DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 11 February 2015

Hantu Punya Bos - Bab 6

ABBY, ibu rindukan anak ibu ni. Sihat ke?” suara lembut di hujung talian menggetarkan naluri Abby. Dia terlalu rindukan ibunya. Baru-baru ini dia ada menelefon ibunya kerana dia ingin mendapatkan berita tentang si ibu tetapi ibunya tidak mengangkat sebarang panggilan daripadanya. Jadi dia menelefon abahnya pula. Abah pula tidak banyak bercakap. Tapi abah kata keadaan semuanya baik-baik sahaja. Jadi Abby mula berasa lega.

“Abby sihat, bu. Ibu pula macam mana?” Abby menyoal ibunya dalam sendu. Bukannya dia tidak boleh balik ke kampung yang terletak di KL itu juga tetapi dia yang segan sendiri. Dia tiada wang atau cenderahati untuk dihulurkan kepada ibu dan ayahnya nanti. Dia sudah tidak bekerja lagi sekarang.

“Ibu macam ini ajelah. Abby, dah dapat kerja ke dik?” Ibunya menyoal lagi. Ibunya memang sentiasa memanggilnya dengan panggilan manja sebegitu. Maklumlah, dia itukan anak bongsu dalam keluarganya. 

“Belum lagi, ibu. Nanti adik usahakan ya? Ibu meniaga tak sekarang?” Soalan Abby kali ini dibalas dengan keluhan.

“Itulah. Ibu tak meniaga ni. Dah seminggu lebih.” Ibunya bersuara lagi. Lirih. Tentu ibu sudah kehabisan wang! Macam mana ni? Aku belum mendapatkan pekerjaan lagi. 

“La, kenapa ibu tak beritahu awal-awal? Apa yang menyebabkan ibu tak meniaga lama macam tu?” Abby menyoal lagi. Prihatin sekali nadanya. Ibunya mengeluh. Aik, soalan dia langsung ibunya tak menjawab. Dia dapat menghidu sesuatu.

“Ibu sakit lagi?” Abby menyoal. Lama ibunya mendiamkan diri. Abby tahu akan jawapannya! Ibunya memang sakit dan dia langsung tak diberitahu.

“Tidak.” Ibunya menjawab sepatah.

“Ibu jangan tipu adik.” Abby menegaskan suaranya. Keluhan ibu di hujung talian membuktikan telahannya. Abby menangis!

“BABE, aku rasa aku nak terimalah tawaran bekerja di tempat bos hantu kau tu.” Abby akhirnya memberi kata putus buat sahabatnya. Matanya sembap akibat menangis terlalu lama malam tadi. Diela tersenyum lebar. Kata-kata Abby itu umpama bulan jatuh ke riba, duit jatuh ke dalam kocek! Dia sedang ketandusan idea untuk memberi alasan kepada bosnya yang garang itu.

“Kau tak menyesal ni?” soal Diela yang sudah tersengih sehingga ke telinga itu.
 
Abby mengangguk lambat-lambat. Separuh hatinya seperti menyuruh untuk dia menerima tawaran kerja itu dan separuh lagi melarang keras. Gilalah! Kau dahlah melatah, berani ke kena jerkah hari-hari? Silap hari bulan kau yang menjerkah bos kau semula, Abby! Hati dia memberi amaran. Abby menelan liur. Alamak. Pahitnya! Dia perlukan kerja, tapi kondisi dia juga tidak berapa elok. Dia melatah agak teruk! 

“Sure?” Diela menyoal Abby sambil menjongket-jongketkan keningnya. Abby menggeleng-gelengkan kepalanya laju tanda tidak pasti dengan keputusan yang dibuatnya.

“Aku tak sure. Langsung tak sure! Aku cakap betul aje, aku terdesak sangat nak bekerja kat situ. Kalau tak sebab terdesak, memang haram aku tak jejak kaki ke situ!” Abby bersuara bengang. Dia memicit-micit dahi yang terasa pening tiba-tiba itu. Tidak tahu hendak membuat keputusan yang bagaimana.

“Alahai, awat tetiba emo ni kawan?” Diela menyoal.

“Aku geram. Ibu aku masuk hospital baru ni dia tak beritahu aku. Takut aku risaulah, apalah. Bila aku tanya pasal dia punya business, boleh dia jawab, ibu dah lama tak meniaga. Geram aku. Habis, kalau aku tak berikan ibu aku duit, apa ibu aku nak makan? Sudahlah duit along aku beri, ibu aku dah habiskan bayar bil rawatan dia. Langsung tak cerita kat aku. Sedih weh. Macam dianaktirikan pula aku rasa.” Abby berkata geram. Terkilan sebenarnya kerana dia langsung tidak tahu-menahu nasib ibunya. 

Air matanya mula berlinang. Rasa macam dirinya tidak penting sahaja buat ibunya. Mana boleh ibunya merahsiakan perkara penting seperti itu. Dia berhak tahu juga! Diela berusaha menenangkan sahabat karibnya.

“Wei, janganlah cakap lagu tu. Ibu tu duk risau kalau kau tau, kau duk abaikan makan minum. Aku tau sangatlah ibu kau. Dia macam ibu aku sendiri dah. Usah sedih-sedih, na?” Dia memujuk Abby. Cis, mentanglah tunang dia orang utara. Boleh dia berlagu tu lagu ni dengan aku? getus Abby dalam hati.

“Aku sedihlah, pasai dia selalu sangat biaq aku jadi orang yang terakhir tau pasai kesihatan dia. Awat, aku ni bukan anak dia ka? Awat dia layan aku lagu ni?” Ambil Abby, dengan kau-kau sekali dah terikut cakap loghat orang utara! Diela menelan senyum. Alahai. Comel sungguh sahabat karibnya ini.

“Kau ni, think positive dear! Okeylah, sekarang ni, kita abaikan dulu bab yang makan hati sentap urat sendi-sendi tu semua. Sekarang, kau kena buat keputusan rasmi, kau nak atau tidak bekerja dekat situ? Aku tanya sekali aje ni, lepas tu, aku tak nak mahu tanya dah. Aku cari hak lain yang mana nak bekerja kat situ.” Diela menyoal dengan nada mengugut. Eleh, bukannya dia boleh mencari pengganti tempatnya dalam masa terdekat ini. Abby mengeluh.

“Kalau aku cakap tak, lepas ni aku nak makan apa pula? Aku bukannya anak raja yang boleh duduk goyang kaki. Aku kena cakap ya jugalah dalam terpaksa.” Abby bersuara parau.

“Kau jangan risau. Aku boleh jadi sifu kau nanti. Kau BBM aku aje apa yang kau kena buat dan aku akan balas terus. Terus!” Diela mengulangi kata-katanya dengan nada yakin. Abby rasa bersemangat mendengar kata-kata Diela itu. Dia menganggukkan kepalanya dengan semangat yang mula berkobar-kobar.
 

“SIAPA nama awak?” Arrayyan menyoal sinis. Dia memandang Abby dari atas sehingga ke bawah. Lagaknya, tersangatlah bongkak. Buat apa dia tanya nama lagi? Bukan ke Diela dah beritahu dia pasal aku? Siap disertakan dengan resume lengkap lagi. Abby menggerutu dalam hati.

Abby sebenarnya tidak tahu nak kata apa. Dia tergagap-gagap. Kenapalah Diela tidak memberitahunya dengan lebih spesifik tentang ketampanan bosnya ini. Sumpah air liurnya hendak meleleh keluar apabila melihat wajah tampan Arrayyan. Matanya yang bundar berwarna kelabu dan berbulu lebat. Mata yang kuyu sedikit. Cantik! Lelaki, kalau dah matanya cantik, maka dia akan selamanya cantik di mata Abby. Betul ke?

Beralih pula ke hidung mancung mencacaknya. Alahai. Kalau ada hidung macam ini, baik aku nak buat frame aje, getus hati Abby. Cantiknya. Terpacak elok. Bibirnya yang bergerak-gerak lembut kelihatan sangat sesuai dengan setiap isi mukanya. Tidak besar dan tidak kecil. Sedang-sedang sahaja. Eh, kejap, bibirnya yang bergerak-gerak? Bergerak?!!

“Saya tanya awak, apa nama awak, cik? Awak tak nak perkenalkan diri awak kepada pekerja semua ke?” Arrayyan mengulangi soalannya tadi. Kali ini nadanya kedengaran begitu tegas. Abby tersedar daripada lamunannya. Aduhai. Kereknya bos aku ni. “Nama saya Nur Baity Jannati binti Razali,” jawab Abby kalut.

“Hai, takkan nak panggil Nur Baity Jannati binti Razali? Sempatlah klien menciput lari dulu daripada mendengar nama panjang awak tu.” Wajah Abby bertukar kelat. Kan dah kena sebutir! Aduhai. Semua pekerja di hadapan mereka menahan senyum. Awal-awal lagi dah kena dengan bos. Macam tak percaya sahaja Abby bahawa lelaki inilah insan yang sering dikutuk Diela selama ini. Muka macam baik aje? Tapi, luaran kan?

“Err. Awak semua boleh panggil saya Abby. A-BB- Y.” Abby menjawab pula. Satu soalan ditanya, satu soalan dijawab. Begitulah keadaan dia dari tadi. Bercakap sambil memandang sekilas ke arah pekerja-pekerja Arrayyan yang tidak berkelip memerhatikan dia macamlah dia terlepas dari Zoo Melaka. Dia hanya mampu tertunduk menekur lantai. Kekok sangat! Beberapa kali jari yang sama dipatahpatahkan. Itu tabiat dia ketika sedang menggelabah. Riak sahaja nampak tenang sedangkan lutut dah nak tercabut sebenarnya.

“Cik Abby, saya rasa nak cekik awaklah. Beritahulah kedudukan awak dekat sini sebagai apa? Lagi, umur awak, status dan sebagainya. Saya rasa, kat dalam ni ramai pekerja yang bujang sibuk nak tahu tentang awak!” sinis lagi. Abby rasa macam tertelan tanah. Arrayyan menyeluk kedua-dua belah tangannya ke dalam kocek dan kepalanya menunduk ke bawah memandang kasutnya yang hitam berkilat. Segak sekali pandang. Dua kali pandang, masih segak lagi. patutlah tak kahwin sampai ‘tua’. Bersikap perfectionist, plus, dia memang perfect. Nak cari bini pun kena fikir banyak kali! ‘Lagak lelaki ego, begitulah!’ desis hati kecil Abby. Arrayyan berdeham. Abby tersedar daripada khayalannya.

“Saya minta maaf, tuan!” Abby meminta maaf daripada Arrayyan.

“Jangan panggil saya tuan sebab awak bukan bibik saya. Saya pun tak pegang pangkat Inspektor atau Kapten kat sini rasanya.” Kena lagi! Abby menahan rasa sabarnya dalam hati. Semakin menggila hinggutan bahu pekerja-pekerja di situ yang menahan tawa. Salahkah kalau dipanggil tuan?

“Perkenalkan diri awak!” Arahan tegas tetapi perlahan daripada Arrayyan. Abby mengangguk tanda faham.

“Baiklah bos. Hai semua...” Belum sempat Abby menyambung ucapannya, Arrayyan memotong.

“Hai? Sepatutnya sebagai orang Islam, mulakan ucapan awak dengan memberi salam.” Arrayyan masih lagi bertindak sebagai guru Pendidikan Moral yang mencari kesalahan pekerjanya. Sabar Abby, ya? Digenggam geram jemarinya. Nafas sudah naik turun. Dari tadi Arrayyan asyik mencari kesalahannya.

“Dah bos potong saya cakap! Macam mana saya nak ucap salam?!” Ternyata Abby tidak dapat menahan sabarnya. Alahai. Abby itu tersangatlah garang sebenarnya! Semua pekerja terdiam mendengar amarah Abby itu. Tentu dalam hati mereka sudah berdebar-debar.  Berani betul Abby melawan kata bos? Arrayyan sendiri pun bagaikan ternganga dengan jawapan keras daripada Abby itu. Wah! 

“Awak melawan cakap saya?!” Arrayyan membuntangkan matanya tidak percaya. Abby menunduk. Dia gigit bibirnya separuh. Aduhai. Ke mana perginya kesabaran hati yang dipupuk sejak dia menggenyeh mata yang terkatup pagi tadi? Hilang dibawa aruskah?

“Maaf, maafkan saya bos, saya dah terbiasa bercakap dengan kawan saya macam tu. Maaf,” pinta Abby kalut. Janganlah! Dia betul-betul memerlukan kerja ini! Dia tersangat perlukan kerja ini. Dengan keadaan ibunya yang tak berapa sihat itu membuatkan dia dihurung rasa bersalah kerana tidak dapat memberikan wang belanja buat ibunya.

“Itulah. Kawan, dengan bos, besar bezanya! Lain kali, fikir dahulu dengan siapa awak bercakap. Bukan main hentam sahaja. Saya tak nak perkara ini berulang lagi. Memandangkan hari ini hari pertama awak bekerja di sini, jadi saya akan menahan rasa sabar saya. Kalau besok, sabar saya menghilang, jangan berhenti secara drastik. Sampai ke lubang cacing saya cari awak.” Kereknya nada dia. Rasa nak sedekahkan batu kat dagu dia biar terbelah dua.

“Maafkan saya, bos.” Abby meminta maaf lagi. Padahal dalam hatinya sudah berbakul sumpah seranah ditadahkan untuk bos kereknya itu.

“Baik, sambung apa yang tergendala tadi.” Arrayyan bersuara. Abby mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia kembali menghadap pekerja yang setia menanti ucapan pengenalan daripadanya.

“Assalamualaikum. Saya Nur Baity, kalian semua boleh panggil saya Abby. Saya berumur dua puluh lima tahun. Status saya bujang, masih belum bertunang dan belum berkahwin. Saya bekerja di sini sebagai PA kepada Encik Arrayyan binti Dato’ Zainuddin menggantikan tempat sahabat karib saya Nor Adilah binti Mukhtar.” Abby memperkenalkan dirinya dengan tenang.

Pekerja yang lain dilihatnya sedang terkekeh-kekeh ketawa. Dia pelik. Arrayyan sudah menggaru-garu dagunya. Matanya memandang Abby dengan tajam bagaikan sedang  mengancam ‘habitat’ dan keselesaan Abby. Abby tertanya-tanya dalam hatinya, ‘hey, why are they acting so weird?’

“Sebut balik nama penuh saya.” Arrayyan mengeluarkan arahannya. Tegas. La, kenapa pula? Arrayyan dilihatnya sedang mengurut dagu yang berjambang nipis itu.

“Encik Arrayyan binti... eh! Maaf! Maaf! Encik Arrayyan bin Dato’ Zainuddin. Ya Allah bos, saya minta maaf sesangat!” Abby bersuara serba-salah setelah menyedari kesalahannya. Dia menekup mulutnya yang terlopong dengan tangan kanannya. Pekerja-pekerja lain sudah terbahak ketawa. Kecoh pejabat itu dengan gelak ketawa mereka. Abby gigit bibir. Muka Arrayyan sangat menakutkan!

“Ada saya suruh awak semua gelakkan saya?!”

Mencerlung mata Arrayyan memandang ke setiap mata pekerjanya. Semua terdiam dan tertunduk menahan gelak. 

“Dan awak pula, Abby, mentanglah saya cakap hari ini saya kawal kemarahan saya, berani awak memperlekehkan saya?!” Arrayyan menatap anak mata coklat bundar milik Abby. Abby rasa bagaikan tertelan pasir. Alamak! Tajamnya anak mata Arrayyan. Arrayyan mengalihkan pandangan matanya ke arah pekerja-pekerjanya pula.

‘Diela ni, aku suruh cari pekerja yang telinganya tak besar macam dia, dia bantai cari pekerja yang bermata bulat macam mata Koala pula dah! Takut aku nak menengok matanya!’ Arrayyan mengomel dalam hati. Debaran di dada menyurut perlahan-lahan.

“Maaf bos, saya tak sengaja. Bukan niat saya hendak memperlekehkan bos!” Abby bersuara dengan kalut. Keningnya bertaut. Hari pertama bekerja pun dia dah mencari pasal dengan Arrayyan. Bukannya dia sengaja pun. Arrayyan tersenyum sinis.

“Tak sengaja konon.” Dia tidak memandang langsung ke arah Abby. Lebih selesa merenung pekerja-pekerjanya yang lain. Tangan masih di dalam kocek. Sekejap-sekejap dibawa keluar sekadar untuk mengurut dagu dan kening. Lelaki ego!

“Betul bos!” Abby menegakkan lagi kenyataannya. Arrayyan mengangguk perlahan-lahan. Rimas apabila  mendengar suara Abby. Bersungguh-sungguh Abby membela dirinya membuatkan dia malas melayan.

“Sudah, sekarang, semua boleh sambung bekerja. Saya nak awak, Abby, sediakan air kopi dalam cawan saya. Cawan yang paling besar!” arah Arrayyan dan terus dia memboloskan dirinya ke dalam bilik pejabatnya. Semua pekerja berkerumun mengelilingi Abby lmenghulurkan salam perkenalan.

“Hai, nama akak, Rozieana. Abby boleh panggil akak, Kak Rozie.” Rozie memperkenalkan dirinya terlebih dahulu bersama huluran salam. Abby menyambut dengan senyuman mesra. Jelas lesung pipit kirinya yang dalam itu. Tentu ada pekerja lelaki bujang yang bakal terpesona dengan keayuannya nanti. Atau dia dah kahwin? Hehe..

“Aku Suzanna dan ini partner aku Azham.”  Suzanna memperkenalkan dirinya dan dia turut
memperkenalkan Azham yang berdiri segak di sebelahnya. Azham tersenyum cuma. Abby membalas senyuman Azham. Abby berkenalan dengan ramai pekerja di situ. Ada yang bernama Fatin, Alia, Natasha, Maira, Siti dan bermacam lagilah nama. Penat dia diserbu ramai orang.

Tidak kurang juga dengan jejaka bujang di situ. Setelah hampir lima minit diserbu pekerja-pekerja di situ, Arrayyan muncul.

“Mana kopi saya?!” Arrayyan menyoal tegas. Semua menciput lari ke tempat masing-masing sebaik sahaja Arrayyan mula bersuara. Bukannya kuat mana seperti yang Abby sangkakan. Mana ada ribut petir taufan apa pun? Tipu aje lebih Diela ni.

“Baik bos, saya buatkan sekarang!” Abby bersuara lantas berlari ke pantri dengan lajunya. Dia harus menyediakan air kopi untuk bosnya dengan cepat sebab Diela pernah berkata bahawa bosnya tidak suka menunggu. Tiada sesiapa yang suka menunggu...

No comments:

Post a Comment