa lepaskan juga jika mahu melihat Arlyssa berubah dan bahagia.

“Insya-Allah, ma. Saya ingat pesanan mama tu,” ujar Harith sambil masuk ke dalam kereta Honda CR-V milik Arlyssa. Syed Yusri yang menyuruhnya menggunakan kereta itu. Terpaksa dia akur walau keberatan pada awalnya.

“Assalamualaikum,” ucap Harith.

Gear dimasukkan dan kereta bergerak perlahan-lahan keluar dari halaman rumah besar itu. Harith membunyikan hon apabila kereta mula berlalu keluar dari pintu pagar. Dari cermin sisi, dia nampak lambaian Syed Yusri dan Puan Aini dari halaman. Harith meneruskan pemanduan berpandukan alat pandu arah(GPS) yang telah tersedia di dalam kereta itu. Sesekali dia menjeling pada orang sebelah yang dari tadi asyik memandang ke luar. Nak tegur takut kena sembur pula. Harith jadi serba-salah.

MA, sudahlah tu. Lys bukannya tinggalkan kita untuk selama-lamanya. Dia di Terengganu saja. Kalau kita ada kelapangan nanti boleh kita melawat dia di sana. Jarak Terengganu ke KL dah dekat, ma. Enam hingga tujuh jam dah sampai. Mama janganlah risau sangat,” pujuk Syed Yusri apabila terpandangkan muka Puan Aini yang masih beranak sungai.

“Entah macam manalah Lys kat sana nanti,” keluh Puan Aini.

“Ma, kita sama-sama berdoa agar Lys baik-baik saja di sana. Harapnya dia dapat sesuaikan diri di sana. Walau bukan tempat dia membesar tapi di sana dia dilahirkan. Biar dia kenal sedikit asal-usul. Jangan nak mengagungkan tempat orang sampai tempat sendiri dianaktirikan. Lagi pun kitakan dah bincang, kita nak Lys berubah jadi perempuan yang lebih baik di sana. Harapnya dia tak layan Harith macam Harith tu orang suruhan dia,” Syed Yusri melepaskan keluhan. Dia kenal sangat dengan fiil perangai Arlyssa. Kalau boleh dia nak semua orang ikut cakap dia.

Puan Aini terdiam seketika mendengarkan bait kata yang Syed Yusri baru luahkan. Betul apa yang anaknya katakan. Mereka perlu memberi peluang kepada Arlyssa untuk berubah. Besar harapan mereka agar Harith boleh merubah Arlyssa kerana mereka sudah letih menasihati Arlyssa. Arlyssa tak pernah nak berubah.

“Along tak kerja hari ni?” soal Puan Aini mengubah topik perbualan.

“Kerja, ma. Malam ni along on call, mama tak apa kan duduk sorang kat rumah?” bimbang juga Syed Yusri mahu meninggalkan mamanya sendirian di rumah. Tambah lagi pada malam hari dan rumah mereka ini terletak di dalam kawasan elit. Risiko untuk berdepan dengan perompak adalah tinggi.

“Tak apalah, mama dah biasa. Kan bibik pun ada sama, along tak payahlah risau,” ujar Puan Aini sambil  mengukirkan senyuman kepada Syed Yusri. Dia tak mahu risaukan Syed Yusri. Bukan dia tak biasa. Dulu semasa Arlyssa ada pun, bukannya reti lekat kat rumah. Hanya tahu merayau saja.

“Along, bila along nak kahwin? Along tak teringin ke nak kahwin?” soal Puan Aini tiba-tiba.
 
Syed Yusri terkesima dengan soalan Puan Aini. Selama ini mamanya tak pernah pun bertanya tapi bukan bermaksud mamanya tak mengambil berat. Puan Aini sengaja memberikan kebebasan kepada anak-anak untuk menentukan sendiri pilihan masing-masing kerana dia tak mahu dipersalahkan di kemudian hari sebab pandai-pandai mengatur jodoh anak-anak. Dua adik Syed Yusri sudah pun melangkah ke gerbang perkahwinan. Kakak Arlyssa, Syarifah Mellina Khalida sudah selamat mendirikan perkahwinan tiga tahun lepas. Sekarang Mellina tinggal di Abu Dhabi kerana mengikut suaminya yang bekerja di sana dan dia sudah dikurniakan seorang anak lelaki.

“Bukan along tak teringin, ma. Tapi… susah along nak cakap,” keluh Syed Yusri.

Puan Aini tahu, anak sulungnya itu punya kenangan silam yang maha pahit. Dia ditinggalkan kekasih kerana kekangan keluarga perempuan. Ketika itu Syed Yusri sedang belajar tahun akhir di Dublin University, Ireland. Masa itu dia bagai orang hilang arah. Hampir-hampir peperiksaan akhinya gagal. Tapi berkat doa semua ahli keluarga, Syed Yusri berjaya mendapat markah penuh seperti mana yang dia sasarkan sebelum itu. Namun peristiwa ditinggalkan kekasih sendiri menjadikan Syed Yusri kalis cinta. Entah berapa ramai perempuan yang kecewa dengan sikap Syed Yusri.

“Tapi sampai bila? Dua adik along dah lepas, along pula bila lagi? Along dah masuk 35 tahun. Sepatutnya pada usia itu, along sudah punya isteri dan anak. Segala keperluan along diuruskan oleh isteri along,” wajah sugul Syed Yusri dia pandang.

“Ma, can we drop the subject?” pinta Syed Yusri. Dia tak mahu Puan Aini memanjangkan topik ini. 

“Tapi sampai bila kamu nak melarikan diri? Mama bukan nak memaksa tapi umur mama ni bukannya makin berkurang, umur mama makin meningkat. Mama nak juga melihat along berkahwin. Mama ni nak juga ada peneman di rumah ni. Tak adalah kalau along tak ada, mama asyik tengok dinding aje. Mama nak juga tengok wajah-wajah lain selain bibik,” perlahan suara Puan Aini bertutur. Sayu saja nadanya. 

“Bukan along nak duduk sorang-sorang sampai tua. Tapi along memang tak jumpa lagi perempuan yang boleh buat mama gembira, yang boleh membahagiakan along. Insya-Allah, suatu hari nanti siapa tahu akan ada jodoh along. Kita sabar aje ma,” ujar Syed Yusri cuba memujuk hati mamanya. 

“Ma, along naik dulu ya. Ada kerja sikit,” beritahu Syed Yusri sebelum berlalu masuk ke dalam rumah.  Bagi Syed Yusri, perempuan yang dia cari mestilah yang boleh menjaga mamanya kerana apabila dia berkahwin nanti, dia yang akan menjaga Puan Aini. Peranan anak lelaki itu sangat berat, sementelah lagi sebagai anak lelaki tunggal.Dia tak mahu yang tangkap muat saja. Nanti dia juga yang merana. Dari atas tangga dia memandang Puan Aini yang sedang termenung jauh di laman depan sebelum meneruskan langkah ke bilik.
 

“AWAK nak berhenti makan tak?” soal Harith kepada Arlyssa. Namun soalannya hanya terbiar sepi. Sudah berkali-kali dia bertanya sebaik ternampak papan tanda kawasan rehat dan rawat di tepi lebuh raya. Tapi begitulah reaksi Arlyssa. Lebih suka mematungkan diri hingga buat Harith kebuntuan. Wajah Arlyssa dia pandang sekilas. Sekarang kereta yang Harith pandu sudah memasuki jalan kampung, melepasi sempadan antara Pahang dan Terengganu. Dia bertanya kerana di sini banyak kedai-kedai makan dan senang untuk mereka mengisi perut jika lapar. 

Akhirnya Harith mengambil keputusan untuk membeli nasi goreng saja. Senang. Dia nak makan ke tak, itu belakang kira. Setelah memandu hampir tujuh jam, akhirnya mereka sampai juga di rumah milik keluarga Arlyssa. Kata Puan Aini, rumah ini adalah rumah pusaka. Melilau juga mata Harith mencari rumah itu sebaik memasuki jalan kampung. Papan tanda usang bernama Teratak Samudera memberikan petanda kepada Harith. Memang itulah rumah yang dicari. Rumah itu memang rumah lama tapi rumah lama yang telah diubahsuai. Besar juga rumah ni, fikir Harith.

Sebaik memakir kereta di hadapan pintu utama, Harith terus keluar dari kereta dan pintu utama rumah dibuka. Dia berpusing ke belakang, kelibat Arlyssa tiada di situ. Niatnya ingin terus masuk ke dalam rumah terbantut. Kakinya laju mendapatkan kereta. Pintu di bahagian penumpang dia buka.

“Turunlah,” ujar Harith kepada Arlyssa yang masih mengeraskan tubuh di dalam kereta. 

“Atau awak nak saya  dukung awak?” sambung Harith dengan niat ingin bergurau dengan Arlyssa. Senyuman sudah tersungging di bibirnya. Tapi pandangan tajam pula yang dihadiahkan kepada Harith. 

Mencerlung sepasang mata itu memandangnya. Terus hilang senyuman di bibir Harith. Ambik kau! Nak bergurau pun tengoklah orang dulu. Ini tak, macam sengaja menjolok sarang tebuan! Getus hatinya.

Alang-alang dah ada di tepi kereta, Harith terus mengeluarkan beg-beg pakaian milik mereka dan nasi goreng yang dibeli tadi. Barang-barang itu semua dia bawa masuk ke dalam rumah. Sebelum menutup pintu rumah, sempat dia memeriksa pintu pagar agar berkunci. Sebab selepas ni dia nak terus tidur. Penat sangat memandu seorang diri jauh-jauh begini.

No comments:

Post a Comment