“YA ALLAH Ila... banyaknya barang-barang kau...” rungut Nadia sambil matanya melatari tiga buah beg dan dua buah kotak bersaiz sederhana milik Fazila yang diletakkan satu persatu di dalam bonet kereta ayahnya.
“Itulah... Nad, aku pun tak sangka barang aku banyak gini. Tengok dalam almari tu macam sikit je...” Kata Fazila dengan suara yang direndahkan. Cuba tidak menarik perhatian Encik Zulkifli , ayah Nadia.
“Eh... takpe ke? Nanti karang menyusahkan kau je nak letak semua ni kat rumah kau...” Sambungnya lagi.
“Memang pun... mana entah mak aku nak letakkan semua ni...” Balas Nadia dengan wajah yang pura-pura serius.
“Tapi kat mana lagi aku nak letak semua ni... kau aje kawan aku yang tinggal kat sini... takkan aku nak bawak balik semua ni... nanti bila daftar semester depan aku kena bawa ke sini balik... jauh tu,” rungut Fazila sambil menggigit jarinya, cuba untuk meraih simpati daripada Nadia.
“Eleh… tak payah buat muka kesian…” Kata Nadia sambil mencebirkan bibirnya. Fazila membalas kata-kata itu dengan menjelirkan lidahnya kepada Nadia.
“Jelirlah... aku gigit karang lidah tu...” Gertak Nadia terhadap temannya, cuba menangkap tubuh tinggi lampai Fazila yang mula melarikan dirinya dan bersembunyi di belakang Puan Rosnah, emak Nadia. Perlakuan dua anak gadis itu menjadi bahan ketawa emak dan ayah Nadia. Sungguh... mereka gembira melihatkan keakraban kedua anak gadis itu yang dikongsi bersama sejak dari tahun pertama pengajian lagi.
Fazila tahu semua kata-kata yang keluar dari bibir sahabatnya itu cuma gurauan semata. Temannya itu memang mulutnya sedikit laser, tetapi hatinya cukup baik. Kalau tidak, tak mungkin Nadia sanggup mencadangkan supaya dia menyimpan barang-barangnya di rumah sahabatnya itu sepanjang cuti semester kali ini. Maka tidaklah perlu untuk dia membawa semua barangnya pulang ke kampungnya nun jauh di pantai timur Semenanjung Malaysia.
“Hei... sudah-sudahlah bergurau tu. Kita kena bergerak sekarang ni. Nanti kang lambat sampai pulak. Malam nanti Ila nak balik Kelantan, kan? Lewat sampai nanti kang terkocohkocoh pulak nak kejar bas...” Kata Encik Zulkifli mengingatkan dua anak gadis itu tentang jadual aktiviti mereka hari ini.
Seperti biasa semuanya perlu diingatkan. Kalau tidak, tentunya ada yang tertinggal dan ada yang terlewat. Masing-masing masih lagi lemah mengatur waktu walaupun usia dah meningkat ke angka 24 tahun.
“Dah angkat semua barangnya Ila?” Tanya Puan Rosnah kepada Fazila.
“Dah mak cik,” jawab Fazila sambil tersengih-sengih.
“Okey... kalau dah tak ada apa-apa lagi yang tertinggal... kita gerak sekarang...” Cadang Encik Zulkifli.
“Eh... aku rasa ada lagilah yang tertinggal...” Kata Nadia, tiba-tiba memetik jarinya sambil matanya dicelikkan ke wajah Fazila.
“Dah... aku dah ambik semua la...” Kata Fazila, cuba mengingatkan kembali kalau-kalau ada lagi barangnya yang tertinggal di dalam bilik hostelnya tadi. Mereka hanya perlu ke pejabat asrama sahaja lagi untuk menyerahkan kembali kunci bilik masing-masing.
“Ada...” Jawab Nadia dengan nada serius.
“Tertinggal yang ini, habis la kau...”
“Apa?”
“Fauzi...” Kata Nadia sambil mencelikkan lagi matanya.
Gelak ketawa yang mengiringi kata-katanya itu membuatkan semua yang ada di situ tahu bahawa kata-kata itu adalah gurauan semata. Cepat-cepat Fazila memukul lengan temannya itu sambil mengetap bibirnya tanda geram.
“Huh...” Katanya sambil terus meninggalkan Nadia yang sedang menutup bonet kereta Encik Zulkifli. Merah mukanya bila kedua emak dan ayah Nadia turut ketawa bersama anak mereka. Mempermainkan dirinya lagi. Aduhhh...
Setelah semuanya masuk ke dalam perut kereta, Encik Zulkifli mula memandu perlahan. Mereka singgah di pejabat asrama Kolej Tun Fatimah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang terletak di Skudai, Johor. Akhirnya kawasan kolej kediaman yang dikhaskan untuk pelajar wanita itu mereka tinggalkan.
Ada janji yang terpatri di hati Fazila bahawa perginya kali ini adalah hanya untuk seketika. Dia akan kembali semula ke sini untuk menyambung semula jejak-jejak langkahnya demi meraih cita-cita.
TIKET BAS yang dihulurkan oleh pemandu bas disimpan kembali ke dalam beg sandangnya. Dia mula menapak naik melalui tangga sempit bas ekspres dua tingkat yang akan membawanya pulang ke tempat asalnya. Semua tempat duduk di dalam bas telah dipenuhi menandakan semua penumpang sudah naik.
Hanya dia seorang sahaja yang naik di Perhentian Bas Kulai ini dan juga merupakan penumpang yang terakhir. Bermakna selepas ini perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan akan diteruskan tanpa perlu berhenti mengambil penumpang lain di destinasi seterusnya. Cepat-cepat Fazila mendapatkan tempat duduknya yang terletak tiga tempat duduk dari barisan paling belakang. Terhuyung-hayang dia dibuai oleh bas yang mula bergerak perlahan.
Sedang elok saja dia duduk di kerusinya, dia hanya menyapa penumpang yang duduk di sebelahnya dengan sebuah senyuman. Kemudian terus memejamkan mata kerana malas untuk bertegur sapa dengan lelaki yang hampir sebaya dengannya itu. Terus fikirannya melayang. Ingatannya kembali kepada perbualan telefonnya dengan Fauzi sebentar tadi. Setibanya di Perhentian Bas Pekan Kulai, Fauzi menghubunginya melalui telefon bimbit Nadia. Masih ingat lagi nada marah temannya itu sebentar tadi.
“La... habis, saya dah siapkan semuanya. Report tesis pun saya dah hantar, jadi buat apa tunggu lagi... baliklah...” Jawabnya pada pertanyaan Fauzi yang kedengaran ada nada marah.
“Sekurang-kurangnya cakaplah sepatah kat aku kau balik malam ni... Dah la tak ada telefon, nak berhubung pun susah...” Rungut Fauzi di hujung talian.
“Hmm... malaslah nak cakap hal tu lagi.. dah banyak kali saya beritahu awak pasal tu. Jadi malaslah nak ulang-ulang lagi...” Jawab Fazila.
“Kenapa awak telefon saya ni?”
Kan hari tu aku ajak kau keluar sebelum kau balik... bila report tesis kita dah selesai semuanya. Aku nak ajak kau celebrate sebelum masing-masing balik...”
“La... hari tu kan, kita dah keluar... dah pergi dinner pun dengan awak... berapa kali nak celebrate ni...” Rungut Fazila.
“Hari tu keluar ramai-ramai... aku nak keluar berdua dengan kau... pergi lepak kat JB ke...”
“Hmmm... sorry la Fauzi... apasal lambat sangat beritahu saya...” Fazila tergelak, sambil di dalam hatinya terdetik katakata... ‘Maaflah ye?’
“Eleh... Kau tu bukannya nak keluar dengan aku. Elok-elok dah setuju, alih-alih dia boleh cancel last minute. Elok-elok je janji nak keluar berdua, tengok-tengok dia boleh bawak orang lain buat teman... sabar ajelah aku...” Fauzi merungut lagi, melahirkan perasaan tidak puas hatinya terhadap sikap Fazila yang terlalu menjaga pergaulannya.
Walaupun ada ketikanya kelihatan tanpa segan dia bebas dan santai bergaul, namun masih sukar untuk gadis ini dibawa keluar daripada kepompongnya. Ada sahaja alasan yang diberikan untuk mengelakkan dirinya daripada didekati secara lebih dekat, terutamanya dalam hal-hal berkaitan dengan hati.
“Mana ada... tak ada lah...”
“Tak ada kata kau... habis, bila aku belanja kau pergi dinner Kelab Silat hari tu, kenapa engkau pergi belanja orang lain pula untuk temankan kita?”
Fazila tergelak sendirian mengingatkan peristiwa lebih dua bulan yang lalu apabila dia diajak oleh Fauzi untuk ke Majlis Makan Malam Anjuran Kelab Silat Gayung negeri Johor. Kebetulan Fauzi adalah ahli kelab itu di peringkat universiti. Dia telah mengajak Fazila ke majlis tersebut untuk menemaninya. Fazila telah bersetuju, tapi di saat akhir, timbul rasa kesal kerana mudah sekali dia menyatakan persetujuan.
Masih terlihat di matanya wajah kecewa Fauzi apabila dia membawa Siti Khairiah, juniornya untuk menemani dia ke majlis makan malam tersebut. Sangka Fauzi, bolehlah mereka dipandang seperti pasangan lain yang datang bersama, bolehlah duduk semeja di kerusi bersebelahan, mahupun di atas bas universiti yang membawa mereka ke Hotel Selesa di bandar Johor Bahru di mana majlis itu diadakan. Namun semua itu hampa bagi Fauzi, sehinggakan keesokan harinya Fauzi datang kepadanya sebelum waktu kuliah Professor Nordin bermula untuk memberitahunya bahawa dia sudah mengalah dalam usahanya untuk memikat Fazila untuk menjadi couplenya.
Fazila tergelak sendirian lagi. Tiba-tiba terasa bagaikan sedang diperhatikan. Fazila membuka mata, memandang sekeliling dan mendapati rupa-rupanya penumpang lain sedang memerhatikan dia tergelak sendirian dalam kesamaran lampu dalam bas tersebut. Lalu dia tersengih kepada penumpang di sebelahnya yang kelihatan begitu asyik memerhatikannya. Segan pula rasanya. Mesti ada yang mengatakan dia gedik kerana tergelak sendiri begitu. Ah... suka hati merekalah... yang penting aku tak kacau orang... detik hatinya sendiri. Lalu dia kembali memejamkan matanya untuk terus melayan anganan.
Fauzi. Sejak awal pertemuan mereka di tahun kedua pengajian lagi, pemuda itu sudah begitu yakin ingin menawan hatinya. Namun mana mungkin. Dia punya prinsipnya sendiri. Dia datang ke universiti untuk belajar. Bukan untuk mencari teman lelaki. Masih banyak agenda dalam hidupnya yang perlu dia laksanakan. Lagipun tidak mungkin dia akan menerima seseorang yang sebaya dengannya untuk dijadikan teman lelaki, apatah lagi untuk menjadi pasangan hidup seperti yang selalu Fauzi bayangkan kepadanya. Sekadar kawan, itu jawabnya sejak dulu lagi. Namun Fauzi kelihatan begitu nekad sekali untuk mencuba.
Sering lelaki itu menjadi teman yang menjaga kebajikannya. Selalu bertanya khabar tentang dirinya, selalu ada pada saat kepayahan yang dia lalui dan selalu bersama pada saat gembira yang dia rasai. Sepanjang hampir lima tahun pengajian mereka, Fauzi yang seolah-olah menjaganya daripada diganggu mana-mana lelaki. Terkadang terasa lebih selamat bila diberi perlindungan sebegitu kerana sememangnya dia masuk ke universiti ini untuk mengejar segulung ijazah, bukannya untuk mencari teman lelaki.
Dia bukan termasuk dalam senarai pelajar yang popular di kampus. Sebagai pelajar di bidang kejuruteraan, dia dan teman-teman wanita sekuliah dengannya tidak termasuk dalam golongan yang menarik. Mereka bagaikan ada dunia mereka tersendiri.
Dilihat berperwatakan kasar kerana cara berpakaian yang menuntut mereka untuk melakukan kerja-kerja lasak di bengkel kejuruteraan. Mana mungkin mereka mampu bergaya sakan ke kuliah sekiranya terpaksa masuk bengkel mesin untuk amali dengan pelbagai jenis mesin, sibuk dengan kerja kimpalan di dalam bengkel kimpalan arka maupun kimpalan gas dan melakukan kerja-kerja fabrikasi logam di bengkel mesin larik dan bengkel kepingan logam. Itulah dunia mereka yang bakal bergelar jurutera mekanikal.
Ada waktunya dia juga merasakan terpinggir dalam dunia ini. Naluri gadis sudah pasti menuntut dirinya untuk kelihatan cantik dan menarik. Namun semua itu terpaksa dia lupakan. Kalau pelajar kursus lain boleh bergaya sakan dengan gincu di bibir dan eyeshadow di kelopak mata, Fazila terpaksa menerima bahawa dia tak boleh lepas daripada minyak pelincir yang terpercik dari mesin larik dan juga percikan api dari alat kimpalan arka yang mampu menghasilkan lubanglubang kecil di pakaiannya jika dia mengenakan pakaian yang tidak sesuai untuk tugas-tugas sebegitu. Lantas dia perlu akur dengan ketetapan berpakaian yang ditetapkan oleh pihak fakulti dalam aktiviti hariannya. Namun masih dia mampu menjaga auratnya daripada terdedah di mata teman-teman sekuliah yang
majoritinya lelaki.
Berkecimpung dalam bidang kejuruteraan yang majoritinya adalah kaum lelaki sebegini bukan menjadi cita-cita Fazila pada asalnya. Berlatar belakangkan kelulusan agama sehingga ke peringkat SPM membuatkan dia begitu teliti menjaga penampilan dan perlakuannya untuk tidak melanggar batas-batas yang ditetapkan dalam Islam. Namun dalam dunia yang menuntut untuk dia menerima apa sahaja kemungkinan yang datang, dia terpaksa akur dengan ketetapan yang telah tertulis untuknya.
Dia bukan anak orang kaya yang mampu mengatur segalanya. Peluang pengajian sebegini terpaksa dia terima kerana inilah satu-satunya peluang yang dia ada. Untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang diminati adalah tidak mampu. Dia hanya ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di dalam bidang ini setelah gagal mendapat tempat di bidang yang dia inginkan. Maka mahu ataupun tidak, dia terpaksa menerima. Cuma yang diharapkannya nanti agar dia mampu membalas jasa kedua emak dan abahnya yang telah banyak berkorban untuk dirinya dan adik-adik.
“Mak... abah... Ila dah nak balik ni...” Hatinya berbisik dalam senyuman yang terukir di bibir saat membayangkan wajah emaknya yang selalu tenang dan mendamaikan.
SENYUMAN WANITA separuh umur yang berdiri di kaki lima Terminal Bas Kota Bharu itu membuatkan hatinya melonjak riang. Mak... suara dalam hatinya berbisik. Kalau boleh dia ingin bas yang dinaikinya itu berhenti cepat-cepat supaya dia boleh turun untuk memeluk emak yang amat dia rinduinya. Tapi keadaan lalu lintas yang sesak di pagi itu menyebabkan bas tersebut perlu menunggu giliran untuk berhenti di terminal yang ditetapkan.
Sabar je la Fazila... detik hatinya lagi. Lalu dia melambaikan tangannya untuk meraih perhatian emaknya yang masih sabar menunggu. Kelihatan abah yang berdiri di sebelah emak menuding jari ke arahnya untuk memberitahu emak tentang anak mereka yang kelihatan gembira di atas bas. Sungguh dia rindu pada mereka. Keluarganya adalah segala-galanya bagi Fazila. Lebih empat bulan tidak menemui emak dan abah membuatkan rindunya bagaikan membuak-buak dirasakannya. Selalunya dia akan pulang sebulan sekali
untuk melepaskan rindu. Namun apa daya dia, kesibukan dengan peperiksaan akhir dan juga projek tahun akhirnya membuat dia tidak dapat kerap pulang sebagaimana di awal-awal tempoh pengajian dahulu. Walaupun emak selalu marah kerana dia sanggup menghabiskan duitnya untuk membeli tiket bas, namun tidak diendahkannya. Dia rela mengikat perut semata-mata untuk membeli tiket bas untuk pulang menemui emak, abah dan adik-adik.
untuk melepaskan rindu. Namun apa daya dia, kesibukan dengan peperiksaan akhir dan juga projek tahun akhirnya membuat dia tidak dapat kerap pulang sebagaimana di awal-awal tempoh pengajian dahulu. Walaupun emak selalu marah kerana dia sanggup menghabiskan duitnya untuk membeli tiket bas, namun tidak diendahkannya. Dia rela mengikat perut semata-mata untuk membeli tiket bas untuk pulang menemui emak, abah dan adik-adik.
Bila bas berhenti, cepat-cepat Fazila turun. Terus pergi memeluk emak yang sudah berada berhampiran pintu bas.
“Makkk...” Jeritnya manja sambil memeluk erat tubuh separuh gempal itu. Puan Norhayati hanya senyum melihatkan gelagat anak sulungnya itu.
“Eh... pergilah ambil beg dulu...” Tegur Encik Dahlan, abahnya.
“Biarlah bah... malas nak berebut... nanti orang lain dah ambil, kita pergilah ambil.. Ila nak peluk mak ni dulu...” Ucapnya manja sambil terus memeluk tubuh emaknya.
“Habis, abah Ila tak nak peluk?” kata Encik Dahlan.
“Nak...” jawab Fazila manja sambil melepaskan emaknya dan memeluk abahnya pula.
Tersenyum-senyum Encik Dahlan bila dibuat begitu di khalayak ramai. Ramai yang memerhatikan gelagat mereka itu, namun langsung tidak diendahkan oleh Fazila. Lantaklah apa orang nak kata, yang dia peluk ini adalah emak dan abahnya.Kenapa perlu segan? bukankah emak dan abah, atau mama dan papa, atau ibu dan ayah, atau daddy dan mummy itu lebih layak untuk dipeluk cium berbanding dengan orang lain?
“Mak dengan abah sihat?”
“Alhamdulillah...” jawab Puan Norhayati.
“Ila pun nampak sihat,” jawab Puan Norhayati sambil tersenyum.
“Jom kita ambil barang Ila, tak kan nak borak kat sini pulak. Orang lain pun nak turun dari bas jugak,” kata Encik Dahlan mengingatkan bahawa mereka masih lagi berdiri di hadapan pintu bas, menghalang laluan penumpang lain untuk turun.
“Ha’ah ekk... lupa,” kata Fazila sambil berpaling ke pintu bas di mana seorang penumpang sedang menunggu untuk turun. Dia tersengih sambil bibirnya mengucapkan kata maaf. Terus dia beredar ke tempat simpanan barang bersama Encik Dahlan memberi ruang kepada penumpang lain turun dari bas.
Sepuluh minit kemudian mereka sudah berada di atas kereta untuk meninggalkan stesen bas. Suasana pagi agak sibuk dengan kenderaan keluar masuk di kawasan perniagaan yang menempatkan banyak gedung-gedung besar seperti Tesco, kedai pakaian Gulati’s dan lain-lain lagi berhampiran dengan terminal bas tersebut. Tambahan lagi Tesco Kota Bharu dibuka seawal jam 8:30 pagi pada hari minggu begini untuk memudahkan pelanggan mereka datang membeli-belah di awal pagi.
“Mak dengan ayah Nadia kirim salam pada mak dengan abah. Mereka ada kirim sesuatu untuk mak dan abah...”
“Oh ya ke? Waalaikummussalam... mereka sihat?” Tanya abah penuh minat.
“Alhamdulillah... semuanya sihat,” kata Fazila dengan cukup teruja.
Emaknya hanya tersenyum sambil memandang wajah anak gadisnya yang kelihatan cukup ceria di saat itu.
“Kenapa Ayis dengan Noni tak datang sama mak... kalau tak, boleh pergi breakfast nasi kerabu, dah lama tak makan nasi kerabu sedap. Hmmm...” Kata Fazila sambil menjilat bibirnya.
“Nak bawa macam mana... lepas subuh tadi masing-masing tarik selimut semula. Semalam entah pukul berapa tidur... asyik duk mengadap tv aje...” rungut Puan Norhayati.
“Ala... Singgah beli je... balik makan kat rumah...” Kata Encik Dahlan.
“Tak bestlah makan kat rumah, kat kedai boleh order teh tarik... Ila belanja...”
“Tengah banyak duit ke? Orang lain tengah kering nak tunggu gaji hujung bulan, Ila siap nak belanja mak dengan abah lagi,” kata Puan Norhayati pula.
“Ala mak... bukannya mahal pun nasi kerabu tu... bukan macam kat JB tu, breakfast pun dah sampai tujuh lapan ringgit seorang,” sambut Fazila teringatkan kos sara hidup yang tinggi di Johor Bharu. Puan Norhayati tersenyum mendengarkankata-kata Fazila.
“Tapi, sekarang ni pun dah mahal kat sini... bandingkan dengan dulu...” Katanya perlahan.
“Habis, kalau semua harga barang dah naik... macam mana penjual nak jual murah...” Jawab Encik Dahlan pula. Ada nada geram di situ.
“Ala... abah ni... mula la tu... tak naklah cakap hal gitu-gitu... Ila baru je balik ni...” Rungut Fazila manja. Dia tahu, kalaulah abah dah mula sebut hal-hal sebegitu, nanti panjang lebarlah khutbahnya. Tak mahu... tak mahu... Encik Dahlan ketawa sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Okeylah... jom kita pergi makan nasi kerabu... dah ada yang kempunan tu...” Katanya dalam tawa yang meniti di bibir.
No comments:
Post a Comment