Enam Tahun Kemudian...
IRSYAD meraup wajahnya berkali-kali. Hari ini dia terganggu lagi dengan bayangan kisah silamnya. Kisah silam yang penuh dosa dan menyebabkan dia berasa menyesal seumur hidup. Peristiwa di mana kesabaran dan imannya dihakis oleh satu rasa. Amarah...
“Zara...” Panggilnya lembut.
Setiap hari dalam tempoh enam tahun, sepatah nama itu masih lagi setia meniti di bibirnya. Tidak pernah sekali pun dia tidak menyebut nama Zara dalam masa sehari. Di mana gadis itu menghilang? Marah lagikah dia? Tentu! Akan selamanyakah dia berdendam pada aku. Persoalan wajibnya menendang lagi akal fikiran. Ah! Puas Irsyad cuba untuk merasa hidup normal.
Tiada perasaan bersalah dan tidak mengenang dosa lampau namun tidak juga berjaya. Dalam hatinya masih ada Zara. Dalam fikirannya masih ada Zara dan dalam tidurnya juga tetap ada Zara.
Puas dia bertaubat. Pintu hatinya masih lagi terasa kelam. Siang malam dia bersujud kepada-Nya namun tetap dia merasakan bahawa sujudnya itu tidak mampu membasuh khilafnya terhadap Zara. Selagi tiadanya Zara, selagi itulah dia diserbu rasa bersalah. Selagi kemaafannya tidak diampunkan Zara, selagi itulah dia menggalas rasa bersalah ini. Janganlah Zara berubah menjadi orang yang tidak elok perangainya, Ya Allah! Kau kuatkanlah imannya di mana sahaja dia berada... doanya sepanjang hari.
Kertas kerja di atas meja dipandang dengan riak tak berminat. Mana-mana dia pergi pun, dia tetap ternampak dosa semalamnya. Apa sahaja yang dilakukannya, dia tetap diganggu khilafnya. Memikirkan betapa kejamnya perbuatan dia kepada Zara membuatkan hatinya langsung tertutup untuk mengenali mana-mana gadis. Siang malam dia tercari-cari satu wajah itu. Wajah yang sama.
Zara, agak-agaknya, di mana awak? Saya berdoa siang dan malam agar dapat bertemu dengan awak semula. Saya berdoa agar Allah mengampunkan setiap dosa yang saya lakukan terhadap awak. Saya mendoakan setiap saat agar awak sudi memaafkan saya. Saya betul-betul khilaf. Saya minta maaf! Zara... jika ditakdirkan kita bertemu semula, hukumlah saya! Hukumlah saya sampai awak puas...
Saya takkan lepaskan awak lagi. Saya tak kisah walau apa pun dugaan yang bakal menimpa saya. Saya hanya mahukan kemaafan daripada awak! Saya berjanji akan bertanggungjawab atas apa yang saya dah buat kepada awak. Tapi macam mana kalau awak dah berkahwin? Adakah saya perlu berundur? Tidak! Tidak sesekali. Saya tetap akan tunggu awak.
Zara... muncullah semula. Izinkan saya perbaiki kesilapan saya dulu meskipun saya tahu awak takkan sesekali membenarkan saya mendekati awak lagi. Zara... kenapa awak lari hari tu? Zara, kenapa awak tak buat laporan polis tentang kejadian malam tu? Zara... kenapa awak menghilangkan diri terus lepas kejadian tu?
Irsyad mengesat air mata yang mula mengalir ke pipi. Hidup dihantui dosa sangat menakutkan! Hidup dihantui perasaan bersalah lebih-lebih lagi menakutkan! Ya! Lebih bersalah lagi apabila mengetahui status sebenar Aiman dan Zara. Memang dia rasa tidak mahu hidup saat itu juga! Shila mendedahkan bahawa Aiman dan Zara itu adik-beradik. Itu pun secara tak langsung, Shila tersebut nama penuh Zara. Nama Aiman berbinkan nama yang sama dengan bapa Zara!
Dalam kekalutan, dia mencari lebih banyak info mengenai Aiman dan Zara. Sah! Teman sekolah menengah Zara dan Aiman, Bahari mendedahkan bahawa Zara dan Aiman sememangnya adik-beradik. Nama bapa mereka sama, sekolah juga sama. Cuma yang membezakan hanyalah rupa dan warna kulit! Kenapalah dia mesti mengetahui hakikat itu selepas dua bulan mahkota Zara dirampas dengan kejam? Kenapalah setelah sekian lama dia bersahabat dengan Bahari, baru dia tahu tentang Bahari, Zara dan Aiman yang merupakan satu teman sekolah pada suatu ketika dahulu?
Beberapa kali Irsyad datang bertandang ke rumah Zara dengan muka tak tahu malunya selepas dua bulan kes dia menghancurkan hidup gadis itu tetapi malang sekali bila Zara sudah berpindah rumah. Menurut Bahari, Aiman dan Zara telah berpindah sebulan selepas habis peperiksaan akhir semester Zara. Irsyad terdengar satu berita tergempar daripada Bahari iaitu ibu dan ayah Zara telah kembali ke rahmatullah akibat kemalangan jalan raya seminggu sebelum mereka bepindah.
Kasihan Zara. Sudah jatuh ditimpa tangga. Beratnya dugaan yang menimpa dia! Sehingga kini, enam tahun lamanya wajah Zara tidak lagi muncul. Hilang, ghaib entah ke mana... Puas Irsyad mencari di serata KL dan negeri lain, namun, tidak juga ada wajah kesayangannya itu. Mungkin... mereka tidak ditakdirkan untuk bertemu semula. Tok! Tok! Tok!
Ketukan pintu memeranjatkan Irsyad. Terbang segala lamunannya. Sepantas kilat air matanya yang baru sahaja kembali mengalir dilap kering. Hmm... CEO kalau menangis tak tentu pasal, memang bikin malulah. Ego masih perlu dipelihara. Title bos berhati kering masih perlu menjadi sandarannya.
“Masuk!” Tak berperasaan. Itulah yang sering menjadi perbualan seharian pekerja-pekerjanya. Suaranya penuh ketegasan tanpa terpalit sebarang senyuman. Dia bos ‘hot’ yang
dikutuk pekerja. Dia bos yang kaku. Tidak garang tetapi... suka menyendiri. Agak sombong dan bersikap pelik...
“Ya Lina.” Soalnya dengan muka tanpa perasaan.
“Bos, temu janji dengan client pukul tiga ni dekat Duta Village.” Pesan Lina. Irsyad sekadar mengangguk. Lina keluar semula dan menutup rapat pintu. Irsyad mengerling ke arah jam dinding. Sudah pukul dua suku tengah hari. Dia menyusun segala macam dokumen ke dalam briefcasenya. Selepas itu dia bangkit.
Gambar Zara yang kelihatan gembira menyambut cuti semesternya pada enam tahun lepas dikucup lama sebelum dia meninggalkan bilik itu. Itulah satu-satunya gambar Zara yang dia tangkap secara curi sewaktu berdiri di hadapan bangunan DSG memerhati gadis itu.
“AKU TAK naklah! Aku bukan pandai berenang!” Marah Zara apabila tangannya ditarik oleh Hadi ke laut. Hadi tetap berdegil. Senyuman paling manis disedekahkan buat Zara.
“Cepatlah Raudhah. Aku kan pandai berenang. Kau jangan takut. You ikut aje. Tak mudalah you ni!” Hadi mengutuk selamba. Zara merentap tangannya kasar. Eh, eh! Laki ni dahlah manja tahap petala tujuh! Boleh berenang rupa-rupanya! Kejap kau, kejap you! Hadi ni nak apa sebenarnya? Penampar? Hati Zara berbisik marah.
“Pergilah, Uda! Jangan spoilkan mood kamilah!” Kali ini kembar Hadi pula menolak Zara ke laut. Hani menolak Zara dengan kasar ke arah air laut.
“Hesy! Aku tak nak!” Zara berundur semula.
“Tak muda langsung dia ni.” Kutuk Hadi selamba. Amboi Hadi, tak teragak nak kutuk aku!
“Nyawa tak kenal muda atau tua!” Bebel Zara. Hadi dan Hani buat muka. Geram dengan Zara yang menjadi wet blanket itu. Apalah salahnya ‘berjimba’ sesama rakan? Bukan selalu
mereka boleh bergelak riang.
“Tak ada mananya! Aku belikan kau orang makanan kejap. Kau mainlah air laut tu puas-puas!” Zara melangkah ke arah kedai di tepi Pantai Balok itu dengan muka tak bersalah. Hadi dan Hani berpandangan sesama mereka. Kemudian mereka mengangkat bahu. Lantaklah! Bedeburr Terjun ke dalam laut. Zara tergelak menyaksikan dua beradik itu. Kelakar sungguh!
“SO, BOLEH tak you berikan jawapan you untuk projek ni... erm... janji temu yang seterusnya, bila agak-agaknya ya?” Gadis itu bersuara menggoda. Keningnya dijongket-jongket seksi. Irsyad teguk air liur. Ah! Sudah! Gedik semacam aje client aku yang ini.
"Errr... Nanti I suruh secretary I call you dan beritahu tarikhnya.” Irsyad mengelak. Bukan sekali dia berhadapan dengan client sebegini. Sudah berkali-kali! Malah ada yang lebih teruk lagi. Huh! Usah cakaplah! Seram
“Err... nombor telefon yang you call I tadi, itu nombor you ke? Kalau nombor you, I call you nanti dan confirmkan bila I free.” Soal gadis itu sambil mengusap rambutnya. Alahai! Cara lapuk perempuan dalam menggoda lelaki! Irsyad telan air liur lagi. Mati aku!
“Err... Actually... Itu nombor wife I.” Berubah muka gadis itu. Irsyad buat muka selamba.
Kalau dia mengaku itu nombor dia, ada chancelah dia diganggu pada pukul tiga empat pagi ni nanti. Dah biasa kena.
“Oh! I thought you tak kahwin lagi! Bos I... he said that you’re unmarried!” Ujar gadis itu sambil memerah wajahnya.
“Just married. Tapi tak kecoh. No wonderlah, dia tak tahu.” Irsyad menjawab dengan senyuman yang dibuat-buat. Banyaklah just married! Pengantin hatinya entah ke mana. Enam tahun menghilang tanpa khabar berita! Kedengaran keluhan hampa dari nafas gadis itu. Huh!
Kalau Irsyad menolak gadis ini di hadapan Zakwan, mahu Zakwan mengamuk selama lima puluh hari. Ah! Dia hanya kejarkan satu nama. Dia hanya setia pada satu hati. Dia hanya mahukan satu orang... Zara. Tiada yang lain.
“Perempuan cantik macam ni pun kau tak berkenan? Gila betul! Kalau aku, usahkan tolak, aku tarik!” Itulah yang sering dihamburkan oleh Zakwan. Lelaki bermulut ‘turbo’. Selepas habis janji temu itu, Irsyad berjalan-jalan di tepi pantai. Ingin melapangkan dada sebelum pulang ke rumah. Hari sudah lewat petang. Baik punya gadis tadi mengampu sampai lewat beberapa jam dia di situ.
“Hani!” Tersentak Irsyad bila satu suara yang melaung sepatah nama dengan kuat. Suara itu... belum sempat dia menoleh ke arah si pemanggil, ramai orang bersoseh-soseh menunjuk ke arah tengah laut. Macam ada kes kecemasan! Automatik matanya menghala ke arah laut. Kelihatan tangan terkapai-kapai di hujung sana. Ada yang lemas! Irsyad menanggalkan kotnya sambil berlari ke arah tangan yang dia nampak tadi tanpa menunggu lama. Laju dia berenang ke tengah laut.
“YA ALLAH! Adik aku mana?” Soal Hadi kelam-kabut apabila terdengar jeritan Zara sebentar tadi. Kuat Zara memanggil adiknya. Dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Tin minuman di tangan terlucut jatuh ke tanah. Baru lagi dia nak ke darat untuk membeli minuman kegemarannya. Air yang dibeli Zara tidak menepati cita rasanya. Muka Zara yang pucat ditatap lama. Kini, mukanya turut sama bertukar pucat
“Hani. Ha... Hani... dia tak naik-naik.” Ujar Zara dengan nafas yang sesak. Tangannya ditunjuk ke arah laut.
“What?” Sergah Hadi sehingga terhinggut bahu Zara akibat terkejut dengan kelantangan suaranya.
“Baru sekejap tadi aku nampak! Lepas tu, ada ombak, then, dia hilang!” Cerita Zara tersekat-sekat. Orang ramai yang menuding ke satu arah dipandang... dia berlari ke pinggir laut. Baru lagi hendak terjun, dia melihat adiknya sudah diheret seseorang ke darat.
“Hani!” Laungnya kuat.
“Hani” Laungnya lagi.
“Hani! Hani!” Zara menjerit kuat. Dia menolak tubuh si penyelamat ke tepi lantas menerjah sahabatnya. Ditampartampar pipi sahabat karibnya. Berjujuran air matanya mengalir. Hadi turut sama cuak. Perasaan bersalah menghantuinya. Hani! Dia menggoyang-goyangkan badan adiknya.
“Bangun!” Hadi menekup hidung adiknya, baru lagi hendak melakukan CPR.
Bluerrkkkk!!! Penuh air tersembur ke mukanya. Hani terbatuk-batuk. Hadi lega! Dibangunkan adiknya lalu dia menggosok belakang badan Hani.
“Alhamdulillah... Ya Allah! Hani! Aku dah cakap tadi! Nyawa lebih penting! Tolonglah jangan buat aku takut lagi!” Bebel Zara sambil teresak-esak menangis. Dipeluk tubuh Hani sekuat hati. Orang ramai yang berkerumun beransur mengurang. Semuanya menghela nafas lega. Bahu si penyelamat yang berteleku di sebelah Hani sempat ditepuk tanda syabas.
Zara perasan... ada mata yang menyaksikannya tanpa berkelip. Ekor matanya merasakan ada sesuatu yang tak kena. Kenapa hati ni berdegup kencang? Tiba-tiba darahnya rasa tersejat. Takut-takut dia melepaskan pelukannya dan memandang ke arah si penyelamat Hani.
“Zara...” Lembut... nama dia diseru Irsyad.
Zara terkejut. Lemah jantungnya usah dikata. Memang lelaki ini! Tidak berubah pun cuma... kematangan sahaja yang membezakannya. Irsyad kelihatan lebih matang. Enam tahun Zara menyepikan diri! Enam tahun dia menghakis sepatah nama Irsyad bersama memori hitam itu. Kenapa sekarang mesti lelaki itu muncul semula? Zara lantas bangun. Usahkan mengucap terima kasih terhadap Irsyad, Hani yang baru sedar itu pun ditinggalkan bodoh.
“Raudhah!” Panggil Hadi. Irsyad ternganga. Raudhah? Izzati Raudhah! Ya... Irsyad yang menyedari bahawa Zara sudah menjauh itu lantas bangun dan mengejarnya.
“Zara!” Pekik Irsyad kuat. Dia tidak akan melepaskan gadis ini. Tidak lagi!
No comments:
Post a Comment